Ahad, 23 Januari 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Berterus teranglah - Jangan dipencilkan oleh kebenaran.

Posted: 23 Jan 2011 08:00 AM PST

Apa yang sedang dan telah berlaku diTunisia merupakan fenomena yang biasa jika kita baca perkembangan sesuatu pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara itu dalam jangka dan tempoh masa yang panjang. Kebaikan sesuatu pemerintahan hari ini akan membawa kebaikan kepada negara, politik, ekonomi dan semua bidang kehidupan manusia dalam sesebuah negara itu dalam jangka waktu yang panjang.

Begitu juga sebaliknya jika pemerintah menggunakan kuasa secara yang bertentangan dengan moral dan kehendak ramai kita akan menghadapi masalah dengan rakyat sesudah satu atau dua dekad selepas itu. Waktu kita menyedari kesalahan itu selalunya sudah terlalu lewat kerana kebencian rakyat yang tidak ditangani dari awal itu telah memuncak dan pemerintah itu sudah hilang keyakinan rakyat yang ditadbirnya.

DiTunisia dalam mana majoriti rakyat nya beragama Islam, mereka telah menahan dan bersabar sebegitu lama dengan sikap dan kelakuan buruk pimpinan Zainal Abidin ben Ali. Akhirnya rakyat bertindak dan berlaku seperti apa yang telah sama-sama kita saksikan dan dengar kerana sudah hilang kesabaran mereka. Revolusi yang berlaku diTunisia itu merupakan revolusi rakyat dan itu merupakan tindakkan yang 'natural' dimana-mana negara serta temaddun didalam rentetan sejarah dunia ini.

Pemusatan kuasa kepada sesuatu puak dan kegiatan rasuah yang terlalu bermaharajalela tidak dapat dikawal oleh pemimpin kerajaan kerana mereka lebih menumpukan kepada pembangunan peribadi masing-masing pemimpin. Pemerintah yang begitu 'oppressive' tidak ada tanda-tanda untuk surut.

Pembentukan kroni dikalangan yang berkuasa tidak ada hadnya. Untuk mengekalkan kuasa pemimpin-pemimpinnya melantik sesiapa sahaja yang sanggup menyokong tanpa menilai kualiti kepimpinan mereka. Yang penting mereka mesti memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap pemimpin yang sedang berkuasa.

Pemimpin Tunisia tidak terfikir yang suatu hari nanti rakyat akan memberontak terhadap kepimpinan dan akan membawa bencana kepada kepimpinan mereka. Mereka asyik dengan kekayaan dan glamour kerana mereka memikirkan yang tidak ada satu kuasa pun yang akan menurunkan mereka dari kekuasaan. Mereka berkelakuan seperti apa yang kita lihat dalam filem 'Titanic' dalam mana nakhoda kapal yang dinakhodakannya itu sangat kuat dan katanya Tuhan pun tidak akan dapat menenggelamkan kapal yang begitu besar dan gagah itu.

Akhirnya kapal itu tenggelam juga dan melemaskan setiap penumpang dan kakitangan kapal tersebut kecuali seorang.Kita boleh mempelajarai dengan apa yang berlaku diTunisia dan apa yang difilemkan didalam cerita 'Titanic' itu tadi. Dalam filem Titanic itu digambarkan betapa takburnya nakhoda kapal tersebut sehinggakan beliau masih bersukaria didalam kapal yang besar itu walaupun kapal tersebut sedang beransur-ansur tenggelam. Dalam keadaan kapal Titanic mula tenggelam nakhodanya masih lagi tidak mempedulikan keadaan itu dan terus menerus bersuka ria dengan musik, arak dan sebagainya.

DiTunisia pemimpin utamanya telah mengelolakan negara seperti negara tersebut adalah negeri kepunyaan beliau dengan isterinya. Isterinya telah mengambil segala peluang perniagaan dan telah terbentuk disekeliling isterinya barisan kroni-kroni yang tamak haloba. Sekarang Zainal Abidin Ali telah lari entah kemana dan negara ditinggalkan kepada orang nombor duanya yang juga mempunyai kelemahan yang sama. Sekarang ini beliau juga sedang menghadapi tekanan dari rakyat untuk meletakkan jawatan dan berundur terus dari menjadi pemimpin mereka.

Semalam seramai lebih kurang 30 orang yang dikenal pasti sebagai ahli keluarga dan kroni yang telah mengambil segala kekayaan negara ditangkap dan akan dibawa kepada pengadilan.Rakyat Tunisia kini terumbang ambing dan puncanya ialah negara dikuasai oleh pemimpin yang tidak berkemampuan. Rakyat akhirnya tidak sanggup menahan keadaan itu lagi. Hasilnya saudara/saudari sekelian telah menyaksikannya dengan mata kepala kita sendiri.

Persoalannya sekarang, apakah ada atau tidak sedikit sebanyak relevannya keadaan diTunisia dan cerita yang difilemkan didalan Titanic tadi kepada kita? Kalau masih tidak mencukupi bukti yang pemimpin dan isteri boleh menghancurkan negara kita ambil contoh dinegara jiran kita Filipina semasa pentadbiran Marcos dan isterinya yang berkuasa dan berpengaruh, Imelda Marcos. Marcos akhirnya telah lari ke Hawaii dimana beliau meninggal dunia.

Seperti diTunisia kita tidak sensitive dengan perasaan orang ramai. Rakyat dari dahulu lagi mahukan pemimpin-pemimpin yang membawa beban diketepikan oleh pucuk pimpinan, tetapi pucuk pimpinan semasa itu dan sekarang memilih untuk mengekalkan mereka kerana mahukan sokongan yang tidak berbelah bagi untuk terus berkuasa.

Sepatutnya dahulu lagi diansur-ansur mengenepikan pemimpin yang tidak berguna ini satu demi satu. Sepatutnya kita lakukan ibarat memakan tabu, busuk seruas dibuang seruas tetapi kini keseluruhan batang tebu itu sudah busuk.

Tidak boleh lagi dibuang seruas lepas seruas tetapi melakukan tanaman semula (replanting) secara besar-besaran. Orang seperti saya tidak mahu melihat keadaan seperti yang berlaku diTunisia berlaku disini.

Kita mesti cari seorang pemimpin Melayu yang berkemampuan untuk menyatukan semua pihak yang bertelagah agar kita segera menyelesaikan masalah yang terlalu rumit untuk diuruskan ini. Semua pihak mesti berikhtiar untuk mencari penyelesaian yang tidak mungkin mampu dilakukan oleh seorang pun yang berada didalam kerajaan pada hari ini.

Rakyat berhak untuk menentukan cara penyelesaiannya jika pemimpin-pemimpin pada hari ini masih beretorik dan menyanyikan lagu-lagu yang lama semata-mata. Pada hakikatnya kita sudah nampak yang rakyat tidak lagi mahu menonjolkan mana-mana parti tetapi sedang mencari pemimpin pengalaman yang mampu menjadi penyelamat kepada keadaan yang menggusarkan ini.

Bagi sesiapa yang berterus terang seperti saya, tekanannya bukannya kecil. Ianya amat memedihkan. Ramai yang bertindak memencilkan saya, tetapi tidak mengapa asalkan saya tidak dipencilkan oleh kebenaran.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/01/berterus-teranglah-jangan-dipencilkan.html

Selangkah ke Putrajaya, jangan asyik buat silap

Posted: 23 Jan 2011 07:30 AM PST

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Dalam perlawanan bolasepak, mana-mana pasukan yang mempunyai kelebihan gol biasanya akan mengutamakan benteng pertahanan dari memikir untuk menambahkan lagi jaringan apabila tiba waktu-waktu terakhir wisel penamat ditiupkan. Perkara yang lebih penting dari itu ialah pasukan mestilah berhati-hati, jangan bermain kasar sehingga dikenakan kad kuning, merah atau penalti.

Wisel pilihanraya umum ke 13 belum ditiupkan, tetapi senario politik menunjukkan pilihanraya semakin hampir. Baki masa yang tinggal sebelum perbubaran Parlimen akan menjadi lebih pendek berbanding tempoh yang telah dilalui.

Dalam situasi yang ada Pakatan Rakyat mempunyai kelebihan dari segi sokongan pengundi muda dan pengundi bukan Melayu. Walaupun jentera utama BN iaitu 3M (money, machinery dan media) masih memihak kepada BN, keputusan dalam setiap pilihanraya kecil yang diadakan masih tidak berbaloi dengan apa yang mereka laburkan. Jika pilihanraya umum diadakan sekarang, belum tentu BN mampu mempertahankan kedudukan mereka di Pusat.

Maka dalam tempoh permainan yang berbaki ini, parti mana pun dalam Pakatan Rakyat sangat perlu berhati-hati dan hendaklah mengelak dari melakukan kesilapan. Kita tidak boleh menyalahkan musuh kerana memanipulasi apa-apa insiden politik, kerana kesan yang berlaku hampir dengan pilihanraya adalah kuat berbanding tempoh yang jauh dari pilihanraya. Maklumlah bukan sahaja Melayu, malah rakyat 1Malaysia adalah bangsa yang mudah lupa akan perkar yang jauh.

Tindakan dan percakapan ahli politik akan menjadi input dalam penilaian rakyat jelata terhadap mana-mana parti politik. Ia menentukan arah kecenderungan rakyat dalam memilih atau membuat keputusan.

Di kesempatan ini, saya ingin menyenaraikan beberapa contoh pembaziran perbuatan dan perkataan yang berlaku di kalangan ahli politik Pakatan Rakyat.

Di saat seluruh kekuatan Pakatan di Selangor digunakan untuk menghadapi percaturan jahat BN, melalui pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri pro Umno, tidak perlu rasanya ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafiei membuat apa-apa ulasan mengenai istana dalam konflik tersebut. Ia boleh dimanipulasi. Dalam kaedah politik, tidak bijak untuk mengumpul semua seteru dalam satu masa untuk dihadapi. Lagipun kita tidak mempunyai kekuatan untuk menghadapi pihak tersebut, bahkan tidak menjadi keutamaan langsung untuk 'melayan' kerenah mereka. Nah, sekarang tak fasal-fasal musuh berjaya mengalih isu pokok kepada isu lain yang lebih merumitkan. Betul, apa yang dinyatakan Shuhaimi tidak lebih teruk dari penghinaan Umno terhadap raja-raja Melayu pada tahun 1993 tapi soalnya semua media utama masih dikuasai BN dan mereka mempunyai kelebihan untuk memanipulasi isu.

Ramai tertanya-tanya apa perlunya ADUN Komtar, Ng Wei Aik turun bersama penguatkuasa merampas peralatan perniagaan restoran yang didakwa melanggar peraturan. Itu bukan kerja orang politik! Beliau bukan setakat tidak wajar mengarahkan penguatkuasa bertindak, bahkan berada di tempat kejadian pun tidak perlu. Biarkanlah penguatkuasa yang dibayar gaji itu menjalankan tugasnya. Ng Wei Aik adalah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, lantas dia membawa imej Lim Guan Eng, DAP dan Pakatan Rakyat. Tindakan ahli politik DAP dalam isu yang remeh itu langsung tidak akan menambah undi, bahkan boleh dimanipulasi lawan untuk memburukkan imej kerajaan Pakatan Pulau Pinang.

Dalam menghadapi kemelut di Selangor, Exco Kerajaan Negeri Dr. Halimah Ali memberitahu rakyat seluruh negara bahawa "kami dah tak larat untuk lakukan semua perkara…". Sungguh tidak wajar pemimpin politik menuturkan perkataan yang begitu pasif. Rakyat sukar nak menghormati sebuah kerajaan yang semacam 'mengaku kalah' dalam apa-apa isu pun. Ungkapan yang patut disemarakkan kepada rakyat ialah, "biar patah sayap bertongkat paruh, namun perjuangan tetap kami teruskan!"

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan memberitahu media bahawa mereka memberi tumpuan kepada pengundi muda dan akan menghantar sekurang-kurangnya 500 ahli Pemuda ke Tenang. Beliau memberi butiran aktiviti yang akan dijalankan satu persatu kepada media. Musuh tahu semua bentuk peluru yang akan digunakan.

Perbuatan Nasrudin mengingatkan kita kepada pilihanraya kecil Lunas tahun 2000. Ketua Pemuda masa itu, Datuk Hishamudin Hussein turun memberitahu bahawa Pemuda BN akan bertemu dengan setiap orang pengundi muda. Selepas itu beliau lesap keluar negeri sedang apa yang dicanang tidak dilakukan pun. Pihak lawan yang mendengar pendedahan strategi BN itu, merancang program balas. Ia antara sebab calon KeADILan, Saifudin Nasution menang di Lunas.

Jadi apa perlu Nasrudin mendedahkan strategi Pemuda PAS kepada musuh? Ini pun satu contoh pembaziran perkataan yang merugikan parti.

Banyak lagi contoh tindakan dan perkataan yang merugikan parti yang dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat di saat kita cuma selangkah dari Putrajaya. Tersalah langkah boleh memanjangkan jarak perjalanan menjadi lima atau sepuluh tahun.

Ia mengingatkan kita kepada Operasi Lallang Oktober 1987, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Ustaz Abu Bakar Chik yang dikatakan tersenarai dalam tangkapan ISA menghilangkan diri ke luar negeri. Mereka tidak kena ISA kerana muncul setelah keadaan menjadi reda. Tapi ada seorang pemimpin PAS yang bersembunyi berhari-hari. Beliau tersalah langkah kerana keluar untuk pulang ke rumah pada masa yang salah, lalu dicekup. Jarak dari tempat persembunyian dengan rumah hanya kira-kira 5 kilometer tetapi mengambil masa dua tahun untuk sampai ke rumah kerana tersalah langkah.

Laporan polis terhadap INTERLOK

Posted: 23 Jan 2011 07:00 AM PST

Laporan polis oleh P. Sugumaran di Ipoh pada hari Ahad, 23hb Januari 2011:

Laporan polis terhadap INTERLOK

Saya mewakili kaum India, ingin membuat laporan Polis terhadap sikap dan pendirian KEMENTERIAN PENDIDIKAN & KERAJAAN MALAYSIA yang sengaja mahu memperpanjangkan isu kontrovesi NOVEL INTERLOK tanpa apa-apa tindakan yang sewajar untuk membatalkannya.

Novel INTERLOK yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu sememangnya tidak boleh diterima oleh mana-mana kaum India yang bermaruah kerana kandungannya tidak berasas, menghina, menyentuh sentiviti kaum serta fakta-fakta sejarah yang kurang tepat yang sengaja diputarbelitkan dengan niat untuk menjatuhkan maruah kaum India secara keseluruhan.

Novel INTERLOK tidak perlu lagi dikaji semula untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak bagi mencerminkan kemurniaannya. Tetapi ianya harus dibatalkan dengan serta merta bagi mengelakkan sebelum kandungan Interlok mencetuskan keretakkan pada keharmonian dan perpaduan Negara yang didiami oleh berbilang kaum masyarakat.

Watak yang diperkatakan dalam Novel itu juga tidak menunjukkan nilai positif dimana jikalau ianya digunakan sebagai sumber pengajian diperingkat sekolah maka sudah pasti ianya tidak akan membenihkan nilai murni selain daripada sikap kebencian kaum lain pada kaum India.

Selain daripada itu, penulis juga tidak menunjukkan kejujuran atau tidak mengkaji secara mendalam mengenai salah-silah perkauman orang India sebelum menulis Novel Interlok.

Oleh yang demikian saya mendesak Kementerian Pendidikan & Kerajaan Malaysia supaya membatalkan Novel INTERLOK itu dengan kadar yang segera.

Sekian Laporan saya.

*P.Sugumaran, Pengarah Biro Pendidikan Politik DAPSY Negeri Perak

Kelantan tubuh j/kuasa khas jaga kepentingan bekas sultan

Posted: 23 Jan 2011 06:45 AM PST

KOTA BHARU, 23 Jan. - Kerajaan Kelantan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menjaga kepentingan dan hak istimewa serta keselamatan bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra, berkuatkuasa 29 Disember lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd. Aiseri Alias berkata, penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Keistimewaan dan Keselamatan bekas Sultan Kelantan itu adalah di atas titah Sultan Muhammad V.

Jawatankuasa itu katanya, dipengerusikan beliau sendiri manakala Pengelola Istana Diraja Datuk Ahmad Mahmood sebagai setiausaha.

Selain itu, lima dilantik sebagai anggota termasuk Pengarah Kesihatan Kelantan Dr. Mohd. Kamil Hassan; Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Datuk Dr Ghazali Hasni Hassan dan Timbalan Ketua Polis Kelantan ACP Mazlan Lazim.

Dua lagi ialah Pengarah Kampus Kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Prof Datuk Dr. Mafauzy Mohamed dan Prof Datuk Dr. Wan Mohammad Wan Bebakar juga dari HUSM, katanya kepada pemberita, di sini hari ini. - Bernama

Nasib media di Singapura — Ku Seman Ku Hussain

Posted: 23 Jan 2011 06:26 AM PST

23 JAN — Ketika beberapa wartawan "berkokok" menuntut kebebasan akhbar dan berita kokokan ini disiarkan di portal berita yang propembangkang di negara ini, di Singapura kerajaan akan menyekat sebuah portal berita liberal yang propembangkang.

Seperti semua orang tahu, di Singapura kononnya ada demokrasi tetapi tidak ada pembangkang. Mereka akan dicantas awal-awal lagi dengan cara yang sah di segi undang-undang termasuk memufliskan ahli pembangkang. Dengan cara ini ahli berkenaan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat.

Tindakan menyekat portal berita The Online Citizen dianggap sebagai percubaan menghalang portal berita itu menjadi wadah politik dalam pilihan raya umum Singapura tahun ini. Kerajaan Singapura telah menyenaraikan The Online Citizen sebagai satu pertubuhan politik. Apabila menjadi sebuah pertubuhan politik, The Online Citizen akan dihalang menyokong mana-mana parti politik atau calon dalam pilihan raya akan datang. Bukan itu sahaja malah diharamkan menerima sebarang bantuan dan sumbangan dari luar negara.

Singapura kini berada di tangga 133 daripada 175 negara dalam senarai Kebebasan Akhbar 2009 yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders. Singapura tidak peduli dengan Reporters Without Borders kerana tindakan mengkembirikan media bukanlah suatu yang baru. Pemerintah akan melakukan semua cara untuk memastikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) terus berkuasa dan membunuh semua parti-parti pembangkang lainnya.

Tidak lama dulu mahkamah di Singapura telah menjatuhkan hukuman denda penjara enam minggu kepada penulis buku, Once a Jolly Hangman: Singapore Justice in the Dock, Alan Shadrake. Penulis British ini didapati bersalah kerana mempersoalkan ketelusan dalam sistem perundangan Singapura. Shadrake didenda $S20,000 dan terpaksa merengkok dalam penjara. Inilah undang-undang yang dikuatkuasakan di Singapura untuk menghalang media mencambahkan sudut pandangan baru terhadap politik dan sosial di negara itu. Sudut pandangan ini dilihat memberi cabaran kepada parti pemerintah yang sedia ada.

Mahkamah Tinggi Singapura juga pernah mendenda majalah The Wall Street Journal Asia yang berpangkalan di Hong Kong sebanyak £10,700 kerana menghina mahkamah. Majalah tersebut didakwa menyiarkan rencana pengarang dan surat pemimpin pembangkang yang mempersoalkan sistem perundangan negara itu. Kebebasan media dikembirikan apabila surat pemimpin pembangkang yang mendedahkan ketiadaan kebebasan dalam sistem perundangan di Singapura dianggap menghina mahkamah.

Buku The Death and Life of American Journalist oleh Robert McChesney dan John Nichols antara lain mengatakan, tahap kebebasan media boleh yang tinggi boleh membantu kelicinan pentadbiran, menggerakkan ekonomi dan menyuburkan budaya yang sihat.

Sebenarnya kita tidak pasti adakah wartawan di negara ini yang menjulang sepanduk bertulis "Kebebasan Akhbar - Press Freedom" di negara ini faham apa yang dilakukannya. Di Singapura adegan wartawan "berkokok" seperti ini tidak wujud kerana kerajaan melangsungkan acuan bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew yang tidak membuka pintu kepada media. Tetapi kerajaan Singapura jarang menjadi sasaran pejuang media kerana suara mereka dikembirikan awal-awal lagi.

Tokoh wartawan Said Zahari yang juga bekas Pengarang Utusan Melayu pernah ditahan tanpa bicara selama 17 tahun di Singapura. Bagi Lee Kuan Yew wartawan yang berhaluan kiri seperti Said Zahari termasuk Allahyarham Samad Ismail sangat bahaya kepada kuasa politiknya. Kerana itu Singapura telah diasuh supaya berwaspada dengan media dan mengambil tindakan segera tanpa tolak ansur.

Apa yang berlaku kepada portal berita The Online Citizen adalah satu tindakan biasa, barangkali teraju portal berita itu sudah menjangka nasib yang akan diterima apabila menyuarakan sudut pandangan yang bertentangan dengan arus perdana politik PAP. Semua jentera kerajaan termasuk perundangan digunakan untuk mengekang media menjadi suara perubahan kepada satu sistem politik ciptaan Lee Kuan Yew. Di Singapura langsung tidak ada kebebasan media kerana kerajaan percaya membuka sedikit ruang akan membawa masuk pemikiran yang membahayakan politik pemerintah.

Cara Singapura mengekang anasir-anasir yang mendatangkan bahaya kepada PAP begitu licin dan menggunakan undang-undang. Maka tidak kelihatan Singapura mengekang kebebasan media tetapi meletakkan di bawah undang-undang yang sedia ada misalnya menyenaraikan media sebagai pertubuhan politik. Media di Singapura dihalang menyuarakan sudut pandangan yang bertentangan dengan arus perdana. Ini berbeza di Malaysia kerajaan memberi lesen kepada portal-portal berita yang jelas menjurus politik pembangkang serta memecahbelahkan rakyat.

Di Malaysia, suara yang menuntut kebebasan media boleh disiarkan di media yang diberi lesen oleh kerajaan. Benarkah tidak ada kebebasan media apabila kritikan keras golongan ini disiarkan dengan bebasnya tanpa dikenakan tindakan undang-undang? Perkara seperti ini tidak pernah atau akan berlaku di Singapura kerana kerajaan di sana tegas dan tidak takut dilabelkan anti kebebasan media.

Di negara ini yang didakwa oleh sesetengah pihak tidak ada kebebasan media tidak melakukan tindakan memangkas dan mencantas seperti di Singapura. Memang benar tidak ada kebebasan media yang mutlak di negara ini. Tetapi portal-portal berita berita propembangkang seperti Malaysiakini, The Malaysian Insider, Malaysia Today selain beribu-ribu blog bebas menyiarkan pandangan politik mereka. Malaysiakini mendakwa inilah media yang bebas, tidak seperti media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times yang dilabelkan prokerajaan.

Apabila portal seperti Malaysiakini bebas membuat laporan yang berat sebelah, condong kepada pembangkang masih terus beroperasi seperti biasa, ini adalah ciri-ciri kebebasan media di negara ini walaupun tidak mutlak. Malah berita wartawan yang menuntut kebebasan media juga disiarkan secara melampau di Malaysiakini. Apakah masih tidak ada kebebasan? Semua komen-komen dalam Malaysiakini menyokong portal itu dan komen yang bertentangan dengan mereka disekat. Inikah wajah di sebalik topeng kebebasan media yang diperjuangkan oleh Malaysiakini?

Di Malaysia, laporan-laporan dalam portal berita propembangkang bukan sahaja berat sebelah malah menggugat keharmonian hubungan antara kaum. Portal ini sengaja membawa perbincangan kepada anti orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam.

Mereka yang sekular mendakwa kononnya memenuhi tuntutan profesionalisme waima melaporkan daripada sudut yang boleh menimbulkan kemarahan kaum lain kepada Melayu. Misalnya Malaysiakini sengaja membesarkan laporan seorang wartawan media arus perdana yang dikenakan tindakan menggantung perkhidmatannya sementara menunggu siasatan atasnya selesai.

Bagi portal-portal propembangkang, tindakan ada kebebasan di media arus perdana. Padahal kewujudan portal-portal yang sangat perkauman itu sendiri membuktikan mereka diberi kebebasan media lebih daripada yang sepatutnya.

Kebebasan yang melampau menjadi media sebagai alat pemusnah bangsa dan negara. Kesan daripada kebebasan media yang tanpa sempadan boleh dilihat pada pasca Suharto di Indonesia. Indonesia menjadi bertambah parah selepas cengkaman kepada media dilepaskan sebebas-bebasnya hingga melanggar adab dan tuntutan profesionalisme. Selepas kejatuhan Suharto pada 1997, media Indonesia menjadi mabuk dengan kebebasan yang tidak bersempadan. Terbukti di Indonesia hari ini rakyat sudah tidak menghormati media.

Ketegasan Singapura mengawal media dan keterbukaan yang luar biasa Indonesia kepada media seharusnya memberi pengajaran kepada Malaysia untuk berada pada tahap sederhana. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang kelihatan sangat tegas sebenarnya tidak menggunakan kuasa yang ada untuk mengekang beberapa portal berita yang menjadi agen meruntuhkan perpaduan kaum.

Portal-portal ini terus diberi kebebasan oleh SKMM dan ini seolah-olah menghina portal dan akhbar yang lebih bertanggungjawab kepada rakyat dan negara. Tidak perlu jadi Singapura atau Indonesia, biarlah kita bebas dalam kewarasan. — Mingguan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

SPR serupa macam HEP di kampus

Posted: 23 Jan 2011 05:15 AM PST

Oleh Mohd Aizat Mohd Salleh

Ketika kepanasan bahang pilihan raya kecil DUN Tenang, rakan-rakan mahasiswa kita di kampus kini sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya kampus (PRK) yang bakal menjelang akhir bulan Januari atau awal Februari ini.

Dalam pilihan raya umum, Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebagai badan yang menguruskan pilihan raya. Mereka bolehlah dianggap sebagai badan bebas yang melancarkan serta mentadbir urusan pilihan raya.


Jika dalam pilihan raya kampus, maka yang menguruskan pilihan raya itu adalah Jawatankuasa Pemilihan MPP yang biasanya yang menjadi ketua adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP). Peranannya sama, iaitu menguruskan pilihan raya kampus agar berjalan lancar.

Peranan

Kedua-dua badan atau jawatankuasa ini jika diperhatikan, sama tugasnya. Malah kadang-kadang turut sama 'perangainya'. Kedua-dua badan ini juga dipertikaikan kewibawaannya. Jika di luar, rakyat mempertikaikan, manakala di kampus adalah mahasiswa.

SPR dilihat seringkali menjadi alat kepada parti pemerintah (UMNO-BN), sedangkan sepatutnya badan bebas yang menguruskan pilihan raya sewajarnya tidak memihak mana-mana parti.

Misalnya, dalam ketetapan terbaru yang dinyatakan SPR ketika taklimat kepada parti bertanding di DUN Tenang bertarikh 21 Januari 2011, bahawa hanya parti yang bertanding sahaja yang dibenarkan meletakkan gambar dan lambang mereka.

Selain itu, tindakan SPR memindahkan pengundi berdaftar yang majoritinya berbangsa Cina ke pusat pengundian yang baru pada 17 Januari 2011 turut memperlihatkan tindakan menyelamatkan BN yang kehilangan sokongan pengundi Cina.

Ia serupalah apa yang berlaku di kampus. Dan peranan itu diambil oleh Jawatankuasa Pemilihan MPP untuk menyelamatkan calon-calon Aspirasi yang tidak disokong mahasiswa.

Misalnya di dalam pilihan raya kampus tahun lalu (2010) di Universiti Malaya, mereka memperkenalkan sistem pengundian yang baru iaitu e-voting. Dengan alasan ia lebih memudahkan pengiraan sedangkan tidak melalui perbincangan dengan mahasiswa.

Selain daripada itu, calon-calon Pro-Mahasiswa disekat daripada berkempen di kolej-kolej kediaman, dengan alasan bahawa kawasan berkempen di kolej hendaklah mendapat kebenaran pihak kolej yang mana keseluruhan pentadbir kolej adalah 'orang-orang' mereka.

Semua peraturan itu dicipta bagi memudahkan kemenangan mereka. Serupa saja apa yang dilakukan SPR kepada Pakatan Rakyat, dan HEP kepada mahasiswa di kampus.

PRK sendiri

Oleh kerana itu sejak dahulu lagi, mahasiswa menuntut agar pilihan raya kampus di universiti dikendalikan sendiri oleh mahasiswa. Bukan tidak percaya kepada pentadbiran mahupun HEP, bahkan rekod-rekod buruk mereka telah menghakis keyakinan mahasiswa kepada mereka.

Begitu juga yang berlaku kepada rakyat. Mana mungkin organisasi seumpama MAFREL dan badan antarabangsa perlu turun memantau pilihan raya jikalau pilihan raya itu telus dan adil.

Saya teruja dengan pendirian Pro-mahasiswa UPM yang mendesak pentadbiran agar pengurusan pilihan raya kampus dikembalikan kepada mahasiswa. Biarlah mahasiswa yang menentukan masa hadapan politik kampus mereka.

Peringatan

Parti pemerintah pada hari ini harusnya perlu bersyukur dengan sikap dan pendirian parti dan rakyat di Malaysia. Kita masih lagi 'sopan' dan 'lembut' dalam menangani soal-soal demokrasi dan penipuan parti pemerintah.

Justeru, pengiktibaran perlu diambil daripada apa yang berlaku kepada pemerintah Ben Ali di Tunisia. Rakyat bangkit melalui revolusi, bukan lagi demokrasi. Namun apa yang lebih membanggakan, ia dicetuskan oleh seorang mahasiswa atau anak muda yang membakar dirinya kerana kenaikan memeritkan harga barang.

Mungkin pilihan raya kampus akan datang ini medan menukarkan demokrasi kepada revolusi, andai jalan demokrasi disekat lagi? Ayuh bangkit anak muda dan mahasiswa!

Polis Tahan Sembilan Orang Buat Demostrasi Bantah Interlok

Posted: 23 Jan 2011 04:15 AM PST

TASEK GELUGOR, 23 Jan (Bernama) -- Polis menahan sembilan orang termasuk lima wanita yang ingkar dengan arahan agar bersurai, ketika berkumpul secara haram di Taman Desa Puri di sini Ahad bagi membantah penggunaan novel Interlok sebagai teks sastera untuk pelajar Tingkatan Lima.

Kesemua mereka yang berusia antara 18 dan 42 tahun itu adalah antara kira-kira 20 orang yang berkumpul sejak pukul 10 pagi sebelum diarah bersurai oleh polis kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Sembilan orang ini ditahan kerana ingkar dengan arahan supaya bersurai dan telah dibawa ke Balai Polis Tasek Gelugor di sini untuk diambil keterangan," kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Zulkifli Illias kepada Bernama di sini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Polis juga turut merampas beberapa keping poster yang dibawa kumpulan penunjuk perasaan itu yang dipercayai penduduk kawasan tersebut, katanya.

Interlok: Siri aduan polis dibuat, NGO mahu bangkit di Tenang

Posted: 23 Jan 2011 03:37 AM PST

KUALA LUMPUR, 23 Jan — Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (Prima) hari ini membuat aduan polis hampir di seluruh negara mendakwa novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain menghina masyarakat India negara ini.

Susulan aduan polis itu beberapa gabungan pertubuhan bukan kerajaan India bercadang mahu membawa isu berkenaan ke Tenang dengan membantu calon PAS dalam pilihan raya kecil jika kerajaan tidak menarik balik novel itu dengan segera.

Kempen pilihan raya kecil Tenang bermula semalam dengan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Presiden Prima Dr V Suppiah berkata ahli persekutuan itu membuat laporan polis di ibu negara, Pulau Pinang, Kelantan dan Melaka serentak tengah hari tadi.

"Kami meminta agar polis menyiasat kandungan novel yang didapati menghina kaum India," kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Malah kata beliau, sekitar 14 orang pengokut Prima juga ditahan di Tasek Gelugor hari ini ketika hendak membuat laporan polis.

Prima juga sebelum ini mendesak supaya novel yang kontroversial buat masa sekarang itu ditarik balik daripada digunakan sebagai buku teks sastera Tingkatan Lima.

Dalam pada itu, bekas presidennya AP Raja Retinam pula berkata, pihkanya akan turun ke Tenang untuk berkempen bagi calon PAS-Pakatan Rakyat Rabu ini sekiranya kerajaan tidak membuat keputusan menarik balik novel berkenaan.

"Nampaknya, Menteri Pelajaran dan Kabinet enggan membuat keputusan supaya Interlok ditarik balik... kerajaan tidak menghormati sensitiviti kaum India walaupun ada desakan agar ia ditarik balik, novel yang tidak sesuai untuk pelajar sekolah," kata beliau kepada The Malaysian Insider mengulas pendirian MIC mengenai isu itu hari ini.

MIC mahu Kementerian Pelajaran menghormati pendirian wakilnya yang menggesa agar Putrajaya menarik balik novel Interlok daripada digunakan sebagai bahan teks sastera Tingkatan Lima.

Presidennya Datuk G Palanivel berkata, kesemua tujuh ahli panelnya pada pertemuan dengan Kementerian Pelajaran Selasa lalu telah bersetuju bahawa novel kontroversial itu wajar ditarik balik daripada digunakan di sekolah.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, polis menahan sembilan orang termasuk lima wanita yang ingkar dengan arahan agar bersurai, ketika berkumpul secara haram di Taman Desa Puri, Tasek Gelugor hari ini, bagi membantah penggunaan novel Interlok sebagai teks sastera untuk pelajar Tingkatan Lima.

Kesemua mereka yang berusia antara 18 dan 42 tahun itu adalah antara kira-kira 20 orang yang berkumpul sejak pukul 10 pagi sebelum diarah bersurai oleh polis kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Sembilan orang ini ditahan kerana ingkar dengan arahan supaya bersurai dan telah dibawa ke Balai Polis Tasek Gelugor di sini untuk diambil keterangan," kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Zulkifli Illias kepada Bernama.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Polis juga turut merampas beberapa keping poster yang dibawa kumpulan penunjuk perasaan itu yang dipercayai penduduk kawasan tersebut, katanya.

Semalam, DAP juga berkata ia akan membawa kontroversi novel sastera Interlok ke medan pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang yang mempunyai 1,780 pengundi India jika kerajaan enggan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Naib pengerusinya M. Kulasegaran juga mengetepikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pertemuan Selasa lalu antara wakil MIC, pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang lain berakhir dengan konsensus bahawa penggunaan novel itu oleh pelajar-pelajar Tingkatan Lima tidak berniat mahu menghina kaum India.

"Penjelasan sedemikian atau hujah itu sebenarnya mengabaikan satu perkara penting di mana tiada seorang pun mempersoalkan niat penulis," kata Kulasegaran.

Chong Wei rangkul Terbuka Malaysia kali ketujuh

Posted: 23 Jan 2011 03:35 AM PST

KUALA LUMPUR, 23 Jan — Pemain badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia untuk merangkul gelaran Terbuka Malaysia buat kali ketujuh sebentar tadi.

Anak buah Datuk Misbun Sidek itu mengatasi Taufik 21-8 dan 21-17 dalam masa 35 minit untuk muncul juara kejohanan kali ini.

Beg udara : Beri Insentif kepada pengguna

Posted: 23 Jan 2011 02:30 AM PST

SHAH ALAM, 23 Jan – Kerajaan sebagai penggubal polisi perlu memperkenalkan mekanisme insentif atau bantuan bagi membantu pemilik kenderaan lama yang mungkin tidak mampu memasang atau membeli kereta yang mempunyai beg udara.

Bercakap kepada Selangor Kini, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mahu cadangan mewajibkan pemasangan beg udara atau 'airbag' mulai 2012 tidak membebankan pengguna jalan raya dan pemilik kenderaan.

Beliau juga mempersoalkan betapa pengimport dan pengeluar kereta tempatan perlulah terlebih dahulu menawarkan beg udara sebagai aksesori standard bagi mengelak bebanan kos kepada pengguna.

"Pengeluar dan pengimport mesti memastikan semua kereta yang masuk ke dalam negara ini sepatutnya disiapkan dengan kemudahan beg udara bukan bila selepas kerajaan wajibkan baru nak pasang, ini semua sudah tentu kos lebih tinggi dari kereta yang memang dah ada beg udara.

Kerajaan harus sediakan insentif supaya kos pemasangan airbag itu lebih rendah sebab bagi kereta yang tak ada airbag, kos dia lebih," katanya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha telah mengumumkan awal minggu ini semua kenderaan kecuali kenderaan pacuan empat roda diwajibkan memasang beg udara bagi mengelak risiko lebih tinggi termasuk kematian terhadap pemandu atau penumpang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun menurut Mahfuz, beg udara bukanlah jawapan kepada masalah sebenar iaitu punca kemalangan jalan raya yang tinggi di negara ini.

Malah pemasangan beg udara tetap perlu diselia bagi memastikan menepati spesifikasi keselamatan dan pemasangan oleh satu badan khas bagi memastikan ianya
efektif.

"Airbag hanya berfungsi apabila berlaku kemalangan sebagai penampan untuk selamat pemandu tapi bukan untuk kemalangan. Yang lebih penting kempen kesedaran untuk elak kemalangan itu perlu dilakukan.

Pastikan barang-barang ini diperakui oleh satu badan seperti ABS oleh badan seperti sirim bukan hanya letak memenuhi syarat. Itu takkan dapat atasi masalah yang kita harapkan," ujar Mahfuz lagi.

Mahfuz turut menyarankan agar cukai dan duti import kereta dimansuhkan bagi membolehkan pengguna membeli kereta luar negara yang rata-rata mempunyai ciri keselamatan yang tinggi sebagai standard bagi mengurangkan lagi masalah kemalangan jalan raya.

"Kerajaan harus melihat kepada harga kereta. Orang boleh beli kereta baru yang ada airbag ini, kerajaan mesti ikut langkah yang dibuat di negara lain,cukai import dan eksais mesti tiada. Sebab kalau tanpa cukai kereta memang ianya murah.Kalau kereta itu dibeli dengan harga yang murah, maka orang bolehlah beli kereta yang baru yang memang sudah ada airbag ini," ulas Mahfuz.

PAS tidak bimbang jika BN guna isu negara Islam

Posted: 23 Jan 2011 02:08 AM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

LABIS, 23 Jan — PAS tidak bimbang sekiranya Barisan Nasional (BN) terus menggunakan isu negara Islam untuk meraih sokongan pengundi-pengundi di Tenang, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub hari ini.

Salahuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang berkata, parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan membantu menjelaskan perkara tersebut kepada pengundi bukan Melayu di kawasan itu.

"Kita tidak bimbang tentang itu (negara Islam) kerana kita dah ada satu pendekatan bahawa majoriti pendekatan dan kempen akan dihasilkan oleh PKR dan DAP.

"Jadi kita tak perlu risau... kita tidak bimbang, PKR dan DAP akan bantu jelaskan," kata beliau dalam temu bual dengan The Malaysian Insider hari ini.

Ini bukan kali pertama BN menggunakan isu negara Islam ketika berhadapan dengan saingan pilihan raya kecil.

BN melalui parti komponennya, MCA berkata akan membawa isu-isu seperti negara Islam dan janji-janji yang tidak ditunaikan oleh pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS sejak pilihan raya umum lalu.

Ini sedikit sebanyak menyebabkan Pakatan Rakyat berada dalam kedudukan defensif.

Malah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek turut menimbulkan isu tidak bersalam terhadap calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman sebelum ini.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan agenda PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat berkuasa adalah baik bagi "mengingatkan" masyarakat Cina di DUN Tenang.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Normala, seorang bekas guru juga merupakan Exco Dewan Muslimat PAS pusat.

Menurut Salahuddin, Pakatan Rakyat akan memberi tumpuan terhadap isu-isu rakyat terutamanya dari aspek permasalahan rakyat di kawasan Tenang.

Selain itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, Pakatan Rakyat juga akan menjelaskan matlamat dan fokus sekiranya gabungan tiga parti itu memerintah negara.

"Isu yang melibatkan masyarakat Melayu adalah isu-isu nasional tapi kerana kita ada tiga tanah rancangan (Felda) besar di sini, isu yang difokuskan adalah isu peneroka dan soal tanah mereka.

"Seterusnya kita juga fokus kepada teras orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ia harus dijelaskan kepada orang Melayu bahawa Pakatan Rakyat bukannya mahu mengurangkan teras orang Melayu.

"Ia harus dijelaskan... ini merupakan komitmen Pakatan Rakyat dalam konvensyen yang pertama. Itu adalah perkara-perkara yang melibatkan Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan Raja-raja Melayu tidak akan terusik, malah akan dijamin oleh Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau juga menegaskan, undi penentu kemenangan bagi pilihan raya kecil itu bukan undi daripada warga Felda, tetapi adalah undi orang bukan Melayu.

"Medan sebenar bukan di Felda, medan sebenar adalah 39 peratus pengundi Cina dan India.

"Bagi saya Umno-BN dah terlalu selamat di Felda dan fokus ialah kepada pengundi orang bukan Melayu.

"Bagi PAS, kita harus kekalkan komitmen dan janji kita, kita harapkan anjakan yang mungkin 10 peratus lagi untuk kita capai satu kemenangan," katanya.

Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus).

Dalam temu bual hari ini, Salahuddin turut mendakwa Mohd Azahar agak "keberatan" untuk bertanding bagi mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu.

"Menurut maklumat yang saya terima, beliau (Mohd Azahar) meletakkan jawatan sebagai ADO (Penolong Pentadbir Tanah) pada Jumaat lalu.

"Parti politik seharusnya memilih dari kedudukan ini (pimpinan bahagian) dan dia (Mohd Azahar) sebagai ADO bukan orang yang begitu berkehendakkan untuk bertanding.

"Tapi bila dalam pimpinan bahagian tiada berkelayakan, jadi dia diminta untuk bertanding. Sebenarnya dia keberatan (mahu bertanding)," kata beliau sambil menyifatkan pemilihan Normala sebagai calon PAS-Pakatan Rakyat sebagai satu keputusan bijak.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari kedua hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari.

Anwar: Pilihan raya serentak boleh manfaatkan Pakatan

Posted: 23 Jan 2011 01:00 AM PST

Oleh Melissa Chi


KUALA LUMPUR, 23 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik idea mengadakan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum ke-13 secara serentak sebagaimana disyorkan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud baru-baru ini.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata, langkah memanggil kedua-dua pilihan raya pada masa yang sama akan memanfaatkan perikatan tiga parti komponen itu.

Mandat kerajaan negeri Sarawak akan berakhir Julai ini manakala Parlimen pula April 2013.

Spekulasi menyebut pilihan raya umum tergempar akan diadakan tahun ini.

"Kami lemah dalam pilihan raya-pilihan raya kecil sebab keseluruhan jentera (Umno-BN) bertumpu pada satu kawasan tetapi ketika pilihan raya umum, mereka perlu mengambil berat setiap kawasan dan itu masanya kami menyerang (memberi fokus seimbang ke atas) kesemua bahagian," kata Anwar ketika berucap melancarkan rangkain media online "Keadilan Network" di Kelab Darul Ehsan dekat sini hari ini.

Negara sedang menyaksikan pilihan raya kecil ke-14 iaitu di Tenang dan satu lagi menyusul di Merlimau, Melaka.

Terdapat 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri buat masa sekarang.

Pada masa yang sama, ketua pembangkang itu juga mengakui pemimpin-pemimpin DAP Sarawak mengambil berat soal kemungkinan pilihan raya serentak memandangkan mereka memerlukan sumber tenaga dan sokongan daripada pemimpin-pemimpin di Semenanjung.

Sehubungan itu kata beliau, Pakatan Rakyat berhadapan dengan sumber yang terhad berbanding dengan Barisan Nasional (BN).

"Dana dan jentera Pakatan Rakyat tidak boleh hanya memfokus pada satu bahagian pilihan raya," kata beliau.

"Kami ada kekuatan di pangkalan masing-masing untuk mempertahankan bahagian-bahagian kami," kata beliau.

Semalam, Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng berkata, pilihan raya Parlimen dan DUN yang diadakan serentak akan memberi kelebihan kepada BN Sarawak daripada segi berkempen.

Katanya, pilihan raya serentak akan memberi kesan tidak baik kepada parti pembangkang di negeri ini kerana ia akan mengehadkan penggunaan sumber yang mereka miliki.

"Ini adalah suatu helah untuk memastikan sumber pakatan pembangkang dari Semenanjung Malaysia tidak sampai ke Sarawak," katanya.

Taib dipetik sebagai berkata beliau akan berbincang dengan Datuk Ser Najib Razak tentang kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri dan Parlimen secara serentak.

Dalam reaksi segera beliau kelmarin, Najib yang juga Pengerusi BN berkata kemungkinan pilihan raya Parlimen dan negeri diadakan serentak tidak boleh diketepikan.

Kali terakhir pilihan raya Parlimen dan negeri diadakan secara serentak di Sarawak ialah pada 1974.

MIC mahu Putrajaya hormati pendirian gesa novel ‘Interlok’ digugur

Posted: 23 Jan 2011 12:30 AM PST

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 23 Jan — MIC mahu Kementerian Pelajaran menghormati pendirian wakilnya yang menggesa agar Putrajaya menarik balik novel "Interlok" daripada digunakan sebagai bahan teks sastera Tingkatan Lima.

Presidennya Datuk G. Palanivel berkata, kesemua tujuh ahli panelnya pada pertemuan dengan Kementerian Pelajaran Selasa lalu telah bersetuju bahawa novel kontroversial itu wajar ditarik balik daripada digunakan di sekolah.

"Tiada konsensus bahawa buku berkenaan selari dengan semangat 1 Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini mengulas pandangan Menteri Pelajaran kelmarin dan respons balas salah seorang wakil MIC semalam.

Justeru kata beliau, tidak harus ada kenyataan untuk membuat rakyat seolah-olah mempercayai bahawa kandungan novel itu selari dengan gagasan 1 Malaysia dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kata beliau, jika begitulah keadaan, perkembangan itu satu kekecewaan besar.

Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa wakil MIC yang bertemu Kementerian Pelajaran minggu lalu telah menegaskan bahawa novel subjek sastera "Interlok" yang kontroversi harus ditarik balik daripada digunakan oleh pelajar-pelajar Tingkatan Lima.

Justeru menurut salah seorang wakilnya, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa wakil-wakil yang hadir telah bersetuju novel itu baik dan patut digunakan serta selari semangat 1 Malaysia adalah satu pandangan yang berbeza sama sekali.

Bekas presiden Hindu Sangam Malaysia, Dr A. Nagappan berkata, kesemua enam wakil MIC telah menzahirkan pendirian sebulat suara bahawa novel itu tidak wajar dibenar untuk digunakan sebagai teks sastera atas alasan kandungannya tidak sesuai bagi tujuan memupuk integrasi dan semangat 1 Malaysia.

"Kami telah mengetengahkan satu pendirian bersama... pendirian kami, wakil MIC (dalam pertemuan minggu lalu) ialah novel ini wajar ditarik balik, tiada cadangan lain daripada kami selain meminta ia tidak digunakan di sekolah," kata Nagappan.

"Oleh itu satu perkara (novel patut digunakan) yang dikatakan oleh Tan Sri Muhyiddin tidak benar," katanya.

Kata beliau, pihaknya berpendapat bahawa novel itu tidak wajar digunakan sebagai buku teks sastera berdasarkan pada keseluruhan kandungan ke atas pembangunan sosial masyarakat negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Palanivel berkata, wakil panel MIC telah menzahirkan bahawa mereka tidak akan mengadakan pertemuan lagi dengan Kementerian Pelajaran jika apa yang diketengahkan pada pertemuan minggu lalu diperlekehkan.

"Ini bukan soal ego atau hilang air muka (mana-mana pihak)," kata Palanivel lagi.

Katanya, di sebalik perkembangan semasa terdapat perkara lebih besar yang perlu ditangani dan pihaknya "tidak mahu mempolitikkan isi ini."

"Tulisan-tulisan yang memberi kesan ke atas perasaan mana-mana kumpulan di Malaysia tidak harus diperkenalkan sebagai sebahagian sukatan sekolah.

"Biar kita tidak menyemai sikap prejudis di kalangan golongan muda. Ia amat sensitif dan berisiko untuk mendedahkan tulisan sedemikian kepada kanak-kanak yang bersekolah," katanya lagi.

Palanivel menambah, MIC berdiri bersama keputusan yang diambil oleh ahli-ahli panel terbabit, yang menurutnya merupakan pasukan yang berpengalaman.

"Kami berharap Kementerian Pendidikan akan faham dan menghormati kehendak dan perasaan komuniti kami dan datang dengan keputusan yang tegas dan segera dalam isu ini," katanya lagi.

Katanya, langkah meletakkan nota kaki, glosari dan garis panduan tambahan tidak akan membantu menyelesaikan isu semasa ini.

Mempertahankan pendirian itu, Palanivel berkata, idea pendidikan seks di sekolah juga dibincang dan dibahaskan dengan serius sebelum ia hendak diperkenalkan.

Kelmarin, Muhyiddin dipetik berkata, Kementerian Pelajaran mencadangkan beberapa usul untuk memudahkan tugas guru yang mengajar novel "Interlok" di sekolah-sekolah termasuk menyediakan glosari dan nota kaki untuk menjelaskan maksud perkataan-perkataan tertentu.

Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya guru yang mengajar novel berkenaan disediakan panduan yang jelas bagi mengelakkan timbul masalah pada kemudian hari.

"Kita ada beberapa perkara sudah kita usulkan dan Kabinet minta kita teruskan perbincangan dengan MIC supaya lebih jelas bagaimana hendak atasi perkara ini termasuk menyediakan glosari, nota kaki dan panduan yang jelas disediakan kepada guru yang mengajar novel ini," kata beliau ketika mengulas perkembangan terbaru mengenai isu "Interlok".

Muhyiddin berkata, perbincangan mengenai novel tersebut akan diteruskan dengan pemimpin MIC sebelum keputusan muktamad diambil Kabinet sama ada meneruskan penggunaan novel tersebut dalam Sastera tingkatan lima atau sebaliknya.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, beliau telah menjelaskan mengenai hasil perbincangan antara panel terdiri daripada wakil Kementerian Pelajaran dan pemimpin MIC sebelum ini kepada Kabinet Rabu lalu.

Berdasarkan makluman, perbincangan itu berlangsung dalam suasana yang baik, intelektual, profesional dan semua ahli panel mendengar hujah dan pandangan dalam suasana mesra, kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, sekiranya diteliti secara mendalam, (kandungan novel) tidak ada apa yang arus dibimbangkan.

"Pada peringkat akhirnya, saya dimaklumkan semua ahli panel akhirnya bersetuju bahawa novel 'Interlok' adalah sebuah novel yang baik. Novel 'Interlok' menyeru kepada soal perpaduan kaum. Ia selaras dengan gagasan 1 Malaysia.

"Cuma ada kebimbangan MIC atau pun beberapa pihak dalam kelompok masyarakat India terhadap beberapa perkataan yang digunakan. Penulis ini (Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain) apabila dibaca secara keseluruhannya tidak ada niat untuk menghina atau memperkecilkan mana-mana kaum dalam novel itu," kata Muhyiddin lagi.

Selain Nagappan lima wakil MIC yang menghadiri pertemuan Selasa lalu terdiri daripada Presiden Hindu Sangam Malaysia RS Mohan Shah, Ketua Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr S. Kumaran, Pengerusi Biro Pendidikan MIC Tan Sri Dr T. Marimuthu, bekas pegawai Kementerian Pelajaran G. Krishnabagwan dan Presiden Club Bell Tamil Malaysia SV Lingam.

Penggunaan novel karya Abdullah, yang diterbitkan DBP sebagai teks sastera itu, menimbulkan kontroversi kerana ada kandungannya dikatakan menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Nagappan juga berkata, wakil-wakil MIC itu telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan semalam dan memutuskan agar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC membuat satu keputusan segera selari dengan pendirian yang diketengahkan dalam pertemuan dengan Kementerian Pelajaran minggu lalu.

Pendirian itu sewajarnya dimaklumkan kepada masyarakat India negara ini, kata wakil itu.

Surat terbuka daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen Malaysia (PAC)

Posted: 23 Jan 2011 12:00 AM PST

Surat terbuka daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen Malaysia (PAC) di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 23hb Januari 2011:

Surat terbuka daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen Malaysia (PAC)

21 Januari 2011

YB Datuk Seri Azmi Khalid,
Pengerusi,
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),
Parlimen Malaysia,
Kuala Lumpur.

Yang Berhormat Datuk Seri,

Meminta Segerakan Audit Khas Oleh Ketua Audit Negara Ke atas Skandal Kehilangan RM30 Juta Tropical Island Resort(TIR) Pulau Jerejak Demi Kepentingan Rakyat Pulau Pinang

Dengan segala hormatnya kami ingin merujuk kepada pengumuman YB selaku Pengerusi PAC mengenai perkara di atas baru-baru ini.

Kami amat berterima kasih atas arahan YB kepada Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit khas ke atas kehilangan RM 30 juta yang dialami oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dalam skandal penyerahan tanah dan operasi Tropical Island Resort(TIR) Pulau Jerejak sebelum 2008. YB telah menyatakan tidak ada had tempoh masa ditetapkan kepada Ketua Audit Negara untuk menyiapkan audit khas tersebut.

Demi kepentingan rakyat Pulau Pinang kami ingin meminta YB mengarahkan audit khas disegerakan dalam masa terdekat dan rumusan mutakhir dibuat agar menangani kehilangan RM 30 juta ini. Jumlah RM30 juta ini amat penting bagi rakyat negeri sebanyak 1.6 juta orang yang dapat menikmati banyak program sosial daripadanya. Lagipun demi masa depan TIR Pulau Jerejak, hala tuju muktamad amat diperlukan.

Isu TIR Pulau Jerejak dicetuskan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Koh Tsu Koon yang menuduh kerajaan baru kami tidak menguruskannya dengan baik. Ini ekoran bot yang ingin dinaiki oleh YB Tan Sri Koh ke Pulau Jerejak lambat dan terdapat ada ular dalam bilik stor dalam TIR.

Sebenarnya YB Tan Sri Koh telah menyerahkan TIR dimiliki 51% oleh Urban Development Authority(UDA) dan 49% oleh syarikat milikan kerajaan negeri, Penang Development Corporation(PDC), sejak 1992. Beliau juga membenarkan hampir semua tanah yang boleh digunakan di Pulau Jerejak diserahkan kepada UDA sejak 2001.

Pengurusan operasi TIR tidak berjalan dengan baik dan rugi setiap tahun. PDC tidak pernah terima sebarang dividen daripada TIR. Sehingga sekarang TIR mengalami kerugian terkumpul RM18 juta. Ini bermakna pelaburan PDC sebanyak 49% dalam TIR sebanyak RM15.435 juta dan pinjaman kepada TIR RM3.6 juta tidak boleh didapat balik.

Berdasarkan kepada akaun audit TIR, prestasi kewangan syarikat bagi lapan (5) tahun kebelakangan ini dari 2005 sehingga 2009 adalah seperti berikut :-
Tahun Keuntungan/(Kerugian) Selepas cukai(RM) Keuntungan/(Kerugian) Terkumpul (RM) Nilai Aset Ketara Bersih Sesaham (NTA Per Share) (RM)
2005 (3,375,008) (8,058,754) 0.74
2006 (3,471,944) (11,530,698) 0.63
2007 (2,286,178) (13,816,876) 0.56
2008 (1,873,345) (15,690,221) 0.50
2009 (2,344,672) (18,034,893) 0.43

Selain daripada kerugian RM 19 juta yang ditanggung oleh PDC, kerajaan negeri pun rugi bila RM10.6 juta kerana kegagalan membayar premium tanah oleh TIR kepada Pejabat Pentadbir Tanah Pulau Pinang untuk 80 ekar tanah di Pulau Jerejak yang diberikan. Sila lihat lampiran yang disertakan bersama.

Amatlah diharapkan tindakan yang sewajarnya harus dikenakan ke atas pihak yang bertanggungjawab atas skandal ini dan membolehkan kerajaan negeri mendapat wang balik daripada golongan yang berhutang. Itulah sebabnya audit khas ini harus disegerakan. Sekian terima kasih.

Yang benar,

LIM GUAN ENG
KETUA MENTERI PULAU PINANG

Lampiran:

RUMUSAN TENTANG KEHILANGAN RM 30 JUTA OLEH KERAJAAN NEGERI DALAM TROPICAL ISLAND RESORT SDN BHD (TIR)

Jumlah keseluruhan besar kerugian yang dihadapi oleh PDC dan Kerajaan Negeri (menerusi PTG) berkaitan dengan skandal kelulusan tanah Pulau Jerejak kepada TIR adalah sebanyak RM30 juta. Butiran adalah seperti berikut:

1.

Isu Tanah RM10.6 Juta Untuk 80 Ekar Tanah di Pulau Jerejak

Kelulusan oleh Kerajaan Negeri pada 15 Januari 2001 dengan tempoh pajakan selama 60 tahun sehingga 10 Oktober 2062. Pada 3/1/2001, Exco telah membuat keputusan bahawa TIR diberikan geran hak milik sebaik sahaja ansuran pertama sungguhpun tidak dijelaskan dengan sepenuhnya. Ini berlawanan dengan amalan biasa di bawah seksyen 180 Kanun Tanah Negara bahawa Pentadbir Tanah hanya boleh keluarkan geran apabila bayaran premium dijelaskan dengan sepenuhnya.

Jumlah premium tanah ialah RM12.95 juta (iaitu RM3.72 skp) bagi tanah berkeluasan 80 ekar. Kadar faedah yang dikenakan ialah 4% setahun dan tempoh pembayaran balik ialah dari tahun 2004 sehingga 2013 (selama 10 tahun). Baki yang masih belum dijelaskan adalah sebanyak RM10.60 juta (termasuk faedah sebanyak RM1.81 juta). TIR tidak mampu membayar ansuran mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri disebabkan oleh prestasi kewangan syarikat yang tidak baik.

Sebagai rumusan geran tanah tidak sepatutnya dikeluarkan sehingga premium tanah dibayar penuh supaya tidak berlaku hutang bayaran premium. Keputusan Exco meluluskan geran tanah dikeluarkan tanpa bayaran penuh dikutip menyebabkan tunggakan hutang RM10.6 juta daripada TIR sejak tahun 2004. Kerajaan negeri telah kehilangan tanah sungguhpun premium tanah belum dibayar penuh.
2.

Kehilangan Kos Pelaburan PDC RM 15.435 Juta

Modal berbayar TIR adalah sebanyak RM31.5 juta. Kos pelaburan PDC berdasarkan ekuiti 49% adalah sebanyak RM15.435 juta.
3.

Kehilangan Pinjaman Pemegang Saham oleh PDC RM3.6 Juta

Pada 28 Disember 2007, PDC telah memberi pinjaman pemegang saham sebanyak RM3.41 juta kepada TIR untuk menampung kos operasi syarikat. Keseluruhan jumlah tersebut sebanyak RM3.60 juta (termasuk faedah sebanyak RM193,553 atas kadar faedah 3.5% setahun) masih belum dijelaskan.

*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

Lau Weng San: Kenyataan Noh Omar tidak bertanggungjawab

Posted: 22 Jan 2011 11:30 PM PST

Saya mendapati kenyataaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor serta Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar berkenaan dengan sidang khas Dewan Negeri berkenaan dengan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 adalah tidak bertanggungjawab.

Noh Omar berkata bahawa walaupun ahli-ahli dewan negeri BN akan menghadiri sidang dewan khas tersebut, tetapi mereka tidak akan menyokong pindaan berkenaan kerana pindaan itu akan "mengurangkan lagi kuasa sultan dan meluaskan kuasa menteri besar".

Kenyataan Noh Omar adalah tidak bertanggungjawab sama sekali.

Pertama, pindaan yang dicadangkan adalah untuk memulihkan kepada kandungan asal Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 berkenaan dengan pelantikan ketiga-tiga orang Ex-Officio kerajaan Selangor, yakni Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Oleh kerana isu kandungan pindaan ini masih di bawah embargo sehingga ke tarikh persidangan, maka saya tidak boleh mengemukakan secara terperinci apa yang akan dibahas pada hari persidangan.

Jikalau pindaan yang dicadangkan hanya memulihkan muka bentuk asal Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, maka persoalan bahawa kuasa Sultan dihakis dan kuasa Menteri Besar dikembang tidak timbul sama sekali.

Jika isu ini tertimbul, maka adakah Noh Omar turut menuduh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 asal yang dirangka oleh kerajaan BN dan Perikatan mencabuli hak dan kuasa Raja Melayu? Sudah tentu tidak sama sekali! Pindaan perlu dilakukan sejajar dengan semangat federalisme dan prinsip Raja Berperlembagaan. Kuasa perlantikan perlu dikembalikan kepada pihak negeri, iaitu Sultan sebagai Ketua Negeri dan Menteri Besar sebagai Ketua Kerajaan Negeri.

*Kenyataan media oleh Lau Weng San (gambar kanan) selaku ADUN Kampung Tunku-DAP.

Pemuda Gerakan Kedah: Jadikan Thaipusam sebagai cuti umum di Kedah dan Kelantan

Posted: 22 Jan 2011 11:00 PM PST

Saya merujuk kepada kenyataan Naib Pengerusi DAP M.Kulasegaran yang menyeru agar Hari Thaipusam dijadikan cuti umum.

Sebelum pilihanraya umum pada tahun 2008, Pakatan Rakyat telah mengeluarkan kenyataan sedemikian malah mereka juga telah memberi janji-janji agar Hari Thaipusam dijadikan cuti umum, termasuk negeri Kedah.

Saya memang setuju bahawa Hari Thaipusam disambut bersama oleh rakyat Malaysia dan harus dijadikan cuti. Ketika saya berada di Sungai Petani semalam, saya telah melihat bagaimana Hari Thaipusam disambut oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Lebih meriah lagi, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak telah bersama lebih daripada 10,000 orang Kedah di Sungai Petani untuk menyambut Hari Thaipusam.

Malangnya, selepas Pakatan Rakyat memerintah Kedah selama hampir tiga tahun, Pakatan Rakyat telah enggan mengistiharkan Hari Thaipusam sebagai cuti umum bagi negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Kedah dan Kelantan.

Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional telah menjadikan Hari Thaipusam sebagai cuti umum di negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Sungguhpun Kedah dan Kelantan adalah dikuasai majoriti oleh PAS, ini bukanlah suatu alasan munasabah bagi Pakatan Rakyat untuk mengingkari janji mereka untuk menjadikan Hari Thaipusam sebagai cuti umum.

Pakatan Rakyat tidak boleh lagi mengeluarkan kenyataan yang hanya berberntuk retorik. Sebaliknya, mereka harus melaksanakan dasar-dasar mereka di negeri-negeri Pakatan Rakyat, yang dikuasai mereka.

Sekira DAP ikhlas dalam hal ini, saya berharap DAP akan memastikan agar Pakatan Rakyat akan menunaikan janji dan mengistiharkan Hari Thaipusam sebagai cuti umum di semua negeri Pakatan Rakyat, termasuk Kedah dan Kelantan.

*Kenyataan media oleh Tan Keng Liang (gambar kiri) selaku Ketua Pemuda Gerakan Kedah.

Dari Perak ke Selangor: Layakkah Najib sebagai PM?

Posted: 22 Jan 2011 10:30 PM PST

Wong Chin Huat

Hampir dua tahun kerajaan katak bertahan di Perak. Misteri kematian Teoh Beng Hock di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berakhir dengan keputusan "open verdict" selepas 18 bulan. Kini, Selangor pula dilanda krisis perlembagaan, di mana "perisik" diletakkan secara terang-terang dalam kerajaan negeri. Ketiga-tiga kejadian ini menjurus kepada satu persoalan: Apakah Najib Razak masih layak sebagai Perdana Menteri?

Dalam kejadian pertama, kerajaan yang ditubuh dengan undi rakyat tumbang kerana ADUN katak. Sultan sebagai simbol dalam sistem raja berperlembagaan enggan membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri. Maka terbentuknya kerajaan palsu di negeri Perak, yang dijayakan ADUN katak.

Dalam peristiwa kedua, untuk "mengorek kesilapan" kerajaan negeri Selangor, SPRM sanggup menyoal-siasat seorang saksi bernama Teoh Beng Hock selama 11 jam, dalam kes pembelian bendera yang melibatkan kos hanya RM2400. Jentera negara telah meragut nyawa - Sama ada membunuh, tersalah bunuh ataupun bunuh diri kerana tekanan. Namun, tiada orang yang memikul tanggungjawab politik, pentadbiran, jenayah sekian lama peristiwa ini berlaku - cuba lepas tangan dengan satu penghakiman "open verdict".

Oleh itu, tidak kira sama ada Najib pernah memberi arahan agar Teoh Beng Hock disoal-sisat - selagi kebenaran tidak diberikan kepada keluarga Teoh, maka Najib tidak boleh mengelakkan diri dari tanggungjawabnya sebagai pimpinan tertinggi dalam jentera negara.

Mewarisi strategi menekan pembangkang

Dalam kes ketiga, kerajaan negeri langsung tidak dirunding ketika perlantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) yang bertindak di bawah arahan kerajaan negeri. Ia seolah-olah ibu mertua yang memilih pembantu rumah anda - mestilah kecoh satu rumah selepas itu. Lebih-lebih lagi, negeri Perak mempunyai pengalaman yang perit dengan SUK sebelum ini. Bagaimana kita boleh diyakini bahawa kerajaan negeri akan beroperasi dengan sewajarnya selepas ini?

Kini, untuk menekan kerajaan negeri Selangor, hulubalang UMNO pula mengheret institusi Raja, meniru apa yang dilakukan ketika rampasan kuasa Perak pada tahun 2009. UMNO cuba menjadikan sistem kita dari sistem raja berperlembagaan kepada sistem raja mutlak.

Jelas, Najib cuba mengubah peraturan permainan - menjejaskan sistem raja berperlembagaan, federalisme, dan kerajaan yang dipilih rakyat. Najib pernah berikrar secara terbuka, bahawa Putrajaya akan dipertahankan walaupun apa yang terjadi. Dan kita harus ingat, "Program Transformasi Kerajaan"-nya tidak menjanjikan sebarang reformasi dalam sistem politik.

Tuntutan agar Najib menerima pendemokrasian tidak semestinya bermakna beliau harus menyerahkan kuasa kerajaannya. Pendemokrasian, bukan semestinya "pertukaran kerajaan" sebagaimana yang diperkatakan pembangkang, tetapi "kerajaan dari peti undi". Dengan kata lain, seandainya UMNO-BN sudi berubah menjadi satu parti yang menerima demokrasi, bersaing secara adil dengan pesaingnya politiknya; maka, jikapun pertukaran kerajaan tidak berlaku, sekurang-kurangnya Malaysia memenuhi makna demokrasi pada tahap minimum.

Namun, dari rampasan kuasa di Perak, kematian Teoh Beng Hock hinggalah krisis perlembagaan Selangor, jelas Najib tidak cukup bertoleransi ketika berdepan dengan pembangkang, seperti ayahandanya Razak. Pada zaman ayahandanya, dari Sarawak, Pulau Pinang, Perak hinggalah Kelantan - Razak cuba menarik kuasa kerajaan tempatan (sama ada kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan) yang dikuasai pembangkang, untuk memastikan kuasa kerajaan disatukan dari seluruh negara di bawah Barisan Nasional.

Najib kini menyasarkan kerajaan negeri Selangor, malah menyerang kerajaan negeri Pulau Pinang dengan medianya - selepas menelan Perak. Jelas, beliau mahu menawan semula negeri di pantai Barat Semenanjung yang separuh atau hampir separuh penduduknya yang terdiri daripada bukan Melayu, untuk tampil sebagai wira yang memenuhi retorik Ketuanan Melayu-nya.

Untuk berlaku adil, perbuatan "mengubah peraturan permainan" bukan dimulakan Najib, tetapi Anwar Ibrahim dengan rancangan 16 September-nya. Jadi kerumitan yang menimpa kerajaan negeri PR pada hari ini sebahagiannya berpunca daripada Anwar.

Risiko apabila demokrasi terjejas

Namun, dari perspektif kepentingan awam, pembangkang bukan satu-satunya mangsa sekiranya demokrasi terjejas, tetapi semua pembayar cukai.

Seandainya "kerajaan tidak semestinya datang dari peti undi", maka rakyat perlu berdepan dengan dua risiko. Pertama, kerajaan tidak takut kepada suara rakyat, maka rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa. Dasar yang mengingkari hasrat rakyat akan bertambah. Maka pertentangan juga bertambah dalam masyarakat.

Keduanya, seandainya kerajaan ditentukan kuasa yang bukan berasaskan pemilihan rakyat, sama ada istana mahupun tentera, maka negara akan menjadi medan pertempuran antara beberapa kuasa yang bukan ditentukan rakyat. Pergelutan ini semestinya tidak kurang sengitnya daripada pertarungan antara parti politik.

Apa yang harus direnungi rakyat Malaysia adalah, seandainya Najib terus bermain api - adakah ia terlalu bahaya untuk mengekalkan beliau sebagai PM - kerana beliau akan meletakkan negara dalam keadaan yang tidak tenang, walaupun ekonomi mungkin memulih?

Mereka yang menggoyah teras negara harus berundur

Mempertikaikan kewajaran Najib untuk terus menyandang jawatan PM tidak bermakna menafikan keabsahannya sekarang. Menurut hasil soal selidik Merdeka Center pada akhir tahun lalu, Najib kini mencatat populariti 74% pengundi Melayu, 54% pengundi Cina dan 85% pengundi India. Rekod ini hampir setanding populariti Abdullah Ahmad Badawi yang baru menyandang jawatan ketika zamannnya.

Namun, keabsahan Najib sebagai Perdana Menteri pada masa kini gagal menutup persoalan kewajaran Najib untuk terus menyandang jawatan PM. Sejarah memberitahu kita, bahawa pemerintah yang menjejaskan sistem negara, menggoyah teras negara harus berundur, atau negara akan binasa.

Adolf Hitler mungkin contoh yang jauh untuk kita. Hitler bangkit dengan undi, malah dilambung sokongan rakyat. Tetapi, adakah beliau sesuai untuk menjadi Ketua Kerajaan? Apabila seorang demi seorang rakyat Jerman mempertikaikan tindakan jenayah ditaktor ini terhadap demokrasi, apakah Jerman hancur berkecai dalam medan peperangan kemudiannya?

Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon pada tahun 1972 mungkin lebih dekat dengan kita. Beliau terpilih sebagai Presiden AS dengan peratusan undi yang mencecah kira-kira 60%, satu catatan yang agak tinggi mengikut kayu ukur Amerika Syarikat. Mengapa beliau perlu meletak jawatan untuk memohon maaf ke atas kesalahannya dalam skandal watergate? Kerana negara demokrasi tidak membenarkan kerajaannya untuk menyalahgunakan jentera negara untuk menyerang musuh politiknya.

Raja berperlembagaan dan federalisme adalah teras dalam sistem politik Malaysia. Perubahan ke atasnya akan menghuru-harakan negara, dan risiko ini terlalu tinggi untuk ditanggung Malaysia pada hari ini.

Seandainya Najib (gambar kiri) enggan menerima sistem negara, maka kita perlu membuang undi tidak percaya terhadap Najib dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya umum akan datang, demi kesejahteraan negara. Jangan ragu-ragu, sehingga kita dimangsakan.

*Wong Chin Huat ialah pengkaji politik dan kolumnis MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal, yang disiarkan pada 19 Januari 2011.

DEBAT 100 HARI DATUK NAJIB JANGAN JADI LEBAI MALANG

Posted: 22 Jan 2011 10:00 PM PST

Parti Islam SeMalaysia Pas mengharapkan Datuk Seri Najib Tun Razak terimalah debat , jangan banyak helah dan cuba mengalih isu. Datuk Seri Anuar Ibrahim sudah mengemukakan fakta mengenai kemampuan Pakatan Rakyat jika diberi mandat untuk memerintah. Sumber yang Pakatan Rakyat perolehi dengan memerangi rasuah yang menyebabkan negara rugi RM28 bilion setahun. Memotong balik RM19 bilion subsidi yang diberikan kepada IPP. Subsidi untuk rakyat RM10 bilion akan diberi semula supaya minyak dan makanan dapat dikawal dan menstruktur semula tol di Malaysia dengan kos RM23 bilion dan elaun tambahan kepada guru RM3.2 bilion setahun. Jika dijumlah dengan anggaran pendapatan hasil daripada memerangi rasuah dan memerangi kroni ialah RM47 bilion dan perbelanjaan hanya RM32.2 bilion, maka Pakatan Rakyat mampu malahan lebihan. Ini tidak masuk lagi hasil balak, minyak, sawit dan sebagainya. Sekarang rakyat hendak dengar hujah Datuk Najib yang kata kalau laksana
Janji Pakatan Rakyat maka negara akan bankrap.

Malangnya Datuk Najib cuba mengalih isu debat kepada isu liwat. Nampaknya saf kabinet negara memang pemimpin lebai malang. Tan Seri Muhyiddin Yasin suruh Pakatan Rakyat naikkan gaji guru yang berkhidmat di negeri Pakatan. Manakala Datuk Ahmad Maslan Ketua Penerangan Umno merangkap Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri menyuruh negeri Pakatan Rakyat menurun harga barang di negeri pakatan. Kesemua pemimpin tertinggi Umno fikiran mereka satu skima sahaja gagal menjawab soalan yang berbentuk fakta. Sepatutnya menjawab masalah, bukan lari daripada masalah yang dibangkit.

Pas yakin Datuk Seri Najib bimbang dengan kadar inflasi pada tahun ini dijangka berada sekitar 2.5 hingga tiga peratus dan peningkatannya diramal lebih pantas menjelang separuh kedua ekoran pertumbuhan ekonomi dunia.

Penganalisis ekonomi AmResearch, Manokaran Mottain tidak menolak inflasi bakal meningkat lebih pantas sekiranya kerajaan melaksanakan cadangan di bawah rasionalisasi subsidi yang dikemukakan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu)

Putrajaya perlu siasat aliran keluar wang haram RM888b, kata DAP

Posted: 22 Jan 2011 09:45 PM PST

KUALA LUMPUR, 23 Jan — DAP menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) tampil memberi penjelasan berhubung skandal aliran keluar wang haram berjumlah RM888 bilion (AS$291 bilion) yang direkodkan sepanjang tahun 2000 dan 2008.

Berdasarkan laporan badan pengawas kewangan yang berpangkalan di AS, Global

Financial Integrity (GFI) baru-baru ini, Malaysia berada di tempat kelima dalam senarai negara yang terlibat dalam aliran keluar wang haram sepanjang tempoh tersebut.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pihaknya kecewa kerana "lanun darat" dibenarkan bergerak bebas di negara ini, sekali gus menyebabkan wang sejumlah dibawa keluar secara tidak sah.

"Mana-mana kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab, yang berintegriti akan dengan segera menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat skandal aliran keluar wang RM888 bilion secara haram ini," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Bank Negara Malaysia akan membuat ulasan khas tentang laporan berita yang mengatakan Malaysia menduduki tempat kelima di kalangan negara-negara yang mencatatkan pengaliran keluar wang haram paling banyak.

"Boleh ada banyak sebab, tetapi biarlah Bank Negara yang membuat komen khas tentang itu," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Menurut laporan GFI, aliran keluar wang haram dari Malaysia pada 2000 berjumlah RM67.7 bilion (AS$22.2 bilion) yang, lapan tahun kemudian, melonjak kepada RM208 bilion (AS$68.2 bilion).

GFI mendefinisikan aliran keluar wang haram sebagai pemindahan wang yang dijana menerusi aktiviti-aktiviti tidak sah seperti rasuah, aktiviti jenayah dan usaha mengelak cukai ke atas kejayaan diperoleh.

GFI menyenaraikan China berada di tangga teratas di kalangan 125 negara membangun manakala Filipina pula di tangga ke-12.

Dalam kenyataannya, Lim berkata perkembangan itu memperlihatkan kurangnya penguatkuasaan dan usaha menegakkan lunas perundangan dan mengatasi budaya rasuah, yang sekali gus menghakis keyakinan dalam pasaran modal.

"Yang jelas, bukan sahaja Petronas malah BN juga mesti tampil bersih dalam skandal aliran keluar wang haram dalam jumlah yang besar," kata Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan MP.

Malah laporan itu berkata, diskriminasi dalam pasaran pekerjaan juga faktor menyebabkan migrasi dan aliran keluar wang haram.

"Yang menyedihkan, kehilangan bakat modal insan Malaysia bukan sahaja memalapkan masa depan kita, tetapi juga menjadikan kita miskin," kata Lim.

Kini terdapat kira-kira 700,000 rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di negara lain, dengan separuh daripada mereka di Singapura.

Malah GFI juga berkata, peningkatan tahap ketelusan dalam sistem kewangan global juga penting demi mengurangkan aliran keluar wang haram.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menekankan bahawa pentadbiran kerajaan negerinya yang berlandaskan slogan cekap, akauntabiliti dan telus telah membawa kepada pengiktirafan Ketua Audit Negara menerusi laporan 2009.

Oleh itu kata beliau, keengganan BN untuk menjelaskan skandal aliran keluar wang haram kemungkinan boleh menyebabkan Malaysia muflis menjelang 2019.

Katanya, jika RM888 bilion disalurkan kepada 27 juta penduduk negara ini, bermakna setiap rakyat dapat memperoleh RM33,000 sepanjang sembilan tahun 2000 dan 2008.

Nah! Anwar Buat Najib 'Terkencing' Dalam Seluar

Posted: 22 Jan 2011 09:25 PM PST

Kalau nak debat soal peribadi saya sedia, Anwar cabar Najib

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

LABIS, 23 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim turun membantu kempen PAS-Pakatan Rakyat di Tenang malam tadi dengan mencabar Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai soal peribadi jika perdana menteri terus menyerang soal peribadinya dan tidak sanggup sentuh dasar ekonomi kedua-dua perikatan.

Dua minggu lalu Anwar mencabar Najib agar berdebat berhubung dasar ekonomi kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat termasuk mengenai Buku Jingga.

"Saya cabar debat soal ekonomi tapi beliau (Najib) cakap peribadi, tapi kalau nak debat peribadi saya terima.

"Saya beri ingatan kepada beliau, kalau sebut lagi soal peribadi, saya cabar beliau debat soal peribadi.

"Tapi sekarang adalah soal ekonomi sebab itu saya cabar debat soal ekonomi," kata Anwar ketika memberikan ceramah di Taman Gunung Emas di sini malam tadi.

Ketika berada di sini awal minggu lalu, Najib berkata Anwar sewajarnya jangan terlalu mendesak untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan ketua pembangkang itu "demam" kelak jika dibongkarkan ketika berdebat.

Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau sebenarnya tidak gentar untuk berdebat dengan Anwar tetapi menyifatkan tindakan berdebat itu hanya akan membuang masa kerana pembohongan ketua pembangkang itu dan kegagalannya menunaikan janji.

"Dah cukuplah pembohongan, janji banyak tak boleh buat, ini nak debat dengan saya pula, buang masa. Saya boleh debat dengan dia, saya tak takut, saya dengan menteri saya tahu segala maklumat.

"Jangan cuba nak cabar saya, kalau saya dedahkan segala-galanya, ada orang yang demam nanti," katanya.

Gelanggang kempen kerusi DUN Tenang dibuka secara rasmi semalam dengan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon BN dan Pakatan Rakyat.

BN menurunkan Mohd Azahar Ibrahim, 39, iaitu bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mencalonkan Ketua Dewan Muslimat Labis Normala Sudirman, 38.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008.

Anwar, yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Najib berdebat soal ekonomi mengenai Program 100 Hari Pakatan Rakyat, namun ditolak pengerusi BN itu.

Najib berkata Anwar tidak perlu bersusah payah memikirkan soal debat kononnya demi kebajikan rakyat kerana BN akan bertanggungjawab dalam memastikan soal kebajikan rakyat dipelihara.

Selasa lalu, Anwar sekali lagi mencabar Najib agar berdebat dengan beliau berhubung kedudukan ekonomi negara dan juga mengenai Buku Jingga Pakatan Rakyat dengan menulis surat secara formal.

Pada 19 Disember lalu, Pakatan Rakyat menawarkan Program 100 Hari yang terdiri daripada 10 inisiatif jika pihaknya mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Dalam ceramahnya malam tadi, Anwar mempertahankan Program 100 Hari Pakatan Rakyat sambil menyifatkan gabungan tiga parti komponen termasuk PAS dan DAP mampu memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat sekiranya berjaya merampas Putrajaya daripada BN.

"Ini program (100 Hari Pakatan Rakyat) kita buat bukan untuk lima tahun, tapi 100 hari kalau kita perintah (Putrajaya) kita akan laksanakan.

"Perdana Menteri kata kalau Pakatan Rakyat perintah Malaysia akan bankrap, saya tak cabar beliau debat tapi beliau kata kita tidak bertanggungjawab.

"Kalau kita perintah ini yang akan kita lakukan, mana negara akan bankrap... negara bankrap kerana pemimpin curi duit rakyat dan rasuah," katanya.

Tambah Anwar, sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya barisan kepimpinan parti itu akan memastikan pentadbiran negara akan berjalan dengan baik tanpa amalan-amalan yang tidak baik.

"Jadi pemimpin bagi wang kepada kroni, bila tanya kata jaga rakyat... sebab itu saya ajak Perdana Menteri berdebat tapi beliau mengelak.

"Saya tahu beliau tidak boleh jawab... maknanya kalau kita memerintah kita tidak akan bertolak ansur, kita akan hukum siapa yang terlibat baik orang Melayu, Cina atau India.

"Sebab itu kita yakin kalau boleh perintah kita akan bersihkan dan kembalikan wang rakyat," katanya.

Posted: 22 Jan 2011 08:30 PM PST

William, Kate diramal bercerai

LONDON: Dua kegemaran masa lapang rakyat Britain, memantau perkembangan keluarga diraja dan bertaruh, kini berubah menjadi 'perniagaan besar' dengan tumpuan diberikan kepada perkahwinan diraja.

Putera William dan tunangnya, Kate Middleton menunggu untuk berkahwin tiga bulan lagi tetapi sebilangan rakyat negara itu sudah bertaruh bahawa mereka akan bercerai.
Topik yang dibincangkan bukanlah sesuatu yang sopan dan kedengaran aneh, tetapi apabila dua orang saling tidak sependapat, mereka akan menggunakan wang sebagai pertaruhan.

"Rakyat Britain amat gemar bertaruh mengenai apa yang akan dilakukan kerabat diraja. Ia bagaikan satu tradisi dan mereka mempunyai 'minat melampau' terhadap keluarga diraja," kata jurucakap syarikat bookie, Paddy Power Darren Haines.

Beliau berkata satu daripada pertaruhan paling popular sejak beberapa tahun lalu ialah bila dan di mana Kate dan William akan berkahwin.

Jurucakap syarikat bookie Ladbrokes, Alex Donohue berkata, tarikh pertunangan yang diumumkan November lalu menarik wang pertaruhan £30,000 (RM146,338) manakala tempat upacara perkahwinan diadakan menghasilkan pertaruhan £15,000 (RM73,140).

"Apabila semua soalan terjawab, syarikat bookie akan berusaha mencari perkara baru membabitkan perkahwinan diraja yang boleh dipertaruhkan," katanya.
Kate akan tiba pada hari perkahwinannya dengan menaiki kereta dan meninggalkan majlis dengan kereta kuda. Beliau tidak perlu bimbang dengan rusuhan di stesen kereta api.

"Persoalan sama ada beliau akan tiba di Westminster Abbey tepat pada masa atau tiga minit lewat atau membiarkan tetamu menunggu hingga 11 minit untuk melihatnya? Berapa panjang dan labuh gaun pengantinnya? Semua ini boleh dijadikan modal untuk pertaruhan," katanya.

Kebanyakan bookie mengemukakan beberapa soalan mengenai perceraian, dengan kebanyakan kaki judi hampir pasti perkahwinan pasangan itu akan bertahan sekurang-kurangnya 10 tahun.

Bagaimanapun Donohue berkata pihaknya tidak bertaruh membabitkan perkara yang boleh menimbulkan kecurigaan umum, seperti sama ada pengganas akan membuat kekacauan.

"Kami melakukan semua ini hanya untuk bergembira," katanya. – Agensi

Wanita lumpuh selepas kena 'ciuman cinta' di leher

Posted: 22 Jan 2011 08:00 PM PST

AUCKLAND - Seorang wanita berusia 44 tahun lumpuh buat seketika selepas dia dicium pasangannya di bahagian leher, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia lumpuh di bahagian lengan kiri semasa menonton televisyen.

Doktor-doktor yang memeriksanya bingung mengenai punca dia diserang strok sehinggalah mereka mendapati terdapat tanda ciuman cinta di bahagian lehernya sekali gus meleraikan misteri serangan strok itu.

Wanita itu kemudian memberitahu doktor bahawa dia dicium beberapa hari sebelum diserang strok.

Seorang doktor, Teddy Wu dari Hospital Middlemore di Auckland berkata: "Disebabkan ia merupakan ciuman cinta, terdapat sedutan yang kuat.

Menurutnya, terdapat darah beku di dalam arteri di tempat sedutan itu dibuat.

Dia berkata, darah beku tersebut tidak dapat bergerak menyebabkan strok itu berlaku. Wanita itu pulih selepas dirawat dengan ubat antibekuan. - Agensi

Dalglish kecapi kemenangan pertama

Posted: 22 Jan 2011 07:30 PM PST

LONDON: Dua gol Fernando Torres membantu Liverpool mencatat kemenangan 3-0 ke atas Wolverhampton - kemenangan pertama pengurus Kenny Dalglish sejak mengendalikan kelab berkenaan awal bulan ini.

Dalglish yang gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini mampu menarik nafas lega selepas Torres membuka jaringan pada minit ke-36 selepas menerima hantaran cantik Raul Meireles.

Pada babak kedua, Meireles meletakkan Liverpool 2-0 dengan jaringan menarik dari luar kotak penalti. Torres melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan selepas mengutip bola daripada Dirk Kuyt sebelum menolak masuk ke gawang Wolves.

Kemenangan ini sekali gus melonjakkan Liverpool tujuh mata jauh daripada zon penyingkiran selepas lima kekalahan berturut-turut sementara Wolves terus kekal dalam kelompok tiga tercorot. – Agensi

Ombak ganjil ragut satu nyawa

Posted: 22 Jan 2011 07:00 PM PST

SYDNEY - Satu ombak besar yang ganjil melanda pantai Stanwell Park menyebabkan seorang maut dan seorang lagi kritikal manakala puluhan lagi terpaksa mendapatkan rawatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Semasa kejadian, 50 orang sedang berenang dan apabila ombak itu melanda, ia menghanyutkan puluhan orang ke dalam laut kelmarin.

Tiga anggota pangawal pantai yang sedang bertugas bergegas menyelamatkan orang ramai yang dihanyutkan ombak itu.

Seorang lelaki berumur 63 tahun mati selepas anggota paramedik gagal untuk membantunya bernafas di tempat kejadian. - Agensi

Paderi cetus semula kontroversi

Posted: 22 Jan 2011 06:30 PM PST

FLORIDA: Paderi Terry Jones yang mencetuskan kemarahan antarabangsa apabila beliau mengumumkan untuk membakar al-Quran di Gereja Gainesville, kini mahu melancarkan 'Hari Menghakimi al-Quran Sedunia'.

"Ya, kami akan lakukannya," kata Jones dalam rakaman yang disiarkan menerusi YouTube ketika mengumumkan rancangan terbarunya.

"Kami sudah buat keputusan untuk melakukannya pada 20 Mac mulai jam 6 petang. Jika anda berpeluang, anda yang menggelarkan diri orang Islam yang baik, pada hari berkenaan al-Quran akan dibicarakan.

"Kami tuduh al-Quran punca pembunuhan, perogolan dan penipuan. Ia juga bertanggungjawab atas semua kegiatan pengganas di seluruh dunia.

"Secara dasarnya, adalah perbicaraan. Hari pengadilan itu akan diadakan di Pusat Dove World Outreach. Kami cabar dunia Islam untuk mempertahankan al-Quran.

"Mereka kata al-Quran adalah buku keamanan dan agama yang memperjuangkan keamanan. Kami mahu mereka membawa orang yang boleh mempertahankan al-Quran.

"Jika didapati bersalah, empat jenis hukuman diadakan iaitu pembakaran, merendam, mengoyak atau skuad penembak," katanya dalam satu program radio.
Beliau juga memberitahu, 30 juri akan hadir termasuk penganut Kristian dan Islam, akan membuat keputusan mengenai semua dakwaan ke atas al-Quran.

Laman web Jones, 'Stand Up America' mengandungi soalan yang membenarkan pengunjung memilih hukuman.

Jones dan gereja itu menggemparkan dunia tahun lalu apabila beliau mengumumkan akan membakar 200 naskhah al-Quran, pada ulang tahun ke sembilan peristiwa serangan 11 September.

Pemimpin pelbagai agama mengutuk rancangannya. Malah, Setiausaha Pertahanan, Robert Gates mengarahkan gereja kecil di barat laut Gainesville untuk membatalkan acara itu kerana bimbang tindakan terbabit akan membahayakan pasukan keselamatan Amerika di Asia Barat.

Jones membatalkan hasratnya dua hari sebelum acara itu dijadualkan berlangsung. Beliau dijangka mengadakan sidang media pada petang Khamis depan untuk mengumumkan maklumat lanjut mengenai hari perbicaraan al-Quran pula.

Paderi Dan Johnson dari Gereja Trinity United Methodist di Gainesville menjelaskan, tindakan Jones tidak mendapat sambutan kerana dalam episod pembakaran al-Quran itu, penganut Kristian datang beramai-ramai membantahnya.

Bagaimanapun, beliau masih belum mendengar mengenai rancangan perbicaraan itu.

"Saya berdoa dan berharap...saya tidak tahu sejauh mana kebaikannya melakukan perkara itu. Apa yang boleh dirumuskan ialah lebih banyak kerja perlu dilakukan dari aspek persefahaman dan toleransi.

"Ini adalah kerja gila. Ini adalah sesuatu yang asing daripada apa yang diajar Jesus," katanya. – Agensi

Tiada ulasan: