Khamis, 10 Februari 2011

sesemut emas ™

sesemut emas ™


SOLAT SATU KEWAJIPAN

Posted: 09 Feb 2011 11:58 AM PST

Bagi orang Islam yang hatinya tidak khusyuk dalam beribadat, mereka akan merasa berat dan terbeban dengan solat. Orang begini tidak akan menunggu waktu solat.

Malah jika mengerjakan solat sekalipun, ada perkara lain yang diagung-agungkan yang menjadikan fikiran dan jiwanya tidak tertumpu kepada Allah S.W.T.

Contohnya orang yang merasa sayang untuk meninggalkan kerja-kerjanya. Orang begini tentu berat dan susah mengerjakan solat kerana terlalu sibuk hingga mereka menjadi lalai.

Bahkan dalam masa mengerjakan solat sekalipun ia tidak dilakukan dengan hati yang ikhlas dan khusyuk tetapi dalam keadaan terpaksa dan terseksa. Apa yang diingatinya ialah perkara yang dijiwainya dan yang diutamakannya.

Oleh itu solatnya dilakukan dengan cepat sekali demi menyelesaikan tugasannya itu. Maka terasalah olehnya akan kepenatan dan kejemuan dalam mengerjakan solat hingga sampai kepada tahap sanggup meninggalkan solat.

Orang seperti ini sebenarnya tidak sabar dalam mengerjakan solat dan mendirikan solat tanpa roh lantaran kegagalan mereka menghayati atau memahami setiap ungkapan yang dibacanya di dalam solat.

Sesungguhnya sembahyang lima waktu secara lahirnya tidak berat kerana bacaannya tidaklah panjang dan tidak juga memakan masa yang lama. Hanya sekitar 10 - 15 minit sahaja.

"Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan ruku'lah beserta orang-orang yang ruku'." - al-Baqarah; ayat 43.

Bahkan ia boleh dilakukan di mana-mana. Ia juga tidak menyusahkan dan tidak memenatkan. Bahkan merupakan satu latihan jasmani yang baik untuk tubuh badan. Namun begitu mengapa Allah menyebut solat itu besar dan berat melainkan pada orang-orang yang khusyuk?

Jawapannya, khusyuk yang dimaksudkan di sini ialah orang mu'min yang jiwa tauhidnya mendalam dan rasa kehambaannya kuat. Rasa cinta dan takutnya dengan Tuhan menguasai jiwa.

"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya"
- Surah Al-Baqarah; ayat 45-46.

Mereka mudah mengerjakan solat bahkan rindu serta seronok mengerjakannya kerana mereka dapat melepaskan perasaan rindu pada Tuhan. Waktu solat sentiasa ditunggu-tunggu dan tidak cukup dengan mengerjakan solat yang wajib, mereka mendirikan pula solat sunat.

-ibnumustafa-

Antara Haji Mabrur dan Mengekalkan Amalan Buruk Selepas Haji

Posted: 12 Dec 2010 08:08 AM PST

Setiap daripada jemaah haji yang baru selesai menunaikan ibadat rukun Islam yang kelima itu, pasti berdebar-debar untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta sejak ditinggalkan lebih sebulan lalu, dan debaran hati mereka bertambah kuat setelah melalui ujian getir ketika berada di tanah suci Makkah dan Madinah.

Pelaksanaan rukun-rukun haji telah pun selesai, ini bermakna mereka sudah boleh dilabelkan dengan gelaran haji di depan nama-nama mereka. Sesungguhnya gelaran haji itu merupakan satu penghormatan daripada manusia yang memanggil dengan gelaran itu. Ini kerana apabila seseorang itu bergelar haji, bertambahlah tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

Sekurang-kurangnya mereka boleh bertindak sebagai 'role-model' dengan menunjukkan perilaku yang baik, bertutur dengan kata-kata yang manis, menegur-sapa orang-orang di sekeliling tanpa ada syarat tertentu, berbudi bahasa dan jauh daripada sebarang penggunaan kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan saudara-saudara seagama yang lain.

Tetapi apakah mungkin seseorang yang sudah bergelar haji atau hajjah melakukan sesuatu yang terbaik, lebih baik daripada sebelum mereka ke tanah suci?

Ia bergantung kepada sejauh mana jemaah haji mendapat pengajaran daripada setiap langkah, perbuatan dan amalan haji ketika berada di sana. Kerana semua amal ibadat dan rukun-rukun haji yang dilakukan sebenarnya ada kaitan dengan persoalan akhirat, iaitu satu keadaan di mana ia mampu mengingatkan manusia untuk berhubung dengan Allah SWT selaku Pemilik hari akhirat dan kiamat, yang akan menghukum kepada siapa sahaja yang tidak tunduk kepada arahan-Nya dan melakukan segala tegahan-Nya.

Justeru, sekembalinya para jemaah haji daripada tanah suci Makkah dan Madinah, apatah diiringi dengan haji mabrur yang diterima di sisi Allah SWT, bagaikan mereka baru keluar (dilahirkan) daripada perut ibu-ibu mereka iaitu tidak berdosa, ia satu keadaan di mana mereka berpeluang untuk menebus segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak sepi daripada melakukan dosa, apatah lagi terhadap Allah SWT, Rasul-Nya, kepada kedua ibu bapa, guru-guru, jiran-tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.

Apa yang penting setelah bergelar haji, elakkan daripada terlibat dengan banyak duduk di kedai-kedai kopi iaitu satu keadaan sebelum mereka menunaikan fardhu haji dengan bersembang pada perkara yang tidak banyak boleh membantu mereka nanti di alam akhirat dan kiamat.

Mereka perlu memikirkan bagaimana untuk banyak duduk di dalam rumah-rumah Allah SWT seperti masjid, surau atau di tempat-tempat ceramah yang boleh mengingatkan mereka untuk terus bersiap sedia dengan bekalan-bekalan akhirat, banyak membaca al-Quran, mendengar kuliah atau tazkirah, bercakap pada perkara yang boleh menambahkan pahala, bukan menambahkan 'koleksi' dosa.

Memilih kawan-kawan yang baik-baik, apatah lagi yang boleh mengingatkan mereka kepada Allah SWT sepertimana yang ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud :

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang mengingatkan kamu kepada Tuhan pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

Begitu juga mengelak diri daripada menampilkan diri di khalayak ramai dengan penampilan yang tidak boleh dijadikan contoh seperti memakai gelang tangan, berseluar pendek, membiarkan isteri dan anak-anak gadis tidak menutup aurat dan bertudung ketika berada di luar rumah, tidak menyokong manusia yang suka mempersenda Islam, memakai pakaian yang bersesuai dengan taraf seorang yang bergelar haji, ini tidak lain bagi mengekalkan kelangsungan pahala-pahala haji untuk tahun-tahun mendatang.

Bagaimana boleh jadi seorang muslim yang baik?

Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.

Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim dan muslimah mencapai status hamba Allah SWT yang diterima di sisi-Nya. Antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :

- Melakukan solat lima waktu dengan baik

- Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran

- Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah SWT dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.

- Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad SAW, sirah para sahabat Nabi SAW, malah bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan aqidah mereka.

- Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah SWT.

- Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah SWT dan banyak berdoa kepada Allah SWT agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah SWT agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya.

-ibnumustafa-

Tiada ulasan: