Isnin, 7 Mac 2011

Addin

Addin


Mahathir Bapak Rasis Malaysia?

Posted: 07 Mar 2011 06:00 PM PST

Mahathir yang rasis: Antara Melayu dan Bukan-Melayu

Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamed sekadar melaga-lagakan sentimen perkauman, dan bukan berniat untuk mencungkil perbahasan atau pertembungan idea, apabila mengungkit sejarah "Semenanjung Tanah Melayu" sebagai peringatan kepada rakyat. Apa yang ingin ditimbulkan adalah kemarahan antara kaum, bukannya cetusan minda.

Namun, mengapa pula komuniti bukan Melayu melenting dengan hujah Mahathir (gambar kiri) yang cetek lagi lucu ini? Untuk pemimpin bersara ini merasakan dirinya "hilang relevan", kita harus bersikap dingin (bukan menekan) terhadap pandangan beliau. Semakin riuh suara yang mempertikaikan Mahathir, maka semakin terujalah keghairahannya untuk terus meleter. Lebih-lebih lagi, pernahkah kami merenungi, Melayu yang muak dengan Mahathir, mungkin tidak kurang bilangannya berbanding bukan Melayu?

Pandangan Mahathir mencungkil kemarahan bukan Melayu kerana fikirannya yang berpusatkan Melayu. Namun, cuba kita tanya, adakah bukan Melayu tampil untuk menyanggah kenyataan Mahathir yang memperlekeh atau menyinggung Melayu sepanjang ini? Pada dasarnya, tidak.

Dengan kata lain, Mahathir disanjung komuniti bukan Melayu kerana kegigihannya dalam pembangunan ekonomi; walaupun pada masa yang sama, beliau mencungkil kemarahan bukan Melayu kerana beliau sering mengingatkan kita bahawa tanah ini sebenarnya bukan milikan kita. Namun, apabila Mahathir mengkritik komuniti Melayu dengan tegas, kita (bukan Melayu) hampir kesepian, kerana jauh dalam hati kita, kita mempercayai bahawa beliau agak jelas dengan masalah yang menimpa masyarakat Melayu.

Selepas tragedi "13 Mei" pada tahun 1969, dua buku yang tergempar diterbitkan dalam dunia wacana Melayu. Satu daripadanya adalah Revolusi Mental oleh UMNO, dan satu lagi Dilema Melayu oleh Mahathir Mohamed. Biarpun nilai akademik kedua-dua buah buku ini bukannya tinggi, namun ia agak popular kerana menggunakan bahasa yang mudah difahami, apatah lagi dalam suasana politik pada ketika itu. Cenkiawan ketika itu, Allahyarham Syed Hussein Alatas yang gusar dengan keadaan sebegitu telah menerbitkan buku The Myth of The Lazy Native, yang lebih mendalam dan luas sudut pandangannya.

Sebagaimana yang dikatakan Syed Hussein Alatas, penjajah British, Sepanyol dan Belanda tidak berpuas hati dengan keengganan kaum asal di Semenanjung Melayu, Filipina dan Pulau Jawa untuk terlibat dalam sistem ekonomi penjajahan yang bersifat eksploitasi. Lantas penjajah mengimport populasi buruh dari luar negeri, malah memperkembangkan teori bahawa "kaum asli adalah malas semulajadinya", sebagai asas teori mereka untuk mentadbir tanah jajahan. Dalam konteks Semenanjung Melayu, komuniti Melayu yang terlebih dahulu bertapak di sini dan mendirikan sistem pentadbiran dan ekonominya itu disifatkan sebagai "malas", malah buruh Cina dan India pula digambarkan sebagai "rajin", dan "tahan lasak".

Prejudis terhadap kaum

Model pentadbiran sedemikian telah menyebabkan perpecahan yang ketara antara kelas dan kaum, sehingga gerakan anti-penjajahan gagal disatukan untuk satu jangka yang panjang. Paling menyesalkan, dasar pecah dan perintah ini telah mewujudkan prejudis dan salah faham antara kaum, memperkukuh imej stereotaip bahawa Melayu itu malas, Cina itu tamak dan India itu kaki botol - tanpa meneliti faktor politik, sosial dan sejarahnya. Setelah UMNO mengambil alih tampuk kerajaan atas persetujuan penjajah Bristish, MCA dan MIC pula menumpang kesempatan ini. Dasar pecah dan perintah terus dimanipulasikan untuk memecah belahkan masyarakat - mungkin mencecah satu tahap di mana penjajah British turut terbeliak dan mengeluh kerana gagal menandinginya.

Mengapa tidak orang Cina merenungi, betulkan kita tekun-tekun belaka? Jikalau begitu, apa kelayakan Chua Tee Yong (anak Chua Soi Lek) untuk menyandang jawatan Timbalan Menteri? Bagaimana pula Jho Low (Low Taek Jho) dan Ling Hee Leong (anak Ling Liong Sik) memiliki harta ratusan juta pada usia yang muda? Dalam Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA pada tahun lalu, Ketua Eksekutif SP Setia Bhd, Liew Kee Sin (gambar kiri) secara terus-terang berkata, "Tak perlu kita tuding jari kepada DEB setiap kali. Kita akan berjaya jika dapat lubang yang betul!" (maksud:menemui saluran yang betul)

Dari kaca mata Mahathir dan orang UMNO, inilah orang Cina yang "tipikal". Namun demikian, apakah mereka mewakili semua komuniti Cina?  Pada hakikatnya, nelayan Melayu di tepi pantai Terengganu, Ah Soh yang menjual wantan mee di tepi jalan Kuala Lumpur, penoreh getah di ladang Kedah, sehinggalah kaum Penan yang menghadapi kesukaran di Sarawak, kesemuanya bergelut dalam hidup untuk sesuap nasi, sama-sama berdepan dengan risiko yang berbeza - tidak timbul soal siapa lebih rajin atau lebih malas daripada siapa. Sesebuah masyarakat yang normal dan sihat seharusnya membenarkan kegiatan ekonomi yang berbeza, selagi aktiviti ekonomi tersebut tidak mengancam orang lain. Ia harus dipilih secara bebas, dan bukannya menambah perpecahan dengan label-label yang dilontarkan.

Secara luaran, Mahathir adalah seorang ahli politik yang anti-penjajahan, tetapi dalamannya juga seorang self-colonial. Beliau menerima sepenuhnya minda penjajah, maka beliau menyimpan prejudis terhadap kaum-kaum tertentu. Dalam tempoh 22 tahun pemerintahannya sebagai PM, beliau mewar-warkan untuk membentuk Melayu yang "berjaya", tetapi tidak pernah berani untuk menjelaskan kepada umum bagaimana anaknya menjadi peniaga yang "serba boleh".

Kemusnahan terhadap Melayu yang dicetus oleh Mahathir adalah lebih dahsyat daripada sesiapapun. Apabila beliau menyindir dan mengkritik kaum Melayu, pernahkah kita (bukan Melayu) tampil untuk menyanggah kenyataannya? Kalau tidak, kita tidak seharusnya melenting dengan sifat perkaumannya. Kalau tidak, double standard namanya./Merdeka Review

Taib Mahmud Naik Berang.. Halau Wartawan

Posted: 07 Mar 2011 06:15 AM PST

KUCHING ,7 Mac - Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi Barisan Nasional BN Sarawak mengadakan satu mesyuarat tertutup dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu PBB di tingkat lima Kompleks Dewan Undangan Negeri Baru di Petra Jaya pagi ini.

Antara pemimpin kanan PBB yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang juga Timbalan Presiden I PBB Menteri Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri ,Tan Sri Adenan Satem Ketua Penerangan Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (Timbalan Presiden II) Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (Naib Presiden Kanan I) Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Datuk Seri Michael Manyin Jawing (Naib Presiden) dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah (Timbalan Ketua Wanita) .

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dougles Uggah Embas (Naib Presiden Kanan II) dan Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof (Ketua Pemuda).  Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Jameson Ahip Nawie ketika ditemui media untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung pertemuan tersebut, bagaimanapun enggan memberi ulasan dan menjelaskan ia hanya mesyuarat mingguan biasa ketua menteri.

"Siapa bagi arahan kamu datang sini ini mesyuarat biasa sahaja kalau ada pengumuman kita akan panggil media " katanya sebelum mengeluarkan arahan kepada beberapa wartawan dan jurugambar media nasional agar segera beredar dari bangunan tersebut/ Bernama.

TG Nik Aziz :Belakangkan Demokrasi Ibarat Bom Jangka

Posted: 07 Mar 2011 01:33 AM PST

KOTA BHARU, 7 Mac: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin Umno dan BN, tindakan mereka membelakangkan demokrasi bakal menjadi bom jangka yang akan meletup bila-bila masa. "Ia bakal menjadi bom jangka yang dilemparkan oleh golongan ini kemudian hari nanti, jadi beringat-ingatlah, jangan berbuat sesuka hati,"ujarnya. Sambungnya, sekiranya Hosni Mubarak seorang yang berkuasa besar akhirnya digulingkan oleh rakyat sendiri, apa lagi di Malaysia, ia juga boleh berlaku.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengingatkan pemimpin tertinggi Umno tidak perlu bermegah dengan kemenangan calon mereka di dua pilihanraya kecil, Merlimau dan Kerdau, kerana perlawanan itu tidak berlandaskan demokrasi.

Menurutnya, PAS bukan menentang calon Umno sebaliknya parti kerajaan yang disokong oleh segala gentera kerajaan negeri dan Persekutuan. Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas keputusan dua pilihanraya kecil di Dun Merlimau dan Kerdau, selepas mesyuarat Ecer tengahari tadi.

Beliau berkata, di Malaysia walaupun mengamalkan demokrasi, namun hakikatnya 'dia mahu kerasi' sehingga pilihanraya sebenar sudah tidak wujud di Negara ini. Menurutnya, PAS sebagai sebuah parti telah menentang calon kerajaan pemerintah dan bukannya menentang calon parti Umno atau BN.

"Ini amat tidak adil, ia berdosa dunia akhirat. Kerana itu golongan muda sekarang semakin memahami masaalah demokrasi semakin tiada di negara ini sehingga mereka menjadi 'pendendam' akibat membelangkan demokrasi yang mereka pelajari.

Menurutnya, beliau sebagai anggota PAS sekali-kali tidak meredhai dunia akhirat pada mana-mana pemimpin negara terhadap pengkhianatan demokrasi dalam apa juga perkara terutama dalam pilihanraya. Walaupun akur dengan keputusan pilihanraya terbabit, namun hakikatnya keputusan sebenar tidak sedemikian.

"Tengok semalam sebagai contohnya, bagaimana seorang penyokong Umno yang telah menyertai PAS tiba-tiba mengisytiharkan semula menyertai Umno. "Kenapa perkara ini berlaku sekiranya tiada tekanan demi tekanan, ini bukan demokrasi,"ujarnya.

Langkah ini dianggap sama dengan kes seorang bekas pegawai polis yang membuat kenyataan hemat diri mempertikaikan Perdana Menteri dalam kes Altantuya Shaariibuu tetapi tiba-tiba keesokannya menukar balik kenyataannya itu.

Ketika ditanya adakah pengundi Melayu turut menolak PAS pada pilihanraya kecil baru-baru ini di peti undi tertentu apabila didapati kurang sokongan, beliau berkata apa yang dipertikaikannya sekarang ialah soal demokrasi.

Beliau turut mendakwa rakyat masih disogok dengan pembangunan walaupun ianya dibuat apabila tiba waktu pilihanraya sahaja. "Pembangunan akan muncul hanya bila ada pilihanraya, khususnya pilihanraya kecil,"ujarnya./ Harakahdaily

Tiada ulasan: