Sabtu, 12 Mac 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Rondaan Polis Di Pesisir Pantai Sebagai Langkah Berjaga-Jaga - KPN

Posted: 12 Mar 2011 04:22 AM PST

TVS NEWS


KUALA TERENGGANU : Penduduk terutamanya di kawasan tepi pantai tidak perlu panik dengan langkah polis mengadakan rondaan di pesisiran pantai beberapa negeri susulan kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun semalam.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar berkata langkah itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga dan waspada dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

"Langkah membuat rondaan ini sebagai persediaan agar kita tidak kelam-kabut sekiranya sesuatu bencana, apa saja bencana alam yang mungkin menimpa negara kita.

"Tetapi ingin saya jelaskan bahawa dari segi kajiannya negara kita tidakterjejas daripada insiden ini (kejadian gempa bumi di Jepun) dan saya haraporang ramai tidak panik," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan pemakaian pangkat Pegawai Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah pasukan peronda polis di beberapa negeri bagi memantau sepanjang pesisir pantai negeri berkenaan mulai petang semalam.

Rondaan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga kemungkinan laut bergelora dan ombak besar di kawasan pantai di ekoran gempa bumi kuat dan tsunami yang melanda Jepun.

Beliau berkata polis akan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai apa yang berlaku di Jepun dalam usaha untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Jelasnya, pemantauan polis peronda di kawasan pantai itu akan dijalankan secara berterusan sehingga keadaan pulih. Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan semarak, Kuala Lumpur akan terus digunakan sebagai pusat latihan utamaPolis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ingin saya tekankan, ia masih sesuai dijadikan sebagai pusat latihan utama polis. Ini kerana kita sedia maklum sebelum ini telah beribu-ribu pelatih dilahirkan dari pusat ini.

"Jadi tidak timbul bahawa pusat ini sudah tidak selamat lagi," katanya ketika diminta mengulas mengenai kematian seorang pelatih di situ yang dijangkiti virus 'adenovirus' pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, Ismail berkata, polis akan mengambil langkah-langkah perlu termasuk bekerjasama dengan mana-mana kementerian yang berkaitan agar keselamatan dan kebersihan persekitaran pusat latihan itu bersesuaian dengan keperluan pelatih.

Mercy Malaysia Buat Persiapan Hantar Misi ke Jepun

Posted: 12 Mar 2011 04:12 AM PST

Ditulis oleh nurul fahimah abdul malik



KUALA LUMPUR : Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) meminta Pasukan Penilaian Pantas, Unit Bantuan Kecemasan dan sukarelawannya bersiap sedia menghadapi kemungkinan dihantar ke Jepun untuk memberi bantuan berikutan kejadian gempa bumi dan tsunami yang berlaku semalam.

Presidennya Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus hari ini berkata sekiranya penghantaran perlu dibuat, Pasukan Penilaian Pantas Mercy Malaysia akan membuat penilaian di lapangan untuk mengenal pasti bantuan yang diperlukan di kawasan terjejas.

"Kami bekerjasama rapat dengan Kedutaan Jepun di sini dan sering berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Tokyo," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau juga melahirkan perasaan dukacita Mercy Malaysia tentang kemalangan jiwa akibat gempa bumi dan tsunami itu serta mengucapkan simpati kepada keluarga terlibat.

Gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter menggegarkan Jepun tengah hari semalam dan menyebabkan wilayah timur laut negara itu dilanda tsunami setinggi 10 meter. Setakat ini, sekurang kurangnya 1,000 orang dilaporkan maut akibat bencana alam itu.

Ku Li Tolak Memoir Tun Mahathir Sebagai Tidak Jujur

Posted: 12 Mar 2011 03:35 AM PST

TVS NEWS



IPOH : Tengku Razaleigh Hamzah menggunakan peluang pada pelancaran sebuah buku di Ipoh, Perak, malam semalam bagi membuat kecaman ke atas buku memoir Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya sebagai "menipu secara politik".

Dalam memuji "kejujuran intelektual" Professor Wang Gangwu yang dilahirkan di Surabaya tetapi dibesarkan di Ipoh semasa pelancaran buku bahasa Mandarinnya berjudul 'Junzi', Tengku Razaleigh berkata negara kini kekurangan kualiti dalam persekitaran politik lapor Malaysiakini.

"Ini adalah komoditi yang sukar diperolehi hari ini, khususnya dalam persekitaran politik yang dihadapi di Malaysia hari ini di mana menipu secara politik kian menular," katanya.

Kecaman Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang semakin pedas apabila beliau menyentuh buku memoir Mahathir 'A Doctor in the House', yang dilancarkan di Kuala Lumpur awal minggu ini.

"Menipu secara politik datang melalui media dan ada kalanya dengan menulis buku memoir. Satu daripadanya adalah yang terbaru dilancarkan dengan tajuk pseudo (awalan asing palsu), 'A Doctor in the House'.

"Saya gunakan 'pseudo' kerana ia adalah tiruan tajuk daripada sebuah filem komedi British yang terkenal pada 1950an berdasarkan novel Richard Gordon. Mungkin ia disengajakan bagi mencerminkan lawak, selain menipu secara politik, kata Tengku Razaleigh secara sinis.

Menurutnya, dakwaan yang dilemparkan oleh Mahathir dalam buku tersebut ke atas dirinya bukan sesuatu perkara baru.

"Sekali lagi, saya dituduh mengheret parti (Umno) ke mahkamah. Saya juga didakwa terbabit dengan politik wang semasa bertanding pada pemilihan parti 1987," kata Tengku Razaleigh.

NGO Bimbang Pusat Pemprosesan 'Tanah Jarang' Ancam Penduduk

Posted: 12 Mar 2011 03:34 AM PST

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Dua pertubuhan bukan kerajaan secara terbuka meluahkan bantahan mereka berhubung tindakan kerajaan meluluskan pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia, di Gebeng, Kuantan.

Sehubungan itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak kerajaan supaya segera membatalkan projek berkenaan lapor Malaysiakini.

"... amat khuatir dengan keputusan kerajaan negeri Pahang untuk meneruskan dengan cadangan kilang nadir bumi di Gebeng di sebalik hakikat bahawa kilang ini hanya menanti bencana untuk berlaku.

"Berdasarkan kepada semua risiko ini, adakah kerajaan bersedia untuk mengorbankan nyawa demi untuk mendapatkan keuntungan?" soal presiden dua pertubuhan itu, SM Mohamed Idris.

Menurutnya, SAM pada 2007 telah dijemput oleh kerajaan Terengganu untuk memberikan taklimat mengenai bahaya nadir bumi berdasarkan pengalamannya menangani pendedahan sisa radioaktif di Bukit Merah, Perak.

"Berikutan itu, projek berkenaan telah ditolak oleh kerajaan Terengganu.

"Dalam tempoh tiga tahun lalu, CAP dan SAM membantah dengan bersungguh-sunguh cadangan kilang nadir bumi memandangkan potensinya kepada kesan alam sekitar dan kesihatan awam daripada radioaktif dan sisa berbahaya yang dihasilkan olehnya," katanya.

Mohamed Idris juga mempertikaikan tindakan kerajaan BN yang membisu berhubung projek bernilai RM700 juta itu. Katanya, lebih membimbangkan projek pemprosesan tanah jarang itu tidak memerlukan penilaian kesan alam sekitar lengkap.

"Penilaian kesan alam sekitar lengkap tidak diperlukan memandangkan terdapat kelemahan dalam undang-undang kita. Oleh itu tidak terdapat sebarang ruang bagi orang ramai untuk meneliti cadangan langkah pencegahan dan potensi risiko dan mengemukakan bantahan mereka.

"Syarikat itu menyatakan terdapat pendedahan paras rendah kepada radiasi. Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan tidak terdapat paras selamat atau nilai ambang pendedahan radiasi pengionan.

"Jangka panjang, pendedahan paras rendah (kronik) kepada radiasi amat berbahaya kerana tisu hidup dalam tubuh boleh mengalami kerosakan oleh radiasi pengionan," katanya.

Menurut Mohamed Idris, pendedahan kepada sisa radioaktif boleh menyumbang kepada peningkatan insiden leukaemia awal kanak-kanak, kanser, keguguran, mencacatkan system imun dengan bilangan sel darah putih rendah yang luar biasa, paras plumbum yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang boleh membawa kepada keracunan plumbum.

"Kanak-kanak lebih mudah terjejas kepada kesan bahaya bencana radiasi berbanding penduduk umum kerana tubuh mereka menyerap dan memetabolismekan bahan secara berbeza, dan kerana mereka lebih cenderung mendapat kanser tertentu daripada pendedahan itu.

"Terdapat juga kemungkinan yang tinggi bahawa kanak-kanak yang lahir daripada ibu bapa yang terdedah kepada radiasi boleh terjejas oleh pendedahan itu juga," katanya.

Menurutnya, isu lain yang dikhuatirkan ialah tidak terdapat cara yang selamat untuk melupuskan sisa yang dijana daripada loji penapisan itu.

Justeru, kerajaan kata Mohamed Idris perlu menjawab sama ada mereka bersedia mengorbankan nyawa rakyat demi mendapatkan keuntungan.

72 Keluarga Di Kemensah Lega Terima Kunci Rumah

Posted: 12 Mar 2011 03:30 AM PST

TVS NEWS

HULU KELANG : Seramai 72 keluarga di Kampung Kemensah Hilir kini boleh menarik nafas lega apabila projek perumahan Rumah Bandar Bukit Kemensah Indah siap sepenuhnya dan boleh didiami dalam masa terdekat.

Majlis Penyerahan Kunci Rumah "Town House" yang diadakan pada Sabtu, dimana mereka daripada penempatan asal akhirnya menerima kunci kediaman masing-masing.

Projek perumahan yang merangkumi blok A, B, C dan D, masing-masing mempunyai keluasan 850 kaki persegi dan bernilai RM50, 000 setiap unit.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad dalam ucapannya berkata, projek rumah bandar tersebut benar-benar memenuhi hasrat dan citarasa penduduk untuk memiliki penampatan yang diidamkan.

Iskandar menjelaskan, kerajaan Selangor akan terus berusaha mengurangkan bilangan setinggan di negeri itu untuk membebaskan mereka daripada kitaran kemiskinan dan jaminan hak asasi rakyat bagi mendapatkan kediaman yang selesa.

"Kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat sentiasa serius dan mengambil berat hal ehwal kebajikan peneroka bandar Selangor terutama dari penyediaan perumahan yang mencukupi, berkualiti, selesa, teratur dan mampu disewa serta dibeli termasuk kemudahan-kemudahan asas yang lain. Matlamatnya adalah supaya dapat memperbaiki taraf fidup rakyat dan bekas peneroka agar tidak memberi imej buruk kepada kerajaan negeri sejajar dengan kesempatan pembangunan negara," katanya.

Ujar Iskandar lagi, program tersebut dicetus bagi memperbaiki keadaan tempat tinggal peneroka bandar yang kebiasannya mengalami masalah kesesakan, tidak selesa dan tidak mempunyai kemudahan asas serta infrastruktur.

"Kejayaan terbesar negeri Selangor adalah apabila berjaya mengharamkan penggunaan Ordinan Darurat yang menjadi mimpi ngeri peneroka bandar dan penduduk Selangor yang sebelum ini telah meratah dan memupuskan banyak kawasan peneroka bandar. Projek perumahan yang telah bermula sejak tahun 2000 ini dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri untuk memajukan tanah tersebut dan menyediakan penempatan selesa serta lengkap dengan kemudahan tersusun serta terancang," katanya.

Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), anak syarikat kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama Perspektif Masa Sdn Bhd (PMSB) dipertanggungjawabkan untuk menempatkan semula penduduk-penduduk asal Kampung Kemensah Hilir menerusi Program Penempatan Semula Setinggan Negeri Selangor.

Pembangunan projek perumahan yang meliputi kawasan tanah seluas 15.6 ekar ini bakal dibangunkan dengan komponen-komponen lain secara berfasa, antaranya rumah teres, rumah kelab dan dewan.

Majlis penyerahan kunci kediaman tersebut diserahkan Iskandar Samad sambil disaksikan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Haji Ahmad Omar serta Pengerusi PMSB, Datuk Samad Maharuddin.

Sementara itu, wakil penduduk Kemensah Hilir, Abdul Rapar Ujud meluahkan rasa gembiranya apabila kerajaan negeri berjaya menyelesaikan projek perumahan yang terbengkalai sejak sekian lama.

"Saya berasa gembira kerana rumah dh siap sepenuhnya tetapi masih ada rumah yang belum mempunyai bekalan elektrik. Dijangka Isnin nanti bekalan elektrik akan lengkap sepenuhnya dan boleh didiami," katanya.

Bagi Mimah Tokiran, beliau juga turut mempunyai pendapat sama dan benar-benar menghargai keprihatinan kerajaan negeri Selangor dalam memastikan kebajikan serta keselesaan rakyat terpelihara.

"Makcik berasa gembira dan senang hati apabila menerima kunci ini. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana akhirnya berjaya juga menyiapkan projek perumahan ini setelah lebih enam tahun menunggu," katanya.

Pasangan suami isteri, Azizah Abdul Hamid dan Basri Osman, masing-masing berasa teruja untuk mendiami kediaman baru yang telahpun siap sepenuhnya.

"Saya berasa bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak-pihak terlibat yang memantau projek perumahan ini. Jadi, saya amat berbangga dan berbesar hati mendapat rumah yang tidak jauh dari Kuala Lumpur.

"Ini sebagai satu hadiah buat kami kerana saya sudahpun bersara dan akan menetap di sini," katanya.

Balik Estet : Cadangan Presiden MIC Ditentang Pimpinan PR

Posted: 12 Mar 2011 03:29 AM PST

Ditulis oleh Radzi Razak



IPOH : Cadangan Presiden MIC Datuk G Palanivel supaya masyarakat India yang berpendapatan RM 500 agar kembali semula ke estet mendapat tentangan dari pemimpin Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran menyatakan cadangan yang diberikan adalah cadangan sementara yang tak masuk akal kerana tidak mengambil kira pergerakan rakyat untuk berpindah randah.

"Dia membuat kenyataan atas pendirian apa pun saya tak faham bahawa masyarakat sekarang di estet mendapat pendapatan sebanyak sekurang kurangnya RM 1500 seorang dan ada kemudahan rumah, air, elektrik dan pelbagai kemudahan yang lain. Beliau berkata itu adalah cadangan sementara waktu. Apa yang dicadangkan oleh Palanivel itu tidak boleh diterima," katanya.

Ahad lalu, Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menerima kritikan pelbagai pihak dalam masyarakat India, termasuk Ketua Pemuda MIC T Mohan.

Palanivel berkata cadangan beliau itu ditujukan kepada mereka yang termasuk dalam golongan tersebut, khususnya mereka yang tinggal berhampiran ladang milik syarikat berkaitan kerajaan seperti Sime Darby.

Katanya pada musim tuaian dan menoreh yang baik, pasangan suami isteri yang bekerja mampu meraih pendapatan sekitar RM1,500 atau lebih.

Justeru Kulasegaran mahu perkara ini juga akan dibangkitkan beliau pada sidang parlimen akan datang di mana beliau juga akan memperlihatkan sepuluh lagi persoalan di parlimen akan datang seperti ketidak adilan dalam pemberian bantuan kewangan, statistik masyarakat miskin yang masih banyak di Malaysia, jenayah yang semakin tinggi,dan isu ramai masyarakat yang masih tidak mempunyai sijil kelahiranr

Selain itu perkara yang akan dibangkitkan juga berkaitan mengapa indeks dan statistik yang diberikan kerajaan selalunya tidak tepat dan melambangkan Kerajaan Persekutuan dilihat tidak adil dan telus dalam merangka gaji permulaan di sektor kerajaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungkai A Sivanesan turut membidas kenyataan tidak bertanggunjawab Palanivel itu.

"Palanivel dalam tempoh semunggu membuat dua kenyataan dalam isu sama. Pertama, dia minta India di bandar jika pendapatan kuran RM 500 dinasihatikan balik ke estet dan mereka boleh dapat rumah, air dan elektrik percuma dan kedua, dia kata pekerja ester menikmati gaji minimum RM 700 sebulan, ini tidak benar," ujar Siva.

Anwar : Halang MP Masuk Sarawak Persis Regim Mubarak

Posted: 12 Mar 2011 03:27 AM PST

TVS NEWS



KUCHING : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Ketua Menteri Sarawak,Tan Sri Taib Mahmud yang melarang Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa daripada memasuki Sarawak awal pagi tadi.

Katanya lagi ini merupakan salah satu contoh pemerintahan kuku besi persis pemerintahan Mesir di bawah regim Mubarak.

"Ini stail Mubarak bawah Mesir, kalau masyarakat Sarawak, Malaysia dan luar negara nak tahu apa erti sistem kuku besi, kerajaan autokratik, salah guna kuasa inilah contohnya," ujar Anwar.

Beliau juga menyifatkan Malaysia terutamanya negeri Sarawak, masih berada dalam kongkongan pemerintah yang bersifat kuku besi, di mana prinsip kebebasan tidak didokong dalam negara ini.

"Dan ini menunjukkan bahawa Malaysia khususnya di Sarawak masih ditahap dan dianggap negara yang belum maju dari segi kebebasan dan demokrasi dan masih tertakluk kepada sistem keras kuku besi seperti Ben Ali, Mubarak, dan At Taffi," katanya,

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen PKR di Sarawak.

Pagi tadi Sivarasa dilarang daripada memasuki Sarawak setibanya beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kucing.

Beliau yang tidak dibenarkan masuk tanpa alasan yang kukuh diberikan dan hanya arahan yang dikeluarkan oleh pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Sebelum ini, pada tahun 2009 Sivarasa juga tidak dibenarkan masuk ke negeri tersebut .

MP PKR Subang dilarang masuk Sarawak

Posted: 12 Mar 2011 03:25 AM PST



KUALA LUMPUR — Pemimpin PKR R. Sivarasa dihalang daripada memasuki Sarawak hari ini, didakwa atas arahan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Bekas naib presiden PKR itu ditahan di lapangan terbang Kuching kira-kira 10.10 pagi ini oleh pegawai-pegawai imigresen.

Ini kali kedua Sivarasa dilarang memasuki Sarawak.

Beliau juga dilarang pada 2009 dan dihantar balik ke Kuala Lumpur.

Dalam mesej menerusi akaun Twitter tadi, Sivarasa berkata beliau berada di Kuching untuk menghadiri konvensyen PKR negeri yang merupakan aktiviti politik yang sah.

Ahli Parlimen Subang itu menaiki pesawat bersama Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar, isterinya Sheila dan seorang kakitangan bernama Razak.

Kesemua mereka dibenarkan masuk kecuali beliau.

Dalam mesej susulan, Sivarasa berkata, "pegawai imigresen En Mehuen mengesahkan saya dilarang memasuki Sarawak atas arahan Ketua Menteri. Saya akan dihantar balik ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan seterusnya."

Beliau diberikan notis rasmi berhubung keputusan melarangnya memasuki Kuching dan diiringi anggota keselamatan ke Kuala Lumpur.

Sivarasa juga berkata tiada sebab diberikan berhubung keputusan melarangnya memasuki Sarawak kecuali mengatakan ia arahan pejabat Ketua Menteri.

Bekas Pesuruhjaya Suhakam tubuh persatuan

Posted: 12 Mar 2011 03:23 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Bekas Pesuruhjaya-pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah menubuhkan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) yang dipengerusikan Tan Sri Simon Sipaun.

PROHAM melantik Prof Datuk Hamdan Adnan sebagai timbalan pengerusi, Datuk Michael Yeoh (setiausaha), Datuk N.Siva Subramaniam (penolong setiausaha), Datuk Dr Chiam Heng Keng (bendahari) manakala Datuk Karam Chand Vohrah dan Datuk Dr Denison Jayasooria sebagai anggota jawatankuasa.

Menurut satu kenyataan daripada PROHAM, persatuan itu akan dilancarkan pada 21 Mac diikuti satu perbincangan meja bulat mengenai Konvensyen Bangsa Bersatu mengenai penghapusan diskrimasi kaum sempena dengan Hari Antarabangsa mengenai penghapusan diskriminasi kaum.

Moderator bagi panel meja bulat ini ialah Yeoh dan anggota panel terdiri daripada Prof Hamdan, Dr Chiam and Dr Denison.

Malaysia hantar Pasukan Smart ke Jepun, kata Najib

Posted: 12 Mar 2011 03:21 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


PEKAN — Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) untuk membantu usaha menyelamat mangsa-mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pasukan berkenaan yang terdiri daripada 15 anggota serta beberapa orang doktor dan pembantu perubatan akan berlepas pada 6 petang ini dengan dua buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia.

"Sebagai tanda simpati dan sokongan kita kepada kerajaan dan rakyat Jepun, kerajaan Malaysia akan menghantar Smart Team kita untuk membantu usaha menyelamat mangsa-mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kampus Universiti Malaysia Pahang Pekan di sini hari ini.

Beliau (gambar) berkata enam ekor anjing pengesan akan turut dihantar bagi mengesan sekiranya terdapat mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.

Mengenai keadaan rakyat Malaysia di negara tersebut, Najib berkata kesemua mereka terselamat daripada bencana itu.

Pegawai Mara dihantar ke Jepun pantau keadaan pelajar

Posted: 12 Mar 2011 03:16 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Para pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) sudah dihantar ke Jepun untuk memantau keadaan 207 pelajar tajaannya yang kebanyakannya mengikuti kursus kejuruteraan dan elektrikal.

"Kita maklumkan kepada Wisma Putra dan kedutaan (Malaysia) di Jepun tentang pelajar kita. Saya difahamkan mereka dalam keadaan selamat dan ibu bapa jangan bimbang.

"Saya yakin Jepun cukup bersedia untuk berhadapan dengan mala petaka seumpama ini," kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Mara peringkat kebangsaan ke-12 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari.

Beliau berkata daripada 207 pelajar berkenaan, sejumlah 131 orang belajar di Tokyo dalam kursus kejuruteraan dan eletrikal.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pulang pelajar sekiranya keadaan gempa bumi yang melanda Jepun bertambah buruk.

Mengenai penghantaran pelajar seterusnya ke Jepun, Shafie berkata Mara akan tetap menghantar 84 pelajar termasuk 50 orang yang mengikuti pengajian di universiti di sekitar Tokyo pada 19 dan 20 Mac ini.

Gempa bumi kuat bermagnitud 8.9 pada skala Richter melanda Pantai Honshu, Jepun pada 1.46 petang semalam menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban.

Ahli Majlis PBT di Selangor diberi kuiz sebelum dilantik semula: Abdul Khalid

Posted: 12 Mar 2011 03:15 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA SELANGOR – Semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Selangor akan diberi soalan kuiz sebagai penilaian sebelum dilantik semula selepas tempoh perkhidmatan mereka selama tiga tahun tamat akhir tahun ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kuiz tersebut akan berkisar mengenai ''apa dan siapa'' di zon masing-masing seperti nama pengerusi jawatankuasa penduduk atau wakil taman di kawasan itu.

"Ia merupakan masalah sekiranya Ahli Majlis PBT tidak mengenali wakil penduduk di kawasan masing-masing," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Zon Bersih Majlis Daerah Kuala Selangor 2011 di Taman Chempakasari, Ijok, dekat sini, hari ini.

Katanya kerajaan negeri akan mula memantau dan menilai prestasi semua Ahli Majlis PBT pada Mei dan Jun ini sebelum tempoh perkhidmatan mereka tamat akhir tahun ini. – Bernama

Kapal Selam KD Tunku Abdul Rahman Akhirnya Menyelam

Posted: 11 Mar 2011 04:39 PM PST

Staff Berita Semasa

4776640499 edd2ed252b Kapal Selam KD Tunku Abdul Rahman Akhirnya Menyelam

Setelah bermacam-macam masalah dan kontorversi yang terpalit pada aset pertahanan negara ini, akhirnya kapal selam KD Tunku Abdul Rahman telah dapat menyelam dengan kedalaman maksimum, yang turut dinaiki Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.Kenyataan akhbar di bawah.

KOTA KINABALU – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berpuas hati dengan prestasi dan keupayaan angkatan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengendalikan KD Tunku Abdul Rahman, kata Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar semalam.

Seri Paduka yang menaiki KD Tunku Abdul Rahman semasa kapal itu menyelam pada kedalaman maksimum operasi di Laut China Selatan memuji keupayaan kapal selam berkenaan untuk berada pada tahap kesiagaan yang tinggi.

"Dengan penyelaman yang disertai oleh Tuanku, ini jelas menyangkal tohmahan dan juga kenyataan negatif yang menyatakan kapal selam negara tidak boleh belayar dan tidak boleh menyelam.

"Dalam konteks kapal selam ini, sekali lagi saya mengatakan bahawa kedua-dua kapal selam milik negara iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak adalah dalam keadaan yang baik dan beroperasi pada tahap optimum," katanya selepas keberangkatan balik Seri Paduka Baginda di sini.

Jadi, selepas dah boleh beroperasi ini, harapnya agar pembelian 2 kapal selam iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak dapat meningkat pertahanan negara dari ancaman negara luar. Kami menyokong sepenuhnya sekiranya setiap pembelian aset pertahan negara, digunakan dengan bijak dan juga dapat memastikan tanah air kita sentiasa selamat.

 Kapal Selam KD Tunku Abdul Rahman Akhirnya Menyelam

Tahniah juga kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang turut sama dalam memastikan aset negara tersebut dalam keadaan yang optimum serta mampu menjalankan tugas.

Pengusaha warung temui ayam berkaki empat

Posted: 11 Mar 2011 04:35 PM PST

Elissa Helmy

Pengusaha sebuah warung di Jalan Solok Gaung, kampung Bukit Lintang, Melaka hari ini terkejut apabila menemui seekor anak ayam mempunyai empat kaki.

Anak ayam berkenaan didakwa baru sahaja beberapa hari menetas dan ditemui di dalam sebuah longkang yang letaknya tidak sampai 10 meter dari warung berkenaan.

NONEMenurut pengusaha warung terbabit, Md Sharif Abu, 67, dia pada mulanya cuba menyelamatkan anak ayam berkenaan daripada dihanyutkan air longkang yang ketika itu mengalir deras berikutan hujan.

Namun, bagaimanapun, katanya, setelah dibawa ke warung, baru disedari rupa-rupanya ia memiliki sifat yang pelik apabila berkaki empat.

"Ketika itu warung saya terdapat kira-kira enam orang pelanggan dan mereka pun terkejut apabila anak ayam yang saya temui berkaki empat.

"Asalnya ayam ini bersama ibunya dengan beberapa ekor anak ayam lain berjalan-jalan untuk mencari makanan sebelum salah seekor darinya terjatuh ke dalam longkang yang mempunyai kedalaman kira-kira 0.5 meter," katanya ketika ditemui di warung berkenaan hari ini.

Sangkar khas

Md Sharif berkata, dia bersetuju untuk menyerahkan ayam istimewa berkenaan kepada salah seorang pelanggannya, Osman Ab Majid, 53, iaitu seorang pesara tentera.

NONEMenurut Osman, ayam berkenaan disifatkan amat istimewa dan akan dijaganya dengan baik serta beliau berjanji akan menyediakan sebuah sangkar khas tempat anak ayam berkenaan.

Katanya, seumur hidupnya inilah kali pertama dia menemui ayam berkaki empat.

"Saya akan jaga dia kerana setahu saya sekiranya dibiarkan bersama ibunya dalam keadaan bersepah pasti ia akan mati. Ini kerana ayam ini adalah ayam liar dan tiada pemiliknya.

"Bagaimanapun, saya sedar untuk jaga anak ayam ini amat sensitif kerana ia mudah mati kalau tidak berhati-hati," katanya.

Jelas Osman, beliau bersedia berbincang dari segi harganya sekiranya ada pihak yang berminat untuk membelinya.

Orang Melayu dan Palestin sama sahaja?

Posted: 11 Mar 2011 04:34 PM PST

Ahmad Rostam Md Zin


Terbaca sebahagian dari petikan-petikan yang terdapat di dalam buku Dr Mahathir yang terbaru di dalam Malaysian Insider dan saya terasa terpanggil untuk sama mengulas kenyataan beliau tersebut dalam perspektif saya sendiri sebagai seorang Melayu walaupun pada pandangan saya Islam itu lebih penting dari bangsa saya sendiri. Apalah sangat jika saya nak banggakan dengan Melayu saya ini kerana di dalam susur keturunan saya adanya darah orang Melayu Minang, Orang asli, Cina Peranakan, Tamil dan Sinhalese (Ceylonese).

Percampuran darah yang bermacam-macam itulah yang lebih membanggakan saya kerana nenek moyang saya telah membuktikan bahawa bangsa itu bukan masalah tetapi kepelbagaian itu membawa kebahagiaan pula. Saya juga berbangga kerana arwah datuk saya boleh bercakap lebih dari 5 bahasa kerana luasnya percampuran beliau dan ini tidak mungkin berlaku jika datuk saya seorang rasis seperti sebahagian orang Melayu sekarang.

Mungkin jika kita selak balik sejarah bagaimana negara ini ditubuhkan mungkin kita boleh berjumpa di mana punca menjadi terlalu rasis dan kadang-kadang perasaan tidak percaya pada bangsa lain itu terus tersemai dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Tradisi pengklasifikasi ikut bangsa ini adalah peninggalan dari penjajah kita dan ia disambung terus oleh parti pemerintah dari semenjak merdeka lagi.

Dengan membezakan bangsa inilah bangsa penjajah berjaya memerintah negara kita dengan aman dan inilah juga pemerintah kita sekarang boleh kekal berkuasa. Dari masa ke semasa api perkauman disemarak dan dibakar secara halus ke dalam hati-hati setiap warga bangsa oleh parti-parti yang berjuang kononnnya demi bangsa. Si Melayu diapi supaya jangan percaya si cina, si cina ditakutkan dengan si Melayu, si india pula dihasut membenci Melayu dan begitulah seterusnya sehingga sedikit sebanyak walau bagaimana kita cuba untuk tidak rasis, kita juga ada kecenderungan untuk berkelakuan begitu.

Saya selalu berjumpa dengan orang-orang yang begitu rasis sehingga saya takut dengan mereka. Takut kerana orang-orang inilah yang bila-bila masa akan memporak-perandakan negara kita pada bila-bila masa. Mana mungkin kita boleh hidup aman bergandingan tangan sekiranya kawan kita yang berlainan warna kulit dituduh sebagai pengkhianat negara, oportunis, zalim dan sebagainya? Mana mungkin saya boleh duduk diam dan tidak berasa apa-apa. Sudah pasti jika saya tidak berfikir dan telan sahaja apa yang dihamburkan saya juga akan jadi rasis seperti mereka.

Apabila Dr Mahathir menyatakan orang Melayu sama seperti orang Palestin. Nasionalis sehingga tahap rasis tetapi gagal menahan diri dari tarikan duit, saya tidak dapat elak dari menggambarkan puak tertentu sebagai orang Melayu yang dimaksudkan. Di peringkat akar umbi cerita pasal pemimpin Melayu menjadi kaya dengan menjual tanah Melayu kepada bangsa lain bukanlah sesuatu yang pelik dan mereka inilah juga golongan nasionalis dan rasis yang dimaksudkan. Saya menganggap kenyataan ini sebagai sindiran kepada orang bawahannya dahulu dan bukan kepada umum.

Merekalah orang-orang yang bertanggungjawab menghilangkan banyak hak milik Melayu kepada orang lain dengan cara yang tidak adil demi memenuhi kehendak nafsu mereka dan mereka jugalah orang yang sama melolong dan menghasut supaya orang melayu jangan percaya bangsa lain. Orang-orang lidah bercabang inilah juga yang menyebabkan Melayu tiada kuasa membeli seperti bangsa lain dan mana mungkin orang Melayu bawahan mampu menahan diri dari menjual harta mereka jika desakan hidup lebih dahsyat dari nilai sebidang tanah.

Kenyataan ini seolah-olah sebagai satu sindiran yang amat tajam kepada 'rakannya' sendiri dan sepatutnya mereka tersedar bahawa merekalah sebenarnya keparat yang memundurkan Melayu lebih jauh lagi. Ini semua puncanya bila agama tidak dibawa seiring dalam perjuangan. Bila perjuangan berdasarkan akal maka akal akhirnya akan dipengaruhi nafsu. Dan nafsu pastinya lebih hebat bila disaji dengan pelbagai kemewahan yang terhidang.

Bila agama diletak di surau, di masjid, di istana dan di jabatan agama, inilah hasilnya. Kemewahan menjadi tidak seimbang, yang kaya terus kaya, yang miskin terus melarat. Si kaya sembelih si miskin dengan harta yang tidak seberapa dan kemudiannya 'disedekah' pada rakan kongsi pelbagai bangsa yang sangatlah intim. Sedangkan pada masa yang sama sikaya berkuasa ini menghasut si miskin supaya terus benci bangsa lain dan mengkambinghitamkan mereka terus-terusan.

Terfikir, betapa mudahnya orang kita diperbodoh-bodohkan dan diperguna mengikut citarasa mereka. Walau tidak adil pun ia kelihatan, tetapi inilah hakikat masyarakat kita tidak kira bangsa. Keakraban hanya pada permukaan tetapi di dasar penuh dengan ketidakpercayaan, kebencian, hasad dan segala nafsu buruk yang tenggelam timbul mengikut arus semasa.

Dan modal inilah juga sebenarnya sumber mengekalkan kemenangan warga pemerintah dengan permainan sentimen perkauman mereka seperti juga perangai penjajah-penjajah kita.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

PAS mahu guru sandaran lebih terjamin

Posted: 11 Mar 2011 04:33 PM PST

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) mahu Kementerian Pelajaran serius dalam memastikan masa depan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) lebih terjamin.

Beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, meskipun guru-guru sandaran ini tidak menerima latihan secara formal dalam bidang pendidikan, namun mereka mempunyai pengalaman yang berguna untuk menjadi guru tetap.

"GSTT ini walaupun mereka tidak terlatih tetapi mempunyai pengalaman. Adakah kementerian bersedia memberikan keutamaan kepada GSTT memohon untuk memasuki maktab perguruan dan mempunyai diploma dalam bidang tersebut dan ada di antara mereka memang berminat menjadi guru," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Salahuddin dalam soalan asalnya meminta Menteri Pelajaran menyatakan pendirian kerajaan terhadap nasib guru-guru sandaran di negara ini serta jumlahnya.

Beliau juga ingin tahu jaminan kerajaan terhadap masa depan mereka.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, Kementerian Pelajaran Malaysia sedang meneliti dan memuktamadkan kedudukan GSTT dalam tempoh terdekat agar pengalaman dan keupayaan guru-guru ini dapat dimanfaatkan dan seterusnya memberi peluang kepada mereka menjadi guru terlatih.

PAS mahu tempoh berkempen 3 minggu

Posted: 11 Mar 2011 04:32 PM PST

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: PAS dengan tegas tidak bersetuju dengan cadangan SPR untuk mengenakan peraturan baru berkempen hanya selama 7 hari sahaja bagi pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sebaliknya, PAS mendesak agar tempoh kempen pilihan raya diadakan sehingga tiga minggu atau paling kurang dua minggu seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli menegaskan, dengan tempoh kempen sependek itu, pihak pembangkang tentunya tidak dapat melakukan persiapan yang sewajarnya dan ia jelas akan memberikan keuntungan kepada BN.

Menurut beliau, dengan itu juga akan menyaksikan ketidakadilan SPR sebagai badan bebas dalam mengendalikan pilihanraya di negara ini akan lebih ketara, setelah ia dipersoalkan oleh pelbagai pihak dalam pelbagai aspek.

Katanya, oleh itu, beliau berharap agar pihak SPR akan melihat perkara itu dengan lebih jauh dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk rasional atau tidaknya apa yang hendak dilakukan itu dari sudut keadilan dan perjalanan demokrasi.

"Pilihanraya negeri Sarawak itu juga penting bagi PAS dan Pakatan Rakyat. Kalau diadakan dalam masa yang dekat, ini boleh dijadikan ukuran bagi kekuatan kita," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Mengenai alasan SPR yang mengatakan untuk melaksanakan tempoh kempen sependek itu bagi menghalang provokasi dari pihak pembangkang, beliau menegaskan, dakwaan itu ternyata tidak berasas.

"Yang cetuskan provokasi bukan pihak pembangkang, tetapi pihak Umno atau BN sendiri. Kalaulah pula penduduk di kawasan itu yang baling batu, itu bukan perbuatan pihak pembangkang, tetapi penduduk di kawasan itu yang melakukannya atas sebab-sebab tertentu yang dilakukan oleh penduduk di kawasan itu.

"Jadi, tak bolehlah itu yang dijadikan alasannya. Tetapi tentu ada sebab-sebab lain yang bertujuan untuk memberikan keuntungan atau kemenangan kepada BN," katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan tindakan SPR dalam melaksanakan undi pos yang kini semakin bertambah, apabila isteri-isteri tentera pula turut diberikan peluang untuk membuang undi secara pos.

"Ini macam cabar kita (pihak pembangkang) pula. Ketika kita sedang menuntut supaya dikurangkan undi pos, isteri-isteri tentera pula boleh undi pos. Ini jelas satu ancaman pada pilihanraya di negara ini," tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan SPR yang melarang parti-parti bertanding mengadakan pondok panas dan pemasangan bendera parti pada kenderaan ketika hari mengundi.

"Sebenarnya yang menyebabkan SPR melarang diadakan pondok panas itu kerana ia merugikan Umno BN. Dulu pondok panas itu merupakan tempat Umno BN mengumpulkan kekuatan. Tetapi apabila pondok panas itu bertukar kepada tempat PAS, Pakatan Rakyat atau pihak pembangkang pula mengumpulkan kekuatan, pondok panas terus ditiadakan oleh SPR.

"Sebagai gantinya, SPR pula yang ada barun (pondok panas). Pada hal SPR tak perlu ada barun. SPR badan yang mengendalikan pilihanraya. Parti-parti bertandinglah yang patut ada barun. Tetapi kenapa pula SPR yang ada barun, kita pula tak dibenarkan buat barun?" katanya.

Kini, apa yang berlaku menyebabkan SPR semakin menyimpang dari tanggungjawabnya yang sebenar. Beliau berharap agar SPR memandang perkara itu dengan lebih jauh bagi perjalanan pilihanraya yang adil di negara ini.

Guru di Bachok dipaksa isi borang Umno?

Posted: 11 Mar 2011 04:30 PM PST

Harakahdaily

BACHOK: Guru-guru yang mengajar di jajahan ini didakwa diwajibkan mengisi borang Umno.

Harakahdaily difahamkan, mereka yang menyokong PAS juga diugut akan ditukarkan ke Hulu Kelantan jika terus berpendirian demikian.

Menurut seorang pengunjung di dalam emelnya kepada Harakahdaily memaklumkan pelbagai tekanan yang dikenakan kepada guru yang menyokong PAS.

Guru-guru juga, katanya dipaksa menghadiri ceramah politik pemimpin Umno.

"Mereka ingat guru-guru boleh diperbodoh dan diperkudakan. Kami akan bertindak dalam senyap kesan dari tekanan yang mereka berikan," tulisnya lagi.

PAS hulur sumbangan, bantu pelajar Malaysia di Mesir

Posted: 11 Mar 2011 04:27 PM PST

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Seramai 200 orang pelajar Malaysia di Mesir termasuk ahli keluarga mereka yang tidak pulang ke tanah air ketika pergolakan di negara itu baru-baru ini telah menerima bantuan dari PAS.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, sempena lawatan singkatnya ke Mesir baru-baru ini.

Menurut Syed Azman, beliau telah mengambil kesempatan melawat pelajar-pelajar Malaysia di bandar Cairo dan Iskandariah yang tidak mengikuti misi menyelamat ops piramid yang dibuat kerajaan baru-baru ini.

Katanya, bantuan tersebut berupa sedikit wang dari dana Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) yang dihulurkan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan.

"Sempena kunjungan itu, saya turut meluangkan sedikit masa untuk beramah mesra dengan mereka, di samping meninjau keadaan terkini mereka di sana," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini.

Sumbangan tersebut menurutnya, telah diterima wakil pelajar Malaysia di Mesir dan mereka merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan PAS membantu mereka.

Dalam lawatan itu, Syed Azman yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sempat bertemu dengan pimpinan Ikhwan Muslimin termasuk Mursyidul Amnya, Dr Mohamad Al Badie' untuk bertukar pandangan.

Kerajaan sedia korban nyawa demi keuntungan?

Posted: 11 Mar 2011 04:23 PM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat khuatir dengan keputusan Kerajaan Negeri Pahang untuk meneruskan dengan cadangan kilang nadir bumi di Gebeng di sebalik hakikat bahawa kilang itu hanya menanti bencana untuk berlaku.

Menurut SM Mohamed Idris (gambar), pada 2007, SAM dijemput oleh Kerajaan Terengganu untuk memberikan taklimat mengenai bahaya nadir bumi dan pengalaman SAM dalam menanganinya dengan pendedahan sisa radioaktif di Bukit Merah, Perak.

Berikutan itu, beliau yang juga Presiden CAP dan SAM berkata, projek itu telah ditolak oleh Kerajaan Terengganu.

Dalam tempoh tiga tahun lepas, katanya CAP dan SAM membantah dengan bersungguh-sunguh cadangan kilang nadir bumi memandangkan potensinya kepada kesan alam sekitar dan kesihatan awam daripada radioaktif dan sisa berbahaya yang dihasilkan olehnya.

"Tidak terdapat sebarang pengumuman awam sepenuhnya berhubung projek yang dicadangkan ini. Penilaian kesan alam sekitar lengkap tidak diperlukan memandangkan terdapat kelemahan dalam undang-undang kita," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Oleh itu, ujarnya tidak terdapat sebarang ruang bagi orang ramai untuk meneliti cadangan langkah pencegahan dan potensi risiko dan mengemukakan bantahan mereka.

Syarikat itu, tambahnya menyatakan terdapat pendedahan paras rendah kepada radiasi.

"Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan tidak terdapat paras selamat atau nilai ambang pendedahan radiasi pengionan," jelasnya.

Jangka panjang, katanya pendedahan paras rendah (kronik) kepada radiasi amat berbahaya kerana tisu hidup dalam tubuh boleh mengalami kerosakan oleh radiasi pengionan.

Beliau menambah, pendedahan kepada sisa radioaktif boleh menyumbang kepada peningkatan insiden leukaemia awal kanak-kanak, kanser, keguguran, mencacatkan system imun dengan bilangan sel darah putih rendah yang luar biasa, paras plumbum yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang boleh membawa kepada keracunan plumbum.

Jelasnya, kanak-kanak lebih mudah terjejas kepada kesan bahaya bencana radiasi berbanding penduduk umum kerana tubuh mereka menyerap dan memetabolismekan bahan secara berbeza, dan kerana mereka lebih cenderung mendapat kanser tertentu daripada pendedahan itu.

Tambahnya lagi, terdapat juga kemungkinan yang tinggi bahawa kanak-kanak yang lahir daripada ibu bapa yang terdedah kepada radiasi boleh terjejas oleh pendedahan itu juga.

Beliau berkata, isu lain yang dikhuatirkan ialah tidak terdapat cara yang selamat untuk melupuskan sisa yang dijana daripada loji penapisan itu.

"Berdasarkan kepada semua risiko ini, adakah kerajaan bersedia untuk mengorbankan nyawa demi untuk mendapatkan keuntungan?

"Mengambil kira betapa seriusnya risiko yang terlibat dalam menjalankan kilang itu, kami menggesa Kerajaan supaya membatalkan dengan segera projek ini," tegasnya.

Kitab Injil: ABIM Minta Najib Jelaskan Dakwaan Badan Kristian

Posted: 11 Mar 2011 04:19 PM PST

TVS NEWS



KUALA LUMPUR : Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkan dakwaan Persekutuan Kristian Malaysia yang mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membenarkan pengedaran kitab Injil berbahasa Malaysia di negara ini adalah berat dan ia perlu dibuktikan bagi mengelakkan kekeliruan.

Menurut Setiausaha Agung Abim Mohamad Raimi Ab Rahim, dakwaan Persekutuan Kristian Malaysia itu amat berat dan ia perlu dibuktikan bagi meredakan kegelisahan di kalangan rakyat terutamanya yang beragama Islam.

"Abim memandang berat kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Kristian Malaysia yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan tiada pengharaman dibuat ke atas kitab Injil dalam bahasa Malaysia, kita juga memandang serius kenyataan Persekutuan Kristian Malaysia yang turut mendakwa Perdana Menteri telah menjanjikan pengedaran kitab-kitab tersebut di Sabah dan Sarawak secara bebas.

"Sebagai pemerintah eksekutif tertinggi di negara ini, sebarang kenyataan yang dikeluarkan menggambarkan pendirian serta polisi kerajaan mengenai sesuatu perkara, dalam konteks ini, dakwaan Persekutuan Kristian Malaysia ini seakan-akan menggambarkan persetujuan kerajaan untuk pengedaran kitab Injil berbahasa Malaysia dalam negara ini sedangkan tiada sebarang pewartaan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Mohamad Raimi berkata pihaknya menuntut penjelasan Najib dalam perkara itu.

"Kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Kristian Malaysia ini amat berat dan perlu dibuktikan kepada umum bagi meredakan kegelisahan di kalangan rakyat di samping menjunjung tinggi ketelusan.

"Dalam hal ini, Abim menuntut penjelasan terbuka Perdana Menteri mengenai isu ini untuk mengelakkan sebarang kekeliruan serta salah faham yang boleh mengganggu keharmonian hubungan di antara kaum yang ingin dijayakan kerajaan selama ini," katanya.

Semalam Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysian Biskop Ng Moon Hing berkata kerajaan telah memberikan jaminan bahawa kitab injil dalam Bahasa Malaysia akan digunakan dengan bebas sekurang-kurangnya di Sabah and Sarawak.

Katanya, sejak Mac 2009 kesemua usaha untuk mengimport kitab injil dalam Bahasa Malaysia iaitu "Alkitab" sama ada menerusi Pelabuhan Klang atau Pelabuhan Kuching telah dihalang.

Jelas Ng, kargo sebelum ini sebanyak 5,000 naskhah Alkitab yang dimport pada Mac 2009 masih ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang meskipun pelbagai rayuan sudah dibuat.

Ng menambah, rayuan itu telah membuahkan hasil apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk membenarkan naskhah-naskhah yang ditahan di Pelabuhan Klang pada Disember 2009, yang dimaklumkan kepada pemimpin-pemimpin persekutuan oleh beberapa anggota Kabinet dan pembantu mereka.

Menurut Mohd Raimi, pihaknya berpendapat kebebasan beragama di negara ini tidak seharusnya melangkaui ketetapan Perlembagaan Persekutuan bahawa agama Islam merupakan agama rasmi negara.

"Justeru, sebarang enakmen berkaitan seperti Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama yang mengawal pengembangan agama-agama lain ke atas umat Islam harus dipatuhi serta dihormati.

"Abim menilai ketetapan-ketetapan yang digariskan dalam lunas perundangan negara merupakan teras keharmonian serta kestabilan di antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya.

Tambah beliau, sebarang kekeliruan serta percanggahan yang wujud harus diselesaikan menerusi dialog serta perbincangan tertutup di kalangan wakil-wakil ketua agama.

"Abim juga menggesa agar mana-mana pihak tidak memberikan tekanan melampau sehingga melangkaui mana-mana autoriti dalam negara dalam memperjuangkan tuntutan masing-masing terutamanya dalam isu-isu yang sensitif sebegini," katanya.

JAIP kesan kumpulan ajaran sesat Tarekat Naqsyabandiah

Posted: 11 Mar 2011 04:18 PM PST

BERNAMA

IPOH — Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) telah mengenal pasti sebuah kumpulan tarekat yang aktif di Sungkai dekat Slim River sebagai kumpulan yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Mohd Yusop Husin berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak akan mengeluarkan warta terhadap kumpulan itu tidak lama lagi kerana melakukan amalan haram dan menyimpang.

Beliau berkata kumpulan yang mempunyai kira-kira 100 pengikut itu mengikut ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah tetapi ia didapati tidak selari dengan amalan tarekat berkenaan.

"Fatwa akan diwartakan tidak lama lagi oleh jawatankuasa yang dipengerusikan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata antara amalan yang menyimpang ialah pengikutnya mengerjakan ibadat haji secara ghaib, berpegang bahawa semua orang boleh melakukan israk mikraj, mengamalkan amalan bertawassul dengan wali, mandi air zam-zam, air kauthar dan air mahfuz sebagai membuka hijab dan makrifat murid serta mewajibkan mandi taubat dan sujud taubat sebagai syarat menyertai tarekat.

Kumpulan itu dikenali sebagai Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah Kampung Menderang.

Mohd Yusop berkata walaupun kumpulan itu mengikut amalan tarekat muktabar Terekat Naqsyabandiah tetapi ada amalan tertentu yang didapati berlawanan dan bertentangan dengan Islam.

Beliau menasihati umat Islam berhati-hati apabila mengikut dan mempelajari ilmu agama daripada mana-mana kumpulan supaya tidak terjebak dengan ajaran yang menyimpang dengan agama Islam.

Sebelum ini Perak telah mewartakan 14 ajaran atau kumpulan sebagai sesat.

Gempa bumi: Penerbangan MAS ke Jepun tergendala

Posted: 11 Mar 2011 04:17 PM PST

BENAMA

KUALA LUMPUR - Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ke Lapangan Terbang Narita dan Lapangan Terbang Haneda di Tokyo hari ini tergendala berikutan gempa bumi kuat yang melanda perairan timur laut Jepun.

Bagaimanapun, penerbangan MH52 ke Lapangan Terbang Kansai di Osaka malam ini akan diteruskan mengikut jadual pada 11.50 malam.

Pengurus Perhubungan Awam MAS Su Wong berkata penerbangan MH70 pagi ini dari Kuala Lumpur ke Narita telah pun dilencongkan ke Taipei.

Semua penumpang dan anak kapal MAS di lapangan terbang yang terjejas di Jepun berada dalam keadaan selamat, kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Pengarah Operasi MAS Kapten Azharuddin Osman berkata syarikat penerbangan itu telah menerima notifikasi daripada pihak berkuasa lapangan terbang untuk menggantung semua penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Narita serta Lapangan Terbang Haneda.

Gempa bumi: Wisma Putra buka bilik operasi, hotline

Posted: 11 Mar 2011 04:13 PM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Kementerian Luar membuka bilik operasi dan mengaktifkan hotline di pejabat kedutaan Malaysia di Tokyo bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai keadaan terkini berhubung kejadian gempa bumi 8.9 pada skala Richter yang melanda perairan timur laut Jepun hari ini.

Nombor telefon yang boleh dihubungi di Wisma Putra di sini ialah 03-8887 4570, 03-8887 4770, 03-8889 2746 dan 03-8889 2830, manakala kedutaan Malaysia di Tokyo boleh dihubungi dengan menelefon +81334763840.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini kementerian itu berkata pejabat kedutaan Malaysia di Tokyo sedang memantau dengan rapi perkembangan bencana itu dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan maklumat terkini mengenainya.

"Setakat ini tiada laporan mengenai kehilangan nyawa di kalangan rakyat Malaysia akibat bencana itu, dan semua pegawai kementerian serta kaum keluarga mereka dilaporkan selamat," menurut kenyataan itu.

Tiada ulasan: