Selasa, 8 Mac 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Barang naik: PAS pastikan rakyat tidak terbeban

Posted: 08 Mar 2011 03:07 AM PST

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: PAS akan memastikan rakyat tidak akan terus terbeban dengan kenaikan harga barang dengan mencadangkan perkara yang boleh memperkemaskan subsidi kerajaan dan akan membasmi amalan rasuah dan penyelewengan wang rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) berkata demikian sebagai mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang mengingatkan rakyat agar bersedia menghadapi situasi harga barang.

"Tuanku telah menyatakan kebimbangan terhadap kenaikan harga barang dan sebagainya. PAS akan berperanan memastikan apa yang dititahkan terutamanya mengenai subsidi kita perkemaskan lagi dan cuba hapuskan unsur-unsur penyelewengan dan rasuah dalam projek kerajaan selama ini," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Tumpat itu juga berkata, PAS sebagai parti yang telah lama bertapak di negara ini diberi peluang yang sewajarnya untuk mengutarakan pandangan dan cadangan dalam usaha memajukan negara.

"PAS sebagai parti yang konstruktif menyambut baik titah Tuanku dan kita akan mengutarakan cadangan perbahasan yang berkesan.

"Saya harap ahli Parlimen PAS akan dapat peluang yang sepenuhnya untuk memberi input yang berkesan dalam perbahasan demi masa depan negara," katanya.

Semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen hari ini, Tuanku Mizan menyeru rakyat agar menjadi pengguna yang bijak dan berjimat cermat dalam berbelanja.

"Sejak akhir-akhir ini telah berlaku situasi kenaikan harga bahan-bahan makanan di seluruh dunia yang disebabkan oleh pemanasan global, bencana alam, perubahan polisi negara pengeluar dan peningkatan penduduk dunia sebanyak empat peratus setahun berbanding pengeluaran makanan dunia sebanyak satu hingga dua peratus.

"Ia adalah krisi makanan global. Sebagai negara pengimport makanan, Malaysia terdedah kepada kenaikan harga barang dan ini sememangnya di luar kawalan kerajaan.

"Dalam keadaan ini, Beta menyeru rakyat supaya lebij bersedia untuk menghadapi fenomena ini, jadilah pengguna yang bijak, amalkan perbelanjaan secara berhemat dan berusaha melindungi kepentingan sendiri dengan tidak terlalu bergantung kepada erlindungan kerajaan," titah Tuanku Mizan.

Pengerusi Gerakan P Pinang bohong - Guan Eng

Posted: 08 Mar 2011 03:06 AM PST

Fakhri Ali

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pullau Pinang, Lim Guan Eng menyelar Pengerusi Gerakan negeri, Datuk DrTeng Hock Nan, kerana mendakwa kerajaan negeri menentang projek pembangunan Kerajaan Persekutuan.

Lim dalam kenyataannya berkata, Teng berbohong dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.

"Suatu ketika dahulu beliau mendakwa kos penyelenggaraan kereta rasmi Ketua Menteri ialah sebanyak RM600 ribu setahun. Apabila kita meminta dikemukakan bukti, tiada juga apa-apa tindakan susulan dari beliau.

"Kerajaan negeri tidak pernah sesekali menentang projek Kerajaan Pusat. Sebagai bukti beliau perlu tahu bahawa Pulau Pinang adalah penyumbang keempat kepada Kerajaan Pusat dengan jumlah cukai sebanyak RM25.7 bilion. Daripada jumlah tersebut kerajaan negeri hanya memperolehi sebanyak RM794 juta atau 3 peratus sahaja," katanya lagi.

Menurut Lim lagi, sepatutnya Teng sebagai Naib Pengerusi BN Pulau Pinang menyedari Majlis Perbandaran Seberang Perai kehilangan sebanyak RM213 juta semasa Pulau Pinang ditadbir oleh BN dahulu.

"Malah sebelum ini pun pimpinan Umno Pulau Pinang pernah menyarankan kepada Kerajaan Pusat supaya membatalkan projek pembinaan jambatan kedua semasa mereka kalah teruk dalam pilihan raya umum 2008 yang lalu," katanya.

Beliau juga menyarankan Teng supaya melihat diri sendiri sebelum membuat pelbagai tuduhan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri pimpinan PR.

Muslimat PAS ajak wanita buat perubahan

Posted: 08 Mar 2011 03:05 AM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengajak seluruh wanita negara ini membuat perubahan bagi merubah nasib mereka pada tahap yang lebih gemilang sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia ke-100, hari ini.

"DMPP turut mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita Sedunia kepada seluruh wanita di mana jua mereka berada," ujar ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Sempena 100 tahun sambutan hari tersebut kali ini dengan temanya "Equal acsess to education, training, science and technology: Pathway to decent work for women – Kesamarataan peluang terhadap pelajaran, latihan, sains dan teknologi: Laluan kerjaya terpuji untuk wanita".

Sebenarnya, kata beliau dalam pandangan Islam, wanita mempunyai hak-hak yang sama dengan lelaki di mana Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawa wanita adalah pelengkap bagi lelaki manakala lelaki juga adalah pelengkap bagi wanita.

Sabda Rasulullah s.a.w pula yang bermaksud: "Sebenarnya wanita adalah saudara kandung bagi lelaki!"

"Sesungguhnya dari maksud hadis tersebut jelaslah bahawa pada pandangan Islam tidak ada pengurangan atas hak-hak wanita ataupun kezaliman atas wanita demi kepentingan lelaki kerana Islam merupakan satu syariat Allah yang diturunkan untuk lelaki dan wanita sekaligus tanpa pengecualian," ujarnya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, jelasnya sebarang bentuk ketidak adilan ke atas wanita di dalam setiap aspek kehidupan amatlah ditegah dan bercanggah dengan ketentuan Ilahi.

Apatah lagi, ujarnya amat besarnya peranan wanita yang mesti disempurnakan oleh wanita, seperti kata-kata bijak pandai: Seorang ibu ibarat sekolah, apabila kamu siapkan dengan baik, bererti kamu menyiapkan satu bangsa yang harum namanya.

Sehubungan itu, menurutnya Pakatan Rakyat menawarkan beberapa program di dalam pelaksanaan agenda Dasar Bersama Pakatan Rakyat seperti menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan yang adil dalam segenap bidang.

Di samping itu, memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu dan memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.

Pakatan Rakyat juga, tambahnya menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan hukuman setimpal yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan kebersanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.

Selain itu, katanya memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti pusat penjagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat kerajaan dan sektor swasta.

Beliau menambah, Pakatan turut memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan, mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara, memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah dan mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengkukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Justeru, ujarnya sayugia wanita mengambil inisiatif dan keprihatinan terhadap tawaran-tawaran tersebut agar seluruh wanita Malaysia dapat berperanan dan memberikan sumbangan positif terhadap usaha-usaha Pakatan Rakyat merubah nasib kaum wanita pada tahap yang lebih gemilang.

"Sesungguhnya nasib kita adalah di tangan kita juga seperti penegasan Allah SWT di dalam al-Quran bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang individu atau kaum tanpa mereka berusaha mengubah sikap dan berusaha ke arah reformasi kehidupan yang lebih baik.

"Marilah kita bersama-sama berganding bahu melaksanakan perubahan ini. Ubah sekarang, selamatkan Malaysia," ujarnya.

Media gambarkan PRK pertandingan satu penjuru

Posted: 08 Mar 2011 03:03 AM PST

Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, Umno BN tidak perlu mendabik dada dengan kemenangan yang diperolehi pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Kerdau.

Beliau menambah, hakikatnya BN belum lagi memenangi hati rakyat kerana kemenangan tersebut disifatkan sebagai hanya mempertahankan kerusi mereka dengan sekian banyak pencabulan terhadap demokrasi dilakukan dalam kedua-dua PRK tersebut.

"Umno BN bersungguh-sungguh menyampaikan khabar gembira kepada media bahawa kemenangan tersebut adalah petanda bahawa mereka telah memenangi semula hati pengundi Melayu di kawasan tersebut, tindakan ini mengelirukan dan bohong.

"Saya menafikan bahawa orang Melayu sudah kembali menyokong BN. PRK bukan gambaran yang sebenar dan kita tunggu PRU ke 13," katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, BN tetap menafikan bahawa mereka menentang demokrasi yang lebih bebas di Malaysia namun dalam masa yang sama Pakatan Rakyat langsung tidak diberi peluang berkempen di TV mahupun radio walaupun seminit.

"Harapan saya rakyat pandai menilai pemberitaan yang sangat berat sebelah setiapkali ada PRK.

"Di TV3 dan RTM, rakyat hanya akan melihat calon BN sahaja yang berkempen, seolah-olah pertandingan satu penjuru sedang berlaku.

"Ini satu amalan pelik BN di kancah politik tanah air. Saya pasti rakyat yang punyai pertimbangan yang waras boleh menilai penipuan ini," jelasnya.

Menurut Khalil Idham lagi, BN bakal mengulangi penipuan seperti itu pada PRU 13 nanti.

Beliau juga mengingatkan kepada rakyat supaya jangan memberi peluang terhadap sebarang bentuk pembohongan yang melibatkan hak warga Malaysia.

Katanya, rakyat berhak memilih pemimpin mereka berdasarkan perinsip demokrasi yang tulen dalam isu perjalanan pilihan raya yang adil dan saksama.

"PRU 13 semakin hampir, gerakkan tenaga untuk menyebar maklumat serta fakta mengenai salah laku BN tersebut," ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Judi: PAS Kelantan sokong Nik Aziz jumpa Karpal

Posted: 08 Mar 2011 03:02 AM PST

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU: Langkah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bersemuka dengan Pengerusi DAP Karpal Singh bagi menjelaskan dasar kerajaan Kelantan berhubung pengharaman judi dialu-alukan oleh PAS negeri itu.

Ketua Penerangan PAS Kelantan Dr.Muhammad Fadzli Hassan ketika dihubungi memberitahu langkah tersebut amat sesuai dengan pendekatan PAS malah disifatkan lebih baik daripada membuat penjelasan dalam media untuk mengelakkan isu tersebut dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Mengulas lanjut isu judi yang cuba ditimbulkan semula di Kelantan, Muhammad Fadzli berkata, semua pihak seharusnya faham tentang dasar kerajaan Kelantan ini kerana setelah PAS mengambil alih Kelantan di tahun 1990, pengharaman judi adalah perkara pertama yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah kepimpinan Nik Aziz.

Kata beliau, tindakan itu diambil kerana judi bukan sahaja diharamkan oleh Islam, malah ia adalah penyakit bagi semua masyarakat dan menjadi antara punca utama kemusnahan sesebuah keluarga.

"Aspek-aspek utama yang diambil kira sewaktu kerajaan negeri mahu mengharamkan judi dahulu ialah judi merosakkan keharmonian sesebuah keluarga dan menjejaskan aliran ekonomi keluarga itu," ujar beliau.

Malah menurut beliau, sewaktu kerajaan Kelantan mahu melaksanakan dasar mengharamkan judi ia turut mendapat sokongan masyarakat bukan Islam sendiri.

Justeru katanya, isu tersebut sepatutnya tidak timbul lagi setelah PAS mentadbir hampir 21 tahun di negeri itu.

Sehubungan itu beliau percaya isu tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam ( MPKB-BRI ) baru-baru ini terhadap permis yang menjalankan penjualan loteri sengaja diperbesarkan oleh Barisan Nasional khususnya MCA bagi menarik sokongan bukan Islam sedangkan orang bukan Islam di Kelantan amat membenci judi ini.

"Saya amat yakin jerat yang dipasang ini akan menjerat kawan-kawan mereka sendiri dalam BN terutamanya Umno" kata Muhammad Fadzil.

Hari Wanita: Kembali kepada syariah Islam

Posted: 08 Mar 2011 02:58 AM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini perlu kembali kepada syariah Islam sepenuhnya dalam menjalani kehidupan agar kesejahteraan sosial, ekonomi dan politik dapat dinikmati dalam erti kata sebenar.

Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustazah Maznah Daud membuat saranan itu sempena sambutan 100 tahun Hari Wanita Sedunia 2011, hari ini.

Di samping itu, katanya perjuangan pembelaan hak wanita pula hendaklah selaras dengan apa yang digariskan oleh syarak iaitu untuk memartabatkan kedudukan wanita yang benar-benar sejahtera merangkumi kehidupan dunia dan akhirat.

"Keadaan ini akan hanya dapat dikembalikan apabila syariah Islam itu dilaksanakan sepenuhnya dan manusia menjalani kehidupan mengikut apa yang telah disusun oleh Allah SWT," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, pembangunan potensi wanita mesti berasaskan kepada satu sistem nilai yang menyeluruh meliputi pengukuhkan jati diri yang juga merangkumi aspek aqidah dan pegangan hidup, akhlak, jasadiah dan insaniah.

Semua pihak, katanya perlu terus memberikan sokongan kepada kaum wanita untuk memajukan diri dalam bidang pendidikan agar wanita dapat sama-sama menyumbang dalam sektor pekerjaan.

Namun, tambahnya pada masa yang sama tidak mengambil kesempatan dan mengeksploitasi wanita dari sudut ekonomi dan kewangan.

Beliau turut menyatakan penilaian secara sepintas lalu dalam situasi Malaysia, menunjukkan bahawa kedudukan wanita di negara ini sudah jauh ke hadapan dari segi penglibatan mereka di dalam kerjaya dan pembangunan masyarakat serta negara.

Beliau berkatanya, ianya juga sekali gus menggambarkan polisi pendidikan negara dalam memberi peluang yang sama rata kepada kaum wanita untuk mendapat pendidikan, telah berjaya mendapat respon serta kesan yang positif daripada kalangan kaum wanita bagi membolehkan mereka meningkatkan keupayaan diri dan berdaya saing dalam kehidupan.

Katanya, jika kesaksamaan menjadi kayu ukur kejayaan yang diperjuangkan, dapat dilihat bahawa wanita di Malaysia telah berupaya menceburi dalam hampir kesemua bidang yang diceburi oleh kaum lelaki.

Namun demikian, ujarnya pada masa yang sama gejala sosial seperti penderaan, penindasan, keganasan, penipuan dan ketidakadilan terhadap wanita serta kanak-kanak terus berlaku dengan meluasnya.

"Tidak kurang juga mereka yang berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi yang turut terjebak di dalam gejala-gejala ini.

"Keadaan ini memberi gambaran bahawa kemajuan dan kejayaan material yang dicapai oleh kaum wanita masa kini yang tidak disertai dengan pembangunan spiritual tidak dapat menjamin dan tidak berupaya untuk melindungi diri mereka khususnya dan ahli masyarakat amnya dari segala bentuk ketidakadilan dan kekejaman," katanya..

Menurutnya, walaupun wanita telah maju dari sudut pendidikan tetapi dalam banyak hal masih banyak indeks kesejahteraan wanita yang lemah.

Sekali gus, ujarnya ini menunjukkan bahawa perjuangan wanita yang hanya menekankan kesaksamaan gender di dalam semua bidang semata-mata berdasarkan pencapaian material, bagi meningkatkan martabat wanita dan mencapai keadilan tidak mencukupi untuk menjadi penyelesaiaan menyeluruh kepada isu yang dihadapi oleh wanita masa kini.

"Apa yang jelas, adalah kehidupan ummah pada masa kini dilihat makin jauh menyimpang dari landasan hidup syariah yang telah disusun oleh Allah SWT," katanya lagi.

MiMBAR Dapat Respon Positif Rakyat

Posted: 08 Mar 2011 02:54 AM PST

TVS NEWS

SHAH ALAM : Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) yang memperuntukkan RM20 juta kepada rakyat miskin di bandar Selangor mendapat reaksi positif rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan peniaga kecil-kecilan.

Hassan Muhammad, yang ditemui Tv Selangor berkata, program MiMBAR dilihat memberi kemudahan kepada masyarakat untuk memperolehi pinjaman kewangan tanpa perlu membayar semula dengan kadar faedah yang tinggi.

Beliau yang juga peniaga kecil-kecilan memandang positif bantuan yang disalurkan kerajaan negeri malah berpendapat ia sedikit sebanyak meringankan bebanan kos perniagaan yang terpaksa ditanggung selama ini.

"Pada pendapat saya, skim ini lebih menyenangkan untuk kita kerana rakyat tidak perlu membayar faedah atau bunga yang tinggi seperti pinjaman di bank. Saya
menyokong skim ini tetapi belum bercadang untuk memohon sekarang, mungkin di masa hadapan nanti sebab saya belum ada perniagaan sendiri,"katanya.

Sementara itu, Rosni Abdullah yang juga seorang peniaga gerai turut meluahkan pendapat sama. Beliau yang berniaga lebih sepuluh tahun sentiasa mengharapkan bantuan kewangan untuk mengembangkan perniagaannya.

"Makcik sokong kalau skim ini diberikan kepada orang ramai. Macam peniaga kecil yang tak mampu nak buat pinjaman. Makcik ada juga memohon, tapi belum hantar lagi borang. Kalau dapat pinjaman ni, makcik nak beli perkakas, contohnya peti ais, mesin kisar cili. Itu sahaja, bukan ada tujuan lain. Bantuan begini
sangat bagus kerana berniaga secara kecil-kecilan berapa sangat yang kami dapat,"katanya.

Bagi Amnah Sahabudin pula, skim ini harus diuar-uarkan kepada masyarakat khususnya peniaga kecil kerana golongan seperti ini sentiasa mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan.

"Kemudahan tersebut mestilah saya sokong. Saya hendak memohon, tetapi perlu tahu bagaimana cara untuk membayar semula pinjaman tersebut sama ada setiap minggu atau setiap bulan,"katanya, yang mengharapkan penjelasan rapi diberikan.

Manakala bagi Sapidah Abdul Ghani pula, skim mikrokredit ini adalah sebagai alternatif lain kepada masyarakat untuk membuat pinjaman kewangan tanpa faedah selain daripada pinjaman bank dan pinjaman haram (along).

"Saya sokong seratus peratus bila kerajaan negeri beri bantuan begini kerana ia boleh membantu peniaga kecil-kecilan membuat modal pusingan supaya tidak
membebankan peniaga. Selain itu, ia mengurangkan bebanan peniaga supaya tidak meminjam kepada along. Ia membantu peniaga bawahan seperti saya yang baru mula berniaga,"katanya lagi.

MiMBAR adalah sebuah program yang bertujuan meningkatkan pendapatan masyarakat miskin bandar negeri Selangor untuk melebihi "Paras Garis Kemiskinan (PGK)",
iaitu melebihi RM1,500 bagi seisi rumah.

Pada peringkat awal, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri bagi memastikan agihan peluang, latihan serta kekayaan negeri dapat dikongsi semua pihak.

Program tersebut dipengerusikan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail.

Selangor Lancar Pendidikan Tahfiz Al-Quran

Posted: 08 Mar 2011 02:53 AM PST

Ditulis oleh Ezli



SHAH ALAM : Kerajaan negeri Selangor melancarkan Dasar Pendidikan Tahfiz Al-Quran bagi melahirkan generasi penghafaz profesional menjelang 2020 malam tadi.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dasar pendidikan tahfiz Al-Quran itu telah disusun oleh Majlis Agama Islam Selangor bersama Jawatankuasa Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor.

Beliau berkata dasar tahfiz negeri itu menyasar melahirkan 500 hufaz, iaitu golongan hafaz Al-Quran profesional menjelang 2020 dan menjadikan institusi tahfiz diuruskan secara profesional pada 2015.

Abdul Khalid berkata demikian ketika merasmikan majlis Menghafaz Al-QuranPeringkat Negeri 2011 dan Pelancaran Dasar Pendidikan Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor di sini.

Seramai 45 peserta dari sembilan daerah di Selangor menyertai pertandingan menghafaz Al-Quran yang bermula malam ini hingga Khamis

Isu Ceramah Anwar : Minda Najib Macam JKKK

Posted: 08 Mar 2011 02:47 AM PST

TVS NEWS

MELAKA : Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa ada pihak yang tidak menggalakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berceramah semasa pilihan raya kecil (PRK) Kerdau dan Merlimau baru-baru ini adalah suatu pembohongan yang nyata.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Yusof Wahab berkata tidak ada suatu keputusan pun dibuat oleh pihak jentera pilihan raya PAS yang menghalang Anwar dari menyampaikan ceramahnya semasa kempen pilihan raya kecil tersebut lapor Harakah Daily.

"Saya terlibat sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Jentera Pilihanraya Dun Merlimau, kita tidak pernah pun berbincang dan mengambil keputusan sedemikian.

"Kalau Najib berkata ada sms yang tidak suka Anwar datang ke Merlimau mungkin itu perang saraf dari jentera Umno sendiri, sesiapa pun boleh hantar sms semacam itu," katan Yusof ketika dihubungi.

Yusof berkata semasa kempen PRK Merlimau baru-baru ini, banyak sms yang bersifat provokasi dan fitnah yang dihantar oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

"Takkan seorang yang berjawatan Perdana Menteri sanggup menggunakan sms yang tidak tahu dari mana asalnya sebagai hujah, jatuhlah 'standard'.

"Saya kesal dengan dakwaan ini kerana ianya menggambarkan bahawa minda Perdana Menteri kita lebih kurang sama dengan minda JKKK atau Kemas," tegas Yusof yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil.

Menurut Yusof, rakyat sentiasa dahagakan maklumat terkini dari Anwar kerana mereka tahu pemimpin PKR itu mempunyai banyak informasi sama ada dari orang dalaman Umno atau luar negeri.

"Umno sebenarnya dari dulu lagi mahu melaga-lagakan PAS dengan Anwar supaya perpaduan yang wujud kini hancur dan mereka akan mendapat keuntungan dari kehancuran PR," tegas Yusof.

Arahan Kosong LBJ Tidak Sah, Penduduk Gesa DBKL Tarik Notis

Posted: 08 Mar 2011 02:45 AM PST

TVS NEWS


KUALA LUMPUR - Notis arahan berpindah dan mengosongkan tapak sebelum 15 Mac yang diserahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada penduduk Kampung Ladang Bukit Jalil(LBJ) adalah tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang di bawah Seksyen 7(2) Akta Relif Spesifik 1950.

Notis pengosongan bertarikh 1 Mac itu dikatakan merujuk kepada 'persetujuan' dan keputusan 'perbincangan' di antara Menteri Wilayah Persektuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Subramaniam dan beberapa wakil penduduk LBJ, 23 Februari lalu.

Menurut peguam, Fadiah Nadwa Fikri yang mewakili penduduk, anak guamnya yang berkhidmat selama empat generasi di kawasan itu adalah penduduk sah dan bukannya penduduk haram seperti yang didakwa.

"Di bawah undang-undang, kerajaan tidak boleh memaksa mana-mana individu untuk keluar dari kediaman mereka tanpa memberitahu atau mengemukakan alasan jelas untuk mereka patuhi.

Di dalam notis ini tidak dinyatakan sebarang peruntukan undang-undang untuk membolehkan mereka mengusir penduduk. Notis ini tidak sah kerana DBKL tidak mendapat arahan daripada mahkamah bagi mengesahkan penduduk LBJ duduk secara haram di tanah tersebut,"ujarnya kepada pemberita.

Justeru, Fadiah menegaskan, anak guamnya tidak akan mengikut arahan DBKL memandangkan organisasi itu tidak mempunyai bidangkuasa untuk mengarahkan pengosongan tapak dan tempat kediaman berkenaan.

Pertemuan bersama menteri dan penduduk pada 23 Februari lalu juga adalah gagal kerana suara penduduk tidak didengar malah pihak terbabit cuba menafikannya.

Tambah Fadiah, tindakan DBKL memaksa penduduk LBJ meninggalkan kawasan kediaman mereka disifatkan sebagai bertentangan dengan Hak Asasi Manusia 1993.

"Kenyataan DBKL adalah salah kerana di bawah undang-undang, penduduk bukan sahaja berhak menerima pampasan, malah mereka turut berhak untuk memiliki kediaman sendiri di atas tanah tersebut. DBKL tidak boleh sesuka hati menghalau mereka, kemudian beri rumah baru begitu sahaja. Mereka memang berhak untuk kekal di tanah tersebut,"tambahnya lagi.

Menurut Fadiah, anak guamnya juga turut menyerahkan surat kepada DBKL untuk memastikan tindakan penguatkuasaan bagi kerja-kerja pembersihan pada 15 Mac nanti tidak dilaksanakan.

25 Februari lalu, penduduk LBJ menulis surat kepada pihak kementerian meminta tawaran secara hitam putih untuk membolehkan mereka berbincang tentang penyerahan wang ehsan berjumlah hampir RM1 juta kepada 116 bekas pekerja ladang atau waris sebagai tambahan kepada pampasan yang diberikan terdahulu.

Mereka juga turut memohon empat ekar tanah dari keluasan tanah seluas 26 ekar di LBJ bagi membolehkan 41 buah keluarga membina rumah di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan tiada jawapan yang diberikan pihak Kementerian berhubung isu tersebut sehingga hari ini.

Kes Anwar : Makin Jelas Ada Agenda Politik

Posted: 08 Mar 2011 02:44 AM PST

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak bahan bukti yang diambil oleh polis untuk mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan pertuduhan itu mempunyai agenda politik dan berniat jahat, kata Anwar.

"Keterangan hakim bahawa penangkapan itu tidak sah di sisi undang-undang mengukuh hujah kita bahawa tangkapan itu adalah melanggar prinsip perlembagaan dan dilakukan dengan niat tidak baik. Ini disahkan oleh hakim. Kalau ini berlaku maknanya tangkapan itu sendiri telah melanggar perlembagaan," tegas beliau .

Ketua Pembangkang itu membayangkan pihak pendakwaraya akan terus berkeras menggunakan bukti DNA terhadap beliau sekali pun hakim menolak tiga bahan kes yang diperolehi secara haram itu.

"Kalau pun ini berlaku, kita masih akan pertikaikan kerana pakar DNA pendakwa memberi tarikh yang salah. Kononnya yang disebut itu 26 haribulan (tetapi) pemeriksaan 28hb dan penyerahan kepada Jabatan Kimia dua hari kemudiannya yang telah disimpan oleh DSP Jude,' tambah Anwar .

DSP Jude Pereira adalah pengawai penyiasat kes itu.

Hakim Mohamad Zabidin Md Diah berkata sehelai tuala, berus gigi dan botol air mineral yang dirampas dari lokap Anwar pada Julai 17 2008 diperolehi secara tidak sah dan justeru itu, tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti.

Barang-barang itu dirampas setelah Anwar ditangkap tanpa diberitahu asas tuduhan dan dipaksa bermalam di lokap itu pada 16 Julai 2008. Polis kemudian merampas tiga barangan itu untuk diguna dalam ujian DNA bagi mensabitkan Anwar atas tuduhan liwat. .

Anwar sebelum itu menolak cubaan polis mendapatkan sampel DNAnya kerana khuatir sekali lagi menjadi mangsa bukti reka cipta sebagaimana yang berlaku pada tahun 1998. Dalam perbicaraan itu, Anwar disabit kesalahan dan dihukum penjara enam tahun.

Anwar menegaskan bahawa tindak tanduk polis, sebagaimana yang didedahkan di mahkamah, menunjukkan wujud campurtangan politik untuk mensabitkan beliau menggunakan bukti rekacipta " di setiap peringkat."

Peguam Sankara Nair pula menegaskan keputusan mahkamah hari ini seharusnya mengecualikan Anwar daripada dikaitkan ujian DNA yang mengenal pasti "lelaki Y" antara orang yang meliwat pengadu Saiful Bukhari Azlan .

"Jadi mereka tidak dapat berbuat demikian sekarang. Kesimpulannya 'lelaki Y' itu tidak ada kena mengena dengan Datuk Seri Anwar," katanya.

Perbicaraan bersambung esok dengan pendakwaraya dijangka memanggil DSP Jude Periera untuk memberi keterangan.

Kes Beng Hock : Pegawai SPRM Dibidas Lupa Fakta

Posted: 08 Mar 2011 02:42 AM PST

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dibidas Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian bekas setiausaha EXCO Selangor, mendiang Teoh Beng Hock, kerana lupa fakta kejadian tersebut.

Penolong Pegawai Penguatkuasa SPRM, Mohd Ashraf Mohd Yunus ditegur oleh pesuruhjaya T Selventhiranathan kerana mendakwa tidak boleh mengingati perbualan antara seorang pegawai SPRM dan Beng Hock pada 15 Julai, 2009.

Mohd Asraf tatkala itu dikatakan membantu seorang lagi pegawai penguatkuasa, Arman Alies menyoal siasat mendiang berhubung dakwaan salah guna dana oleh EXCO Selangor yang juga ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, dua tahun lalu.

"Nampaknya, awak macam ada daya ingatan terpilih. Ini kes yang penting dan orang ramai akan mengingati butirannya tetapi awak asyik mengatakan tidak ingat," kata Selventhiranathan, seorang daripada lima anggota panel suruhanjaya itu.

Mohd Ashraf, yang tampil sebagai saksi hari ini gagal mengingat kembali jawapan mendiang berhubung soalan atau butiran mengenai apa yang ditanya oleh rakannya, Arman.

Mendiang Beng Hock ditemui mati di Tingkat 5 Plaza Masalam setelah disoalsiasat semalaman oleh SPRM 16 Julai 2009.

Seorang lagi ahli pesuruhjaya, Abdul Kadir Sulaiman, turut kecewa dengan jawapan yang diberikan Mohd Ashraf dan menganggap keterangannya sebagai 'anti-klimaks".

"Semua yang penting, awak kata tak ingat. Kami akan berikan awak 20 minit, cuba awak ingatkan kembali," kata Abdul Kadir

Pembelian Kapal Perang Laut RM6.7 Bilion Tidak Berasas

Posted: 08 Mar 2011 02:39 AM PST

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Keputusan kerajaan Umno-BN membelanjakan RM6.7 Bilion membeli enam kapal perang laut generasi kedua tidak berasas dan bercanggah dengan retorik kerajaan pusat bahawa negara mungkin muflis.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam soalannya kepada Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi di Parlimen pagi tadi turut mempersoalkan ketelusan tender pembinaan kapal tersebut kerana tiada tender terbuka dikeluarkan bagi pembinaan kapal tersebut.

Kata beliau, tindakan kerajaan seolah-olah mengenepikan kebajikan rakyat kerana kerajaan sanggup menarik subsidi sebanyak RM1.7 Bilion yang diberikan kepada rakyat dengan alasan kerajaan tiada peruntukkan mencukupi tetapi mampu pula membelanjakan lebih RM6 Bilion untuk pembelian kapal perang laut ini.

Beliau seterusnya mempersoalkan adakah tindakan kerajaan Malaysia membeli dan menaik taraf pertahanan laut ini mencerminkan wujudnya ancaman luar kepada Malaysia kerana pembelian dibuat untuk kapal perangn laut yang serba moden.

Selain itu, beliau juga bertanyakan apakah rasional di sebalik kenaikan harga pembelian kapal-kapal laut tersebut yang meningkat dari RM5.3 Bilion ke RM6.7 bilion memandangkan perkiraan kos hanya dibuat baru-baru ini.

" Sekarang kerajaan membelanjakan RM6 bilion untuk kapal peronda ini, adakah rasional dan apakah jaminan projek ini tidak menyebabkan berlakunya lebihan kos?,"soal beliau.

Menjawab soalan Lim Lip Eng, Zahid berkata perolehan bagi enam kapal perang laut tidak dibuat secara tender dan diberi terus kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd bagi memenuhi syarat perjanjian perbadanan yang dibuat pada 11 Disember, 1995.

Sebelum ini, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pernah membuat pesanan yang serupa kepada Penang Shipyard and Construction - Naval Dockyard Sdn Bhd (PSC-ND) tetapi disebabkan penyelewengan serius menyebabkan kerajaan terpaksa menjamin keluar syarikat berkait kerajaan tersebut.

Kerajaan Umno-BN pada masa itu juga terpaksa menanggung kos tambahan akibat kelewatan menyiapkan kapal-kapal berkenaan dan bagi menyelamatkan syarikat serta projek berkenaan, kerajaan Umno-BN bertindak menggabungkan PSC-ND dengan Boustead Holdings Bhd menjadi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara tahun 2005, penyelewengan dalam PSC-ND telah membebankan kerajaan dengan tambahan kos kira-kira RM200 juta.

Berang dengan kenyataan Lim Lip Eng yang mendedahkan beberapa kepincangan yang berlaku, Zahid kemudiannya menyalahkan Lim Lip Eng sambil menyuruh ahli parlimen itu kembali ke sekolah.

Keadaan itu kemudiannya membangkitkan sedikit kekecohan dalam Dewan Rakyat apabila ahli-ahli parlimen pembangkang meminta Zahid menarik balik kenyataan beliau terhadap Lim Lip Eng.

" Tuan Yang di-Pertua, saya rasa elok ahli parlimen Segambut masuk Tabika semula kerana tidak dapat membezakan,"kata Zahid yang disambut bantahan ahli-ahli parlimen pembangkang.

Mahfuz : Kegagalan Kerajaan Faham Beza Notis Dan Saman Memalukan

Posted: 08 Mar 2011 02:35 AM PST

Ditulis oleh Afiq



KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kegagalan pihak kerajaan memahami perbezaan antara notis dan saman merupakan perkara yang memalukan.

Reaksi ini dibuat berikutan jawapan yang dikemukakan Timbalan Menteri Pengangkutan berhubung soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dan soalan tambahan daripada Mahfuz ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat.

"Kita agak terkejut bagaimana pihak kementerian tidak boleh memahami persoalan pokok yang terdapat dalam undang-undang Akta Pengangkutan Jalan dan mereka tidak boleh membezakan antara saman dengan notis," katanya.

Mahfuz Omar yang juga Pengerusi Kempen Anti-Saman Ekor berkata, kerajaan sepatutnya akur dengan tafsiran yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Akta Undang-undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1) (D).

"Apa yang ingin saya ditimbulkan adalah yang diberikan notis untuk kita memberitahu tentang maklumat dalam tempoh tujuh hari untuk kita menjawab. Apa yang diberitahu oleh pihak menteri apabila kita tidak menjawab lalu menganggap kita melakukan satu kelasalahan dan telah menggunakan 17 (1) (D) untuk blacklist kenderaan-kenderaan kita sedangkan mengikut undang-unang lama dia perlu menyaman kita di mahkamah mengapa kita tidak menjawab," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuching mentafsirkan Akta Undang-Undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1)(D) merupakan perkara yang dianggap perkara belum selesai; merujuk kepada perkara yang belum diselesaikan di peringkat mahkamah.

Mahfuz menyifatkan tindakan ini memalukan memandangkan pihak kerajaan sendiri menggesa pemilik kenderaan mematuhi undang-undang sedangkan mereka sendiri tidak melaksanakan undang-undang mengikut peruntukan yang ditetapkan.

"Sehingga sekarang kerajaan hampir 17juta saman yang dianggap tertunggak. Saman mana boleh tertunggak, kalau saman itu pergi ke mahkamah, mahkamah putuskan bayaran dan perlu bayar disitu. Itu adalah notis tertunggak. Notis tertunggak bukan pada penerima notis sebaliknya merupakan kesalahan polis untuk membawa orang yang menerima notis itu ke mahkamah," katanya.

Mahfuz menambah, keadaan ini pihak kerajaan mengatasi kuasa mahkamah dan meminta kerajaan tidak menyusahkan rakyat memandangkan masalah ini berpunca daripada pihak polis dan JPJ yang tidak mengikut prosedur yang diperuntukan undang-undang.

Sementara itu, Penasihat Undang- Undang Kempen Anti-Saman Ekor (KASE), Zulhilmi Shariff menyatakan rakyat perlu faham kuasa menghukum semua pesalah tertakluk pada mahkamah dan bukannya pihak kerajaan.

"Persoalan yang paling besar ditimbulkan dalam isu saman ekor ini, Ketua Trafik Bukit Aman atau Timbalan Menteri menyebut, kita beri peluang untuk rakyat membayar saman sehingga 10 Mac. Persoalannya di sini, siapa yang suruh bayar? Itu yang paling penting," katanya.

Zulhilmi menambah, kompaun yang dinyatakan merupakan tawaran yang diberikan dan terpulang kepada pemandu sama-ada untuk menerima atau menolaknya.

"Kalau dia mendakwa mengesyaki kita melakukan kesalahan dia dakwa kita di mahkamah dan biar mahkamah hukum kita bukannya polis. Dia hantar notis meminta maklumat seperti yang dimaklumkan Timbalan Menteri dalam dewan Notis 170 A dibawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan adalah notis meminta maklumat pemandu yang perlu dijawab dalam masa 7 hari.

"Kalau kita tidak jawab seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan menyatakan kita hendaklah memuaskan hati mahkamah bahawa kita tidak tahu siapa yang membawa. Maksudnya di sini kita ke mahkamah dan kita menjawab kita tidak tahu siapa yang membawa kenderaan ini. Bukan kita tidak jawab dalam masa 7 hari polis atau JPJ terus blacklist. Itu adalah menghukum," katanya.

Ujar beliau lagi, saman tidak perlu dibayar dan disemak sebaliknya pihak polis atau JPJ perlu membuktikan sama ada pemandu bersalah seperti yang didakwa.

Sebanyak 34 kereta remuk dihempap pokok di Jalan Tun Razak

Posted: 08 Mar 2011 02:33 AM PST

BERNAMA


Hujan lebat kira-kira sejam menyebabkan tiga pokok menghempap lebih 30 kereta di tempat letak kereta di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. – Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Sebanyak 34 buah kereta remuk setelah dihempap pokok ekoran hujan lebat dalam dua kejadian berasingan di tempat letak kereta swasta di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata kejadian pertama berlaku berhampiran dengan Wisma Time di Jalan Tun Razak di mana 30 kereta remuk apabila lima pokok termasuk empat pokok besar tumbang dan menghempap kereta yang dipakir di situ pada pukul 5.30 petang.

Pada masa yang sama empat kereta remuk apabila sebatang pokok besar di tempat letak kereta swasta berhampiran bangunan Bank RHB, yang terletak seberang jalan Wisma Time, tumbang dan menghempap kereta tersebut, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 20 anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) memotong dan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang itu sejak pukul 5.50 petang hingga 9 malam ini.

Kabinet lulus Majlis Pembangunan Luar Bandar di setiap kerusi Parlimen

Posted: 08 Mar 2011 02:30 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kabinet telah bersetuju dengan penubuhan Majlis Pembangunan Luar Bandar (MPLB) yang akan dipengerusikan oleh ahli Parlimen di kawasan masing-masing.

"Majlis itu bukan sahaja memantau tapi juga memastikan perjalanan projek dapat diselaraskan sebaik mungkin.

"Ini juga untuk memastikan semua ahli Parlimen tahu apa projek yang sedang berjalan di kawasan mereka," katanya pada majlis perjumpaan dan taklimat kementerian itu bersama anggota Kelab Penyokong Barisan Nasional malam tadi.

Bagaimanapun, bagi kawasan Parlimen yang bukan di bawah Barisan Nasional, MPLB akan dipengerusikan oleh ketua bahagian.

Mengenai cadangan ahli-ahli Parlimen supaya kerajaan menyediakan peruntukan lebih kepada kementerian itu bagi melaksanakan projek pembangunan dan infrastruktur di kawasan luar bandar, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada pihak atasan.

Mahkamah: Sampel DNA diambil secara tidak sah, ditolak sebagai bukti

Posted: 08 Mar 2011 02:24 AM PST

TERKINI

KUALA LUMPUR — Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah memutuskan sampel DNA telah diambil secara tidak sah dari lokap Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ditahan satu malam pada Julai 2008, dan ia akan dikeluarkan daripada senarai bahan bukti kes liwat Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.

Ini bermakna tuala "Good Morning", berus gigi dan botol air mineral serta sampel-sampel DNA yang diperoleh daripada ketiga-tiga barang itu tidak boleh digunakan sebagai bukti terhadap Anwar.

"Saya memutuskan dalam kes ini, sampel-sampel DNA daripada tiga barang ini — tuala Good Morning, botol air dan berus gigi diambil menggunakan cara tidak sah daripada tertuduh . . . dan, dikeluarkan daripada sebahagian daripada bahan bukti," kata beliau hari ini.

Beliau membuat keputusan itu di akhir perbicaraan dalam perbicaraan sama ada sampel DNA yang diambil daripada ketiga-tiga barang itu boleh diperoleh sebagai bukti.

Anwar, 63, didakwa meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Keputusan itu juga bermaknsa keterangan yang diberikan ahli kimia Nor Aidora Saedon, yang mengambil sampel daripada barangan tersebut tidak akan diterima sebagai keterangan.

Begitu juga dengan keterangan ketua makmal forensik Polis Diraja Malaysia di Cheras, Supt Hamidon Adnan, yang telah mengambil tiga barang itu dari sel di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur.

Hakim Mohd Zabidin Diah telah membenarkan permohonan pihak pembelaan bagi diadakan perbicaraan dalam perbicaraan atas alasan penahanan Anwar tidak mengikut undang-undang dan tiga barang itu diperoleh secara tidak sah.

Pihak pembelaan memanggil Anwar dan dua peguam belanya iaitu S.N. Nair, yang ada bersamanya semasa beliau ditahan oleh polis semasa dalam perjalanan ke rumahnya di Segambut dan R. Sivarasa, yang ada bersamanya di IPK, sebagai saksi manakala hanya Supt Ahmad Taufik Abdullah, pegawai polis yang menahan Anwar memberikan keterangan bagi pihak pendakwa.

Karpal Singh, pada awal prosiding hari ini, mempertahankan hujahannya bahawa polis memperoleh barangan itu " secara tidak sah dan tidak adil" selepas Anwar enggan memberikan profil DNA beliau.

Beliau berkata mahkamah sepatutnya mencontohi kes undang-undang di Malaysia dan bukannya Amerika atau British atau negara asing lain dalam membuat keputusan sama ada untuk membenarkan barangan itu diterima sebagai barang bukti.

Peguam Cara Negara 11 Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden semalam telah menjadikan kes undang-undang di Amerika, British, Jamaica dan Afrika sebagai contoh semasa berhujah bahawa keterangan yang relevan patut diterima walaupun ia mungkin diperoleh secara tidak sah.

Selepas menyampaikan keputusannya itu, Hakim Mohd Zabidin meminta pihak pendakwa meneruskan perbicaraan.

Mohamed Yusof, bagaimanapun berkata pihak pendakwa tidak bersedia untuk meneruskannya kerana saksi-saksi tidak diminta hadir pada prosiding hari ini.

Katanya pihak pendakwa akan memanggil tiga saksi termasuk pegawai penyiasat DSP Jude Balicious Pereira.

Oleh itu hakim menangguhkan perbicaraan ke esok.

Fatwa undi: Nik Aziz mohon penjelasan mufti Perak

Posted: 08 Mar 2011 02:19 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat: Menghantar surat rasmi.


KUALA LUMPUR — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar surat rasmi memohon penjelasan daripada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, ekoran penyataan "undi PAS masuk syurga".

Surat itu dihantar pagi tadi oleh pejabat Nik Aziz kepada Harussani.

"Hari ini saya telah menghantar surat rasmi kepada sohibus samahah Tan Sri Harussani, mufti Perak, memohon penjelasan di atas tulisan beliau dalam (akhbar) Mingguan Malaysia 6 Mac 2011 (Ahad lalu).

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga," kata beliau melalui Facebook pagi ini.

Jika benar, pertemuan kedua-dua tokoh yang sering bercanggah pendapat melalui media ini adalah kali pertama berlaku.

"Semoga beliau memberikan respons," tambah beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Perak telah menghantar surat jemputan kepada Harussani berhubung perkara sama.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi merialisasikan pertemuan tersebut.

Menurut mereka, sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Mereka berpendapat, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

Suruhanjaya siasatan tegur penolong penguasa SPRM kerana bersikap selektif

Posted: 08 Mar 2011 02:17 AM PST

TERKINI
BERNAMA

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Siasatan yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock menegur penolong penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Ashraf Mohd Yunus kerana tidak memberi kerjasama yang baik ketika memberi keterangan berhubung kes membabitkan setiausaha politik kepada exco Selangor itu.

Seorang anggota panel suruhanjaya itu, Datuk T.Selventhiranathan, yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, berpendapat tindakan Mohd Ashraf itu lebih bersifat selektif kerana kebanyakan soalan yang dikemukakan kepadanya gagal dijawab.

"Saya lihat awak mengalami selektif memori... ini adalah kes penting. Mana mungkin seseorang yang terlibat dalam kes sebegini tidak ingat. Awak lebih banyak menyatakan tidak ingat. Saya harap saksi-saksi dapat membantu," katanya pada prosiding siasatan hari ini.

Isu ini timbul apabila Mohd Ashraf, 27, iaitu saksi ke-20, tidak dapat menjawab kesemua soalan yang diajukan oleh pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud mengenai kelulusan peruntukan yang ditandatangani oleh Teoh yang menggunakan cop anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Bagaimanapun, Mohd Ashraf tidak dapat mengingatinya dengan berkata: "Saya tak ingat, sebab suara Teoh perlahan tetapi apabila kami meminta alamat e-mail Teoh, dia menulis di atas kertas.

"Saya tidak mengingat sebab banyak soalan diajukan oleh Arman," katanya yang menjalankan siasatan untuk membantu pegawai SPRM Arman Alies.

Perkara itu turut disokong bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang kelihatan kesal dan kecewa dengan tindakan Mohd Ashraf yang enggan memberi kenyataan sewajarnya.

"Kenapa tak ingat... ini perkara penting kita tak mahu tunding jari kepada sesiapa. Kita hendak yang benar tapi kamu menjadikan perkara ini sebagai ''anti-klimaks''. Kalau benda yang penting kamu tidak ingat adakah kamu memerlukan 20 minit untuk mengingat kembali?" kata Abdul Kadir.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Siasatan itu, kemudian menangguhkan prosiding selama 30 minit untuk membolehkan Mohd Ashraf meneliti kesemua fail dan dokumen dalam kes siasatan Teoh.

Dalam prosiding hari ini, Mohd Ashraf turut disindir oleh Awang Armadajaya yang bertanyakan kepada beliau adakah tugasnya sebagai pegawai penyiasat tidak penting dan beliau berkata: "Saya ditugaskan untuk membantu sahaja."

Hakim Foong kemudiannya menegaskan sebagai penolong, beliau berperanan sepertimana pegawai penyiasat dan seharusnya mengetahui tugas-tugas sebagai pegawai penyiasat.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu turut dianggotai Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ''keputusan terbuka'' berhubung kes itu.

Prosiding disambung esok.

Pemimpin pusat Gerakan keluar parti, salahkan hegemoni Umno

Posted: 08 Mar 2011 01:52 AM PST


Dr Hsu Dar Ren
KUALA LUMPUR — Dr Hsu Dar Ren, pemimpin pusat Gerakan, memutuskan untuk keluar parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dengan menuding jari ke arah Umno, yang menurutunya mendominasi kuasa politik perikatan tersebut.

Dr Hsu mengumumkan keputusan mengejutkan ini ketika genap tiga tahun negara mengadakan pilihan raya umum ke-12 di mana BN kehilangan tambahan empat negeri dan majoriti dua pertiga di Parlimen pada 8 Mac 2008.

Salah satu negeri itu ialah Pulau Pinang di mana pemimpin Gerakan mengetuai kerajaan negeri itu selama 39 tahun.

"Gerakan sebuah parti yang mempunyai ideologi baik untuk melahirkan masyarakat yang adil dan saksama di Malaysia. Ia juga mempunyai ramai ahli yang (sangat) berhati-hati dalam menerima ideologi ini.

"Malangnya, dalam rangka kerja BN, di mana dalam politik bertunjangkan kaum, hegemoni Umno lebih berkuasa, mustahil bagi Gerakan merealisasikan pendirian ini," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

"Saya telah membuat satu keputusan besar (hari ini)," kata doktor perubatan ini dalam tulisan blognya.

"Saya telah memutuskan pada ulang tahun pilihan raya umum 8 Mac (hari ini), saya akan keluar Gerakan.

"(Keputusan) ini bukan kerana parti (Gerakan) itu sendiri, yang mempunyai ideologi yang baik, ramai ahli yang baik dan ramai kawan-kawan yang baik, tetapi lebih disebabkan dominasi Umno dalam setiap perkara dalam perikatan (BN)," katanya lagi.

Pemimpin Gerakan Wilayah Persekutuan ini juga berkata beliau kecewa dengan politik berasaskan kaum dan Gerakan sebenarnya semakin berjauhan daripada mencapai ideologi politiknya.

Katanya, disebabkan politik berasaskan kaum, negara ini telah negara berhadapan dengan polarisasi kaum paling buruk, yang tidak pernah disaksikan selama ini.

"Meskipun cuba untuk bertindak dari dalam sejak berdekad lamanya, Gerakan semakin berjauhan daripada mencapai cita-cita ini," katanya.

Malah kata Dr Hsu, selepas tiga tahun pilihan raya umum 2008 beliau merasakan tidak banyak dicapai dalam polisi ke arah menyatukan rakyat dan menyediakan peluang saksama kepada semua kecuali hanya kenyataan-kenyataan retorik.

"Saya merasakan sia-sia bagi saya untuk cuba berjuang dari dalam sistem itu sendiri," katanya lagi.

Ekoran keputusan hari ini, Dr Hsu juga berkata beliau tiada hasrat untuk menyertai mana-mana parti politik.

"Tetapi (saya) akan terus menyuarakan menerusi tulisan dan blog mengenai kepentingan membina masyarakat yang adil dan saksama," katanya lagi.

Tiada ulasan: