DUNIACACAMARBA |
- Hari Ini Dalam Sejarah: PENDERHAKA Enggan Sokong Kembalikan Kuasa Sultan
- Tidak Ada Tajuk Lainkah?
- [Sidang Tergempar DUN Selangor] Teks Ucapan Penuh Azmin Ali
- [Video] Ngeri: Lelaki Kena Kejutan Elektrik
- [Sidang Tergempar DUN Selangor] MB Gila Kuasa? Baca Teks Ucapan Penuh MB Selangor
- [Live-Sidang DUN Selangor] INTI PATI Ucapan/Hujah MB Selangor
- Malaon Ini TIDAK BOLEH MASUK DUN Selangor!
- [Edisi 24/1] Top 200 Blog Terpilih Malaysia: DUNIACACAMARBA Mengatasi Blog Najib Tun Razak
- [Gambar] Lihat Wajah "Guru Buas" Ini! Dia Merogol Murid 12 Tahun!
| Hari Ini Dalam Sejarah: PENDERHAKA Enggan Sokong Kembalikan Kuasa Sultan Posted: 24 Jan 2011 06:10 AM PST Banyak orang sudah menjangka bahawa puak talam dua muka, hipokrit ini akan menggunakan apa-apa sahaja bagi memastikan hajat mereka tercapai walaupun terpaksa menderhaka kepada Sultan. Buktinya, selepas pengundian dijalankan, hanya 34 ADUN mengundi bersetuju dengan pindaan itu manakala 20 (PENDERHAKA) lagi mengundi menentangnya. Kerajaan Selangor memerlukan 38 undi (sokongan 2/3) bagi membolehkan pindaan undang-undang itu diluluskan. BN yang mempunyai 21 kerusi sepakat menolak cadangan Menteri Besar untuk meminda Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Selangor seperti sebelum Pindaan 1993 yang dibuat oleh UMCO. Ringkasnya, malas mahu mengulas, sahlah 20 orang ADUN (tolak satu bekas ADUN katak) akan tercatat dalam sejarah Selangor sebagai PENDERHAKA terhadap Sultan Selangor. P/s: Moga-moga kali ini "Melayu" tidak mudah lupa! Bagi yang "blur" sila khatam kandungan ucapan MB Selangor tentang hal ini. Anda akan faham mengapa mereka dan parti mereka layak digelar PENDERHAKA. | ||
| Posted: 24 Jan 2011 04:00 AM PST Saya sengaja tampal "screenshot" berita fasal perkahwinan antara artis dengan pemain bola sepak di atas. Tiada niat mahu menyiarkan perihal perkahwinan mereka. Saya cuma tertarik dengan tajuk berita tersebut. Adakah wartawan yang melaporkan cerita ini sudah kekurangan idea? Hahaha P/s: Semoga berbahagia ke anak cucu. * Jurublog: Anda berminat dengan artikel ini? Ambillah, tampallah, namun berilah kredit kepada blog ini. Terima kasih. | ||
| [Sidang Tergempar DUN Selangor] Teks Ucapan Penuh Azmin Ali Posted: 24 Jan 2011 01:00 AM PST * Kongsikan di Facebook anda. Sebar luaskan teks ucapan ini! 1. Saya ingin menyertai perbahasan Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibentangkan oleh YAB Dato' Menteri Besar sebentar tadi. 2. Rang Undang-Undang ini adalah amat penting untuk: i. Memperjelaskan sistem pemerintahan di negara ini yang berpaksikan sistem Demokrasi Berparlimen (Parliamentary Democracy) dan Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy); ii. Mengembalikan kuasa Pemerintah dan Menteri Besar dalam perlantikan di bawah Perkara 52 di dalam Bab 3 untuk menjamin wujudnya proses timbang tara (check and balance) dan kemurniaan peranan di antara institusi Raja dan Ketua Kerajaan Negeri yang dipilih oleh rakyat; iii. Menyuntik kekuatan baru kepada sistem Persekutuan atau Federalisme; iv. Menjamin keberkesanan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang dipilih oleh rakyat. 3. Alhamdulillah, hari ini Dewan Negeri Selangor melakar sejarah apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 khususnya pada Perkara 52 (1) berkaitan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Usaha yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat adalah untuk mengembalikan prosedur untuk perlantikan ini seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri yang sama yang mana peruntukan ini telah dimansuhkan dalam tahun 1993 oleh makhluk perosak bernama UMNO. 4. Usaha ini tidaklah mudah. Pelbagai pihak yang menjadi alat dan perkakas UMNO cuba memberikan penakrifan undang-undang mengikut selera dan nafsu serakah peimimpin UMNO di Putrajaya bagi menghalang mesyuarat pada pagi ini. 5. Lihat sahaja kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar berhubung usaha YAB Dato' Menteri Besar untuk kembali ke Dewan yang mulia ini untuk memperbetulkan kerosakan sistem tatkala di tangan UMNO. 6. Antara lain, Noh Omar mendakwa Pakatan Rakyat sanggup melakukan apa sahaja yang bercanggah dengan undang-undang. Beliau juga membuat tuduhan jahat bahawa pindaan ini bermaksud untuk memberikan kuasa kepada YAB Dato' Menteri Besar dan bukan memberikan kuasa kepada Tuanku Sultan. 7. Kenyataan ini timbul dari seorang watak yang buta sejarah dan jumud pemikirannya. Ini mengingatkan saya kepada puisi seorang budayawan Indonesia bernama Ehma Ainul yang berkata, "Nasib malang golongan yang bernama rakyat. Rakyat yang terlalu lama diperbodohkan tidak tahu apa itu kebodohan." 8. Di Selangor, rakyat makin cerdas dan mendapat pencerahan. Golongan rakyat yang terlalu lama diperbodohkan adalah orang UMNO sendiri sehingga tidak tahu mereka diperbodohkan, mereka tidak tahu apa itu kebodohan. 9. UMNO mencuba untuk memperbodohkan rakyat dengan menggunakan media arus perdana milik mereka sendiri. Tetapi rakyat dibebaskan dengan pengembangan internet dan media baru. Pemimpin UMNO yang tidak menurut arus perkembangan teknologi ini, diperbodohkan akibat terlalu lama hidup dalam kepompong mereka sendiri. 10. Kita, rakyat Selangor bersyukur kerana Allah SWT telah mengurniakan seorang Raja yang berilmu, kompeten, bijaksana, adil dan menaungi rakyat Selangor. Saya sedia maklum bahawa Tuanku Sultan adalah seorang Raja yang mencintai buku. Kegemaran ini adalah cerminan kepada kecintaan Baginda terhadap tradisi ilmu dan budaya intelektual. Budaya inilah yang akan membawa Negeri Selangor lebih yakin untuk mendepani cabaran abad ke-21. Rakyat Negeri Selangor tidak akan dapat melupakan perkenan Tuanku untuk menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat pagi ini selaras dengan kuasa dan tanggungjawab Tuanku yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. 11. Mesyuarat pagi ini juga penting untuk anak bangsa memahami sejarah. Sejarah tidak boleh dipadamkan walaupun UMNO sering menggunakan 'profesor kangkung' seperti Ramlah Adam untuk memutarbelitkan sejarah. Mesyuarat hari ini akan menulis semula sejarah berdasarkan fakta dan ilmu di mana anak bangsa kita khususnya rakyat Negeri Selangor akan diingatkan bahawa UMNO yang merosakkan dan menjahanamkan institusi-institusi demokrasi termasuk sistem Raja Berperlembagaan dalam Negara Malaysia yang tercinta ini. 12. Orang Melayu tidak mudah lupa. Rakyat Malaysia juga tidak mudah lupa. Yang mudah lupa hanyalah pemimpin-pemimpin UMNO dan mereka ini sering menjadi mangsa propaganda yang mereka cipta untuk menipu rakyat. Tetapi yang tertipu bukan rakyat tetapi mereka sendiri. 13. Saya amat bimbang usaha-usaha UMNO sekarang ini yang terdesak untuk menyemarakkan politik perkauman sempit yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini. 14. Di akhir mesyuarat pada hari ini, saya yakin rakyat akan dapat menjawab persoalan yang dilontarkan oleh YAB Dato' Menteri Besar dalam pembentangan pagi ini yang berbunyi, "Derhakakah kami jika kami mahu mengembalikan kedaulatan negeri dan Baginda Sultan yang memerintah negeri yang berdaulat ini?" I. SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN DAN RAJA BERPERLEMBAGAAN 15. Kerajaan Negeri Selangor hari ini adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kerajaan yang mendapat mandat dan amanah dari rakyat melalui proses demokrasi. Pada 8 Mac 2008 majoriti rakyat Negeri Selangor menolak parti UMNO dan Barisan Nasional yang bergelumang dengan rasuah, salah guna kuasa dan keangkuhan pemimpin. 16. Inilah demokrasi dari pandangan Dr. Yusuf Qaradhawi, seorang tokoh ulama' yang tersohor. Dr. Yusuf Qaradhawi telah mengupas persoalan intipati demokrasi (essence of democracy) dalam bukunya berjudul Fatawa Muafirah (Contemporary Fatwa). Menurut Dr. Yusuf Qaradhawi, demokrasi adalah hak rakyat untuk memilih siapa yang harus memerintah dan mentadbirkan urusan mereka. Demokrasi juga bermakna hak rakyat untuk menolak pemerintah yang mereka tidak suka atau menolak aturan dan sistem yang mereka tidak suka. 17. Demokrasi juga membawa maksud hak rakyat untuk menilai dan melakukan muhasabah apabila seseorang pemimpin itu bersalah dan hak rakyat untuk menurunkan pemerintahan apabila pemimpin menyimpang dari prinsip. Tegas Dr Yusuf Qaradhawi, "Kalau itulah intipati demokrasi, dimanakah konflik dengan ajaran Islam?". Dr Yusuf Qaradhawi juga membuat kiasan bersandarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa, "Seseorang Imam yang mengimami satu kelompok yang diketahui olehnya tidak disukai oleh makmum tetapi masih berdegil untuk menjadi Imam, maka, pahala solatnya tidak terangkat walaupun seinci daripada kepalanya." 18. Apa yang cuba disampaikan ialah dalam solatpun, makmum boleh menolak seseorang Imam yang tidak disukainya apatah lagi dalam persoalan politik, pentadbiran dan pengurusan ekonomi. Demokrasi akan hanya bermakna sekiranya ada pendewasaan pemikiran rakyat dan pencerahan. 19. Prinsip Raja Berperlembagaan pula adalah penerimaan kepada nilai-nilai Syariat yang mana terkandung di dalamnya prinsip-prinsip keadilan iaitu memberikan hak kepada yang berhak. Maka, sewajarnya hak rakyat Selangor dipertahankan untuk ditadbir oleh kerajaan yang dipilih melalui sistem demokrasi ini. 20. Tanggungjawab Menteri Besar sebagai Ketua Kerajaan Negeri adalah amat penting dalam sistem demokrasi. 21. Justeru itu Pakatan Rakyat Negeri Selangor mengemukakan seorang tokoh yang berwibawa, berpengalaman dan prihatin terhadap rakyat sebagai Ketua Kerajaan Negeri untuk merencana dasar-dasar kepedulian rakyat. 22. UMNO tidak senang dengan prestasi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berjaya membangunkan negeri dan merakyatkan ekonomi melalui tatakelola yang baik (good governance). Justeru itu, rakyat menyaksikan gelagat UMNO melalui siri-siri tindakan yang tidak demokratik untuk sabotaj sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Ini termasuk memperalatkan institusi-institusi kerajaan seperti SPRM, PDRM dan Mahkamah bagi menggagalkan sistem perkhidmatan dan pentadbiran Kerajaan Negeri. 23. Sehinggakan lembu korban yang disumbang kepada masjid-masjid dan surau-surau di Negeri Selangor menjelang Eidul Adha dijadikan helah untuk menyiasat dan menekan pentadbiran YAB Dato' Menteri Besar. Hasrat mereka adalah sekiranya Dato' Menteri Besar atau Exco Kerajaan Negeri atau mana-mana Ahli Dewan Negeri Selangor dari Pakatan Rakyat dapat didakwa dengan pelbagai tuduhan ciptaan UMNO ianya akan memberikan peluang bagi UMNO untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat ini. 24. Konspirasi jahat ini tidak terhenti di situ, hari ini UMNO menggunakan jentera pentadbiran pusat untuk mensabotaj pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Putrajaya ingin menganggu kelicinan dan kecekapan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program-program rakyat yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri. 25. Insya Allah, cabaran terbaru ini akan kami tangani dengan sebaiknya dan bijaksana demi menjamin akar jentera pentadbiran negeri tidak terjejas dan segala program kebajikan dan kepentingan rakyat akan terus terpelihara. Kerajaan Selangor adalah kerajaan yang pro-demokrasi; dan demokrasi adalah jelmaan dari kedaulatan rakyat. Menggugat Kerajaan Negeri Selangor sekarang adalah menggugat demokrasi dan tidak menghormati hasrat rakyat. Mempertahankan Kerajaan Negeri Selangor yang dipilih oleh rakyat adalah mempertahankan dan memperkasakan demokrasi. II. Menjamin wujudnya proses timbang tara (check and balance) dan kemurniaan peranan di antara institusi Raja dan Ketua Kerajaan NEGERI yang dipilih oleh rakyat 26. Sebelum pindaan perlembagaan 1993, Perlembagaan Persekutuan mempunyai aspek 'check and balance' atau timbang tara di antara Eksekutif dan institusi Raja dalam perlantikan tiga jawatan utama pentadbiran negeri iaitu Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. 27. Ini termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor Perkara 52 (1) yang menyatakan bahawa : "His Highness shall on the recommendation of the appropriate Service Commission by instrument under His Sign Manual and the State Seal appoint a person holding a whole time office in the public services to be the State Secretary, the State Legal Adviser and the State Financial Officer respectively: Provided that before acting on the recommendation of the Service Commission His Highness shall consider the advise of the Menteri Besar and may once refer the recommendation back to the Commission in order that it may be reconsidered." 28. Setelah dipinda dalam tahun 1993, Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dalam soal perlantikan tiga pegawai di atas berbunyi :"There shall be constituted the offices of State Secretary, State Legal Adviser and State Financial Officer; and the appointment thereto shall be made by the appropriate Service Commission from amongst members of any of the relevant public services." 29. Siapakah yang memansuhkan kuasa Tuanku Sultan untuk melantik tiga pegawai selepas mempertimbangkan nasihat Menteri Besar ? Pastinya; UMNO telah menderhaka kepada Raja-Raja Melayu. Sekaligus suara rakyat dinafikan kerana Menteri Besar adalah wakil suara rakyat majoriti yang membentuk kerajaan melalui proses demokrasi. 30. Kalau kita kembali kepada Penyata Rasmi (Hansard) Parlimen semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 yang ditaja oleh Dr. Mahathir Mohamad, ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang mengeluarkan kata-kata kesat dan celupar terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Antaranya, seorang Ahli Parlimen UMNO berkata : "Adakah Yang Berhormat hendak menuduh akhbar yang putar belit. Saya tidak. Saya hendak mengatakan raja yang putar-belit, sehari bersetuju, dua hari tidak bersetuju. Ini kenyataan yang tepat, yang jelas." 31. Kita rujuk pula kepada kenyataan-kenyataan media dan ucapan Dr. Mahathir Mohamad sekitar tahun 1983 dan 1993, jelas membuktikan bahawa Dr. Mahathir adalah penderhaka dan UMNO adalah pengkhianat. Media yang dikuasai oleh UMNO digunakan untuk memaparkan cerita-cerita yang mengaibkan peribadi Raja-Raja Melayu bagi mewujudkan sentiment dan emosi benci rakyat terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Berita Harian pada 19 Januari 1993 menyiarkan kenyataan seorang Ahli Parlimen UMNO dari Perak yang mengingatkan Raja-Raja supaya mengambil kira suara rakyat jika tidak Raja-Raja tidak dapat kekal lama "malah takhta mereka mungkin akan beralih ke muzium…". 32. Krisis Perlembagaan tercetus ekoran tindakan pemimpin UMNO yang rakus untuk memansuhkan kekebalan Raja-Raja Melayu. Ramai sarjana dan pengamal undang-undang mencabar keabsahan pindaan Perlembagaan 1993 kerana ianya melanggar Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut, "tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja". Sebenarnya UMNO memindahkan kekebalan tersebut kepada Mamak Bendahara dan pihak Eksekutif. Saya tahu bahawa kebimbangan ini ditimbulkan oleh pihak Raja-Raja dalam tahun 1993. Saya dapat menyelami perasaan Raja-Raja Melayu yang luka. Luka yang dalam mungkin telah sembuh, tetapi parutnya tetap ada. Keprihatinan Raja-Raja Melayu disambut dengan rasa tanggungjawab oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang pada ketika itu. 33. Apa yang disebutkan oleh Ketua Pembangkang, YB Encik Lim Kit Siang pada 18 Januari 1993 adalah semakin jelas hari ini :"Semasa kita membahaskan soal kekebalan Raja-Raja, tentang bagaimana mendemokratikkan sistem Raja Berperlembagaan, untuk memastikan Raja-Raja bertanggungjawab dan Demokrasi Berparlimen, kita tidak boleh membenarkan pemimpin-pemimpin kerajaan menikmati kekebalan yang membebaskan mereka dari sebarang akauntabiliti awam sebagaimana yang dipamerkan oleh berbagai skandal yang tidak diselesaikan dalam negara ini." 34. Dalam pembahasan yang sama, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang turut menegaskan prinsip yang sama:"Begitu juga kekebalan yang tersirat daripada penyalahgunaan kuasa melalui ISA, OSA, Perkara 145 (3) Perlembagaan kuasa yang diberi kepada Peguam Negara hendaklah dielakkan." 35. Kekebalan yang dinikmati oleh pemimpin-pemimpin elit UMNO menjadikan Malaysia diperintah oleh diktator selama 23 tahun dengan mengamalkan undang-undang rimba dan menolak negara hukum. Dr. Mahathir Mohamad adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan pihak Eksekutif terlalu kebal. Najib Razak hanya meneruskan sistem yang dibina oleh Dr. Mahathir. Justeru itu, rasuah dan salahguna kuasa semakin berleluasa dan menjadi budaya dalam pentadbiran UMNO. 36. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh UMNO semakin parah. RM42,320 dibayar oleh Kolej Kemahiran Tinggi Mara Balik Pulau, Pulau Pinang untuk sebuah komputer riba. 2 unit daripada jenama yang sama komputer riba berjenama Acer Aspire pada harga RM84,640. Komisyen kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi bernilai RM1 bilion. Dengan jumlah ini kita boleh beri air percuma kepada rakyat selama 6 tahun. 37. Apabila Pakatan Rakyat menyatakan pendirian untuk mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, ianya adalah untuk kembali kepada struktur asas Perlembagaan Negara yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub di dalam dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu tatkala Almarhum Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan. "Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen." 38. Hari yang keramat ini menyaksikan Pakatan Rakyat, sebuah gabungan parti-parti politik yang mewakili rakyat Malaysia pelbagai kaum mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu. 39. Komitmen Pakatan Rakyat ini terkandung dalam pengisytiharan yang dibuat pada 8 September 2008 oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang antara lain menegaskan bahawa Pakatan Rakyat menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan. 40. Deklarasi ini yang ditandatangani oleh YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, YB Encik Lim Kit Siang dan YB Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang membuat ketetapan bahawa pendirian Pakatan Rakyat ialah menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain; kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda; kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan. III. Menyuntik kekuatan baru kepada sistem Persekutuan atau Federalisme 41. Pindaan Perlembagaan 1993 juga telah disalahguna untuk menghakis prinsip Federalisme. Pindaan tersebut bukan sahaja memindahkan kuasa ke tangan Perdana Menteri, tetapi ia juga merampas kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri menurut amalan Persekutuan atau Federalisme. 42. Pindaan yang dibuat hari ini adalah untuk memperkukuhkan Federalisme yang merupakan satu aspek penting Perlembagaan Persekutuan. 43. Dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebelum pindaan 1993, Tuanku Sultan dan Menteri Besar mempunyai kuasa dalam semangat rundingan untuk melantik Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Tatkala Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dikuasai oleh parti yang sama, persoalan ini tidak begitu berat. Tetapi dalam suasana Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat diperintah oleh parti yang berlainan, dua suara yang punyai beda yang sangat menjolok, tindakan tidak menghormati prinsip Federalisme telah menimbulkan ketegangan; apatah lagi apabila UMNO cuba merampas Kerajaan Negeri melalui tindakan sabotaj. 44. Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru baru ini merupakan pengkhianatan semangat Federalisma oleh Kerajaan Pusat melalui peranan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan. Selaku Ketua Setiausaha Negara, Sidek wajar menunjukkan teladan yang baik dengan menghormati semangat Federalisme bagi menjamin keharmonian hubungan antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri. 45. Malangnya, perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Sidek telah membelakangkan suara dan hak rakyat Negeri Selangor. Apabila diasak oleh rakyat Selangor, Sidek memberikan respon yang tidak bertanggungjawab dengan mengatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Dato' Ramli Mahmud. Mungkin Sidek terlepas pandang atau kedangkalannya sendiri untuk menghayati prinsip Federalisme di mana prinsip Demokrasi Berparlimen membawa maksud Ketua Negara adalah DYMM Yang Di-Pertuan Agong manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Negeri masing-masing. Ketua Kerajaan Pusat adalah Perdana Menteri dan Ketua Kerajaan Negeri adalah YAB Dato' Menteri Besar. 46. Siapa Ramli Mahmud? Beliau hanya merupakan seorang penjawat awam yang bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri. Malangnya, diakhir talian hayat perkhidmatannya dengan Kerajaan Negeri, saya difahamkan Ramli Mahmud menjadi tali barut kepada Sidek Hassan untuk mencapai agenda politik Kerajaan Pusat. 47. Mengapa Sidek tidak menghormati YAB Dato' Menteri Besar selaku Ketua Kerajaan Negeri yang mewakili rakyat Negeri Selangor? Atau mungkinkah Sidek rela mengorbankan profesionalismenya dan menjadi alat kepada pemimpin elit UMNO? 48. Perbincangan di Dewan yang mulia ini juga bertujuan untuk mengembalikan dan mempertahankan neutrality dan profesionalisme anggota penjawat-penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka. Saya mahu anggota-anggota penjawat awam punyai kebebasan untuk memberikan nasihat tanpa takut dan bimbang demi membangunkan Negeri Selangor yang tercinta ini. Saya mahu anggota-anggota penjawat awam diiktiraf sumbangan mereka dan dapat menjalin hubungan kerja yang harmoni dengan Kerajaan Negeri. IV. Menjamin keberkesanan perjalanan pentadbiran negeri Selangor yang dipilih oleh rakyat 49. Dalam tempoh tiga tahun Pakatan Rakyat memegang teraju pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, YAB Dato' Menteri Besar dan Pakatan Rakyat telah berusaha untuk menjamin demokrasi sebagai wahana tatakelola yang baik, ketelusan, pertanggungjawaban, merakyatkan ekonomi dan mengamalkan prinsip 'value for money' untuk menjana pertumbuhan ekonomi bagi memelihara kebajikan dan kemakmuran rakyat. Laporan Ketua Audit Negara mengesahkan kecekapan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat. 50. Dasar-dasar kepedulian rakyat termasuk program air percuma dan Merakyatkan Ekonomi Selangor tidak menjejaskan kedudukan kewangan negeri; jauh sekali untuk muflis. 51. Kerajaan Pakatan Rakyat juga berjaya menyelesaikan banyak kes yang berlarutan selama berdekad di bawah pentadbiran UMNO. Peneroka-peneroka bandar di Kampung Indian Settlement, Batu Caves yang dipinggirkan hampir 50 tahun oleh wakil rakyat MIC dan Kerajaan Barisan Nasional telah mula merasai nikmat kerajaan yang prihatin pimpinan Pakatan Rakyat apabila Kerajaan Negeri meluluskan hak milik tanah untuk mereka pada Ogos 2010. Ratusan keluarga Melayu di Kampung Gombak Setia yang merintih selama lebih tiga dekad untuk mendapatkan hak mereka dipandang sepi oleh wakil rakyat UMNO. Namun, dalam tempoh yang begitu singkat, atas nama keadilan, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat mampu menangani masalah ini dan Insya Allah, YAB Dato' Menteri Besar sendiri akan turun ke kampung ini pada 19 Februari 2011 untuk mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri mengembalikan hak penduduk-penduduk di Kampung Gombak Setia. 52. Kerajaan Pakatan Rakyat mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai kerajaan dan anggota-anggota penjawat awam yang memberikan kerjasama untuk melaksana dasar-dasar Pakatan Rakyat yang pro-rakyat. Kerjasama mereka amat penting sebagai pelaksana dasar-dasar yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri. 53. Mewakili Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor dari Pakatan Rakyat, saya menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan kerana sentiasa memayung kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi. Saya terkesan dan tidak akan dapat melupakan keprihatinan Tuanku Sultan yang berangkat mencemar duli ke lokasi tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada bulan Disember 2009 untuk melihat sendiri derita yang dialami oleh rakyat di kawasan saya ekoran tragedy tanah runtuh yang meragut empat nyawa. 54. Meskipun Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bekerja kuat untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat, namun ada pihak yang tidak senang dengan dasar-dasar dan langkah-langkah kepedulian rakyat ini. UMNO dan Barisan Nasional di Putrajaya takut dengan apa yang kita lakukan. Mereka dengan cara yang tidak demokratik dan dengan tidak menghormati prinsip Persekutuan atau Federalisme cuba melakukan sabotaj. 55. Amanah yang diberikan oleh rakyat perlu digunakan untuk memberikan khidmat terbaik untuk merakyatkan ekonomi melalui sistem tatakelola yang kukuh dan menurunkan kos kehidupan rakyat. 56. Sebagai contoh; apabila Pakatan Rakyat memperkenalkan program-program ekonomi dalam Buku Jingga dan Program 100 Hari Pakatan Rakyat; ianya telah mencetuskan gelombang baru dalam masyarakat dan menyebabkan Kerajaan Pusat berada dalam keadaan defensif. 57. Najib mendakwa Program 100 Hari Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga akan menyebabkan negara muflis. Inilah masalah Najib, bila Pakatan Rakyat hendak menolong rakyat, kita dituduh tidak bertanggungjawab dan akan memufliskan negara tetapi apabila memberi subsidi kepada kroni, negara tidak muflis. Sebenarnya Program 100 Hari hanya melibatkan kos RM19.2 bilion sedangkan kalau diambil kembali subsidi yang dianugerahkan kepada empat syarikat Penjana Kuasa Bebas (IPP) dan mengatasi masalah ketirisan, Kerajaan akan memperolehi RM51 bilion. 58. Buku Jingga memberikan tumpuan kepada isu-isu yang membebankan rakyat. Kalau kita teliti angka-angka ekonomi yang dibentangkan dalam Parlimen; 46% rakyat Malaysia yang bekerja menerima pendapatan bawah RM2,000 dan 75% dari bilangan keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM2,000 adalah orang Melayu. Golongan ini jugalah yang dikategorikan sebagai golongan 40% paling miskin di Malaysia. 59. Ini dalam negara yang menjadikan Ketuanan Melayu sebagai dasar ekonomi tetapi orang Melayu masih menjadi pengemis di bumi sendiri. 60. Ini sekaligus mematikan propaganda pemimpin UMNO bahawa mereka adalah pejuang Melayu. 61. Ketuanan Melayu bagi mereka adalah pimpinan elit yang bersantai dalam mahligai. Inilah kumpulan yang digelar "Orang Patut-Patut" oleh Pendita Za'aba. Dalam tahun 1917 Pendita Zaaba menulis: "orang patut-patut kita duduk bersenang-senang diri masing-masing dalam bilik mahligainya dengan nikmat sentosa dan cukup puas hati pula, datang rasa hatinya dan sampai rasa hatinya memandang anak bangsa bergelumang dengan kehinaan dan kejatuhan kepada saf-saf yang jauh dibelakang…." 62. Maka, saya menyeru agar Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menyokong pindaan Rang Undang-Undang ini kerana ianya merupakan satu inisiatif untuk memperkukuhkan demokrasi dan sistem Federalisme serta mempertahankan suara dan hak rakyat yang terbanyak. 63. Sebagai sebuah kerajaan yang berorientasikan prinsip demokrasi dan reformasi yang dipilih oleh rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bertanggungjawab untuk memperbetulkan kerosakan dan kemusnahan institusi demokrasi di tangan UMNO. UMNO bukan sahaja bertanggungjawab meruntuhkan institusi demokrasi seperti badan kehakiman, institusi Parlimen tetapi juga memusnahkan Institusi Raja Berperlembagaan. 64. Saya ingin mengakhiri perbahasan pagi ini dengan mengungkapkan sebuah gurindam yang membayangkan tradisi keharmonian hubungan raja dan rakyat. "Bendahara dan Sultan seperti sebadan, Jangan cuba pisah-pisahkan; Tali yang lerai kita ikatkan, Warisan Melaka kita sambungkan." 65. Saya memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurnia kesihatan yang sempurna, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan untuk terus memimpin Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan. 66. Saya juga berdoa agar YAB Dato' Menteri Besar juga dilimpahi dengan rahmat Allah dan senantiasa di dalam lindunganNya untuk meneruskan khidmat sebagai Ketua Kerajaan Negeri yang adil untuk seluruh rakyat Negeri Selangor. Sumber: Azmin Ali * Jurublog: Anda berminat dengan artikel ini? Ambillah, tampallah, namun berilah kredit kepada blog ini. Terima kasih. | ||
| [Video] Ngeri: Lelaki Kena Kejutan Elektrik Posted: 23 Jan 2011 11:33 PM PST | ||
| [Sidang Tergempar DUN Selangor] MB Gila Kuasa? Baca Teks Ucapan Penuh MB Selangor Posted: 23 Jan 2011 07:26 PM PST * Kongsikan di Facebook anda. Sebar luaskan teks ucapan ini! Ucapan YAB TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM DATO' MENTERI BESAR SELANGOR Pada MESYUARAT DEWAN NEGERI SELANGOR MENURUT PERATURAN 10(3) PERATURAN-PERATURAN TETAP DEWAN NEGERI SELANGOR Tempat DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR, SHAH ALAM Tarikh 24 JANUARI 2011 (ISNIN); 19 SAFAR 1432 Masa 10.00 PAGI Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh, dan Selamat sejahtera. Ampun Tuanku, Dengan izin Allah Subhanahuwataala, dan di atas perkenan Tuanku, dapat patik dan seluruh wakil rakyat di seluruh negeri Selangor, negeri naungan Tuanku, hadir ke Dewan yang mulia ini bagi patik sekalian melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat Selangor Darul Ehsan. Patik mengaku, akur dan insaf terhadap ingatan Tuanku bahawa Tuanku memberi perkenan akan Mesyuarat Dewan di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor ini dan patik percaya dan yakin semua wakil rakyat cukup rasional dan bertanggungjawab kepada rakyat di kawasan mereka. Tuanku tidak sama sekali diheret ke dalam kepentingan mana-mana kolompok kepartian di sepanjang perbahasan di dalam Dewan ini. Patik ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh wakil rakyat yang hadir kerana ia jelas menunjukkan permasalahan yang kita bincangkan ini adalah permasalahan dan masa hadapan negeri. Wakil-wakil rakyat juga tidak mahu bermuka dua dan membelakangi rakyat yang memilih mereka. Patik bangga isu yang besar ini dapat mencantumkan pemikiran kami semua terhadap isu utama negeri, perihal yang mendesak dan mempunyai kepentingan awam ini, meskipun kami berbeza daripada segi perjuangan dan ideologi politik. Patik sekalian berusaha memartabatkan Dewan yang mulia ini dengan tatatertib yang baik serta kata-kata yang melambangkan rakyat negeri ini adalah rakyat bertamadun. Ampun Tuanku. Dato' Speaker, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Ahli-Ahli Dewan Negeri, Ahli-ahli Parlimen yang turut hadir, Pengamal Undang-Undang, Ketua-Ketua Jabatan, Kakitangan Kerajaan, Ahli-ahli Politik, para mahasiwa, wakil-wakil media massa dan seluruh hadirin pada pagi yang mulia ini. (1) Dalam tempoh hampir tiga tahun Pakatan Rakyat memegang teraju pentadbiran negeri Selangor, terdapat beberapa kendala yang perlu dilalui dengan berhemah. Semuanya itu adalah asam garam yang memang perlu dilalui oleh mana-mana pemimpin politik yang dinamik. Demikianlah, bagi saya, Selangor selaku negeri tunjang negara, perlu bersedia menghadapi suasana di luar jangka perjalanan biasa. Kita perlu bersedia melakukan perubahan sebesar manapun, seandainya perubahan itu mampu membawa kebaikan kepada rakyat negeri ini. (2) Peristiwa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri mempunyai hikmah tersendiri. Kita tidak menganggapnya kemelut besar, bukan juga krisis Perlembagaan. Natijahnya, kita menerimanya dengan hikmah. Ia memberi peluang kepada kita untuk memperbetul perkara salah yang menjadi amalan selama ini. Prinsip "biasakan yang betul dan betulkan yang biasa" adalah prinsip murni yang dapat dijadikan amalan harian kita selepas ini. (3) Maka, tindakan Kerajaan Persekutuan atas tiket Ketua Setiausaha Negara melantik Pegawai Eksekutif Ex-officio dengan membelakangkan Menteri Besar yang dipilih rakyat lantas berselindung pula di sebalik istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah, menghina kebijaksanaan rakyat dan kedaulatan negeri. Penghinaan ini wajib kita perbetulkan. Berpegang pada tanggungjawab itulah maka kita kembali ke Dewan yang mulia ini untuk mengadakan Mesyuarat Dewan di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor. Mesyuarat kali ini adalah untuk membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya pada Perkara 52(1). (4) Selaku Menteri Besar, saya berasa bertanggungjawab untuk memperbetul amalan sumbang yang selama ini dilakukan pentadbiran UMNO sejak pindaan Perlembagaan 1993. Pindaan tersebut ternyata mengakibatkan peranan Negeri dan Sultan bercelaru dan kabur. Justeru itu, hari ini kita hendak meletakkan duduk perkara dengan sejelas-jelasnya. Pentadbiran sebelum ini gagal dan tidak mampu membetulkannya kerana walaupun mereka mentadbir negeri, namun pemikiran mereka terpasung dan hati mereka berkiblatkan Putrajaya. Dalam perkataan lain mereka tidak mempunyai kekuatan diri untuk bangun mempertahankan hak rakyat negeri ini hatta hak Duli Yang Maha Mulia Sultan. Berburu ke padang datar, Tembak rusa belang kakinya, Berguru kepalang ajar, Bagai bunga kembang tak jadi. Sidang dewan yang dimuliakan, (5) Berbeza daripada kerajaan terdahulu, kini kita Kerajaan Pakatan Rakyat hendak melakukan pindaan dan perubahan agar generasi mendatang tidak lagi berada dalam kekaburan hatta kecelaruan. Selaku penggubal undang-undang yang bertangggungjawab dan mempunyai kekuatan ilmu, iman dan jati diri, kita hendak melakukan yang terbaik. Akhirnya, tidak ada lagi individu mahupun puak yang berani melanggar kuasa Negeri mahupun kuasa Sultan. (6) Saya perlu menggunakan masa sedikit lama bagi menghuraikan kronologi yang menyebabkan Mesyuarat Dewan di bawah Peraturan 10(3) ini diadakan agar ia menjadi lakaran sejarah untuk rujukan penggubal undang-undang pada masa hadapan dan bagi kajian ilmiah pelajar dan pengamal undang-undang agar tiada lagi pengamal undang-undang yang buta sejarah. (7) Namun, sebelumnya izinkan saya mengimbas kembali sejarah dan latar belakang yang melatari pindaan Perlembagaan 1993, khususnya senario politik negara ketika itu. Ia amat perlu dikhabarkan kerana rakyat negeri Selangor berhak untuk mengetahui sejarah dan fakta sebenar dan sebagai negeri yang berdaulat, Dewan Yang Mulia inilah forum terbaik untuk melakarkannya. (8) Apatah lagi terdapat segelintir manusia yang menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dan hendak melemahkan kedudukan istana dengan tindakan kita hari ini. Kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa negeri tidak mempunyai kuasa dalam pelantikan tiga pegawai eksekutif menggambarkan beliau seorang yang menurut buku secara membuta tuli hingga mengenepikan unsur-unsur penting dalam tatakelola pentadbiran yang baik seperti adat, amalan secara konvensyen dan ketetapan bersama yang diterima pakai. Selaku orang tertinggi dalam perkhidmatan awam, amat malang beliau lupa tentang sejarah dan amalan-amalan biasa yang pernah dan patut diamalkan di dalam mewujudkan sistem pentadbiran yang efisyen. (9) Begitu juga dengan peguam UMNO Dato' Salehudin Saidin yang mengatakan bahawa pindaan yang hendak kita lakukan ini bukan untuk mengembalikan kuasa raja tetapi Menteri Besar. Kenyataan ini bertentangan dengan kefahaman KSN. Ini membuktikan bahawa UMNO lebih cenderung untuk memutar belit kefahaman undang-undang dan tidak melihat undang-undang sebagai sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan baik. Mereka sebenarnya mempunyai ingatan yang singkat; a short memory. Nampaknya, ada benarnya tohmahan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa "Melayu mudah lupa". Mereka lupa bahawa permasalahan hari ini timbul akibat tindakan Kerajaan Persekutuan yang bersikap seperti 'constitutional monarchy' dan mempermainkan kuasa negeri sekali gus mencemar semangat federalisme. Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat; (10) Sebagaimana yang kita tegaskan beberapa kali, termasuk dalam manifesto Pilihan Raya Ke-12 dan dasar bersama Pakatan Rakyat, kami komited untuk menjunjung Perlembagaan, baik Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri yakni Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor. Malahan, prinsip-prinsip Rukun Negara dijadikan landasan dalam pentadbiran kita. (11) Pada premis yang sama Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Malahan dalam Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat beberapa tahun yang lalu kami zahirkan dengan jelas komitmen kita untuk mengembalikan kedudukan Raja-Raja yang berjaya dihakis oleh pentadbiran UMNO, khususnya semasa kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. (12) Justeru itu, adalah sangat lucu dan tidak masuk akal apabila mantan Perdana Menteri itu mendakwa bahawa perkenan Sultan adalah perlu untuk kelulusan Rang Undang-Undang sedangkan beliau sendiri yang meminda peruntukan berkenaan dan memadam kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja. Begitu juga dengan kenyataan Timbalan Perhubungan UMNO Selangor Dato Seri Noh Omar pada 7 Januari yang menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dan tidak mungkin berjaya melakukan pindaan kerana tiada perkenan istana. Kepemimpinan UMNO Selangor agak berdolak dalik umpama lalang; mula-mula mengugut mahu memboikot, selepas itu mahu hadir dengan bersyarat pula. Apa-apapun, kita menerima kehadiran mereka sama ada yang jahil mahupun yang ada sedikit ilmu. Sebelum itu, saya ingin bertanya: adakah UMNO meminta perkenan Sultan sebelum meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pada Mac 1993? Bukankah ia dilakukan secara senyap-senyap ? Dato Speaker yang dimuliakan, (13) Memandangkan Kedaulatan Raja-Raja turut diperkatakan dan tohmahan derhaka begitu kerap dilemparkan terhadap kami maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan duduk perkara yang sebenar. Bagi maksud tersebut izinkan saya mengimbas kembali secara ringkas konflik antara UMNO dengan Raja-Raja sejak awal 1980-an lagi. Secara ringkas, Krisis Perlembagaan 1983 berlaku akibat tindakan para pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa tindakan di luar adab dan peruntukan Perlembagaan itu sendiri, dalam perkataan lain, mereka begitu tega membelakangi Raja-Raja. (14) Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi: "tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja". Bagaimanapun, para pemimpin utama ketika itu lantas melakukan beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. (15) Antara pindaan yang berjaya dilakukan adalah Perkara 66(5). Peruntukan asal berbunyi: "Rang undang-undang akan dikuatkuasakan apabila yang di-Pertuan Agong menandatangani". Peruntukan pindaan pula adalah "Rang undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai Undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-undang itu tidak ditandatangani dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-undang itu disembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong, baginda dianggap telah menandatangani Rang Undang-undang tersebut dan Rang Undang-undang itu, berkuatkuasa sebagai Undang-undang". (16) Begitu juga dengan pindaan kepada Perkara 10(1), iaitu kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga di negara ini maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertuan Agong mesti menerima nasihat tersebut. Di sinilah bermulanya penghakisan secara terancang terhadap kuasa Raja-Raja di negara ini, bermula pada pindaan tahun 1983 itu. (17) Pindaan yang amat drastik itu sudah dilakukan secara rahsia dan membelakangi Majlis Raja-Raja. Namun, apabila rahsia terbongkar ia ditentang oleh Raja-Raja. UMNO pada ketika itu membuat road show ke seluruh negara mengutuk Raja-Raja. Akhirnya, setelah membuat beberapa rundingan krisis itu diselesaikan dengan beberapa kompromi: (i) pertama, UMNO bersetuju menggugurkan pindaan yang sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu. (ii) kedua, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa memulangkan Rang Undang-undang yang baginda tidak berkenan kepada Parlimen, (iii) ketiga, pindaan terhadap kuasa perkenan di negeri-negeri, digugurkan, dan (iv) keempat, kuasa mengisytiharkan darurat dikembalikan kepada Yang di-Pertuan Agong. Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat; (18) Langit tidak selalunya cerah. Mendung tidak bererti hujan. UMNO terpaksa berlindung dan memohon belas ihsan istana apabila menghadapi masalah politik beberapa tahun kemudian, iaitu apabila UMNO diisytiharkan pertubuhan haram oleh mahkamah pada 1987. Pimpinan UMNO lantas kembali merayu kuasa Sultan untuk menubuhkan UMNO Baru dan memohon Sultan Johor untuk melancarkannya di Istana Besar Johor Bahru. (19) Bagaimanapun, hubungan UMNO dengan istana tegang semula apabila UMNO tersungkur 39-0 di Kelantan pada Pilihan Raya 1990. Ibarat kacang melupakan kulit, Perhimpunan Agung UMNO dijadikan medan memaki hamun Raja-Raja. Ada perwakilan yang meminta Perlembagaan dipinda untuk membataskan kuasa Raja-Raja. Tetapi ia tidak berlaku kerana mereka tidak tahu peruntukan mana yang hendak dipinda. Namun begitu, UMNO memaksa Raja-Raja membuat aku janji dan lahirlah apa yang disebut sebagai "Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan 1992". Bagaimapun, ini hanyalah penegasan dan komitmen Raja-Raja terhadap peruntukan-peruntukan yang berkenaan; tidak ada apa-apa pindaan yang dibuat. (20) Hubungan tegang UMNO dengan Raja-Raja memuncak pada hujung 1992 hingga membataskan peruntukan mengenai kuasa mengampun Raja-Raja dan keistimewaan imuniti. Maka, berlakulah Pindaan Perlembagaan Persekutuan 1993 dan penubuhan Mahkamah Khas Raja-Raja. (21) Ketika krisis itulah UMNO menggunakan kesempatan untuk membuat pindaan yang tidak ada kena mengena dengan isu yang menjadi punca terhadap masalah ketika itu. Ia termasuklah pindaan pada perlembagaan negeri yang saya hendak sentuh selepas ini. Di kesempatan ini, saya suka mencadangkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, terutama daripada UMNO-BN supaya membaca kembali pelbagai berita dan rencana tentang krisis Perlembagaan yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, Berita Harian dan the New Straits Times dari November 1992 hingga Mac 1993. Ketahuilah, siapakah yang "beriya-iya dan bersikap biadap" hendak menghakis kuasa istana dan menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu? (22) Izinkan saya memetik beberapa kenyataan Tun Dr Mahathir ketika pembentangan usul pindaan pada 18 Januari 1993 yang selepas itu kita dapati beliau telah memungkirinya. Tun Mahathir ketika itu menyatakan; "Kelulusan ( pindaan Perlembagaan 1993) secara ini terhad kepada perkara- perkara yang tidak menyentuh hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan Raja-Raja. Untuk meminda peruntukan Perlembagaan yang menyentuh Raja-Raja, Majlis Raja-Raja perlu memberi persetujuan". Kata beliau lagi, "Di peringkat negeri, tidak ada pindaan dibuat kepada Perlembagaan negeri. Dengan itu tidak ada undang-undang yang boleh diluluskan tanpa ditandatangani oleh Raja. Ini bermakna kuasa Raja-Raja di negeri-negeri mengatasi kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri yang mewakili rakyat". (23) Beliau meneruskan hujah, "Justeru itu dalam sejarah Malaysia yang merdeka, tindakan Raja-Raja dan pihak-pihak yang berlindung di belakang Raja yang melampaui hak dan keistimewaan Raja, semakin lama semakin serius. Kemungkinannya ialah ia akan menjadi lebih serius lagi di masa-masa hadapan. Jika tidak ada pindaan undang-undang, seperti yang dicadangkan ini, tidak syak lagi bahawa perkara-perkara yang lebih buruk akan berlaku yang mana ini akan menyebabkan institusi Raja dibenci oleh rakyat. Bukanlah mustahil jika satu hari kelak tuntutan dibuat untuk menghapuskan Sistem Beraja sama sekali walau apa pun yang diperuntukan oleh Perlembagaan". (Nah… itu yang diperkatakan ketika itu, ugutan dan amaran keras diselit secara terbuka dan biadab. Demi kemudahan rujukan generasi akan datang saya kepilkan teks ucapan Tun Dr Mahathir bertarikh 18 Januari 1993 bersama teks ucapan saya ini di hansard Dewan Negeri). Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat; (24) Bukan setakat itu sahaja: pada 1994 Tun Mahathir mungkir janji dan formula yang menyelesaikan krisis 1983 yang sebutkan di awal bicara tadi dipinda di luar pengetahuan Raja-Raja. Menurut pindaan ini, kuasa memulangkan Rang Undang-Undang oleh Yang di-Pertuan Agong dimansuhkan dan peruntukan yang mencetuskan krisis 1983 itu dimasukkan kembali. Dengan yang demikian, peruntukan yang ada sekarang, iaitu Perkara 66(4) dan (4A) – adalah sebuah Rang Undang-undang yang menjadi undang-undang secara automatik selepas 30 hari meskipun baginda tidak memberi perkenan. Kedudukan Raja-Raja di negeri-negeri juga sama sebagaimana yang tertera pada seksyen 11(2A) dan (2C), Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. (25) Pindaan-pindaan ini menimbulkan banyak persoalan politik dan undang-undang. Ia termasuklah pelanggaran syarat yang dikenakan oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan, iaitu ia dengan jelas menyatakan bahawa "Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja". (26) Perkara 38(4) itulah yang menjadi batu penghalang kepada hasrat Dr. Mahathir pada 1983 dan 1993 dan mungkin kerana itulah beliau tidak peduli dan tidak membawa pindaan 1994 itu kepada Raja-Raja. Meskipun pindaan 1994 belum dibawa ke mahkamah, namun ada kalangan sarjana undang-undang yang berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1994 itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan; khususnya Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan. Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat; (27) Meskipun kita menyedari bahawa Tun Dr. Mahathir sudah menjadi dan menerima sejarah, namun ia tidak menghalang kita daripada berasa aneh kerana hari ini Tun Mahathir tiba-tiba menyatakan pendirian yang berbeza. Bagaimanapun, ini tidaklah begitu memeranjatkan apabila kita mengimbas kembali pergolakan politik yang dinyatakan tadi. UMNO sememangnya sentiasa berdolak-dalik dan tidak konsisten dan acap kali berselindung di sebalik istana apabila berlaku himpitan politik. Dato' Speaker, (28) Jelas sekali hujah Tun Mahathir ketika itu berbeza sekali daripada apa yang dilakukan UMNO selepas itu. Mereka lantas melakukan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri meskipun menyentuh kuasa Sultan, dalam situasi yang tergesa-gesa dan penuh kekaburan. Hari ini perbuatan mereka yang tidak beradab itu terbongkar satu persatu. Jelik dan memalukan. Ini termasuklah topik permasalahan yang kita depani ketika ini Perkara LII ( 1 ) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor. (29) Perkara LII ( 1 ) yang asal berbunyi; "(1) Ke bawah Duli Yang Maha Mulia mestilah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan Suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa dalam perkhidmatan awam untuk menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri: Dengan syarat sebelum bertindak atas cadangan itu oleh Suruhanjaya Perkhidmatanyang berkenaan, ke bawah Duli Yang Maha Mulia mesti mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujukkan cadangan itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula." (30) Pindaan yang dilakukan pada 1993 dan terpakai sehingga kini berbunyi; " LII ( 1 ) Maka hendaklah diwujudkan jawatan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri; dan perlantikan ke jawatan-jawatan itu hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan. " Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat; (31) Demikianlah, secara ringkas senario dan perkembangan politik negara yang melatari pemansuhan kuasa Sultan hinggalah terkesan dalam hal perlantikan tiga orang pegawai ex-officio dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) oleh pentadbiran UMNO pada 1993. Pakatan Rakyat berpendapat pindaan tersebut telah mengakibatkan kesan negatif kepada pentadbiran negeri. Bagi menyokong hujah ini, izinkan saya menegaskan kedudukan dan peranan istana, kerajaan dan perkhidmatan awam dalam pentadbiran negeri. (32) Jika kita teliti peruntukan-peruntukan perlembagaan dan perakuan dalam Laporan Suruhanjaya Reid 1957 kita dapat rumuskan kedudukan dan peranan istana, kerajaan yang memerintah dan perkhidmatan awam. Ia diperkuat dengan amalan yang secara konsisten dipatuhi di kesemua negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen atau Westminster. Sebahagian besar amalan konsisten yang membentuk apa yang disebut Konvensyen Perlembagaan (Constitutional Convention) itu kini dikanunkan sebagai undang-undang dalam Perlembagaan kita; baik Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri. (33) Kedudukan dan peranan Raja-Raja cukup jelas. Mereka adalah Raja Berperlembagaan, iaitu Yang di-Pertuan Agong – di peringkat Persekutuan – adalah ketua negara manakala Raja-Raja pula adalah ketua negeri. Perdana Menteri dan Menteri Besar pula adalah ketua kerajaan yang dilantik daripada kalangan Ahli-ahli Dewan. Meskipun mereka dilantik oleh ketua negeri mereka bertanggungjawab kepada Dewan. Inilah bentuk demokrasi yang dilaksanakan menurut sistem Westminster. (34) Dalam kerangka tersebut Menteri Besar dan kabinetnya yakni Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) – mesti bertanggungjawab terhadap segala keputusan dan dasar yang digubal dan dilaksanakan. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja tidak dipertanggungjawabkan sebaliknya bertindak menurut nasihat. Konsep itu sebenarnya adalah untuk melindungi Istana daripada terperangkap dalam kontroversi dan politik. Sebenarnya, Raja-Raja menjadi lambang negeri dan perpaduan rakyat, yang menjangkaui politik kepartian. (35) Raja-Raja diberi banyak keistimewaan; termasuk peruntukan dalam Senarai Di Raja (Civil List) yang tidak boleh dikurangkan. Mereka juga mempunyai peranan besar sebagai ketua agama negeri masing-masing. Kuasa pemerintahan atau eksekutif diletakkan secara formal di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja. Bagaimanapun, pelaksanaan kuasa ini diletakkan di tangan kerajaan yang memerintah kerana mereka sahaja yang boleh disoal oleh wakil-wakil rakyat. (36) Mengambil prinsip tersebut sebagai landasan, ia menjelaskan kedudukan dan peranan perkhidmatan awam. Oleh sebab mereka tidak dipilih maka mereka berperanan menjalankan arahan dan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan yang memerintah. Bagaimanapun, sebagaimana juga istana mereka kekal di situ walau apapun bentuk dan warna politik kerajaan yang memerintah. (37) Persoalannya, apakah kerajaan yang memerintah mempunyai kuasa mutlak? Jawapannya sudah tentu tidak, kerana selain terpaksa menjawab soalan di dalam dewan mereka perlu berhadapan dengan rakyat apabila tiba pilihan raya. Tegasnya, kerajaan yang memerintah dalam kerangka yang benar-benar demokratik tidak mungkin mempunyai kuasa mutlak. UMNO menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dengan pindaan ini kerana mereka beranalogi Pakatan Rakyat juga mempunyai budaya politik seperti mereka! (38) Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa UMNO mahu membolot dan mengongkong segala-galanya; istana, kehakiman, dewan, perkhidmatan awam dan badan-badan lain termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dalam pada itu media juga dikongkong melalui undang-undang. Rakyat juga tidak dapat bebas dengan adanya pelbagai kekangan untuk bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan. UMNO ketakutan terhadap janji Pakatan Rakyat yang hendak menghapuskan ini semua; UMNO tidak biasa dan tidak berani bermain dalam lapangan yang sama rata dan adil. Sebab itu belum apa-apa lagi, UMNO sudah membuat pelbagai tohmah dan tuduhan terhadap inisiatif Pakatan Rakyat. Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat; (39) Pakatan Rakyat ingin mengembalikan peruntukan yang asal kerana kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak; baik Istana, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mahupun Kerajaan Negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka. (40) Kerajaan Negeri yakin bahawa tatkala ia mempunyai hak untuk menasihatkan sultan ia juga sedar bahawa kedudukan berkecuali dan profesional perlu diberi peluang. Dalam pada itu kami juga sedar bahawa Duli Tuanku sebagai sultan yang begitu lama dan berpengalaman sebagai Raja Muda – yang paling lama dalam sejarah negara, sebelum memegang tampuk pemerintahan Negeri. Pastinya DYMM Tuanku mempunyai input untuk diberi dalam soal perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Inilah perkongsian pintar yang bukan sahaja selaras dengan kehendak pengurusan ekonomi semasa tetapi juga selaras dengan kehendak Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan asasi dalam negeri. (41) Kalau kita perhatikan pindaan yang dibuat oleh UMNO pada 1993 – yakni Perkara 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor sebagaimana dinyatakan di atas – ia kelihatan begitu ganjil. Saya katakan demikian, kerana ia tidak menyebut pihak berkuasa yang diberi kuasa melantik. Sepatutnya ada kuasa tertentu yang diperuntukkan; contohnya sama ada Sultan atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Hal ini cukup ganjil tetapi begitulah hakikatnya. Saya tidak dapat menolak ia terjadinya begitu kerana tindakan yang gopoh dan tergesa-gesa. (42) Cuba bandingkan dengan perlantikan yang sama di peringkat Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 144, khususnya Fasal 3, 4 dan 5 yang ada sekarang yang kesemua mempunyai format yang sama dengan peruntukan yang lama dalam Undang- undang Tubuh Negeri Selangor. (43) Apa-apa pun, gopoh mahupun tidak, kita berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1993 itu tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan. (44) Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa masalah yang cuba diselesaikan oleh Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 adalah menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri tidak harus disentuh. Tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja bersetuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu adalah imuniti. Kelihatannya UMNO menggunakan kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang gusar dan membingungkan ketika itu. (45) Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undang-Undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang – checks and balances – dalam perlembagaan. Kami percaya bahawa konsep Raja Berperlembagaan bermaksud raja yang kuasa mereka terbatas dan dipandu oleh peruntukan dan semangat Perlembagaan. UMNO berpendapat sebaliknya; nampaknya bagi mereka, Raja Berperlembagaan ialah raja yang boleh dicucuk hidung dan diseret ke sana ke sini mengikut kehendak mereka sebagaimana yang mereka lakukan sejak awal 1980-an hinggalah sekarang. Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat; (46) Sebagaimana yang saya janjikan di awal bicara tadi, saya ingin menggalurkan kronologi pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat jelas akan duduk perkara yang sebenar. Ia perlu kerana media – khususnya yang dimiliki oleh UMNO-BN memutar belit fakta yang sebenar. Hal yang sama juga dilakukan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang sepatutnya menjadi wahana milik seluruh rakyat tetapi merelakan institusi mereka diperkudakan oleh kelompok yang terdesak. (47) Saya ingin menegaskan bahawa meskipun saya adalah ketua kerajaan negeri, namun saya bukan sahaja tidak dimaklumkan dalam hal pemilihan Setiausaha Kerajaan Negeri malah saya telah dibelakangi. (48) Pada 26 Oktober 2010 Pusat Sumber Manusia di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri selaku jurucakap kepada Jabatan Perkhidmatan Awam telah menyerahkan kepada saya lapan ( 8 ) nama calon yang difikirkan layak untuk jawatan Setiausaha Kerajaan bersama dengan Nota Amalan yang mengandungi prosedur dan tatacara pelantikan. Nota ini menyatakan bahawa: i) Suruhunjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak (Gred 54 ke atas) kepada Menteri Besar. ii) Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang sesuai dan menyenaraipendekkan dan menyerahkannya kepada DYMM Sultan Selangor bagi memohon perkenan Tuanku. iii) Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan, Menteri Besar hendaklah menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan. (49) Amalan ini jelas dan tertib; iaitu yang bermaksud tiada fungsi diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai kerajaan dalam istana untuk berperanan dalam lantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baharu. Malahan, daripada segi adabnya, kesemua pihak ini tiada hak untuk mencampuri urusan ini. (50) Pada 8 November 2010 saya menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan untuk memilih tiga ( 3 ) orang calon yang paling layak daripada 8 nama pegawai yang dicadangkan. Jawatankuasa Pemilihan ini diketuai oleh Dato' Speaker sendiri dengan dua anggota lain, iaitu YB Dato' Dr. Hassan bin Mohamed Ali dan YB Tuan Dr Xavier Jeyakumar. (51) Panel Pemilihan ini bukanlah ditubuhkan untuk melakukan sesi temu duga tetapi melakukan proses temu bual sebagai usaha kita mewujudkan satu proses yang telus di samping menekankan unsur-unsur kompetensi dalam pemilihan. Pada masa yang sama proses temu bual diharapkan dapat memberi peluang kepada para calon menghayati dan memupuk aspirasi wakil rakyat yang memerintah. (52) Panel juga tidak dibebankan dengan jangkamasa tertentu kerana tidak wujud keperluan untuk tergopoh gapah. Apa yang penting kita mahu mencari calon yang sebaik mungkin untuk menggalas tanggungjawab berat Setiausaha Kerajaan. (53) Pada 22 November 2010 Jawatankuasa Pemilihan memulakan proses menemubual semua calon. Pada 3 Disember 2010 Jawatankuasa memaklumkan kepada saya bahawa enam calon sudah ditemu bual dan tiga nama dipilih untuk dicadangkan serta memberitahu bahawa dua calon tidak mahu mengambil bahagian. (54) Seterusnya, setelah menjalankan beberapa saringan dan pengesahan maka pada 17 Disember 2010 saya menulis surat kepada Istana untuk memaklumkan DYMM Sultan Selangor tentang prosedur pemilihan yang dijalankan Kerajaan Negeri dan tiga calon akhir yang dipilih untuk cadangan. Saya nyatakan dengan jelas, meskipun demikian, saya terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan DYMM Sultan untuk pandangan dan nasihat jika Tuanku mempunyai keraguan terhadap cadangan tersebut. (55) Pada 20 Disember 2010 saya menulis surat kepada Pusat Sumber Manusia untuk memaklumkan bahawa saya sudah menghantar tiga nama calon kepada DYMM Sultan Selangor dan masih menunggu maklum balas. Surat berkenaan juga memberitahu saya akan bercuti ke luar negara pada 20 Disember hingga 30 Disember dan sebarang pengumuman mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dirujuk kepada saya terlebih dahulu. (56) Pada 21 Disember 2010, Istana, menerusi Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato' Muhamad Munir Bani telah menulis surat kepada Setiausaha Sulit kepada Dato' Menteri Besar, Tuan Haji Mustapha bin Talib. Bersama surat itu dilampirkan surat bertarikh 10 Disember 2010 yang dialamatkan kepada Dato' Ramli Mahmud bekas Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai balasan surat yang beliau hantar pada 3 Disember. Untuk makluman sidang dewan, surat 3 Disember tersebut telah menghantar tiga (3) cadangan nama kepada DYMM Sultan. Surat pada 10 Disember pula memaklumkan kepada Dato' Ramli Mahmud bahawa DYMM Sultan Selangor sudah berkenan terhadap pelantikan Dato' Muhamad Khusrin Munawi. Namun, kedua-dua surat ini pun tidak dihantar salinan kepada saya selaku Menteri Besar. (57) Pada 24 Disember 2010 Pejabat Dato' Menteri Besar menjawab surat bertarikh 21 Disember dari Dato' Mohamad Munir untuk menyatakan bahawa Dato' Menteri Besar tidak pernah diberitahu keputusan yang dibuat bertarikh 10 Disember 2010 itu. Sehubungan itu, Pejabat Dato' Menteri Besar memohon perkenan untuk mengadap DYMM Sultan untuk perbincangan. (58) Pada 27 Disember 2010 saya menulis surat sekali lagi memohon untuk menghadap DYMM Sultan untuk perbincangan. Pada tarikh ini juga, tanpa sepatah nota makluman kepada saya, Ketua Setiausaha Negara (KSN) lantas mengumumkan Dato' Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Negeri yang baharu. (59) Pada 3 Januari 2011 saya mendapat perkenan menghadap DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tuanku menitahkan bahawa setelah Perlembagaan Negeri dipinda pada 1993, baginda tidak mempunyai kuasa untuk menolak atau menerima keputusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Saya maklumkan kepada Tuanku bahawa saya hendak pertahankan hujah saya bahawa pelantikan yang tidak mendapat kebenaran Kerajaan Negeri yang sah dipilih rakyat Selangor adalah salah di sisi amalan dan adab hatta harus dibincangkan semula. Pada hari yang sama saya menulis kepada SPA menyatakan Kerajaan Negeri ingin membincangkan semula pelantikan Dato' Mohamad Khusrin dan tidak bersedia mengadakan majlis angkat sumpah kerahsiaan sehingga perkara ini selesai. (60) Pada 4 Januari 2011, saya menulis surat kepada DYMM Sultan memohon supaya majlis angkat sumpah kesetiaan yang dijadualkan pada 6 Januari ditangguhkan sehingga Kerajaan Negeri menyelesaikan perkara pelantikan tersebut. (61) Meskipun demikian pada 6 Januari 2011, saya dan barisan Exco turut hadir ke majlis di Istana Bukit Kayangan sebagai menzahirkan rasa taat setia dan kasih kepada DYMM Sultan dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda yang pada ketika itu menerima darjah kebesaran dari DYMM Ayahanda Sultan. Pada masa yang sama kita maklum bahawa Dato' Mohamad Khusrin dikehendaki melakukan angkat sumpah kesetiaan terhadap DYMM Tuanku. (62) Pada majlis tersebut, DYMM Tuanku telah bertitah dengan begitu jelas bahawa baginda tidak menyokong mana-mana parti politik dan kesal terhadap sikap sesetengah golongan yang memutar belit kenyataan baginda. Tuanku Sultan juga dengan tegas menyatakan baginda senang dengan amalan profesional, nasihat menasihati yang kita amalkan. Ketegasan baginda tersebut telah memberi kekuatan kepada kita untuk memanggil Mesyuarat Dewan di bawah Peraturan 10(3) ini bagi mengimarahkan lagi amalan konsultasi dalam pentadbiran dan perhubungan antara Istana dengan barisan Eksekutif. Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat; (63) Demikianlah kronologi peristiwa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang membawa kepada perkara di hadapan kita hari ini. (64) Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada keseluruhan episod ini? Pengajarannya ialah, jika pelantikan Setiusaha Kerajaan Negeri, Pegawai Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri tidak dilakukan secara telus, ia boleh diputarbelitkan oleh banyak pihak; sama ada daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kerajaan di istana dan di pejabat Dato' Menteri Besar, atau di Perkhidmatan Awam yang tiada urusan kerja dalam hal penempatan pegawai kerajaan. (65) Menyedari hakikat ini, Pakatan Rakyat tidak akan meneruskan amalan yang ternyata bercanggah dengan amalan Pakatan Rakyat, yakni bertindak secara telus, kompeten dan penuh pertanggungjawaban dalam apa-apa hal dan modus operandi pentadbiran negeri. (66) Saya tegaskan di sini, meskipun kerangka Perlembagaan kita menyebelahi Kerajaan Persekutuan saya yakin bahawa sekiranya ia dibenarkan beroperasi dalam semangat demokrasi, mungkin negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat boleh melaksanakan pentadbiran dengan baik. Malangnya, ini tidak berlaku dan semangat federalisme yang dikandung oleh Perlembagaan dilanggar secara terang-terangan. Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, (67) Pindaan yang dicadangkan ini adalah tanda komitmen Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri berdaulat ini menurut aspirasi dan amanah yang diberikan rakyat bertunjangkan konsep keihsanan dan kepedulian rakyat. Rakyat Selangor tidak meminta lebih. Mereka hanya mahu hak mereka sebagai rakyat negeri yang menyumbangkan 30 peratus kekayaan negara Malaysia. (68) Saya mengakhiri pembentangan ini, dengan melontarkan beberapa soalan yang berikut: 1) Keterlaluankah kami apabila kami mahu mengembalikan hak Sultan dan hak Negeri yang telah dirampas secara salah oleh UMNO Persekutuan yang memperkudakan kepemimpinan UMNO-BN Selangor? 2) Derhakakah kami jika kami mahu mengembalikan kedaulatan Negeri dan baginda Sultan yang memerintah negeri yang berdaulat ini? 3) Derhakakah mereka jika mereka menolak atau lari daripada menerima usul pindaan ini? Mohon, soalan-soalan ini dijawab di dalam Dewan yang mulia ini. Oleh itu, Dato' Speaker dan Ahli-ahli Dewan yang dimuliakan, saya mohon mencadangkan. Terima kasih./www.duniacacamarba.blogspot.com Sumber: Tan Sri Khalid Ibrahim * Jurublog: Anda berminat dengan artikel ini? Ambillah, tampallah, namun berilah kredit kepada blog ini. Terima kasih. | ||
| [Live-Sidang DUN Selangor] INTI PATI Ucapan/Hujah MB Selangor Posted: 23 Jan 2011 07:18 PM PST TERKINI! Sambung di sini Abdul Khalid Ibrahim: Oleh itu, Dato' Speaker dan Ahli-ahli Dewan sekalian, saya mohon mencadangkan. Abdul Khalid Ibrahim: Rakyat Selangor tidak meminta lebih. Mereka hanya mahu hak mereka sebagai rakyat negeri yang menyumbangkan 30 peratus kekayaan negara. Abdul Khalid Ibrahim: Pindaan dicadangkan adlh tanda komitmen kami utk mentadbir negeri berdaulat menurut aspirasi rakyat bertunjangkan konsep kepedulian rakyat Abdul Khalid Ibrahim: Menyedari hakikat ini, Pakatan Rakyat tidak akan meneruskan amalan tersebut. Abdul Khalid Ibrahim: Jika 3 pegawai exofficio tak dilantik dgn telus, ia boleh diputarbelit; samada olh pegawai kerajaan dr S/usaha Negeri, Istana atau PejabatMB Abdul Khalid Ibrahim: Panel Pemilihan ditubuhkan utk melakukan proses temu bual sebagai proses yg telus di samping menekankan unsur-unsur kompetensi dlm pemilihan Abdul Khalid Ibrahim:Tiada fungsi diberi kpd Setiausaha Negeri & pegawai kerajaan dlm istana utk berperanan dlm lantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yg baharu. Abdul Khalid Ibrahim: (iii) Setelah Tuanku berkenan memilih nama yg dicadangkan, MB menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA utk penyediaan dokumentasi lantikan Abdul Khalid Ibrahim: (ii) MB kemudian memilih calon-calon yg sesusai & menyerahkannya kepada DYMM Sultan Selangor bagi memohon perkenan Tuanku. Abdul Khalid Ibrahim: Nota Amalan mengatakan: i) Suruhunjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yg difikirkan layak (Gred 54 ke atas) kepada MB Abdul Khalid Ibrahim: Sekarang menggalurkan kronologi pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat jelas akan duduk perkara yang sebenar Abdul Khalid Ibrahim: Meskipun saya ketua kerajaan negeri, namun saya bukan sahaja tak dimaklumkan dlm hal pemilihan Setiausaha Negeri, malah saya dibelakangi.Abdul Khalid Ibrahim: UMNO berpendapat sebaliknya; bagi mereka, Raja Berperlembagaan ialah raja yang boleh dicucuk hidung dan diseret ke sana ke mari. Abdul Khalid Ibrahim: Kami percaya bahawa konsep Raja Berperlembagaan bermaksud raja yang kuasa mereka terbatas & dipandu oleh peruntukan & semangat Perlembagaan Abdul Khalid Ibrahim : Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang dalam perlembagaan. Abdul Khalid Ibrahim : Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undang-Undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan. Abdul Khalid Ibrahim :Inilah perkongsian pintar yang bukan sahaja selaras dengan kehendak pengurusan ekonomi semasa tetapi juga selaras dgn kehendak Perlembagaan Abdul Khalid Ibrahim : Pastinya DYMM Tuanku mempunyai input untuk diberi dalam soal perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Abdul Khalid Ibrahim : Kerajaan Negeri yakin tatkala ia ada hak utk nasihatkan Sultan, ia juga sedar bahawa kedudukan berkecuali & profesional perlu diberi peluang Abdul Khalid Ibrahim : … termasuk Istana, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mahupun Kerajaan Negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka. Abdul Khalid Ibrahim : Pakatan Rakyat ingin mengembalikan peruntukan yg asal krn kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak… Abdul Khalid Ibrahim : UMNO takut dgn Pakatan Rakyat yg hendak menghapuskan kongkongan ini; UMNO tak biasa dan tak berani bermain dlm lapangan sama rata & adil. Abdul Khalid Ibrahim : Media juga dikongkong. Rakyat tidak dapat bebas dengan adanya pelbagai kekangan untuk bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan. Abdul Khalid Ibrahim : UMNO mahu membolot & mengongkong segala-galanya; istana, kehakiman, dewan, perkhidmatan awam dan badan-badan lain termasuk SPR Abdul Khalid Ibrahim : UMNO menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dengan pindaan ini kerana mereka fikir Pakatan Rakyat juga mempunyai budaya politik seperti mereka. Abdul Khalid Ibrahim : Tegasnya, kerajaan yang memerintah dalam kerangka yang benar-benar demokratik tidak mungkin mempunyai kuasa mutlak. Abdul Khalid Ibrahim : Kerajaan yg memerintah tidak mempunyai kuasa mutlak. Selain menjawab soalan di dalam dewan mereka perlu berhadapan dgn rakyat di pilihanraya Abdul Khalid Ibrahim : Bagaimanapun, sebagaimana juga istana perkhidmatan awam kekal di situ walau apapun bentuk dan warna politik kerajaan yang memerintah. Abdul Khalid Ibrahim : Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang dalam perlembagaan. Abdul Khalid Ibrahim :Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undang-Undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan. Abdul Khalid Ibrahim : Inilah perkongsian pintar yang bukan sahaja selaras dengan kehendak pengurusan ekonomi semasa tetapi juga selaras dgn kehendak Perlembagaan Abdul Khalid Ibrahim : Pastinya DYMM Tuanku mempunyai input untuk diberi dalam soal perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Abdul Khalid Ibrahim : Kerajaan Negeri yakin tatkala ia ada hak utk nasihatkan Sultan, ia juga sedar bahawa kedudukan berkecuali & profesional perlu diberi peluang Abdul Khalid Ibrahim : … termasuk Istana, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mahupun Kerajaan Negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka. Abdul Khalid Ibrahim : Pakatan Rakyat ingin mengembalikan peruntukan yg asal krn kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak… Abdul Khalid Ibrahim : UMNO takut dgn Pakatan Rakyat yg hendak menghapuskan kongkongan ini; UMNO tak biasa dan tak berani bermain dlm lapangan sama rata & adil. Abdul Khalid Ibrahim : Media juga dikongkong. Rakyat tidak dapat bebas dengan adanya pelbagai kekangan untuk bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan. Abdul Khalid Ibrahim : UMNO mahu membolot & mengongkong segala-galanya; istana, kehakiman, dewan, perkhidmatan awam dan badan-badan lain termasuk SPR Abdul Khalid Ibrahim : UMNO menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dengan pindaan ini kerana mereka fikir Pakatan Rakyat juga mempunyai budaya politik seperti mereka Abdul Khalid Ibrahim : Tegasnya, kerajaan yang memerintah dalam kerangka yang benar-benar demokratik tidak mungkin mempunyai kuasa mutlak. Abdul Khalid Ibrahim :Kerajaan yg memerintah tidak mempunyai kuasa mutlak. Selain menjawab soalan di dalam dewan mereka perlu berhadapan dgn rakyat di pilihanraya Abdul Khalid Ibrahim :Bagaimanapun, sebagaimana juga istana perkhidmatan awam kekal di situ walau apapun bentuk dan warna politik kerajaan yang memerintah. Abdul Khalid Ibrahim : Pelaksanaan kuasa diletakkan di tangan kerajaan yang memerintah kerana mereka sahaja yang boleh disoal oleh wakil-wakil rakyat. Abdul Khalid Ibrahim : Raja-Raja menjadi lambang negeri dan perpaduan rakyat, yang menjangkaui politik kepartian. Abdul Khalid Ibrahim : Raja-Raja bertindak menurut nasihat supaya Istana dilindung daripada terperangkap dalam kontroversi dan politik. Abdul Khalid Ibrahim : MB dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) mesti bertanggungjawab terhadap segala keputusan dan dasar yang digubal dan dilaksanakan. Abdul Khalid Ibrahim: Bagi menyokong hujah ini, izinkan saya menegaskan kedudukan dan peranan istana, kerajaan dan perkhidmatan awam dalam pentadbiran negeri Abdul Khalid Ibrahim : Pakatan Rakyat berpendapat pindaan 1993 telah mengakibatkan kesan negatif kepada pentadbiran negeri. Abdul Khalid Ibrahim : UMNO sememangnya sentiasa berdolak-dalik dan tidak konsisten dan acap kali berselindung di sebalik istana apabila berlaku himpitan politik Abdul Khalid Ibrahim : Ada sarjana undang-undang yg berpendapat pindaan 1994 tidak sah krn melanggar Perlembagaan; khususnya Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan Abdul Khalid Ibrahim : Saya cadangkan YB-YB dari UMNO-BN membaca kembali berita tentang krisis Perlembagaan yang disiarkan dalam akhbar antara Nov 1992 - Mac 1993. Abdul Khalid Ibrahim : Hubungan tegang UMNO dgn Raja-Raja memuncak pada 1992 hingga membatas peruntukan mengenai kuasa mengampun Raja-Raja & keistimewaan imuniti Abdul Khalid Ibrahim : Perhimpunan Agung UMNO 1990 jadi medan memaki hamun Raja-Raja. Ada perwakilan yg meminta Perlembagaan dipinda utk membatas kuasa Raja-Raja Abdul Khalid Ibrahim :Penghakisan secara terancang terhadap kuasa Raja-Raja di negara ini oleh Umno bermula dengan pindaan Perlembagaan pada tahun 1983. Abdul Khalid Ibrahim : Sekarang membentangkan secara ringkas konflik antara UMNO dengan Raja-Raja sejak awal 1980-an lagi Abdul Khalid Ibrahim : Adakah UMNO meminta perkenan Sultan sebelum meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pada Mac 1993? Abdul Khalid Ibrahim : Kepemimpinan UMNO Selangor agak berdolak dalik umpama lalang; mula-mula mengugut mahu memboikot, selepas itu mahu hadir dgn bersyarat pula Abdul Khalid Ibrahim : Pakatan Rakyat juga komited untuk mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Abdul Khalid Ibrahim : Kami komited untuk menjunjung Perlembagaan, baik Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri yakni Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor Abdul Khalid Ibrahim : Kita hendak melakukan pindaan dan perubahan agar generasi mendatang tidak lagi berada dalam kekaburan dan kecelaruan. Abdul Khalid Ibrahim : Umno tidak mempunyai kekuatan diri untuk bangun mempertahankan hak rakyat negeri ini hatta hak Duli Yang Maha Mulia Sultan. Abdul Khalid Ibrahim : Selaku MB, saya bertanggungjawab utk memperbetul amalan sumbang yg selama ini dilakukan UMNO sejak pindaan 1993./www.duniacacamarba.blogspot.com * Jurublog: Anda berminat dengan artikel ini? Ambillah, tampallah, namun berilah kredit kepada blog ini. Terima kasih. | ||
| Malaon Ini TIDAK BOLEH MASUK DUN Selangor! Posted: 23 Jan 2011 06:35 PM PST Malaysia Kini dalam laporan pendeknya mendedahkan bahawa bekas ADUN Perlabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah muncul tetapi tidak dibenarkan masuk ke DUN. Hanya menonton persidangan melalui skrin besar. Takziah Badrul! Lain kali jangan suka ponteng! * Jurublog: Anda berminat dengan artikel ini? Ambillah, tampallah, namun berilah kredit kepada blog ini. Terima kasih. | ||
| [Edisi 24/1] Top 200 Blog Terpilih Malaysia: DUNIACACAMARBA Mengatasi Blog Najib Tun Razak Posted: 23 Jan 2011 05:55 PM PST
Santai. Kalau mahu lawan dari segi hit memanglah blog ini tidak mampu berbuat demikian. Namun dari segi ranking trafik Alexa kali ini DUNIACACAMARBA berjaya mengatasi blog Najib Tun Razak. Biarpun ranking trafik blog ini menurun, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengunjung. | ||
| [Gambar] Lihat Wajah "Guru Buas" Ini! Dia Merogol Murid 12 Tahun! Posted: 23 Jan 2011 04:00 PM PST Saya petik:
P/s: Lahanat betul! |
| You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |






Tiada ulasan:
Catat Ulasan