Rabu, 23 Februari 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Mintalah sungai pun nescaya akan dapat

Posted: 23 Feb 2011 04:29 AM PST

Harakahdaily

TEMERLOH: PAS yakin semua permintaan rakyat di Kerdau dan Merlimau akan ditunaikan oleh Barisan Nasional (BN) sempena dengan pilihan raya kecil kedua-dua kawasan itu sekarang.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau yakin, jika rakyat minta sungai atau betulkan jalan yang bengkang bengkok pun akan ditunaikan oleh kerajaan BN sekarang.

"Tuan-tuan mintalah apa sahaja. Musim ini tuan-tuan, kalau nak sungai pun mereka akan lulus. Kalau tuan-tuan nak luruskan jalan yang bengkang bengkok pun, mereka akan buat," kata beliau di majlis ceramah dekat sini.

Namun begitu, Tuan Ibrahim yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Krau dan Pesuruhjaya PAS Pahang mengingatkan rakyat kawasan itu agar mengingati apa yang berlaku dalam kawasan pilihan raya kecil sebelum ini.

"Sebelum tuan-tuan percaya kepada janji-janji mereka, tuan-puan kena ingat pilihan raya kecil Sanggang di Temerloh sebelum ini. Ketika itu, beratus-ratus lori bawa batu jalan masuk ke kampung-kampung untuk membaiki jalan yang berlubang.

"Namun, akhirnya selepas pilihan raya, batu itu tinggal batulah. Jalan raya tuan-puan tetap macam itu juga," katanya mengingatkan janji BN semasa pilihan raya kecil Sanggang sebelum ini.

Kerdau adalah kawasan pilihan raya yang berjiran dengan kawasan pilihan raya kecil Sanggang sebelum ini.

Dalam pilihan raya itu, PAS meletakkan Datuk Hishamudin Yahya untuk bertanding namun kalah di tangan calon BN.

Tuan Ibrahim mengingatkan, kali ini orang-orang yang sama dengan watak-watak yang sama akan datang lagi ke Kerdau.

"Namun tuan-puan kena ingat, jangan sampai tertipu buat kali kedua," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, walaupun BN menang beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini, mereka sangat takut dengan kebangkitan rakyat sejak 2008 hingga kini.

"Walaupun PM menang besar dalam pilihan raya umum 2008, namun kenaikan yang ketara jumlah pengundi di Pekan menunjukkan PM sendiri sangat bimbang.

"Sebab itu, Perdana Menteri selalu saja mengulangi, Mesir tidak sama dengan Malaysia. Percayalah di Malaysia, rakyat yang kena dulu, Mesir tidak," katanya merujuk kepada kebangkitan rakyat Mesir.

Menurut Tuan Ibrahim, Umno sangat bimbang dengan tawaran 100 hari pertama Pakatan Rakyat melalui buku Jingganya.

"Sewaktu kita tawarkan program 100 Paktan Rakyat, PM berulang kali berkata, negara akan bangkrap jika ia dilaksanakan," katanya.

Sebenarnya, kata Tuan Ibrahim, tawaran yang dibuat oleh Pakaran Rakyat itu berdasarkan kajian teliti dan penyelidikan mendalam yang dibuat dan atas kemampuan negara.

"Yang paling menakutkan mereka, bila kita berjanji nak beri RM500 elaun tambahan sebulan kepada semua guru di Malaysia. Mereka kata, negara akan bangkrap.

"Namun, baru-baru ini, lebih 800 guru-guru besar dinaikkan gaji mereka...boleh pula," kata Tuan Ibrahim.

Pakatan Rakyat juga, kata Tuan Ibrahim, menawarkan untuk menghapuskan tol dalam program 100 harinya.

"Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan penurunan kadar tol....kalau panjanglah lagi tempoh menjelang pilihan raya ini, mereka akan tiru satu persatu cadangan kita," kata beliau.

Tsu Koon layak menteri 'perpecahan'

Posted: 23 Feb 2011 04:25 AM PST

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon diminta menarik balik kenyataannya berhubung portfolio baru bagi menguruskan hal ehwal agama bukan Islam yang ditubuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Kalau tidak tarik balik, beliau dicabar meletakkan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio perpaduan kerana kenyataannya itu yang amat tidak berasas.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, disebabkan kenyataannya yang tidak berasas, Koh Tsu Koon perlu bertanggungjawab dan menarik balik kenyataannya itu kerana ia hanya boleh membawa perpecahan.

(Gambar: Lim Guan Eng dan Zairil Khir Johari yang dilantik setiausaha politiknya.)

Menurut beliau, jika tidak, Koh Tsu Koon tidak selayaknya terus memegang portfolio itu, sebaliknya layak menjadi menteri 'perpecahan' kerana kenyataannya yang hanya tahu mengkritik Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang walaupun tidak berasas.

"Jadi saya dengan ini meminta Koh Tsu Koon menarik balik kenyataannya itu kerana ia tidak selayaknya keluar dari menteri (yang memegang portfolio perpaduan dan prestasi) tetapi layak sebagai menteri 'perpecahan'," katanya pada sidang akhbarnya yang diadakan di ibu pejabat DAP, di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya baru-baru ini, Koh Tsu Koon menganggap portfolio baru bagi menguruskan hal ehwal agama bukan Islam yang ditubuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau di bawah pimpinan Lim Guan Eng hanya untuk mencari publisiti.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir turut mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab dalam kritikannya terhadap Lim Guan Eng kerana menubuhkan portfolio tersebut.

Menurut Lim Guan Eng, beliau amat hairan dengan kritikan Datuk Mukhriz dan Koh Tsu Koon terhadap portfolio yang ditubuhkannya itu, pada hal di Perak di bawah pentadbiran BN, portfolio yang mempunyai nama dan fungsi seperti itu telah ditubuhkan terlebih dahulu, tetapi tidak pula dikritik.

"Di Perak di bawah pimpinan Zambry, fortfolio Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam itu dipegang oleh Datuk Dr Mah Hang Soon.

"Porfolio itu ditubuhkan sejak tahun 2009 lalu di Perak, tetapi kita di Pulau Pinang baru menubuhkan portfolio itu tahun 2011. Tapi kenapa yang dibuat oleh kerajaan BN Perak tak dikiritik oleh mereka, yang kita buat pula yang dikritik?

"Kenapa yang hitam boleh jadi putih dan yang putih menjadi hitam? Amat pelik sikap mereka itu. Pada mereka apa yang kita buat semuanya tak kena, tak betul.

"Orang seperti itu kalau dalam Islam disebut munafik. Untuk tahu lebih lanjut perkara itu, sesiapa pun bolehlah bertanyakan kepada ulama," katanya.

Beliau yang turut menyifatkan Toh Tsu Koon sebagai 'burung kakak tua' kepada Umno itu berharap agar menteri berkenaan tidak hanya tahu mengkritik apa yang baik yang dibuat oleh kerajaan Pulau Pinang, tetapi berpandangan lebih jauh dengan sebarang kenyataan yang dikeluarkannya.

Begitu juga yang diharapkan oleh beliau terhadap Mukhriz, dengan harapan sebelum mengeluarkan kenyataan yang mengkritik Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dengan penubuhan portfolio itu, ia perlu dirujuk dengan apa yang dibuat oleh Kerajaan BN di Perak terlebih dahulu.

Pemuda PAS kumpul peminjam PTPTN, Mara

Posted: 23 Feb 2011 04:24 AM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan satu majlis pertemuan dengan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mengalami masalah pembayaran balik pinjaman mereka.

Himpunan tersebut dijadualkan pada hari Sabtu ini, 26hb Februari 2011 jam 2 petang di Dewan Semantan Perdana, Hotel Sri Malaysia, Temerloh, Pahang.

Menurut Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiat, pemuda PAS mengambil inisiatif tersebut kerana perihatin dengan nasib mereka yang tidak mampu membayar balik pinjaman kerana faktor kekangan ekonomi negara.

"Mereka dalam keadaan tertekan kerana mereka tidak mampu membuat bayaran.

"Faktor utama adalah kerana tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan kos hidup yang meningkat setiap tahun khususnya di bandar," katanya.

Menurutnya sehingga kini terdapat 1.7 juta peminjam PTPTN yang mengalami masalah tersebut. Dari Jumlah itu terdapat 191,262 orang peminjam yang langsung tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman.

PTPTN telah membelanjakan sebanyak RM 37 bilion sejak 13 tahun yang lalu.

Agensi itu juga telah mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 4% kepada peminjam dan ianya didakwa membebankan.

Masalah yang dihadi peminjam ketika ini katanya berkaitan jumlah pinjaman mereka yang meningkat setiap tahun jika mereka tidak membuat pembayaran.

Mereka juga tidak dibenarkan pergi ke luar negara jika tidak membuat pembayaran yang ditetapkan oleh PTPTN.

Sebahagian mereka menghadapi kesukaran untuk mendapat pinjaman lain khususnya pinjaman perniagaan.

Selain PTPTN, masalah sama turut menimpa peminjam MARA yang ada diantara mereka terpaksa membayar balik jumlah pinjaman terlalu besar sehingga RM80 ribu.

"Pihak PTPTN pula sedang berusaha untuk membuat pindaan terhadap akta PTPTN yang berkemungkinan pada sidang parlimen akan datang bagi mengetatkan lagi kawalan pembayaran balik pinjaman. Tindakan ini sudah semestinya akan memberikan lebih tekanan kepada mereka.

"Dalam usia mereka yang masih muda mereka telah dibebankan dengan hutang yang banyak. Hidup mereka menjadi tidak tenteram dengan hutang tersebut," tambahnya lagi.

Menurutnya juga, pertemuan itu turut akan dihadiri ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat yang akan sama-sama mendengar rintihan mereka.

Semua pandangan mereka akan dirumuskan dalam persidangan meja bulat dan akan diserahkan kepada pihak kerajaan dalam sidang parlimen akan datang.

Sehubungan itu, beliau menjemput semua peminjam PTPTN dan MARA untuk hadir ke program itu.

Tuduhan Hindraf: Perkasa buat laporan polis

Posted: 23 Feb 2011 04:18 AM PST

Ibrahim Ali menyangkal tuduhan yang Umno, Pekida dan Perkasa akan mengacau perhimpunan anjuran Hindraf Ahad ini.


KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat terhadap Hindraf kerana mendakwa Umno, Pekida, dan Perkasa akan mengacau satu perarakan aman yang akan dianjurkan pertubuhan tersebut Ahad ini.

Laporan polis itu dibuat oleh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Ibrahim berkata, Perkasa semalam menerima satu salinan surat (melalui e-mel) yang ditulis Pengerusi Hindraf P Waytha Moorthy memfitnah Perkasa dan Pekida sebagai alat Umno untuk menimbulkan huru-hara pada perhimpunan itu nanti.

Bertajuk "Rayuan kepada kerajaan antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan beberapa NGO terhadap kemungkinan Umno disebalik keganasan", Waytha Moorthy menghantar surat itu kepada 21 penerima, antaranya Setiausaha Hal Ehwal Semasa Politik Amerika Syarikat, Setiausaha Pejabat Komanwel dan Negara Luar di London, dan beberapa pertubuhan hak asasi antarabangsa.

Waytha Moorthy dalam suratnya menyatakan kebimbangan beliau yang Umno akan bekerjasama dengan Perkasa dan Pekida untuk menyebabkan huru-hara pada hari tersebut.

Berikutan itu, beliau berkata Hindraf juga telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara meminta perlindungan dan kerjasama, selain aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam).

Namun, Ibrahim dalam laporan polisnya menafikan dakwaan surat tersebut dan menegaskan Perkasa sama sekali tidak akan terlibat dalam mana-mana penganjuran perhimpunan haram.

"Selaku Ahli Parlimen Pasir Mas serta Presiden Perkasa, saya akan menghantar surat maklum balas menjawab tuduhan Waytha Moorthy kepada kesemua 21 orang diperingkat antarabangsa supaya dapat membersihkan nama baik kerajaan, rakyat Malaysia, Perkasa dan Pekida.

"Kebetulan juga 24 Februari ini saya akan bertemu dengan salah seorang pegawai tertinggi Kedutaan Amerika dan saya akan memberikan penjelasan bahawa gambaran yang diberikan pihak terbabit tidak benar," katanya kepada pemberita.

Hindraf dijangka mengadakan satu perhimpunan aman bermula di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan berakhir di IPD Dang Wangi dimana 1,000 tandatangan pengadu dikumpul bagi membuat laporan polis terhadap kerajaan dan Perdana Menteri yang dituduh masih mengamalkan perkauman.

Ibrahim berkata dakwaan itu hanya sebagai alasan untuk Hindraf merancang satu suasana tegang sehingga mencetuskan huru-hara seperti yang berlaku di Tunisia dan Libya sekarang.

"Dalam demonstrasi jalanan, apa pun boleh berlaku. Jika ada yang cedera, mereka akan salahkan polis," katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim dalam laporan polisnya turut menggesa polis bertindak tegas terhadap Hindraf yang digelarkannya sebagai pertubuhan haram dan amat merbahaya.

Kampung Kebun Bunga dibangun lebih sistematik

Posted: 23 Feb 2011 04:10 AM PST

SELANGOR KINI



SHAH ALAM – Kampung Kebun Bunga akan menikmati pembangunan yang lebih sistematik dan tersusun bersesuaian dengan kedudukannya yang terletak di dalam bandar raya Shah Alam.

Kerajaan Negeri menyedari kampung tersebut tidak harus dipinggirkan dan pembangunannya harus seiring dengan arus pemodenan masa kini.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail ketika melawat kampung itu hari ini berkata, kerajaan negeri merancang pembangunan kampung itu bersesuaian dengan kedudukannya di dalam bandar raya serta keselesaan penduduknya.

Katanya, selama ini kampung tersebut agak terpinggir dari sudut perancangan dan tidak memiliki beberapa kemudahan yang perlu seperti sistem saliran, papan tanda, laluan jalan dan yang lain.

"Kita ada peruntukan untuk tujuan ini dan mahu melihat pembangunan di kampung ini serta akan merancang apa yang perlu supaya kampung ini menjadi lebih bagus sesuai dengan lokasinya di dalam bandar raya ini.

"Kerajaan negeri akan membangunkan kampung ini dengan lebih tersusun dengan longkang yang betul, jalan yang baik serta ia menjadi lebih bersih supaya penduduk dapat mendiaminya lebih selesa," katanya kepada wartawan selepas lawatan itu.

Beliau berkata, beberapa lawatan akan dilakukan secara kerap oleh beberapa jabatan yang terlibat bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti penduduk di kampung tersebut.

Katanya, ianya adalah penting demi keutamaan penduduk di situ selain semua mereka juga adalah pembayar cukai.

Tambahnya lagi, pihaknya berharap matlamat pembangunan di kawasan kampung itu akan tercapai bersesuaian dengan agenda Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat iaitu Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Selangor Terkini: Kerajaan Negeri ada bukti Umno terbabit

Posted: 23 Feb 2011 04:08 AM PST


SELANGOR KINI


SHAH ALAM – Kerajaan Negeri menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersifat profesional dan mengambil langkah proaktif dalam mencegah penerbitan dan pengedaran permit Selangor Terkini di Selangor.

Akhbar tanpa permit itu dikesan mula diedarkan sejak Januari lalu dan sudah diterbitkan tiga keluaran.

Pada 17 januari lalu Kerajaan Negeri melalui seorang pegawai kanan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, namun setakat ini tiada maklumat mengenai perkembangan terkini hasil siasatan itu.

Minggu lalu, Kerajaan Negeri Selangor mempunyai bukti terbaharu bagi membuktikan pemimpin UMNO terbabit dalam pengeluaran dan pengedaran secara haram dan menggunakan lambang Kerajaan Negeri tanpa kebenaran.

Menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Faekah Husin pada sidang media di sini hari ini, misteri siapa yang terbabit dalam penerbitan dan edaran

Selangor Terkini terdedah apabila kalendar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang yang juga Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus diedar bersama-sama akhbar Selangor Terkini.

Sebelum itu Abdul Shukor menafikan sekerras-kerasnya bahawa UMNO terlibat dengan akhbar berkenaan.

"Sikap merka yang suka 'membaling batu tetapi sembunyi tangan' ini tidak layak bergelar pemimpin Umno Selangor di bawah pimpinan Datuk Sri Najib Abdul Razak dan harus malu dengan tindakan sedemikian,"kata Faekah.

Beliau juga menyifatkan apa yang dilaku oleh pihak Umno dalam penerbitan dan pengedaran Selangor Terkini adalah pengkhianatan sebenar terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Sultan Selangor.

Tambahnya, Kerajaan Negeri sedia memberi bantuan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan. Antaranya Kerajaan Negeri sedia memberi bantuan penyiasat persendirian bagi memastikan pihak yang bertangungjawab dapat dihadapkan ke mahkamah.

Putrajaya Tak Mampu Hantar Pelajar Balik Ke Mesir?

Posted: 23 Feb 2011 04:01 AM PST

Ditulis oleh Subky Latif


Sekalipun lambat bertindak tetapi kerajaan Datuk Seri Najib Razak masih boleh dipuji kerana berjaya membawa pulang ribuan pelajar dari Mesir ketika negara di tengah huruhara bagi menggulingkan regim Hosni Mubarak.

Entah di mana para pelajar itu dapat tidak diketahui tetapi mereka boleh turun di lapangan terbang KLIA dengan sepanduk TERIMA KASIH PM. Untuk mendapat barang keperluan pun susah, tetapi mereka dapat kemudahan membawa balik sepanduk TERIMA KASIH PM.

Ibu bapa khususnya berasa lega dan rakyat seluruhnya berasa aman.

Apabila keadaan mulai reda, sudah boleh masing-masing berkira untuk kembali semula ke kampus bagi meneruskan pelajaran dan bagi menyelesaikan yang tidak sempat diselesaikan.

Tetapi hendak balik semula dengan apa?

Kerajaan yang mengambil mereka pulang dulu sudah enggan mengambil tanggungjawab untuk menghantar mereka semua ke Mesir. Adakah kerajaan pusat berlepas tangan atau kerajaan sudah tidak mampu?

Kemungkinan kedua-duanya ada.

Memandangkan mewah dan borosnya kerajaan berbelanja, seolah-olah kerajaan banyak duit lebih. Tetapi orang juga banyak mendengar perkhabaran kerajaan tidak cukup duit hingga banyak tuntutan pegawai kerja lebih masa atau bertugas di luar kawasan lambat atau belum dibayar.

Menteri Pelajaran menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak bermasalah dengan duit. Dia mengumumkan berbagai insentif kepada guru dan sekolah. Beribu-ribu guru besar diumumkan akan diberi bonus beribu ringgit setiap orang kerana prestasi yang cemerlang.

Ketika berada di pedalaman Sabah dan Sarawak dia mengumumkan untuk menggantikan sejumlah besar sekolah lama dengan sekolah baru yang serba lengkap.

Semua itu baik tetapi gerun mendengar betapa murahnya kerajaan berbelanja untuk kemajuan pendidikan.

Tiba-tiba Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri sekeluarga yang terkenal juga sebagai orang mudah berbelanja besar dan tidak takut untuk menggunakan duit kerajaan berlepas tangan terhadap para pelajar yang sepatutnya mulai bersiapa sedia untuk pulang ke Mesir.

Setiausaha Politiknya yang banyak mengumumkan tentang usaha membawa pulang pelajar-pelajar itu dulu, mengumumkan kerajaan akan menanggung penghantaran mereka semula ke Mesir.

Terserahlah kepada ibu bapa dan mana-mana pihak selain dari kerajaan pusat mengambil tanggungjawab itu.

Maka gelabahlah ibu bapa yang tidak cukup pendapatan.

Ada seorang Melayu yang menyertai parti kaum India sukutu Barian Nasional (BN) kerana kuat semangatnya menyokong kerajaan pusat telah mencabar PAS dan kerajaan selain BN supaya mengambil tanggungjawab menghantar mereka balik ke Mesir.

Maka mulai satu demi satu kerajaan negeri cuba menyelamatkan kerajaan pusat, mengambil tanggungjawab tentang kepulangan semula mereka ke Mesir. Kerajaan BN Melaka dan Pahang yang berada di ambang pilihan raya kecil menyanggupi beban yang dilepaskan oleh kerajaan pusat itu.

Ia berita baik buat ibu bapa dan bolehlah sekali lagi bersyukur dan berterima kasih pula kepada kerajaan-kerajaan negeri. Tentulah mereka boleh memalukan Perdana Menteri kalau membawa semula sepanduk TERIMA KASIH PM ke dalam pesawat atas tindakan yang bukan datang dari PM.

Tindakan kerajaan-kerajaan negeri itu adalah untuk menyelamatkan Perdana Menteri dan kerajaan pusat.

Apa sebab kerajaan pusat enggan mengambil tanggungjawab itu?

Pertama ia mahu berlepas tangan kerana sebahagian besar dari mereka adalah penuntut agama. Kerajaan pusat terutama di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad agak anti kepada pendidikan agama.

Lulusan agama banyak memberi beban kepada kerajaan. Kelulusan mereka tidak laris dalam pasaran pekerjaan. Mereka berpotensi menjadi penganggur dan tidak membantu menyuburkan modal insan. Kerajaan lebih suka kalau mereka ke sekolah yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan.

Kedua sebahagian besar dari lulusan agama itu memenuhi keperluan PAS iaitu mereka bakal menjadi pemimpin dan penyokong PAS. Bahkan yang mengambil bidang selain agama, dengan angin Timur Tengah itu mudah memenuhi pasaran PAS.

Pelajar-pelajar ini balik nanti akan menentang Umno dan kerajaan.

Ketika mengambil mereka pulang dulu, kononnya kerajaan tidak mengambil kira politik. Anak orang PAS, anak orang PKR terpaksa dibawa pulang. Walaupun mereka turun pesawat dengan sepanduk memuji Perdana Menteri, tetapi mereka tidak boleh dipercaya sangat. Tetapi untuk menghantar semua ke Mesir, perhitungan politik mula diambil kira.

Kemungkinan ketiganya ialah kerajaan Putrajaya tidak mampu menanggung beban yang mereka tidak rancang. Kerajaan terlalu murah berbelanja dan terlalu mewah, maka mengapa tidak mampu menanggung penghantaran semua mereka ke sana?

Mewah dan boros itu boleh menjadi bukti kemampuan. Tetapi mewah dan boros itu juga punca kekeringan duit. Belanja tidak berkira menyebabkan habis duit.

Menjelang PRU 13 ini kerajaan akan berbelanja apa saja bagi memastikan kemenangan dan mahu memastikan apa yang hilang dalam PRU 12 dapat dirampas semula. Tidak mahu berbelanja atas pemergian semula pelajar itu boleh mengurang harapan sokongan dari rakyat khususnya keluarga pelajar-pelajar itu sendiri.

Kalau kerajaan ada duit, dia tidak berkira kerana ia boleh memenangi hati rakyat. Kerajaan tahu peluang sokongan itu boleh diusahakan. Tetapi kerajaan pusat tidak menyanggupi keperluan itu, ia adalah tanda ia sudah tidak mampu.

Apa hendak dikata kerana masa hendak pulang ke Mesir, kerajaan tidak cukup duit?

Panel Suruhanjaya Diraja Arah Cari Jam Tangan

Posted: 23 Feb 2011 03:20 AM PST

TVS NEWS


KUALA LUMPUR 23 FEB : Suruhanajaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini mengarahkan jam tangan yang hilang di Plaza Masalam, Shah Alam dicari.Menurut Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata adalah wajar bagi pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal, dan pasukannya melakukan siasatan tempat kejadian sekali lagi memandangkan perbicaraan hari ini terpaksa ditangguhkan petang.

Arahan itu dikeluarkan selepas Nazri ketika disoal oleh Amarjeet Singh berkata terdapat lubang longkang kecil berhampiran tempat mayat Teoh dijumpai.Nazri berkata beliau memeriksa lubang itu ketika mencari sebuah jam tetapi hanya dapat melihat kira-kira enam inci dalam lubang longkang berkenaan kerana ia membengkok selepas itu.

Beliau mengakui tidak mengukur kedalaman lubang itu, mahupun menggunakan lampu suluh tetapi katanya, bukaan lubang itu terlalu kecil bagi memuatkan tangannya.

Pendedahan Nazri itu menarik minat anggota lima panel suruhanjaya tersebut, khususnya Foong, yang mencadangkan kepada Nazri supaya membuat siasatan terutama menentukan daripada mana lubang paip di tingkat lima itu bermula.


"Saya berpendapat bukan membazir masa bagi mengarahkan ASP itu dan beberapa orangnya untuk melihat sejauh mana dalamnya paip itu atau mungkin mendapatkan pelan paip berkenaan... Lupakan formaliti, biar kita bertindak," kata Foong.

Menurutnya, bahan bukti itu amat penting bagi membantu menentukan masa lelaki berkenaan dikatakan terjatuh dari tingkat 14 dan terhempas di koridor tingkat lima, Plaza Masalam.

Pakar patologi, Dr Buphinder Singh, yang juga anggota panel berkata meskipun hampir dua tahun berlalu, kemungkinan jam tangan itu terjatuh ke dalam lubang berkenaan dan kemungkinan ia masih di tempat tersebut.

Foong juga mengarahkan semua wakil daripada pelbagai pihak, termasuk Majlis Peguam, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengiringi Nazri bagi memantau prosedur itu.

Jam tangan itu menjadi misteri selepas mayat Teoh dijumpai pada tingkat lima, Plaza Masalam pada 16 Julai 2009 kerana hanya talinya yang ditemui.

Zairil Khir Dilantik Setiausaha Politik Guan Eng

Posted: 23 Feb 2011 03:17 AM PST

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Zairil Khir Johari dilantik sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkuatkuasa serta merta yang diumumkan pada hari ini.

"Perlantikan ini akan berkuatkuasa dengan serta merta," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu.

Tambahnya, tugas Zairil adalah untuk membantunya dalam urusan politik sama ada dalam parti mahupun pada peringkat kebangsaan yang berpusat di Sekretariat DAP di Kuala Lumpur.

Katanya, Zairil mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang iaitu berkelulusan Sarjana dalam Pengajian Antarabangsa dan Diplomasi daripada School of Oriental and African Studies, University of London dan juga Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Sistem Maklumat.

Guan Eng berkata, Zairil merupakan usahawan dalam industri coklat tempatan, di mana beliau telah memperkenalkan teknologi percetakan penuh warna di atas coklat yang pertama di Malaysia.

"Saya yakin dengan pengalamannya yang luas dan pelbagai, Zairil akan memberi sumbangan yang positif kepada parti dalam perjuangan kita untuk menongkah arus demi mencapai matlamat kenegaraan yang adil dan saksama untuk setiap warga Malaysia," ujarnya.

Zairil adalah anak bekas Menteri Pelajaran, Allahyarham Tan Sri Khir Johari.

Kejayaan PR Tadbir Tiga Tahun Selangor Akan Disambut 8 Mac Depan

Posted: 23 Feb 2011 03:15 AM PST

TVS NEWS


SHAH ALAM : Kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat dalam mentadbir Selangor selama 3 tahun akan dikongsi bersama rakyat dalam sambutan sederhana yang akan diadakan pada 8 Mac depan, sekaligus bagi memperingati detik bersejarah itu.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa komited dalam memastikan pentadbiran di bawah kelolaannya berjaya dilaksanakan mengikut dasar-dasar yang ditetapkan.

"Ulang tahun ketiga ini, selain daripada terus mentadbir dengan lebih bertanggungjawab dan telus, fokus Kerajaan Negeri adalah lebih kepada memastikan implementasi dasar-dasar dan program yang telah kita rangka," katanya.

Majlis sambutan ini diadakan dalam suasana yang sederhana tetapi bersifat informasi agar rakyat peka dan memahami tentang dasar-dasar program kebajikan yang memberi manfaat kepada mereka.

Pelbagai acara disediakan untuk orang ramai seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, program remaja termasuk futsal, ceramah perdana oleh tokoh-tokoh terkenal termasuk barisan pemimpin Negeri, solat Maghrib Berjamaah dan pelancaran Buku Jingga yang mengandungi Dasar Bersama dan komitmen Pakatan Rakyat untuk membawa pembaharuan kepada negara dan rakyat.

Majlis sambutan ini akan dimulakan Majlis Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Negeri Selangor di Stadium Melawati selama dua hari bermula 5 dan 6 Mac.

Tambah Khalid, pada 26 Mac pula, Kerajaan Negeri akan melancarkan rangka kerja "Selangor Untuk Rakyat" yang membabitkan pameran PBT dan anak syarikat, pelancaran buku "Liku-Liku Reformasi" serta program seni seperti membaca sajak dan puisi.

Menurut beliau lagi, pada Mac ini juga kerajaan Negeri akan mengadakan Siri Jelajah seluruh Selangor bagi mendengar permasalahan rakyat.

"Kita juga akan menganjurkan Siri Jelajah seluruh Selangor yang melibatkan Menteri Besar, barisan Exco dan pegawai kanan kerajaan turun turun padang ke pejabat daerah untuk bulan Mac ini."

Beliau berkata demikian di Bilik Media, Tingkat 20, Bangunan Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah selepas mesyuarat exco hari ini.

Kerajaan Selangor Umum Ops Ehsan Bantu Pelajar Pulang Ke Mesir

Posted: 23 Feb 2011 03:13 AM PST

TVS NEWS


SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan 'Ops Ehsan' sebagai langkah untuk operasi penghantaran pulang pelajar-pelajar Selangor yang sedang menuntut di Mesir.

Menurut exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah, satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan pada 25 Februari ini.

Mesyuarat ini akan diadakan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Yayasan Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pertubuhan Pelajar-Pelajar Mesir di Selangor.

Dr. Halimah menambah, kerajaan negeri menjemput semua pelajar untuk mendaftar bersama kerajaan negeri selangor memandangkan kerajaan negeri hanya mempunyai data pelajar di bawah tajaan kerajaan negeri dan mengelakkan keciciran pelajar.

" Kita jemput mereka untuk mendaftar bersama kerajaan negeri Selangor supaya mereka berada dalam database kita dan kita mahu mereka mendaftar di bahagian pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor di kompleks MAIS.

Kita ada data lengkap pelajar tajaan kerajaan negeri tetapi kita tiada data mereka yang tidak ditaja bagi mengelakan mereka tercicir," katanya.

Kerajaan negeri akan membuat pembukaan pendaftaran secara serta merta dan akan memastikan kebajikan pelajar terjaga sama ada dari segi kesihatan, bekalan makanan dan urusan melibatkan jabatan pengajian tinggi di Mesir.

"Kita deadline kita harap akan selesai semua dalam 7 Mac sebab melibatkan perbincangan dengan pihak lain dan harap semua perkara mengenai logistik dapat diselesaikaan," katanya.

Posted: 23 Feb 2011 03:10 AM PST

BERNAMA

KOTA KINABALU — Polis setakat ini telah mengambil kenyataan daripada 18 orang bagi membantu siasatan kes rakyat Malaysia Datu Mohd Akjan Ali Muhammad yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu dari Filipina baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kenyataan itu diambil daripada individu dan saksi yang dirasakan boleh membantu siasatan kes itu termasuk anggota keluarga Mohd Akjan sendiri.

"Saya telah diberi taklimat oleh pihak polis Kontinjen Sabah mengenai perkara ini dan 18 orang ini dari sekitar Kota Kinabalu... setakat ini belum ada lagi orang yang ditahan," katanya pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Perhubungan Dua Hala JSJ Malaysia-Singapura di sini, hari ini.

Mohd Akjan dilaporkan mengisytiharkan dirinya sebagai "Sultan Sulu ke-33" dalam satu upacara tertutup di rumahnya di Kampung Likas di sini pada 12 Feb lepas.

Ditanya sama ada polis juga akan menyoal siasat pihak dari Sulu, Mohd Bakri berkata: "Kita akan lihat dari sudut siasatan, kalau ada keperluan kita akan ambil tindakan, tetapi setakat ini belum ada."

Katanya polis belum lagi memanggil Mohd Akjan untuk merakamkan kenyataannya kerana polis sedang membuat penyiasatan mendalam mengenai perkara tersebut.

"Ini kes serius membabitkan satu individu yang dakwa sebagai Sultan Sulu, jadi kita perlu siasat daripada banyak sudut. Kami memandang serius perkara ini kerana ia menjejaskan negara, dan kami perlu menyiasatnya secara serius demi kepentingan negara.

"Beri kami masa untuk buat siasatan kerana kes ini unik...kita lihat cara mana yang terbaik untuk ambil tindakan terhadap subjek berkenaan.

"Kita akan bentangkan perkara ini sekiranya kita ada bahan bukti," katanya ketika ditanya sama ada situasi itu boleh mengancam keselamatan negeri Sabah.

Beliau juga berkata siasatan dijalankan tanpa melibatkan pihak kerajaan Filipina kerana ia merupakan masalah dalaman negara.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata mesyuarat perhubungan di antara JSJ Malaysia dan Singapura selama dua hari yang bermula hari ini merupakan mesyuarat ke-123 yang diadakan, dan kali kedua diadakan di Sabah.

Pengarah JSJ Singapura Hoong Wee Teck pula berkata Polis Diraja Malaysia dan pasukan polis Singapura menjalin hubungan dan kerjasama yang baik dan mesyuarat perhubungan ini membuktikan hubungan baik antara kedua-dua pasukan keselamatan, yang dijalin sejak 1950-an.

"Isu yang kami bincangkan ialah jenayah merentas sempadan, berkongsi risikan dan amalan terbaik," katanya.

Mengenai jenayah penyeludupan manusia di Malaysia dan Singapura, beliau berkata,"Penyeludupan manusia memang menjadi kebimbangan agensi penguatkuasa seluruh dunia. Bagi Malaysia dan Singapura, kami menyifatkan diri kami lebih kepada menjadi pusat transit daripada destinasi akhir bagi penyeludup dan migran.

"Kami sentiasa berkongsi maklumat risikan dan membincangkan modus operandi sindiket untuk meningkatkan usaha penguatkuasaan kami," kata Hoong.

Mohd Bakri pula berkata polis Malaysia juga bekerjasama dengan polis marin dan pengawal pantai Singapura untuk memantau situasi itu.

Dr Pornthip sahkan kehadiran beri keterangan kepada suruhanjaya siasatan

Posted: 23 Feb 2011 03:05 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini mengesahkan bahawa Pakar Patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand telah menyatakan persetujuan untuk memberi keterangan.

Setiausaha suruhanjaya, Datuk Saripuddin Kasim berkata pihaknya sedang berurusan dengan Dr Pornthip (gambar) bagi menetapkan tarikh yang sesuai untuk beliau berbuat demikian.

Dalam satu kenyataan, Saripuddin berkata Suruhanjaya itu telah mendapatkan bantuan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London untuk membantu menghubungi Pakar Forensik British Prof Dr Peter Vanezis.

Dr Vanezis dan Dr Pornthip pernah memberi keterangan pada inkues yang lalu, masing-masing dilantik oleh keluarga Teoh dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suruhanjaya Siasatan itu dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat "keputusan terbuka" berhubung kematian Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

AJK Umno Jasin Roslan calon BN DUN Merlimau

Posted: 23 Feb 2011 03:03 AM PST

TERKINI
BERNAMA

JASIN — Ahli Jawatankuasa Umno Jasin Roslan Ahmad dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau, umum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau di sini hari ini.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 26 Februari ini.

Pengumuman tersebut dibuat di hadapan kira-kira 3,000 penyokong BN di Command Centre di Merlimau dekat sini, hari ini.

"Ini diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi BN selepas kita menerima cadangan dan proses penyaringan berkali-kali dan kita dapati saudara Roslan adalah calon paling sesuai," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau di sini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata Roslan, 44, mempunyai rekod pengalaman dan pemimpin yang dikenali di kalangan pengundi DUN Merlimau dan beliau berharap pengundi berpuas hati atas pemilihan beliau sebagai calon.

Roslan ialah Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri Melaka berkelulusan diploma dalam bidang pengurusan perniagaan.

Allahyarham bapa beliau, Datuk Ahmad Ithnin ialah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, yang setelah persempadanan semula kawasan pilihan raya dinamakan DUN Merlimau.

Muhyiddin berharap jentera BN yang telah bersedia hampir sebulan menghadapi pilihan raya kecil itu akan dapat meningkatkan undi majoriti berbanding pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat berdasarkan merit beliau sendiri sungguhpun bapanya pernah menjadi Adun kawasan itu manakala bapa saudaranya pula, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Ithnin juga pernah dipilih sebagai Adun kawasan itu.

"Walaupun dari segi perhubungan dan pertalian itu tidak boleh kita elakkan tetapi yang penting dan dinilai oleh pucuk pimpinan ialah beliau (Roslan) sendiri, berasaskan latar belakang dan potensi beliau itulah yang paling utama," katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 26 Februari ini.

Kes liwat: Profil DNA tuala, berus gigi sepadan DNA ‘lelaki Y’

Posted: 23 Feb 2011 03:00 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa profil DNA yang ditemuinya pada satu tuala kecil, berus gigi dan botol air mineral adalah sepadan dengan dua profil DNA dari dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nor Aidora Saidon berkata empat contoh diserahkan kepada beliau oleh pegawai penyiasat DSP Jude Pereira pada 17 Julai 2008 dan beliau membuat calitan daripada barang kes itu dan membuat rumusan secara positif kemudiannya yang mengesahkan DNA yang ditemui pada calitan itu menyerupai profil "lelaki Y" seperti yang dinyatakan dalam laporan kimia oleh Dr Seah Lay Hong, seorang lagi saksi dalam kes itu.

Katanya beliau juga mendapatkan sehelai rambut daripada tuala kecil itu tetapi tidak menemui apa-apa profil DNA yang sepadan profil milik "lelaki Y" itu.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, pada sesi pemeriksaan utama, saksi keenaam pendakwaan itu berkata beliau mendapatkan empat calitan daripada tuala itu, dua daripada botol minuman berkenaan dan dua lagi daripada berus gigi.

Anwar, 63, sedang menghadapi tuduhan meliwat Mohd Saiful (gambar), 25, yang merupakan bekas pembantu peribadinya, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Ketika ditanya oleh Noorin sama ada beliau membandingkan analisis ulangan seiring ringkas daripada graf tiga barang berkenaan dengan graf contoh oleh Dr Seah, Nor Aidora berkata analisis beliau daripada graf menyerupai hasil yang ditemui oleh Dr Seah dan ini mengesahkan ia berkongsi profil DNA, dan dating daripada punca yang sama iaitu "lelaki Y".

Ekoran permohonan peguam bela Anwar, Karpal Singh, pihak pendakwaan bersetuju membekalkan satu salinan pangkalan data yang dirujuk oleh saksi berkenaan kepada pasukan pembelaan.

Sebaik saja salinan itu diserahkan kepada pihak pembelaan, seorang lagi peguam bela, Ram Karpal Singh, memohon agar mahkamah menangguhkan sesi pemeriksaan utama itu sehingga Jumaat memandangkan dokumen yang diserahkan itu adalah baharu dan ia perlu diteliti oleh seorang pakar, Dr Brian Mcdonald, yang membantu pihak pembelaan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersetuju dan mengarahkan pihak pendakwaan memanggil saksi baru esok.

Pro Mahasiswa UPM tuntut penjelasan, mahu TNC minta maaf

Posted: 23 Feb 2011 02:56 AM PST

KUALA LUMPUR— Meskipun Universiti Putra Malaysia (UPM) menarik balik pembatalan status 33 calon termasuk kemenangan 10 pelajar dilabelkan sebagai kumpulan Pro Mahasiswa, kumpulan itu tetap mahu Timbalan Naib Canselornya Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan meminta maaf dan membuat pengumuman rasmi secara terbuka mengenai perkara itu.

"Kami mahu TNC sendiri bersemuka dan mengumumkan bahawa UPM menarik balik arahan pembatalan itu, kami hanya mahukan penjelasan.

"TNC perlu bertanggungjawab dalam perkara, kami akan terus berada di sini (pentadbiran UPM) sehingga TNC minta maaf dan beri jaminan perkara ini tidak berlaku lagi," kata jurucakap Pro Mahasiswa Mohd Ramzul Nasri Kamarusaman kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan kira-kira 40 ahli Pro Mahasiswa berada di pentadbiran UPM sejak pagi tadi sebagai bantahan berhubung tindakan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPM yang membatalkan kesemua status kelayakan calon kumpulan itu dengan alasan berkempen secara berkumpulan.

Pembatalan kesemua calon Pro Mahasiswa dibuat melalui panggilan telefon dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) malam tadi.

Tambah, Mohd Ramzul, pihaknya hanya mahukan penjelasan berhubung perkara itu dan akan beredar sekiranya Dr Mohd Fauzi tampil membuat pengumuman rasmi.

Dalam perkembangan terbaru tidak sampai 24 jam itu, UPM tunduk desakan pelajar dan memutuskan untuk menarik balik arahan pembatalan status 33 calon Pro Mahasiswa.

Beberapa jam sebelum keputusan itu diumumkan, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menggesa UPM agar menarik balik keputusan itu.

Keputusan itu disahkan Mohd Fauzi Ramlan ketika dihubungi The Malaysian Insider sekitar 12.30 tengah hari tadi.

Dengan keputusan itu, Pro Mahasiswa mendapat semula kedudukan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Sementara itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menyifatkan langkah yang diambil pengurusan UPM itu adalah tindakan tepat.

"Itu keputusan yang betul, saya harap kita belajar daripada kes ini.

"Jangan berlaku lagi mana-mana selepas ini," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pada pilihan raya kampus UPM, kumpulan Pro Aspirasi mempertahankan kemenangan apabila memperoleh kemenangan besar menewaskan Pro Mahasiswa.

Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.

Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan termasuk sembilan kerusi umum dan barisan Pro Mahasiswa bertanding di 33 kerusi.

Penasihat Agama MB Pahang Jadi Calon DUN Kerdau (Lulusan Al Azhar, Mesir) Tapi SPM Bahasa Malaysia Tak Dapat Kepujian

Posted: 23 Feb 2011 02:56 AM PST

SEDAKA SEJAHTERA

TEMERLOH: Penasihat Agama Menteri Besar Pahang yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau 6 Mac ini.

Pemilihan anak jati tempatan untuk membawa cabaran BN pada pilihan raya kecil ke-16 itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, sebentar tadi.

Berusia 44 tahun, Syed Ibrahim adalah juga Penasihat Agama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pemilihan anak jati tempatan berkelulusan dari Universiti Al-Azhar itu dipercayai mampu mempertahankan kerusi BN pada pilihan raya kecil ke-16 negara selepas pilihan raya umum 2008.

Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN itu, berkata pemilihan Syed Ibrahim dibuat selepas melalui beberapa saringan di peringkat bahagian Umno dan badan perhubungan Umno negeri sebelum diputuskan pucuk pimpinan.

"Selepas melalui beberapa saringan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memutuskan calon berkenaan dua hari lalu," kata Muhyiddin.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN pada 12 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim, dengan majoriti 1,615 undi.

RM1.64 bilion terbazir kerana air tidak terhasil pada 2009

Posted: 23 Feb 2011 02:45 AM PST

Piarapakaran S

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan kajian perangkaan untuk mengira kerugian kewangan yang disebabkan oleh air tidak terhasil (Non-Revenue Water, NRW). Kajian ini mengambil kira nilai-nilai seperti jumlah kehilangan air terawat, peratusan pengguna mengikut kategori dan purata tarif terendah mengikut kategori bagi setiap negeri. Mengikut Laporan Malaysia Water Industry Guide 2010, nilai purata NRW adalah 36.63% bagi tahun 2009 berbanding dengan 36.93% bagi tahun 2008. Jumlah kehilangan air terawat yang disebabkan oleh NRW adalah sebanyak 1.8 billion meter padu pada tahun 2009.

Pahang telah merekodkan nilai peratusan NRW yang tertinggi iaitu sebanyak 59.9% pada tahun 2009 di mana kehilangan air terawat sejumlah 200 juta meter padu telah direkodkan. Walau bagaimanapun, apabila perbandingan dilakukan berdasarkan kehilangan air terawat dalam meter padu, Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya) masih berada di tangga teratas iaitu kehilangan air terawat sebanyak 465 juta meter padu pada tahun 2009 walaupun nilai peratusan NRW adalah sebanyak 32.49%. Ini adalah disebabkan Selangor mempunyai kuantiti penghasilan air terawat yang tertinggi di Malaysia.

Berpandukan kajian ini, jumlah kerugian kewangan di Malaysia yang disebabkan oleh NRW adalah sebanyak RM 1.62 billion pada tahun 2008 dan RM 1.64 billion pada tahun 2009. Maka, kerugian kewangan telah meningkat sebanyak RM 20 juta walaupun NRW telah berkurang sebanyak 0.3% di antara tahun 2008 dan tahun 2009.

Memandangkan Pahang talah mencatatkan peningkatan NRW, ia telah mencatatkan kerugian kewangan sebanyak RM 136.6 juta pada tahun 2009 berbanding dengan RM 120.1 juta pada tahun 2008. Ini bermakna Pahang telah merekod peningkatan kerugian kewangan sebanyak RM 16.5 juta dan peningkatan kerugian ini adalah yang tertinggi di Malaysia bagi tahun 2009.

Kajian ini juga menunjukan bahawa Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya) telah mengalami kerugian kewangan sebanyak RM 582.3 juta pada tahun 2008 dan RM 558.0 juta pada tahun 2009 disebabkan oleh NRW. Walau bagaimanapun, Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya) telah menjimatkan sebanyak RM 24.3 juta daripada pengurangan NRW iaitu pengurangan dari 33.95% pada tahun 2008 ke 32.49% pada tahun 2009. Penjimatan ini adalah tertinggi di Malaysia diikuti oleh Sabah dan Labuan. Sabah telah menjimat sebanyak RM 8.2 juta dan Labuan telah menjimat RM 1.03 juta pada tahun 2009.

Berdasarkan kajian AWER, jumlah pendapatan bagi sektor perkhidmatan air adalah RM 3.93 billion pada tahun 2009. Kerugian kewangan daripada kajian perangkaan yang disebabkan oleh NRW adalah hampir 41.7% dari jumlah pendapatan ini. Jika NRW boleh dikurangkan, ia akan meningkatkan pendapatan bagi sektor perkhidmatan air dan seterusnya meningkatkan kedudukan kewangan operator-operator air supaya operasi sektor ini lebih lestari.

AWER ingin menyeru Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk menubuhkan jawatankuasa khas untuk memfokus dalam mengurangkan kadar NRW negara supaya dapat mencapai tahap NRW kurang daripada 20% menjelang tahun 2020. Untuk mencapai pengurangan yang efektif, Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih tegas bagi operator air di Malaysia diperlukan. Ini kerana pengurangan NRW dapat mengurangkan kos perawatan dan bekalan air di mana ia akan dapat membantu untuk memberikan tarif air yang lebih adil kepada rakyat Malaysia. AWER juga ingin mencadangkan NRW menjadi komponen utama KPI dalam proses pelarasan tarif pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, semua operator air mestilah dilesenkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) supaya perbelanjaan modal projek-projek NRW in dapat di audit serta memperoleh pinjaman daripada PAAB. Ini bagi memastikan projek-projek ini tidak mempunyai kos yang tinggi disebabkan pinjaman komersil.

*Piarapakaran S. ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Hishamuddin Rais: Islam dengan sejarah 1500 tahun runtuh kerana pluralisme?

Posted: 23 Feb 2011 02:40 AM PST

Lim Hong Siang

"Perdebatan sekarang adalah, (kononnya) pluralisme tak boleh. Ini gerakan subversif yang akan meruntuhkan Islam. Islam ini begitu cetak (shallow), begitu lemah (weak). Pluralisme runtuh Islam. Institusi kepercayaan kepada Tuhan dengan sejarah 1500 tahun, runtuh hanya kerana beberapa orang pelawak (joker) kata kita pluralisme."

Demikianlah kata-kata Hishamuddin Rais (gambar kanan, kanan) dalam nada menyindir, untuk menyanggah kenyataan Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini, yang menggesa agar umat Islam menjauhi pluralisme agama, perkembangan yang menurutnya akan meletakkan Islam sama taraf dengan agama-agama lain.

Aktivis sosial, Hishamuddin Rais menyentuh isu ini ketika mengulas pergolakan politik tanah air, yang menyaksikan bagaimana Islam ditafsir dalam dua versi, mengikut United Malays National Organisation (UMNO) dan Parti Islam Malaysia (PAS). Untuk Hishamuddin Rais, persaingan antara kedua-dua parti politik ini untuk menjadi lebih "Islamik", merumitkan hidup (miserable) sebagai seorang muslim di Malaysia.

Beliau membangkitkan pertikaian ini dalam forum "Kebangkitan Rakyat: Harapan untuk Demokrasi di Timur Tengah?" anjuran MerdekaReview, bersama Free Public Forum dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Kebetulan, Utusan Malaysia hari ini memaparkan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Harun Taib yang menegur Anwar Ibrahim kerana mendukung pluralisme.

Dahulukan demokrasi daripada negara Islam

Pertikaian pluralisme bermula sejak tahun lalu, antara yang mempersoalkannya adalah Mufti Perak, Harussani Zakaria dengan kenyataan bahawa orang Islam yang berfahaman pluralisme agama, iaitu mendakwa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar adalah kafir dan murtad. 【Baca Utusan Malaysia: Amal pluralisme adalah haram】

Pertikaian ini dilanjutkan baru-baru ini, apabila Najib menggesa agar umat Islam menjauhi pluralisme agama pada 18 Februari, dan Utusan Malaysia pada hari ini pula, memetik Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS untuk mendakwa "Pluralisme bertentangan akidah Islam". Malah, larangan ini tidak terbatas kepada sesiapa sahaja, termasuk Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR.

Untuk Hishamuddin Rais, Islam bukanlah agama yang begitu lemah sehingga boleh diruntuh hanya kerana beberapa orang berhujah untuk mendukung pluralisme. Malah, beliau mempersendakan hujah-hujah seperti pemakaian topi merah Santa Claus bakal dihukum untuk masuk neraka. Beliau menuntut perdebatan terbuka dalam isu ini, dan jangan dilemparkan tuduhan masuk neraka sewenang-wenangnya.

"Apa yang saya bantah terhadap parti Islam adalah mereka berhujah atas nama Tuhan (speak on the behalf of God). (Seolah-olah) Mereka berkomunikasi secara langsung dengan Allah SWT. Itu saya nak tahu, siapa memberi mereka autoriti itu? Bagaimana mereka dapat autoriti itu? Apa nombor telefon bimbit Allah?" Kata-kata Hishamuddin Rais ini menerima tepukan daripada 150 orang yang hadir untuk mengikuti forum tersebut.

Penulis bebas ini mempersoalkan apa maknanya untuk menyulitkan hidup orang, atau mendatangkan masalah kepada muslim dengan sekatan-sekatan yang dicadangkan ahli politik di Malaysia. Malah, Hishamuddin Rais menambah, cendekiawan Islam, Yusuf al-Qaradawi sendiri mendahulukan proses demokrasi daripada mendirikan negara Islam.

*Forum "Kebangkitan Rakyat: Harapan untuk Demokrasi di Timur Tengah?" dianjurkan bersama oleh MerdekaReview, Free Public Forum dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, pada 22 Februari 2011 di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Antara ahli panelnya, Nora Murad (Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia-AIM), Liew Chin Tong (ahli parlimen Bukit Bendera-DAP), Mujahid Yusuf Rawa (ahli parlimen Parit Buntar-PAS) dan Hishamuddin Rais (penulis bebas), dengan Fahmi Fadzil sebagai moderatornya.

Pornthip sedia hadir Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Beng Hock

Posted: 23 Feb 2011 02:38 AM PST

MERDEKA REVIEW

Suruhanjaya ingin memaklumkan bahawa Dr. Khunying Pornthip Rojanansunan, Pakar Forensik, Pusat Institut Sains Forensik, Kementerian Kehakiman, Thailand telah mengesahkan bahawa beliau bersedia hadir memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya. Pada masa ini pihak Suruhanjaya sedang berurusan dengan Dr. Pornthip bagi menetapkan tarikh untuk beliau memberi keterangan.

Suruhanjaya juga telah mendapatkan bantuan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London untuk membantu menghubungi Profesor Peter Vanezis, Common Forensic Medical Sciences, Clinical Pharmacology, William Harvey Research Institute, London untuk meminta beliau memberi keterangan kepada Suruhanjaya, Pihak media akan dimaklumkan status kedudukan perkara ini setelah beliau dapat dihubungi.

*Kenyataan daripada Saripuddin Kasim (gambar kanan) selaku Setiausaha Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock.

Nik Aziz, Mohd Sabu di Kerdau 24 Feb

Posted: 22 Feb 2011 04:20 PM PST

Harakahdaily

TEMERLOH: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Jawatankuasa Kuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu antara pimpinan yang akan hadir pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS bagi pilihanraya kecil Dun Kerdau yang akan diadakan pada 24 Februari ini.

Majlis pengisytiharan calon tersebut akan dilakukan di Tapak Kompleks PAS Pahang, Darul Hikmah, Kerdau bermula jam 9 malam.

Setiausaha Penerangan PAS Pahang, Hashim Abdullah dalam kenyataannya berkata, pihak penganjur menjemput orang ramai terutamanya dari kalangan penyokong Pakatan Rakyat hadir bagi memeriahkan suasana.

Selain dari dua tokoh popular PAS tersebut, malam pengisytiharan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat itu akan turut dihadiri pimpinan PR Pusat dan negeri.

Hashim yang juga Pegawai Media PAS Pahang berkata, wakil-wakil media yang ingin membuat liputan pada program tersebut atau sebarang pertanyaan boleh menghubunginya di talian 014-5454990 bagi mendapatkan keterangan lanjut.

GAMIS tidak mahu kemenangan Pro-M dikait parti politik

Posted: 22 Feb 2011 04:09 PM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Kejayaan pelajar Pro Mahasiswa menguasai lapan daripada 13 kampus dalam pilihanraya semalam memberikan petanda baik kepada gerak kerja anti Barisan Nasional.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dalam satu kenyataannya melalui twitter berkata, kemenangan itu adalah petanda baik (untuk Pakatan).

Dalam pilihan raya kampus semalam, kumpulan Pro Mahasiswa menguasai kampus Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia kampus Kubang Kerian (USMKK), Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan (UMSL) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Hari ini pilihan raya untuk kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) sedang berlangsung.

Pro-M dijangka akan menang di UIA kerana mereka telah berjaya merampas 14 kerusi tanpa bertanding dalam kampus itu.

Berbanding sesi lalu, pilihan raya kali ini menyaksikan Pro Mahasiswa mencatatkan sejarah dengan menawan kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) di beberapa universiti selepas tempoh yang lama dikuasai Pro Aspirasi.

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) tidak bersetuju dengan pandangan Fuziah yang didakwa cuba menunjukkan mereka berpihak kepada mana-mana parti politik.

Menurut Ketua Penerangan GAMIS, Mohd Yusof Hadhari, pihaknya berasa kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR itu.

"Mahasiswa berperanan sebagai 'check and balance' yang akan menentukan sokongan kepada kerajaan yang diperintah BN ataupun PR bukan kerana agenda politik mereka tetapi menilai sejauh mana keadilan, kesaksamaan dan ketelusan yang dibawa oleh sesebuah parti dalam negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan mahasiswa adalah golongan bersifat bebas dan tidak perlu melabelkan mahasiswa pro kerajaan atau pro pembangkang.

Selangor Terkini: Umno Selangor mungkin terlibat

Posted: 22 Feb 2011 04:08 PM PST

Harakahdaily

SHAH ALAM: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin mendakwa Umno Selangor mungkin ada kaitan dalam penerbitan dan penyebaran akhbar Selangor Terkini..

Bercakap pada sidang media di bangunan SUK hari ini beliau berkata, perkara itu jelas apabila akhbar tersebut diedar bersama kalendar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang Abdul Shukor Idrus pada Sabtu lalu ketika sambutan Maulidur Rasul.

Selain menggunakan logo rasmi kerajaan Selangor tanpa kebenaran,akhbar itu juga didakwa menabur fitnah dan cuba mengaburi pemikiran rakyat dengan bertindak menghentam pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu beliau mendesak Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis menyiasat perkara itu lebih terperinci sama ada ianya disengajakan atau kebetulan.

"Kami desak Kementerian Dalam Negeri, kerajaan, polis untuk siasat lebih terperinci dakwaan bahawa Umno Selangor terlibat.

"Malah penggunaan logo rasmi tanpa kebenaran adalah kesalahan serius kerana tidak menghormati undang-undang dan Sultan Selangor. Inilah penderhakaan sebenar," katanya.

Beliau juga memberitahu akan menyerahkan bukti terbaru itu kepada pihak polis hari ini.

Ketika ditanya dalang utama disebalik akhbar itu, beliau berkata "Datuk Noh Omar sebahagian daripada Umno Selangor."

Faekah berkata akhbar itu juga tidak mempunyai lesen penerbitan.

Pada 17 Januari lalu kerajaan Negeri melalui seorang pegawai kanan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam terhadap akhbar berkenaan.

Namun menurut Faekah, pihaknya masih tidak menerima maklumat mengenai perkembangan terkini hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat.

Menurut Faekah, pihaknya sedia memberi bantuan kepada polis dengan mendapat khidmat penyiasat persendirian bagi mencari dalang disebalik penerbitan akhbar terbabit.

Kerdau: PAS tidak bimbang Umno dakwa Felda kubu kuat mereka

Posted: 22 Feb 2011 04:05 PM PST

harakahdaily

KUALA LUMPUR: "Kami akan terus mendedahkan penyelewengan dalam pengurusan Felda yang melibatkan pemimpin Umno," kata Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Beliau berkata demikian dalam reaksinya terhadap Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang mendakwa kawasan tanah rancangan Felda merupakan kubu kuat Umno.

"Umno boleh terus mendakwa apa sahaja yang mereka mahu, tetapi Anak mengambil tanggungjawab untuk terus menyedarkan masyarakat peneroka sama ada di Felda atau Fecra tentang hak-hak mereka yang telah dikhianati selama puluhan tahun.

"Kami akan meneruskan siri pendedahan ini di Kerdau dengan usaha yang lebih gigih lagi..di kawasan Ahmad Maslan kata kubu kuat mereka (Umno)," tambah Mazlan yang juga Pengerusi Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Selain itu, walaupun Ketua Penerangan Umno itu cuba mengaitkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang baru-baru ini yang menyaksikan Umno menang di semua tanah rancangan Felda sebagai bukti peneroka masih memilih Umno, Mazlan berkata beliau tidak gusar dengan perkembangan tersebut kerana tidak mencerminkan realiti sebenar.

Sebaliknya beliau menyifatkan kemenangan yang diukur dalam sebuah PRK seperti itu hanya kemenangan palsu.

"Mereka menang dengan sogokan serta menakutkan para peneroka dengan pelbagai ugutan, adakah kemenangan seperti itu boleh menjadi ukuran tepat kawasan tersebut kubu kuat atau tidak.

"Saya cabar Umno turun dalam kempen pilihan raya sebagai anak jantan, tidak mengunakan jentera kerajaan dan membuka peluang sama rata...kita tengok selepas itu Felda kubu kuat siapa," ujar beliau.

Kata Mazlan lagi, dalam PRK juga PAS dan Pakatan Rakyat pernah kalah di kawasan-kawasan bandar dan kampung tradisi seperti di Galas dan Hulu Selangor.

"Kalau mengikut ukuran itu, bukan sahaja Felda kubu kuat Umno, kampung tradisi dan bandar juga kubu kuat Umno, tetapi dalam pilihan raya umum Pakatan Rakyat menang di kawasan tersebut dan Umno kalah. Jadi Ukuran dalam PRK ini tidak semestinya tepat," kata beliau.

Tambah Mazlan, dalam PRU 2008 lalu juga menyaksikan peningkatan sehingga 40 peratus undi daripada peneroka kepada PAS dan Pakatan Rakyat di beberapa kerusi dalam negeri Johor walaupun negeri itu sering dikatakan kubu kuat Umno.

Hari ini Ahmad dalam lawatan ke Felda Jengka 22 - satu daripada tiga kawasan Felda yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dilaporkan berkata peneroka Felda amat menyokong kerajaan kerana banyak usaha dilakukan bagi membantu mereka.

PRK DUN Kerdau akan diadakan pada 6 Mac ini ekoran Adunnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim meniggal dunia pada 12 Februari lalu akibat serangan jantung.

Terdapat tiga kawasan rancangan Felda di DUN Kerdau iaitu Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25 yang pengundinya berjumlah 3,011 orang.

Selain itu Kerdau meliputi kawasan pinggir bandar, kampung tradisional Melayu, estet, pekan lama dan sebuah Fecra.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihaknya akan memberi tumpuan khusus dalam kawasan Felda sebagaimana dilakukan dalam PRK-PRK kecil sebelum ini.

"Apa yang lebih penting kita mahu menyampaikan maklumat sebenar kepada para peneroka, lambat laun saya percaya mereka akan membuka mata dan bangkit membuat perubahan," katanya.

Bagaimanapun ditanya peluang mendapatkan undi peneroka dalam PRK Kerdau tidak lama lagi, Mazlan berkata beliau optimis peneroka mampu membuat kejutan, malah katanya ia pernah dilakukan oleh peneroka khususnya di Pahang ketika Pilihan Raya Umum pada tahun 1999.

"Dun Jengka, Dun Chini,Dun Tahan dan Dun Penor yang diliputi kawasan-kawasan Felda pernah di menangi oleh PAS dalam pilihan raya itu. Ini sekaligus membuktikan Felda bukan lah kubu kuat Umno cuma mereka (peneroka) ditekan, dikongkong dan cuba dipisahkan dari dunia luar," kata Mazlan.

Skandal Pulau Jerejak: Guan Eng desak Tsu Koon bayar balik RM30 juta

Posted: 22 Feb 2011 04:04 PM PST

Muhayat Jasmin

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap mendesak mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon supaya bertanggungjawab terhadap skandal Pulau Jerejak yang menyebabkan kerugian sebanyak RM30 juta kepada rakyat dan kerajaan negeri.

Mengulas isu yang semakin meruncing ini, Lim menggesa Tsu Koon supaya membayar balik wang yang telah merugikan rakyat semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan beliau dahulu.

Lim berkata, kini telah tiba masanya bagi kerajaan negeri pimpinan beliau menuntut kembali wang rakyat yang telah hilang tanpa memberi apa-apa manfaat kepada rakyat maupun kerajaan negeri ini.

"Kerajaan negeri telah membuat keputusan meminta Tsu Koon supaya menebus kembali nilai kerugian yang dialami sebanyak RM30 juta demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Sebagai seorang menteri kabinet yang bertanggungjawab terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) yang profesional maka adalah tanggungjawab beliau untuk mengarahkan syarikat UDA untuk memulangkan kembali wang skandal Pulau Jerejak kepada rakyat negeri ini, " tegas Lim.

Sebelum ini isu penyelewengan skandal penyerahan tanah Pulau Jerejak kepada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan operasi perjalanannya kepada Tropical Island Resort (TIR) telah berlaku semasa Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Manakala nilai kerugian melibatkan premium tanah berjumlah RM10.6 juta bagi 32 hektar tanah di Pulau Jerejak tidak dibayar kepada kerajaan negeri walaupun Tsu Koon telah memberikan geran tanah.

Selain dari itu, kos pelaburan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejumlah RM15.44 juta kepada TIR tidak mendapat pulangan kerana syarikat tersebut tidak mendapat keuntungan.

Pinjaman oleh PDC berjumlah RM3.6 juta kepada TIR antara tahun 1992 sehingga 2007 selepas penyerahan Pulau Jerejak kepada UDA juga belum dijelaskan sehingga kini.

Skandal yang dibongkar ini sepatutnya mendapat perhatian SPRM dan juga pihak berkuasa supaya penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku sentiasa memberi keadilan kepada mereka yang menjadi mangsa.

Tiada ulasan: