Ahad, 13 Februari 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


PERKASA Buat Fitnah Macam Orang Gila

Posted: 13 Feb 2011 12:37 AM PST

Itu fitnah orang gila - Azmin

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menafikan dakwaan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bahawa parti itu sedang merancang satu komplot supaya Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh melarikan diri ke luar negara dan memperoleh suaka politik.

Semalam, Perkasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Dang Wangi mendakwa mempunyai maklumat bahawa Anwar sedang mengatur rancangan termasuk cubaan membangkitkan kemarahan rakyat 'ala Mesir' sekaligus dapat mengelakkan daripada menghadiri prosoding tuduhan Liwat II yang sedang dihadapinya.

Ketua Wira Perkasa Armand Azha Abu Hanifah mendakwa rancangan itu dibincangkan semasa satu perjumpaan pemimpin PKR di ibu pejabat PKR pada 2 Febuari lalu.


"Anwar akan meniru cara bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Sinawarta yang melarikan diri ke luar negara dan mengatur rusuhan (civil disobedience) seperti rusuhan 'Baju Merah' di Bangkok," kata Armand semalam.

Sehingga hari ini, Anwar masih dalam lawatannya ke Amerika Syarikat dan dijangka pulang ke tanah air esok.

Mengulas laporan polis itu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata PKR tidak pernah membincangkan isu sedemikian dan mendakwa ia hanya sebagai satu lagi fitnah yang ditaburkan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat (PR).

"Itu hak mereka untuk buat laporan polis. Ini fitnah orang hilang akal termasuk menggelarkan Anwar sebagai pengganas dan ejen Yahudi namun sampai sekarang tiada bukti kukuh.

"PR nak maju kehadapan untuk fikir cara nak selamatkan ekonomi ekonomi dan membincangkan soal prinsip.

"Jadi saya tak perlu nak jawab isu remeh dan beri perhatian kepada Umno kerana kita tahu rakyat tidak mahu lagi dengar fitnah dan kerja kotor yang dibawa Umno," katanya ketika merasmikan Seminar Pembangunan Semula Pemikiran Islam Melayu anjuran Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar (IKD) di sini hari ini.

Sebelas Anggota Konvoi HRP Dakwa Dikasari Polis

Posted: 12 Feb 2011 11:01 PM PST

Polis menahan sebelas anggota HRP di Perak dan Selangor dalam tindakan terhadap konvoi yang mempromosi perhimpunan anti-rasis yang bakal diadakan.

Enam ditahan di balai polis Jelapang, Ipoh manakala lima lagi ditahan dekat Jalan Templer di Selangor, ketika polis mengadakan sekatan jalanraya untuk menghalang konvoi tersebut.

Menurut para saksi, kamera milik seorang anggota konvoi di Selangor
turut dirampas dan dipukul di muka, manakala polis juga didakwa 'amat kasar' terhadap anggota HRP di Perak.

Seorang saksi, ketika dihubungi mendakwa, anggota polis menunjuk penumbuk dan mengancam untuk memukul (anggota HRP).


Menurutnya, anggota HRP yang lain pula tidak dibenar masuk ke balai polis Jelapang dan mereka juga tidak diberitahu mengapa enam orang tersebut - iaitu ketua HRP Perak, P Ramesh; timbalannya, N Subramaniam dan empat lagi anggota HRP Perak - ditahan.

Konvoi yang sama turut diadakan di Johor, Negri Sembilan dan Kedah.

Menurut ketua penerangan HRP, S Jayathas - yang sempat dihubungi sejurus sebelum dia ditahan bersama ketua HRP SElangor, K Selvam dan tiga orang lain - polis juga mengadakan sekatan jalan raya di Rawang.

"Mereka hanya memberhentikan kereta kami, bukan pengguna jalan yang lain. Kami buat protes kecil dan mereka membenarkan kami lalu.

"Kami mempunyai hak untuk menggunakan jalan. Mereka hanya boleh memeriksa cukai jalan dan lesen pemandu kami," kata Jayathas, yang kini ditahan di balai polis daerah Selayang.

Semalam, HRP menyuarakan kebimbangannya terhadap tindakan polis itu selepas polis Perak memberi amaran kepada mereka supaya jangan meneruskan konvoi tersebut.

Menyanggah Fitnah Terhadap Tok Guru Nik Aziz

Posted: 12 Feb 2011 08:37 PM PST

Rasuah Bukan Masalah Besar Dan Tidak Teruk Sangat - Isa Samad

Posted: 12 Feb 2011 08:32 PM PST


Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berkata, rasuah bukanlah masalah besar di negara ini kerana ia berlaku di mana-mana negara di dunia.

"Rasuah di mana-mana, taklah teruk sangat. Kalau buruk dah hancur dah Malaysia ni," kata Isa ketika memberikan ucapan di forum masa depan kepimpinan Melayu di PWTC lewat petang semalam.

Turut menjadi penal di forum tersebut adalah Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS) dan Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima) manakala moderatornya adalah Tan Sri Dr Nordin Kardi, bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).


Ketika memberikan ucapannya, Mustafa berkata, antara cabaran besar kepimpinan Melayu di negara ini adalah pelakuan rasuah yang bermaharaja lela di negara ini.

Ia kini, kata Mustafa, sudah menular ke semua pihak dari peringkat tertinggi negara, pertengahan bahkan golongan bawahan termasuk pada pelajar.

"Yang mengejutkan saya, hasil kajian yang dibuat oleh Institut Intergriti Malaysia (IIM) yang mendapati 35 peratus pelajar menjawab, mereka akan mengambil rasuah jika ada peluang," kata Mustafa.

Sebelum ini, Isa pernah dipecat dari jawatan Naib Presiden Umno apabila didapati beliau terlibat dengan rasuah politik dalam pemilihan Umno. Ekoran itu, beliau juga kehilangan jawatannya sebagai menteri.

Isa kembali semula ke ruang utama politik negara apabila dipilih sebagai calon Umno dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan dan menang.

Baru-baru ini, Isa telah dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai Pengerusi Felda. Ramai beranggapan ia berlaku hasil dari pengaruh isterinya, Datik Seri Rosmah Mansor.

"Bagi saya ia tidaklah teruk sangat...kerajaan pula tidaklah menghalalkan rasuah," kata Isa.

Lagi Idea Bangang Ummi Hafilda

Posted: 12 Feb 2011 08:25 PM PST

Halang Anwar ke luar negara

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Kerajaan diminta bertindak tegas dengan menghalang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada bebas untuk keluar dan masuk negara ini kerana ia boleh memberi imej buruk kepada negara.

Ummi Hafilda Ali berkata, kerajaan tidak perlu berlembut dan memberi ruang kepada Anwar untuk berbuat demikian kerana sikapnya yang suka menyebarkan fitnah untuk mendapatkan simpati daripada negara lain.

"Kenapa wujud pilih kasih? Anwar dibiarkan sesuka hati keluar masuk negara ini dan memberi ceramah sedangkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dihalang daripada membuat sebarang kenyataan?


"Anwar juga terikat dalam proses perbicaraan liwat namun dibiarkan bebas. Anwar diberikan peluang untuk berceramah mengutuk individu, memutar belit dan mengadakan cerita untuk menghuru-harakan rakyat," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ummi Hafilda, setiap pergerakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu harus dipantau dan pasport antarabangsanya perlu dirampas.

"Kerajaan perlu tegas dan tidak membenarkan beliau mendapat permit untuk berceramah tanpa ada sekatan. Sedangkan apa yang dikatakan olehnya hanya pembohongan dan fitnah melampau yang hanya akan meracuni pemikiran rakyat dan menimbulkan kebencian kepada kerajaan. Kita tak mahu negara ini menjadi seperti Mesir yang porak-peranda disebabkan mainan politik kotor Anwar," katanya. - Utusan Meloya

Hasan Tantawi Baru Bangun Tidur

Posted: 12 Feb 2011 08:20 PM PST

PRU13: Pemuda PAS anjur perhimpunan 30,000 raih sokongan muda

Dewan Pemuda PAS pusat mengadakan perhimpunan 30,000 ahli sayap pemuda parti Islam itu 19 Februari ini sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketuanya, Nasrudin Hasan at-Tantawi (gambar) berkata, perhimpunan dengan tema "Masa Untuk Berubah: PAS Sedia Ganti Umno" akan diadakan di Kedah bagi memberi penerangan kepada ahli dalam mendekati pengundi terutamanya pengundi muda.

"Ironisnya, himpunan ini akan berlangsung seminggu selepas dunia menyaksikan kejayaan kebangkitan generasi muda di bumi Mesir yang membawa kejatuhan Presiden Hosni Mubarak yang telah memerintah sejak 30 tahun lalu," katanya dengan merujuk kepada desakan rakyat Mesir agar Hosni meletkkan jawatan.


"Saya percaya, semangat dan kesedaran yang sama juga telah sampai ke negara kita dan kini anak-anak muda pula bersedia untuk bangkit menggantikan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara sejak 50 tahun lalu dengan memberi mandat kepada PAS dan Pakatan Rakyat sebagai pemerintah, pentadbir dan pengurus negara yang baru menjelang pilihan raya umum akan datang," tambah Nasrudin.

Pemimpin tertinggi PAS termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir dan memberikan ucapan penting sebagai "amanah perjuangan" serta peraturan dan arahan" khas menghadapi gelombang kebangkitan anak muda ke arah memenangi pilihan raya umum ke-13.

Melihat pada siri kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya kecil, pilihan raya umum kemungkinan besar akan diadakan tahun ini.

PAS juga mengambil pendekatan lebih serius dengan menggerakkan pelbagai usaha untuk mendapatkan undi orang Melayu.

Bagaimanapun Pakatan Rakyat dilihat berhadapan dengan situasi kemerosotan undi orang Melayu sejak Julai 2009 di mana pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek urai di Kelantan, yang pengundinya 99 peratus orang Melayu, PAS hanya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 65 undi berbanding 1,352 pada Mac 2008.

Sokongan orang Melayu dilihat terus mula memihak kepada BN dalam pilihan raya-pilihan raya kecil lalu, daripada tujuh kepada 10 peratus, sekali gus membolehkan perikatan kerajaan pusat itu merampas Hulu Selangor dan Galas daripada Pakatan Rakyat.

Dalam pilihan raya kecil terbaru di Tenang, Johor pula Pakatan Rakyat gagal untuk menerokai sokongan kalangan peneroka Felda, majoritinya orang Melayu, di mana BN menguasai lebih 83 peratus undi.

Pengguna terpaksa belanja lebih RM400 juta meskipun MRT operasi

Posted: 12 Feb 2011 05:51 PM PST

Projek Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang yang akan menelan RM36.6 bilion didakwa dibangunkan menggunakan data pengangkutan lapuk dan boleh menyebabkan peningkatan kos tambahan RM403.5 juta dari segi perbelanjaan bahan api dalam tempoh lima tahun pertama ia operasi.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga (Awer) S. Piarapakaran berkata, beban tambahan ke atas pengguna adalah ekoran ketiadaan sistem pengangkutan yang baik untuk mengangkut pengguna dari rumah ke stesen-stesen MRT.

"Ini mengenai soal akses ke stesen, bukan mengenai sistem MRT itu sendiri," kata beliau kepada The Malaysian Insider.


Sementara MRT kemungkinan akan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat tetapi negara masih ketinggalan di belakang dari segi kemudahan pengangkutan kepada pengguna ke stesen-stesen agar mereka dapat menggunakan kemudahan itu dengan sebaik mungkin.

Piarapakaran berkata Awer telah mengadakan kajian kewangan dua minggu lalu bagi menentukan kemungkinan kerugian jika sistem MRT beroperasi kelak.

Kerugian tambahan itu, menurut beliau, adalah berdasarkan penggunaan bahan api oleh mereka apabila pergi ke dan balik stesen-stesen MRT.

"Kami mempertimbangkan anggaran kerajaan bahawa 20 peratus pengguna jalan raya akan menggunakan pengangkutan awam seperti teksi dan bas dan baki 80 peratus akan menggunakan kenderaan masing-masing," katanya.

"Jadi, berdasarkan yang itu, kami menganggarkan bahawa kesesakan jalan raya dijangka akan wujud apabila pengguna-pengguna ini berulang alik dari rumah ke stesen," katanya lagi.

Mengikut anggaran Awer, kos tambahan bahan api kepada pengguna jalan raya sepanjang lima tahun pertama, antara 2016 dan 2020, dijangka mencecah RM403.5 juta.

Anggaran itu hanya berdasarkan pertimbangan kesesakan selama 30 minit dan kemungkinan itu akan bertambah.

"Jumlah itu kemungkinan lebih tinggi," katanya.

Piarapakaran juga mendakwa projek berbilion ringgit itu belum memperoleh kelulusan Jabatan Alam Sekitar dan juga belum ada laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

"Jadi saya tertanya-tanya mengapa mereka mengumumkannya dengan begitu cepat sedangkan ia kemungkinan tidak akan memperoleh lampu hijau untuk diteruskan.

"Proses EIA juga belum dijalankan dan ia akan memakan masa," katanya.

Kerajaan menjangkakan projek pembinaan akan dijalankan Julai ini.

Menurut sumber-sumber, kata Piarapakaran, Jabatan Alam Sekitar dijadual menerima laporan EIA akhir bulan ini.

Gambaran tentang projek MRT sejauh 51 kilometer (km) melalui pameran yang diadakan untuk kepada orang ramai selama tiga bulan bermula esok.

Pameran itu akan membentangkan kepada orang ramai maklumat terperinci tentang jajaran landasan Sungai Buloh-Kajang, rancangan pengambilan tanah, maklumat tentang pembinaannya dan ciri-ciri yang akan terdapat pada stesen yang akan dibina.

Hari Terbuka MRT Lembah Klang, yang akan diadakan hari ini di Pusat Konvensyen Mid Valley, akan menjadi pembuka tirai kepada pameran mengenai laluan Sungai Buluh-Kajang, yang 9.5km daripada landasannya akan dibina di bawah tanah.

Ia dipamerkan di tujuh lokasi selama tiga bulan yang berakhir pada 14 Mei ini.

Lokasi berkenaan ialah premis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kajang serta Stesen LRT Bangsar dan pejabat SPAD di Menara Dayabumi.

Tiada ulasan: