Sabtu, 26 Februari 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Terkini: Pertembungan Satu Lawan Satu Berlaku Di Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau Dan Kerdau !

Posted: 25 Feb 2011 06:31 PM PST

Seperti yang dijangka Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara PAS dan BN setakat ini. Di Temerloh tempoh untuk penyerahan kertas pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau telah ditutup 10 pagi. Dua calon telah menyerahkan borang pencalonan iaitu daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS. Terdahulu, calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad tiba di pusat penamaan calon dan masuk ke dalam dewan kira-kira pukul 9.05 pagi. Calon BN itu tiba di pusat penamaan calon diiringi, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, Pengerusi MCA Pahang, Datuk Seri Liow Tiong Lai. dan kira-kira 5,000 penyokong. Calon PAS, Hassanuddin Salim pula masuki dewan kira-kira pukul 9 pagi. Selain Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut mengiringi calon tersebut ialah Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PKR Fuziah Salleh serta pemimpin DAP, Lim Kit Siang.


Antara ribuan para penyokong dan jurugambar yang hadir buat liputan


TPM, MB Pahang serta komponen BN lain iringi calon BN Syed Ibrahim

Calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, (kanan) bersalaman dengan
calon PAS, Hasanuddin Salim, 43, ketika penamaan calon pagi tadi


Antara sebahagian daripada penyokong PAS yang turut beri sokongan

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kerdau, Datuk Tariff Abdul Rahman
mengangkat tangan calon Barisan Nasional, Syed Ibrahim Syed Ahmad
dan calon PAS, Hassanuddin Salim selepas mengesahkan dua calon itu

Sekitar jam 11.05 pagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Tariff Abdul Rahman mengumumkan bahawa calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim sah bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau itu nanti. Pengundian ditetapkan pada 6 Mac ini. Sebanyak 13 pusat mengundi dengan 22 saluran atau tempat mengundi akan dibuka. Penyokong PAS berkumpul di Plaza Temerloh yang terletak kira-kira 500 meter daripada Dewan Tun Razak seawal jam 5.30 pagi dan mula bersiap sedia untuk berarak ke pusat penamaan. Penyokong BN pula mula berkumpul di Dataran Temerloh, juga pada jarak yang sama daripada dewan berkenaan, sejak jam 7.00 pagi.

Calon Barisan Nasional, Roslan Ahmad (kanan) bersalaman dengan
calon PAS, Yuhaizad Abdullah selepas serahkan borang pencalonan

Sementara itu di Merlimau, Calon Barisan Nasional, Roslan Ahmad dan calon PAS, Yuhaizad Abdullah masing-masing menyerahkan borang pencalonan mereka di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau pagi tadi. Calon PAS, Yuhaizad Abdullah memasuki Pusat Penamaan Calon diiringi Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Isa, Pesuruhjaya PAS Melaka, Abdul Ghani Rahman dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Sementara itu Turut mengiringi Roslan termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Gerakan, Tan Koh Tsu Koon; Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha. Selepas tamat tempoh bantahan jam 11 pagi, di akhir proses penamaan calon Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Eusoff mengumumkan nama kedua-dua calon itu layak bertanding tepat pada pukul 11.28 pagi.

Pengerusi SPR Tersilap Tidak Rujuk Akta Pilihan Raya 1954 Bila Berkata Janji Pembangunan Yang Terkandung Dalam Bajet Bukannya Satu Rasuah

Posted: 25 Feb 2011 07:32 AM PST

JASIN, 26 Feb [2.01 am] - Siri ucapan pemimpin kerajaan yang mengandungi pelbagai janji membawa pembangunan pada mana-mana kawasan semasa kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ia bukan rasuah. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (foto) berkata, tindakan pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di semua negeri yang dikuasai mereka itu merupakan apa yang telah ditetapkan dalam belanjawan masing-masing. "Memang biasa pemimpin tak kira dari BN atau Pakatan Rakyat berjanji dalam ucapan-ucapan mereka, tapi itu bukan kesalahan seperti rasuah kerana ia telah ditetapkan dalam belanjawan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Penamaan Calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Politeknik Merlimau semalam. Beliau mengulas mengenai janji-janji yang diucapkan oleh pemimpin-pemimpin parti yang bertanding kepada pengundi jika mereka dipilih pada pilihan raya yang diadakan termasuk pada pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau yang diadakan serentak pada 6 Mac ini. Hadir sama ialah Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lyle. Abdul Aziz menjelaskan, jika benar-benar berlaku rasuah sepanjang kempen pilihan raya kecil ini, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sentiasa melakukan pemantau akan bertindak. Katanya, pegawai-pegawai SPRM telah ditugaskan pada setiap kali PRK diadakan bagi memastikan setiap pemilihan diadakan dalam keadaan bersih dari gejala rasuah.Dalam pada itu, beliau menegaskan, semua penyokong parti dilarang menggunakan pembesar suara dan sebarang alat muzik pada hari penamaan calon Sabtu.

Bukti, sila klik pada imej untuk besarkan keterangan yang berkaitan

Katanya, perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Beliau kecewa, walaupun peringatan sering diberikan setiap kali pilihan raya diadakan, kesalahan itu masih berlaku. "Kejadian penyokong parti politik membawa alat pembesar suara masih berlaku pada PRK Tenang di Johor. Kita rampas bateri mereka keluarkan bateri baru," katanya. Dalam pada itu, beliau mengingatkan para penyokong supaya tidak membuat sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam pada hari penamaan calon. "Saya berharap para pemimpin parti akan menasihati penyokong masing-masing supaya mematuhi undang-undang dan proses penamaan calon berjalan lancar, selamat dan tenang," katanya. Sementara itu, Abdul Aziz memberitahu sebanyak enam set borang calon telah dijual kepada kedua-dua pati BN dan PAS. Katanya, pusat pencalonan akan dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi. "Selepas itu tempoh bantahan selama sejam akan bermula sebelum calon layak bertanding diumumkan pukul 12 tengah hari," ujarnya.

[Pengerusi SPR tidak wajar mengubah apa yang sudah terkandung dalam Akta Pilihan Raya 1954 itu sebenarnya. Janji pilihan raya tidak termasuk dalam bajet kerana mana mungkin kerajaan boleh tahu siapa akan mati sebelum mengadakan pilihanraya kecil. Jika sudah masuk dalam bajet, kenapa projek perumahan rakyat di Paya Taram Kerdau mengambil masa tiga kali pilihanraya umum pun masih belum disiapkan. Tiba-tiba kerajaan umumkan peruntukan RM2.2 juta ketika pilihan raya kecil DUN Kerdau ini. Maknanya, kenyataan Pengerusi SPR amatlah tersasar sama sekali dan boleh dicabar oleh rakyat Malaysia sebenarnya. Anehnya, larangan membawa pembesar suara dan alat gendang pula yang dihalang oleh SPR. Kenapa mereka terlalu takut dan gusar dengan kehendak rakyat itu. Kenapa apa yang dilakukan sebelah pihak boleh tetapi yang berlaku kepada pihak lain tidak boleh?. Sama-samalah kita fikirkan permainan kotor pihak SPR ini dalam menangani pilihan raya kecil kali ini. Pengerusi SPR perlu bezakan projek yang termasuk dalam bajet atau projek "Mee Segera" yang sebenarnya].

Tiada ulasan: