Isnin, 21 Februari 2011

kalam Perantau

kalam Perantau


Analisa Politik Terengganu, Mampukah PAS kembali memerintah?

Posted: 21 Feb 2011 05:53 PM PST

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Berikutan tulisan saya bertajuk Analisa Pilihanraya kecil: Dimanakah kesudahannya strategi politik PAS? dalam Siasah keluaran lepas, bil: 0251 (18-24 Februari, 2011) telah mendapat respons dari beberapa orang kenalan meminta saya mengulas berkaitan dengan pandangan saya terutama berhubung dengan cakap-cakap politik dewasa ini bahawa PAS mempunyai peluang kembali memerintah  Terengganu selepas PRU-13 tidak lama lagi.

PAS telah melepaskan satu peluang yang baik untuk berkuasa semula di Terengganu bagi kali ke-3 dalam PRU ke-12 dimana PAS berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Kedah bersama dengan Pakatan Rakyat serta membentuk kerajaan di Selangor dan Perak pada tahun 2008 yang lepas. Kegagalan PAS menawan Terengganu dalam PRU ke-12 adalah kerana kesilapan strategi atau ada sebab lain?

Saya masih ingat, lebih kurang 9 bulan sebelum PRU ke-12 yang lepas, Ikatan Anak Perantauan Terengganu (Perantau) mengadakan "Seminar : Analisa Politik Terengganu – Mampukah PAS Menguasai Terengganu?" sempena dengan Kongres Anak Terengganu pada Sabtu, 30hb. Jun 2007 di Kuala Lumpur.

Seorang wakil Perantau, Dr. Shafie Abu Bakar membuat satu kertas induk bertajuk ‘Mampukah PAS kuasai Terengganu?' dan mantan Menteri Besar Terengganu yang juga Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberikan ucaptama yang bertajuk, "Kembalikan Pemerintahan Islam di Terengganu” serta saya sendiri memberikan ucapan aluan bertemakan 'memikirkan masa depan Terengganu!.

Masa depan PAS di Terengganu

Dalam satu kajian lapangan (Perantau, 2007) menunjukkan beberapa fakta yang menarik, iaitu mereka (rakyat Terengganu) tidak kisah siapa yang memerintah, asalkan tidak ganggu kerja mereka (63%), manakala yang mahu memastikan pemerintah (32%) dan yang tidak tahu (5%). Pandangan pihak wanita pula lebih berbeza, tak kisah, jangan ganggu kerja mereka (67 %), perlu pastikan pemerintah (24%) dan tak tahu (9%) (Perantau, 2007: 11 & 19)

Ini menunjukkan penduduk Terengganu bersifat terbuka dan sedia menerima pelbagai parti dan ideologi. Tiada elemen budaya dan dialek bahasa tempatan (seperti Kelantan) yang boleh mengikat rasa 'kekitaan dan kemegahan' yang tinggi untuk mempertahankan identiti negeri khususnya bila berada di luar Terengganu di kalangan penduduk negeri Terengganu berbanding dengan penduduk negeri Kelantan.

Kerajaan PAS berjaya memerintah Terengganu sebanyak 2 kali. Kali pertama bertahan selama 2 tahun 4 bulan (1959 hingga 1961) pimpinan (Allayarham) Daud Samad sebagai Menteri Besar dan kemudiannya selama satu penggal sahaja pada kali kedua (1999-2004) pimpinan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar.

Setakat ini PAS hanya mampu bertahan memerintah Terengganu tidak lebih dari satu penggal  berbanding di Kelantan. Kali pertama kerajaan PAS Kelantan bertahan selama 18 tahun dan kali kedua bertahan sehingga sekarang (telah melebihi 20 tahun).

Semasa berkuasa selama 4 tahun (1999-2004) di Terengganu, PAS berusaha mewujudkan pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat seperti pembahagian tanah kepada rakyat, menghapuskan cukai pintu dan tol serta berusaha melaksanakan pemerintahan Islam di Terengganu tetapi disebabkan berbagai halangan dari segi ekonomi dan politik, kemampuan mereka dilihat sebagai terhad.

Selepas kekalahan PAS kepada UMNO (BN) pada pilihanraya 2004, PAS seharusnya telah mengatur langkah bagi memulihkan kekuatan bagi menguasai pemerintahan di Terengganu. Mengikut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib, "perancangan untuk merampas semula telah berlaku lama sejak 2004 lagi, selepas Terengganu dirampas semula oleh BN…Bermula tahun ini, kita mulakan satu langkah baru daripada persiapan peribadi sehingga menyerang BN dengan slogan yang digunakan diperingkat pusat, iaitu "PAS Ganti UMNO".

ADUN Manir tersebut berkata, "kita sudah mula bergerak untuk menyakinkan rakyat negeri Terengganu bahawa PAS mesti menggantikan UMNO. Sekarang ini kita sudah menyerang. Kita menerangkan kepada rakyat tentang penyelewengan-penyelewengan yang dibuat oleh kerajaan BN Terengganu, ketidakupayaan UMNO BN Terengganu memberikan kesegaran kepada rakyat negeri itu".

Diperingkat 'grass root' rakyat bermuafakat sesama mereka, dan kata orang Terengganu…"tahun ini kita ubah (kerajaan) sekali", kadang-kadang bukan orang PAS sahaja, orang UMNO pun sama juga. Mereka mahu berubah kepada kerajaan PAS", tegas beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Pengundi memberi sokongan politik bergantung kepada isu semasa. Dari segi psikologi dilihat jiwa dan fikiran rakyat Terengganu kurang berstrategik sebagaimana pengundi di Kelantan, sebaliknya dilihat sebagai 'mudah berubah angin dan berubah rasa'. (Dr. Shafie Abu Bakar, Analisa Politik Terengganu: Mampukah PAS Kuasai Terengganu: 10)

Di sini pentingnya adunan diantara calon lama dan baru berdasarkan kelayakan dan kesesuaian. Kelapan-lapan ADUN sedia ada terdiri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Rhu Rhendang), Dato' Harun Taib (Manir), Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam), Dr. Syed Azman Syed Nawawi (Batu Burok), Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Landang), Wan Hassan Mohd Ramli (Sura), Mohd Nor Hamzah (Bukit Payong) dan Dr. Alias Razak (Bukit Tunggal) boleh dipertaruhkan sebagai "muka lama" yang akan mempertahankan kerusi masing-masing.

Daripada 24 kerusi berbaki yang masih dipegang oleh BN, PAS hanya memerlukan 9 kerusi sahaja lagi (dengan syarat 8 kerusi diatas kekal)  untuk membentuk kerajaan ke-3 PAS yang baru di Terengganu. Di sinilah letaknya kebijaksanaan percaturan politik Datuk Harun Taib sebagai "nakhoda" atau Pesuruhjaya PAS di Terengganu.

Dalam menghadapi PRU ke-13 nanti, PAS mesti bijak membuat percaturan politik dalam usahanya menggantikan UMNO di Terengganu. Pemilihan calon pilihanraya hendaklah dari kalangan berkelayakan yang boleh menang dan menepati kehendak pengundi serta dilihat sebagai satu pasukan yang boleh memberikan "harapan baru" kepada PAS memerintah negeri Terengganu.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah


Tiada ulasan: