Ahad, 23 Januari 2011

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Pilihan raya serentak boleh manfaatkan Pakatan

Posted: 23 Jan 2011 01:35 AM PST

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik idea mengadakan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum ke-13 secara serentak sebagaimana disyorkan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud baru-baru ini.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata, langkah memanggil kedua-dua pilihan raya pada masa yang sama akan memanfaatkan perikatan tiga parti komponen itu.

Mandat kerajaan negeri Sarawak akan berakhir Julai ini manakala Parlimen pula April 2013.

Spekulasi menyebut pilihan raya umum tergempar akan diadakan tahun ini.

"Kami lemah dalam pilihan raya-pilihan raya kecil sebab keseluruhan jentera (Umno-BN) bertumpu pada satu kawasan tetapi ketika pilihan raya umum, mereka perlu mengambil berat setiap kawasan dan itu masanya kami menyerang (memberi fokus seimbang ke atas) kesemua bahagian," kata Anwar ketika berucap melancarkan rangkain media online "Keadilan Network" di Kelab Darul Ehsan dekat sini hari ini.

Negara sedang menyaksikan pilihan raya kecil ke-14 iaitu di Tenang dan satu lagi menyusul di Merlimau, Melaka.

Terdapat 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri buat masa sekarang.

Pada masa yang sama, ketua pembangkang itu juga mengakui pemimpin-pemimpin DAP Sarawak mengambil berat soal kemungkinan pilihan raya serentak memandangkan mereka memerlukan sumber tenaga dan sokongan daripada pemimpin-pemimpin di Semenanjung.

Sehubungan itu kata beliau, Pakatan Rakyat berhadapan dengan sumber yang terhad berbanding dengan Barisan Nasional (BN).

"Dana dan jentera Pakatan Rakyat tidak boleh hanya memfokus pada satu bahagian pilihan raya," kata beliau.

"Kami ada kekuatan di pangkalan masing-masing untuk mempertahankan bahagian-bahagian kami," kata beliau.

Semalam, Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng berkata, pilihan raya Parlimen dan DUN yang diadakan serentak akan memberi kelebihan kepada BN Sarawak daripada segi berkempen.

Katanya, pilihan raya serentak akan memberi kesan tidak baik kepada parti pembangkang di negeri ini kerana ia akan mengehadkan penggunaan sumber yang mereka miliki.

"Ini adalah suatu helah untuk memastikan sumber pakatan pembangkang dari Semenanjung Malaysia tidak sampai ke Sarawak," katanya.

Taib dipetik sebagai berkata beliau akan berbincang dengan Datuk Ser Najib Razak tentang kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri dan Parlimen secara serentak.

Dalam reaksi segera beliau kelmarin, Najib yang juga Pengerusi BN berkata kemungkinan pilihan raya Parlimen dan negeri diadakan serentak tidak boleh diketepikan.

Kali terakhir pilihan raya Parlimen dan negeri diadakan secara serentak di Sarawak ialah pada 1974.

Apa tunggu lagi, bagi roboh itu Umno

Posted: 23 Jan 2011 01:20 AM PST

Bacalah dengan tenang luahan hati seorang pemandu teksi berbangsa Tionghua di Malaysia tentang situasi negaranya yang ditadbir oleh UMNO/BN ketika ini. Pernyataan yang akan anda baca penuh bersahaja dan ikhlas. Hebat, walaupun diungkapkan oleh individu marhaen. Saya memungutnya dari catatan Kadir Jasin.

"Ramai orang susah sekarang. Macam saya, bawa teksi, hanya cukup untuk makan dan sewa rumah. Harga barang-barang naik melambung. Tapi lagi sakit hati saya apabila pemimpin kerajaan bandingkan harga dengan negara luar. Betullah, harga di sana lebih murah, tapi gaji mereka jauh lebih tinggi, berkali-kali ganda. Janganlah ingat kita ini bodoh.

"Malaysia ini cukup kaya. Jauh lebih kaya, dua tiga kali ganda daripada Singapura. Tapi you tengoklah sendiri, siapa yang senang? Duit tak sampai kepada rakyat. Orang berkuasa yang sapu. Siapa yang kaut semua? Sekarang, gaji di Singapura jauh lebih tinggi daripada kita walaupun negara kita sebenarnya lebih kaya.

"Kita bukannya tamak nak kaya, nak rumah mewah. Senang sikit cukuplah, bagi lega sikit hidup. Tak perlu teruk-teruk bekerja tapi hasilnya sikit, macam saya ini. Sudah macam-macam sakit sebab susah hati, tension.

"Macam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, kita dapat air percuma, cukuplah. Kalau ada lebih nanti, mungkin banyak lagi yang kita akan dapat, okeylah tu sikit-sikit dulu ...

"Saya nak bagitau you, jangan takut tukar kerajaan. Lima tahun saja. Kalau tak puas hati, tukarlah balik. Lima tahun bukan lama, sekejap saja. Kalau boleh tunggu 50 tahun BN perintah, kenapa takut nak cuba kerajaan baru ... untuk lima tahun saja.

"Nak undi apa pun tak apa. Tak kira PAS, KeADILan atau DAP, asal jangan Umno sudahlah.

"Memang kerajaan tak suka orang lawan dia. Mereka guna ISA untuk tutup mulut rakyat. Tapi orang sekarang sudah tak takut lagi. Saya tak ada komputer tapi saya tahu orang lain tekan saja komputer, dapat tahu macam-macam rahsia kerajaan."

Apabila pemandu teksi itu menyebut ISA, isteri saya (Kadir) menyambut pantas: "Suami saya pun pernah ditahan ISA." Beliau juga berulang kali menyatakan kekaguman tidak terhingga kepada "orang tua di Kelantan" yang baginya terlalu hebat. "PAS tak akan kalah selagi ada orang tua itu di Kelantan," ujarnya bersungguh-sungguh. Isteri saya terpaksa menyebut nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkali-kali apabila nampak beliau seperti susah sangat hendak mengingati [nama] Menteri Besar Kelantan [itu].

Agaknya berapa banyak rakyat Malaysia yang sependapat dengannya? Dijangkakan jumlahnya semakin hari semakin bertambah. Apatah lagi dengan kegilaan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Dua Laki Bini sekarang ini. Harap-harap percambahan yang condong kepada Pakatan Rakyat itu terus subur sehingga mampu membinasakan UMNO/BN.Anda setuju? Tentulah setuju. Tiada apa yang dapat berselingkuh lagi. Tunggu Apa lagi? Kasi roboh itu UMNO/BN!!!

Adakah Najib kena tunggu "pekenan" Rosmah dahulu Untuk Debat?

Posted: 23 Jan 2011 01:12 AM PST

Hebat! Anwar memang berani. Kena sumbat dalam ISA. Kena penjara 6 tahun. Dia tetap berjiwa besar.

Kini apabila dia ajak PMNajib berdebat tentang Buku Oren 100 hari, PMNajib mengelak. Bahkan Najib mendakwa Anwar bakal "demam" jika beliau mendedahkan peribadi Anwar.

Anwar menjawab dengan menyatakan beliau sanggup telan penadol bahkan barangkali "sanggup merangkak" ke pentas debat jika PMNajib sanggup berdebat isu peribadi.

Agaknya apa pula hujah PMNajib mengelak dari berdebat dengan Anwar?

Adakah PMNajib perlu dapat "perkenan" Wanita Pertama dahulu?




Dari Tok Pepijat

Chua hina Queen Elizabeth dan PM India?

Posted: 23 Jan 2011 01:10 AM PST

Serangan peribadi Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap calon PAS, Normala Sudirman kononnya 'kalau dia bersalam pun dengan memakai sarung tangan' adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

(Gambar atas: Queen Elizabeth bersalam dengan Perdana Menteri India Manmohan Singh dalam keadaan bersarung tangan.)

Bahkan ia dianggap merendah-rendahkan pengetahuan dan budaya orang Cina sendiri seolah-olah mereka bodoh untuk menerima pandangan bekas menteri kesihatan itu.

Ini kerana bersalam dengan memakai sarung tangan bukannya merendahkan martabat mana-mana pihak dan tidak ada kesalahanpun dari segi moralnya.

Bagi kebanyakan pihak, kenyataan Chua ini sesuatu yang sangat naif dan menyerang pribadi pihak lain ketika moral beliau sendiri sangat dipertikaikan sehingga terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan sebelum ini.

"Baginda Queen Elizabeth, Ratu England juga memakai sarung tangan ketika bersalam dengan mana-mana pihak hatta pemimpin negara lain.

"Adakah Chua Soi Lek mahu berkata, Queen Elizabeth mahu menghina Perdana Menteri India, Manmohan Singh ketika bersalam dengan beliau dalam keadaan memakai sarung tangan," kata seorang pemerhati politik.

Bagi keluarga diraja British, tidak memakai sarung tangan ketika bersalam dengan pihak lain adalah satu yang tidak beradab.

Bagi Islam pula, bersalam dengan lelaki atau perempuan yang boleh dinikahi (bukan muhrim) adalah satu kesalahan (dosa).

Normala Sudirman pula menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Merujuk kepada isu tidak bersalam yang ditimbulkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Normala meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, 38, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA yang dipimpin Dr Chua sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

"Saya secara peribadi berpendapat bahawa sudah tiba masa pihak lawan (BN) matang setelah 53 tahun kita merdeka... apa yang paling penting adalah dasar-dasar atau komitmen perkhidmatan yang mahu dibawa kepada rakyat khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

"Bukan menyentuh isu peribadi atau serangan peribadi yang saya kira ia satu perkara yang sangat jauh daripada apa yang kita fokus.

"Saya kira perkara yang paling penting adalah setelah 53 tahun merdeka, MCA sepatutnya sudah lama memahami konsep sebagai individu Muslim yang perlu kerana mereka berkawan dengan komponen BN iaitu Umno," kata beliau dalam temu bual ekslusif bersama The Malaysian Insider hari ini.

Exco Dewan Muslimat PAS pusat ini berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Dr Chua mengenai Islam apabila secara sindiran membuat perbandingan cara Normala bersalaman dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa berkempen di Tenang.

"Dia tidak akan datang ke sini (tokong Cina), (dan) dia langsung tidak bersalam dengan orang. Saya sudah terima aduan mengenai hal ini.

"Dia seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan ketika bersalam. Jika anda boleh menerima cara Islam sebegini, pergilah undi PAS," kata Chua.

Cabaran Debat bergema lagi di Tenang (video)

Posted: 23 Jan 2011 12:57 AM PST


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk berdebat isu peribadi jika ia menjadi kemahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang bermati-matian mengelak berdebat isu ekonomi.

Menyatakan Najib belum menerima pelawaan untuk berdebat mengenai Program 100 Hari sebaliknya menyerang beliau dengan mengungkit isu peribadi, Ketua Pembangkang itu tidak gusar sebaliknya sedia untuk berdebat dalam hal itu.

"Demam pun saya mampu debat, tapi tajuk ekonomi. Najib tidak mahu debat ekonomi, mahu tajuk peribadi, tidak mengapa, boleh. Tajuk pertama ekonomi, tajuk kedua peribadi. Dia (Najib) kata Anwar ini akhlak rendah peliwat, tidak mengapa tapi bawa bukti. Saya akan menyebut rampas bini orang, rasuah RM500 juta, pembunuhan Altantuya, jawab.

"Saya tidak mahu tanya, sila jawab. Mahu tengok siapa yang kena londeh," katanya pada ceramahnya di Felda Tenang malam tadi.-Keadilandaily

Anwar Dedah Bukti APCO Dengan Konsep 1Malaysia

Posted: 23 Jan 2011 12:52 AM PST

Felda Tenang digegarkan dengan pendedahan bukti hubungan kerajaan Malaysia pimpinan Umno-Barisan Nasional dengan APCO Worldwide bersabit isu 1 Malaysia.

Perkara itu didedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pembuka tirai kempen pilihanraya kecil DUN Tenang bermula malam tadi.

Menerusi salinan dokumen perjanjian Malaysia-APCO Worldwide yang dikemukakan Anwar, menyatakan penglibatan Sekretariat Akhbar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad sebagai saksi perjanjian tandatangan pegawai kerajaan Malaysia dengan syarikat perunding Israel itu.

Justeru menurut beliau, penafian berterusan syarikat yang berpengkalan di Washington and Tel Aviv oleh Perdana Menteri Najib Razak selama ini merupakan pembohongan semata-mata.

"Ada tak perjanjian? Ada. Pertama saya ada, kerajaan Israel dan Apco yang mereka kata tiada dan menteri-menteri kita nafi. Tahun 1991. Kerajaan Israel dan Apco, ini perjanjian. Kedua 2009, perjanjian kerajaan Datuk Seri Najib dengan Apco.

"Tandantangan bukan setakat wakil kerajaan, saksinya Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad, Sekretariat Akhbar Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib, ini dia. No kad pengenalan pun ada, 620707015781," kata beliau di hadapan ratusan masyarakat felda yang hadir ke Markas PAS Felda Tenang malam tadi.

Anwar ketika ini digantung enam bulan oleh Parlimen Malaysia tanpa diberi peluang membela diri kerana dituduh mengelirukan dewan setelah lantang mendedahkan konsep 1 Malaysia yang meniru 'One Israel' oleh APCO Worldwide.

Seterusnya, Najib tampil menafikan tuduhan itu sebaliknya menyatakan konsep tersebut adalah ilhamnya sendiri.

"1999, Ehud Barak sebut 'One Israel, People First''. Apa maknanya? Rakyat didahulukan. Sepuluh tahun kemudian, rakyat didahulukan. Tanya mereka (Umno-Barisan Nasional), kebetulan. Satu Israel, Satu Malaysia, kebetulan. Macam cerita P Ramlee, cubaan," disahut ketawa sinis penduduk felda yang hadir.

Beliau turut akan mengedarkan salinan dokumen tersebut kepada markas-markas parti Pakatan Rakyat.

Dalam ceramahnya, beliau turut mengecam pemimpin yang bersikap bongkak terhadap kuasa dan tanggungjawab yang dimandatkan oleh rakyat.

Tambahnya lagi, beliau tidak gusar akan tentangan hebat yang diberikan kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk menyekatnya daripada mendedahkan perbuatan salah pemimpin-pemimpin parti itu justeru mengajak rakyat menilai integriti wakil masyarakat yang dipilih.

Jelasnya lagi, rakyat harus didedahkan dengan maklumat sahih agar dapat menilai sejauh mana tanggungjawab yang dilaksanakan oleh kepimpinan negara.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu hadir ke kawasan DUN Tenang bertemu masyarakat di tiga lokasi sekitar Labis malam tadi yang rata-ratanya memberi respon positif terhadap calon Pakatan Rakyat, Normala Sudirman.

Tiada ulasan: