Isnin, 28 Februari 2011

KARPET KUNING

KARPET KUNING


PBB - Serangan meluas dan sistematik yang berlaku sekarang di Libya terhadap penduduk awam mungkin satu jenayah terhadap kemanusiaan.

Posted: 27 Feb 2011 11:17 PM PST


NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara mengenakan sekatan ke atas regim pemerintahan Kolonel Muammar Gaddafi kerana tindakan kejam membunuh rakyatnya sendiri yang memberontak.

Majlis tersebut menyokong tindakan mengenakan sekatan senjata dan membekukan harta sambil merujuk pemimpin kuku besi Libya itu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas jenayah-jenayah yang telah dilakukannya ke atas kemanusiaan.

Dalam satu mesyuarat kelmarin, majlis yang dianggotai 15 negara itu juga sebulat suara menggesa ditamatkan segera keganasan yang disifatkannya telah dihasut oleh para pemimpin Libya 'daripada peringkat tertinggi'.

Menurut PBB, lebih 1,000 orang terbunuh dalam serangan-serangan yang dipersalahkan kepada pihak yang taat kepada Encik Gaddafi.

Sekatan-sekatan tersebut disasarkan kepada Encik Gaddafi, empat anak lelakinya dan anak perempuannya, Aisha, serta para pegawai utama pertahanan dan risikan Libya yang memainkan peranan dalam pertumpahan darah itu.

Para diplomat berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan anggota kanan rejim tersebut berpaling tadah terhadap Encik Gaddafi.

Peristiwa pertumpahan darah itu telah dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Majlis itu berkata: 'Serangan meluas dan sistematik yang berlaku sekarang (di Libya) terhadap penduduk awam mungkin satu jenayah terhadap kemanusiaan.'

Di bawah resolusi itu, semua penjualan senjata kepada Libya harus dihentikan dengan segera.

Ia juga menggesa Libya membenarkan bekalan kemanusiaan dibawa masuk ke negara itu serta langkah melindungi warga asing.

Sementara itu, di Catania, Italy, sebuah kapal perang Italy telah membawa keluar ratusan warga asing dari pelabuhan Libya di Misurata ke Sicily semalam, sedang pemindahan beramai-ramai dijalankan bagi membolehkan para pekerja Asia dan rantau Mediterranean pulang ke tanah air masing-masing.

Ratusan pekerja Filipina, India, Bangladesh dan Vietnam - sebahagian tenaga asing pelbagai negara di negara Afrika Utara yang kaya dengan minyak itu - berkata mereka khuatir keselamatan nyawa mereka.

'Pemindahan yang saya jalani ini membuat saya berasa di syurga,' kata Encik Mohammed Sali, 63 tahun, seorang jurutera, selepas mendarat di New Delhi, India.

'Ada seorang lelaki datang dan mengancam saya dengan pisau. Dia mengambil semua kepunyaan saya - komputer riba, rantai, dan juga kereta saya,' katanya lagi.

Puluhan ribu pekerja asing telah melarikan diri dari Libya melalui pengangkutan udara, darat dan laut berikutan tindakan keras Encik Muammar Gaddafi terhadap para penentangnya. -- AFP.

Tiada ulasan: