Rabu, 19 Januari 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Presiden Tunisia mangsa pertama Wikileaks?

Posted: 19 Jan 2011 07:53 AM PST

Ketika artikel ini ditulis, media antarabangsa melaporkan tentera Tunisia baru sahaja melancarkan serangan ke atas penyokong bekas presiden Zine El Abidine Ben Ali yang digulingkan. Sebahagian penyokong berkenaan bertahan di dalam istana presiden itu.


Presiden sendiri melarikan diri ke Arab Saudi pada 16 Januari lalu selepas siri bantahan rakyat sejak beberapa minggu. Beliau tumbang di tangan rakyat setelah memerintah kira-kira 23 tahun.

Ada beberapa sisi menarik boleh ditulis mengenai kisah tumbangnya seorang presiden ini. Namun sisi paling menarik ialah kejatuhannya dikaitkan oleh banyak pihak dengan peranan Wikileaks dan Facebook.


Menerusi media baru seperti Wikileaks dan Facebook, Presiden Zine El Abidine Ben digambarkan kepada rakyatnya sebagai seorang penguasa kuku besi, mengamalkan rasuah serta penyelewengan lain. Ini diburukkan lagi oleh faktor peningkatan kadar pengangguran di negara itu.

Menurut telegraph.co.uk, bekas presiden Tunisia itu mungkin mangsa pertama Wikileaks. Maklumat yang didedahkan Wikileaks mengenai kabel diplomatik kedutaan Amerika Syarikat berhubung kehidupan mewah presiden itu serta empayar perniagaan di bawah kawalan keluarganya dan kekebalan anak pinaknya daripada tindakan undang-undang, disebarluaskan menerus email dan media baru lain (internet) ke seluruh negara walaupun tahap sistem penapisan adalah amat ketat. Malah, beberapa minggu sebelum kejatuhannya, presiden itu menyekat laman Wikileaks daripada dapat diakses oleh rakyatnya.

Pendedahan itu menimbulkan kemarahan rakyat. Kemarah itu akhirnya meledak berikutan insiden seorang pemuda bertindak membakar dirinya kerana protes terhadap tindakan merampas barang-barang perniagaannya oleh pihak berkuasa yang mendakwanya tiada lesen, sedangkan perniagaan itu adalah satu-satunya sumber rezekinya..

Thedailybeast.com pula melaporkan bahawa laman sosial Facebook dan Twitter digunakan sebagai sumber utama oleh rakyat terbanyak yang menentang pentadbiran Zine El Abidine Ben.

Antara yang popular digunakan bagi menyebarkan penentangan terhadap penguasa Tunisia itu ialah laman Twitter ini – http://twitter.com/SBZ_news

Sementara itu, neontommy.com turut merakamkan perkara sama. Web terbabit menyifatkan Zine al-Abidine Ben Ali jatuh kerana WikiLeaks dan Facebook.

Ternyata, ini adalah 'sejarah baru yang ditulis dengan dakwat teknologi'. Dengan teknologi terkini, maklumat tidak lagi dapat disekat-sekat, disembunyi dan dimanipulasi oleh pemerintah.

Jika beberapa dekad dahulu, penguasa dapat 'bermain-main' dengan maklumat dan fakta bagi mengabui mata rakyat terbanyak, kini maklumat boleh bergerak menyelinap masuk ke segenap ruang rumah, malah di dalam poket orang ramai, menerusi pelbagai gajet serta saluran penyiaran yang tidak lagi mampu dikawal sepenuhnya oleh elit pemerintah.

Malah fungsi serta pengaruh media tradisional (media cetak dan elektronik) yang dahulunya dapat dikawal secara total oleh kerajaan serta dianggap sebagai kekuatan keempat (fourth estate) di dalam sesebuah negara, kini mula luntur. Ia mungkin akan perlahan-lahan dikalahkan oleh media baru – internet – yang pusat siarannya boleh sahaja hanya daripada sebuah rumah usang serta tidak memerlukan sebarang lesen, permit atau kelulusan untuk membuat apa juga siaran.

Inilah yang ditakuti elit pemerintah di mana-mana sahaja di dunia, terutama mereka yang mengamalkan rasuah, penyelewengan dan menidakkan hak serta kebajikan rakyat. Presiden Tunisia itu adalah yang pertama. Mungkin ramai lagi akan menyusul menjadi mangsa kebebasan maklumat menerusi kecanggihan teknologi sebaran.

Jika dahulu sejarah dikatakan hanya ditulis oleh puak yang menang dan berkuasa (sementara peranan pihak yang kalah dinafikan), kini sejarah akan tertulis secara telus dan dapat dilihat dari pelbagai penjuru serta oleh sesiapa sahaja.

Justeru, mana-mana juga pemerintah, tidak dapat tidak, mereka tidak mempunyai pilihan lain untuk kekal berkuasa. Satu-satunya pilihan yang ada ialah memerintah berasaskan keadilan dan mengutamakan kebajikan rakyat dengan mengelak penyelewengan serta tidak mementingkan kroni dan anak pinak.

Jika tidak, mereka akan tumbang dalam tragedi!

Mesej daripada kisah kejatuhan Presiden Tunisia ini adalah jelas dan mudah difahami. Mesej sejagat ini sepatutnya sudah diserap terima oleh mana-mana penguasa di mana-mana juga negara di dunia. –

Info dari:
http://inimajalah.com

PERCAYAKAH ANDA?

Posted: 19 Jan 2011 06:18 AM PST


LABIS: Umno Bahagian Labis tidak akan melancarkan serangan peribadi ke atas calon PAS, Normala Sudirman ketika berkempen dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor.

Jaminan ini diberikan oleh Naib Ketua Umno Bahagian Labis, Hashim Daud ketika dihubungi hari ini.

"Banyak kerja lain yang kita nak buat. Itu bukan cara Umno membuat serangan peribadi terhadap calon lawan. Kita boleh tengok rekod Umno dalam mana-mana pilihan raya.

"Tetapi parti lawan yang sering membuat serangan peribadi terhadap Umno, bukan kepada calon sahaja tetapi juga ke atas para pemimpin Umno.


"Kita minta PAS jangan mulakan serangan peribadi ke atas calon BN (Barisan Nasional) kerana kita juga tahu hal dia (Normala). Dia, saya percaya tidak membuat serangan peribadi tetapi orang-orangnya," katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Normala sebagai calon PAS dalam satu majlis di Tenang, 16 Januari lalu.

Calon BN dijangka diumumkan petang ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno di Tenang.

Beberapa nama disebut, antaranya Ketua Wanita Umno Bahagian Labis, Haslinda Salleh dan Hashim sendiri.

Hari penamaan calon akan diadakan Sabtu ini manakala pengundian pada 30 Januari. PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha dari BN pada akhir November lalu.


Free Malaysia Today

Woi!! Mahu Sabotaj ka?

Posted: 19 Jan 2011 02:35 AM PST

Ketika berucap dalam satu majlis pelancaran perkhidmatan bas "CENTRAL AREA TRANSIT" (CAT) dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Discover Penang & Win Ketua Menteri Pulau Pinang telah mengumumkan akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma dari Seberang Jaya ke Pulau Pinang uat warga Pulau Pinang.

Sebanyak tiga buah bas RapidPenang yang dikenali sebagai Bas CAT disediakan oleh Kerajaan Negeri secara percuma dengan Kerajaan Negeri di bawah MPPP menanggung kos sebanyak RM50,000 sebulan atau RM600,000 setahun dan selebihnya diuruskan oleh RapidPenang.


Dengan penyediaan Bas CAT ini, Kerajaan Negeri berharap dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dalam kawasan pusat bandar malah, ianya sekaligus akan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.

Tiba-tiba hari ini Bernama melaporkan Syarikat konsesi Jambatan Pulau Pinang Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) telah memansuhkan diskaun kadar tol sebanyak 50 peratus kepada semua jenis bas bermula Sabtu lalu.

Dengan pemansuhan diskaun itu pasti subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri akan meningkat.

Adakah ini satu tindakan sabotaj oleh UMNO terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui syarikat miliknya iaitu UEM yang menguasai Syarikat konsesi Jambatan Pulau Pinang Penang Bridge Sdn Bhd?


PBSB mansuh diskaun tol bas di Jambatan Pulau Pinang

2011/01/19
GEORGETOWN: Syarikat konsesi Jambatan Pulau Pinang Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) telah memansuhkan diskaun kadar tol sebanyak 50 peratus kepada semua jenis bas bermula Sabtu lalu.

Jurucakap PBSB berkata, tindakan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan pusat agar diskaun kadar tol untuk kenderaan tersebut di semua lebuh raya bertol dimansuhkan.

"Jika sebelum ini bas hanya perlu membayar sebanyak RM12.50 untuk melintasi Jambatan Pulau Pinang, kini dikenakan kadar bayaran RM25 dan ia adalah kadar lama sebelum kadar diskaun diperkenalkan pada tahun 2008," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, PBSB masih mengekalkan diskaun sebanyak 20 peratus untuk kereta persendirian yang menggunakan kad "Touch and Go" keluaran syarikatnya.

Sementara itu, sebuah syarikat bas persiaran Ha Travel, ketika dihubungi, berkata mereka tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Sebaliknya, kata jurucakap syarikat itu mereka hanya tahu mengenainya apabila dimaklumkan oleh pemandu bas terbabit. - BERNAMA

Kerusi DUN Pelabuhan Klang diistihar kosong!

Posted: 18 Jan 2011 11:51 PM PST

Eloklah diistiharkan kosong tu.. dah sampai enam bulan mentekedarah gaji buta apa hal??

Walaupun kerusi DUN telah diistihar kosong.. pilihanraya kecil masih bergantung kepada SPR.. maknanya belum tentu ada pilihanraya kelcil lagi.. ala.. macam kat Kota Seputeh tu la..

Speaker isytihar kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong

Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengisytiharkan kerusi dewan undangan negeri Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang dewan undangan negeri Selangor selama lebih setengah tahun.

Pengumuman itu dibuat petang tadi di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Sebelum ini, khabar angin mengenai kekosongan itu bertiup kencang apabila Badrul Hisham Abdullah didakwa telah gagal menghadiri sidang DUN selama lebih setengah tahun.


Mengikut Artikel 69 perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker.

ADUN kontroversial Pelabuhan Klang itu meninggalkan PKR pada tahun Oktober 2009 dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mesra BN tetapi kemudiannya menyertai Umno pada Mei tahun lalu.

Sebelum itu, beliau juga 'menghilangkan diri' buat seketika dan muncul semula dengan berita yang beliau akan berpaling tadah.

Badrul Hisham memenangi kerusi P{elabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi.

Beliau mendapat 12,397 undi berbanding calon BN yang diwakili oleh Roselinda Abd Jamil (Umno) yang mendapat 7,990 undi dan calon Bebas Nazir Mansor pula mendapat 580 undi.

Sejak pilihan raya umum pada Mac 2008, negara telah menyaksikan 14 pilihan raya kecil. Yang terakhir akan diadakan di Tenang, Labis, Johor berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha.

Sebelum ini, seorang pembantu khas ADUN Pelabuhan Klang, yang tidak mahu namanya dipetik memberitahu, wakil rakyat itu hanya gagal hadir pada satu persidangan bajet bertarikh 8 hingga 11 November atas masalah kesihatan.

Katanya, surat ketidakhadiran telah dimaklumkan kepada Teng.

Beliau juga menafikan wakil rakyat itu gagal hadir selama enam bulan kerana beliau sendiri mencatatkan kehadirannya.


Malaysiakini

First Lady of Tunisia melarikan 1.5 tan emas..

Posted: 18 Jan 2011 10:47 PM PST

TUNIS - Leila Trabelsi yang merupakan isteri bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali bertindak melarikan diri ke luar negara bersama jongkong-jongkong emas seberat 1.5 tan bernilai lebih £35 juta (RM171.3 juta), lapor sebuah akhbar semalam.

Leila, 53, telah mengarahkan Bank Negara Tunisia supaya menyerahkan jongkong-jongkong emas itu pada minggu lalu.

Apabila ketua bank pusat enggan memenuhi permintaannya, Leila merayu kepada suaminya yang kemudian akur dengan permintaannya mengeluarkan perintah penyerahan emas tersebut, lapor akhbar Perancis, Le Monde.

Setelah jongkong-jongkong emas itu bertukar milik, Leila berlepas ke Dubai seterusnya ke Jeddah untuk menyertai suaminya yang mencari suaka politik di Arab Saudi pada Jumaat lalu.


"Isteri Zine El Abidine adalah orang yang membawa lari emas berharga lebih £35 juta," kata sumber perisikan Perancis.

Zine El Abidine meletakkan jawatan sebagai presiden pada Jumaat lalu selepas ribuan penunjuk perasaan berhimpun di sini bagi menuntut peletakan jawatannya.

Isteri Zine itu digelar sebagai Imelda Marcos dunia Arab.

Imelda merupakan isteri bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos yang digulingkan oleh rakyat pada 1986 selepas memerintah secara diktator sejak Disember 1965.

Imelda terkenal dengan gaya hidup mewahnya di negara yang miskin itu dan perwatakan Leila itu disamakan dengan isteri Marcos.

Speaker Parlimen Tunisia, Fouad Mebazza kini menjadi presiden sementara negara itu.

Bagaimanapun, tunjuk perasaan masih berlaku di negara itu bagi menuntut pemerintah sedia ada turut meletakkan jawatan.

Para penunjuk perasaan itu enggan mengiktiraf pemerintah sedia ada kerana ia mengandungi lapan menteri dari rejim bekas presiden yang melarikan diri.

Polis menyuraikan tunjuk perasaan itu dengan menggunakan gas pemedih mata.

Sementara itu, empat menteri penentang Zine bertindak meletakkan jawatan sekali gus menjejaskan harapan untuk memulihkan semula keamanan di negara berkenaan.

Keadaan tidak menentu itu berlaku selepas Zine yang memerintah melalui rampasan kuasa sejak 23 tahun lalu terpaksa akur dengan desakan ribuan penunjuk perasaan yang memintanya meletakkan jawatan.

Tentangan tunjuk perasaan itu berlaku disebabkan penindasan, rasuah dan kekurangan pekerjaan dalam kalangan golongan muda di negara itu. - Agensi

Isu Azan : Harussani melampau dan berniat jahat?

Posted: 18 Jan 2011 08:02 PM PST

Baca petikan berita di bawah ini dulu..

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyifatkan sebarang cadangan agar mengehadkan penggunaan pembesar suara di masjid hanya kepada tujuan azan sebagai "melampau" dan berniat jahat.

Beliau menegaskan masjid dan surau bukan tempat bersolat sahaja, tetapi turut diadakan pelbagai aktiviti yang berfaedah untukn masyarakat.

"Untuk hadkan pembesar suara kepada azan sahaja adalah cadangan yang melampau dan berniat jahat.

"Masjid dan surau bukan hanya tempat bersolat, banyak lagi aktiviti berfaedah lain yang dijalankan di masjid dan surau," katanya (sepenuhnya di SINI)

Kemudian baca pula berita ini..


Mufti Perak: Pembesar suara selain untuk azan tak perlu
Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria juga berkata pengurusan masjid atau surau tidak perlu menggunakan pembesar suara selain untuk tujuan azan, tetapi menegaskan pihak berkuasa tidak perlu mewujudkan garis panduan yang baru.

Kata beliau, hanya untuk tujuan azan yang perlu menggunakan pembesar suara manakala bacaan-bacaan lain tidak perlu.

"Hanya azan sahaja yang gunakan pembesar suara, yang lain tidak perlu. Bacaan lain hanya gunakan (pembesar suara) dalam masjid sahaja.

"Tak usahlah nak ganggu orang lain, lagipun tak disuruhkan dalam Islam gunakan pembesar suara selain azan," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tambah Harussani, peraturan supaya pembesar suara digunakan hanya untuk azan juga tidak perlu kerana ia garis panduan sudah sedia ada.

"Saya ingat ia (peraturan) sudah ada, cuma kita tidak laksanakan.

"Apa-apa pun bagi saya, hanya azan sahaja yang gunakan pembesar suara. Yang lain tidak perlu," katanya.

Sebelum ini bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan selain azan, yang dibuat melalui pembesar suara supaya tidak mengganggu orang luar dan juga mereka dalam masjid.

Kontroversi isu azan timbul selepas seorang peguam bukan Islam mempertikaikan bunyi azan yang terlalu kuat sehingga mengganggunya.

Namun peguam tersebut, Ng Kian Nam yang juga ahli MCA memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam atas kesilapannya meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi di sini diperlahankan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata isu azan tersebut telah dipolitikkan oleh pihak tertentu.

Beliau juga mencadangkan supaya semua rakyat di negara ini menghormati antara satu sama lain demi menjaga keharmonian negara.

"Azan berkumandang untuk memanggil orang Islam bersolat, jadi ia bukan masalah dan bukan isu.

"Ketika saya di Amerika dulu, ketika azan orang Islam di sana tidak menggunakan pembesar suara kerana tidak mahu mengganggu orang lain.

"Macam kita di Malaysia begitu juga, kita kena menghormati antara satu sama lain. Jangan sampai mengganggu mereka," katanya.

Nik Mustapha juga kecewa apabila isu azan tersebut telah dipolitikkan kerana pemimpin-pemimpin melihat ia dari sudut politik.

"Kenapa nak jadikan isu? Kenapa nak dipolitikkan?

"Kalau lihat dari sudut politik maka ia jadi isu politik, dulu perkara seperti ini tidak pernah berlaku pun.

"Jadi kenapa nak bincangkan perkara ini? Apa yang penting kita menghormati antara satu sama lain, menghormati adat resam. Yang penting hidup dalam keadaan harmoni, saya tidak faham kenapa ia dipolitikkan," katanya dengan nada kecewa.

Dalam satu surat bertarikh 20 Disember 2010 kepada Jabatan Perdana Menteri, Ng, meminta supaya tindakan diambil bagi memperlahankan bunyi azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Bukit Kerinchi itu kerana didakwa mengganggu tidurnya.

Ekoran itu, Perkasa dan Pekida telah mengadakan protes di pekarangan masjid berkenaan bagi mengecam tindakan Ng yang dikatakan telah menyentuh sensitiviti umat Islam.

Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.


The Malaysian Insider

Pesta Kutip Duit Syiling

Posted: 18 Jan 2011 07:50 PM PST



Seremban - Kilometer 243 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan berhampiran susur keluar Pedas dekat sini yang sentiasa sibuk semalam bagaikan 'pesta' apabila orang ramai berebut-rebut mengutip duit syiling yang bertaburan di lebuh raya itu, lapor Kosmo.

'Pesta' itu berlaku apabila sebuah kenderaan Toyota Hilux yang membawa satu peti duit syiling berjumlah RM75,000 terlibat dalam kemalangan.


Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, peti tersebut tercampak keluar dari pacuan empat roda itu selepas kenderaan itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta BMW.

Akibatnya ribuan duit syiling 10 sen, 20 sen dan 50 sen bertaburan di lebuh raya sepanjang kira-kira 100 meter.




Keadaan itu menyebabkan ramai pengguna jalan raya menghentikan kenderaan masing-masing di bahu jalan untuk mengutip duit syiling.

Kehadiran beberapa anggota polis dan pekerja lebuh raya gagal menyuraikan orang ramai yang terus mengutip duit syiling tanpa menghiraukan keselamatan mereka.

Orang ramai meninggalkan lokasi itu selepas duit syiling itu habis dikutip tiga jam kemudian.

Harian Metro pula melaporkan, pemandu pacuan empat roda membawa wang berjumlah lebih RM70,000 berkenaan yang dikenali sebagai Zairulhisham Mansor, 28, berkata kejadian berlaku selepas kenderaannya dilanggar daripada belakang oleh sebuah kenderaan lain.

"Akibat perlanggaran itu, pacuan empat roda yang saya pandu hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan syiling dibawa bertaburan.

"Ketika itu, saya berada di lorong paling kiri dan bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Katanya, seorang rakan dalam pacuan empat roda bersamanya cedera ringan akibat kemalangan itu.


Najib tak pandang pun jenazah Setiausaha UMNO Tenang..

Posted: 18 Jan 2011 07:11 PM PST

Walaupun letaknya Masjid yang menempatkan jenazah Setiausaha UMNO Tenang itu dengan tempat acara Perdana Menteri itu diadakan hanya 50 meter, namun sehingga jenazah beliau selamat dikebumikan Najib tidak menjenguknya..

Itu adalah penghargaan buat Setiausaha UMNO.. ahli-ahli biasa bagaimana pula agaknya?

PM lupa ziarah jenazah Setiausaha Umno Cawangan Tenang
Harakahdaily


Cikgu Normala Sudirman mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham ketika menziarahi jenazah Setiausaha Umno cawangan Felda Tenang, Abdul Latif Subhi, di masjid Felda Tenang tengahari semalam.

LABIS, 19 Jan: Para petugas PAS dari Pahang terpaksa mengurus dan mengimamkan solat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Felda Tenang yang meninggal dunia semalam apabila imam yang bertugas terpaksa meraikan kedatanganPerdana Menteri ke tanah rancangan Felda itu.


Abdul Latif Subhi bin Mohd Din, 61, meninggal dunia selepas diserang sakit jantung dan darah tinggi yang melampau selepas menguruskan kedatangan PM ke Felda itu.

Namun, sehingga jenazah beliau selamat dikebumikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sempat menjenguk jenazah beliau walaupun masjid yang menempatkan jenazah itu hanya 50 meter dari padang tempat acara untuk Perdana Menteri diadakan.




"Jenazah itu berada di masjid sejak jam 10 pagi. Ia tidak diziarahi apatah lagi disembahyangkan oleh Presiden Umno yang datang ke situ,"kata seorang saksi kejadian itu pagi semalam.

Allahyarham Abdul Latif adalah bekas MP Tentera Darat dan pagawai Pertahanan Awam adalah pewaris Felda. Beliau meningalkan empat anak dan seorang cucu di samping balunya, Puan Maimunah Hindun.

"Suasana pilu dan terkilan menyelubungi keluarga Allahyarham apabila imam bertugas ada bersama meraikan Najib dan akhirnya jenazah disolatkan oleh sukarelawan PAS daripada Pahang selepas Zohor di masjid itu.

"Inilah akhlak kepimpinan Umno kepada ahlinya sendiri," kata saksi itu ketika menceritakan peristiwa ini.

Najib tiba di Labis dengan helikopter pada 9.30 pagi Selasa semalam. Sejak jam 10 pagi, jenazah Allahyarham ditempatkan di masjid itu untuk membolehkan Perdana Menteri menziarahinya kalau-kalau sempat.

Najib telah melawat Felda Chemplak Barat dan menyempurnakan majlis pelancaran Pusat Jalur Lebar Komuniti dan merasmikan gelanggang futsal di situ sebelum meluangkan masa bersarapan dengan warga peneroka.

Walaupun beliau dan rombongannya melintasi masjid Felda Tenang, tempat jenazah itu ditempatkan sejak jam 10 pagi, ia tidak langsung dipeduli, jauh sekali untuk disolatkan, dijenguk pun tidak sempat.

Sementara itu, Cikgu Normala Sudirman, yang diumumkan oleh PAS akan menjadi calonnya dalam pilihan raya kecil Tenang ini telah menziarahi jenazah Allahyarham jam 1.30 tengahari sebaik sahaja selesai solat Zohor.

Beliau mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham dan meminta semua keluarganya bersabar dengan dugaan dari Allah itu.

Tiada ulasan: