BRIGED MP SEGAMBUT |
- 7 HARI UNTUK KREDIBILITY MAHADHIR:KARPAL
- BETUL:SUDAH SAMPAI MASANYA MENCIPTA SEJARAH
- GAMBAR PALING BERKUASA DAN SAKTI DIDUNIA LIHATLAH..
- AIR DAN MINYAK:PAS DAN UMNO USAHLAH BERSATU
- NAJIB DAH GEMENTAR KE?....
- KEBANGKITAN ISLAM MENYELURUH?.........
- MESIR WAJAR JADI CONTOH GERAKAN PAS DIMALAYSIA
- OPERASI LALANG:YANG PENTING MUSUH POLITIK UMNO HABIS BUKAN?
- UMNO TIDAK BOLEH DISAMAKAN DENGAN MUBARAK MUA HA HA..
| 7 HARI UNTUK KREDIBILITY MAHADHIR:KARPAL Posted: 13 Feb 2011 08:13 AM PST Karpal Singh hari ini menjadi pemimpin tinggi DAP kedua selepas penasihat parti itu, Lim Kit Siang, yang mempertikaikan dakwaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau telah bertemu dengan pemimpin pembangkang pada 1987 dan meyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan ditahan. Karpal, yang juga pengerusi DAP dan ahli parlimen Bukit Gelugor berkata, dakwaan Dr Mahathir itu "jauh dari kebenaran" dan mencabarnya menamakan pemimpin pembangkang yang ditemuinya, bersama masa dan tempatnya. Karpal - yang ditahan dalam Operasi Lalang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari lewat 1987 hingga awal 1989 - menafikan ada pertemuan seperti yang didakwa itu. "Jika Dr Mahathir tidak menyahut cabaran saya kepadanya dalam masa tujuh hari, ia mesti dianggap bahawa Dr Mahathir tidak bercakap benar... Ini adalah perkara yang sangat serius bagi seorang mantan perdana menteri berbohong secara terbuka," tambahnya. Dalam buku terbaru mengenai Dr Mahathir yang ditulis oleh wartawan Amerika Tom Plate, mantan perdana menteri dipetik sebagai berkata beliau telah bertemu dengan pemimpin pembangkang untuk memberi jaminan bahawa mereka tidak akan ditangkap. Dr Mahathir dipetik memberitahu Plate bahawa beliau mahu "menanganinya secara berbeza", tetapi polis berkeras untuk membuat tangkapan tersebut. |
| BETUL:SUDAH SAMPAI MASANYA MENCIPTA SEJARAH Posted: 13 Feb 2011 06:24 AM PST Saya mengucapkan tahniah kepada Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar kerana menganjurkan seminar ini. Seminar ini amat bermakna bagi umat Islam dan Umat Melayu khasnya. Umat Melayu-Indonesia adalah umat Islam yang terbesar di dunia. Dari perspektif tersebut Alam Melayu-Indonesia adalah pusat kepada dunia Islam, bukan di pinggir dunia Islam seperti yang dianggap oleh pengkaji-pengkaji. Bahkan saudara kita se umat Islam - Arab, Parsi, Turki, India dan Pakistan, sendiri melihat rantau ini sebagai pinggir dunia Islam. Paling parah lagi apabila umat Melayu-Indonesia sendiri merasakan mereka duduk di pinggir. Akibatnya mereka dilanda psikologi pinggiran. Sudah sampai masanya umat Islam Melayu-Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan Singapura mempunyai keyakinan untuk membangun pemikiran yang asli untuk mendepani cabaran umat, rantau dan dunia. Untuk itu kita perlu keluar dari kepompong pemikiran sempit, baik perkauman mahupun ideologi. Kekuatan dan tenaga yang akan membawa kita keluar dari kesempitan tersebut, tidak lain dan tidak bukan adalah kesejagatan dan universalisme Islam itu sendiri.Bahkan kedudukan Alam Melayu dewasa ini menuntut keberanian dan kecekalan. Dunia hari ini memperkatakan kebangkitan China dan India. Peterson Institute of International Economics menegaskan ketika Presiden Hu Jintao bertemu dengan Presiden Barack Obama di Washington awal tahun ini dari segi purchasing power parity China sudah menjadi ekonomi no 1 dunia. Maka dunia Islam yang diwakili oleh Alam Melayu-Indonesia berada di tengah-tengah ekonomi no 1 di dunia dengan satu lagi kuasa baru dunia iaitu India. Maka tanggungjawab berdepan dengan kuasa-kuasa baru ini adalah tanggungjawab umat Melayu. Selama satu kurun pemikiran dunia Islam dihantui oleh persoalan Islam dengan Barat. Sejak dari abad ke-19 umat Islam ditakluk dan dijajah oleh kuasa-kusa imperialis Barat. Setelah dunia Islam memperolehi kemerdekaan persoalan Islam dengan Barat masih berterusan kerana negara-negara di kedua belah Lautan Atlantik mendominasi dunia dari segi ekonomi, politik dan ketenteraan. Justeru itu wacana dan penulisan pemikir-pemikir dan juga pimpinan politik dan sosial dunia Islam tertumpu dengan isu "Islam and the West". Pemikir-pemikir seperti Taha Husayn dan Sutan Takdir Alisyahbana melihat kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan Barat berpunca dari kebudayaan yang mereka bina dari Renaissance, Enlightenment, rasionalisme dan ilmu-ilmu yang berteraskan sains dan falsafah. Taha Husayn begitu memperkecilkan Asia dan menyatakan Mesir adalah sebahagian dari Barat dan masa depan Mesir adalah bersama dengan Barat. Sutan Takdir Alisyahbana pula melihat alam Melayu-Indonesia berada di zaman jahiliah sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat. Sekiranya mereka, khususnya Sutan Takdir, hidup hari ini mereka pasti akan menggesa kita membuat persedian ilmu dan strategi untuk melakukan engagement dengan China dan India. Dan umat Melayu-Indonesia berada dalam lokasi yang begitu strategik dan bertanggungjawab untuk merumus strategi seluruh dunia Islam untuk berdepan dengan realiti baru ini. Tema seminar hari ini mengingatkan kita kepada siri ceramah penyair dan filasuf agong Islam - Muhammad Iqbal dalam tahun 1932 yang bertajuk The Reconstruction of Religious Thought in Islam, pembangunan semula pemikiran Islam. Projek pembangunan semula pemikiran Islam sejak ianya digagaskan oleh Iqbal tahun 1930an masih terus berjalan. Umat Islam rantau ini perlu merealisasikan agenda tersebut demi berhadapan realiti global yang terkini. Bab terakhir Gelombang Kebangkitan Asia, Anwar Ibrahim telah melakarkan haluan atau orientasi segar yang perlu diambil oleh umat Islam Asia Tenggara. Umat rantau ini, secara tidak kita sedari telahpun mengikut aliran Madrasah al-Ra'yu, iaitu aliran yang lebih cenderung menggunakan ijtihad untuk mengetahui maksud dan tujuan disebalik sesuatu perintah syarak dan cuba melaksanakan tujuan tersebut tanpa terlalu terikat dengan pengertian harfiyyah sesuatu nas. Melalui pendekatan ini, saya yakin kita mempunyai kekuatan dan keyakinan untuk mendepani setiap cabaran semasa dan cabaran yang bakal muncul. Bukan sahaja kita berjaya menghadapi cabaran tersebut tetapi kita juga boleh muncul sebagai kekuatan baru yang positif untuk keamanan dan kemakmuran dunia. Dalam keluaran Jan-Feb 2010 Foreign Affairs terdapat satu rencana yang bertajuk The New Population Bomb. Penulis tersebut membuat unjuran dalam beberapa dekad lagi jumlah penduduk kelas menengah di negara-negara membangun akan melebihi keseluruhan peduduk di Eropah dan Amerika. Ini bermakna berdasarkan faktor demografi setelah hampir 400 ratus tahun tamadun Barat mendominasi dunia dalam beberapa dekad lagi masyarakat-masyarakat negara membangun secara kolektif akan menjadi lebih kaya dari Barat. Negara-negara ini adalah terletak di Asia Tenggara, Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika di mana sebahagian besar mereka adalah umat Islam. Jelas kita sedang berdepan dengan The New Asian Century. Maka wacana yang perlu disegarkan seharusnya "Islam and the New Asian Century" sebagai wacana dominan untuk menggantikan wacana "Islam and the West". Maka persediaan kita sudah pasti dengan pengkajian dan pemahaman mendalam terhadap tamadun-tamadun China, India, dan tamadun-tamadun yang lahir dari sintesis antara dua tamadun tersebut. Kita sebenarnya seolah-olah kembali ke zaman sebelum kedatangan Vasco da Gama dan Alfonso de Albuquerque. Sebelum kedatangan kuasa-kuasa barat Portugis, Belanda dan Inggeris, Asia Tenggara adalah tempat pertembungan tamadun China dan India. Setelah 500 tahun, kita harus kembali untuk menyambung dialog tamadun tersebut. Tema besar dialog tamadun dalam kebangkitan benua Asia ini amat relevan pada masyarakat Malaysia. Malaysia mempunyai wakil-wakil tamadun Islam, China dan India. Sekiranya kita berjaya menggembling kekuatan dan tenaga ketamadunan ini untuk membentuk satu tamadun yang demokratik, adil, makmur dan aman, kita akan memberikan sumbangan yang amat besar kepada kemanusiaan. Unjuran The New Population Bomb seharusnya memberikan umat Islam keyakinan. Tetapi gagasan bagi umat Melayu-Indonesia muncul sebagai kekuatan baru yang membentuk tamadun memerlukan minda yang luas. Kita perlu keluar dari kepompong pemikiran sempit. Umat Islam perlu keluar dari minda ketakutan. Filasuf Bertrand Russell pernah berkata: "Fear is the main source of superstition, and one of the main sources of cruelty. To conquer fear is the beginning of wisdom". Kerana takut kepada musuh-musuh politik beliau Stalin melancarkan the Great Terror yang menyebabkan kematian berjumlah 30 juta. Kerana takutkan orang Yahudi Hitler melaksanakan Holocaust yang membunuh 6 juta orang Yahudi. Kerana takut digulingkan oleh orang nombor duanya Liu Shao Qi maka Mao Zedong melancarkan The Great Proletarian Cultural Revolution yang menyebabkan 20 juta rakyat China yang tidak berdosa mati. Begitu juga dengan Pol Pot kerana takutkan kehidupan bandar merosakkan moral manusia beliau melakukan pemindahan secara paksa ke luar bandar yang paling besar dalam sejarah. Akibatnya hampir dua juta manusia mati. Ketakutan akan menyebabkan kita membuat dasar-dasar celaru, zalim dan merugikan. Kerana takutkan mahasiswa maka dibuatkan AUKU. Kerana takutkan pensyarah menyebarkan pemikiran-pemikiran yang kritis dengan pemerintah maka mereka dikongkong dari berbicara dengan bebas. Akibatnya kita akan memiliki generasi muda yang pasif. Generasi muda yang mendapat pendidikan universiti adalah agen perubahan. Ini mengingatkan saya kepada sajak Taufik Ismail yang berjudul "Takut 66, Takut 98". Mahasiswa takut pada dosen Dosen takut pada dekan Dekan takut pada rektor Rektor takut pada menteri Menteri takut pada presiden Presiden takut pada mahasiswa Keresahan golongan mahasiswa ini mirip cerita pendek karangan Anton Chekhov yang berjudul The Student. Cerita pendek ini menerangkan bagaimana gelisah dan rawan anak muda kerana hidup dalam sistem yang mengongkong dan zalim. Apabila generasi ini pasif maka masyarakat tersebut tidak akan dinamis, tidak mampu berdepan dengan cabaran-cabaran baru yang datang. Apabila pensyarah-pensyarah dikekang mereka juga tidak dapat memberikan sumbangan yang sewajarnya. Ini bermakna talent atau bakat golongan strategik ini tidak dapat menzahir potensi mereka yang sepenuhnya. Mengapakah pemerintah otoritarian sungguh takut kepada golongan mahasiswa dan pensyarah yang jumlahnya amat kecil. Mereka takutkan pemikiran golongan intelektual ini. Seperti yang diungkapkan sekali lagi oleh filasuf Bertrand Russell: "Men fear thought as they fear nothing else on earth .. thought is subversive … and merciless to privilege." Tatkala kita mengungkapkan serta mengkritik dasar kerajaan yang mengongkong para intelektual dan mahasiswa, jangan pula kita alpa dengan pengkhianatan kaum intelektual, atau seperti yang dinukil Julien Benda, The Betrayal of Intellectual (Les Trahison des Clercs). Kaum intelektual seharusnya menjadi salah satu paksi utama mencetus gelombang pendemokrasian, bukannya takut berhadapan dengan pemerintah. Islam mencipta tamadun yang gemilang dizaman yang lalu kerana umat di zaman itu bersikap terbuka terhadap semua ilmu dari tamadun-tamadun besar dunia sebelum kedatangan Islam. Seperti yang diulas oleh Professor Seyyed Hossein Nasr dalam Science and Civilization in Islam, Islam mengambil semua ilmu dan disepadukan dengan perspektif Tawhid. Tamadun Islam mulai suram apabila umat Islam tidak lagi meraikan pemikiran. Untuk meminjam ungkapan Alan Bloom, berlaku "the closing of the Muslim mind" melalui penutupan pintu ijtihad. Usaha pembangunan semula pemikiran Islam di masyarakat Melayu perlu bermula dengan merancakkan wacana ilmu dan pemikiran. Masyarakat dahagakan wacana yang positif untuk memecahkan pemikiran perkauman yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan sosial dan ekonomi umat. Kita harus diingatkan kembali kepada pandangan ahli sejarah terkenal Arnold Toynbee yang menegaskan tamadun manusia digugat oleh faham perkauman dan warna kulit. Dan beliau menegaskan kekuatan Islam adalah kerana ketiadaan aspek perkauman. Sepanjang tamadun Islam jamak budaya dan kepelbagaian adalah satu sifat asasi. Tamadun Islam sentiasa meraikan jamak budaya, kepelbagaian, dan kosmopolitanisme sebagai salah satu fitrah. Dalam konteks Malaysia, antara peranan penting intelektual Muslim adalah untuk membangun pemikiran politik berteraskan demokrasi. Kita sudah sampai ditahap wacana di mana kita tidak lagi mempersoalkan demokrasi kerana kononnya ia datang dari Barat. Sewajarnya tidak muncul kekeliruan bahawa Demokrasi itu merupakan suatu yang bertentangan dengan Islam. Sungguhpun kitab fiqh, tawarikh mahupun kenegaraan tidak menyebut Demokrasi sebagai satu sistem yang baik dan wajib diamalkan oleh umat Islam, namun dari sudut ruh-nya, Islam tidak lah menolak sesuatu yang baik itu diamalkan oleh umatnya. Inilah demokrasi dari pandangan Dr. Yusuf Qaradawi, seorang tokoh ulama' yang tersohor. Dr. Yusuf Qaradhawi telah mengupas persoalan intipati demokrasi (essence of democracy) dalam bukunya berjudul Fatawa Muasirah (Contemporary Fatwa). Menurut Dr. Yusuf Qaradawi, demokrasi adalah hak rakyat untuk memilih siapa yang harus memerintah dan mentadbirkan urusan mereka. Demokrasi juga bermakna hak rakyat untuk menolak pemerintah yang mereka tidak suka atau menolak aturan dan sistem yang mereka tidak suka. Demokrasi juga membawa maksud hak rakyat untuk menilai dan melakukan muhasabah apabila seseorang pemimpin itu bersalah dan hak rakyat untuk menurunkan pemerintahan apabila pemimpin menyimpang dari prinsip. Tegas Dr Yusuf Qaradawi, "Kalau itulah intipati demokrasi, dimanakah konflik dengan ajaran Islam?" Persoalannya adalah adakah kita mahukan keadilan atau kezaliman. Adakah kita mahukan kebebasan atau kongkongan. Adakah kita mahukan hak rakyat dihormati atau dinodai. Ketika melancarkan gerakan reformasi di Permatang Pauh Anwar Ibrahim memetik Reinhold Niebuhr: "Man's capacity for justice makes democracy possible; but man's inclination to injustice makes democracy necessary." (Kemampuan manusia untuk berlaku adil menjadikan demokrasi itu satu kemungkinan, tetapi kecenderungan manusia kepada kejahatan menjadi demokrasi itu satu kewajiban). Lebih dari seratus tahun yang lalu sekumpulan pemuda Muslim yang kemudiannya dikenali sebagai The Young Ottoman muncul di Turki, pusat kepada empayar Islam yang terakhir iaitu empayar Uthmaniah. Mereka menuntut reformasi pemerintahan. Mereka mahu menamatkan pemerintahan kuku besi, dan mahukan pemerintahan dilakukan berlandaskan perlembagaan dan negara hukum. Reformasi yang bernama Tanzimat itu adalah titik besar dalam perjuangan demokrasi umat Islam di zaman moden. Tetapi Mustafa Kamal kemudian yang dikenali sebagai Attaturk menjadikan sekularisme lebih penting dari demokrasi. Maka beliau meletakkan tentera sebagai perisai kepada sekularisme. Dalam perjuangan umat Islam menuju demokrasi, sejarah tidak akan melupakan peranan gerakan Islam untuk merealisasikan demokrasi. Setelah berdekad-dekad Turki berada di bawah pemerintahan otoritarian sekular, demokrasi kembali bernafas di negara itu oleh gerakan Islam melalui Parti Pembangunan dan Keadilan, AK Party (ADALET VE KALKINMA PARTiSi). Dalam sejarah Indonesia, majlis Syura Muslimin Indonesia (MASYUMI) yang dipimpin oleh Muhammad Natsir menjadi tunggak kepada demokrasi perlembagaan (Constitutional Democracy) manakala yang menghancurkan demokrasi tersebut adalah golongan nasionalis sekular yang dipimpin oleh Sukarno ketika rakyat Indonesia bangun semula untuk menggulingkan kediktatoran Suharto, parti-parti Islam menjadi pemangkin kepada demokrasi hijau yang terbesar di dunia. Baru baru ini kita menyaksikan bagaimana rakyat Tunisia dan Mesir bangkit menuntut kebebasan dan demokrasi. Pemimpin seperti Zainal Abedine Ali dan Hosni Mubarak memerintah dengan kuku besi berdekad-dekad lamanya. Antara sasaran utama tekanan regim Ben Ali dan Mubarak adalah gerakan Islam. Sejak beberapa dekad yang lalu gerakan Islam khususnya Ikhwanul Muslimin merupakan kumpulan yang paling konsisten menentang regim kuku besi di dunia Arab dan Afrika Utara. Gerakan Islam adalah bahagian integral dari perjuangan demokrasi. Saya yakin gerakan Islam akan memainkan peranan penting dalam transisi dunia Arab menuju demokrasi serta mencetuskan gelombang baru pendemokrasian di benua Asia. Di sini kita menyaksikan sikap tidak tuntas Amerika terhadap demokrasi. Tatkala masyarakat demokrasi dunia mengangkat inklusiviti sebagai unsur utama demokrasi, Amerika menolak demokrasi sekiranya ia dipimpin oleh Ikhwanul Muslimin. Perjuangan umat Islam untuk membangun demokrasi adalah didorong oleh semangat untuk memartabatkan kemuliaan insan. (Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya) Karamah insaniah ini adalah satu konsep yang memukau salah seorang pemikir Renaissance terkenal iaitu Pico Della Mirandola. Beliau adalah seorang pengasas humanisme Barat, aliran pemikiran yang kemudiannya mencetus idea hak asasi manusia yang seterusnya menjadi bahagian dari pemikiran demokrasi. Dalam prinsip tradisi ilmu Islam, kita bicara persoalan cita cita murni Islam iaitu Maqasid Syariah ( higher objectives of Syariah ). Kegagalan memahami prinsip Maqasid Syariah akan menyebabkan Islam akan hanya dilihat dalam ruang lingkup yang sempit. Dalam Maqasid Syariah, Islam memberi jaminan kebebasan memilih agama (freedom of conscience), pertahankan kebebasan bersuara (freedom of expression) dan menangani masalah dengan bijaksana (berhikmah). Menurut Umar Abdul Aziz, hikmah membawa maksud kemampuan untuk menyatakan masalah dan keupayaan untuk merongkai dan menanggani masalah berkenaan. Ini adalah kunci hikmah. Saya yakin melalui demokrasi maqasid dapat direalisasikan. Berpandukan kepada maqasid ini, seruan jihad misalnya, bolehlah ditumpukan untuk membangun satu sistem yang berusaha menjamin Keadilan, menggalakkan pembangunan yang seimbang dan antara yang mustahak, iaitu suatu upaya membasmi kemiskinan. Sejajar juga dengan konsep maqasid ini, adalah menjadi keutamaan buat kita memastikan keharmonian, maslahat dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia. Justeru itu para intelektual Islam di Malaysia perlu memperluaskan wacana maqasid bagi menggarap pendekatan Islam yang sensitif dan berusaha memahami waqi' dan juga zaman. Inilah mustahaknya Maqasid, peri pentingnya maqasid dijelaskan oleh Imam Abu Ishaq al-Shatibiy bahawa ia adalah arwah al-a`mal(arwahul a'mal) Ertinya, bersyariat tanpa maqasid adalah beragama tanpa ruh. Justeru, kita tidak boleh terperangkap dengan konsep serta amalan demokrasi yang juz'i. Apabila kita mewacanakan demokrasi ia pasti melibatkan persoalan kebebasan media, kedaulatan undang-undang, tatakelola yang baik demi memastikan rasuah disirna, hak bersuara dan pilihanraya yang bebas. Adalah suatu mitos sekiranya Demokrasi hanya bermaksud pilihanraya setiap lima tahun sekali. Apalagi apabila pilihanraya tersebut dinodai dengan penipuan dan dicemari oleh pengundi-pengundi hantu. Demokrasi sering disebut sebagai kerajaan rakyat, untuk rakyat; the government by the people for the people. Namun demokrasi tanpa tata kelola - democracy without governance, tidak akan menguntungkan rakyat terbanyak. Tanpa tatakelola rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa akan berleluasa. Sudah kita ungkapkan demokrasi mesti merangkumi antaranya amalan tatakelola yang baik, negara hukum, sistem pilihanraya yang bebas dan telus, media yang tidak dikongkong pemerintah serta amalan pertanggungjawaban. Laporan GFI (Global Financial Integrity) menyebut wang haram(gelap) yang mengalir keluar dari Malaysia berjumlah USD291 billion (bersamaan RM888 billion) dari tahun 2000 sehingga 2008. Amalan demokrasi yang bersertakan tatakelola yang baik pastinya menghalang perkara ini dari berlaku. Kerana sebuah masyarakat demokratik dan negara hukum menjunjung prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pertanggungjawaban. Hanya pada 8 Febuari yang lalu saya membangkitkan isu hutang isi rumah rakyat Malaysia yang kian parah. Menurut Bank Negara Malaysia, pada akhir November 2010 hutang isi rumah telah mencecah RM577 bilion iaitu bersamaan dengan 74% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). *Ucaptama Azmin Ali selaku ahli parlimen Gombak, ADUN Bukit Antarabangsa dan Timbalan Presiden PKR di Seminar Pembangunan Semula Pemikiran Islam Melayu, anjuran Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar di Hotel Singgahsana,Petaling JayaDaripada jumlah itu, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion adalah pinjaman peribadi dan RM225 bilion adalah pinjaman perumahan. Ini menimbulkan dua persoalan besar, pertamanya, pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan yang menjadi sebahagian besar hutang rakyat adalah hutang yang tidak dapat dielakkan, kerana rakyat sekurang-kurangnya memerlukan rumah dan kenderaan. Kedua, jumlah hutang kredit kad yang ditanggung rakyat adalah terlalu tinggi, dianggarkan berjumlah RM200 bilion yang mungkin menunjukkan rakyat menggunakan kredit kad untuk menanggung perbelanjaan harian Angka-angka ini menunjukkan prospek yang malap bagi ekonomi negara dan keupayaan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik, terutamanya apabila kadar gaji tidak meningkat sekian lama. Nisbah 74% "hutang isi rumah dari KDNK" adalah merunsingkan apabila kerajaan juga terus mengumpulkan hutang negara yang telah melebihi kadar 50% dari KDNK buat pertama kali dalam sejarah. Kadar keberhutangan sebegini bermakna pendapatan boleh belanja rakyat adalah semakin rendah setiap tahun. Kelemahan pemerintah serta rekayasa mereka untuk melindungi maklumat sebegini dari penelitian umum hanyalah memburukkan keadaan. Pastinya reaksi yang akan kita dapat hanya lah dalam bentuk penafian semata-mata tanpa sebarang usaha menyelesaikan masalah. Justeru, kerajaan Selangor memulakan inisiatif dengan memperkenalkan Enakmen misalnya FOI (freedom of information); Enakmen Kebebasan Maklumat 2010 dan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan(SELCAT). Pembangunan semula pemikiran Islam Melayu pada abad ini tidaklah boleh menafikan peranan kaum hawa baik di bidang ekonomi mahupun pendidikan. Laporan khas September 2009, Harvard Business Review menyebut kekuatan ekonomi kaum hawa seluruh dunia adalah lebih besar dari gabungan pasaran negara India dan China. Jurnal tersebut menganggarkan pada tahun pada tahun 2014, pendapatan kaum hawa seluruh dunia berjumlah USD 14 trillion, sedangkan gabungan Keluaran Dalam Negeri Kasar(GDP) China dan India hanya berjumlah USD 10.4 trillion pada tahun yang sama. Kekuatan ekonomi sebegini pastinya tidaklah hadir sekelip mata. Ianya bertunjangkan kemampuan kaum hawa untuk bersaing di sektor awam mahupun swasta. Ini bermakna pendidikan merupakan sebab utama kekuatan ekonomi serta pendapatan kaum hawa. Berbekalkan pendidikan, kaum hawa kini mengorak langkah dan malah menguasai beberapa bidang tertentu. Pastinya kita sudah mendengar nama seperti Indra Noonyi yang kini merupakan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Syarikat Pepsi dan Arianna Huffington, pengasas Huffington Post, laman web berita yang mencabar pemikiran media lama seluruh dunia. Wanita Muslim juga tidak ketinggalan mengorak langkah berani dan memimpin institusi yang dahulunya sinonim dengan kaum adam. Saya menyebut beberapa nama seumpama Dr Zeti Akhtar Aziz, kini Gabenor Bank Negara Malaysia dan Shirin Ebadi yang dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2003. Rantau ini sebenarnya tidaklah asing dengan pemikiran kaum hawa yang mahu maju dan mempersoal sempadan yang dikenakan ke atas mereka. Pada tahun 1911, terbitlah sebuah karya yang berjudul Habis Gelap Terbitlah Terang, satu kumpulan surat yang ditulis oleh seorang wanita bernama Raden Adjeng Kartini. Akhir sekali, ulamak dan pemikir terkenal Islam dewasa ini Sheikh Taha Jabir al-Alwani mempunya pandangan yang menarik tentang peranan Alam Melayu dewasa ini. Bangsa-bangsa lain telah memainkan peranan dalam sejarah dalam mencipta tamadun Islam. Bangsa Arab, Turki dan Parsi telah mendapat peluang masing-masing. Hanya Alam Melayu belum mempunyai waktunya dalam sejarah untuk mencipta tamadun yang gemilang. Tetapi setelah berdampingan rapat dengan Kuala Lumpur hampir dua dekad yang lalu beliau berkeyakinan giliran Alam Melayu untuk memainkan peranan kepimpinan untuk dunia Islam sudah tiba. Kebangkitan Asia membuka ruang yang besar bagi Alam Melayu. Kita perlu menggembeling tenaga masyarakat ilmuan untuk membebaskan masyarakat kita dari pelbagai kezaliman. Golongan intelektual kita tidak boleh bersikap masa bodoh atau pasif terhadap penderitaan umat. Edmund Burke berkata "All that is necessary for the triumph of evil is that good men do nothing." Dalam sistem yang bobrok, kejahatan pasti menang lantaran orang yang baik terlalu laih dan longlai serta enggan mencabar "The Forces of Evil." Maka perasuah akan bermaharajalela. Pembebasan umat dari kezaliman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah landasan bagi umat Melayu untuk membangun sumbangan ketamadunan. Inilah masanya kita mencipta sejarah. |
| GAMBAR PALING BERKUASA DAN SAKTI DIDUNIA LIHATLAH.. Posted: 12 Feb 2011 09:42 PM PST ![]() |
| AIR DAN MINYAK:PAS DAN UMNO USAHLAH BERSATU Posted: 12 Feb 2011 07:26 PM PST Pemimpin-pemimpin Umno dan PAS menegaskan hasrat untuk Umno dan PAS mewujudkan kerjasama politik yang "kukuh" tidak akan berjaya memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai dasar perjuangan yang berbeza. Bagaimanapun bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad berkata, Umno dan PAS boleh menjalin kerjasama dalam hal-hal tertentu terutamanya yang mempunyai kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan. "Kita kembali kepada tahun 80-an, 90-an di mana kita pernah cuba berbincang soal nak jadikan orang Melayu sebagai sebuah parti sahaja, satu perkara yang sukar. "Sebab itu, kalau boleh Umno dan PAS dalam soal kepentingan orang Melayu termasuk apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan itu, kita pertahankan bersama... itu sudah menjadi jaminan yang baik tanpa mengetepikan hak kaum lain yang juga terjamin dalam Perlembagaan (Persekutuan)," katanya. Beliau yang juga bekas naib presiden Umno berkata demikian pada sidang media selepas sesi diskusi Simposium Dilema Melayu di di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini. Terdahulu beliau bercakap di bawah "Cabaran Kepimpinan Melayu di Masa Depan". Justeru, Isa yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan (Adun) Bagan Pinang dan Pengerusi Felda berkata, jika Umno dan PAS boleh bekerjasama mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, ia tidak akan menimbulkan masalah. "Kalau ini boleh dibuat masa depan orang Melayu tak begitu cemas... sebab hak itu sudah terjamin, sebab itu jangan persoalkannya dan kalau tidak dipersoalkan tiada masalah. "Bergabung (Umno dan PAS) sukar, tapi kita boleh bekerjasama dalam hal tertentu," katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, PAS yang dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mungkin bersatu semula dengan Umno memandangkan parti Islam itu mempunyai sejarah ketika berkerjasama dengan Barisan Nasional (BN). Parti Islam itu "ditendang" keluar dari BN penghujung 1970-an selepas tidak mendapat kata sepakat dalam beberapa perkara termasuk tidak bersetuju dengan perintah darurat dikeluarkan ketika itu. "Nampaknya sukar... PAS keluar ada alasan, PAS dan Umno ada sejarah. Kalau nak bercantum itu satu masalah yang rumit. "Masalahnya kita bercakap dari realiti, kesimpulan yang dibuat, kita pertahankan hak ini cukup dan dari sudut PAS, malah kami dalam Pakatan Rakyat ini (Perlembagaan Persekutuan) menjadi perkara utama yang dijamin akan dipertahankan," kata Mustafa. Tambah beliau, Pakatan Rakyat akan tetap mempertahakan Perlembagaan Persekutuan walaupun gabungan tiga parti itu berjaya merampas Putrajaya dari BN. "Masalah Islam sebagai agama persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu bahasa rasmi dan institusi beraja akan dipertahankan. "Bukan sahaja PAS malah keseluruhan Pakatan Rakyat menerima ia mesti dipertahankan," katanya. Sebelum ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS tidak akan menjalin kerjasama politik dengan Umno agar "tangan PAS tidak digigit kali kedua." PAS mahu kekal dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai DAP dan PKR, kata beliau. |
| Posted: 12 Feb 2011 06:23 PM PST Amaran dan peringatan Tetapi lebih gawat lagi, adalah ketakutan yang menyakat BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila memerhati kan kejatuhan rejim-rejim kuku besi di Asia Barat. Ini memungkingkan beliau berpatah balik ke taktik usang untuk kekal berkuasa. Lihat saja amaran jelasnya yang "kita tak akan benarkan ia berlaku di sini," dan juga peringatan berlapik kepada ahli perniagaan untuk terus berkerjasama dengan kerajaan atau menerima akibat yang kurang menyenangkan."Ini bukan masa buat uji kaji atau memperjudikan masa depan. Saya rasa anda tahu apa yang saya sedang katakan... Biasalah, orang berniaga senntiasa peka dan pragmatik," kata Najib di rumah terbuka anjuran SMI Malaysia di Petaling Jaya semalam. Amaran Najib kepada ahli-ahli perniagaan mungkin ingin menutup kemungkinan ada yang akan menaja kebangkitan rakayt ataupun mencarum kepada dana politik pihak Pakatan Rakyat. Seperti kita tahu, kebangkitan di Medan Tahrir dan tempat-tempat lain di Mesir tidaklah seampuh itu sekiranya tiada bantuan daripada pihak korporat.Menjana kebangkitan rakyat, seperti juga menjalan kempen politik pembangkang di sistem politik berat sebelah negara ini, kedua-duanya adalah pertaruhan yang tinggi harganya. Dengan bekas presiden Mesir Hosni Mubarak yang telah cabut dari Kaherah dan pertukaran kuasa awal pagi tadi, mesej ini mungkin ingin dicanangkan dengan lebih keras oleh Najib dan BN, agar rakyat tidak teruja untuk mencubanya di Malaysia. |
| KEBANGKITAN ISLAM MENYELURUH?......... Posted: 12 Feb 2011 05:21 PM PST Seluruh negara umat Islam di dunia dari jazerah Arab hinggalah ke kepulauan nusantara berada dalam suasana panik, bimbang dan ketakutan dengan kebangkitan revolusi rakyat di Mesir yang bermula pada 25 Januari dan kini memasuki minggu ketiga. Ketakutan itu menjangkau lebih jauh melampaui sempadan negara umat Islam, apabila negara kuasa Amerika Syarikat (AS) dan barat yang menjadikan Mesir sebagai negara rakan strategik turut merasa bahang dari keadaan genting yang sedang bergolak di Mesir dan rantau Timur Tengah. Revolusi rakyat Mesir yang diilhami dari kebangkitan rakyak Tunisia pada 14 Januari yang menyaksikan tumbangnya regim Ben Ali masih berterusan dan tidak tampak tanda-tanda ia akan berakhir segera. Selagi desakan rakyat supaya Presiden Hosni Mubarak mengakhiri cengkaman kuasanya tidak berlaku, selagi itu rakyat beriltizam meneruskan kebangkitan.* Mubarak telah melantik Naib Presiden, Omar Sulaiman dan kabinet baru yang masih dianggotai oleh rakan dan sahabatnya dari Parti Nasional Demokrat (NDP) dan menjanjikan reformasi politik, ekonomi dan sosial, tetapi semuanya tidak dapat meredakan iltizam kebangkitan rakyat yang mahu melihat berakhirnya 30 tahun pemerintahan diktator Mubarak. Omar Sulaiman mengadakan rundingan dengan pihak pembangkang, antaranya wakil pimpinan Ikhwan Muslimin, tetapi setakat ini tiada breakthrough yang dicapai, Mubarak terus berdegil tidak mahu berundur dan meletakkan jawatan dan dengan demikian rakyat terus beriltizam meningkatkan kebangkitan mereka. Rundingan antara Omar Sulaiman dan kabinetnya dengan pihak Ikhwan dan pembangkang bagi menunjukkan konon wujud keterbukaan baru dipihak regim, tetapi para penunjuk perasaan sedikitpun tidak terpedaya dengan permainan politik regim yang sengaja melengah-lengahkan masa untuk melemahkan iltizam kebangkitan rakyat. Rakyat tidak sedikitpun lemah semangat, bahkan semangat mereka terus membara untuk melihat Mubarak membuat exitnya seperti Ben Ali. Penyertaan rakyat makin meningkat. Ramai yang baru menyertai kebangkitan di Dataran Tahrir, di Iskandariah, di Suez dan dilain-lain tempat buat pertama kalinya. Ia tidak sedikit pun mengurangkan penyertaan rakyat yang kini berhimpun pula di depan bangunan parlimen. Akhirnya kebangkitan rakyat ini akan berada didepan istana presiden Mubarak. Lagi lama Mubarak cuba mempertahankan status quo, bantahan dan kebangkitan rakyat akan lebih menyeluruh. Sudah beberapa kali kebangkitan rakyat telah dapat mengumpulkan berjuta rakyat pada hari jumaat selepas solat jumaat. Sebenarnya dari kebangkitan ini akan muncul pimpinan generasi baru Mesir yang bakal menggantikan pimpjnan zalim, rasuah, menindas selama 30 tahun diera Mubarak dan sebelumnya dibawah Gamal Nasser dan Anwar Sadat yang mati ditembak oleh saorang tentera yang berani, kerana menentang dasar berbaik Anwar Sadat dengan regim zionis yahudi melalui perjanjian damai yang dibroker oleh Amerika Syarikat (AS) dan barat. Pimpinan baru Mesir akan muncul dari Dataran Tahrir dan himpunan demonstrasi di merata tempat diMesir kerana dari kalangan rakyat ini terdapat para intelektulal, ahli akadamik, anak-anak muda dari pelbagai profession yang menggerkkan momentum demonstrasi sehingga kesaat ini. Jangkaan regim bahawa demonstrasi rakyat ini akan kehilangan stamina dan dengan itu cuba membeli masa ternyata meleset. Percubaan AS dan barat menunjulkan Muhammad ElBaradei, bekas ketua IAEA PBB yang membuat pemeriksaan terhadap projek nuklier Iran; Amr Musa, Setiausaha Agong Liga Arab dan Omar Sulaiman yang dilantik Mubarak sebagai orang-orang yang boleh mengganti Mubarak tidak mungkin dapat diterima oleh para penunjuk perasaan diDataran Tahrir dan diseluruh Mesir. Semua tokoh-tokoh ini ditunjulkan bagi menjamin kesenimbungan pimpinan Mubarak. Mereka ini semuanya orang-orang kepercayaan AS dan barat. Tidak ada tokoh Ikhwan pun yang cuba ditunjulkan, tetapi mahu tidak mahu tokoh Ikhwan akan muncul bersama tokoh-tokoh dari Dataran Tahrir untuk memimpin Mesir baru. Ikhwan yang diharamkan dalam pemerintahan darurat Mubarak dan sebelumnya di zaman Nasser dan Sadat telah diajak berunding dalam percubaan regim untuk meninjau pemikiran Ikhwan dan dengan demikian akan cuba membendung pengaruh Ikhwan yang memang selamanya menjadi tenaga politik yang berpengaruh samaada diharamkan ataupun tidak. Ikhwan memahami agenda regim dan tidak menonjol diri untuk berbuat sesuatu merebut peluang kerana Ikhwan lebih mengharapkan dengan berlakunya reformasi politik, Ikhwan akan menyertai pilihanraya dan menjadi sebahagian dari tenaga politik baru Mesir. Walaupun rakyat yang menyertai demonstrasi terdiri dari pelbagai latarbelakang tetapi fakta yang jelas menunjukkan bahawa penyertaan rakyat menjadi semakin besar selepas solat jumaat memberi petanda bahawa penggerak utama kebangkitan revolusi rakyat ini adalah kalangan mereka yang sedar akan kezliman dan penindasan regim Mubarak. Dataran Tahrir tidak setakat menjadi medan demonstrasi tetapi menjadi saksi kepada solat berjemaah yang didirikan setiap waktu disitu. Kebangkitan revolusi rakyat ini menguji kesabaran rakyat disatu pihak dan pihak tentera disatu pihak lain. Selama mana kesabaran ini dapat dikekalkan bergantung kepada langkah-langkah seterusnya pihak tentera yang telah memberi jaminan tidak akan mengapa-apakan kebangkitan rakyat yang berdemonstrasi secara aman. Dalam pertemuan dengan pihak pembangkang , desakan supaya Mubarak berundur, parlimen dibubarkan dan darurat ditarik balik setakat ini tidak mendapat kenyataan respon dari regim. Tetapi regim tiada pilihan lain, Mesir perlu berubah dan tidak mampu lagi bertahan seperti sebelumnya. Revolusi rakyat Mesir ini telah memakan korban dan rakyat tidak akan berundur kebelakang lagi tetapi akan terus maju untuk buat pertama kalinya menjulang kemenangan untuk membuat perubahan tanpa membenar Mesir menjadi buah catur mengikut agenda AS dan barat yang mahu menyelamatkan regim haram zionis yahudi. Kebangkitan revolusi rakyat Tunisia, Mesir akan membawa angin perubahan keseluruh pelusuk Jazerah Arab termasuk Saudi Arabia dan negara-negara rantau teluk yang lain. Angin perubahan yang bertiup kencang itu tidak akan terhenti dirantau Timur Tengah, ia akan bertiup jauh kenegara-negara umat Islam yang lain termasuk di kepulauan nusantara ini. Umat Islam telah menyaksikan betapa negara mereka menjadi umpan negara kuasa selama ini selepas negara masing-masing mendapat kemerdekaan dan kini tibalah masnya memberi erti kepada kebebasan mengikut acuan, identiti, jatidiri rakyat yang sebenarnya, dengan membataskan diri dari sebarang pengaruh negara kuasa. Kebangkitan di Mesir, Tunisia adalah permulaan kepada kebangkitan yang lebih menyeluruh yang bakal ditempuhi negara umat Islam, kerana itulah negara kuasa AS dan barat cuba menyelamatkan regim Mubarak kerana khutir dan bimbang, kejatuhan Mubarak akan menyebabkan satu demi satu regim Timur Tengah yang ciri-ciri pemerintahannya hampir sama, menindas, zalim, rasuah, mengumpul kekayaan hanya untuk elite pemerintah, menyekat kebebasan bersuara dan lain-lain akan mengikuti jejak Mesir dan Tunisia. Beberapa buah negara seperti Jordan, Algeria, Yaman, Sudan yang berpecah dua dan lain-lain sedang bergerak untuk memulakan reformasi, memberi suara kepada pembangkang, tetapi ia mungkin telah terlambat kerana rakyat negara- negara ini sedang memulakan kebangkitan mereka masing-masing. Kebangkitan revolusi di negara-negara umat Islam sedang berlangsung melalui dua pendekatan. Satu melalui kebangkitan rakyat untuk dilakukan reformasi mengembalikan hak berpolitik mereka dengan mengadakan pilihanraya adil dan membenarkan rakyat memilih kerajaan mengikut kehendak mereka dan satu lagi melalui perjungan bersenjata seperti yang berlaku di Iraq, Afghanistan, Somalia dan lain- lain bumi umat Islam yang sedang bergolak. Dengan kebangkitan revolusi yang akan menukar regim totalitarian kepada regim pilihan rakyat diseluruh negara umat Islam maka akan berlakulah kesatuan iltizam yang mampu nanti membebaskan bumi Palestin dari cengkaman regim zionis. Palestin yang satu bukan dua, yang kembali kepangkuan rakyat yang menjadi pemiliknya, rakyat Palestin yang diusir keluar dari bumi hak mereka. * Tulisan ini dibuat menjelang perletakan jawatan Mubarak. |
| MESIR WAJAR JADI CONTOH GERAKAN PAS DIMALAYSIA Posted: 12 Feb 2011 04:03 PM PST Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) berpendirian kemenangan rakyat Mesir menumbangkan Presiden Hosni Mubarak bukan bermakna kebangkitan rakyat sudah tamat. "Gamis yakin roh kebangkitan itu akan menular ke seluruh dunia," ujar Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari kepada Harakahdaily. Katanya, kejayaan itu bukan dicapai dengan mudah kerana mereka berjuang dengan nyawa dan darah. Tambahnya, ribuan rakyat negara Afrika Utara itu mengalami pelbagai penderitaan dan penyiksaan, ada dipenjarakan serta ditahan tanpa bicara. "Tidak kurang juga yang syahid sama ada di hujung senjata atau di tali gantung. "Kebangkitan kuasa rakyat ini memberi isyarat cukup jelas kepada semua diktaktor yang masih berkuasa di serata dunia," ujarnya. Menurutnya, bukan mustahil walaupun dalam serba kekurangan, kuasa pemimpin yang zalim, menindas, rasuah, skandal, terlibat dengan pelbagai penipuan dan penyelewengan dapat ditumbangkan. "Saya mengucapkan penghargaan tahniah setinggi-tingginya buat seluruh rakyat Mesir yang tidak berganjak selama 18 hari," ujarnya lagi. Mereka, katanya bangun bersama semangat ratusan syuhada yang gugur terkorban bagi membebaskan Mesir yang penuh kebobrokan yang membuktikan komitmen dan istiqomah mereka berdepan ujian perit menumbangkan pemimpin yang zalim. Hosni Mubarak yang memerintah selama lebih 30 tahun dalam usianya mencecah 82 tahun akhirnya meletakkan jawatan dan meminta pihak tentera mentadbir negara itu, umum naibnya, Omar Suleiman. Kenyataan ringkas di stesen televisyen nasional itu dibuat sehari selepas Mubarak bertegas tidak akan melepaskan jawatannya. Perletakan jawatan Hosni Mubarak disambut bagaikan pesta penuh kesyukuran oleh jutaan rakyat Mesir. |
| OPERASI LALANG:YANG PENTING MUSUH POLITIK UMNO HABIS BUKAN? Posted: 12 Feb 2011 11:14 AM PST Keselamatan negara atau kesinambungan politik? Soalan cepumas dalam percaturan ini bukanlah siapa yang mengeluarkan arahan. Tetapi yang lebih menggusarkan adalah alasan kerajaan untuk melaksanakan Ops Lalang. Ura-ura serupa seperti sudah kunjung tiba, seperti yang didakwa pihak berwajib. Terdapat enam bahagian di dalam laporan yang ditulis pada tahun 1988 itu. Setiap bahagian menyentuh perkara yang pihak berkuasa dakwa sebagai pemangkin "aktiviti yang membahayakan keamanan rakyat dan keselamatan negara".Antara isu yang disentuh ialah penggamatan isu-isu sensitif, bahaya 'Kristianisasi', Islam yang radikal, kebangkitan golongan sosialis dan pelajar, pengganas komunis dan akhbar yang enggan tunduk dek telunjuk kerajaan. Tidak terlalu liar untuk kita bayangkan yang isu-isu terbabit juga sedang digembar-gemburkan, isu sensitif umpamanya menjadi permainan NGO-NGO belaan sebuah parti Melayu dan pihak berwajib seakan pilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap demonstrasi. Kerajaan pula seperti sedang cuba untuk menghalang kebangkitan aktivis pelajar dan gelombang rakyat sejagat yang makin celik dengan kesedaran sosial.Begitu juga dengan isu-isu yang dicanagkan PAS, petubuhan Kristian dan juga isu agama yang seperti diapi-apikan menjurus kepada perlanggaran. Timbul juga isu kewujudan sel-sel pengganas di Malaysia kononnya berleluasa walaupun tanpa bukti mantap. Pihak berkuasa juga dewasa ini asyik menegur suratkhabar dan penerbitan supaya lebih 'berkerjasama' dengan agenda pemerintah atau menjadi sasaran amaran dan kawalan. Jika dilihat keadaan sejagat mungkin agak keruh sekali. Tetapi adakah kelodak ini masalah nyata ataupun propaganda? Adakah ia isu keselamatan dalam negara ataupun alasan kesinambungan politik sebuah rejim yang mencecah 53 tahun ini.Tanpa bayangan rusuhan kaum dan juga pertembungan agama, mungkin sudah tiada ruang untuk institiusi politik rapuh dan lapuk seperti BN. Binaan politik usang seperti ini mungkin patut dimandulkan saja untuk kebaikan rakyat. |
| UMNO TIDAK BOLEH DISAMAKAN DENGAN MUBARAK MUA HA HA.. Posted: 12 Feb 2011 09:10 AM PST Dengan ribuan rakyat Malaysia mencurahkan ucapan tahniah kepada rakyat Mesir atas kejayaan 'membebaskan' negara mereka, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memilih untuk mengasingkan persamaan di antara kedua-dua negara berkenaan. "Pertama, kita tidak boleh samakan apa yang berlaku di Mesir dengan Malaysia kerana perkara adalah berbeza di kedua-dua negara," katanya apabila ditanya apakah iktibar yang boleh diambil oleh BN dan Umno daripada pengalaman di negara Asia Barat itu.Menurut Najib, dasar BN 'Rakyat didahulukan' itu adalah perbezaan utama antara Malaysia dengan pentadbiran rejim bekas presiden Hosni Mubarak selama 30 tahun. "Kita dari awal telah menyedari rakyat mesti didahulukan. Jadi apapun dasar dan program yang dilakukan mesti meletakkan prinsip iaitu mesti mendahulukan rakyat. "Saya percaya jika kita berbuat demikian, rakyat bersama-sama dengan kerajaan dalam erti kata bukan semua masalah boleh diselesaikan sekelip mata, rakyat pun faham tetapi asalkan kita, mendahulukan kepentingan rakyat dan memahami jangkaan rakyat," katanya. BN memahami permasalahan rakyat Najib berkata kerajaan memberi penekanan dengan memahami permasalahan rakyat dan menyelesaikan permasalah tersebut mengikut kehendak mereka.Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan ketua-ketua bahagian Umno di ibu negara petang ini. Najib sebelum ini pernah memberi amran terhadap mana-mana pihak yang cuba merampas kuasa di negara ini menggunakan demonstrasi seperti yang berlaku di Mesir. "Jangan beranggapan apa yang berlaku di sana mesti juga berlaku di Malaysia. Kita tidak akan benarkannya berlaku di sini," katanya kepada akhbar The Star awal minggu ini. Ditanya mengenai kemungkinan ada pihak-pihak tertentu yang mahu mengikut jejak langkah penduduk Mesir yang berdemonstrasi, Najib berkata rakyat Malaysia adalah matang dan berfikiran rasional. |
| You are subscribed to email updates from BRIGED MP SEGAMBUT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Sudah sampai masanya umat Islam Melayu-Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan Singapura mempunyai keyakinan untuk membangun pemikiran yang asli untuk mendepani cabaran umat, rantau dan dunia. Untuk itu kita perlu keluar dari kepompong pemikiran sempit, baik perkauman mahupun ideologi. Kekuatan dan tenaga yang akan membawa kita keluar dari kesempitan tersebut, tidak lain dan tidak bukan adalah kesejagatan dan universalisme Islam itu sendiri.
Ini memungkingkan beliau berpatah balik ke taktik usang untuk kekal berkuasa. Lihat saja amaran jelasnya yang "kita tak akan benarkan ia berlaku di sini," dan juga peringatan berlapik kepada ahli perniagaan untuk terus
Seperti kita tahu, kebangkitan di Medan Tahrir dan tempat-tempat lain di Mesir tidaklah seampuh itu sekiranya tiada bantuan daripada pihak korporat.
Terdapat enam bahagian di dalam laporan yang ditulis pada tahun 1988 itu. Setiap bahagian menyentuh perkara yang pihak berkuasa dakwa sebagai pemangkin "aktiviti yang membahayakan keamanan rakyat dan keselamatan negara".
Kerajaan pula seperti sedang cuba untuk menghalang kebangkitan aktivis pelajar dan
Tetapi adakah kelodak ini masalah nyata ataupun propaganda? Adakah ia isu keselamatan dalam negara ataupun alasan kesinambungan politik sebuah rejim yang mencecah 53 tahun ini.
"Pertama, kita tidak boleh samakan apa yang berlaku di Mesir dengan Malaysia kerana perkara adalah berbeza di kedua-dua negara," katanya apabila ditanya apakah iktibar yang boleh diambil oleh BN dan Umno daripada pengalaman di negara Asia Barat itu.
Najib berkata kerajaan memberi penekanan dengan memahami permasalahan rakyat dan menyelesaikan permasalah tersebut mengikut kehendak mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan