Anak Sungai Derhaka |
- Mahathir Pembohong Terdesak - Anwar (Video Inside)
- Selangor lancar Dasar Tahfiz Al-Quran
- Tun Faisal BERLAGAK, TAK SEDAR DIRI dan PERASAN !!
- Saya keturunan India, tapi mengaku Melayu - Mahathir
- Pemimpin Gerakan keluar parti, salahkan UMNO
- Mahathir meneruskan Fitnahnya.. err..bila nak taubat ni?
- Cubaan Mengebom Sekolah..
- Tuduhan Liwat : Hakim tolak tiga barangan sebagai bukti
- BN akan ditolak pada PRU13 nanti - Ibrahim Ali
- Surat Terbuka buat Rosmah Mansor dari Ahli UMNO
Mahathir Pembohong Terdesak - Anwar (Video Inside) Posted: 08 Mar 2011 04:09 AM PST KUALA LUMPUR 8 MAC: Tuduhan-tuduhan yang dilontar oleh Mahathir Mohamad terhadap Anwar Ibrahim dalam buku Doktor Dalam Rumah adalah untuk menutup penyelewengan semasa pemerintahan mantan Perdana Menteri itu dan demi menjamin masa depan politik anaknya, Mukriz, kata Ketua Pembangkang itu. "Sebenarnya apa yang saya lihat ialah ketakutan dia (Mahathir) terhadap perubahan kerana kezaliman yang berlaku semasa pemerintahannya seperti yang didedahkan dalam buku Barry Wain: Malaysia Maverick. Beliau menghabiskan RM100 bilion lebih (duit rakyat), kata Anwar. "Mahathir juga mahu menjamin masa depan anaknya seperti yang dilakukan oleh Hosni Mubarak terhadap anaknya Kamal. Dia mahu menjamin anaknya dalam golongan terulung di negara. Ini yang menjadi pertimbangan dia," Anwar memberitahu TVSelangor. Dalam buku mengenai kisah hidupnya itu, Mahathir sekali lagi mengulangi dakwaan fitnah perlakuan moral Anwar. Tuduhan-tuduhan itu sering diulangi oleh Mahathir sebagai alasan beliau memecat Anwar daripada kerajaan dan Umno pada tahun 1998, malah diperhebatkan setelah Mahathir berundur sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003. Kini anaknya Mukriz, walaupun kalah dalam saingan menjadi Ketua Pemuda Umno, dilantik menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selain Pengerusi Umno Kedah. Pemerhati politik menyifatkan Mahathir sebagai mempunyai agenda tersendiri untuk menghakis pengaruh Anwar dan Pakatan Rakyat demi menjamin kelangsungan Umno dengan Mukriz diasuh untuk kedudukan lebih tinggi dalam parti itu. |
Selangor lancar Dasar Tahfiz Al-Quran Posted: 08 Mar 2011 03:12 AM PST SHAH ALAM, 8 Mac: Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Dasar Tahfiz Al-Quran dengan lima objektif utama antaranya melahirkan 500 huffaz profesional pada 2020. Dasar itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini malam tadi yang berkata, ia merupakan yang pertama dilaksanakan di Malaysia. Visi dasar itu menjurus ke arah melahirkan generasi Al-Quran profesional yang mahir, berilmu, beriman, beramal, bersepadu, berakhlak mulia, berdaya saing dan berketrampilan seiring dengan keperluan masa kini. Objektif dasar itu untuk menambahkan bilangan huffaz serta meningkatkan kualiti pendidikan tahfiz Al-Quran, kerjasama kerajaan negeri dengan semua pihak hingga mampu melahirkan lebih ramai hafiz dan menjadi tempat rujukan utama bagi segala permasalahan berkaitan Al-Quran. Selain itu, menjadi pusat melahirkan guru Al-Quran yang terlatih dan profesional demi memenuhi tuntutan keperluan masyarakat serta pusat latihan pengurudan dan pentadbiran Institut Tahfiz Al-Quran. Jawatankuasa pelaksana dasar ini juga akan terus mengadakan Hari Huffaz, Akademi Imam, Kursus Tarannum, Karnival Huffaz Selangor, Ijtimak Huffaz Selangor dan Majlis Pengiktirafan Hafiz. Sebelum itu, Abdul Khalid berucap merasmikan Pertandingan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 2011 yang berlangsung di Auditorium Dewan Jublee Perak, Bangunan SUK, dekat sini. Sambutan terhadap majlis ini amat memberangsangkan berikutan premis luas itu sesak dan penuh dengan huffaz. Selesai acara rasmi, Abdul Khalid menyampaikan elaun tunai kepada sekitar 30 huffaz yang berjaya di dalam temuduga yang diadakan sebelum ini. Malam tadi, seramai dua penghafaz lelaki menjawab lima soalan dengan cara menyambung ayat Al-Quran yang kelihatannya sangat mudah bagi mereka berbuat demikian. Bagi mereka yang menghafaz 10 juzuk menerima bayaran sebanyak RM1,200, 20 juzuk (RM1,800) dan 30 juzuk (RM3,000). Seorang penerima elaun, Mohd Adib Badri Shah Al, 20, dari Klang bersyukur kerana berjaya dalam percubaan pertama kategori 10 juzuk dengan membawa pulang wang tunai RM1,200. Adib baharu sahaja tamat 30 juzuk pada temuduga itu November lalu dari Institut Tahfiz Al-Quran Gemencheh, Negeri Sembilan. Anak kelima ini berazam untuk menyertai lagi temuduga ini di masa akan datang untuk menguji kemahiran. Mengikut buku dasar ini, aktiviti menghafaz atau ishbat ini melibatkan program untuk peserta 18 tahun ke atas bertujuan menjadikan program pemberian elaun sebagai aktiviti ko-kurikulum huffaz. Program ini juga untuk meningkatkan istiqamah huffaz dalam usaha memelihara hafazan Al-Quran, menjadikan golongan huffaz sebagai penggerak yang terancang dalam membudayakan Al-Quran melalui masjid dan surau serta memartabatkan generasi pembawa Al-Quran. Aktiviti ujian ini dilaksanakan sebanyak dua kali setahun; Mei dan November di mana bayaran dibuat dua bulan kemudian melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama pertubuhan yang berkaitan. Harakahdaily |
Tun Faisal BERLAGAK, TAK SEDAR DIRI dan PERASAN !! Posted: 08 Mar 2011 01:02 AM PST Tun Faisal ni rasanya semua orang UMNO dah kenal dia ni.. tapi buat penyokong Pakatan Rakyat yang tertanya-tanya siapa Tun Faisal itu? Dari hutan manakah dia datang? Tun Faisal adalah Exco Pemuda UMNO yang mempengerusikan Unit Media Baru atau UMB yang fungsinya adalah membantu UMNO dalam perang saraf dengan pihak Pakatan Rakyat.. Beliau didakwa sebagai orang kuat Khairy Jamaluddin dan ada juga yang kata dia ni buta IT.. entahlah.. hanya mereka yang menyokong UMNO lebih mengenalinya. Malangnya kerja tak jalan dana pula dikatakan lesap.. aku malas nak tulis panjang-panjang pasal Tun Faisal ni.. pasal aku tak kenal sangat dia ni.. korang bacalah apa yang ditulis oleh Cucu Tok Wan dari The Flying Kick yang aku paste dibawah ni.. Parpukari lebih layak mempengerusikan Unit Media Baru UMNO itu rasanya.. MELAKA BUBAR UNIT MEDIA BARU?!! The Flying Kick Unit Media Baru atau UMB yang dipengerusikan oleh Exco Pemuda Tun Faisal Ismail Aziz sepatutnya membantu UMNO dalam perang saraf dengan pihak Pakatan Rakyat. UMB dijanakan dengan peruntukan yang bukan kecil. Bagaimanapun, rata-rata merungut dan mengecam UMB dan Tun Faisal kerana terlalu BERLAGAK, TAK SEDAR DIRI dan PERASAN sebagai boss kepada para bloggers, sekalipun Tun Faisal sebenarnya tidak mempunyai blogger yang bernaung di bawah UMB. Maka masalah tersebut meledak di Kerdau dan Merlimau. Di Melaka, media baru dijalankan oleh Pahlawan Melayu Melaka atau PMM dan bukannya UMB. 20 orang bloggers yang bernaung di bawah PMM langsung tidak menghiraukan Tun Faisal dan UMBnya yang dilihat sangat pincang dan hanya gah pada nama tetapi langsung tak buat sebarang kerja dan gagal berfungsi mengikut bidang tugas bagi menaikkan nama Pemuda UMNO. Apa yang berlaku di Merlimau dan cubaan 'merampas' kuasa di Kerdau jelas memperlihatkan bagaimana Unit Media Baru tidak lebih daripada sebuah entiti yang sebenarnya cuba menaikkan nama Tun Faisal dalam Pemuda UMNO, bukannya menaikkan Pemuda UMNO secara keseluruhannya. Dengan kata-kata lain, Tun Faisal sebenarnya TAK PAYAH ADA DALAM PEMUDA UMNO PUN tidak menjejaskan perjalanan cywar UMNO. Bahkan ketiadaannya lebih melicinkan dan melancarkan tugas para peserta yang terbabit dalam cywar. Di Kerdau, Pahang, media baru dikendalikan oleh PAHANGKU. UMB yang sepatutnya menjalankan tugas dan menaungi para blogger, ditolak sejak dari awal lagi. Boleh dikatakan, hampir keseluruhan blogger UMNO menolak UMB yang tidak lebih daripada sebuah mesin pengaut wang untuk masuk ke akaun sendiri, berbanding terlibat secara langsung dengan permainan dunia perang siber. Yang lebih malang, Pengerusi Unit Media Baru Pemuda UMNO sendiri pun, BUTA KAYU TENTANG CYWAR!!!! Mungkin kerana itulah, Datuk Akbar Ali, Ahli Dewan Negara yang mewakili negeri Melaka, sejurus selepas mengumumkan kemenangan tidak rasmi UMNO-BN di Command Centre UMNO-BN di Merlimau, memberitahu Ketua Pemuda UMNO Melaka, Karim Yaacob agar membubarkan UMB, apatah lagi dengan pintu bilik media yang sepatutnya digunakan oleh para blogger dikunci sepanjang masa dan tidak boleh digunakan oleh sesiapa pun kecuali dengan IZIN TUN FAISAL! Dan ianya mungkin secara tidak langsung disebabkan oleh ketidakupayaan UMB menggalas tugas dalam beberapa PRK yang lepas dengan kemuncaknya adalah di Merlimau dan Kerdau. Parpu Kari lebih layak ketuai Unit Media Baru (UMB) Umno Peranan Unit Media Baru atau UMB yang dipengerusikan oleh Exco Pemuda, Tun Faisal Ismail Aziz dipertikai apabila UMB dikatakan gagal berfungsi mengikut bidang tugas yang sepatutnya. UMB yang sepatutnya membantu UMNO dalam perang saraf dengan pihak Pakatan Rakyat dilihat gagal dalam menaikkan Pemuda UMNO terutama ketika di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kerdau dan Merlimau yang lalu. Masalah unit media ini kian ketara di Melaka, apabila media baru dijalankan oleh Pahlawan Melayu Melaka atau PMM yang bukan berada di bawah UMB. Malah, 20 orang bloggers yang bernaung di bawah PMM juga tidak menghiraukan Tun Faisal. Sementara itu, di Kerdau, Pahang, media baru dikendalikan oleh PAHANGKU. Menurut sumber, UMB yang sepatutnya menjalankan tugas dan menaungi para blogger dikatakan telah ditolak sejak dari awal lagi oleh hampir keseluruhan blogger UMNO. Ahli Dewan Negara,Negeri Melaka, Datuk Akbar Ali, dikatakan memberitahu Ketua Pemuda UMNO Melaka, Karim Yaacob agar membubarkan UMB sejurus selepas mengumumkan kemenangan tidak rasmi UMNO-BN di Command Centre UMNO-BN, Merlimau. Ianya mungkin secara tidak langsung disebabkan oleh ketidakupayaan UMB menggalas tugas dalam beberapa PRK yang lepas dengan kemuncaknya adalah di Merlimau dan Kerdau. UMB dijanakan dengan peruntukan yang besar, namun ianya dilihat seperti tidak lebih daripada sebuah entiti yang hanya sekadar menaikkan nama Tun Faisal dalam Pemuda UMNO dan bukannya Pemuda UMNO secara keseluruhannya. Sinar Harian |
Saya keturunan India, tapi mengaku Melayu - Mahathir Posted: 07 Mar 2011 11:33 PM PST KUALA LUMPUR, 8 Mac — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mempunyai darah keturunan India dalam badannya tetapi mempertahankan beliau masih seorang Melayu dan "bangga" kerana status itu. "Saya mengaku ada (darah) India atau lebih tepat lagi darah Asia Selatan mengalir dalam urat saya, tetapi dari bahagian mana di benua kecil India nenek moyang saya datang, saya tidak tahu," kata beliau dalam buku autobiografinya "A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad." "Saya seorang Melayu dan bangga kerana itu. Saya seorang Melayu bukan setakat atas kertas. Dari segi sentimen dan semangat, saya juga seorang Melayu," kata beliau dalam memoir 809 halaman ini. "Ada yang mendakwa bapa saya Malayali dan fasih berbahasa Tamil dan Malayalam. "Ada yang menulis beliau seorang Hindu yang menganut Islam untuk berkahwin dengan ibu saya. "Yang lain mengatakan mereka ada melihat dokumen yang dengan jelas mengatakan etnik saya," kata bekas perdana menteri ini. "Hampir setiap orang Melayu di Malaysia mempunyai sedikit darah bukan Melayu," kata beliau sambil menambah, ia tidak bermakna mereka kurang Melayu. Dr Mahathir berkata kebanyakan orang Melayu tidak menyimpan asal usul mereka meskipun mereka yang mempunyai darah Arab boleh mengesan keturunan mereka sehingga Yemen dan tahu keluarga asal mereka. Sehubungan itu kata Dr Mahathir, menjadi orang Melayu bukan lagi persoalan keturunan tetapi satu ikatan perundangan. "Dari segi perundangan, seorang Melayu didefinisikan sebagai seorang yang bercakap bahasa Melayu, amalkan budaya orang Melayu dan beragama Islam," katanya. Oleh itu katanya, mereka yang memenuhi syarat-syarat itu adalah orang Melayu dan layak untuk menikmati "sesetengah hak" di bawah lunas perundangan. Sejak beberapa tahun lalu Dr Mahathir meningkatkan kelantangannya dalam mempertahankan hak perlembagaan orang Melayu dan dikritik kerana sealiran dengan kumpulan pendesak hak orang Melayu seperti Perkasa. Ekoran pendirian itu bekas perdana menteri ini dituduh sebagai rasis — label yang beliau menafikan berulang kali. Beliau menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003. The Malaysian Insider |
Pemimpin Gerakan keluar parti, salahkan UMNO Posted: 07 Mar 2011 10:47 PM PST Oleh G Manimaran KUALA LUMPUR, 8 Mac — Dr Hsu Dar Ren, pemimpin pusat Gerakan, memutuskan untuk keluar parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dengan menuding jari ke arah Umno, yang menurutunya mendominasi kuasa politik perikatan tersebut. Dr Hsu mengumumkan keputusan mengejutkan ini ketika genap tiga tahun negara mengadakan pilihan raya umum ke-12 di mana BN kehilangan tambahan empat negeri dan majoriti dua pertiga di Parlimen pada 8 Mac 2008. Salah satu negeri itu ialah Pulau Pinang di mana pemimpin Gerakan mengetuai kerajaan negeri itu selama 39 tahun. "Gerakan sebuah parti yang mempunyai ideologi baik untuk melahirkan masyarakat yang adil dan saksama di Malaysia. Ia juga mempunyai ramai ahli yang (sangat) berhati-hati dalam menerima ideologi ini. "Malangnya, dalam rangka kerja BN, di mana dalam politik bertunjangkan kaum, hegemoni Umno lebih berkuasa, mustahil bagi Gerakan merealisasikan pendirian ini," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. "Saya telah membuat satu keputusan besar (hari ini)," kata doktor perubatan ini dalam tulisan blognya. "Saya telah memutuskan pada ulang tahun pilihan raya umum 8 Mac (hari ini), saya akan keluar Gerakan. "(Keputusan) ini bukan kerana parti (Gerakan) itu sendiri, yang mempunyai ideologi yang baik, ramai ahli yang baik dan ramai kawan-kawan yang baik, tetapi lebih disebabkan dominasi Umno dalam setiap perkara dalam perikatan (BN)," katanya lagi. Pemimpin Gerakan Wilayah Persekutuan ini juga berkata beliau kecewa dengan politik berasaskan kaum dan Gerakan sebenarnya semakin berjauhan daripada mencapai ideologi politiknya. Katanya, disebabkan politik berasaskan kaum, negara ini telah negara berhadapan dengan polarisasi kaum paling buruk, yang tidak pernah disaksikan selama ini. "Meskipun cuba untuk bertindak dari dalam sejak berdekad lamanya, Gerakan semakin berjauhan daripada mencapai cita-cita ini," katanya. Malah kata Dr Hsu, selepas tiga tahun pilihan raya umum 2008 beliau merasakan tidak banyak dicapai dalam polisi ke arah menyatukan rakyat dan menyediakan peluang saksama kepada semua kecuali hanya kenyataan-kenyataan retorik. "Saya merasakan sia-sia bagi saya untuk cuba berjuang dari dalam sistem itu sendiri," katanya lagi. Ekoran keputusan hari ini, Dr Hsu juga berkata beliau tiada hasrat untuk menyertai mana-mana parti politik. "Tetapi (saya) akan terus menyuarakan menerusi tulisan dan blog mengenai kepentingan membina masyarakat yang adil dan saksama," katanya lagi. The Malaysian Insider |
Mahathir meneruskan Fitnahnya.. err..bila nak taubat ni? Posted: 07 Mar 2011 10:28 PM PST Kemenangan "awal" Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah hari ini tentunya suram dengan satu lagi pusingan serangan peribadi Tun Mahathir Mohamad terhadap mantan timbalannya, kali ini menerusi buku autobiografinya. Anwar pagi tadi berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menolak beberapa bahan bukti yang diperolehi oleh polis secara tipu helah namun kini berdepan dengan asakan fitnah Mahathir menerusi buku berjudul "Doktor Dalam Rumah." Oleh kerana didokong oleh Umno-Barisan Nasional dan seluruh jentera kerajaan, Mahathir merasakan beliau masih mempunyai hak mutlak membuat tuduhan-tuduhan liar terhadap Anwar walaupun bukan lagi menjadi Perdana Menteri. Segala percubaan Anwar untuk mempertahankan dirinya di mahkamah daripada serangan-serangan Mahathir sebelum ini tidak berhasil kerana ia berkait dengan tahap kewibawaan sistem kehakiman negara ketika ini. Dalam membuat tuduhan-tuduhan liar menerusi buku "Doktor di dalam rumah" Mahathir hanya mendedahkan sifat semula jadinya untuk berbohong apabila perlu demi melindungi kredibilitinya sendiri. Ramai tentunya masih ingat bahawa setelah membuat pelbagai tuduhan terhadap Anwar pada tahun 1998, Mahathir enggan hadir di mahkamah apabila diberi peluang penuh untuk memberi keterangan pada perbicaraan pertama Anwar. Beliau menggunakan segala pengaruh dan kuasa selaku Perdana Menteri untuk mengelak daripada memberi keterangan atau disoal balas oleh peguam Anwar ketika itu. Jika Mahathir hadir di mahkamah untuk mempertahankan tuduhan-tuduhannya, seluruh masyarakat - di dalam dan luar negara tentunya akan "tabik" dengan ketelusan beliau. Sebaliknya beliau memilih untuk terus melontarkan tuduhan-tuduhan liar itu di luar mahkamah dan meneruskannya walaupun setelah Anwar dihumban dalam penjara ketika itu. Hari ini, walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tabiat buruk berbohong susah dikikis oleh Tun. Sudah tentu tuduhan-tuduhan terbaru beliau akan didokong oleh pemimpin-pemimpin Umno sekarang, kerana walaupun diaibkan dan dihina dengan pelbagai cara, Anwar masih menjadi saingan politik utama kepada Umno. Di Johor, polis digunakan untuk melarang Anwar daripada berceramah baru-baru ini. Di PRK Kerdau baru-baru ini, kereta Anwar di serang oleh samseng upahan Umno. Malah parti itu terpaksa mengitar semula hikayat-hikayat lama berupa fitnah menerusi Umi Hafilda yang secara kebetulan mengisytiharkan dirinya peminat no 1 Mahathir. Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Mahathir dalam buku nukilannya kali ini memang pedas dan mengaibkan Anwar serta keluarga termasuk anak-anak beliau. Namun hakikatnya ialah, Mahathir memecat Anwar bukan kerana isu "moral" tetapi kerana bimbang hayat politiknya sendiri sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno tercabar oleh kemaraan politik Anwar. Mereka yang arif dengan politik Umno tentunya tahu latar belakang kebimbangan Mahathir pada tahun 1998 susulan kejatuhan Presiden Suharto selepas memerintah Indonesia secara autokratik selama 32 tahun. Maka bermulalah komplot untuk mengaibkan Anwar dengan tuduhan menghinakan supaya beliau ditolak oleh kaum Melayu yang menjadi tunggak Umno. TVS |
Posted: 07 Mar 2011 07:52 PM PST Kuala Lumpur: Gara-gara tidak puas hati dengan guru, dua pelajar nekad meletupkan bangunan sebuah sekolah menengah di pinggir ibu kota dengan 'bom' buatan sendiri yang dipercayai diperbuat daripada mercun bola dan lingkaran nyamuk, semalam. Tindakan ala 'MacGyver' itu dilakukan kedua-dua pelajar tingkatan tiga terbabit pada kira-kira jam 7.40 pagi menyebabkan berlaku tiga letupan di tiga lokasi berasingan sekolah berkenaan, sekali gus menggemparkan guru dan pelajar yang baru memulakan sesi pembelajaran. Sumber polis berkata, pelajar terbabit dipercayai cuba membakar bangunan sekolah mereka, namun ketiga-tiga letupan yang dihasilkan tidak mencetuskan kebakaran. "Biarpun insiden itu tidak mendatangkan kemalangan jiwa atau kecederaan kepada guru mahupun pelajar, ia kesalahan serius dan polis kini memburu kedua-dua pelajar terbabit yang dikenal pasti identiti mereka," katanya. Menurutnya, letupan pertama kedengaran ketika sesi pembelajaran baru bermula dan tersentak dengan itu, beberapa guru bersama pengawas sekolah bergegas mencari lokasi kejadian. "Dalam kebingungan mencari punca letupan, satu lagi letupan berlaku kira-kira 10 minit kemudian di bangunan berhampiran pejabat dan kira-kira 20 meter dari lokasi letupan pertama yang berlaku dalam sebuah bilik darjah kosong di blok berlainan," katanya. Sumber itu berkata, ketika letupan kedua, beberapa guru mendakwa melihat cebisan kertas yang hancur dan beberapa lingkaran nyamuk yang masih berasap di atas bangunan berkenaan. Menurutnya, bimbang dengan keadaan itu, pihak pengurusan sekolah menghubungi polis dan lima anggota dari Balai Polis Setapak tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian. "Anggota polis berkenaan mula menggeledah bangunan sekolah itu, namun gagal mengesan suspek. Dalam kesibukan itu, tiba-tiba kedengaran pula letupan ketiga pada kira-kira jam 8.40 pagi di kawasan padang sekolah berkenaan," katanya. Menurutnya, seorang saksi yang juga pelajar sekolah terbabit mendakwa melihat dua pelajar lengkap berpakaian sekolah tergesa-gesa meninggalkan sekolah dengan menggunakan motosikal yang diletakkan di luar sekolah. Sehubungan itu, wakil sekolah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan itu. "Siasatan awal mendapati pelajar terbabit menggunakan mercun bola dan lingkaran nyamuk untuk menghasilkan letupan itu. Sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan motif sebenar masih dalam siasatan," katanya. Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya menyerahkan siasatan penuh dilakukan pihak berkuasa mengenai motif sebenar insiden berkenaan. "Jika hasil siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan pelajar sekolah berkenaan, tindakan tegas akan diambil," katanya. Harian Metro |
Tuduhan Liwat : Hakim tolak tiga barangan sebagai bukti Posted: 07 Mar 2011 07:06 PM PST Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memerintahkan tiga barangan - berus gigi, botol air minuman dan tuala 'Good Morning' tidak boleh diterima sebagai bukti. Hakim, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dalam penghakiman dalam bicara dalam perbicaraan berkata barangan berkenaan diperolehi dengan cara yang tidak sah. Justeru, katanyanya, sampel DNA yang diperolehi itu tidak boleh diterima. Sehubungan keputusan itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan, meskipun beliau mempunyai tiga saksi lagi. Mahkamah kemudiannya ditangguhkan hingga pagi esok. Sebelum itu, peguam Karpal Singh pagi tadi menjawap hujah Yusof semalam dalam usaha tidak membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menjadikan tiga barangan kontroversial itu sebagai bukti. Menurut Karpal, memandangkan tangkapan ke atas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijalankan secara tidak sah dan barang berkenaan diperolehi secara tidak adil, justeru ia harus ditolak. Sebaliknya, Yusof pula berkata mahkamah perlu mempertimbangkan sama ada barangan itu adalah relevant meskipun cara ia diperolehi mengkin 'tidak sah'. Sambil memetik kes mahkamah di negara-negara Komanwel seperti Britain, Amerika, Jamaica dan Afrika, Yusof dalam hujahnya selama dua jam setengah itu berkata puntung rokok dan botol air minuman daripada tertuduh juga diterima sebagai bukti dalam kes serangan seksual dan pembunuhan. Berdasarkan hujah kedua-dua pihak, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat penghakimannya hari ini. Malaysiakini |
BN akan ditolak pada PRU13 nanti - Ibrahim Ali Posted: 07 Mar 2011 05:24 PM PST Semalam Pak Berahim Ali ni kata BN kini bukan sahaja BN kini dalam kedudukan yang lebih kuat, tetapi ia juga mampu menyerang balas dan merampas semula kerusi yang terlepas ke tangan Pakatan Rakyat sewaktu tsunami politik Mac 2008. Bersungguh-sungguh dia memuji kejayaan UMNO/BN dalam PRK Kerdau dan Merlimau yang telah berlangsung kelmarin, namun sikitpun tidak dihargai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz. Malah dicabar pula oleh Nazri Aziz supaya PERKASA bertanding dalam PRU13 nanti dibawah lambang mereka sendiri, menurut Nazri beliau tiada masaalah untuk berdepan dengan sesiapa saja yang bertanding di Padang Rengas termasuk Presiden PERKASA Ibrahim Ali sendiri..baca di SINI Setelah dihentam oleh Nazri Aziz, Ibrahim Ali berkata pula " jika BN masih mengekalkan pemimpin yang tidak mempamerkan sikap berhemah, tidak menerima pandangan orang lain dan ego, tidak mustahil rakyat akan menolak kerajaan yang ada pada masa ini" sepenuhnya dibawah. Sekejap dia kata BN dah kuat, bila Nazri hentam dia, dia kata BN akan ditolak pula.. apa dia cakap nie?? Perkasa tidak bertanding PRU KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkas Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sekali lagi menegaskan bahawa pertubuhan tersebut tidak akan terlibat dalam politik apatah lagi bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Katanya, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencabar pertubuhan tersebut untuk bertanding pada PRU sebagai sikap ego dan riak segelintir pemimpin Barisan Nasional (BN). Menurutnya, jika BN masih mengekalkan pemimpin yang tidak mempamerkan sikap berhemah, tidak menerima pandangan orang lain dan ego, tidak mustahil rakyat akan menolak kerajaan yang ada pada masa ini. "Perkasa memang tidak sehebat Mohamed Nazri di kawasannya di Padang Rengas tetapi Perkasa ada sedikit undi daripada ahlinya yang boleh menentukan masa depan politik Nazri dan BN. "Dalam kerajaan ada dasar keterbukaan, jika tidak bersetuju tidak perlu untuk membuat cabaran sedemikian sedangkan beliau tahu Perkasa bukan parti politik," katanya. Terdahulu, Nazri mencabar Perkasa bertanding dalam pilihan raya di kerusi yang disandangnya iaitu Padang Rengas kerana Perkasa menolak cadangan untuk memansuhkan ruang perkenalan bangsa di borang-borang yang dikeluarkan oleh jabatan kerajaan dan swasta. Mengenai kemenangan BN di Kerdau dan Merlimau, beliau berkata, yang penting sekarang ialah sejauh mana BN boleh mengekalkan sokongan itu dan merebut kembali kerusi-kerusi yang dipegang parti pembangkang. Menurutnya, BN perlu bekerja lebih keras dan mengelak daripada terlibat dalam isu yang boleh menaikkan kemarahan rakyat seperti saman ekor dan kenaikan harga barang. "Walaupun ia fenomena dunia, kalau dapat ditangani dengan baik oleh BN, saya yakin kerusi yang hilang akan kembali kepada BN," katanya. Sinar Harian |
Surat Terbuka buat Rosmah Mansor dari Ahli UMNO Posted: 07 Mar 2011 09:01 AM PST Seekor babi datang kepadaku dan berkata,"Kenapa kamu enggan menjadi sepertiku?". Aku diam tertikam. Bisu seketika. Kemudian bibirku terukir senyum."Kamu diciptakan sebagai babi dengan seketul otak, dan aku diciptakan sebagai manusia dengan secebis akal" ujar hatiku berbisik halus kemudian berlalu pergi tanpa kata. Rentetan dari Surat Terbuka Buat Rosmah Mansur Assalamualaikum Datin Seri Rosmah Mansur, isteri PM Datuk Seri Najib Razak, Datin, ini adalah rentetan dari "Surat Terbuka untuk Datin Seri Rosmah Mansor" yang dinukilkan adik Muhammad Muizzuddin bin Zaini. Baru berusia 19 tahun adik ni, Datin Seri. Iya, Datin Seri. Sepertimana Muhammad Muizzuddin bin Zaini, saya tidak ingin menghina atau menjatuhkan kredibiliti Datin Seri sebagai FIRST LADY OF MALAYSIA. Tujuan saya hanya menegur dan membetulkan apa yang silap. Saya rakyat bawahan. Berpendapatan sekadar cukup makan sebagai seorang lelaki yang punya tanggungjawab kepada keluarga. Tidak aktif dalam politik. Cuma mendaftar sebagai ahli UMNO, parti yang saya percaya boleh menyatukan dan menyatakan hasrat golongan bawahan. Saya petik kata-kata dalam buku Tan Sri Zainudin Maidin (Buku "Surat Dari Mahathir) "UMNO adalah parti orang kampung". Dalam maksudnya Datin Seri. Banyak perkara yang ingin saya sentuh, namun dengan rendah diri saya ringkaskan kata-kata dan mencoretkannya seindah bahasa agar naluri Datin Seri tersentuh dan sedar apa yang silap apa yang benar. 1. Belas Ihsan. Dalam PROJEK PERMATA NEGARA yang Datin Seri selaku penaungnya dengan nilai suntikan RM 111 M itu salah berharga. Bukan saya tidak hargai, cuma sedikit terkilan. Apakah perintis projek ni hanya harus didatangkan dari Kuala Lumpur? Mana negeri-negeri lain? Saya kira, kalau hendak dirintis Sabah Sarawak haruslah jadi keutamaan. Mereka berada diceruk penghujung. Tidak cukup kemudahan. Bayangkan seandainya RM111 juta itu diberikan bantuan kepada pelajar-pelajar bumiputera dan pelajar-pelajar miskin di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau paling tidak menyara rakan-rakan yang menyambung pengajian di luar negara. Paling koman, menaja sekolah-sekolah pondok di Malaysia yang rata-ratanya menghantar pelajar tahfiz mereka ke merata tempat untuk meminta sedekah. Ini realiti Datin Seri! Malu imej Islam! Pemimpin Islam beribu orang kaya, mampu, takkan sekelumit pun tiada ihsan di hati untuk membantu sesama Islam? 2. First Lady Of Malaysia. Saya tidak salahkan Datin Seri mahu bergelar apa sekalipun dengan sehebat-hebat gelaran dunia. Tidak! Ianya tiada nilai melainkan gelak ketawa yang sinis. Sindiran, Datin Seri. Beberapa malam lalu, saya menghadiri kuliah Maghrib berhampiran kediaman saya di Setiawangsa. Antara intipati penceramah malam itu, ALLAH menghina ciptaanNya dengan sehina-hina darjat , dan bilamana ALLAH berikan kasih sayangNya ciptaanNya itu dipanggil denga semulia-mulia darjat. Datin Seri ingat pada Abi Lahab? Ingat ayat Al-Quran yang berbunyi "tabbadyada ya abi lahab..."(celaka lah kedua-dua belah tangan abi lahab!) Ingat tak Datin Seri? Kalau tidak ingat, mari saya ingatkan Datin Seri kepada Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali. Saya panggil kepadanya "serikandi". Selama 22 tahun, suaminya Tun Dr. Mahathir menerajui Malaysia ada pernah kita melihat Tun Dr. Siti Hasmah menyaingi populariti Tun Dr. Mahathir? Tidak pernah! Ini kenyataan. Tun Dr. Siti Hasmah cuma berada dibelakang Tun Dr. Mahathir. Sehinggakan pembangkang tidak ada isu yang mahu dikaitkan dengan beliau. Pembangkang yang bangang sahaja memburuk-burukkan Tun Dr. Siti Hasmah. Beliau hanya muncul menggosok lembut belakang Dr. Mahathir bilamana Tun Dr. Mahathir sebak ketika membacakan sajak "Perjuangan Yang Belum Selesai". Ribuan mata menjadi saksi, lensa pemberita merakam detik itu. Tapi, Datin Seri? Seboleh-bolehnya rakyat melihat Datin Seri seolah-olah King of the King. Berada didepan Datuk Seri Najib. Rakyat rimas. Jelek. Ini suara bawahan Datin Seri. Saya bercerita dengan seorang pengiring Menteri Kanan kepada kabinet Datuk Seri Najib sendiri. Menteri Kanan itu sendiri rimas. Mungkin kerana rumahtangga. Maaflah, yang itu saya tamatkan. Saya sendiri masih bertatih mempelajari ilmu kerumahtanggaan. 3. Kenyataan Masjid Macma. Datin Seri, tatkala saya mencoret tulisan ini, saya terbayang teringatkan kepada peristiwa 28 Febuari. Peristiwa di mana Datin Seri merasmikan Masjid Macma (Persatuan Cina Muslim Malaysia) bercirikan reka bentuk Cina yang bakal dibina di ibu negara. Kata Datin Seri, "berpotensi menarik kedatangan pelancong ke negara ini". Datin Seri, kalaulah niat itu (menarik pelancong) untuk mendirikan masjid baik tak payah. Seorang Islam dengan bangga mendirikan masjid hanya untuk menarik pelancong. Datin Seri harus sedar sebagai isteri kepada pemimpin No. 1; kenyataan seperti itu tidak harus keluar dari mulut Datin Seri. Jika hari ni, masjid didirikan untuk menarik pelancong what will in the next 5 or 10 years? Silap haribulan masjid hanya menjadi kawasan mencuci tapak kaki! Hina tak hina Datin Seri? Datin Seri tahu apa peranan masjid ketika Zaman Rasullullah SAW? Masjid itu tempat perbincangan masalah orang Islam, pusat pengumpulan ekonomi, pusat pengajian. Di beberapa, yang minoritinya beragama Islam menjadikan masjid sebagai transit musafir. Kira macam hostel la untuk musafir. Di Malaysia? Pemimpin membina masjid untuk menarik pelancong? Malu, Datin Seri! 4. Hotel di Dubai Dengan Kos Melebihi RM 100,000 Semalam. Inilah pucuk utama kenapa harus ada ribuan surat terbuka untuk Datin Seri. RM 100 K yang saya belajar di sekolah dan IPT dulu bukanlah sikit nilainya. Lagi-lagi kepada orang-orang kampung, golongan bawahan, pelajar miskin, orang merempat dan sebagainya. Saya tidak mempersoalkan kemewahan yang ALLAH kurnia untuk Datin Seri. Dalam Loh Mahfuz, Datin Seri ditakdirkan berkahwin dengan Datuk Seri Najib, menjadi isteri PM dsb. Yang persoalkan sumber dari mana tajaan RM 100 K itu. Kalau ianya tajaan Dubai, saya dan rakyat lain tidak kisah. Itu mungkin setaraf dengan status Datin Seri sebagai isteri PM Malaysia, atau mungkin "penghargaan atas perjuangaan dalam Islam". Tetapi, saya dan rakyat lain kisah bilamana belanja itu datangnya dari Kerajaan MALAYSIA sendiri! Tahukah Datin Seri, Mei 2010 suami Datin Seri membacakan hasil tinjauan yang mana menyebutkan gaji rakyat Malaysia di Kuala Lumpur yang dibawah RM 3K adalah dibawah PARAS MISKIN?!Itu di Kuala Lumpur, di kampung-kampung?! RM 100 K itu berulang kali saya belek, antara percaya atau tidak. RM 100 K, Datin Seri. Rakyat, kalau diberi RM 100 pun sudah melonjak gembira; apa lagi RM 100 K dibelanjakan untuk semalaman hanya sekadar menyewa bilik hotel! Sedih, rakyat. Mereka ada yang hidup kais pagi, makan pagi; kais petang bawak ke makan malam. Itu kalau mereka larat mengais rezeki, jika tidak? Merempat kelaparan! Datin Seri, Wan Azizah isteri Anwar Ibrahim dipersoal rakyat dengan harga bajunya; Nik Aziz suami isteri dipersoalkan ganjaran pergi ke Mekah dan tidak mustahil Datin Seri juga dipersoalkan kerana keborosan ini! Permata Negara disuntik dana sebanyak RM 111 M, kongres isteri-isteri pertama dunia di KL apa cerita? Inilah persoalan yang perlu Datin Seri jawab. Sama sepertimana kita dari BN meminta pembangkang clarify with the related issues. Ingat, Datin Seri di dunia ALLAH mungkin sorokkan keaiban kita; tapi tidak dihari pembalasan. Semua ditelanjangkan! Sekalipun Datin Seri bergelar "FIRST LADY OF MALAYSIA"! Datin Seri, merebut jawatan dalam parti bukanlah matlamat saya. Jauh sekali mengejar populariti. Dalam parti, ongkos adalah penting dalam memastikan team yang setia, kemas dan lengkap. Duit bukanlah segalanya bagi saya. Surat ini adalah bingkisan dan rentetan dari suara adik Muhammad Muizzuddin bin Zaini. Justeru, janganlah dianggap nukilan ini sebahagian dakyah pembangkang untuk merosakkan kredibiliti Datin Seri sebagai isteri PM. Kalau Datin Seri tidak mampu mencontohi Fatimah Az-Zuhra atau Aisyah R.A. cukuplah dengan Tun Dr. Siti Hasmah. Beliau berpada-pada dalam kehidupan politik suaminya. Terimalah nukilan ini dengan membuka seluas-luas pemikiran dan hati. Teguran ini ikhlas. Di penghujung ini saya nukilkan dialog antara babi dan manusia untuk kita fikirkan bersama-sama yang saya petik dari sebuah blog. Maknanya dalam. Seekor babi datang kepadaku dan berkata, "Kenapa kamu enggan menjadi sepertiku?". Aku diam tertikam. Bisu seketika. Kemudian bibirku terukir senyum. "Kamu diciptakan sebagai babi dengan seketul otak, dan aku diciptakan sebagai manusia dengan secebis akal" ujar hatiku berbisik halus kemudian berlalu pergi tanpa kata. Sekian. SHAHZUL IZZILSHAM AL-RASHID ZULKEFLI. |
You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan