Isnin, 28 Februari 2011

kalam Perantau

kalam Perantau


UMNO punca anak Khir Johari pilih DAP

Posted: 28 Feb 2011 11:00 PM PST

UMNO punca anak Khir Johari pilih DAP

SHAH ALAM – UMNO sekarang yang dikatakan berbeza dengan UMNO ketika zaman ayahnya membuatkan anak Allahyarham Tan Sri Khir Johari berjuang bersama DAP sehingga dilantik menjadi setiausaha politik kepada Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.

Zairil Khir , 28, berkata, UMNO yang pernah diperjuangkan ayahnya bersama Tunku Abdul Rahman Putra, kini adalah sebuah parti politik yang ‘kosong’ dan hanya tinggal jasad.

“Saya sendiri amat kecewa melihat keadaan ini. UMNO sering diperalat pemerintah bagi kepentingan peribadi,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam situasi ini, katanya, DAP sebagai parti berbilang kaum sama seperti PKR menganggap perjuangan politik berasaskan sentimen perkauman sudah tidak relevan.

“Kita mahu tumpu kepada politik progresif untuk kebaikan bersama,” katanya.

Zairil berkata, beliau sendiri sedar ramai yang memandang serong kepadanya apabila anak kepada seorang pengasas UMNO dan pejuang kemerdekaan memilih untuk berpolitik bersama DAP, bukan UMNO.

"Mereka yang berpandangan demikian tidak berupaya untuk melangkaui rangka pemikiran sempit. DAP ada wakil tertinggi daripada setiap kaum. Dalam sejarahnya, pernah ada Melayu jadi pemimpin DAP. Jelas sekali ini sebuah parti berbilang kaum," katanya.

Zairil turut menafikan tanggapan sesetengah pihak beliau guna populariti nama ayahnya sebagai batu loncatan, manakala DAP pula sekadar mahu meraih kemenangan moral apabila anak kepada seorang pemimpin besar UMNO me­nyertai parti itu, malah diberi jawatan tinggi.

"DAP tidak gun nama ayah saya. Media yang gembar-gemburkan isu itu. Namun saya tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ayah saya seorang daripada pengasas UMNO," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan beliau hanya satu watak dalam ‘wayang' kepada DAP untuk menunjukkan parti tersebut berbilang kaum, Zairil menegaskan, pelantikannya bukanlah ‘alang-alang’ kerana diberi jawatan mencabar.

"Saya bekerja bawah ketua yang sentiasa mempunyai ekspetasi yang tinggi terhadap hasil kerja pegawai-pegawainya," katanya.


Zairil Khir dilantik setiausaha politik Guan Eng

Posted: 28 Feb 2011 08:00 PM PST

Oleh Aziz Muda   

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan perlantikan Zairil Khir Johari sebagai setiausaha politiknya.

"Perlantikan ini akan berkuatkuasa dengan serta merta," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu, di sini hari ini.

Tambahnya, tugas Zairil adalah untuk membantunya dalam urusan politik sama ada dalam parti mahupun pada peringkat kebangsaan yang berpusat di Sekretariat DAP di Kuala Lumpur.

Katanya, Zairil mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang iaitu berkelulusan Sarjana dalam Pengajian Antarabangsa dan Diplomasi daripada School of Oriental and African Studies, University of London dan juga Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Sistem Maklumat.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Zairil merupakan usahawan dalam industri coklat tempatan, di mana beliau telah memperkenalkan teknologi percetakan penuh warna di atas coklat yang pertama di Malaysia.

"Saya yakin dengan pengalamannya yang luas dan pelbagai, Zairil akan memberi sumbangan yang positif kepada parti dalam perjuangan kita untuk menongkah arus demi mencapai matlamat kenegaraan yang adil dan saksama untuk setiap warga Malaysia," ujarnya.

Zairil adalah anak bekas Menteri Pelajaran, Allahyarham Tan Sri Khir Johari.


Tiada ulasan: