Sabtu, 26 Februari 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Video : Penamaan calon bagi PRK Merlimau dan Kerdau

Posted: 26 Feb 2011 01:20 AM PST



Video yang dirakamkan dihari penamaan calon bagi dua DUN yang akan menghadapi Pilihanraya Kecil iaitu DUN Kerdau, Pahang dan juga DUN Merlimau, Melaka.

Saksikan ribuan penyokong mengiringi Calon-calon PAS/PR di kedua-dua kawasan mengundi tersebut.. semoga kejayaan juga turut mengiringi mereka biarpun kelihatan sedikit sukar, namun perjuangan perlu diteruskan..



Merimau


Kerdau



Video bagi penamaan calon di Merlimau adalah hasil kerja Tripodnodvideo manakala Video bagi penamaan calon di Kerdau pula adalah hasil kerja Buletinonline

Gambar : Sekitar Penamaan Calon PRK Kerdau

Posted: 26 Feb 2011 12:48 AM PST

Gambar-gambar di sekitar hari penamaan Calon bagi Pilihanraya Kecil DUN Kerdau yang telah berlangsung pada pagi 26 Feb. 2011.




Pilihan raya kecil (PRK) Kerdau yang akan berlangsung pada 6 Mac ini akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon PAS, Hassanuddin Salim dengan calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Gambar : Sekitar Penamaan Calon PRK Merlimau..

Posted: 25 Feb 2011 10:41 PM PST

Sedikit gambar untuk dikongsi bersama.. gambar-gambar pada pagi Penamaan Calon Pilihanraya Kecil DUN Merlimau yang telah berlangsung pada 26 Feb 2011 di Politeknik Merlimau, Melaka..

Lebih kurang 2000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat telah hadir bagi menunjukkan sokongan terhadap Calon PAS/PR itu..






Calon dari PAS/PR Yuhaizad Abdullah dalam sidang media selepas selesai pengumuman oleh SPR berkata, beliau bersedia untuk berkhidmat untuk rakyat dan yakin dapat memenangi Dun berkenaan.

"Saya tak janjikan apa-apa sebab saya bukan kerajaan tapi saya bersedia untuk menyumbang dan bagi PAS, rakyat sentiasa di hati kami," katanya.





























Sumber gambar dari Jebat Tak Derhaka lagi gambar sila lihat di SINI

Qardawi penjenayah?.. Bertaubatlah Najib...

Posted: 25 Feb 2011 10:21 PM PST

KUALA LUMPUR, 26 Feb: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera bertaubat ekoran melabel Ikhwanul Muslimin dan Sheikh Dr Yusof al Qardhawi sebagai pengganas.

Presiden PAS itu dalam satu kenyataan berkata, beliau berasa sangat terkejut, kecewa dan teramat jengkel dengan tuduhan ekstrem yang diberikan Najib terhadap gerakan Islam antarabangsa itu.

"Tuduhan bahawa Islam cenderung kepada keganasan adalah fitnah dan orang tersebut mesti segera bertaubat jika dalam dirinya masih ada iman sebesar zarah," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Najib sewaktu berucap pada satu program di Istanbul beberapa hari yang lalu.


Tambahnya, tuduhan yang dibuat Najib itu juga merupakan satu fitnah besar yang dibuat oleh golongan yang buta sejarah perjuangan menentang penjajahan dan bercakap mengikut selera hati golongan barat yang memekakkan telinga kepada kebenaran.

Beliau menegaskan, tindakan mengambil sikap dan pandangan setiausaha negara Amerika sebagai neraca menentukan jenis pemerintahan yang bersandarkan kepada Islam adalah tindakan orang yang tidak mempunyai jati diri sebagai seorang Islam dan sangat memalukan orang Islam itu
sendiri.

Ikhwan katanya, ditubuhkan untuk melaksanakan Islah dan tajdid berasaskan Al Quran dan Hadis, dengan memulakan perjuangannya secara
jalan damai dan tidak pernah menyerah kalah terhadap kezaliman musuh sehingga ke hari ini.

Mereka menyertai pilihanraya sejak awal lagi di Mesir, tetapi apabila pengaruh mereka tersebar luas, pergerakan ini diharamkan dan
pemimpinnya dizalimi.

Manakala Al Qardhawi pula adalah tokoh ulama berwibawa yang dilahirkan oleh Ikhwan.

"Dia berjaya meredakan golongan pelampau di kalangan pemuda Islam yang tidak sabar dengan kezaliman musuh sehinggalah mereka kembali ke pangkal jalan berjuang mengikut ajaran Islam yang sebenar," katanya.

Malah Malaysia sendiri katanya pernah memberikan Anugerah Maal Hijrah kepada beliau.

"Saya mencabar kerajaan Malaysia menarik balik anugerah maal hijrah yang telah diberikan kepada Sheikh Dr Yusof al Qardhawi itu," cabarnya.


Harakahdaily

Ali Rustam sarankan agar PAS tarik diri..

Posted: 25 Feb 2011 09:31 PM PST

Kenyataan seorang Ketua Menteri ni.. nasib baiklah Pulau Pinang tak dapat Ketua Menteri yang bengap macam ni..

Umno: PAS patut tarik diri jika hanya mahu uji kekuatan

JASIN, 26 Feb — Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihatkan PAS menyerah kalah dan menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil kerusi DUN Merlimau, yang bermula hari ini, jika hanya mahu menjadikannya medan menguji kekuatan menghadapi pilihan raya umum.

Sehubungan itu Ketua Menteri Melaka berkata beliau yakin pengundi-pengundi Merlimau akan terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).


"Pengundi di Merlimau akan memberikan sokongan kepada calon BN dan saya nasihatkan PAS supaya menyerah kalah dan menarik diri dari pilihan raya kecil ini.

"Saya percaya pengundi akan memberikan sokongan kepada calon kita dan saya rasa BN akan menang dalam pilihan raya kecil ini, jika calon kita menang saya yakin beliau boleh memberikan perkhidmatan terbaik," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon pilihan raya kecil DUN Merlimau di sini.

Mohd Ali yang juga Pengerusi BN Melaka menegaskan, sekiranya PAS bertanding hanya kerana ingin menguji kekuatan parti adalah lebih baik parti Islam itu tarik diri daripada bertanding.

"Kalau setakat mahu bertanding kerana nak uji kekuatan jentera tidak ada makna PAS bertanding.

"Jika PAS bertanding kerana nak jadikan ia sebagai medan menguji kekuatan parti untuk menghadapi pilihan raya umum, saya rasa mereka perlu tarik diri," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad dan calon PAS Yuhaizat Abdullah.

Roslan merupakan ahli jawatankuasa Umno Jasin manakala Yuhaizat adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Ini merupakan kali pertama kedua-dua calon bertanding dalam pilihan raya.


The Malaysian Insider

Najib dakwa Ikhwanul Muslimin pengganas

Posted: 25 Feb 2011 09:23 PM PST

PETALING JAYA: Perdana Menteri Najib Tun Razak masih berprasangka buruk terhadap ulama terkemuka Sheikh Yusuf al Qaradawi dan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

"Ini terbukti dari petikan ucapannya di Turki seperti dilaporkan oleh National Review," kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, dalam ucapannya, Najib menggesa agar Ikhwanul Muslimin disisihkan dari agenda perubahan di negara yang sedang bergolak itu kerana beliau mendakwa pertubuhan Islam itu masih terlibat dengan keganasan.

"Pendapat seperti ini malahan dikritik oleh pelbagai institusi dan intelektual. Dunia kini menggesa agar Amerika Syarikat dan Eropah untuk tuntas bekerjasama dengan Ikhwan," katanya.


Anwar berkata, saya terpanggil untuk menegur Perdana Menteri kerana pandangan sebegini jelas dianggap terpencil dan mewakili

pandangan dasar luar ektrem kanan di Amerika Syarikat.

"Adakah ini sebahagian dari agenda syarikat penasihat (Apco Worldwide) demi membaiki imej Najib di Amerika Syarikat?," soalnya.

Ujar beliau, "kenyataan terbaru Najib juga membuka pekung kecurigaaan pemimpin tersebut terhadap ulama dan gerakan Islam seluruh dunia yang kini kian giat menyertai proses demokratisasi.

"Sekiranya Perdana Menteri mempunyai kebimbangan terhadap sosok seperti Sheikh Yusuf al Qaradawi, mengapa anugerahkan beliau Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan tahun 2009/1431?," soal beliau lagi.

"Sekiranya terbukti benar tohmahan Najib terhadap Yusuf al Qaradawi, saya menuntut Perdana Menteri agar segera memohon maaf dari ulama tersebut," tegas beliau.


Free Malaysia Today

Satu lawan satu BN-PAS di Merlimau, Kerdau

Posted: 25 Feb 2011 08:54 PM PST

PAS telah mengemukakan sebanyak tiga bantahan ke atas pencalonan Roslan Ahmad sebagai calon BN. Bantahan itu antara lainnya berhubung perletakan jawatan Roslan daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan.

Setiausaha agung PAS Mustafa Ali berkata, jawatan Roslan dinyatakan sebagai 'tiada' sedangkan tiada surat perletakan jawatan.

Namun, pihak BN kemudiannya memaklumkan kepada mereka bahawa surat itu telah dihantar kepada majikan berkenaan, kata Mustafa lagi.

Mustafa juga berkata, setahunya, tiada bantahan dikemukakan ke atas calon PAS.


Calon PAS Yuhaizad Abdullah berkata mesejnya kepada pengundi: Rakyat tetap berada di hatinya.

Sementara itu, calon BN Roslan Ahmad pula berkata, beliau mengakui bahawa peluang kemenangannya banyak dipengaruhi latar belakang politik keluarganya.

Katanya, beliau tidak kisah dengan kelebihan berdasarkan latar belakangnya itu. Bagaimanapun, Roslan berkata beliau mempunyai kelebihan dan kemampuannya sendiri.

Tambahnya, beliau yakin akan namun enggan mendedahkan anggaran majoriti yang bakal diraih olehnya.

11.30am Kerdau: Pengumuman oleh SPR disambut ucapan takbir oleh pemimpin Pakatan dan 1Malaysia oleh BN. Ketika BN melaungkan 1Malaysia, pemimpin Pakatan berjenaka dengan menunjukkan isyarat jari nombor dua. Ia disambut dengan senyuman oleh kira-kira 50 pemberita dan jurugambar.

11.28am Kerdau SPR mengumumkan pertandingan satu lawan satu bagi kawasan pilihan raya ini di antara calon PAS Hassanudin Salim dan calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Satu bantahan telah dikemukakan tetapi ditolak SPR.

11.26am Merlimau: Pegawai pengurus pilihan raya Roslan Eusoff mengumumkan tiga bantahan diterima namun kedua-dua pencalonan diterima.

Beliau turut mengumumkan pertandingan satu lawan satu di antara Roslan Ahmad (BN) dan Yuhaizad Abdullah (PAS) bagi pilihan raya kecil ini.

11.02am Merlimau: Sekumpulan enam individu yang mewakili 106 persatuan Cina tempatan dilihat berada di luar pusat penamaan calon. Kumpulan itu menunggu untuk menyerahkan satu rayuan kepada calon PAS dan BN.

11am Merlimau: Pegawai pengurus pilihan raya Roslan Eusoff juga mengumumkan proses bantahan tamat.

11am Kerdau: Pegawai pengurus pilihan raya Tariff Abdul Rahman mengumumkan tempoh bantahan berakhir. Difahamkan tiada bantahan telah dikemukakan.

10.51am Kerdau: Naib presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memulakan lawatan mereka ke seluruh negara bermula bulan depan.

Lawatan itu akan bermula ke Sarawak yang akan melangsungkan pilihan raya negeri dalam tempoh beberapa bulan, katanya kepada wartawan di sini.

Menurutnya lagi, Najib dan Muhyiddin akan mengunjungi dua negeri setiap bulan. Siri kunjungan ini diharap akan dapat diselesaikan menjelang September, kata Hishammuddin lagi.

Mengulas rancangan Human Rights Party untuk mengadakan satu perhimpunan di Kuala Lumpur esok, menteri dalam negeri itu berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk menangani isu berkenaan.

10.40am: Kumpulan penyokong yang berkumpul di luar kawasan penamaan calon di Kerdau dan Merlimau dilihat semakin tidak bermaya dalam cuaca panas terik di kedua-dua kawasan pilihan raya itu.

10.26am Merlimau: Ketua pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong berkunjung ke khemah yang dikhaskan untuk pemimpin PAS di pusat penamaan itu sementara menunggu tempoh bantahan berakhir.

Dengan berjenaka, Wee berkata beliau hadir ke situ untuk "mengacau" pemimpin PAS itu.

Jenakanya itu disambut oleh ketua angkatan muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin yang meminta Wee untuk menjaga kem PAS, sementara beliau pergi menjaga kem BN.

10.12am Merlimau:Ketua pemuda DAP Anthony Loke berkata sesetengah penduduk kampung Melayu takut kepada Pakatan akibat usaha yang didakwa dijalankan BN.

Beliau mendakwa, penduduk kampung itu diberitahu bahawa sekiranya Pakatan mengambil alih kerajaaan, orang Cina akan memerintah dan kedudukan orang Melayu akan terjejas.

Di Merlimau, DAP telah berusaha memasuki kawasan kampung Melayu bersama PAS dalam usaha menjelaskan kedudukan mereka, katanya lagi.

Dalam pada itu, naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pilihan raya kecil terdahulu membuktikan bahawa Pakatan telah bertindak "jahat" dalam memburuk-burukkan BN.

Katanya lagi, BN berharap supaya pengundi Merlimau tidak terpengaruh dengan usaha itu. BN juga berharap untuk meningkatkan majoriti di kawasan itu.

BN kehilangan kira-kira 3,000 undi pada 2008 bagi kawasan itu berbanding kira-kira 5,000 undi yang diperolehinya pada pilihan raya umum 2004.

10.10am Merlimau: Kumpulan penyokong BN kini semakin ramai, menyamai jumlah penyokong PAS yang berjumlah kira-kira 3,000 orang.

Kumpulan penyokong PAS itu akan melaungkan 'rasuah' setiap kali melihat individu daripada kelompok penyokong BN memasuki kawasan pusat penamaan calon.

10am Kerdau: Pegawai pengurus pilihan raya Tariff Abdul Rahman mengumumkan tempoh penamaan tamat dan tempoh bantahan bermula.

Hanya dua orang calon, masing-masing daripada PAS dan BN yang mengemukakan borang pencalonan merek bagi pilihan raya kecil kawasan ini.

10am Merlimau: Pegawai pengurus pilihan raya Roslan Eusoff mengumumkan tempoh penamaan tamat. Pertandingan satu lawan satu juga dijangka berlangsung di sini memandangkan hanya dua pencalonan diterima setakat ini.

9.52am Merlimau: Naib presiden PAS Nasharudin Md Isa berkata kempen parti itu akan menggabungkan isu tempatan, nasional dan antarabangsa.

Katanya lagi, kempen berkenaan merupakan satu latihan yang baik kepada jentera Pakatan dan PAS dalam membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang berada di kawasan Merlimau sejak semalam pula berkata, pandangan pertamanya ke atas kawasan DUN ini lebih positif berbanding Tenang.

Katanya, beliau telah diajukan soalan berhubung isu melibatkan kerajaan persekutuan ketika mengunjungi satu kawasan Melayu pada malam tadi.

9.50am Kerdau: penyokong BN membalas 'PAS jual Islam' kepada penyokong PAS.

ketika ditemui di sini, naib presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata walaupun peluang mereka masih 50-50, PAS akan mampu membuat kejutan.

Tuan Ibrahim berkata BN sudah masuk perangkap PAS apabila menyangka beliau akan bertanding dalam pilihan raya Kerdau kali ini.

Sementara itu presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata tidak mustahil calon PAS akan menang kerana generasi muda, termasuk di kawasan Felda semakin bermaklumat dan sedar.

9.45am Kerdau: Penyokong BN dan PAS masing-masing melaungkan 'kesiannya' terhadap satu sama lain.

Sementara penyokong PAS pula menyanyikan lagu 'duit duit, di mananya duit? Di sana, di sana' .

9.45am Merlimau: Polis menghadkan jumlah ahli parti yang dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon, yang kemudiannya mencetus konflik kecil antara ADUN Teratai, Jenice Lee dan pegawai SPR.

Polis tidak benarkan ahli parti yang sudahpun berada dalam dewan, untuk keluar membawa pas masuk untuk mereka yang lewat tiba.

Jenice yang tiba jam 9.15 pagi dan tidak dibenarkan masuk ke dewan, mendakwa DAP telah memohon 20 pas masuk dan dia ditugaskan oleh parti untuk berada di dalam dewan.

Bagaimanapun, polis tidak membenarkannya masuk dan Jenice kemudian menemui pegawai SPR, yang memaklumkan bahawa kuota untuk parti itu sudah habis.

"Saya hadir di banyak pilihan raya kecil. Perkara seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.


9.26am: Kerdau: Calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad, siap mengisi borang pencalonan. Beliau dan calon PAS Hassanuddin Salim kemudiannya bergambar untuk jurufoto sambil berjabat tangan.

Kedua-dua calon serta pencadang dan penyokong masing-masing bersarapan di meja yang sama, sementara menunggu tempoh penamaan calon tamat.

9.23am Merlimau: - Ketua Pemuad MCA, Datuk Wee Ka Siong berkata BN bersemangat ekoran kemenangan dalam pilihan raya kecil sebelum ini, yang menurutnya, menunjukkan rakyat kembali menyokong BN.

"Kemenangan besar (di Merlimau) akan menunjukkan penerimaan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Minister Mohd Ali Rustam," katanya.

Sementara itu, jurufoto sibuk mengambil gambar seekor kucing yang dipakaikan baju-T BN.

9.16am Kerdau: Hassanuddin Salim siap mengisi borang penamaan calon di hadapan pegawai pengurus pilihan raya Tariff Abdul Rahman.

Calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad sedang mengisi borang penamaan calon.

9.04am Merlimau: Calon BN, Roslan Ahmad memasuki pusat penamaan calon.

9am Merlimau: Calon PAS Yuhaizad Abdullah (kiri) telahpun berada di pusat penamaan calon bagi mengemukakan borang pencalonannya.

9am Kerdau: Calon PAS di Kerdau, Hassanuddin Salim masuk ke pusat penamaan calon, diikuti calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad empat minit kemudian.

Pegawai pengurus pilihan raya Tariff Abdul Rahman mengumumkan proses penamaan calon bermula.

8.44am Kerdau - Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob tiba di Stadium Temerloh, yang terletak kira-kira 500 meter dari pusat penamaan calon.

8.40am Merlimau: Ahli Persatuan Ketua Kampung Melaka turut menyertai penyokong BN. Mereka berpakaian Melayu bersampin.

8.39am Kerdau: Penyokong BN berkumpul di Stadium Temerloh.

8.38am Merlimau: Pemimpin BN, termasuk Datuk Wee Ka Siong, Datuk Shaziman Abu Mansor, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Koh Tsu Koon, Datuk G Palanivel.

Doa dibaca sebelum mereka berarak ke pusat penamaan calon.

8.30am Kerdau: kira-kira 2,000 penyokong PAS serta calon PAS, Hassanuddin Salim tiba ke Dewan Tun Razak. Mereka disekat kawat berduri, kira-kira 40 meter dari tempat itu. Selain selawat, mereka laung hidup Islam, hancur regim. Calon, presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man dan naib presiden PKR Fuziah Salleh masuk ke dalam kawasan perkarangan dewan.

8.30am Merlimau: Penyokong PAS seramai 5,000 orang berkumpul dengan membawa bendera parti dan juga poster, antaranya dengan slogan "YB mati Merlimau maju", "Apco Israel bahaya" dan "Justice for Beng Hock."

8.24am Merlimau: Penyokong MIC dan MCA tiba. Ahli parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah sedang mengendalikan penyokong.

Penyokong Kimma pula melaungkan 'Hidup Kimma'.

8.10am Kerdau: Calon PAS bagi DUN Kerdau baru sampai. Bacaan doa selamat bersama 1,000 penyokong. Datuk Seri Abdul Haji dan naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga ada.

7.08am Merlimau: Polis, petugas parti dan media mula mengambil tempat masing-masing untuk bertugas pada hari ini.

Polis telah meletakkan halangan, kawat duri dan beberapa trak untuk memisahkan penyokong PAS dan BN yang semakin ramai.

Penyokong BN akan mula berarak dari jarak sejauh 200 meter daripada pusat penamaan calon, manakala PAS akan mula berarak pada jarak 500 meter daripada dewan berkenaan.

7.30am Kerdau: Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan DUN ini akan berlangsung di Dewan Tun Razak di bandar Temerloh, Pahang hari ini.

Polis telah memagari kawasan dewan tersebut sejak malam tadi dengan meletakkan pagar besi dan kawat duri. Jalan menuju ke pusat penamaan juga telah ditutup sejak awal pagi.

Penyokong PAS berkumpul di Plaza Temerloh yang terletak kira-kira 500 meter daripada Dewan Tun Razak seawal jam 5.30 pagi dan mula bersiap sedia untuk berarak ke pusat penamaan.

Penyokong BN pula mula berkumpul di Dataran Temerloh, juga pada jarak yang sama daripada dewan tersebut, sejak jam 7 pagi.


Malaysiakini

Tiada ulasan: