:: @ AL-BAKISTANI @ :: |
"KEPIMPINAN ULAMA" DALAM BAHAYA Posted: 20 Mar 2011 08:45 AM PDT Kita tidak perlu takut dengan sejarah. Di Malaysia, UMNO cukup takut dengan sejarah. Lagipun,Sejarah tidak pernah menipu. Dalam buku sejarah telah menyatakan bahawa Dato Asri ditolak dalam muktamar oleh ahli-ahlinya sendiri gara-gara PAS kalah teruk PAS dalam PRU 1982. Kekalahan ketika itu antara lain selepas PAS bersedia untuk bergabungan dengan Umno. Terbukti, bergabung dengan paksi zalim bukan sahaja tidak menguntungkan Islam, bahkan PAS kian lemah dan berpecah. PAS ketika itu begitu bernasib baik kerana kelemahan dalamannya pada kala berlakunya revolusi Iran dengan Ayatullah Al-Khomaini sebagai simbol pemimpin spiritual dunia umat Islam. Implisitnya, PAS mula mempamerkan satu slogan baru, iaitu Kepimpinan Ulama, yang ramai beranggapan terkesan dengan revolusi iran itu. Kesan dari revolusi iran, ditambah dengan semangat baru di dalam PAS - "Bersama Kepimpinan Ulama" telah merentap turun Dato Asri dari gigi kekuasaan parti. Maka bermula era kepimpinan PAS dalam bentuk yang baru. ERA KERAJAAN PERPADUAN Idea "Kerajaan Perpaduan" yang dilontarkan oleh Presiden PAS, Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang walaupun atas niat yang baik, namun terus dipertikai oleh banyak pihak sehingga kini. Bagaimanapun idea tersebut kuat didokong ahli-ahli PAS dalam jalur pro-Dewan Ulama. Namun, ulama utama PAS, iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilihat menentang keras terhadap idea dokongan Dewan Ulama PAS tersebut. Idea itu seakan memberi kekecamukan dalam gerakan PAS. Ia adalah kegoncangan yang bukan sekadar berlaku dalam gelas, bahkan ia sudah menjadi ombak ganas yang melahirkan satu tsunami sepertimana berlaku di jepun baru-baru ini. Dengan idea itu, secara terang-terangan kedudukan PAS bergelombang ombak. Bermula dari kepimpinan tertinggi sehingga ahli bawahan, PAS sudah dilihat tidak bersatu. Ahli-ahli PAS sudah mula ragu meragui antara satu dengan yang lain, waima sebelum Idea ini dicadangkan, keadaan seperti ini tidak pernah terjadi. Dalam ribut pemikiran yang bermusim-musim ini, Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa yang dalam nada yang tenang terang-terangan menganggap idea kerajaan perpaduan akan berjaya, waima pada tahap awalan ini mungkin berhadapan dengan kesusahan. Dengan bertali leher berwarna kuning, juga diapit oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris ahmad dan "penasihat peribadi Nasa" saudara Suwardi, ungkapan sebegini diluahkan oleh Timbalan Presiden PAS itu dalam satu majlis pelancaran buku natrah, yang menampilkan kehadiran Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yasin. Ungkapan dari kenyataan itu, ternyata menjadikan air tasik PAS yang sedang tenang, sekali lagi bergolak seperti ada buaya darat yang terjun mengejut, mahu mengegarkan ikan-ikan yang sedang tenang mencari makan seperti biasa. MUKTAMAR PAS Pada awal kemenangan PAS, PKR dan DAP dalam PRU 8 mac 2008 lalu, berlaku pertemuan sulit atas nama muzakarah. Walau dinafikan diperingkat awal, ternyata ia terbukti wujud, iaitu setelah pengakuan dari Presiden PAS sendiri ekoran kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu yang mengakui wujud pertemuan sulit terbabit sebanyak tiga kali. Lebih menarik sebelum itu, Mahfuz Omar yang ketika itu berjawatan Ketua Penerangan PAS diarahkan pula mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada pertemuan sulit dgn UMNO; walhal terbukti selepas itu wujudnya pertemuan terbabit. [sila rujuk blog Dato Mahfuz Omar] Bagaimanapun selepas itu, idea UG dilontarkan kepada khalayak awam lalu disambut hanya parti UMNO sahaja, sedang PKR dan DAP tidak tahu menahu tentang hal itu [?] Keadaan itu, sudah pasti dengan idea kerajaan perpaduan itu melahirkan keraguan. Walau didakwa ia adalah kerajaan tanpa pembangkang, tetapi ia tetap dianggap sebagai agenda gabung PAS - UMNO. Kondisi ini sekali lagi mengheret PAS ke lembah keributan yang dasyat, lebih dasyat dari pusingan air dalam cangkir politik PAS era 1970an dan 1980an. Kekecohan tersebut berlanjutan sehingga berlaku muktamar PAS. Pada tahun pemilihan itu, disaat-saat hampir dengan pemilihan, Presiden PAS telah menarik balik idea terbabit dengan alasan bahawa ahli PAS tidak faham. Namun, setelah keputusan diisytiharkan bahawa Nasaruddin Mat Isa yang merupakan pendokong tegar idea ini menang, menyedihkan ungkapan kerajaan perpaduan bergema dalam majlis ceramah di stadium Shah alam. Ternyata, ungkapan kerajaan perpaduan itu mengundang murka Mursyidul Am PAS, menyebabkan Tuan Guru Nik abdul aziz telah melebelkan idea kerajaan perpaduan sebagai "mengarut" dan "boneka UMNO" pada malam itu juga, iaitu dalam ucapan terakhir dalam malam ceramah tersebut. Makanya, pergolakan terus menerus berlaku. Berlaku tutup dan buka, tutup dan buka sehingga ia menjadi luka yang pulih, tapi berdarah kembali. Walaubagaimana pun, syukur pada ilahi, kerana ternyata ia sudah ditutup sehingga dimarahi bagi sesiapa sahaja yang membukanya kembali. PRK SERING KALAH Semenjak dua ini, banyak berlaku PRK di DUN-DUN yang melibatkan PAS bertanding. Sedihnya, setiap kali PRK, PAS sukar mengekalkan jumlah undi dalam PRU lepas, disamping UMNO berjaya merampas beberapa kerusi yang PAS menangi dalam PRU lepas. Keadaan ini, mengundang pelbagai persepsi. Ada pihak mengatakan, ia hanya terkesan pada PAS sahaja. Ada pihak lain pula mengatakan, ia merupakan kesan buruk kepada PR itu sendiri. Ada pihak lain pula menyatakan, perkembangan politik hari ini, memperlihatkan kelemahan amat berlaku pada PAS dan PKR. PAS dengan kekalahan yang menimpa, dan PKR dengan isu lompat parti, memberikan satu situasi politik yang memustahilkan pada tanggapan umum bahawa UMNO/BN akan gugur dari tampuk takhta putrajaya. Jika keadaan ini terus berlaku, sudah pasti memberi kesan kepada keputusan PRU akan datang. Dengan itu, ia memberi kesan buruk pada keputusan pemilihan dalam muktamar PAS selepas dari PRU tersebut. Jadi, nyata bahawa kemenangan beberapa tokoh bergelar ulama dalam muktamar kali ini memberi impak bahaya. Ia adalah kerana, keputusan PRU yang bakal tidak lama lagi akan berkunjung tiba ini, akan menjadi point terbaik dalam menentukan keputusan muktamar selepas dari itu. Iaitu, tidak hairan sejarah seperti kejatuhan Dato Asri akan berulang kembali. Sekian Wallahu 'Alam. |
You are subscribed to email updates from :: @ AL-BAKISTANI @ :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan