Sabtu, 26 Februari 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


HRF : Perhimpunan Tetap Diadakan Di KLCC Esok

Posted: 26 Feb 2011 05:25 AM PST

Ditulis oleh Radzi Razak


SHAH ALAM : Parti Hak Asasi Manusia Malaysia (HRP) dan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) tetap akan mengadakan perhimpunan di KLCC esok dan mengadakan akujanji tidak akan mengganggu perniagaan dan lalulintas di sekitar kawasan terbabit.

Setiausaha Agung Pro Term HRP, P. Uthayakumar ketika dihubungi TV Selangor menyatakan pihaknya juga telah menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammudin Hussein agar tiada campurtangan dari samseng upahan atau NGO bersifat ekstrem seperti Perkasa, Pekida dan Mandur India yang turut dijangka terlibat esok.

"Kami telah menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammudin supaya membenarkankan kami berhimpun secara aman dan supaya kami mendapat perlindungan daripada sebarang anasir yang tidak diketahui contohnya Perkasa, Pekida, Gangster Umno iaitu 3 Line dan Gangster mandur India yang menjadi upahan orang-orang UMNO yang dikhuatiri akan cetuskan kekacauan.

Hindraf sebelum ini pernah mengadakan Rali Besar Besaran pada 25 November 2007 apabila lebih 30 ribu masyarakat India turun ke jalanan menghantar memorandum kepada Pesuruhjaya British Malaysia tentang penindasan masyarakat India di negara ini namun dipatahkan dengan tindakan ganas polis.

5 pemimpin mereka ditahan di bawa Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA kerana hal itu.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, menegaskan tindakan tegas terhadap orang ramai yang menyertai perhimpunan di KLCC esok kerana tidak mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hal itu ditambah pula dengan kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang mendesak polis agar mengambil tindakan tegas terhadap mereka kerana didakwa akan mencetuskan huru-hara.

Bagaimanapun Uthayakumar menjamin para demonstran akan berkelakuan baik dan tidak melanggar sebarang peraturan.

"Di pihak kami, kami telah mengadakan aku janji dengan pihak polis bahawa kami tidak akan mengganggu perniagaan di kawasan tersebut dan lalulintas serta menurut peraturan polis dalam himpunan awam. Kami berhimpun mengikut hak kami seperti yang termaktub dalam artikel 10B Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurut Uthayakumar, walaupun dijangka bilangan peserta akan kurang daripada himpunan Rali lalu, namun beliau yakin masyarakat India tetap komited menentang sikap perkauman UMNO.

"Perhimpunan besar esok tidaklah seperti 2007 dulu tapi kami yakin beberapa ribu akan datang demi memprotes perbuatan perkauman UMNO terutamanya terhadap masyarakat India yang miskin dan teraniaya," katanya.

Calon PAS Hassanuddin yakin rampas Kerdau

Posted: 26 Feb 2011 05:23 AM PST

BERNAMA

TEMERLOH – Calon PAS, Hassanuddin Salim, percaya pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di sini akan memberikannya peluang untuk memenangi pilihan raya kecil DUN tersebut pada 6 Mac ini.

Ketua Penerangan PAS Pahang itu berkata untuk meraih lebih banyak sokongan pengundi khususnya di kawasan Felda, beliau bersama jentera parti pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan berusaha keras bagi menawan hati semua pengundi.

"Saya optimis Pakatan Rakyat mampu menang dalam pilihan raya kecil ini," katanya ringkas kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh, di sini, hari ini.

Hassanuddin, 43, yang memakai baju Melayu diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS DUN Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR Fuziah Salleh.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Hassanuddin dengan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN, meninggal dunia pada 12 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Zaharuddin menewaskan Hassanuddin dengan majoriti 1,615 undi.

Syed Ibrahim tunjuk ijazah, tangkis tohmahan pembangkang

Posted: 26 Feb 2011 05:21 AM PST

BERNAMA

TEMERLOH — Calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, hari ini menjawab tohmahan pembangkang mengenai status pendidikannya dengan menunjukkan ijazah Bahasa Arab yang diperolehinya dari Universiti Al-Azhar, Mesir, kepada pemberita.

"Seminggu saya bertahan . . . saya tidak suka menunjukkan sijil (ijazah), tapi terpaksa, bukan untuk takbur," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kerdau di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh, di sini.

Syed Ibrahim berkata beliau terpaksa berbuat demikian selepas didesak banyak pihak bagi mengemukakan bukti latar belakang pendidikannya itu.

"Saya diajar supaya tidak menuntut ilmu untuk berbangga, untuk jatuhkan orang tetapi saya dididik untuk berkhidmat dan memberi ilmu kepada masyarakat," katanya.

Parti pembangkang sebelum ini mendakwa ijazah yang dimiliki Syed Ibrahim adalah palsu kerana beliau dikatakan gagal menamatkan pengajian di university tersebut.
Syed Ibrahim, 44, menerima ijazah tersebut pada 1997.

Katanya beliau tidak pernah berasa kesal dan terkilan dengan tuduhan yang mengatakan beliau menipu berhubung kelulusan akademiknya itu.

"Saya berdoa supaya tabiat mereka yang suka melemparkan tuduhan agar dibersihkan jiwa mereka," katanya.

Pada pilihan raya kecil ini, Syed Ibrahim berdepan calon PAS Hassanuddin Salim, 43. Pengundian ditetapkan pada 6 Mac ini.

KDN minta IGP secara peribadi pantau Hindraf

Posted: 26 Feb 2011 05:17 AM PST

BERNAMA

TEMERLOH – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk memantau secara peribadi dan mengambil tindakan tegas jika kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf) mencetuskan kekecohan di negara ini.

"Saya telah minta Ketua Polis Negara memantau dan mengambil tindakan secara langsung... beliau akan bertanggungjawab untuk pastikan gerakan haram ini tidak menjejaskan keadaan dan suasana," kata Hishammuddin ketika ditemui selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kerdau di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengarahkan pihak berkuasa agar mengambil tindakan undang-undang terhadap Hindraf bagi memastikan pertubuhan haram itu tidak muncul kembali.

Hindraf dilapor merancang mengadakan perarakan raksasa di ibu negara esok dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hingga ke Jalan Dang Wangi.

Hishammuddin berkata, Hindraf dilihat cuba mewujudkan suasana seperti di Negara Timur Tengah namun ia tidak mendapat sambutan orang ramai.

"Kita tahu niat dan hasrat mereka, kita tahu ada pihak-pihak tertentu yang nak cuba membawa sentimen yang kita lihat berlaku di Timur Tengah ke sini, tetapi keadaan di sini berbeza dan tidak menjurus ke arah itu," katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang masih berdegil untuk menyertai perhimpunan haram itu esok.

Beliau berkata perhimpunan itu tidak mendapat permit polis.

Katanya perhimpunan itu akan memberi kesan buruk terutamanya dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam terutama apabila kawasan berkenaan menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu.

"Kepada pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini, saya ingatkan janganlah diadakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan tapak Surau Baitul Rahman di Taman Perumahan Aman Perdana di Klang.

Terdahulu, dalam ucapannya Ismail berkata ancaman seperti hasutan dan tuntutan tertentu yang melampau memberi kesan tidak baik dan boleh menggugat ketenteraman awam.

Pilihan Raya Kecil Habuan ambil, siapa diundi rahsia…

Posted: 26 Feb 2011 05:10 AM PST

Oleh Lanh

KETUA Angkatan Muda KEADILAN merangkap Pengerusi Perhubungan KEADILAN Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin mempunyai cerita menarik bagaimana bijaknya seorang pengundi di Sibu pada pilihan raya kecil Parlimen di kawasan itu tidak lama dulu.

Kisah ini beliau dedahkan pada majlis ceramah umum Pakatan di Merlimau baru-baru ini yang turut membabitkan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke; Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution dan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kata Shamsul, di Sibu dia dengan rakan-rakan telah pergi berkempen ke rumah seorang penduduk yang kediamannya dilitupi bendera BN. Terlalu banyak, sehingga boleh dikatakan rumahnya diselimuti bendera BN.

Menurut Shamsul dia dan rakan-rakan pun berkempen bagai nak rak, menerangkan mengapa pengundi berkenaan perlu membuat perubahan, jangan memberi undi secara membabi buta kepada BN.

Selepas penat memberi penerangan mereka pun bertanya pemilik rumah tadi siapa yang akan diundinya pada pilihan raya nanti. Jawapannya ringkas: "Undi adalah rahsia, tetapi untuk maklumat kamu semua setiap bendera dipasang ini saya diberi RM50!"

Demikianlah cuba bayangkan kalau 100 bendera dipasang, bukankah dengan mudah si pemilik rumah tadi sudah dapat RM5,000! Wah, bukan main pandailah pemilik rumah itu.

Demikianlah, baik Shamsul dan Saifuddin mengingatkan adalah penting untuk mendapatkan pengundi seramai mungkin memangkah calon Pakatan Rakyat (di Merlimau, calonnya adalah daripada PAS) tidak kiralah sama ada mereka itu penyokong atau ahli Umno dan sekutunya seperti MCA dan MIC. "Yang penting undi mereka diberikan kepada calon Pakatan; soal sokongan atau ahli parti, itu soal masing-masing."

Saifuddin berkata perkara itu sudah dibuktikan ketika beliau menghadapi pilihan raya kecil Lunas pada 2000. Katanya, pada pilihan raya umum 1999, calon KEADILAN kalah di tangan calon BN dengan majoriti lebih 6,000 undi tetapi pada pilihan raya kecil 2000, dia (Saifuddin) dapat menarik sokongan kira-kira 6,000 pengundi tadi seterusnya memberi beliau kemenangan dengan majoriti lebih 200 undi.

Berdasarkan contoh di Lunas, Saifuddin berkata, perkara yang sama boleh dilakukan di tempat lain termasuk Merlimau. Beliau berpendapat dengan senario pilihan raya dijalankan di padang yang tidak sama rata (seperti penggunaan jentera kerajaan, lambakan projek dan penguasaan media oleh BN), Pakatan perlu menggunakan pendekatan memujuk pengundi dari rumah ke rumah.

"Pastikan tidak ada seorang pengundi pun tercicir daripada didekati oleh petugas kita," katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, penduduk di Merlimau sedang menikmati limpahan projek kilat yang biasanya dianggap tidak ada kena mengena dengan pilihan raya oleh pemimpin tinggi Umno BN. Misalnya Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sudah menjanjikan sebuah SRJK (Tamil) yang lebih selesa manakala Ketua Menteri Mohd Ali Rustam sudah mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi membaiki rumah-rumah orang miskin. Demikianlah betapa baiknya pemimpin BN yang melihat kebajikan ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya, ringkasnya projek-projek mereka bukan untuk memancing undi.

Sebenarnya cakap-cakap pemimpin Umno BN bahawa peruntukan dan projek untuk rakyat tidak ada kena mengena dengan pilihan raya (jika mereka benar-benar ikhlas) adalah bertepatan satu ayat al-Quran (Surah Al-Insan ayat 9) yang bermaksud: "Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk menghadapkan keredaaan Allah, kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih."

Ya, wahai pemimpin Umno BN, taburlah wang, taburlah makanan, banyakkan projek dan lakukanlah pelbagai kerja-kerja kebajikan, tetapi sejajar dengan perintah Allah SWT melalui ayat 9 Surah Al-Insan ini, janganlah harapkan apa-apa daripada perbuatan baik kamu itu.

Jika ucapan terima kasih pun tidak diharapkan, janganlah kamu mahu memaksa rakyat mengundi calon kamu. Itu sudah melampau sebab perbuatan baik jangan diharapkan secebis balasan pun hatta terima kasih sekali pun.

Berhubung ayat 9 Surah Al-Insan ini, ada ulama membawakan kisah betapa ikhlasnya Sayidina Ali k.w. dalam memberi bantuan kepada orang miskin. Suatu hari Ali dan isterinya Fatimah iaitu puteri Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai sedikit pun makanan di rumah mereka.

Ali yang ke luar rumah selepas lama berusaha mendapat sedikit makanan tetapi ketika balik, dia telah menyedekahkan semua makanan itu kepada sejumlah peminta sehingga dia tidak membawa balik apa-apa pun kepada Fatimah. Namun kedua pasangan suami isteri itu masih bersyukur, mereka tidak meminta balasan di atas kebaikan mereka hatta terima kasih sekali pun. Mereka hanya menghadapkan keredaaan Allah SWT.

Oleh itu benarlah apabila ada pemimpin Umno BN kerap berkata sesuatu projek atau pemberian itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya. Mereka ikhlas untuk membantu rakyat, jadi jangan harapkan ada-apa daripada rakyat lebih-lebih lagi undi mereka.

Ingat, selepas bantuan diberi, jangan berharap apa-apa langsung – jangan paksa rakyat mengundi calon anda. Contohilah Sayidina Ali k.w. yang tidak mengharapkan apa-apa pun daripada orang dibantunya hatta ucapan terima kasih. Dia hanya mengharapkan keredaan Allah; begitulah diharapkan kepada pemimpin Umno BN, semoga anda dapat mencontohi Ali k.w.!

http://lanh14.blogspot.com

Tengku Zafrul, Isa Samad dan Umno

Posted: 26 Feb 2011 05:07 AM PST

Oleh Syed Imran

Kritikan pedas yang dilemparkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif bank pelaburan Maybank, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz terhadap pelantikan Tan Sri Isa Samad selaku pengerusi Felda, nampaknya terus menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin pertengahan UMNO.

Mereka menuduh Tengku Zafrul sebagai telah mempertikai dan memperkecil-kecilkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantik Isa, mantan menteri wilayah persekutuan dan sebelum itu mantan menteri besar Negeri Sembilan.


Kenapa mereka marah sangat dengan kenyataan yang dibuat atas sifat peribadi Tengku Zafrul dan bukan sebagai mewakili kumpulan Maybank sehingga mendesak dia dipecat atau meletak jawatan?

Apakah pemimpin-pemimpin Umno tidak boleh atau tidak dapat menerima kritikan mahupun teguran semata-mata kerana ianya pahit untuk ditelan? Bukankah kritikan boleh dijadikan panduan atau pembuka mata untuk membetulkan sesuatu yang tidak betul, tidak semestinya saya merujuk kepada kes Isa Samad, tetapi dalam banyak kes lain yang membabitkan pelantikan pemimpin politik yang sebelum itu ada masalah tertentu?

Semua orang tahu yang Isa Samad didapati terlibat dalam politik wang semasa pemilihan Umno dan dikenakan tindakan disiplin. Bukankah politik wang itu salah satu amalan rasuah?

Apa yang dikatakan oleh Tengku Zafrul adalah pelantikan Isa Samad sebagai pengerusi Felda memberi isyarat yang salah kepada pasaran sehingga menyebabkan kebimbangan pelabur. Jika kritikannya itu tidak betul, tidak tepat dan tidak sesuai dengan keadaan semasa, pihak kerajaan ataupun Felda seharusnya memberi penjelasan atau menangkisnya dengan berfakta.

Tetapi, muncul dua tiga orang pemimpin Umno mendesak tindakan diambil terhadap Tengku Zafrul atau mendesaknya meletak jawatan sedangkan mereka tidak menangkis pendapatnya itu dengan fakta yang memihak kepada kenapa pelantikan Isa Samad adalah tepat.

Nampaknya budaya sukar atau tidak boleh menerima kritikan masih tebal di kalangan mereka seolah-olah apa yang dibuat oleh pemimpin mereka, termasuk dalam beberapa pelantikan tokoh Umno mengetuai badan-badan berkanun, syarikat-syarikat milik kerajaan dan perbadanan-perbadanan kerajaan, adalah tepat dan tidak boleh dipersoalkan.

Inilah masalahnya, iaitu tidak mahu menerima kritikan sama sekali. Kalau ada yang berani mengkitik, maka dia akan dihentam dan didesak dikenakan tindakan sama ada ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, dipecat atau ditangkap dan didakwa di mahkamah sama ada mengikut Kanun Keseksaan atau Kanun Acara Jenayah.

Kepada mereka, yang diutamakan ialah sokong, sokong dan sokong, ampu, ampu dan ampu atau apa yang dibuat oleh pemimpin besar mereka adalah betul belaka. Agaknya itulah budaya hidup mereka.

Saya tidak kenal siapa itu Tengku Zafrul tetapi saya tahu siapa ibunya dan siapa pula bapa saudaranya. Saya juga tahu bahawa Tengku Zafrul berkawan baik dengan Khairy Jamaluddin dan Kalimullah Masheerul Hassan. Tetapi itu bukan bererti yang dia tidak boleh mengkritik atau menegur tindakan kerajaan.

Sebagai warga negara Malaysia, dia juga berhak memberi pendapat sama seperti orang lain. Sama ada kita setuju atau tidak dengan pendapatnya tidak bererti kita mesti mendesak dia dipecat atau meletak jawatan. Itu tidak betul.

Kita sedar bahawa ramai pemimpin politik yang terpaksa bertindak sebagai pengampu semata-mata kerana nak terus hidup mewah, nak jamin kedudukan tidak terjejas dan nak pastikan terus berada dalam senarai bos. Kepada mereka yang penting adalah ampu dan terus ampu, pergi jahanam dengan apa orang lain nak kata, janji mereka selamat. Macam mana nak maju?

Masalah yang sama pernah wujud di kebanyakan negara Arab dimana pemimpin pembangkang ditahan dan dihumban dalam penjara, kebebasan bersuara disekat, media dikawal ketat dan hanya boleh menyiarkan laporan yang pro-kerajaan, orang tidak boleh mengkritik kerajaan ataupun pemipin dan sebagainya. Kita seharusnya jadikan teladan dan sempadan agar apa yang telah dan sedang berlaku di dunia Arab tidak akan berlaku di negara ini.

Saya bukan menyokong Tengku Zafrul, anak kepada mantan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Raja Zaharatun Raja Zainal Abidin dan anak saudara Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, tetapi menyokong haknya untuk memberi pendapat.

Adalah sesuatu yang amat malang apabila pendapat seseorang yang tidak selari dengan pemimpin Umno atau kerajaan, maka timbul desakan demi desakan supaya dia dikenakan tindakan ISA atau dipecat.

Dua Pelajar IPTA Diburu Disyaki Rogol Rakan Kuliah

Posted: 26 Feb 2011 05:05 AM PST

KELAB GREENBOC

Kangar: Polis memburu dua penuntut lelaki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, kerana disyaki merogol rakan sekuliah di sebuah rumah di Taman Seri Mawar, Arau, dekat sini, pada 15 Februari lalu.

NASHIR (kanan) menunjukkan gambar lima lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes rogol, menyeludup kenderaan dan pergaduhan di IPK Perlis, di Kangar, semalam.

Ketua Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nashir Ya, berkata pelajar terbabit, Muhammad Naim Mohd Kamaruzzaman dan Ahmad Amirul Amin Rosley, masing-masing berusia 19 tahun, menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Beliau berkata, dua suspek itu dikesan bersama lima lagi rakan disyaki merogol secara bergilir-gilir gadis berusia 19 tahun yang juga rakan sekuliah salah seorang suspek, di sebuah rumah di Taman Seri Mawar.

"Kami sudah menahan lima suspek dari sebuah IPTA, di sini dalam operasi khas selepas menerima aduan daripada pelajar perempuan terbabit. Bagaimanapun, Muhamad Naim dan Ahmad Amirul melarikan diri.

"Alamat terakhir Ahmad Amirul Amin ialah Jalan Raja Dewa Hilir, Kota Bharu, Kelantan manakala Muhammad Naim dari Kampung Bonggol Kemian, Paloh Rawa, Machang.

"Mangsa kini trauma selepas dirogol secara bergilir-gilir oleh tujuh pelajar. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini, semalam.
Nashir berkata, orang ramai yang menemui mereka diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Arau, Asisten Superintendan Jamalulail Ibrahim di talian 012-520 3977 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan kes curi dan menyeludup kenderaan ke negara jiran serta kes menyebabkan mangsa cedera parah.

"Dua daripada tiga lelaki berkenaan, iaitu Mohd Saidi Man, 44, dari Kampung Tersusun Padang Besar dan rakannya, Mariswandy Mohamad, 32, dari Rancangan Perumahan Awam (RPA) Chuping, disyaki aktif menjalankan kegiatan mencuri dan melupuskan kenderaan ke negara jiran," katanya.

Polis turut memburu Lim Yew Thong, 47, dari Pekan Sayur, Padang Besar atas dakwaan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penduduk awam di pekan itu, Januari lalu. -BH

Ali Rustam Bodoh Sombong, Cuba Nak Perbodohkan Pengundi Merlimau

Posted: 26 Feb 2011 04:57 AM PST

KELAB GREENBOC

PAS: Ali Rustam sombong, usaha bodohkan pengundi Merlimau akan gagal

JASIN — PAS menyifatkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai "sombong" apabila mendakwa bahawa Malaysia akan menjadi macam Mesir, yang berhadapan dengan pergolakan politik, jika diberi kuasa untuk memerintah negara ini.

Menurut Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, kenyataan itu adalah satu tuduhan liar yang menunjukkan sikap sebenar Mohd Ali yang "sombong".

"Kenyataan yang amat sombong dari seorang pemimpin Umno yang tidak faham erti demokrasi.

"Ia adalah satu tuduhan yang amat liar apabila kaitkan PAS dengan kekacauan di Mesir, Mesir berlaku kekecohan bukan kerana rakyat tapi adalah kerana campur tangan pihak berkuasa termasuk pemerintah," katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di sini.

Semalam Mohd Ali berkata, Malaysia dijangka menerima nasib seperti Mesir yang dilanda rusuhan baru-baru ini jika PAS memerintah negara ini.

Beliau berkata, ini kerana parti tersebut gemar menggunakan pendekatan demonstrasi dalam menangani sesuatu isu yang bukan saja tidak membawa kebaikan kepada rakyat, malah turut memburukkan keadaan.

Kata Nasharudin, Mohd Ali sebagai seorang pemimpin Umno yang sudah lama terlibat dalam arena politik patut tahu maksud sebenar amalan demokrasi yang diamalkan.

"Patut beliau yang sudah lama menjadi pemimpin Umno patut faham erti demokrasi yang membolehkan mana-mana parti untuk melibatkan diri dalam pilihan raya.

"Bukan kerana rakyat tapi sistem yang diamalkan di Mesir, dan kita di sini telah terlibat dalam pilihan raya sejak dari dulu lagi... sudah banyak yang kita sertai," katanya.

Jelas beliau, strategi Umno untuk memburukkan PAS sepanjang kempen pilihan raya berlangsung tidak akan mempengaruhi pengundi di Merlimau.

"Ini bukan kempen Umno tapi ia adalah sikap yang ditunjukkan pemimpin Umno terhadap Pakatan Rakyat dengan buat tuduhan liar untuk nafikan hak demokrasi.

"PAS sudah terlibat dalam pilihan raya sudah lama, rakyat tahu apa PAS dan mereka tahu kualiti yang ada pada PAS.

"Mereka (Barisan Nasional) boleh tuduh tapi usaha untuk memperbodohkan pengundi di Merlimau tidak akan berhasil," kata Ahli Parlimen Bachok ini.

Walaupun Merlimau merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), beliau percaya PAS akan memberikan saingan yang hebat.

"Kita jangkakan satu pertandingan yang sengit dan tak mudah (untuk menang) tapi itu tidak bermakna kita tidak boleh beri tentangan," kata Nasharudin.

PAS meletakkan Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka Yuhaizat Abdullah sebagai calon manakala BN mempertaruhkan ahli jawatankuasa Umno Jasin Roslan Ahmad untuk mempertahankan kerusi DUN Merlimau.

Ini merupakan kali pertama kedua-dua calon bertanding dalam pilihan raya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi. -tmi

Najib Yakin Calon BN Di Kerdau Dan Merlimau Diterima Rakyat

Posted: 26 Feb 2011 04:55 AM PST

BERNAMA

LABUAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kedua-dua calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kawasan Kerdau dan DUN Melaka kawasan Merlimau diterima rakyat, sekali gus mampu meraih kemenangan untuk BN.

"Mereka dipilih selepas melalui proses penapisan yang teliti dan mereka bukan sahaja ada kemampuan tetapi juga mempunyai kredibiliti peribadi yang baik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik 1Malaysia di perumahan Taman Mutiara Kampung Sungai Bedaun dekat sini, Sabtu.

Najib, yang juga pengerusi BN, berkata demikian ketika diminta mengulas pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS pada pilihan raya kecil masing-masing di Kerdau serta Merlimau.

Bagi DUN Kerdau, BN diwakili Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad manakala PAS diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim.

Bagi DUN Merlimau, BN diwakili Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Jasin Roslan Ahmad, 44, manakala PAS pula diwakili Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri Melaka Yuhaizad Abdullah.

Najib berkata walaupun BN dijangka dapat mempertahankan kerusi Merlimau dan Kerdau namun gagasan itu tidak memandang ringan sebarang cabaran politik daripada parti pembangkang.

"Kita mesti berusaha gigih dan menyeluruh. Kita mahu jentera kita bergerak dengan lancar dan tidak ada masalah dalaman yang menyebabkan kita menghadapi halangan atau kita berpecah dari dalam yang menyusahkan kita.

"Setakat ini laporannya positif dan kita harap jentera BN bergerak sepenuhnya. Walaupun calon daripada Umno yang bertanding namun kita akan bekerjasama dengan anggota komponen BN yang lain," katanya.

DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Feb lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin daripada BN menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan undi majoriti 1,615.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau pula diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir, juga daripada BN, menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Kalau-Kalau Muhyiddin Yassin Terbaca Posting Ini

Posted: 26 Feb 2011 04:54 AM PST

MSO

INI ada satu masalah rakyat kecil tergolong dalam golongan marhaen. Kisah atau masalahnya mudah sahaja tetapi disebabkan prosuder atau peraturan maka ia menimbulkan sedikit masalah. Masalah ini akan selesai tidak sampai sehari kalau ia menimpa diri mereka yang berstatus, atau waris Menteri ataupun Pengarah atau pun Ketua Setiausaha Kementerian. Mudahnya orang besarlah. Ini hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Tetapi kerana segala kemudahan dan hubungan itu tidak ada, maka rakyat kecil ini berdepan dengan masalah yang tidak sepatutnya berlaku. Bagi saya apa yang dialami rakyat kecil ini termasuk satu penganiayaan yang tidak disengajakan.

Saya percaya dan yakin kalau masalah ini sampai ke pegetahuan menteri atau perdana menteri ia akan diselesaikan segera, kerana penyelesaian ini juga termasuk dalam slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Tetapi kerana kes ini tidak berpeluang untuk ke pengetahuan menteri atau perdana menteri maka ia menjadi masalah kepada rakyat kecil ini.

Begitu juga kalau tertakdir berlakunya pilihan raya di kawasan rakyat kecil ini, mungkin masalahnya akan diselesaikan. Selalunya pihak berwajib akan mudah menyelesaikan masalah rakyat di mana kawasannya bedepan dengan pilihan raya kecil. Dalam pilihan raya kecil banyak projek kilat dan banyak masalah diselesaikan secara kilat.

Di kala ini bukan saja rakyat kena berbaris atau pun bersusah ke Putrajaya hendak jumpa setiausaha menteri, atau timbalan menteri atau perdana menteri, tetapi para penama dan pemuka ini akan datang sendiri menjenguk mereka. Itu pun dengan syarat dia menjadi pengundi di dalam kawasan yang terlibat dengan pilihan raya itu.

Sayang pula kawasan di mana rakyat kecil ini diami tidak ada pilihan raya kecil waktu ini.

Apa masalahnya? Masalahnya ialah nasib seorang anak yatim bernama Rasyiqah Abdul Wahid, 13 (foto). Dia seorang pelajar cemerlang Sekolah Kebangsaan Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar Perak. Dalam ujian UPSR tahun 2009 dia mendapat 5A.

Kerana kecemerlangan itu dia terpilih ke Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahbudin, Bukit Mertajam Pulau Pinang. Kemasukan itu sesungguhnya menggembira dia dan juga keluarganya.

Malangnya takdir menimpanya, ayahnya meninggal dunia. Akibat itu menyebabkan ibu dan adik beradik lain (seramai empat orang) terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur, kediaman asalnya mereka sebelum mereka berpindah ke kampungnya di Kuala Kangsar. Alasan perpindahan itu kerana di kampung itu tidak ada sesiapa tempat bergantung dan masalah mendapat rezeki untuk meneruskan kehidupan agak sukar.

Perpindahan itu memberi kesan kepada pembelajaran Rasqiyah ini. Dia masih kecil, dalam usia baru 13 tahun apalah dapat diharapkan, untuk uruskan dirinya sendiri pun tidak terurus. Betul pihak sekolah dan kerajaan menyediakan kemudahaan sesuai dengan sekolah Sains berasrama penuh, tetapi jarak tempat tinggal ibunya menjadi masalah.

Dengan pendapatan si ibu tidak sampai RM300 sebulan, duit pencen (KWSP) suami pula tidak ada lagi, sukar untuk si ibu menguruskan anaknya ini bila sesekali si anak berhadapan dengan masalah kesihatan, atau pun bila cuti di mana Rasqyiah hendak pulang ke Kuala Lumpur si ibu perlu turun ke Bukit Mertajam. Kenderaan sendiri tidak ada, manakala menyewa kenderaan untuk pergi balik ke Bukit Mertajam ke Kuala Lumpur, memerlukan jumlah wang yang banyak.

Kerana kerumitan itu akhirnya keputusan diambil atas kehendak Rasqiyah juga, agar ia ditukar ke sekolah lain di Kuala Lumpur, berdekatan dengan kediaman ibu dan adik beradiknya yang lain. Biarlah tidak sekolah berasrama penuh dan beraliran sains, tidak mengapa asalkan dapat duduk berdekatan dengan ibu. Yang menjadi tambah masalah pelajar ini anak bongsu.

Akhir tahu lalu permohonan kepada pihak sekolah dibuat agar pelajar kecil ini ditukar ke sekolah biasa. Pihak sekolah juga menulis surat mengemukakan permohonan untuk mengeluarkan Rasqiyah dan menyambungkan pembelajarannya di sekolah menjadi pilihannya, iaitu sekolah berdekatan dengan kediam ibunya. Sekolah yang diipilih ialah Wangs Maju, Kuala Lumpur, bukan sekolah berasrama penuh.

Surat permohonan yang dikemukakan oleh pihak sekolah bertarikh 3 Januari lalu. Ini bermakna sudah dua bulan permohonan itu dalam proses. Malangnya pertukaran itu masih belum terlaksanakan lagi kerana beberapa sebab dan peraturan yang dikatakan tadi.

Ibu si anak ini pergi ke sekolah yang menjadi pilihan anaknya itu, dengan harapan kalau-kalu boleh anaknya ditumpangkan belajar dulu di sekolah berkenaan. Malangnya pihak sekolah tidak berani membenarkannya kerana butiran pertukaran belum diterima lagi. Pengetua sekolah berkenaan baru berani menerima permohonan itu setelah ada kelulusan dari pihak jabatan.

Kita kena mengakui akan peroses ini memakan masa. Saya telah mengambil inisiaf bertanyakan seorang kawan yang berkkhidmat di kementerian pelajaran. Beliau menjelaskan memang proses pertukaran dari sekolah sains ke sekolah biasa memakan masa. Ini kerana ia kena melalui proses biasa dari bawah ke atas. Katanya lagi sebab rekod pelajar berkenaan tidak ada di sekolah biasa tetapi sudah disenaraikan dalam sekolah sains. Betullah itulah amalan selama ini.

Apa yang hendak ditimbulkan di sini ialah kenapa terlalu lama sangat. Untuk menunggu sampai bulan April bayangkan betapa ruginya masa pembelajaran budak ini. Apakah tidak boleh diketepikan soal prosuder itu tetapi menggunakan kebijaksanaan untuk dengan memberi ehsan dan simpati dalam kes ini. Saya rasa boleh, tetapi masalah seperti dikatakan tadi pelajar ini tidak bernasib baik, tidak memiliki hubungan dengan sesiapa di atas.

Begitu juga rasanya tidak menjadi kesalahan besar kalau pelajar ini ditumpangkan sementara di sekolah yang diminta itu. Seperti mana kata kawan tadi hal itu pernah berlaku, cuma ia bergantung kepada sikap pengetua sekolah. Beliau lantas menyebut anak kawannya menghadapi masalah sama, tetapi diberi belajar tumpang kerana pengetua sekolah berkenaan membenarkannya. Saya rasa peraturan yang dipatuhi oleh guru berkenaan tidak bersifat rakyat didahulukan.

Saya nak rengkaskan catatan ini dengan harapan begini; kalaulah mana-mana pegawai menteri, atau timbalan menteri ataupun pengarah pelajaran terutamanya pihak menguruskan pertukaran ini terbaca catatan ini, bolehlah ambil perhatian dan diberikan pertimbangan. Korbankan sedikit soal prosuder dan pandanglah kepada nasib pelajar ini yang sudah ketiadaan bapa dan masih mentah untuk memikirkan soal prosuder, soal pilih kasih atau periority. Kenanglah dalam usia sekecil itu apa yang dia boleh lakukan selain mengharap simpati dan ehsan.

Saya percaya dan yakin kalau nasib pelajar ini dibela dan dibantu bukan saja pelajar berkenaan akan berterima kasih, tetapi rakyat lain yang bersimpati dengan pelajar ini juga akan mengucapkan terima kaish kepada pihak membantunya, dalam hal ini kerajaanlah.

Saya sertakan butiran pelajar ini unutuk rujukan;
Nama: Rasqiyah binti Abdu Wahid.
Rujukan surat permohonan dikemukakan pihak sekolah SMSTSSS/02/09/002(80).

Kepada mana-mana pihak baik persorangan dan pihak jabatan pelajaran hinggalah kepada menteri yang membaca dan memberi perhatian kepada pelajar ini saya ucapkan berbanyak terima kasih. Dan saya rasa ada dari kalangan penjenguk saya yang bersimpati dengan Rosyiqah ini

Artis Popular Turut Serta Bagi Sokongan Kepada Calon Pembangkang - Gambar2 Terkini

Posted: 26 Feb 2011 04:32 AM PST

SEDAKA SEJAHTERA

Sekitar proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil dun Merlimau, Melaka

11.30 am Satu lawan satu di Dun Merlimau. Pengurus Pilihan Raya DUN Melimau, Roslan Eusoff mengumumkan Yuhaizad Abdullah (PAS) lawan Roslan Ahmad (BN). Laungan takbir bergema dari kumpulan penyokong Pakatan Rakyat. 3 bantahan yang dikemukakan ditolak oleh SPR.

11.00 am: MERLIMAU - Pegawai pengurus pilihan raya Roslan Yusuf mengumumkan tempoh bantahan bagi borang pencalonan tamat

10.30 am: MERLIMAU - Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, PAS bertanding di Dun Merlimau untuk menang meskipun mengakui kawasan berkenaan kubu kuat Umno BN.

"Di Merlimau kita akui persaingan sangat sengit tapi tak patahkan semangat PAS untuk bertanding," katanya.

Beliau berkata, PAS meletakkan Yuhaizad sebagai calon kerana yakin dengan pengaruhnya terhadap masyarakat setempat memandangkan beliau seorang anak tempatan.

10.10 am: MERLIMAU - Borang pencalonan dipaparkan oleh SPR di papan kenyataan. Borang pencalonan pertama dari calon PAS, Yuhaizad Abdullah.

9.15 am: MERLIMAU - Di luar Politeknik Merlimau, ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat tidak berganjak.

Mereka berkumpul di hadapan sekatan polis sambil berselawat, bertakbir, melaungkan slogan 'Hidup Islam, Hancur kezaliman' berselang seli.

9.00 am: MERLIMAU - Pegawai pengurus pilihan raya Dun Merlimau mengumumkan masa untuk menyerahkan borang pencalonan dibuka.

8.49 am: MERLIMAU - Perarakan calon telah tiba di pusat penamaan calon.

Turut mengiringi calon adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dan isteri calon.

8.35 am: MERLIMAU - Calon PAS, Yuhaizad Abdullah tiba di tempat berhimpun dan perarakan bermula. Calon PAS diapit Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Perarakan diiringi laungan selawat dan keadaan terkawal.

8.25 am: MERLIMAU - Bob Lokman turut menyertai perarakan hari ini.

8.13 am: MERLIMAU - Pimpinan PR dan calon PAS serta penyokong sudah mula berkumpul di Padang Sime Darby Merlimau Utara sebelum memulakan perarakan.

Antara pimpinan PR yang hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Pengarah Pilihan Raya Kecil Dun Merlimau, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ibrahim, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mat Akin.

7.57 am: MERLIMAU - Pihak polis semakin memperketatkan sekatan jalan di persekitaran jalan Masjid Asy-Syuja'ah, tempat laluan utama perarakan calon ke pusat penamaan calon di Politeknik Merlimau.

7.34 am: MERLIMAU - Suasana di persekitaran Masjid Asy-Syuja'ah, tempat laluan perarakan calon mula sibuk.


























Najib bayangkan Ikhwan pengganas dan mencurigai sosok Sheikh Yusuf al Qaradawi

Posted: 26 Feb 2011 04:31 AM PST

MERDEKA REVIRE

Laporan National Review ada memetik ucapan Najib Razak di Turki yang dikatakan sarat dengan prasangka buruk terhadap ulama terkemuka Sheikh Yusuf al Qaradawi dan Ikhwanul Muslimin. Perdana Menteri dilaporkan menggesa agar Ikhwanul Muslimin disisihkan dari agenda Perubahan di Mesir kerana masih terlibat dengan keganasan. Pendapat seperti ini malahan dikritik oleh pelbagai institusi dan intelektual. Dunia kini menggesa agar Amerika Syarikat dan Eropah untuk tuntas bekerjasama dengan Ikhwan.

Saya terpanggil untuk menegur Perdana Menteri kerana pandangan sebegini jelas dianggap terpencil dan mewakili pandangan dasar luar ektrem kanan di Amerika Syarikat. Adakah ini sebahagian dari agenda syarikat penasihat demi membaiki imej Najib di Amerika Syarikat?

Kenyataan terbaru Najib Razak juga membuka pekung kecurigaaan pemimpin tersebut terhadap ulama dan gerakan Islam seluruh dunia yang kini kian giat menyertai proses demokratisasi. Sekiranya Perdana Menteri mempunyai kebimbangan terhadap sosok seperti Sheikh Yusuf al Qaradawi, mengapa anugerahkan beliau Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan tahun 2009/1431? Sekiranya terbukti benar tohmahan Najib Razak terhadap Sheikh Yusuf al Qaradawi, saya menuntut Perdana Menteri agar segera memohon maaf dari ulama tersebut.

Sila baca laporan National Review : http://bit.ly/hkI4SA

Sila baca laporan Brookings Institution yang mahu dunia Barat bekerjasama dengan Ikhwanul Muslimin: http://bit.ly/gY2GNW

*Kenyataan media oleh Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Parlimen dan Ketua Umum PKR.

Tuntutan (NGO) Melaka Sempena PRK Merlimau 2011

Posted: 26 Feb 2011 04:29 AM PST

MERDEKA REVIEW

Latar belakang

"Merentasi parti politik, Mengambil berat terhadap isu negara, Memberi layanan yang adil kepada pendidikan bahasa ibunda, Mengembalikan hak kerakyatan mendiang Lim Lian Geok."

1. Memberi layanan yang adil dan saksama kepada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR), memansuhkan serta-merta polisi yang bersifat diskriminasi yang membezakan sekolah subsidi separuh dan subsidi penuh dengan tindakan-tindakan konkrit termasuk menubuhkan SJK dan SAR mengikut keperluann rakyat, memindahkan guru-guru SJK yang tidak memahami dwi-bahasa, melatih guru-guru yang mencukupi serta membiayai penuh perbelanjaan elektrik dan air sekolah.

2. Menuntut kerajaan negeri menggubal Enakmen Bantuan Pendidikan Rakyat dengan kadar 1:1 menetapkan kerajaan negeri memberi bantuan RM1000 kepada setiap pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sekolah Menengah Islam/ Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) yang dibiayai penuh oleh masyarakat, mengiktiraf sijil peperiksaan SMPC dan membenarkan pemegang sijilnya untuk memohon kemasukan IPTA serta sebagai kakitangan awam.

3. Menuntut kerajaan memberi peruntukan kepada lima buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) untuk memperbaiki kemudahan asas pengajaran dan seterusnya menunaikan pelbagai janji kerajaan semasa pertukaran aliran sekolah berkenaan dan terus menghulurkan sumbangan pembangunan yang mencukupi.

Mengembalikan hak kerakyatan mendiang Lim Lian Geok dan mengiktirafkan beliau sebagai Patriot Negara.

Alasan: Oleh kerana mendiang Lim Lian Geok (LLG) terlibat dalam pembantahan dan penolakan pertukaran aliran Sekolah Menengah Cina, kerakyatan beliau telah dilucutkan pada tahun 1961 kononnya atas dakwaan beliau sengaja memutar-belitkan dasar pendidikan negara dan menghasut rakyat benci akan DYMM Yang Dipertuan Agong serta kerajaan persekutuan sehingga mengakitbatkan permusuhan antara kaum. Namun hakikatnya sebelum kemerdekaan, mendiang LLG merupakan pemimpin pertama yang menyeru masyarakat Cina bersetia dan menjadikan Malaya sebagai tanahair dan memohon kewarganegaraan. Malah, beliau sering memupuk perpaduan kaum dan pernah mewartakan perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun 1956 di Utusan Melayu agar rakyat Malaysia dapat mendukung gagasan "Hidup Berbilang, Makmur Bersama" dengan melayani semua kaum sebagai anggota sekeluarga.

Petisyen:

Atas dasar pendidikan bahasa ibunda prinsip asas hak asasi manusia dan penegasan bahawa sumber pendidikan perlu dibahagikan sama rata kepada semua aliran sekolah, kami selaku badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melaka ingin mengemukakan tuntutan rakyat ini kepada parti-parti politik yang menyertai PRK Merlimau 2011 agar ia diterapkan sebagai polisi parti dan dilaksanakan secara menyeluruh di setiap lapisan kerajaan negeri dan persekutuan.

*Petisyen oleh Malacca Chinese Education Progressive Association kepada semua calon PRK Merlimau 2011, yang ditandatangani 104 pertubuhan tempatan sehingga kini. Petisyen ini dimuat turun dari sini.

Projek KL-MRT: Laporan kajian impak terhadap alam tidak lengkap

Posted: 26 Feb 2011 04:27 AM PST

MERDEKA REWIEW

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) sememangnya menyokong adanya sistem pengangkutan awam yang efektif. Akan tetapi, laporan Kajian Impak Terperinci Alam Sekitar (DEIA) untuk projek KL MRT yang dicadangkan yang telah dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah tidak lengkap dan tidak dapat membuktikan bahawa projek ini dapat memperbaiki kualiti alam sekitar di Lembah Klang.


AWER telah mengkaji laporan DEIA tersebut dan menghantar komen kepada Ketua Pengarah JAS pada 25 Februari 2011. Berdasarkan kajian AWER, DEIA projek ini tidak patut diluluskan.

Komen untama yang telah AWER hantar kepada Ketua Pengarah JAS termasuk:

(i) Konsultan EIA telah menjalankan perbandingan pilihan projek yang tidak berfungsi (non-functional project option comparison). Perbandingan pilihan projek sepatutnya seperti berikut:

  • Membandingkan LRT bersama sistem perkhidmatan sokongannya dengan;
  • Membandingkan Monorail bersama sistem perkhidmatan sokongannya dengan;
  • Membandingkan MRT bersama sistem perkhidmatan sokongannya dengan;
  • Membandingkan KTM Komuter bersama sistem perkhidmatan sokongannya.

Hanya melalui perbandingan sebegini, kita dapat memperolehi satu pilihan projek yang berfungsi.

(ii) Kriteria utama untuk pembinaan MRT ini adalah untuk memperbaiki kualiti udara berdasarkan Kajian JICA 1997 yang telah dirujuk dalam laporan DEIA ini. Akan tetapi, konsultan EIA tidak menjalankan pemodelan kualiti udara dan trafik semasa operasi MRT. Maka, konsultan EIA telah gagal untuk membuktikan bahawa kualiti udara dapat diperbaiki! Di samping itu, peningkatan kesesakan lalu lintas mempunyai kesan langsung kepada kesihatan orang ramai.

(iii) Konsultan EIA mendakwa bahawa 34,400 ton CO2 akan dapat dikurangkan setiap tahun jika projek MRT ini beroperasi. Berdasarkan kajian AWER terhadap kesesakan lalu lintas yang disebabkan oleh operasi MRT,

  • Jika 100% petrol terbazir disebabkan kesesakan lalu lintas, sebanyak 50,145 ton CO2 tambahan akan dibebaskan;
  • Jika 30% diesel dan 70% petrol terbazir disebabkan kesesakan lalu lintas, sebanyak 52,363 ton CO2 tambahan akan dibebaskan;

Tidak kira dalam kaedah pemodelan mana, kita dapat memerhati bahawa terdapat peningkatan pelepasan CO2 berbanding dengan dakwaan konsultan EIA yang dilaporkan dalam laporan DEIA. Jika hanya petrol terbazir, terdapat peningkatan pelepasan CO2 sebanyak 45.8% dan pelepasan CO2 akan meningkat sebanyak 52.2% bagi pemodelan kombinasi diesel dan petrol.

Baca: Laporan penuh di laman AWER

*Piarapakaran S (gambar kanan) ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER). Maklumat lanjut bagi komen yang telah dihantar kepada DOE boleh dirujuk di www.awer.org.my.

Kpg baru saksi persaingan undi Cina di Kerdau

Posted: 25 Feb 2011 11:17 PM PST

BERNAMA

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, yang bakal menghadapi pilihan raya kecil pada 6 Mac ini mempunyai kira-kira 800 pengundi Cina, 450 orang tinggal di Kampung Baru, berhampiran bandar Kerdau.

Yang nyata walaupun bilangannya kecil namun persaingan untuk meraih undi kaum Cina di Kampung Baru Kerdau sudah pasti sukar.

Esok merupakan hari penamaan calon dan parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil ini harus berusaha menangani segala masalah yang dibangkitkan oleh penduduk di sini.

MCA dipertanggungjawabkan untuk meyakinkan penduduk di kampung baru ini agar menyokong BN.

"Kita sedang berusaha menyelesaikan isu kecil. Isu besar akan dibincangkan bersama timbalan perdana menteri atau perdana menteri," kata timbalan pengerusi MCA Pahang Datuk Hoh Khai Mun yang juga anggota exco negeri.

Isu kecil ialah menyediakan jalan raya yang lebih baik, penambahan lampu jalan dan bantuan untuk SJK (C) Kerdau manakala isu yang lebih besar ialah permintaan untuk skim rumah kos rendah di kawasan itu.

Kempen MCA untuk pilihan raya kecil itu akan diketuai timbalan presiden parti dan pengerusi MCA Pahang Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya parti itu akan melaksanakan konsep 'Kumpulan 10' atau 'G-10' di mana setiap 14 bahagian MCA di Pahang akan menjaga 10 buah rumah di kawasan itu yang mempunyai 100 keluarga.

"Kita akan mengamalkan kempen sentuhan peribadi," katanya dan menambah parti itu akan menjelaskan dengan terperinci usaha kerajaan membangunkan negara dan rakyatnya serta berharap pengundi dapat menilai kerajaan pada perspektif yang lebih baik.

Liow yang juga menteri kesihatan berkata kebanyakan pengundi muda dari kampung itu sama ada tinggal di Temerloh atau Mentakab dan parti itu sedang berusaha menghubungi mereka.

Kita tidak menjangka sebarang masalah untuk mereka pulang mengundi kerana kedua-dua bandar kira-kira 20 hingga 30 kilometer sahaja," katanya.

Kawasan DUN Kerdau terletak di bawah Parlimen Kuala Krau, dua lagi ialah Jenderak dan Jengka di mana Kuala Krau, Jenderak dan Jengka diwakili kerusi BN.

Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohd Said berkata RM120,000 telah diperuntukkan untuk SJK (C) Kerdau untuk menaiktaraf kemudahan sekolah termasuk makmal komputer.

Beliau juga berkata peruntukan sebanyak RM950,000 telah digunakan untuk pelbagai projek di kawasan DUN Kerdau termasuk dewan komuniti (RM300,000) dewan bola keranjang tertutup (RM200,000), pejabat jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (RM100,000) dan menaiktaraf dua jalan utama (RM300,000) serta pembinaan tembok penahan untuk loji rawatan air di Taman Kerdau 2 (RM50,000).

"Kita tidak pernah kalah di kerusi (Kerdau) dan berharap untuk mempertahankan rekod itu," katanya.

Pada April 2000, pilihan raya kecil juga diadakan di kerusi itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sanggang, selepas Adun Datuk Abdullah Kia meninggal dunia akibat serangan angin ahmar. Datuk Redzwan Harun mengekalkan kerusi untuk BN dengan majoriti 1,963 undi.

Berikutan persempadanan semula pada 2003, DUN Sanggang terbahagi dua kepada Kerdau dan Jengka.

Pengerusi DAP Pahang dan Adun Triang Leong Ngah Ngah mengakui sukar untuk menawan Kerdau tetapi parti itu akan membantu rakan pakatan, PAS dalam pilihan raya kecil itu.

"Sukar untuk menang tetapi kita akan memberi tentangan untuk mengurangkan majoriti BN," katanya.

BN memperolehi majoriti 1,615 undi dengan kemenangan calonnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada pilihan raya umum 2008, menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim.

Kematian Zaharuddin, 63, pada 12 Februari lepas menyaksikan pilihan raya kecil di DUN Kerdau yang mempunyai 8,999 pengundi berdaftar, 15 daripadanya adalah pengundi pos.

BN menamakan Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang dan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, sebagai calon pilihan raya kecil itu.

Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim, 43, diumumkan sebagai calon parti itu yang merupakan bekas calon bagi DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008.



Pengasas S'wak Report: Bukan kerja saya jatuhkan Taib

Posted: 25 Feb 2011 11:14 PM PST

MALAYSIA KINI

Seorang wartawan Britain yang mengendalikan lamanweb dan radio online yang kritis terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tugasnya bukanlah untuk menggulingkan pemimpin tersebut.

NONE"Saya tidak lihatnya sebagai tugas saya untuk menjatuhkan Taib. Itu
terpulang kepada rakyat Sarawakian untuk memutuskan," kata Clare Rewcastle Brown dalam sebuah wawancara melalui e-mel dengan Malaysiakini.

Clare mengendalikan lamanweb anti-Taib - Sarawak Report - yang telah mendedahkan dakwaan empayar perniagaan ketua menteri itu dan dakwaan kegiatan rasuah.

Beliau juga bertanggungjawab mengendalikan stesen radio Free Sarawak, yang mulai ke udara November tahun lalu.

"Saya hanya ingin memastikan bahawa mereka mendapat semua maklumat tentang apa yang telah terjadi pada sumber dan kekayaan mereka, supaya mereka dapat membuat pilihan bermaklumat," katanya.

'Bukti mudah diperolehi'


NONEClare berpendapat dia menyediakan "perkhidmatan penting dari jarak
yang selamat" demi hak rakyat Sarawak kepada kebebasan media yang dinafikan oleh penggunaan Akta Dalam Negeri (ISA) dan penyalahgunaan kuasa.

"Terpulang kepada rakyat Sarawak bagaimana mereka mahu menyebarkan berita (yang kami sediakan)," katanya.

Bekas wartawan BBC itu, yang memulakan kerjayanya pada tahun 1983, juga berkata tugasnya berdasarkan kepada bahan yang boleh dibuktikan dan dia bersedia menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Malaysia.

Najib, Muhyiddin mula lawat negeri bulan depan

Posted: 25 Feb 2011 11:13 PM PST

MALAYSIA KINI

Naib presiden Umno Hishamuddin Hussein berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memulakan lawatan ke setiap negeri, mulai bulan depan.

Negeri pertama yang akan dilawati ialah Sarawak, yang akan berdepan dengan pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Ketika ditemui di Merlimau, beliau berkata, Najib dan Muhyiddin akan melawat dua negeri setiap bulan.

Katanya, diharapkan siri lawatan itu akan selesai pada bulan September tahun ini.

Hishammuddin turut ditanya mengenai rancangan Parti Hak Asasi Manusia (HRP) untuk mengadakan perhimpunan anti-rasis di ibunegara esok.

Hishammuddin yang juga menteri dalam negeri berkata, beliau menyerahkan kepada ketua polis negara untuk mengendalikan perkara itu.

Katanya, beliau mahu ada pihak yang menggunakan perhimpunan tersebut untuk memecahbelahkan rakyat.

Tegasnya, gerakan demokrasi di Timur Tengah tidak akan memberi kesan kepada Malaysia kerana situasi di sana adalah berbeza.

Tugas MCA kekal masyarakat Cina dalam arus perdana

Posted: 25 Feb 2011 11:12 PM PST

BERNAMA

MCA, parti komponen kedua terbesar BN yang akan menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-62 esok, menghadapi tugas berat dalam mengekalkan masyarakat Cina dalam arus perdana politik negara ini.


Ia ditubuhkan pada 27 Februari 1949 yang pada asasnya bertujuan untuk menyelamatkan masyarakat Cina di Malaya daripada dihantar pulang ke China, lapor Bernama.

Rancangan British tersebut terbantu dengan penubuhan MCA yang segera membuat perancangan membina rumah bagi menempatkan masyrakat Cina di perkampungan baru.

MCA kemudiannya menyediakan bantuan makanan, ubat-ubatan dan kewangan kepada penduduk di penempatan baru serta bekalan elektrik dan air paip di samping mementingkan pembinaan sekolah dan perpustakaan awam.

Perjuangan seumpama itu berubah kemudiannya dari menumpukan kepada aspek kebajikan kepada penglibatan serius dalam arus politik semasa apabila ia turut berkorban memperjuangkan kemerdekaan negara daripada penjajahan British.

Keadaan kekal relevan kepada MCA sehinggalah perjuangannya yang panjang dan disanjung rakyat itu berubah selepas berlakunya badai politik yang tidak dijangka pada pilihan raya umum Mac 2008.

Dalam pilihan raya tersebut, pengaruh MCA di kalangan masyarakat Cina dan rakyat secara umum turut merosot. Ia hanya memenangi 15 kerusi kawasan Parlimen dan 32 kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), separuh daripada perolehan pilihan raya umum 2004.

Malang, apabila fenomena luar biasa tersebut tidak memberi pengajaran yang berkesan kepada MCA. Pada satu ketika berlaku pertelingkahan dan masalah dalaman dalam parti sehingga membawa kepada pertukaran pucuk pimpinan, yang akhirnya diterajui Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang tidak menyandang sebarang jawatan dalam kabinet.

MCA tidak pernah sunyi dari krisis sebelum ini. Apabila berlaku krisis, kerap berlaku perubahan pucuk pimpinan.

Dengan keadaan MCA sekarang, apa harapan masyarakat Cina kepada parti ini seterusnya. Apa hala tujunya, setidak-tidaknya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang yang sedang hangat diperkatakan.

Apa persiapan MCA bagi membantu BN kekal menerajui Putrajaya.

Mayarakat Cina dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dilihat kurang menyokong BN.

"Tetapi mengapa orang mempersalahkan masyarakat Cina. Mereka lupa tentang sokongan setia masyarakat Cina kepada BN selama ini.

"Pengundi Cina tetap menyokong penuh BN dalam pilihan raya umum 1999 (setahun selepas krisis pemecatan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) sehingga BN memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen.

"Begitu juga sokongan kepada kemenangan besar BN pada 2004," kata veteran MCA Datuk Yap Pian Hon.

Beliau yang baru dilantik sebagai ketua penerangan BN Selangor berpendapat keputusan pilihan raya umum 2008 yang mengecewakan sebagai bersifat sementara.

"Selepas 62 tahun wujud, MCA akan kekal relevan," tegasnya.

Apa cabaran dan bentuk halangan yang dihadapi MCA sekarang.

"Cabaran terbesar MCA ialah untuk mengekal perpaduan dalam parti dan memfokus kepada pilihan raya umum akan datang. Mereka perlu melihat kepada keperluan rakyat, tidak berkelahi sesama sendiri dan memenuhi kehendak peribadi, untuk merampas kembali kerusi yang terlepas," kata naib pengerusi MCA Puchong, Datuk Thean Book.

Bagi anggota jawatankuasa pusat, Loh Seng Kok, cabaran terbesar MCA ialah untuk mengembalikan semangat akar umbi bagi memenangi pilihan raya.

"Mesyuarat agung luar biasa (EGM) 13 Mac ini akan menyediakan nada dan cita rasa yang tepat ke arah itu. Pemikiran perlu diubah, jangan rasa selesa dan jangan terpesong dengan perkara lain," katanya.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong berkata ahli parti perlu menunjukkan kekuatan parti ketika tempoh kritikal ini dengan mengenepikan perbezaan sesama mereka, yang sebagai permulaannya menyokong hasrat lebih 93 peratus perwakilan yang mahu pemilihan parti ditangguhkan.

"Ini boleh membantu menyegerakan proses pemulihan parti ekoran cakap-cakap bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi. Kita perlu bersiap sedia dari sekarang," katanya.

MCA mahu mengadakan EGM untuk mendapat mandat bagi meminda perlembagaan dan mengangguhkan pemilihan parti untuk lebih memfokus kepada pilihan raya umum.

Namun bagi Prof James Chin, MCA akan terus berdepan halangan dan tidak akan pulih sepenuhnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sentimen di peringkat bawahan, masih tidak banyak memihak kepada mereka, ujarnya.

"Mereka masih akan kehilangan beberapa kerusi. Namun Dr Chua melakukan tugas dengan lebih baik untuk partinya," kata penganalisis politik Universiti Monash ini.

Oleh itu beliau tidak terkejut sekiranya BN bekerja keras untuk menambah sokongan di kalangan pengundi Melayu dan India bagi menampung kehilangan sokongan daripada pengundi Cina.

"Tambahan pula, kerusi yang mempunyai majoriti penduduk Cina di Semenanjung Malaysia hanyalah 15. Kita bercakap mengenai kerusi Parlimen di mana terdapat lebih 60 peratus pengundi Cina.

"Ini sukar bagi MCA untuk mengekalkan masyarakat Cina di dalam arus perdana," katanya.


Kempen anti-Taib dimulakan Isnin di UK

Posted: 25 Feb 2011 11:10 PM PST

MALAYSIA KINI

Kumpulan pejuang hak pribumi Bruno Manser Fund (BMF) kini sedang menjalankan persediaan untuk melancarkan demonstrasi 'Hentikan Rasuah Balak' yang dirancang untuk diadakan pada Isnin depan.


Demonstrasi itu dirancang bagi membangkitkan dakwaan salah guna kuasa oleh ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, khususnya berhubung dakwaan "jenayah alam sekitar."

Satu kenyataan BMF hari ini mendakwa, banyak kawasan hutan hujan di pulau Borneo telah musnah dalam tempoh 30 tahun pentadbiran Abdul Taib.

Penggiat kempen berkenaan akan membangkitkan kesan ke atas alam sekitar dan manusia akibat program pembasmian hutan yang berlaku bawah pentadbiran Abdul Taib itu, menurut kenyataan itu lagi.

Tindakan itu merupakan sebahagian daripada protes antarabangsa yang dijalankan selama seminggu.

Di United Kingdom, protes berkenaan akan dijalankan di luar ibu pejabat syarikat Ridgeford Properties Ltd pada jam 9.30 pagi.

Ridgeford Properties merupakan sebuah syarikat hartanah yang dikaitkan dengan Taib.

Sementara itu satu protes sama akan diadakan di Ottawa, Kanada di luar premis syarikat Sakto Corporations pada hari yang sama.

Protes berkenaan akan dijalankan pada jam 12 waktu tempatan dan akan disertai antara lainnya Clare Rewcastle Brown yang merupakan pengasas kepada laman web Sarawak Report.

Calon BN terus bergelut dengan isu sijil akademik

Posted: 25 Feb 2011 11:08 PM PST

Calon BN bagi pilihan raya kecil Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad terus bergelut dengan isu berhubung sijil akademiknya.

Selepas selesai proses penamaan calon tadi, soalan mengenainya masih dilontarkan oleh pihak media kepadanya.

Beliau didakwa tidak lulus semasa belajar di Universiti Al-Azhar dan dituduh membeli ijazah dari universiti berkenaan.

Menurut laporan, Syed Ibrahim yang juga naib ketua Umno bahagian Kuala Krau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kuala Krau dan di Sekolah Menengah Agama Al Khairiah Temerloh sebelum menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar pada 1989 hingga 1996.

Syed Ibrahim menepiskan isu tersebut dengan menyifatkannya sebagai satu 'serangan peribadi'.

Katanya, oleh kerana tiada isu besar yang di kawasan itu, maka isu itu ditimbulkan di Kerdau.

Sementara itu, calon PAS pula, Hassanuddin Salim berkata, beliau hari ini bangun pada jam 5 pagi dengan perasaan optimis.

Bagaimanapun, beliau masih mahu merahsiakan pendekatan dan strateginya.

'2Malaysia'

"(Strategi saya) menawan hati semua orang," katanya ringkas sambil senyum lebar.

Ketika SPR mengumumkan mereka berdua sah bertanding, suasana di Dewan Tun Razak dan sekitarnya di Temerloh bingit dengan sorakan penyokong dan pemimpin kedua-dua parti.

BN melaungkan 1Malaysia manakala PAS pula rancak bertakbir. Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir sempat menyindir BN dengan mengangkat isyarat jari nombor dua, sebagai parodi kepada slogan 1Malaysia.

Antara pemimpin Pakatan yang hadir Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR Fuziah Salleh.
Jimadie Shah Othman

Di pihak BN pula, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Di luar dewan, kedua-dua penyokong yang dipisahkan kawat berduri kira-kira 40 meter.

Hasanudin diringi kira-kira 2,000 penyokong manakala Syed Ibrahim pula berarak bersama 1,000 orang.

Bagaimanapun, kelihatan di kawasan BN lebih berwarna-warni apabila penyokongnya membawa pelbagai kain rentang dan poster berbanding PAS yang rata-rata hanya membawa benderanya.

Tiada insiden tidak diingi berlaku.

154 ahli Wanita PKR Ipoh Barat, Tambun masuk Umno

Posted: 25 Feb 2011 11:07 PM PST

BERNAMA

Sekumpulan 154 anggota sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini bertindak keluar parti dan menyertai Umno kerana sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti khususnya sayap itu.

Diketuai bekas naib ketua Wanita PKR Ipoh Barat Siti Aminah Mansor, mereka mengemukakan borang keanggotaan kepada ketua Wanita Umno Perak Datuk Rosnah Kassim.

Dalam sidang media selepas itu, Rosnah berkata tindakan anggota Wanita PKR Ipoh Barat dan Tambun tersebut mengukuhkan lagi kenyataan yang dibuat bekas anggota PKR sebelum ini bahawa ada yang tidak kena dengan parti pembangkang terbabit.

Justeru kata beliau, PKR tidak wajar menuding jari kepada Umno dan BN sebagai punca semakin ramai anggota mereka bertindak keluar parti.

Sementara itu, Siti Aminah berkata tindakan beliau dan rakan-rakannya itu berpunca daripada rasa kecewa dengan pucuk kepimpinan PKR.

"Selain itu kami melihat dan terbukti perjuangan PKR dan kepimpinan mereka adalah untuk kepentingan peribadi mereka dan bukan untuk kebaikan kami dan rakyat jelata," katanya.

Ini kerana kata beliau, perebutan kuasa menyebabkan pucuk pimpinan lupa anggota di akar umbi yang selama ini bertungkus lumus menghidupkan PKR sebelum tsunami politik pada 2008.

Turut menyerahkan borang keanggotaan Umno hari ini ialah 34 wanita yang tidak pernah menyertai sebarang parti politik sebelum ini.


PM dakwa Ikhwan pengganas

Posted: 25 Feb 2011 11:05 PM PST

Najib mahu gerakan Islam itu disisihkan dari agenda perubahan di Mesir.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Najib Tun Razak masih berprasangka buruk terhadap ulama terkemuka Sheikh Yusuf al Qaradawi dan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

"Ini terbukti dari petikan ucapannya di Turki seperti dilaporkan oleh National Review," kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, dalam ucapannya, Najib menggesa agar Ikhwanul Muslimin disisihkan dari agenda perubahan di negara yang sedang bergolak itu kerana beliau mendakwa pertubuhan Islam itu masih terlibat dengan keganasan.

"Pendapat seperti ini malahan dikritik oleh pelbagai institusi dan intelektual. Dunia kini menggesa agar Amerika Syarikat dan Eropah untuk tuntas bekerjasama dengan Ikhwan," katanya.

Anwar berkata, saya terpanggil untuk menegur Perdana Menteri kerana pandangan sebegini jelas dianggap terpencil dan mewakili

pandangan dasar luar ektrem kanan di Amerika Syarikat.

"Adakah ini sebahagian dari agenda syarikat penasihat (Apco Worldwide) demi membaiki imej Najib di Amerika Syarikat?," soalnya.

Ujar beliau, "kenyataan terbaru Najib juga membuka pekung kecurigaaan pemimpin tersebut terhadap ulama dan gerakan Islam seluruh dunia yang kini kian giat menyertai proses demokratisasi.

"Sekiranya Perdana Menteri mempunyai kebimbangan terhadap sosok seperti Sheikh Yusuf al Qaradawi, mengapa anugerahkan beliau Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan tahun 2009/1431?," soal beliau lagi.

"Sekiranya terbukti benar tohmahan Najib terhadap Yusuf al Qaradawi, saya menuntut Perdana Menteri agar segera memohon maaf dari ulama tersebut," tegas beliau.

Yuhaizad bukti PAS hargai golongan muda

Posted: 25 Feb 2011 11:04 PM PST

Hazayani Zakaria

JASIN: Calon PAS di Dun Merlimau, Yuhaizad Abdullah menyifatkan pemilihan beliau untuk mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) Dun berkenaan sebagai penghargaan kepada sumbangan golongan muda.

Yuhaizad, 38 berkata, pemilihan berkenaan menunjukkan kesungguhan PAS mengiktiraf golongan muda sebagai penyumbang dalam perubahan lanskap politik Pakatan Rakyat khususnya PAS.

"Pengisytiharan calon ini bukan milik saya tapi satu manifestasi keprihatinan PAS yang mengiktiraf sumbangan semua pihak baik lelaki mahupun perempuan dan merupakan penghargaan yang sangat bermakna bagi pemuda di seluruh Malaysia.

"Ini juga kemuncak kepada keadilan dan pembelaan tanpa mengira usia selari dengan tuntutan Islam terhadap pemuda serta generasi muda selaku rakan kongsi dalam pembanguanan politik serta pentadbiran negara yang sangat berpengaruh," katanya dalam ucapan sulung selepas diumumkan sebagai calon di Markas Solihin, dekat sini malam tadi.

Justeru, beliau yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk bersama-samanya membawa perubahan dalam poltik Melaka yang masih terkongkong di bawah Umno BN.

"Selaku insan yang diamanahkan menjadi calon saya dengan penuh rendah diri merakam rasa terharu seterusnya memohon kerjasama daripada semua pihak untuk menyokong PAS yang mewakili Pakatan Rakyat untuk kita sama-sama merealisasikan hasrat membawa perubahan politik di Melak," katanya yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri.

Menurutnya juga, PRK Merlimau ini merupakan ujian besar bagi menguji tahap pencapaian PAS di negeri itu sebelum menghadapi pilihan raya umum.

"PRK Merlimau ini ujian yang sangat getir bagi PAS negeri Melaka dan Pakatan Rakyat kerana ini merupakan PRK pertama di Melaka dalam tempoh 15 tahun selepas PRK Bukit Asahan pada tahun 1996 yang ditandingi PAS," katanya.

Usaha terbaik boleh menangkan PAS di Kerdau

Posted: 25 Feb 2011 11:03 PM PST

Harakahdaily

TEMERLOH: Calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Kerdau, Hassanuddin Salim menyeru seluruh petugas parti itu dan Pakatan Rakyat bekerja keras untuk membuktikan kemenangan mampu diraih pada 6 Mac nanti.

Beliau yang merupakan seorang usahawan berkata, walaupun menyedari bahawa PAS dan Pakatan Rakyat menghadapi jentera kerajaan Malaysia, bukannya BN pada PRK itu tetapi kejayaan boleh dicapai jika usaha yang bersungguh-sungguh dilaksanakan oleh jentera Pakatan Rakyat.

"Insya Allah, dengan dokongan dan sokongan semua pemimpin Pakatan Rakyat, muslimin dan muslimat yang berusaha bertungkus-lumus, kita buktikan Dun Kerdau ini boleh dirampas oleh PAS dalam pilihan raya kecil ini," ujarnya kepada Harakahdaily.

Ketua Penerangan PAS Pahang itu menganggap pemilihannya sebagai calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada PRK Kerdau ini adalah satu amanah yang cukup berat.

Begitupun, beliau amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan parti yang telah memberikan amanah yang berat itu kepadanya untuk bertanding pada PRK Kerdau.

Hasutan melampau warnai Kerdau

Posted: 25 Feb 2011 10:59 PM PST

Harakahdaily

TEMERLOH: PAS menyifatkan penerbitan dan penyebaran risalah bertajuk Kalau Program 100 Hari Pakatan Rakyat Dilaksanakan oleh pihak tertentu merupakan hasutan melampau terdapat PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Kerdau.

Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyebaran risalah itu jelas menunjukkan bahawa pihak lawan amat takut dengan program 100 Hari Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga.

"PAS hari ini menerima satu risalah yang berbau hasutan dan melahirkan dukacita terhadap penyebaran," ujarnya pada sidang media di Markas Induk PAS PRK Kerdau, dekat sini, pagi ini.

(Gambar: Tuan Ibrahim menunjukkan sebahagian kandungan risalah berkenaan.)

Turut serta pada sidang media itu ialah Setiausaha dan Pegawai Media PAS Pahang, Roslan Zainal dan Hashim Abdullah.

Katanya, risalah yang diedarkan kepada para pengundi itu menggambarkan satu hasutan yang melampau, seolah-olah akan berlaku satu suasana huru hara dan kekejaman yang disertai gambar potong kepala.

"Risalah ini diletakkan logo Pakatan Rakyat yang saya fikir sebagai satu pencabulan atau hasutan kepada rakyat.

"Kita akan membuat satu laporan polis pada hari ini berhubung dengan penyebaran risalah yang berbau hasutan ini," ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.

Tambahnya, risalah itu telah diedarkan kepada para pengundi di kawasan Dun Kedau dan PAS menafikan ia adalah daripada Pakatan Rakyat.

Tegasnya, risalah yang mengandungi lapan halaman itu merupakan satu tuduhan dan tohmahan bagi menjawab isu 100 Hari janji Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang memberitahu sedangkan Buku Jingga akan diedar dan dilancarkan pada sebelah malam 26 Februari ini.

"Belumpun Buku Jingga dilancarkan, serangan terhadapnya telah dibuat," ujarnya.

Ini, katanya menggambarkan ketakutan Barisan Nasional terhadap Buku Jingga.

Tiada ulasan: