Selasa, 15 Mac 2011

KARPET KUNING

KARPET KUNING


Tokyo - paras radiasi lebih tinggi daripada biasa telah dikesan tetapi belum sampai tahap bahaya.

Posted: 15 Mar 2011 10:34 PM PDT


SENDAI: Letupan dan kebakaran di loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa bumi Jumaat lalu telah mengeluarkan radiasi pada tahap bahaya semalam, menyebabkan pasaran saham jatuh teruk dan orang ramai menyerbu pasar- pasar raya kerana panik.

Saham Tokyo, yang menjunam kelmarin dalam penjualan terburu-buru hingga menyebabkan indeks seluruh dunia terjejas, jatuh lagi 14 peratus semalam sebelum mengurangkan beberapa kerugian dan berakhir dengan kejatuhan 10.55 peratus.

Di pekan-pekan dan bandar-bandar, penduduk ketakutan memborong makanan dan air minum hingga mendorong pemerintah Jepun mengeluarkan amaran pembelian panik itu boleh menjejas keupayaannya menyampaikan bantuan ke kawasan-kawasan terjejas teruk oleh gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.

Namun penduduk Tokyo yang ketakutan tetap memenuhi kereta api untuk keluar dari bandar itu atau terburu-buru membeli pelitup muka dan keperluan kecemasan kerana takut terkena radiasi.

Paras radiasi di sekeliling loji Fukushima Nombor 1 di pantai timur telah 'naik dengan banyak', kata Perdana Menteri Naoto Kan.

Ketua jurucakapnya berkata paras itu sudah sampai peringkat membahayakan kesihatan.

Di Tokyo, pihak berkuasa juga berkata paras radiasi lebih tinggi daripada biasa telah dikesan di ibu kota itu, tetapi belum sampai tahap bahaya.

Encik Kan memberi amaran kepada penduduk yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer di luar satu zon lingkungan penghalang 20 kilometer di sekeliling loji itu supaya jangan keluar rumah.

Kebakaran itu, yang akhirnya dapat dipadamkan dengan bantuan askar Amerika Syarikat, terjadi di reaktor nombor 4 loji itu, bererti empat daripada enam reaktor di loji itu kini bermasalah. Suhu di dua lagi reaktor pula dilaporkan semakin naik.

Paras radiasi di loji itu dan di bandar Tokyo kemudian menurun, kata ketua jurucakap pemerintah, Encik Yukio Edano.

Agensi cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata angin yang bertiup membawa bahan radioaktif ke arah laut, dan 'tidak ada implikasi' bagi Jepun atau negaranegara berdekatan.

Pihak Berkuasa Keselamatan Nuklear Perancis berkata bencana itu kini di paras enam dalam kiraan tujuh mata bagi tahap kehebatan kemalangan nuklear antarabangsa.

Ia yang kedua hebat selepas Chernobyl, di bekas Soviet Union, pada pada 1986.

Krisis itu juga mendorong Russia dan Jerman menilai semula sektor nuklear mereka, dengan Berlin berkata ia mungkin menghentikan tujuh reaktor nuklearnya selama tiga bulan sementara menunggu penyiasatan keselamatan.

Jepun terpaksa juga menghadapi kerosakan amat teruk akibat gempa itu dan tsunami, yang membinasakan daerah besar di pantai timur lautnya.

Angka kematian rasmi kini 2,424 orang, menurut polis, tetapi para pegawai berkata sekurang-kurangnya 10,000 orang mungkin maut.

Lebih 200,000 orang telah dipindahkan dari satu zon penghalang 20 kilometer di sekeliling loji nuklear rosak itu.

Bangunan-bangunan yang menempatkan reaktor 1 dan 3 meletup Sabtu lalu dan kelmarin. Semalam, satu letupan melanda reaktor 2 dan reaktor 4.

Pemerhati nuklear PBB, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), berkata Tokyo telah meminta bantuan pakar selepas gempa itu.

Namun ketua IAEA, Encik Yukiya Amano, cuba menenangkan kebimbangan dunia bahawa keadaan itu boleh mencapai kehebatan tragedi nuklear di Chernobyl. -- AFP.

Tiada ulasan: