Isnin, 21 Mac 2011

kalam Perantau

kalam Perantau


PAS Ganti UMNO, PR Ganti BN?

Posted: 21 Mar 2011 07:09 PM PDT

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Minggu lepas, pada 9hb. Mac, 2011, saya berkesempatan untuk bersembang santai berhubung dengan politik semasa dengan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman di rumahnya. Tujuan asal kerumahnya adalah untuk memberikan komen terhadap buku terbarunya, Catatan Hujung setelah lebih sedekat beliau tidak menulis buku-buku politik.

Satu sahaja komen saya selepas membuat 'speed reading' terhadap buku terbarunya itu, buku Catatan Hujung tersebut sepatutnya diterbitkan oleh unit buku Harakah. Setidak-tidaknya sebagai penghormatan kepada Ketua Pengarang Kumpulan terutamanya menjelang sambutan "Jublee Perak" atau 25 tahun penubuhan Harakah kerana semua tulisan tersebut adalah merupakan kompilasi artikel-artikelnya dalam Harakah.

Petang tersebut dihabiskan dengan bertukar-tukar pandangan terhadap masa depan PAS dalam politik negara…Mampukah PR ganti BN atau setidak-tidaknya PAS Ganti UMNO? Pengamatan Lutfi begitu kritis dan sesetengahnya tidak mampu dihayati oleh pimpinan PAS sendiri. Bacalah sendiri komentarnya dalam harakah.

Tumpuan sembang politik secara santai kami lebih tertumpu kepada peluang PAS memerintah kembali Terengganu pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Saya ada menulis dalam kolum di akhbar Siasah ini beberapa minggu sebelum ini, Analisa Politik Terengganu, Mampukah PAS kembali memerintah ? Saya tidak bercadang untuk memetik kembali apa yang telah saya tulis itu. Boleh dibaca di internet menerusi http://kalamperantau.wordpress.com/2011/02/22/analisa-politik-terengganu-mampukah-pas-kembali-memerintah/

Keghairahan PAS Terengganu untuk kembali memerintah bagi kali ke-3 di negeri ini semakin jelas. Bukan setakat mengadakan taklimat PAS Ganti UMNO sebagaimana yang dicadangkan oleh PAS Pusat, tetapi PAS Terengganu agak ke depan mengambil inisiatif dengan mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat dengan slogan atau tema PAS Ganti UMNO di Kemaman pada 15 dan 16hb. Januari, 2011 telah dihadiri puluhan ribu rakyat terutamanya penyokong-penyokong PAS.

Sebulan kemudian, Dewan Pemuda PAS Terengganu juga mengadakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) di Kuala Nerus pada 12hb. Februari, 2011 juga dihadiri puluhan ribu anak muda. Pada 18 dan 19hb. Mac, 2011 ini, sekali lagi PAS Terengganu akan mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat Terengganu di Besut pula.

Kenapa UMNO perlu ditolak?

Satu pertanyaan yang sedang bermain dibenak rakyat dinegara kita sekarang adalah kenapa perlu tolak UMNO? Bukankah UMNO telah memerdekakan negara dan berkuasa memartabatkan orang Melayu dan islam dengan kuasa politik yang ada pada mereka. Tanpa UMNO hilanglah kuasa Orang Melayu dinegara kita. Betulkah begitu?

Saya tidak bercadang untuk membuat kajian akademik dalam hal ini. Di sini saya memetik dari buku Taklimat Isu-Isu Penerangan Siri ke-2 yang diadakan pada 12hb. Mac, 2011 di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Shah Alam, Selangor.

Sebagai bahan untuk kita berfikir sejenak, apa yang dilakukan oleh UMNO terhadap orang Melayu dan Islam semasa rakyat memberikan kuasa politik memerintah negara kepada mereka selama lebih setengah abad, sejak merdeka pada tahun 1957.

Selepas merdeka, orang Islam adalah 82 %, tetapi setelah 52 tahun merdeka hanya tinggal 50 % lebih sahaja. Kenapa ini terjadi? Itu tidak termasuk lagi pengkhianatan UMNO terhadap agama Islam dengan menghapuskan tulisan jawi, menukarkan hari Jumaat sebagai cuti umum kepada hari Ahad, kecuali di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dalam soal tanah rezab Melayu pula, telah menurun dengan banyaknya. Di Terengganu, 300 ekar tanah Rezab Melayu di Pulau Redang di berikan kepada Vincent Tan. Tanah rezab Melayu yang diambil tidak pernah diganti semula. Pada tahun 1957, ada 3 juta hektar diseluruh negara, tetapi tinggal 1.7 juta hektar pada tahun 1995. Sekarang tak pasti tinggal banyak mana?

Pengkhianatan terbesar UMNO kepada orang Melayu adalah dengan menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew kerana bimbang hilang kuasa politik mereka dinegara ini menyebabkan orang Melayu Singapura merempat ditanahair mereka sendiri.

Daris segi politik pula, UMNO sanggup tidak menambahkan kerusi-kerusi parlimen di negeri-negeri majoriti orang Melayu seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Bukan setakat itu sahaja, UMNO sanggup memberikan kerusi majoriti orang Melayu Islam kepada orang bukan Melayu seperti di Parlimen Gerik, Perak.

Malah UMNO juga sanggup derhaka pada Raja-Raja Melayu jika tidak selari dengan kehendak mereka. Beberapa kali UMNO meminda perlembagaan untuk mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu terutama pada masa pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad, iaitu pada tahun 1983 dan 1993. Tidak cukup dengan itu, mereka sanggup menabalkan Tengku Ibrahim Putra di Ketereh Kelantan pada 29hb. April, 1993 kerana Sultan Ismail Putera dikata campor tangan dalam politik menyebabkan UMNO kalah teruk di Kelantan pada tahun 1990.

Lebih penting lagi, bagi umat Islam UMNO tidak menjadikan hukum Allah (Al Quran/Hadith) sebagai hukum tertinggi negara. Ini bertentangan dengan aqidah Islam dan boleh membawa kepada kerosakan aqidah. UMNO dikatakan menganut faham sekularisma, yakni menganggap agama sebagai perkara peribadi yang tiada kena mengena dengan pengurusan dan pentadbiran.

Disamping itu, UMNO mempunyai nilai akhlak yang membimbangkan. Perjuangannya mementingkan habuan peribadi mengatasi kepentingan awam serta tidak mementingkan dosa dan pahala dalam urusan mereka. Lebih teruk lagi, UMNO mempunyai budaya rasuah yang terlalu parah seperti diakui oleh kepimpinan mereka sendiri.

Paling mendukacitakan adalah menafikan hakikat kenaikan harga barang keperluan rakyak, sebaliknya UMNO boleh bersandiwara dengan mengatakan 'bukan kenaikan tetapi penyelarasan harga'. Ketidak perihatinan kepimpinan UMNO dalam membendung inflasi (kenaikan harga) sehingga membebankan rakyat terutamanya golongan miskin menyebabkan rakyat tidak mempunyai pilihan lain kecuali menolak UMNO dan BN dalam PRU ke-13 nanti.


Tiada ulasan: