Isnin, 24 Januari 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Rakyat Selangor terpaksa tambah 3 lagi kerusi

Posted: 24 Jan 2011 02:00 PM PST

Saya bersyukur kerana Dewan Undangan Negeri Selangor telah mengemukakan usul untuk meminda fasal 52 perlembagaan negeri Selangor dan jika pindaan ini berjaya bermakna kita sudah mula mengembalikan premis kewujuddan negera yang berkonsepkan persekutuan. Pelacuran terhadap elemen persekutuan ini telah dialakukan dengan pindaan perlembagaan yang dibuat secara paksa oleh UMNO pada tahun 1993 dahulu.

Dengan pindaan itu dahulu segala kuasa telah dipusatkan kepada Perdana Menteri dan sebahagian besar dari peruntukkan dalam perjanjian persekutuan pada 2hb Februari 1948 telah dicabuli dan diperkosa tanpa sebarang 'mercy' terhadap institusi Raja-Raja Melayu, satu institusi yang penting dalam sebuah negara Raja Berpelembagaan.

Walaupun usul ini telah tidak dapat diluluskan dengan majority 2/3 tetapi hakikatnya kerajaan Selangor telah melangkah setapak kehadapan dengan berusaha meminda bab 52 pelembagaan negeri Selangor. Walaupun telah gagal ianya membawa erti yang sangat besar bagi rakyat Selangor yang berani tampil melaksanakan tanggunjawab sebagai rakyat dan menunjukkan kepada dunia bahawa masih ada rakyat yang sedar tentang pencerobohan kepada sistem sebuah negara Persekutuan yang telah ditanda tangani pada 2hb Februari 1948.

Usaha kerajaan negeri Selangor itu juga membawa erti untuk menentang usaha kerajaan persekutuan yang merampas kedaulatan kerajaan negeri pada tahun 1993 dahulu. Peristiwa itu masih jelas teringat dan semasa pindaan pada 1993 itu rakyat yang sedar sangat merasa sedih dengan tindakkan merampas kuasa negeri-negeri seolah-olah Malayan Union telah kembali datang kepada kita dengan nama yang lain.

Penolakkan dari ADUN-ADUN UMNO dan BN itu memang telah dijangkakan dan dengan tindakan Ahli-Ahli Dewan Undangan dari BN itu sekali gus menunjukkan yang mereka tidak mahu mengembalikan kuasa yang telah elok dibahagi-bahagikan semasa pembentukkan Persekutuan Malaya 1948 dan Perjanjian Malaysia pada 1963 dahulu. Sikap kita yang bermuka-muka ini sekarang sudah mula disedari rakyat bukan sahaja diSelangor tetapi juga seluruh Malaysia.

Sekarang UMNO tidak boleh lagi melaungkan slogan-slogan kedaulatan Raja-Raja lagi. Lagi pun UMNO hanya berpura-pura menghormati Raja-Raja semasa kes pengambilan alih kuasa diPerak 2 tahun dahulu dalam mana UMNO telah berselindung dicelah ketiap Sultan untuk mengelirukan rakyat. Sikap berdolak-dalik ini mulai difahami oleh ramai rakyat dan tentunya rakyat akan tahu bagaimana untuk bertindak semasa datangnya pilihanraya umum yang akan datang.

Dalam kes yang terakhir ini kerajaan Selangor telah berjaya membuktikan siapa yang berbohong dalam isu mendaulatkan Raja-Raja Melayu ini. Bagi saya kita mesti menolak mana-mana elemen yang menyerupai tindakan Malayan Union ini kerana kita berpandukan kepada konsep persekutuan yang kuat dan mantap. Seluruh rakyat telah berarak menuntut untuk Malayan Union dibatalkan pada tahun 1946 dahulu dan kita tidak sepatutnya membenihkan kembali sifat-sifat Malayan Union yang mencacatkan keluhuran perjanjian Persekutuan itu.

Walaubagaimana pun keputusan telah diperolehi. BN tidak menyokong pindaan itu dan kerajaan Selangor masih kekurang 3 undi penting dalam persidangan khas itu. Mengikut undang-undang Dewan Undangan Negeri tidak boleh melakukan bacaan kali kedua berhubung dengan pindaan itu.

Jika rakyat Selangor masih mahukan pindaan itu, ianya mestilah diusulkan didalam Dewan Undangan penggal yang akan datang. Seandainya rakyat Selangor serius untuk perubahan itu maka mereka terpaksa berusaha menambah sekurang-kurangnya 3 kerusi tambahan lagi semasa pilihanraya yang akan datang.

Usaha kerajaan Selangor menambah bilangan kerusi didalam Dewan Undangan Negeri Selangor itu memerlukan ketabahan dan usaha yang gigih. Kata orang tua-tua, 'kalau tak dipecahkan ruyungnya, mana kan dapat sagunya'. Kejayaan akan hanya diberikan tuhan kepada pihak yang berusaha keras.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/01/rakyat-selangor-terpaksa-tambah-3-lagi.html

Rasisme: Strategi Pemasaran Glokal?

Posted: 24 Jan 2011 08:00 AM PST

Oleh Hafiz Zainuddin

Ia adalah menu harian kita setiap hari malah sebelum tidur pun kita akan disuapkan dengan "makanan percuma" ini. Seluruh rakyat Malaysia disajikan dengan afirmasi-afirmasi tertentu agar Barisan Nasional dapat terus berkuasa dan pimpinan mereka terus kaya.

Isu melibatkan perkauman atau rasisme adalah antara isu terbaik BN dalam strategi pemasaran mereka. "The best marketing strategy ever..." kononnya. Bagi mereka, setiap isu perkauman yang timbul adalah "realiti" yang dihadapi.


Penulis mengajak pembaca untuk melihat dan memahami "strategi pemasaran" ini dengan lebih jelas yang telah muncul akibat dasar penjajah British terdahulu diteruskan oleh legasi mereka BN.

Penjajahan British dan Gerakan Nasionalisme Kiri

Persekutuan Tanah Melayu pernah menjadi nadi keberlangsungan survival ekonomi penjajah. Bermula dengan penjajahan Portugis pada tahun 1511, Belanda, Jepun dan kemudiannya British. Penjajah datang dengan membawa misi, visi, pembangunan, pertumpahan darah dan sistem pemerintahan. Malah tidak dapat dinafikan sama sekali, sistem Raja Berpelembagaan yang digunapakai di Malaysia hari ini adalah sistem yang telah diperkenalkan British suatu ketika dahulu.

British amat gusar dengan kemunculan gerakan nasionalisme yang muncul sekitar tahun 1940-an. Gerakan nasionalisme ini wujud untuk membebaskan negara dari penjajahan. Ia telah menjadi sebuah fenomena di negara-negara jajahan British secara langsung mempengaruhi rakyat di negara ini (pada ketika itu Persekutuan Tanah Melayu) untuk merdeka.

Ada aliran nasionalisme Melayu untuk membentuk negara "Melayu Raya" dan ada aliran yang ingin merdeka dan menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara komunis. Walaupun wujud perbezaan ideologi dan manhaj perjuangan; gerakan ini adalah gerakan Anti British dan Anti Jepun.

Dengan pengaruh sosialis, komunis dan Islam pada ketika itu, maka muncul gerakan-gerakan nasionalis kiri antaranya seperti seperti KMM, KITA, API, AWAS, PKMM, PKM, MPAJA, PUTERA dan sebagainya. Dengan slogan "MERDEKA", ia adalah perkataan keramat yang memungkinkan British hilang pengaruh mereka di negara ini. Ini bererti British menghadapi tentangan dan tekanan yang kuat dari rakyat amnya.

Konsep Pecah dan Perintah

British bukan bodoh. British masuk menjajah dengan konsep dan sistem. Ianya amat mudah. Konsep "Pecah dan perintah" atau "Devide and Rule" ini adalah asas utama terpenting dalam pentadbiran British di Tanah Melayu. Konsep Devide and Rule ini adalah strategi politik, ketenteraan dan ekonomi yang telah diimplementasikan sejak zaman sebelum Perancis direvolusikan lagi.

Konsep ini adalah salah sebuah alat yang digunakan untuk melemahkan gerakan nasionalisme kiri dalam perjuangan mereka menjajah rakyat bersatu dan bangun menentang penjajah. Konsep ini adalah asas dalam pembentukan UMNO, MCA dan MIC yang dilihat British sebagai gerakan nasionalis kanan. Gerakan nasionalis kanan ini adalah 'anak didik' British yang terdiri dari golongan elit dan feudal.

"Askar Melayu" berkhidmat untuk British

Orang-orang Melayu menyertai Pasukan bersenjata yang dinamakan "Askar Melayu" dan sebahagian mereka menjadi anggota Polis. Askar Melayu ini mengambil alih tugas askar upahan Gurkha bagi menjaga kepentingan British. Apa yang berlaku ialah para pejuang nasionalis kiri terutamanya dari aliran komunis terpaksa melawan "Askar Melayu" dan "Polis Melayu" yang pro-British ini.

Jelas, "Askar Melayu" dan Polis ketika itu adalah boneka Inggeris. Nah. Secara umumnya "orang biasa" ketika itu melihat ini adalah isu "Melayu lawan Cina dan orang India senyap di ladang getah". Walaupun gerakan kiri ini juga disertai oleh ramai orang Melayu; tetapi dimanipulasi oleh propaganda British. Jelas. Konsep Pecah dan Perintah ini berjaya. Dengan ini, British berjaya mencorak sikap dan konsep perkauman sempit dan dokongan diberikan kepada UMNO yang menjadi "alat" mereka.

Rasisme: doktrin yang sempurna?

Selepas lebih 50 tahun merdeka, pecah dan perintah ini tetap diteruskan oleh BN sebagai legasi British sehingga saat ini (dahulunya adalah Perikatan). Apabila BN melihat tanda-tanda awal penolakan rakyat terhadap mereka terutamanya sejak Tsunami Politik 2008, senjata utama mereka adalah menimbulkan isu perkauman dan agama. Ini adalah fakta. Rasionalnya; apabila orang Melayu merasa bahawa komuniti itu "terancam", harapan UMNO adalah agar orang Melayu kembali kepada mereka.

BN yang dikepalai oleh UMNO dilihat sebagai dalang dan cuba menimbulkan "prasangka buruk" sesama rakyat pelbagai kaum. Bertunjangkan dengan slogan berbaur perkauman seperti "Ketuanan Melayu" ia memberi gambaran buruk kepada masyarakat bukan Melayu seolah-olah perlu menjadi "hamba kepada orang Melayu". Ini adalah doktrin yang amat bahaya kepada Malaysia.

Politik perkauman yang mengagungkan bangsa Aryan di German dan menghina bangsa lain, telah menyebabkan orang-orang Yahudi dikumpulkan dan dibunuh secara terancang oleh Nazi. Begitu juga apa yang telah berlaku di Bosnia dan Palestin dalam episod hitam penghapusan etnik. Doktrin perkauman sempit ini tidak lain adalah untuk keberlangsungan survival politik dan ekonomi sesebuah regim. Begitu juga yang telah dilakukan oleh British satu ketika dahulu.

BN: Nasib yang semakin tidak menentu

Barisan Nasional khususnya UMNO sebenarnya semakin tenat. Dalam keperluan meneruskan keberlangsungan survival politik dan ekonomi (kroni-kroni) mereka, isu perkauman adalah alat terbaik. Mari kihat lihat sekali lagi antara isu yang dimanipulasikan UMNO antaranya isu kandang ternakan babi moden di Sepang, isu kuota 10% bukan bumiputera masuk UiTM, isu penjualan arak di Selangor, isu Ahli Parlimen Serdang masuk surau Al-Huda, Isu kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam, isu perarakan kepala lembu ke bangunan SUK Selangor, isu kubur Cina di Batu 3 Shah Alam dan yang paling baharu adalah isu Interlok.

Apa yang berlaku ialah BN semakin hilang sokongan daripada masyarakat Cina dan India. MCA dan MIC sebagai salah sebuah komponen terbesar BN dilihat cuma sebagai tunggul. Gagasan 1Malaysia yang diumumkan Najib dilihat sebagai kosmetik dalam menarik semula sokongan bukan Melayu kepada BN.

Rasisme adalah doktrin yang hampir sempurna. Sikap perkauman sempit yang dicanang sejak berdekad yang lalu ini masih kuat tersemat dihati sebahagian rakyat negara ini. Ia adalah barah yang amat berbahaya untuk pembinaan sebuah negara bangsa yang berbilang kaum.

Tolak Rasisme: Rakyat Malaysia Semakin Bijak

Rakyat Malaysia semakin bijak. GST, kenaikan harga minyak yang samasekali mempengaruhi kenaikan harga barang-barang keperluan adalah beban kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama. Ia tiada kaitan langsung dengan ketuanan Melayu atau mana-mana "ketuanan". Malah isu "perkauman-ketuanan" ini tidak ada apa-apa manfaat langsung dalam meringani beban rakyat membeli susu anak atau beras di kedai runcit contohnya.

Rakyat tahu, kenaikan harga barang keperluan cuma menguntungkan golongan borjua dan kerajaan yang mengutip cukai. Rakyat harus sedar bahawa sebenarnya musuh utama kita adalah sistem ekonomi yang menekan dan bukan dari mana-mana bangsa. Setiap dari kita, berusaha dan bekerja untuk keberlangsungan kehidupan masing-masing.

Semangat perkauman sempit yang sering dimainkan oleh BN dan UMNO khususnya cuma alat untuk mengekalkan kuasa dan harta. Semangat perkauman yang masih wujud adalah hakikat yang perlu diakui. Apa yang perlu kita lakukan adalah melontar jauh "semangat perkauman yang sempit". Semangat perkauman harus kita maknakan semula di luar dasar penjajah terdahulu. Perbezaan yang wujud di Malaysia sebanarnya adalah rahmat untuk kita dan harus kita rayakan bersama!

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

Khalid cadang bawa isu pindaan perlembagaan untuk semakan kehakiman

Posted: 24 Jan 2011 07:45 AM PST

SHAH ALAM, 24 Jan — Isu pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor nampaknya belum selesai walaupun kerajaan negeri gagal mendapat undi majoriti dua pertiga untuk meminda undang-undang itu dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri hari ini.

Ini kerana Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau bercadang membawa isu pindaan berkenaan untuk semakan kehakiman.

"Saya mahu buat perubahan. Perubahan ini perlu. Saya tahu politik banyak permainan tapi pengurusan (berlainan), kalau tidak, tak dapat ukur kecekapan (pentadbiran)," katanya semasa menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan pada sidang itu di sini.

Khalid berkata beliau akan pergi ke seluruh Selangor termasuk di kawasan kerusi Barisan Nasional (BN) untuk menerangkan isu pindaan itu yang mana kerajaan pakatan pembangkang sudah berusaha sedaya upaya untuk memartabatkan institusi raja dengan mengembalikan kuasa Sultan tapi gagal.

"Saya berharap kita bersama-sama belajar. Mengapa kita tak buat perubahan. Kita jaga Selangor, kita wakil rakyat. Takkanlah kita nak benarkan (kerajaan) persekutuan halang pembangunan (negeri ini), katanya.

Beliau berkata apa yang berlaku hari ini adalah sejarah dan akan direkodkan dalam hansard Dewan dan akan dikenang dan boleh dibuat rujukan supaya masa depan negara kita akan lebih baik dan terbuka.

"Kepada Anggota Dewan yang tak bersetuju dengan pindaan, tak mengapa, tak ada masalah.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Adun BN yang turut hadir dan mengambil bahagian dalam perbahasan," katanya. — Bernama

Interlok, Goldilock & Goblok

Posted: 24 Jan 2011 07:30 AM PST

Oleh: Shirzad Lifeboat

'Sebuah novel adalah sebuah karya kreatif.' Begitulah sebagaimana yang difahamkan oleh novelis, penggiat dan pengkritik sastera serta audien pembaca yang menjadi pengguna kepada karya kreatif ini.

Namun demikian, karya kreatif tidak selalunya menepati istilah karya seni. Sementara karya seni lebih mementingkan tahap estetika, bermakna indahan bahasa, karya kreatif pula lebih mementingkan 'pernyataan bebas' yang kita kenali dalam bahasa Inggeris sebagai freedom of expression.


Ambil sahaja dua buah novel Melayu – satu Imam karya Abdullah Hussein dan satu lagi Senjakala karya Baharudin Khahar. Sementara Imam lebih mementingkan plot dalam gaya penceritaan dan laras bahasa yang lebih bersahaja, Senjakala pula lebih menjuruskan kepada laras bahasa penuh berestetika.

Justeru pengalaman membaca Imam sama seperti pengalaman membaca, katakan, East of Eden karya John Steinbeck dan membaca Senjakala mengingatkan kita membaca The Famished Road karya Ben Okri. Setelah memperkatakan sedemikian, maka boleh disimpulkan betapa Sasterawan Negara Abdull

ah Hussien adalah novelis dalam kategori dan kelas pengarang seperti John Irving, William Styron dan Grace Metalious (sedar menyebut beberapa nama pengarang yang telah menghasilkan karya arus perdana dunia).

Dalam menulis novel Peyton Place (1956), Grace Metalious menggarap adegan pemerkosaan dengan bahasa eksplisit yang boleh dianggap lucah di zamannya sehingga menimbulkan kontroversi di kalangan pembaca.

Namun hal yang sama tidak pula berlaku ke atas William Styron yang menghasilkan novel Sophie's Choice (1979) walaupun banyak terdapat adegan dan perkataan lucah yang digunakakan oleh karya tersebut.

Seseorang boleh menghujahkan betapa Sophie's Choice tidak mencetuskan sebarang kontroversi kerana laras bahasanya yang berestetika serta mutu bahasa Inggerisnya yang begitu tinggi tetapi bagaimana pula John Irving yang menulis novel The Hotel New Hampshire (1981) dengan segala bahasa lucahnya serta penggunakan perkataan empat-huruf dengan berleluasa dalam keseluruhan teks. Walaupun laras bahasa Inggeris yang digunakan oleh Irving dalam novel tersebut boleh dianggap sekadar, 'bolehlah', namun ia sedia diterima oleh pembaca tanpa sebarang kontroversi atau malahan kritikan ke atas penggunakan perkataan sedemikian. Malah novel tersebut dianggap oleh dunia sastera antarabangsa sebagai antara novel arus perdana dunia.

Justeru dalam sebuah masyarakat khalayak pembaca yang paling termaju dan terbuka seperti Amerika Syarikat sekalipun, interpretasi dan penerimaan sastera adalah tertakluk kepada budaya, kehendak, dan sensitiviti sesuatu zaman.

Penolakan dan penerimaan ini tidak ada kena-mengena dengan persoalan sama ada sesuatu novel itu 'bagus atau pun tidak' tetapi ia lebih menjurus kepada pelbagai aspek sesebuah novel dan adakalanya apakah matlamat penyebaran sesuatu karya itu.

Malaysia sebagai sebuah negara yang tidaklah begitu terkehadapan dalam sasteranya, terutamanya dalam erti kata kerencaman tema dan pelbagai aspek novel sudah tentulah lebih sensitif terhadap penerimaan sesebuah karya genre ini. Lihat sahaja sikap sesetengah pihak terhadap penerbitan novel Shit (1999) karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad atau Maharaja Beruk (1988) karya Yahaya Ismail. Novel ini diinterpretasi oleh sesetengah pihak sebagai karya satira yang menghentam sesuatu pihak sehinggakan mereka yang makan cili terasa pedas cuba melakukan sesuatu untuk mengharam atau setidak-tidaknya menghalang dari lebih ramai audien pembaca dari membacanya. Namun demikian bagi sesetengah yang lain Shit dan Maharaja Beruk hanyalah sebuah karya kreatif.

Namun dalam kes kedua-dua karya ini kemarahan yang tercetus hanyalah di kalangan pemerintah yang merasakan mereka disindir secara tajam. Perbalahan di antara pemerintah dengan pihak berhaluan kiri adalah biasa dan tidak semestinya boleh mengakibatkan kekacauan sosial.

Tetapi dalam sesebuah novel seperti novel Interlok karya Abdullah Hussein, pihak yang merasa tersindir dan terhina bukan lagi di antara pemerintah dengan gologan berhaluan kiri tetapi menghiris ke dalam fabrik sosial masyarakat majmuk Malaysia. Sementara pengarang tidak bermaksud penghinaan bersifat rasis tetapi ia seolah-olah meletakkan taraf satu kaum sebagai lebih agung dari sesuatu kaum yang lain.

Walaupun pada dasarnya apa yang cuba digambarkan oleh Abdullah adalah keadaan perjuangan pra-kemerdekaan yang saling mengunci antara satu kaum dengan satu kaum lain, dalam laras bahasa bersahaja dan ikhlas beliau, namun ia sudah tentu mengundang sensitiviti kaum yang terlibat.

Sementara rakyat Malaysia dari pelbagai kaum boleh menerima betapa Interlok hanyalah sebuah novel sejarah yang cuba menggambarkan kehidupan dalam sesuatu tempoh masa menerusi gambaran setepatnya, namun apabila novel seperti ini dijadikan bahan bacaan wajib sastera sekolah, maka interpretasinya sudah menjadi berbeza.

Oleh itu, tidaklah salah sekiranya rakyat bukan-Melayu merasakan seolah-olah terdapatnya agenda tertentu mengenai keputusan Kementerian Pendidikan mendidik rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dengan memperkenalkan elemen-elemen negatif yang seolah-olah bersifat rasis ini.

Tidaklah jelas sama ada mereka yang bertanggungjawab mengusulkan novel Interlok ini kepada pihak berkuasa Kementerian Pendidikan sedar adanya implikasi semacam ini. Tapi apa yang jelas, tidak banyak pertimbangan yang dibuat sebelum keputusan dibuat.

Mungkin mereka yang terlibat akan menghujahkan bahawa sesebuah karya sebenarnya tertakluk kepada interpretasi pembaca. Sementara kita boleh memperakui set-minda seperti itu, tetapi kita harus juga berhati-hati terutama apabila ia melibatkan cita-cita pengkukuhan antara kaum atau solidarity di peringkat nasional. Kita sudah tentu tidak mahu halangan-halangan seperti ini.

Sekiranya alasan hanyalah menjurus kepada intepretasi pembaca, maka perjuangan sebuah kuasa koloni terhadap tiga kaum di sebuah negara sebagaimana dalam Interlok samalah seperti perjuangan seorang budak perempuan dengan tiga ekor beruang dalam cerita Goldilocks.

Justeru tidak salah juga kita menakrifkan interpretasi seperti ini sebagai sesuatu yang bersifat 'goblok'. Jika tidak begitu, Kementerian Pendidikan sudah tentu memilih karya lain – terutama dalam kesibukan mencernakan gagasan 1Malaysia.

Lindungi Istana dari perangkap "rahsia politik" Umno

Posted: 24 Jan 2011 07:15 AM PST

Pengenalan

Mesyuarat di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Tetap Undang-undang Tubuh Negeri Selangor hari ini diadakan untuk membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya Perkara 52(1).

Ini kerana, tindakan Persekutuan atas tiket Ketua Setiausaha Negara melantik Pegawai Eksekutif Ex-officio dengan membelakangkan Menteri Besar yang dipilih rakyat dan berselindung pula di sebalik istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah, menghina kebijaksanaan rakyat dan kedaulatan negeri.


Pindaan yang dicadangkan hari ini sebagai perubahan supaya generasi akan datang tidak lagi dalam kekaburan dan tiada lagi individu atau puak tertentu yang berani melanggar kuasa negeri atau Sultan.

Pakatan Rakyat komited untuk menjunjung Perlembagaan baik Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri yakni Undang-undang Tubuh Negeri Selangor. Prinsip-prinsip Rukun Negara dijadikan landasan dalam pentadbiran hari ini.

Atas prinsip yang sama Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Latar belakang krisis Perlembagaan

Krisis Perlembagaan 1983 berlaku akibat daripada tindakan para pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa tindakan di luar adab dan peruntukan Perlembagaan itu sendiri, dalam lain perkataan membelakangi Raja-Raja.

Di sinilah bermulanya penghakisan secara terancang terhadap kuasa Raja-Raja di negara ini.

Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi - "tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja".

Pemimpin utama ketika itu telah melakukan beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Antara pindaan yang berjaya dilakukan ialah Perkara 66(5).

Peruntukan asal berbunyi "Rang undang-undang akan dikuatkuasakan apabila yang DiPertuan Agung menandatangani".

Manakala peruntukan pindaan ialah "Rang undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai Undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang DiPertuan Agung. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-undang itu tidak ditandatangani di dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-undang itu disembahkan kepada Yang DiPertuan Agung, baginda dianggap telah menandatangani Rang Undang-undang tersebut dan Rang Undang-undang itu, berkuatkuasa sebagai Undang-undang".

Perkara 10(1), dimana kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga di Negara ini maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang DiPertuan Agung dan Yang DiPertuan Agung mesti menerima nasihat tersebut.

Perkara 66(4) dan (4A) Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan - ialah sebuah Rang Undang-undang akan menjadi undang-undang secara automatik selepas 30 hari meskipun baginda tidak memberi perkenan. Kedudukan Raja-Raja di negeri-negeri juga sama sebagaimana yang tertera di bawah seksyen 11(2A) dan (2C).

Pindaan-pindaan ini menimbulkan banyak persoalan politik dan undang-undang. Ini termasuklah pelanggaran syarat yang dikenakan oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan di mana ia dengan jelas menyatakan bahawa "Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja".

Perkara 38(4) itulah yang menjadi batu penghalang kepada hasrat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1983 dan 1993 dan mungkin kerana itulah beliau tidak peduli dan tidak membawa pindaan 1994 itu kepada Raja-Raja.

Meskipun pindaan 1994 belum dibawa ke mahkamah ada kalangan sarjana undang- undang yang berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1994 itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan; khususnya Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan yang amat drastik itu sudah dilakukan secara rahsia dan membelakangi Majlis Raja-Raja. Namun, apabila rahsia terbongkar ia ditentang oleh Raja-Raja. UMNO pada ketika itu membuat road show ke seluruh negara mengutuk Raja-Raja.

UMNO sememangnya sentiasa berdolak-dalik dan tidak konsisten dan acap kali berselindung di sebalik istana apabila berlaku kesempitan politik.

Peranan Raja, Kerajaan dan Perkhidmatan Awam dalam pentadbiran negeri

Kedudukan dan peranan Raja-Raja cukup jelas. Mereka adalah Raja Berperlembagaan yang mana Yang di-Pertuan Agong - di peringkat Persekutuan - adalah ketua negara manakala Raja-Raja pula adalah ketua negeri.

Perdana Menteri dan Menteri Besar pula adalah ketua kerajaan yang dilantik dari kalangan ahli-ahli Dewan. Meskipun mereka dilantik oleh ketua negeri mereka bertanggungjawab kepada Dewan.

Di bawah kerangka tersebut Menteri Besar dan kabinetnya - yakni Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) – mesti bertanggungjawab ke atas segala keputusan dan dasar yang dibuat dan dilaksanakan.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja tidak dipertanggungjawabkan namun bertindak menurut nasihat. Konsep itu sebenarnya adalah untuk melindungi Istana dari terperangkap dalam kontroversi dan politik.

Raja-Raja diberi banyak keistimewaan; termasuk peruntukan di bawah Senarai Di Raja (Civil List) yang tidak boleh dikurangkan. Mereka juga mempunyai peranan besar sebagai ketua agama negeri masing-masing. Kuasa pemerintahan atau eksekutif diletakkan secara formal di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Pakatan Rakyat ingin mengembalikan peruntukan yang asal kerana kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak; dari istana, suruhanjaya perkhidmatan dan kerajaan negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka.

Pindaan yang dibuat oleh UMNO pada 1993 - iaitu Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor - begitu ganjil sekali. Ini kerana ia tidak menyebut pihak berkuasa yang diberi kuasa melantik: sepatutnya ada kuasa tertentu yang diletakkan; contohnya sama ada Sultan atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Jika dibandingkan dengan Perkara 144 Perlembagaan, khususnya Fasal 3, 4 dan 5 yang ada sekarang yang kesemua mempunyai format yang sama dengan peruntukan yang lama dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Pindaan 1993 itu tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 bertujuan menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan SUK tidak harus disentuh.

Tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja setuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu ialah imuniti. Kelihatannya UMNO mengambil kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang panas dan membingungkan ketika itu.

Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undang-undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang - checks and balances - dalam Perlembagaan.

Konsep Raja Berperlembagaan bermaksud raja yang kuasa terbatas dan dipandu oleh peruntukan dan semangat Perlembagaan. UMNO berpendapat sebaliknya; bagi mereka Raja Berperlembagaan ialah raja yang boleh dicucuk hidung dan diseret ke sana ke mari mengikut kehendak mereka sebagaimana yang mereka lakukan sejak awal 1980-an hinggalah sekarang.

Pindaan yang dicadangkan ini adalah tanda komitmen Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri berdaulat ini menurut aspirasi dan amanah yang diberikan rakyat atas konsep ketuanan rakyat.

*Ringkasan ucapan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dalam Sidang DUN Selangor pada 24 Januari 2011, dalam pembentangan beliau untuk mengemukakan pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya Perkara 52(1). Disediakan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor.

Polis siasat SMS disyaki berunsur judi di Tenang

Posted: 24 Jan 2011 07:00 AM PST

Polis tidak menolak kemungkinan wujud sindiket perjudian yang mahu mengambil kesempatan daripada pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini yang kempennya sedang rancak berjalan sekarang.

Jurucakap polis bagi pilihan raya tersebut, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat menerima satu laporan daripada orang awam pagi tadi mengenai SMS yang dikatakan meminta penerimanya memberi maklum balas mengenai parti yang menjadi pilihan pada hari pengundian nanti.

Pilihan raya kecil DUN Tenang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim dengan calon PAS, Normala Sudirman.

"Polis sedang menyiasat kes ini dan kita akan dapatkan kerjasama daripada agensi yang berkenaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mendapatkan modus operandi pihak berkenaan.

"Penghantar mungkin bergerak dengan kumpulan politik atau kumpulan perjudian," kata Abdul Aziz pada sidang media di Markas Taktikal Polis Diraja Malaysia di Labis hari ini.

Kumpulan ini dipercayai cuba menggunakan data untuk mendapatkan kebarangkalian tentang pihak mana yang akan memenangi pilihan raya tersebut bagi tujuan perjudian.

Abdul Aziz meminta orang ramai yang menerima SMS berkenaan supaya tidak melayaninya tetapi melaporkan kepada polis bagi siasatan lanjut.

Mengenai perkembangan kempen pilihan raya itu, beliau berkata dalam tempoh 24 jam lepas, sebanyak tujuh laporan diterima yang membabitkan soal pemasangan bendera dan poster.

Beliau berkata laporan itu dibuat ekoran terdapat bendera dan poster parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya berkenaan tetapi turut digantung.

"Kita telah pun bekerjasama dengan pihak berkuasa Majlis Daerah Labis untuk menurunkan kesemua poster yang tidak berkenaan termasuk poster dan bendera yang dipasang di tempat yang tidak sesuai," kata Abdul Aziz.

Beliau berkata polis telah meluluskan 22 permohonan permit bagi tujuan ceramah kepada BN dan PAS.

"Kesemua 22 ceramah telah dijalankan dan kita tak terima sebarang laporan mengenai ceramah yang tidak mempunyai permit," jelasnya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59, dari BN pada 17 Disember lepas.

- Bernama

Hikayat Bersalam Dengan Wanita Umno

Posted: 24 Jan 2011 06:45 AM PST

Oleh Zolkharnain Abidin

Kami semua berbaris di hadapan kerusi masing-masing menunggu ketibaan orang besar-besar. Di belakang kami pula ratusan orang-orang kanan kerajaan juga berdiri seperti kami. Suasana sunyi apabila kelibat orang besar itu kelihatan. Perhimpunan pagi itu adalah perhimpunan rasmi.

Orang besar itu dan isterinya bersalam dengan semua orang, lelaki perempuan. Suaminya mendahuluinya. Sampai giliran saya, selepas suaminya menyalami saya, dia turut menghulur tangan untuk bersalam dengan saya.


Saya meluruskan tangan ke bawah sambil menundukkan kepala memberi hormat. Isteri pemimpin itu berlalu dan bersalam dengan orang selepas saya seorang demi seorang sama seperti suaminya juga, tanpa mengira jantina.

Saya menjangkakan perkara itu selesai di situ, namun rupa-rupanya tidak. Setelah isteri pemimpin berkenaan selesai bersalam dengan semua orang, dia berpatah balik dan menuju bulat-bulat kepada saya. Betul-betul di hadapan saya, sekali lagi dia menghulur tangan untuk bersalam dengan saya secara khusus.

Dengan terkejut, tanpa pilihan, dengan puluhan mata memandang ke arah saya dan dia, dengan terpaksa, bertujuan untuk tidak memalukan isteri pemimpin berkenaan, dengan teragak-agak saya menghulurkan tangan dan bersalam dengannya.

Darah menyirap dan muka saya terasa panas. Saya tidak tahu apa perasaan saya ketika itu, entah malu atau entah apa, dalam keadaan semua mata menghala kepada kami.

Isteri pemimpin itu tersenyum kepada saya, sinis. Dia seperti puas mungkin kerana telah berjaya mengenakan saya di khalayak ramai.

Semenjak suaminya tidak lagi berada di kerusi nombor satu negeri, isteri pemimpin itu tidak lagi kelihatan. Berbanding dahulu, seolah-olah dialah wanita pertama negeri. Namun, suaminya masih lagi menjadi orang kuat Umno di negeri Indera Kayangan.

Apabila pemimpin BN memainkan isu Cikgu Mala tidak bersalam dengan pengundi lelaki, pemimpin BN itu telah melakukan sesuatu yang benar mengikut neraca partinya. Dan, Cikgu Mala pula dikira bersalah berdasarkan neraca itu.

Demikianlah adanya, hikayat bersalam dengan wanita Umno.

http://sauhdibongkar.blogspot.com/

Pindaan, jalan terbaik elak kekeliruan

Posted: 24 Jan 2011 06:30 AM PST

SHAH ALAM 24 Jan – Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor merupakan jalan terbaik bagi menghindarkan kekeliruan dan manipulasi berlaku di masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata pindaan tersebut akan menakrifkan dengan jelas kedudukan dan kuasa Sultan Selangor serta kerajaan negeridalam konteks perlantikan pegawai 'ex-officio' kerajaan negeri Selangor.

"Pindaan ini jelas meletakkan setiap pihak di tempatnya, iaitu DYMM Sultan Selangor melantik pegawai,kerajaan negeri sebagai penasihat kepada baginda dan SuruhanjayaPerkhidmatan berkenaan sebagai pihak yang membuat perlantikan," tegas beliau dalam ucapannya di sidang Dun hari ini.

Kata beliau, terdapat segelintir yang cuba mempermainkan peruntukkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor dengan menyatakan perkenan Sultan Selangor adalah perlu dan tidak menyatakan bahawa perlu merujuk kepada Menteri Besar.

"Ini yang peliknya, kerana Fasal (1) Perkara 52 pun tidak disebut DYMM Sultan Selangor. Orang ini telah membaca bersama, dua Perkara yang berlainan iaitu Perkara 50 dan Perkara 52. Itulah sebabnya saya menyoal beliau, mengapa tidak baca sekali Perkara 55 yang menghendaki DYMM Sultan Selangor mendapat nasihat dari Majlis Menyuarat Kerajaan (MMKN) yang diketuai YAB Datuk Menteri Besar," soal beliau.

Katanya lagi, pihak tersebut tidak menyebut Perkara 55 kerana sedar tersilap langkah dalam perlantikan Setiausaha Negeri tanpa merujuk kepada Menteri Besar.

Shuhaimi menjelaskan, peruntukkan undang-undang agar Sultan Selangor mendapatkan nasihat Menteri Besar dalam menjalankan fungsi baginda merupakan kuasa eksekutif yangdiperuntukkan untuk baginda oleh Undang-undang Tubuh kerajaan Negeri Selangor.

"Oleh kerana mentaliti 'budak suruhan', maka puak-puak ini sengaja berkomplot membuat pelantikan SUK dengan memperalatkan Istana dan tanpa melibatkan kerajaan negeri. Betapa biadapnya 'budak-budak suruhan' ini!" tegas beliau lagi

Undang-undang kesihatan untuk wakil rakyat

Posted: 24 Jan 2011 06:15 AM PST

BN dan Pakatan Rakyat kehilangan berberapa wakil rakyat akibat serangan penyakit, antaranya serangan jantung, angin ahmar, barah dan penyakit paru-paru.

Lalu ramai yang bertanya, apakah ini disebabkan kesan persaingan baru antara BN dan Pakatan, yang buat pertama kalinya berubah komposisi secara mendadak di parlimen Malaysia dan DUN negeri-negeri?

Ada logiknya juga dakwaan ini. Sebelum ini, wakil rakyat BN tidak mempunyai ramai pesaing.

Kini selepas Pakatan menjadi kuasa politik yang kuat, kesemua mereka harus bekerja keras untuk berdebat dan berlawan mengenai pelbagai isu.
Senarai di sebelah menunjukkan bahawa ramai wakil rakyat tidak mempunyai tahap kesihatan yang baik.


Ujian mental, fizikal 10 jam

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam mencadangkan agar semua wakil rakyat wajib menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik untuk berkhidmat .

Liow akan membawa cadangan ini ke mesyuarat kabinet akan datang.

Ini satu usaha yang baik bagi memastikan setiap wakil rakyat yang bekerja siang dan malam untuk menjaga rakyat akan turut menjaga diri mereka sendiri, terutamanya dari segi kesihatan.

Ujian kesihatan sebelum pilihan raya Untuk pilihan raya umum ke-13, saya ingin mencadangkan agar satu undang-undang diperkenalkan agar setiap orang yang ingin bertanding merebut sesuatu kerusi mestilah lulus ujian kesihatan terlebih dahulu.

Di Indonesia, pada tahun 2009, kesemua calon yang bertanding pilihan raya presiden dikenakan syarat itu sebelum dibenarkan untuk turut serta bersaing.

Nama-nama besar seperti Susilo Bambang Yudhoyono, Jusuf Kalla, Megawati Sukarnoputri dan Prabowo juga terpaksa menjalani ujian kesihatan mental dan fizikal di Hospital Gatot Subroto Jakarta Pusat yang diketuai doktor terkenal Dr Supriyantoro selama 10 jam.

Malaysia juga harus mempunyai undang-undang yang sama. Jumlah 11 kematian wakil rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 menguatkan lagi keperluan ini.

Wakil rakyat yang diundi dalam pilihan raya haruslah mempunyai keadaan kesihatan yang baik.

Patah tumbuh hilang berganti

Siapa pun yang bakal membentangkan undang-undang ini di parlimen haruslah disokong. Janganlah hanya kerana ia dibentang oleh parti lawan, maka perlu ditentang.

Hari ini Malaysia dalam keadaan di mana kedua-dua BN dan Pakatan akan saling menentang apa saja yang dicadangkan oleh pihak lawan politiknya walaupun ia suatu perkara yang baik.

Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak baik dan inflasi terus meningkat akibat kenaikan harga barang, lebih baik wang negara digunakan untuk perkara-perkara yang lebih bermanfaat kepada orang ramai.

Jika segala pencegahan telah dilakukan dan masih terdapat wakil rakyat meninggal dunia, itu semua kuasa Tuhan. Kita tidak dapat elakkan.

Rakyat juga tidak akan marah kerana tindakan pencegahan telah dilakukan dan setiap wakil rakyat yang bertanding telah lulus ujian kesihatan.

Walaupun undang-undang ini bakal mengorbankan jaguh-jaguh politik sesetengah parti, ia haruslah dilihat secara positif.

Dalam sistem demokrasi, kita harus percaya, apabila seseorang pemimpin politik yang baik pergi, akan lahir pemimpin yang baru. Seperti kata pepatah, "patah tumbuh hilang berganti".

Adun Pakatan Rakyat sokong pindaan

Posted: 24 Jan 2011 06:00 AM PST

SHAH ALAM 24 Jan – Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (Pakatan) mencipta sejarah apabila semua wakil rakyatnya bersatu menyokong cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi mengembalikan kuasa DYMM Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio yang telah dimansuhkan selepas Pindaan Perlembagaan 1993.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa puas hati di atas kata sepakat semua wakil kerajaan yang memberi perbahasan dengan baik dan bernas berkenaan isu penting kepada rakyat yang mana gagal disentuh oleh pentadbiran sebelum ini.

"Perbahasan Pakatan hari ini berjaya memertabatkan kesucian Dewan Negeri Selangor (DNS), ini selari dengan keinginan rakyat Selangor yang mahukan satu pentadbiran profesional bagi dua institusi tertinggi," kata Tan Sri Khalid dalam sidang media.

Dalam pada itu, Khalid juga melahirkan rasa kesal terhadap wakil-wakil dari Umno-BN yang dilihat bukan sahaja menolak usul ini, malah gagal memberikan hujah-hujah yang konkrit dan berkualiti untuk menolak cadangan pindaan ini.

"Jelas, penolakan ini dibuat atas nama politik dan kesetiaan mereka kepada pihak-pihak yang berkuasa di Putrajaya, sepatutnya sebagai wakil rakyat, keputusan mereka perlulah berdasarkan kepentingan rakyat," katanya.

Tambah Tan Sri Khalid, penolakan ini jelas membuktikan bahawa Umno-BN tidak menghormati Institusi Raja-raja Melayu dan tetap menghalang Institusi Raja-raja Melayu memainkan peranan yang sepatutnya dalam institusi Raja Berpelembagaan.

"Sikap hipokrit Umno ini jelas nampak dalam rekod mereka secara konsisten menafikan kuasa Raja-Raja Melayu, terutamanya pada tahun 1983, 1993 dan kini 2011," katanya.

Tan Sri Khalid berkata lagi, sidang dewan hari ini membuktikan pemimpin Umno sebenarnya tidak layak untuk menyentuh soal kedaulatan Raja-Raja kerana belang mereka telah terbongkar.

Mereka menuduh Pakatan tidak menghormati peranan Raja-raja tetapi sebenarnya Umno yang menghakis kuasa Raja-raja melalui pindaan-pindaan Perlembagaan yang telah dilakukan.

Turut hadir dalam sidang media ialah Exco Selangor, Dr Hassan Ali, Teressa Kok, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.

Ucapan Perbahasan YB Mohamed Azmin Ali di Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari 2011

Posted: 24 Jan 2011 05:30 AM PST

1. Saya ingin menyertai perbahasan Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibentangkan oleh YAB Dato' Menteri Besar sebentar tadi.

2. Rang Undang-Undang ini adalah amat penting untuk:

i. Memperjelaskan sistem pemerintahan di negara ini yang berpaksikan sistem Demokrasi Berparlimen (Parliamentary Democracy) dan Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy);

ii. Mengembalikan kuasa Pemerintah dan Menteri Besar dalam perlantikan di bawah Perkara 52 di dalam Bab 3 untuk menjamin wujudnya proses timbang tara (check and balance) dan kemurniaan peranan di antara institusi Raja dan Ketua Kerajaan Negeri yang dipilih oleh rakyat;

iii. Menyuntik kekuatan baru kepada sistem Persekutuan atau Federalisme;
iv. Menjamin keberkesanan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang dipilih oleh rakyat.

3. Alhamdulillah, hari ini Dewan Negeri Selangor melakar sejarah apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 khususnya pada Perkara 52 (1) berkaitan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Usaha yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat adalah untuk mengembalikan prosedur untuk perlantikan ini seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri yang sama yang mana peruntukan ini telah dimansuhkan dalamn tahun 1993 oleh makhluk perosak bernama UMNO.

4. Usaha ini tidaklah mudah. Pelbagai pihak yang menjadi alat dan perkakas UMNO cuba memberikan penakrifan undang-undang mengikut selera dan nafsu serakah peimimpin UMNO di Putrajaya bagi menghalang mesyuarat pada pagi ini.

5. Lihat sahaja kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar berhubung usaha YAB Dato' Menteri Besar untuk kembali ke Dewan yang mulia ini untuk memperbetulkan kerosakan sistem tatkala di tangan UMNO.

6. Antara lain, Noh Omar mendakwa Pakatan Rakyat sanggup melakukan apa sahaja yang bercanggah dengan undang-undang. Beliau juga membuat tuduhan jahat bahawa pindaan ini bermaksud untuk memberikan kuasa kepada YAB Dato' Menteri Besar dan bukan memberikan kuasa kepada Tuanku Sultan.

7. Kenyataan ini timbul dari seorang watak yang buta sejarah dan jumud pemikirannya. Ini mengingatkan saya kepada puisi seorang budayawan Indonesia bernama Ehma Ainul yang berkata, "Nasib malang golongan yang bernama rakyat. Rakyat yang terlalu lama diperbodohkan tidak tahu apa itu kebodohan."

8. Di Selangor, rakyat makin cerdas dan mendapat pencerahan. Golongan rakyat yang terlalu lama diperbodohkan adalah orang UMNO sendiri sehingga tidak tahu mereka diperbodohkan, mereka tidak tahu apa itu kebodohan.

9. UMNO mencuba untuk memperbodohkan rakyat dengan menggunakan media arus perdana milik mereka sendiri. Tetapi rakyat dibebaskan dengan pengembangan internet dan media baru. Pemimpin UMNO yang tidak menurut arus perkembangan teknologi ini, diperbodohkan akibat terlalu lama hidup dalam kepompong mereka sendiri.

10. Kita, rakyat Selangor bersyukur kerana Allah SWT telah mengurniakan seorang Raja yang berilmu, kompeten, bijaksana, adil dan menaungi rakyat Selangor. Saya sedia maklum bahawa Tuanku Sultan adalah seorang Raja yang mencintai buku. Kegemaran ini adalah cerminan kepada kecintaan Baginda terhadap tradisi ilmu dan budaya intelektual. Budaya inilah yang akan membawa Negeri Selangor lebih yakin untuk mendepani cabaran abad ke-21. Rakyat Negeri Selangor tidak akan dapat melupakan perkenan Tuanku untuk menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat pagi ini selaras dengan kuasa dan tanggungjawab Tuanku yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

11. Mesyuarat pagi ini juga penting untuk anak bangsa memahami sejarah. Sejarah tidak boleh dipadamkan walaupun UMNO sering menggunakan 'profesor kangkung' seperti Ramlah Adam untuk memutarbelitkan sejarah. Mesyuarat hari ini akan menulis semula sejarah berdasarkan fakta dan ilmu di mana anak bangsa kita khususnya rakyat Negeri Selangor akan diingatkan bahawa UMNO yang merosakkan dan menjahanamkan institusi-institusi demokrasi termasuk sistem Raja Berperlembagaan dalam Negara Malaysia yang tercinta ini.

12. Orang Melayu tidak mudah lupa. Rakyat Malaysia juga tidak mudah lupa. Yang mudah lupa hanyalah pemimpin-pemimpin UMNO dan mereka ini sering menjadi mangsa propaganda yang mereka cipta untuk menipu rakyat. Tetapi yang tertipu bukan rakyat tetapi mereka sendiri.

13. Saya amat bimbang usaha-usaha UMNO sekarang ini yang terdesak untuk menyemarakkan politik perkauman sempit yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

14. Di akhir mesyuarat pada hari ini, saya yakin rakyat akan dapat menjawab persoalan yang dilontarkan oleh YAB Dato' Menteri Besar dalam pembentangan pagi ini yang berbunyi, "Derhakakah kami jika kami mahu mengembalikan kedaulatan negeri dan Baginda Sultan yang memerintah negeri yang berdaulat ini?"

I. SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN DAN RAJA BERPERLEMBAGAAN

15. Kerajaan Negeri Selangor hari ini adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kerajaan yang mendapat mandat dan amanah dari rakyat melalui proses demokrasi. Pada 8 Mac 2008 majoriti rakyat Negeri Selangor menolak parti UMNO dan Barisan Nasional yang bergelumang dengan rasuah, salah guna kuasa dan keangkuhan pemimpin.

16. Inilah demokrasi dari pandangan Dr. Yusuf Qaradhawi, seorang tokoh ulama' yang tersohor. Dr. Yusuf Qaradhawi telah mengupas persoalan intipati demokrasi (essence of democracy) dalam bukunya berjudul Fatawa Muafirah (Contemporary Fatwa). Menurut Dr. Yusuf Qaradhawi, demokrasi adalah hak rakyat untuk memilih siapa yang harus memerintah dan mentadbirkan urusan mereka. Demokrasi juga bermakna hak rakyat untuk menolak pemerintah yang mereka tidak suka atau menolak aturan dan sistem yang mereka tidak suka.

17. Demokrasi juga membawa maksud hak rakyat untuk menilai dan melakukan muhasabah apabila seseorang pemimpin itu bersalah dan hak rakyat untuk menurunkan pemerintahan apabila pemimpin menyimpang dari prinsip. Tegas Dr Yusuf Qaradhawi, "Kalau itulah intipati demokrasi, dimanakah konflik dengan ajaran Islam?". Dr Yusuf Qaradhawi juga membuat kiasan bersandarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa, "Seseorang Imam yang mengimami satu kelompok yang diketahui olehnya tidak disukai oleh makmum tetapi masih berdegil untuk menjadi Imam, maka, pahala solatnya tidak terangkat walaupun seinci daripada kepalanya."

18. Apa yang cuba disampaikan ialah dalam solatpun, makmum boleh menolak seseorang Imam yang tidak disukainya apatah lagi dalam persoalan politik, pentadbiran dan pengurusan ekonomi. Demokrasi akan hanya bermakna sekiranya ada pendewasaan pemikiran rakyat dan pencerahan.

19. Prinsip Raja Berperlembagaan pula adalah penerimaan kepada nilai-nilai Syariat yang mana terkandung di dalamnya prinsip-prinsip keadilan iaitu memberikan hak kepada yang berhak. Maka, sewajarnya hak rakyat Selangor dipertahankan untuk ditadbir oleh kerajaan yang dipilih melalui sistem demokrasi ini.

20. Tanggungjawab Menteri Besar sebagai Ketua Kerajaan Negeri adalah amat penting dalam sistem demokrasi.

21. Justeru itu Pakatan Rakyat Negeri Selangor mengemukakan seorang tokoh yang berwiba, berpengalaman dan prihatin terhadap rakyat sebagai Ketua Kerajaan Negeri untuk merencana dasar-dasar kepedulian rakyat.

22. UMNO tidak senang dengan prestasi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berjaya membangunkan negeri dan merakyatkan ekonomi melalui tatakelola yang baik (good governance). Justeru itu, rakyat menyaksikan gelagat UMNO melalui siri-siri tindakan yang tidak demokratik untuk sabotaj sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Ini termasuk memperalatkan institusi-institusi kerajaan seperti SPRM, PDRM dan Mahkamah bagi menggagalkan sistem perkhidmatan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

23. Sehinggakan lembu korban yang disumbang kepada masjid-masjid dan surau-surau di Negeri Selangor menjelang Eidul Adha dijadikan helah untuk menyiasat dan menekan pentadbiran YAB Dato' Menteri Besar. Hasrat mereka adalah sekiranya Dato' Menteri Besar atau Exco Kerajaan Negeri atau mana-mana Ahli Dewan Negeri Selangor dari Pakatan Rakyat dapat didakwa dengan pelbagai tuduhan ciptaan UMNO ianya akan memberikan peluang bagi UMNO untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat ini.

24. Konspirasi jahat ini tidak terhenti di situ, hari ini UMNO menggunakan jentera pentadbiran pusat untuk mensabotaj pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Putrajaya ingin menganggu kelicinan dan kecekapan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program-program rakyat yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri.

25. Insya Allah, cabaran terbaru ini akan kami tangani dengan sebaiknya dan bijaksana demi menjamin akar jentera pentadbiran negeri tidak terjejas dan segala program kebajikan dan kepentingan rakyat akan terus terpelihara. Kerajaan Selangor adalah kerajaan yang pro-demokrasi; dan demokrasi adalah jelmaan dari kedaulatan rakyat. Menggugat Kerajaan Negeri Selangor sekarang adalah menggugat demokrasi dan tidak menghormati hasrat rakyat. Mempertahankan Kerajaan Negeri Selangor yang dipilih oleh rakyat adalah mempertahankan dan memperkasakan demokrasi.

II. menjamin wujudnya proses timbang tara (check and balance) dan kemurniaan peranan di antara institusi Raja dan Ketua Kerajaan NEGERI yang dipilih oleh rakyat

26. Sebelum pindaan perlembagaan 1993, Perlembagaan Persekutuan mempunyai aspek 'check and balance' atau timbang tara di antara Eksekutif dan institusi Raja dalam perlantikan tiga jawatan utama pentadbiran negeri iaitu Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

27. Ini termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor Perkara 52 (1) yang menyatakan bahawa :

"His Highness shall on the recommendation of the appropriate Service Commission by instrument under His Sign Manual and the State Seal appoint a person holding a whole time office in the public services to be the State Secretary, the State Legal Adviser and the State Financial Officer respectively:

Provided that before acting on the recommendation of the Service Commission His Highness shall consider the advise of the Menteri Besar and may once refer the recommendation back to the Commission in order that it may be reconsidered."

28. Setelah dipinda dalam tahun 1993, Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dalam soal perlantikan tiga pegawai di atas berbunyi :

"There shall be constituted the offices of State Secretary, State Legal Adviser and State Financial Officer; and the appointment thereto shall be made by the appropriate Service Commission from amongst members of any of the relevant public services."

29. Siapakah yang memansuhkan kuasa Tuanku Sultan untuk melantik tiga pegawai selepas mempertimbangkan nasihat Menteri Besar ? Pastinya; UMNO telah menderhaka kepada Raja-Raja Melayu. Sekaligus suara rakyat dinafikan kerana Menteri Besar adalah wakil suara rakyat majoriti yang membentuk kerajaan melalui proses demokrasi.

30. Kalau kita kembali kepada Penyata Rasmi (Hansard) Parlimen semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 yang ditaja oleh Dr. Mahathir Mohamad, ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang mengeluarkan kata-kata kesat dan celupar terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Antaranya, seorang Ahli Parlimen UMNO berkata :

"Adakah Yang Berhormat hendak menuduh akhbar yang putar belit. Saya tidak. Saya hendak mengatakan raja yang putar-belit, sehari bersetuju, dua hari tidak bersetuju. Ini kenyataan yang tepat, yang jelas."

31. Kita rujuk pula kepada kenyataan-kenyataan media dan ucapan Dr. Mahathir Mohamad sekitar tahun 1983 dan 1993, jelas membuktikan bahawa Dr. Mahathir adalah penderhaka dan UMNO adalah pengkhianat. Media yang dikuasai oleh UMNO digunakan untuk memaparkan cerita-cerita yang mengaibkan peribadi Raja-Raja Melayu bagi mewujudkan sentiment dan emosi benci rakyat terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Berita Harian pada 19 Januari 1993 menyiarkan kenyataan seorang Ahli Parlimen UMNO dari Perak yang mengingatkan Raja-Raja supaya mengambil kira suara rakyat jika tidak Raja-Raja tidak dapat kekal lama "malah takhta mereka mungkin akan beralih ke muzium…".

32. Krisis Perlembagaan tercetus ekoran tindakan pemimpin UMNO yang rakus untuk memansuhkan kekebalan Raja-Raja Melayu. Ramai sarjana dan pengamal undang-undang mencabar keabsahan pindaan perlembagaan 1993 kerana ianya melanggar Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut, "tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja". Sebenarnya UMNO memindahkan kekebalan tersebut kepada Mamak Bendahara dan pihak Eksekutif. Saya tahu bahawa kebimbangan ini ditimbulkan oleh pihak Raja-Raja dalam tahun 1993. Saya dapat menyelami perasaan Raja-Raja Melayu yang luka. Luka yang dalam mungkin telah sembuh, tetapi parutnya tetap ada. Keprihatinan Raja-Raja Melayu disambut dengan rasa tanggungjawab oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang pada ketika itu.

33. Apa yang disebutkan oleh Ketua Pembangkang, YB Encik Lim Kit Siang pada 18 Januari 1993 adalah semakin jelas hari ini :

"Semasa kita membahaskan soal kekebalan Raja-Raja, tentang bagaimana mendemokratikkan sistem Raja Berperlembagaan, untuk memastikan Raja-Raja bertanggungjawab dan Demokrasi Berparlimen, kita tidak boleh membenarkan pemimpin-pemimpin kerajaan menikmati kekebalan yang membebaskan mereka dari sebarang akauntabiliti awam sebagaimana yang dipamerkan oleh berbagai skandal yang tidak diselesaikan dalam negara ini."

34. Dalam pembahasan yang sama, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang turut menegaskan prinsip yang sama:

"Begitu juga kekebalan yang tersirat daripada penyalahgunaan kuasa melalui ISA, OSA, Perkara 145 (3) Perlembagaan kuasa yang diberi kepada Peguam Negara hendaklah dielakkan."

35. Kekebalan yang dinikmati oleh pemimpin-pemimpin elit UMNO menjadikan Malaysia diperintah oleh diktator selama 23 tahun dengan mengamalkan undang-undang rimba dan menolak negara hukum. Dr. Mahathir Mohamad adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan pihak Eksekutif terlalu kebal. Najib Razak hanya meneruskan sistem yang dibina oleh Dr. Mahathir. Justeru itu, rasuah dan salahguna kuasa semakin berleluasa dan menjadi budaya dalam pentadbiran UMNO.

36. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh UMNO semakin parah. RM42,320 dibayar oleh Kolej Kemahiran Tinggi Mara Balik Pulau, Pulau Pinang untuk sebuah komputer riba. 2 unit daripada jenama yang sama komputer riba berjenama Acer Aspire pada harga RM84,640. Komisyen kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi bernilai RM1 bilion. Dengan jumlah ini kita boleh beri air percuma kepada rakyat selama 6 tahun.

37. Apabila Pakatan Rakyat menyatakan pendirian untuk mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, ianya adalah untuk kembali kepada struktur asas Perlembagaan Negara yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub di dalam dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu tatkala Almarhum Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan.

"Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen."

38. Hari yang keramat ini menyaksikan Pakatan Rakyat, sebuah gabungan parti-parti politik yang mewakili rakyat Malaysia pelbagai kaum mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

39. Komitmen Pakatan Rakyat ini terkandung dalam pengisytiharan yang dibuat pada 8 September 2008 oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang antara lain menegaskan bahawa Pakatan Rakyat menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan.

40. Deklarasi ini yang ditandatangani oleh YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, YB Encik Lim Kit Siang dan YB Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang membuat ketetapan bahawa pendirian Pakatan Rakyat ialah menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain; kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda; kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

III. Menyuntik kekuatan baru kepada sistem Persekutuan atau Federalisme

41. Pindaan Perlembagaan 1993 juga telah disalahguna untuk menghakis prinsip Federalisme. Pindaan tersebut bukan sahaja memindahkan kuasa ke tangan Perdana Menteri, tetapi ia juga merampas kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri menurut amalan Persekutuan atau Federalisme.

42. Pindaan yang dibuat hari ini adalah untuk memperkukuhkan Federalisme yang merupakan satu aspek penting Perlembagaan Persekutuan.

43. Dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebelum pindaan 1993, Tuanku Sultan dan Menteri Besar mempunyai kuasa dalam semangat rundingan untuk melantik Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Tatkala Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dikuasai oleh parti yang sama, persoalan ini tidak begitu berat. Tetapi dalam suasana Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat diperintah oleh parti yang berlainan, dua suara yang punyai beda yang sangat menjolok, tindakan tidak menghormati prinsip Federalisme telah menimbulkan ketegangan; apatah lagi apabila UMNO cuba merampas Kerajaan Negeri melalui tindakan sabotaj.

44. Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru baru ini merupakan pengkhianatan semangat Federalisma oleh Kerajaan Pusat melalui peranan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan. Selaku Ketua Setiausaha Negara, Sidek wajar menunjukkan teladan yang baik dengan menghormati semangat Federalisme bagi menjamin keharmonian hubungan antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri.

45. Malangnya, perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Sidek telah membelakangkan suara dan hak rakyat Negeri Selangor. Apabila diasak oleh rakyat Selangor, Sidek memberikan respon yang tidak bertanggungjawab dengan mengatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Dato' Ramli Mahmud. Mungkin Sidek terlepas pandang atau kedangkalannya sendiri untuk menghayati prinsip Federalisme di mana prinsip Demokrasi Berparlimen membawa maksud Ketua Negara adalah DYMM Yang Di-Pertuan Agong manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Negeri masing-masing. Ketua Kerajaan Pusat adalah Perdana Menteri dan Ketua Kerajaan Negeri adalah YAB Dato' Menteri Besar.

46. Siapa Ramli Mahmud? Beliau hanya merupakan seorang penjawat awam yang bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri. Malangnya, diakhir talian hayat perkhidmatannya dengan Kerajaan Negeri, saya difahamkan Ramli Mahmud menjadi tali barut kepada Sidek Hassan untuk mencapai agenda politik Kerajaan Pusat.

47. Mengapa Sidek tidak menghormati YAB Dato' Menteri Besar selaku Ketua Kerajaan Negeri yang mewakili rakyat Negeri Selangor? Atau mungkinkah Sidek rela mengorbankan profesionalismenya dan menjadi alat kepada pemimpin elit UMNO?

48. Perbincangan di Dewan yang mulia ini juga bertujuan untuk mengembalikan dan mempertahankan neutrality dan profesionalisme anggota penjawat-penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka. Saya mahu anggota-anggota penjawat awam punyai kebebasan untuk memberikan nasihat tanpa takut dan bimbang demi membangunkan Negeri Selangor yang tercinta ini. Saya mahu anggota-anggota penjawat awam diiktiraf sumbangan mereka dan dapat menjalin hubungan kerja yang harmoni dengan Kerajaan Negeri.

IV. Menjamin keberkesanan perjalanan pentadbiran negeri Selangor yang dipilih oleh rakyat

49. Dalam tempoh tiga tahun Pakatan Rakyat memegang teraju pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, YAB Dato' Menteri Besar dan Pakatan Rakyat telah berusaha untuk menjamin demokrasi sebagai wahana tatakelola yang baik, ketelusan, pertanggungjawaban, merakyatkan ekonomi dan mengamalkan prinsip 'value for money' untuk menjana pertumbuhan ekonomi bagi memelihara kebajikan dan kemakmuran rakyat. Laporan Ketua Audit Negara engesahkan kecekapan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat.

50. Dasar-dasar kepedulian rakyat termasuk program air percuma dan Merakyatkan Ekonomi Selangor tidak menjejaskan kedudukan kewangan negeri; jauh sekali untuk muflis.

51. Kerajaan Pakatan Rakyat juga berjaya menyelesaikan banyak kes yang berlarutan selama berdekad di bawah pentadbiran UMNO. Peneroka-peneroka bandar di Kampung Indian Settlement, Batu Caves yang dipinggirkan hampir 50 tahun oleh wakil rakyat MIC dan Kerajaan Barisan Nasional telah mula merasai nikmat kerajaan yang prihatin pimpinan Pakatan Rakyat apabila Kerajaan Negeri meluluskan hak milik tanah untuk mereka pada Ogos 2010. Ratusan keluarga Melayu di Kampung Gombak Setia yang merintih selama lebih tiga dekad untuk mendapatkan hak mereka dipandang sepi oleh wakil rakyat UMNO. Namun, dalam tempoh yang begitu singkat, atas nama keadilan, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat mampu menangani masalah ini dan Insya Allah, YAB Dato' Menteri Besar sendiri akan turun ke kampung ini pada 19 Februari 2011 untuk mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri mengembalikan hak penduduk-penduduk di Kampung Gombak Setia.

52. Kerajaan Pakatan Rakyat mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai kerajaan dan anggota-anggota penjawat awam yang memberikan kerjasama untuk melaksana dasar-dasar Pakatan Rakyat yang pro-rakyat. Kerjasama mereka amat penting sebagai pelaksana dasar-dasar yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

53. Mewakili Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor dari Pakatan Rakyat, saya menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan kerana sentiasa memayung kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi. Saya terkesan dan tidak akan dapat melupakan keprihatinan Tuanku Sultan yang berangkat mencemar duli ke lokasi tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada bulan Disember 2009 untuk melihat sendiri derita yang dialami oleh rakyat di kawasan saya ekoran tragedy tanah runtuh yang meragut empat nyawa.

54. Meskipun Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bekerja kuat untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat, namun ada pihak yang tidak senang dengan dasar-dasar dan langkah-langkah kepedulian rakyat ini. UMNO dan Barisan Nasional di Putrajaya takut dengan apa yang kita lakukan. Mereka dengan cara yang tidak demokratik dan dengan tidak menghormati prinsip Persekutuan atau Federalisme cuba melakukan sabotaj.

55. Amanah yang diberikan oleh rakyat perlu digunakan untuk memberikan khidmat terbaik untuk merakyatkan ekonomi melalui sistem tatakelola yang kukuh dan menurunkan kos kehidupan rakyat.

56. Sebagai contoh; apabila Pakatan Rakyat memperkenalkan program-program ekonomi dalam Buku Jingga dan Program 100 Hari Pakatan Rakyat; ianya telah mencetuskan gelombang baru dalam masyarakat dan menyebabkan Kerajaan Pusat berada dalam keadaan defensif.

57. Najib mendakwa Program 100 Hari Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga akan menyebabkan negara muflis. Inilah masalah Najib, bila Pakatan Rakyat hendak menolong rakyat, kita dituduh tidak bertanggungjawab dan akan memufliskan negara tetapi apabila memberi subsidi kepada kroni, negara tidak muflis. Sebenarnya Program 100 Hari hanya melibatkan kos RM19.2 bilion sedangkan kalau diambil kembali subsidi yang dianugerahkan kepada empat syarikat Penjana Kuasa Bebas (IPP) dan mengatasi masalah ketirisan, Kerajaan akan memperolehi RM51 bilion.

58. Buku Jingga memberikan tumpuan kepada isu-isu yang membebankan rakyat. Kalau kita teliti angka-angka ekonomi yang dibentangkan dalam Parlimen; 46% rakyat Malaysia yang bekerja menerima pendapatan bawah RM2,000 dan 75% dari bilangan keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM2,000 adalah orang Melayu. Golongan ini jugalah yang dikategorikan sebagai golongan 40% paling miskin di Malaysia.

59. Ini dalam negara yang menjadikan Ketuanan Melayu sebagai dasar ekonomi tetapi orang Melayu masih menjadi pengemis di bumi sendiri.

60. Ini sekaligus mematikan propaganda pemimpin UMNO bahawa mereka adalah pejuang Melayu.

61. Ketuanan Melayu bagi mereka adalah pimpinan elit yang bersantai dalam mahligai. Inilah kumpulan yang digelar "Orang Patut-Patut" oleh Pendita Za'aba.

Dalam tahun 1917 Pendita Zaaba menulis: "orang patut-patut kita duduk bersenang-senang diri masing-masing dalam bilik mahligainya dengan nikmat sentosa dan cukup puas hati pula, datang rasa hatinya dan sampai rasa hatinya memandang anak bangsa bergelumang dengan kehinaan dan kejatuhan kepada saf-saf yang jauh dibelakang…."

62. Maka, saya menyeru agar Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menyokong pindaan Rang Undang-Undang ini kerana ianya merupakan satu inisiatif untuk memperkukuhkan demokrasi dan sistem Federalisme serta mempertahankan suara dan hak rakyat yang terbanyak.

63. Sebagai sebuah kerajaan yang berorientasikan prinsip demokrasi dan reformasi yang dipilih oleh rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bertanggungjawab untuk memperbetulkan kerosakan dan kemusnahan institusi demokrasi di tangan UMNO. UMNO bukan sahaja bertanggungjawab meruntuhkan institusi demokrasi seperti badan kehakiman, institusi Parlimen tetapi juga memusnahkan Institusi Raja Berperlembagaan.

64. Saya ingin mengakhiri perbahasan pagi ini dengan mengungkapkan sebuah gurindam yang membayangkan tradisi keharmonian hubungan raja dan rakyat.

"Bendahara dan Sultan seperti sebadan,
Jangan cuba pisah-pisahkan;
Tali yang lerai kita ikatkan,
Warisan Melaka kita sambungkan."

65. Saya memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurnia kesihatan yang sempurna, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan untuk terus memimpin Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

66. Saya juga berdoa agar YAB Dato' Menteri Besar juga dilimpahi dengan rahmat Allah dan senantiasa di dalam lindunganNya untuk meneruskan khidmat sebagai Ketua Kerajaan Negeri yang adil untuk seluruh rakyat Negeri Selangor.

Kesian Umno Apabila Dapat kawan Seorang Pelakon Lucah!

Posted: 24 Jan 2011 05:15 AM PST

Muhyiddin saran MCA henti main isu salam calon PAS

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

LABIS, 24 Jan — Tan Sri Muhyiddn Yassin menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN) terutamanya MCA supaya tidak mengeksploitasikan pendirian calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki.

Kempen BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dilihat memberikan tumpuan kepada cara bersalam Normala yang tidak bersalam dengan lelaki daripada membawa isu-isu rakyat.

Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.

"BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu. Terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian tas sebab-sebab tertentu.

"Tapi bagi saya, saya tidak mahu nak mengekploitasi peribadi pihak calon. Itu adalah pilihan dia (Normala). Apa pun terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian," kata Timbalan Perdana Menteri pada sidang media selepas mengadakan lawatan bertemu pengundi dan peniaga di Bandar Labis di sini.

Beliau yang juga timbalan pengerusi BN menegaskan isu tersebut dipanjangkan kerana terdapat perkara lain yang perlu diutamakan dalam kempen pilihan raya kecil itu.

"Ada perkara yang lebih pokok yang patut kita lakukan untuk menjelaskan isu, (mengenai) apa komitmen kita untuk membantu rakyat dan pengundi di sini," katanya.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Dalam satu temu bual bersama The Malaysian Insider kelmarin, Normala menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Beliau juga meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA sepatutnya sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari ketiga hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari.

Laporan The Malaysian Insider awal pagi ini, mengatakan Mufti Perak Tan Sri Harussani menyifatkan tindakan Dr Chua, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Justeru, Harussani menggesa Dr Chua supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

Hukuman gantung: Sathianathan serah FAM tentukan nasib

Posted: 24 Jan 2011 05:00 AM PST

KUALA LUMPUR, 24 Jan — Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan, masih menunggu sama ada Lembaga Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meneruskan hukuman menggantungnya selama enam bulan yang sepatutnya bermula hari ini sehingga Julai ini.

Pada masa yang sama beliau menyerahkan masa depannya kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan jika rayuan yang dikemukakan terhadap penggantungan itu ditolak oleh FAM.

"Jika benar FAM ingin terus mengambil tindakan, saya tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantu pasukan Kelantan di musim ini dan adalah lebih baik saya tidak berada dalam pasukan," katanya kepada Bernama.

Namun Sathianathan berkata beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan Kelantan FA terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

Pada Oktober tahun lepas, Sathianathan dikenakan tindakan gantung selama enam bulan kerana melemparkan kritikan terhadap FAM mengenai jadual perlawanan yang diatur oleh FAM.

Beliau kemudian membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM namun pihak FAM belum mengeluarkan sebarang keputusan rasmi berhubung kesalahan tersebut.

Beliau turut menolak khabar angin bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai jurulatih Kelantan berkuat kuasa serta merta selepas Jawatankuasa Rayuan FAM menolak rayuannya.

Kelantan yang merupakan juara Piala Malaysia musim lalu bakal bertemu Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih pada 29 Januari sebelum memulakan saingan Liga Malaysia. — Bernama

Usul Pindaan: 34 sokong, 20 tolak

Posted: 24 Jan 2011 04:45 AM PST

SHAH ALAM, 24 Jan - Usul pindaan perlembagaan negeri Selangor berhubung soal pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan awam negeri tidak dapat diluluskan ekoran ketiadaan sokongan dua pertiga Dewan Undangan Negeri.

Usul itu mendapat sokongan daripada 34 anggota dari Pakatan Rakyat manakala 20 wakil rakyat Barisan Nasional menolak.

Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri.

Dalam twitter Menteri Besar Selangor dalam reaksi ini berkata "Hasil undi: 34 sokong, 20 tolak. BN menolak pengembalian kuasa kpd DYMM Sultan & Kerajaan Negeri. Usaha tadbir negeri dgn baik diteruskan."

Ulamak Umno Pedagangkan Agama

Posted: 24 Jan 2011 04:30 AM PST

Umno yang memperdagangkan Islam dan memperkudakan mereka yang arif dalam agama untuk menghalalkan apa tindakan Umno. Ucapan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menuduh Pas memperdagangkan agama kerana Pas telah melanggar fatwa dengan mencalonkan wanita menjadi calon di pilihanraya kecil Tenang.. Nampaknya fikiran Menteri yang jaga urusan agama sama seperti Tun Dr Mahathir yang membangkitkan isu yang sama.Pas tidak hairanlah dengan Tun yang sudah berada di hujung senja, jika dibandingkan dengan Datuk Jamil Khir yang masih muda dan arif berkenaan agama. Mungkin beliau buat-buat lupa, kerana Pas pernah melantik Khatijah Sidik di Parlimen Dungun pada tahun 1959. Sila buka balik sejarah, baru boleh beri komen dan keluar hukum.

Kenyataan Presiden MCA Chua Soi Lek dan diikuti pula oleh Ketua Wanita Gerakan Datuk Seri Tan Lian Hoe yang memainkan isu Cikgu Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki adalah lambang orang agama dalam umno gagal menerapkan Islam dalam BN. Pas boleh maaf kepada dua tokoh daripada parti komponen BN yang tidak memahami situasi ini. Persoalannya apa yang tokoh-tokoh agama buat sepanjang 53 tahun berkawan dengan MCA dan Gerakan untuk menerangkan masalah hukum asas. Mungkin mulut orang agama dalam umno sudah penuh dengan sagon.Pas merasa bangga isu bersalam, dijawab oleh rakan-rakan DAP dan PKR yang bukan Islam.

Isu bersalam Lelaki Dan Wanita : Terima Kasih Datuk Seri Dr Chua Soi Lek

Posted: 24 Jan 2011 04:15 AM PST

Isu bersalam antara lelaki dan wanita dalam ajaran agama Islam menjadi isu dalam pilihanraya kecil Dun Tenang. Isu ini telah dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Isu ini adalah terlalu kecil dibandingkan dengan isu rasuah, salahguna kuasa dan pembaziran duit rakyat. Justru isu ini tidak menarik perhatian ramai sebelum ini. Kesannya adalah sangat sukar untuk menjelaskan isu ini kepada masyarakat bukan Islam kerana keterbatasan ruang dan masa. Dalam ajaran Islam lelaki tidak boleh bersentuhan dengan wanita yang bukan muhrim walaupun bersalam kecuali menggunakan alas seperti kain.

Bukan muhrim adalah mereka yang bukan saudara mara terdekat. Mereka yang boleh berkahwin di anggap bukan muhrim. Contoh muhrim adalah anak perempuan dengan bapa, abang dengan kakak, atuk dengan cucu perempuan dan lain-lain lagi. Mereka boleh bersentuhan secara yang munasabah. Sementara bukan mukrim adalah mereka yang tidak ada hubungan keluarga terdekat. Contohnya Cikgu Mala dengan Tok Ai di Tenang, Cikgu Mala dengan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Dato' Sri Mohd Najib dengan Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil atau Tan Sri Mahyuddin Yassin dengan Datin Sri Romah Mansur.

Islam membatasi perhubungan ini adalah bertujuan untuk menghormati mereka dan untuk mengelakkan fitnah. Tidak benar pandangan yang mengatakan bahawa Islam melarang bersalam kerana tangan orang bukan Islam kotor. Walaupun tidak dibenarkan bersentuhan antara lelaki dan wanita bukan muhrim tetapi mereka tidak dilarang mengadakan perbincangan dan dialog secara berkumpulan. Bagi perhubungan antara sesama wanita tiada larangan bersentuhan langsung. Bagi masyarakat bukan Islam yang memahami ajaran Islam sebenar, perkara ini tiada masalah. Tetapi bagi mereka yang belum lagi berkesempatan memahaminya menyebabkan kami rasa bersalah. Takut mereka berkecil hati. Bayangkan bagaimana perasaan seseorang rakan bukan Islam jika mereka menghulurkan tangan ditengah khayak ramai tiba-tiba kami menolak pelawaan mereka. Itulah delima yang kami hadapi selama ini.

Dalam pilihanraya kecil Tenang Presiden MCA telah membangkitkan isu kecil ini menjadi besar. Jawapan balas daripada PAS dan PR telah menyebabkan masyarakat bukan islam dapat memahaminya dengan baik. Kesannya adalah masyarakat bukan Islam semakin memahami ajaran agama Islam sebenar. Ini terbukti apabila Cikgu Mala dalam kempennya tidak menghadapi masalah dengan masyarakat lelaki bukan Islam semasa beliau berkempen di pasar Labis. Jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak membangkitkan isu ini saya yakin ramai masyarakat bukan islam tidak berpeluang memahami isu ini terutamanya di Labis. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana membangkitkan isu ini.

Walaubagaimana pun terdapat satu persoalan yang perlu dijawab oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Mengapakah beliau membangkitkan isu ini? Apakah kerana keuntungan politik atau kerana ketidak fahamannya terhadap ajaran Islam. Jika kerana keuntungan politik maka Datuk Seri Dr Chua Soi Lek adalah seorang pemimpin yang sanggup merendahkan agama Islam untuk kepentingan politik. Pemimpin seumpama ini boleh membawa malapetaka kepada kepada negara. Pemimpin seumpama ini wajib di tolak oleh semua masyarakat dalam negara. Sebaliknya jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melakukannya kerana ketidakfahamannya maka perlu di persalahkan kepada Dato Abdul Ghani Othman dan Tan Sri Mahyuddin Yassin. Mereka sudah lama berkawan di Johor tetapi tidak menyampaikan larangan-larangan dalam ajaran agama Islam ini. Mungkin mereka sukar memberi kefahaman kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana mereka berdua juga bersalam dengan bukan muhrim. Saya perhatikan YB Lim Kit Siang dan YB Boo Cheng How sudah memahami isu ini dengan baik, mungkin sejak DAP bersama dalam PR.

Jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih kurang memahami isu ini, Pemuda PAS Pusat sanggup memberi khidmat nasihat kepada beliau berkenaan ajaran agama Islam sebenar. Ini bagi membantu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menjadi pemimpin yang hebat, boleh diterima oleh semua kelompok masyarakat dalam negara ini.

Suhaizan Kaiat

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat.

Pelaburan: Respons Mukhriz tak masuk akal, kata Guan Eng

Posted: 24 Jan 2011 04:00 AM PST

GEORGE TOWN, 24 Jan — Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan sebagai "tidak masuk akal" kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bahawa 99 peratus pelaburan di negeri ini adalah atas usaha promosi kerajaan pusat.

Lim berkata adakah ini bermakna kalau Pulau Pinang tidak mendapat pelaburan, itu juga tanggungjawab kerajaan pusat.

"Kalau Mukhriz yang cakap begitu, beliau juga mesti bertanggungjawab kalau Pulau Pinang tidak berjaya (menarik pelaburan). Tak kan kalau berjaya beliau hendak dapat kredit dan kalau tidak berjaya itu salah orang lain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Masood Khalid, di sini hari ini.

Katanya enam bulan pertama tahun lepas, kerajaan negeri dikritik hebat oleh pihak pembangkang negeri iaitu dari Barisan Nasional (BN) kerana hanya mampu mencapai RM1.5 bilion pelaburan.

"Masa itu, kita dikritik hebat dan mengapa BN tidak keluar untuk mengaku itu salah mereka. Sekarang bila Pulau Pinang dapat mencapai jumlah pelaburan yang tertinggi tahun lepas, itu dia punya kredit dan itu dia punya kepandaian," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Mukhriz bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diteraju pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat-PAS tidak harus cepat "mengambil kredit" di atas usaha orang lain dalam mempromosikan negeri tersebut sebagai destinasi pelaburan.

Sebelum ini, Pulau Pinang berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 465 peratus pelaburan pada tahun 2010 berbanding dengan tahun 2009. — Bernama

Adun Pelabuhan Klang fail saman, namakan Speaker dan SPR defendan

Posted: 24 Jan 2011 03:30 AM PST

Oleh Debra Chong

SHAH ALAM, 24 Jan — Badrul Hisham Abdullah mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor memfailkan saman petang ini meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa beliau masih wakil rakyat yang bagi kawasan Pelabuhan Klang.

Peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili Badrul Hisham berkata wakil rakyat itu mahu Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kerusinya tidak kosong dan Speaker Datuk Teng Chang Khim bukan pihak berkuasa boleh mengisytiharkan kerusi tersebut kosong.

"Ia seperti kes Perak," kata beliau kepada pemberita di sini selepas memfailkan writ saman petang ini.

Kata beliau pihaknya juga menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan kedua.

"Sebab kami mahu menghalang SPR daripada mengisytiharkan kerusi itu kosong," Hafarizam.

Adun Sri Muda hantar surat mohon menghadap Sultan Selangor

Posted: 24 Jan 2011 03:00 AM PST

SHAH ALAM, 24 Jan — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Shuhaimi Shafiei mengesahkan telah menghantar surat memohon menghadap Sultan Selangor bagi memberi penjelasan dan memohon maaf berhubung kenyataannya menerusi satu laman blog.

Shuhaimi berkata surat berkenaan dihantar secara serah tangan oleh wakilnya kepada pihak istana pagi ini.

"Saya akan menunggu perkenan daripada pihak istana," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa sidang Dewan Undangan Negeri Selangor berhenti rehat di sini hari ini.

Shuhaimi pada 12 Januari lepas memberitahu media beliau dalam proses membuat draf surat untuk memohon menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan isu berhubung satu entri dalam blognya srimuda.blogspot.com yang didakwa menghina baginda.

Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan pada 4 Januari lepas, berkata sindiran Shuhaimi yang menyatakan baginda seolah-olah sebagai "beraja di mata, bersultan di hati" adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat.

Shuhaimi bagaimanapun menafikan kenyataannya itu bertujuan menghasut rakyat dan menghina sultan.

Entri kontroversi Shuhaimi itu adalah rentetan daripada rasa tidak puas hati kerajaan Selangor berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. — Bernama

Imam solat jenazah SU Umno Tenang nafi Utusan

Posted: 24 Jan 2011 02:30 AM PST

Khairil Abdul Rahim

LABIS, 24 Jan: Che Zuhar Che Haron, ahli PAS dari Pahang yang mengimamkan solat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Kolam Air Felda Tenang, menafikan sebuah berita daripada akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menggambarkan beliau seolah-olah 'merampas' untuk menjadi imam solat berkenaan.

Sebaliknya, beliau telah ditarik tangan oleh penduduk tempatan dan makmum Masjid An-Nur Felda Tenang itu, setelah jenazah yang sampai sejak jam 10.30 pagi sehingga jam 2 petang tidak disempurnakan kerana imam masjid berkenaan pergi ke padang menyambut Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apa yang saya lakukan hanyalah menyelesaikan hukum fardhu kifayah setelah sekian lama jenazah setiausaha Umno itu tidak disempurnakan, itupun setelah makmum dan bilal meminta saya berbuat demikian kerana imam sebenar masjid itu pergi ke padang," jelasnya yang kini masih berada di Labis mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat.

Akhbar pro-Umno itu hari ini di muka surat 5 di bawah tajuk 'PAS terbukti memfitnah PM', mengatakan Perdana Menteri itu dalam lawatannya ke Felda Tenang, 18 Januari lalu tidak diberitahu kematian Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd pada jam 2.30 pagi sebelum itu.

Akhbar tersebut memetik sumber daripada Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air Felda Tenang, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya.

Akhbar tersebut yang juga memetik edisi kedua Buletin Tenang, PAS menipu apabila mendakwa jentera parti itu yang menguruskan jenazah Allahyarham, sedangkan hakikatnya ia diuruskan sendiri oleh para penduduk kampung.

Akhbar berkenaan menyebut, beberapa wakil dan jentera Pas hanya muncul secara tiba-tiba di masjid berkenaan termasuk calon parti itu, Normala Sudirman untuk memberi penghormatan kepada jenazah Allahyarham.

Tambah akhbar itu, di dewan solat Masjid An-Nur Felda Tenang itu, salah seorang daripadanya yang memakai jaket Pas secara tidak semena-mena bangun dan mengimamkan solat jenazah ketika pengurusan masjid meminta waris Allahyarham menjadi imam kerana lebih afdal diimamkan oleh keluarga terdekat, atau menunggu kira-kira 15 minit untuk imam tiba.

"Pada hakikatnya Unit Amal PAS telah bertungkus-lumus membantu penduduk kampung menggali kubur. Kemudian jenazah Allahyarham telah dibawa ke masjid kira-kira jam 10 pagi. Makmum terus meninggu hingga ke waktu Solat Zohor, tetapi imam tidak ada kerana pergi ke padang menyambut Najib.

"Kemudian apabila sampai ke jam dua petang, seorang tua yang mewakili bilal masjid telah mengumumkan sesiapa yang layak diminta tampil mengimamkan solat jenazah kerana imam masjid pergi ke padang," katanya.

Menurut Che Zuhar, ketika itu makmum mula berbaris dalam saf dan beberapa orang penduduk kampung menarik tangannya ke depan untuk mengimamkan solat jenazah itu.

Beliau yang berkempen dalam PRK Tenang mewakili Dewan Ulamak, telah menyempurnakan tugas berkenaan sehinggalah jenazah dibawa ke kereta dan tanah perkuburan.

"Saya kecewa kenapa perkara ini dibangkitkan lagi walhal saya menyempurnakan fardhu kifayah setelah imam masjid meninggalkan tugas untuk meraikan Najib. Jenazah sudah selamat dikebumikan, kenapa mahu dipolitikkan lagi," soalnya.

Umno rosakkan demokrasi, Raja Berperlembagaan

Posted: 24 Jan 2011 02:00 AM PST

Harakahdaily

SHAH ALAM, 24 Jan: Persidangan Dun Selangor hari ini akan menulis semula sejarah berdasarkan fakta dan ilmu, kata Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali.

"Di mana anak bangsa kita khususnya rakyat Negeri Selangor akan diingatkan bahawa Umno yang merosakkan dan menjahanamkan institusi-institusi demokrasi termasuk sistem Raja Berperlembagaan dalam Negara Malaysia yang tercinta ini," ujarnya semasa membahas cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai tinggi kerajaan kepada sultan dan negeri.

Katanya, orang Melayu tidak mudah lupa dan rakyat Malaysia juga tidak mudah lupa tetapi yang mudah lupa hanyalah pemimpin-pemimpin Umno dan mereka ini sering menjadi mangsa propaganda yang mereka cipta untuk menipu rakyat.

Ini, tambahnya yang tertipu bukan rakyat tetapi mereka sendiri.

Justeru, beliau amat bimbang usaha-usaha Umno sekarang ini yang terdesak untuk menyemarakkan politik perkauman sempit yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

"Alhamdulillah, hari ini Dewan Negeri Selangor melakar sejarah apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 khususnya pada Perkara 52 (1) berkaitan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri," katanya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, usaha yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat adalah untuk mengembalikan prosedur untuk perlantikan itu seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri yang sama yang mana peruntukan itu telah dimansuhkan pada 1993 oleh makhluk perosak bernama Umno.

Menurutnya, usaha itu tidaklah mudah kerana pelbagai pihak yang menjadi alat dan perkakas Umno cuba memberikan penakrifan undang-undang mengikut selera dan nafsu serakah peimimpin Umno di Putrajaya bagi menghalang mesyuarat pada pagi ini.

Tambahnya, lihat sahaja kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar berhubung usaha Datuk Menteri Besar untuk kembali ke Dewan untuk memperbetulkan kerosakan sistem tatkala di tangan Umno.

Antara lain, ujarnya Noh Omar mendakwa Pakatan Rakyat sanggup melakukan apa sahaja yang bercanggah dengan undang-undang.

"Beliau juga membuat tuduhan jahat bahawa pindaan ini bermaksud untuk memberikan kuasa kepada Datuk Menteri Besar dan bukan memberikan kuasa kepada Tuanku Sultan," ujarnya.

Kenyataan itu, tambahnya timbul dari seorang watak yang buta sejarah dan jumud pemikirannya.

Ini mengingatkan beliau kepada puisi seorang budayawan Indonesia bernama Ehma Ainul yang berkata: Nasib malang golongan yang bernama rakyat, rakyat yang terlalu lama diperbodohkan tidak tahu apa itu kebodohan.

Di Selangor, katanya rakyat makin cerdas dan mendapat pencerahan.

Ahli Parlimen Gombak itu menambah, golongan rakyat yang terlalu lama diperbodohkan adalah orang Umno sendiri sehingga tidak tahu mereka diperbodohkan, mereka tidak tahu apa itu kebodohan.

Katanya, Umno mencuba untuk memperbodohkan rakyat dengan menggunakan media arus perdana milik mereka sendiri tetapi rakyat dibebaskan dengan pengembangan internet dan media baru.

Tambahnya lagi, pemimpin Umno yang tidak menurut arus perkembangan teknologi ini, diperbodohkan akibat terlalu lama hidup dalam kepompong mereka sendiri.

"Kita, rakyat Selangor bersyukur kerana Allah SWT telah mengurniakan seorang Raja yang berilmu, kompeten, bijaksana, adil dan menaungi rakyat Selangor.

"Saya sedia maklum bahawa Tuanku Sultan adalah seorang Raja yang mencintai buku. Kegemaran ini adalah cerminan kepada kecintaan Baginda terhadap tradisi ilmu dan budaya intelektual," katanya.

Budaya itulah, katanya yang akan membawa Negeri Selangor lebih yakin untuk mendepani cabaran abad ke-21.

Menurutnya, rakyat Negeri Selangor tidak akan dapat melupakan perkenan Tuanku untuk menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat pagi ini selaras dengan kuasa dan tanggungjawab Tuanku yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Tambahnya, mesyuarat pagi ini juga penting untuk anak bangsa memahami sejarah.

Beliau berkata, sejarah tidak boleh dipadamkan walaupun Umno sering menggunakan 'profesor kangkung' untuk memutarbelitkan sejarah.

Tolak Usul: Hujah Ketua Pembangkang dangkal

Posted: 24 Jan 2011 01:30 AM PST

SHAH ALAM, 24 Jan – Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Satim Diman hari ini, berhujah dangkal apabila menolak usul Pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya Perkara 52(1) untuk mengembalikan kuasa melantik pegawai kanan kerajaan negeri.

Satim Diman dalam ucapannya pada sidang DNS hari ini menegaskan, beliau dan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Barisan Nasional (BN) serta Adun Bebas tidak akan menyokong usaha kerajaan negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri seperti yang di bentangkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Kedangkalan Ketua Pembangkang tersebut tampak jelas dalam ucapannya dengan memberi alasan penolakan Rang Undang-undang tersebut kerana berpendapat pindaan tersebut bertentangan dengan Pelembagaan Persekutuan.

Satim juga dilihat melabel kerajaan negeri 'syok sendiri' selain mengutuk kerajaan negeri bawah pimpinan Pakatan Rakyat (Pakatan) bermotifkan politik serta bersikap hipokrit.

Antara alasan yang dikemukan oleh Satim ialah BN terdahulu tidak pernah mengenepikan dan membelakangkan DYMM Sultan Selangor sejak pindaan dibuat sejak 1993.

Satim mula membahaskan usul tersebut selepas selesai ucapan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dewan mula bersidang jam 10 pagi. Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah – yang kerusinya diisytihar kosong oleh speaker – duduk di bilik yang dikhaskan kepada petugas media, tingkat atas di dalam dewan.

Setiausaha dewan membacakan ucapan diraja bagi pihak Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam ucapannya, Sultan bertitah supaya Adun membahaskan cadangan pindaan itu dengan sebaik-baiknya tanpa beranggapan pekenan yang diberikan baginda sebagai menyokong mana-mana pihak dalam dewan.

Baginda juga memberitahu Adun supaya tidak menariknya sama dalam politik. Istana sentiasa tidak mencampuri urusan politik, titahnya lagi.

Ucapan Khas Buat “Sang Raja Kg. Baru

Posted: 24 Jan 2011 01:00 AM PST

Dari Blog Dr.LO'LO'

Ucapan ini ditujukan khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Dato' Raja Nong Chik Bin Dato' Raja Zainal Abidin kerana akan ditabalkan menjadi "RAJA KAMPONG BHARU" pada Mac 2011 nanti.

Untuk menjadi "RAJA KAMPONG BHARU" tidak susah, hanya perlu bentangkan dan luluskan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 (RUU PPKB 2010) sahaja. Justeru Dato' Raja Nong Chik pada 17 Disember 2010 yang lalu telah membentangkan untuk bacaan kali pertama RUU tersebut di Dewan Rakyat. Dalam kegawatan Negara dan pimpinan Melayu menghebohkan Ketuanan Melayu dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu maka tindakan ini harus dipuji kerana akan menambah seorang lagi Raja Melayu khas bagi penduduk Kampong Bharu. TAHNIAH sekali lagi.

RUU PPKB 2010 dibentangkan bertujuan untuk menubuhkan suatu Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dengan tanggungjawab untuk melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubung dengan pembangunan dalam kawasan pembangunan Kampong Bharu, untuk menggalakkan, merangsang, meningkatkan, memudahkan dan menyelaraskan pembangunan dalam kawasan Kampong Bharu dan untuk mengadakan peruntukkan peruntukkan yang berkaitan dengannya.

Tujuan utama RUU PPKB 2010 ini adalah untuk menubuhkan suatu
Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) yang mana fungsi dan
kuasanya ini dinyatakan dengan jelas di dalam Bahagian III RUU ini.

Mengikut Fasal 5, Perbadanan akan dianggotai oleh tidak lebih dari
enam belas (16) orang ahli yang terdiri daripada :

a)Seorang Pengerusi yang dilantik oleh Menteri tertakluk kepada kelulusan Perdana Menteri;

b)Tidak lebih empat (4) orang wakil Kerajaan Persekutuan yang
dilantik oleh Menteri;

c)Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar;

d)Datuk Bandar Kuala Lumpur atau wakilnya;

e)Seorang wakil Kerajaan Negeri Selangor yang dinamakan oleh Raja
Negeri Selangor dan hendaklah dilantik oleh Menteri;

f)Dua (2) orang daripada tuan tanah Kampong Bharu yang dilantik oleh
Menteri; dan

g)tidak lebih enam (6) orang anggota lain yang dilantik oleh Menteri.

Fasal 17 dengan jelas menyatakan bahawa Perbadanan adalah
bertanggungjawab kepada Menteri dan Menteri juga boleh memberikan
arahan kepada Perbadanan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Selain Perbadanan, terdapat suatu Majlis Penasihat diwujudkan melalui
Fasal 19 (1) bagi maksud menasihati Perbadanan. Fasal 20 seterusnya
memperuntukkan keanggotaan Majlis Penasihat yang mestilah terdiri
daripada :

a)Pengerusi; dan

b)Tidak lebih lima belas (15) orang wakil masyarakat Kampong Bharu
yang semuanya dilantik oleh Menteri.

Majlis Penasihat ini bagaimana pun tidak lebih daripada "Majlis Mesyuarat Tingkap" dalam filem Tan Sri P. Ramlee kerana nasihat Majlis
ini tidak mengikat Perbadanan seperti yang dinyatakan di dalam Fasal
19 (3). Apa guna mengadakan suatu Majlis penasihat jika nasihat mereka tidak mengikat dan boleh dibakulsampahkan? Apa rasionalnya Majlis Penasihat ini?

Berdasarkan penubuhan dan keanggotaan Perbadanan serta Majlis
Penasihat ini, maka jelas dilihat bahawa kuasa penuh RUU ini adalah
terletak di tangan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan
Bandar iaitu Dato' Raja Nong Chik. Beliau berkuasa melantik ahli
Perbadanan dan memberi arahan kepada Perbadanan. Beliau jugalah
berkuasa melantik ahli Majlis Penasihat. Dato' Raja Nong Chik inilah
"Raja Kampong Bharu" yang akan ditabalkan jika RUU PPKB 2010 ini
diluluskan nanti. TAHNIAH sekali lagi kepada Dato' Raja Nong Chik
kerana akan menjadi "RAJA KAMPONG BHARU" dan juga Tahniah kepada
penduduk serta pemilik tanah Kampong Bharu kerana akan mendapat
seorang "RAJA" baru.

Dengan penabalan "RAJA" baru ini maka kedudukan tanah Kampong Bharu diambang bahaya. Ia terdedah kepada pemilikan orang-orang dan syarikat- syarikat konglomerat yang kaya-raya dan beduit. Hak dan keistimewaan pemilik tanah Kampong Bharu yang dijamin melalui Malay Agricultural Settlement Rules 1950 [Selangor G.N. 50/51 & Selangor G.N. 66/51 dan Selangor G.N. 480/54 akan terhapus. Perlu diingat dan diambil
perhatian bahawa tanah Kampong Bharu telah diwujudkan sejak tahun 1899 atas desakan penduduk Melayu di Kuala Lumpur ke atas pihak pentadbir British ketika itu. Ekoran desakan tersebut, Residen Brittish Selangor telah bersetuju untuk menubuhkan perkampungan Melayu di Kuala Lumpur merangkumi seluas 223 ekar tanah di antara Sungai Klang dan juga Jalan Batu (Batu Road). Antara tujuan Jeneral Residen Brittish mewujudkan perkampungan tersebut adalah untuk melibatkan dan mendidik anak-anak bangsa Melayu :-

a)Untuk mengambil bahagian dalam pentadbiran Kerajaan Residen British;

b)Untuk membolehkan orang-orang Melayu mengambil peluang dalam pembangunan dan kemajuan Kuala lumpur.

Justeru pemilik dan penduduk Kampong Bharu pada tahun ini 2011 telah
merayakan sambutan 111 tahun penubuhannya. Ironinya Kementerian
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar membentangkan RUU PPKB 2010 di Parlimen dengan hasrat membatalkan dan menghapuskan status Kampong Bharu yang unik ini. Fasal 57 (1) menyebut bahawa Malay Agricultural Settlement Rules 1950 adalah dibatalkan manakala Fasal 57 (2) pula memansuhkan Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu yang ditubuhkan di bawah Malay Agricultural Settlement Rules 1950 tersebut. Dengan pembatalan dan pembubaran ini, status tanah Kampong Bharu adalah sama seperti tanah-tanah lain yang akan terdedah kepada pemilikan pihak-pihak lain sedangkan tujuan utama penubuhan Kampong Bharu adalah khas semata-mata untuk orang Melayu di Kuala Lumpur.

Lebih baik Penjajah British yang menjamin hak Ketuanan Melayu daripada
Kerajaan Ketuanan Melayu yang akan menghapuskan hak bangsa sendiri
atas nama kemajuan dan pembangunan.

Fasal 51 RUU PPKB 2010 seterusnya menyatakan bahawa tiada apa-apa
tindakan guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh diambil atau
dibawa, dimulakan atau dibuat ke atas Perbadanan atau anggota
Perbadanan, atau anggota jawatankuasa, atau mana-mana pekerja atau ejen Perbadanan di dalam mana-mana mahkamah. Ini adalah kekebalan Perbadanan daripada undang-undang. Peruntukkan ini sekali lagi menunjukkan bahawa RAJA KAMPONG BHARU dan Perbadanan adalah kebal melebihi kekebalan Raja-Raja Melayu yang ada. Hidup Raja Kampong Bharu.

Akhirnya kepada pemilik tanah Kampong Bharu, ingatan ini kepada anda
semua. Adakah ini yang anda mahukan? Adakah ini yang diperjuangkan
selama ini untuk pembangunan? Tepuk dada tanya selera. Tiada sesiapa
boleh mempertahankan hak anda melainkan anda sendiri.

Zulhazmi Shariff

Perjuangan memanjang berzaman-zaman

Posted: 24 Jan 2011 12:30 AM PST

Oleh Abu Firdaus

Usia manusia hanya sekitar 70 hingga 80-an. Apakah yang boleh dicapai untuk perjuangan dalam jangka umur sedemikian? Memenangi pilihan raya dan menubuhkan kerajaan Islam, dan negara Islam? Bayangkan selepas menang pilihan raya, kalah balik. Ataupun apabila dapat menubuhkan kerajaan, tidak pula dapat mewujudkan kerajaan Islam. Apatah lagi dengan negara Islam. Untuk berbincang dan membahaskannya juga makan bertahun-tahun dan masih tidak berkesudahan.


Ataupun memang perjuangan adalah seperti ini, senyiasa berterusan dan tidak boleh ada detik yang disebut sebagai kemenangan mutlak. Yang ada hanyalah kemenangan bertahap atau sementara. Sedangkan kemenangan sebenarnya adalah pahala dan syurga yang diraih oleh seorang Muslimin

Kalau melihat sejarah perjuangan Islam pun, begitulah jadinya. Kalah dan menang. Kemudian kalah kembali. Ketika menang tetapi tidak dapat juga menerapkan pelaksanaan Islam. Atau penerapannya adalah tidak dapat sepenuhnya. Seperti menarik kain singkat. Diperbaiki terhadap sesuatu keadaan, tetapi terjejas pula terhadap keadaan lain.

Sebagai contoh, setelah Rasulullah SAW dapat mewujudkan kerajaan dan negara Islam di seluruh Hejaz dan kemudian dipermantapkan lagi oleh Khulafaurasyidin tetapi detik-detik perpecahan dan masalah umat Islam tersemai sejak dari awal lagi. Walaupun kemudiannya negara Islam menjadi sebuah empayar di bawah Khilafah Umayah, tetapi perpecahan yang melahirkan Sunnah wal Jamaah dan Syiah terus berlaku sehingga hari ini. Adakah ini kemenangan dalam kekalahan? Atau kekalahan dalam kemenangan?

Baru-baru ini Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan beberapa orang Melayu Syiah. Lihatlah betapa jauhnya kesan daripada sdesuatu yang berlaku dalam sejarah silam. Tangkapan itu pula berlaku dalam kwasan pilihan raya Gombak Setia yang melalui pilihan raya telah memilih PAS. Ia juga berlaku dalam negeri yang turut dimenangi oleh PAS bersama parti-parti sekutunya.

Sejak tahun 2008, PAS sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat mentadbir Selangor. Walaupun ia mentadbir Selangor sebagai komponen ketiga setelah Parti Keadilan Rakyat dan DAP tetapi Selangor boleh dianggap sebagai negeri PAS seperti mana juga Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Maknanya negeri-negeri ini boleh dianggap negeri Islam dengan adanya kerajaan Islam kerana kuasa yang ada PAS. Sama ada PAS dapat melaknsakan polisi parti atau tidak adalah soal lain. Itu melibatkan kebijaksanaan berpolitik – siasah syariah. Tetapi dari segi prinsip-prinsipnya itulah yang sebenarnya berlaku.

Dalam perjuangan politik Islam zaman ini, parti menjadi wadah bagi perjuangan. Di Malaysia, sesiapa yang mempercayai fahaman politik Islam, atau ideologi Islam, maka sokongan mereka mesti kepada PAS. Kemudian terpulang kepada pucuk pimpinan untuk membawa ke mana hala tuju parti, tentunya dengan dokongan dan syura daripada ahli.

Sebab itu dalam parti, perbahasan dan pertukaran pendapat yang sihat perlu ada tetapi akhirnya tetap bersatu apabila keputusan telah dibuat. Sejak tahun 2008, apa yang berlaku pada Keadilan dan DAP harus menjadi contoh besar bagi PAS. Biarlah PAS menjadi tonggak kepada Pakatan Rakyat.

Dengan terus adanya PAS dalam Pakatan, maka gabungan parti ini walaupun ia tidak diketuai oleh PAS tetapi kehadiran parti Islam menjadikan pakatan ini sebuah gabungan organisasi Islami. Inilah yang banyak orang tiodak faham terutamanya kalangan Umno. Mereka sering menyebut mengapa kalau PAS buat sesuatu dianggap betul, tetapi kalau Umno melakukan perkara yang sama, ia pula dianggap tidak betul.

Itu perbezaanya antara Umno dan PAS. Walaupun kedua-duanya hanya parti politik, dan begitulah anggapan orang Umno terhadap partinya dan PAS, tetapi hakikatnya PAS berbeza. Ini kerana PAS berpegang kepada Islam. Apa saja keputusan yang dibuat PAS adalah hasil daripada syura para pemimpin menurut kefahaman mengenai agama, yang merupakan suatu perjuangan panjang berzaman-zaman.

Andai kata dahulu, biro agama Umno tidak keluar dari parti itu, maka Umno bolehlah dianggap sebuah parti Islam. Tetapi kesepakatan ulama Umno untuk keluar parti menyebabkan Umno tidak lagi mewakili aspirasi perjuangan Islam. Walaupun asasnya biro agama Umno bertindak demikian kerana menyokong kepimpinan Datuk Onn Jaafar.

Lihatlah ketika itu bagaimana ulama Umno menyokong polisi Datuk Onn supaya parti itu dibuka kepada orang bukan Melayu. Setelah mereka keluar Umno, maka perjuangan Islam dilanjutkan melalui PAS. Justeru sokongan mereka yang mendokong perjuangan Islam harus diberikan kepada PAS.

Sebelum PAS ditubuhkan, panji-panji perjuangan Islam dibawa oleh Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Gunung Semanggol. Ironinya mereka inilah yang dibimbangi oleh Datuk Onn ketika memimpin Umno dahulu: Berwasapadalah kepada orang dari gunung. Beliau merujuk kepada Hizbul Muslimin.

Hizbul Muslimin bergabung di dalam Pusat Tenaga Rakyat (Putera) di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al-Hilmy. Maka sewajarnya para pendokong perjuangan Islam pada zaman itu wajar memberikan sokongan kepada Hizbul Muslimin dan Putera. Tetapi kemudian apabila Hizbul Muslimin terbubar kerana pemimpin-pemimpinnya ditahan, wadah yang perlu dibeeri sokongan oleh pendokong Islam pada waktu itu adalah Umno. Ini kerana adanya biro agama dalam Umno, yang terdiri daripada para ulama.

Tetapi apabila PAS ditubuhkan dan kemudian dipimpin oleh Dr Burhanuddin, maka sokongan wajar diberikan kepada mereka pula. Apabila para pemimpin membuat keputusan untuk menyertai Barisan Nasional, maka wajarlah juga para pendokong perjuangan Islam memberikan gabungan parti pimpinan Tun Razak itu.

Setelah PAS dikeluarkan oleh Barisan Nasional di bawah kepimpinan Hussein Onn, para pendokong perjuangan Islam mesti tinggalkan Barisan dan tetap bersama PAS. Sikap inilah yang dilihat sebagai istiqamah kepada perjuangan Islam melalui parti politik. Ia bukan fanatik atau taksub tetapi kesedaran mengenai fahaman perjuangan Islam yang dipimpin di bawah kepimpinan ulama.

Umno- Pembersihan Melibatkan Najib ?

Posted: 24 Jan 2011 12:00 AM PST

Buatlah apa sahaja perubahan polisi dan lakukan apa sahaja untuk rakyat, selagi diri berbau dan tidak nampak bersih semua itu dikatakan muslihat politik. UMNO dalam delima sekarang ini. Banyak isu yang tidak dapat diselesaikan dan menambah burukkan keadaan dan reputasi UMNO. UMNO perlu diselamatkan demi untuk orang Melayu tetapi kalau orang Melayu sendiri khususnya ahli UMNO tidak mahu menyelamatkan diri maka UMNO akan tersungkur, ditalkinkan dan Melayu akan jadi hamba di negara sendiri.

Najib sendiri hari ini menjadi di lantik menjadi Perdana Menteri yang mempunyai banyak misteri. Dari Altantuya hinggalah kepada kes Rosmah dan akhirnya jet pejuang yang hilang yang mana Najib sewaktu itu Menteri Pertahanan. Najib sekarang sudah tersepit. Nama sudah tidak lagi bersih dan mungkin tidak lama lagi menjadi liabiliti kepada UMNO. UMNO tidak nampak bersih, nampak menipu dan mempergunakan kuasa untuk kepentingan diri, habis macam mana nak dekati rakyat. Najib sendiri sekarang ini dinampakkan bermasalah dan kalau beliau buat kerja untuk rakyat pun ia akan tetapi dikatakan muslihat politik. Begitulah buruknya UMNO. Begitulah hakikatnya UMNO.

Patutkan kita biarkan perkara itu – sebab individu menjadikan UMNO hancur lebur, berkecai seperti mana Altantuya di bom. Macam mana nak percaya sekiranya kes-kes besar tidak dapat diselesaikan. Kita baca www.themalaysianinsider.com – mereka tulis kekecewaan besar abad ini ialah Pak Lah jadi Perdana Menteri dan yang memalukan untuk abad ini adalah perebutan Perak – menunjukkan UMNO terdesak. Semua ini mempengaruhi rakyat. Namun banyak lagi yang boleh dilabel – memalukan tahun ini – isu kematian Teoh Beng Hock, memalukan tahun ini – pengakuan Balasubramaniam dengan pendedahan penglibatan adik Najib untuk merasuah beliau menutup kes penglibatan Najib dengan Altantuya, memalukan tahun ini adalah kehilangan enjin jet pejuang. Semua ini memalukan dan nama Najib hadir dalam semua kes kecuali kes Teoh Beng Hock.


UMNO nak cakap apa lagi. UMNO kena mula duduk berbincang sesama di peringkat bahagian – kaji semula bukan duduk fikir bagaimana nak tendang orang itu dan ini untuk cari jawatan. UMNO perlu cari jalan bagaimana nak berdepan dengan rakyat dan menguatkan diri dengan perubahan kritikal bukan kosmetik. UMNO perlu sedar bahawa kehadiran mereka penting tetapi kalau segelintir kepimpinan gagal tetapi tidak ada tindakan ke atas mereka maka UMNO turut akan gagal.


Kalau itu berlaku – kalau UMNO terus di cemuh maka UMNO akan PASTI HILANG dalam PRU 13 nanti.


Sumber : Selamatkanumno.blogspot.com/

Tiada ulasan: