Rabu, 22 Disember 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Janda Dungun Masuk Perangkap

Posted: 22 Dec 2010 01:00 AM PST

Janda gian masuk perangkap

DUNGUN - Tidak serik. Itulah ungkapan sesuai buat seorang janda anak satu apabila dia terpaksa bermalam di tirai besi bersama puluhan lagi rakan lain yang ditahan dalam operasi khas membanteras gejala penyalahgunaan dadah dekat sini, awal pagi semalam.

Biarpun sudah mempunyai seorang anak yang bersekolah dalam Tahun Dua di salah sebuah sekolah rendah di Paka, namun tanggungjawab sebagai ibu tidak menghalang janda muda berusia 24 itu keluar malam untuk mencari pasangan bagi melepaskan gian dadah.

Aktiviti songsang itu biarpun pernah mengheretnya ke tirai besi setelah dicekup polis dua tahun lalu, namun ia belum cukup memberi pengajaran buat pelayan restoran itu.

Malah dia yang meninggalkan bangku persekolahan sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana bertemu jodoh itu dilaporkan terus aktif mendapatkan bekalan dadah sehingga terperangkap setelah ditahan polis ketika bersama teman lelakinya di sebuah rumah dekat Limbong, kira-kira 5.30 awal pagi kelmarin. -SH

"Saya Nak Kahwinkan Anak Saya Dengan Anak Dia, Bukan Dengan Dia"

Posted: 21 Dec 2010 11:29 PM PST

Raisuddin Hamzah Didakwa Kahwini Bakal Menantu

SHAH ALAM: Bapa mertua kepada Raisuddin Hamzah memberitahu dia mempunyai hasrat mahu menjodohkan anak perempuannya dengan anak lelaki pelakon dan penyanyi popular tahun 80-an tersebut.

Suberi Abdullah, 50, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa, bahawa dia mempunyai dua calon menantu buat anaknya, Siti Fatimah yang telah bernikah dengan Raisuddin di sempadan Thailand.

"Calon pertama adalah anak kepada Raisuddin yang bernama Hamzah manakala calon kedua adalah anak seorang doktor yang dipanggil sebagai Along," katanya semasa disoal oleh peguam syarie Mohd Roshdan Sujak.

Selain itu, Suberi yang mengusahakan kedai makan juga memberitahu, dia tidak bersetuju dengan perkahwinan anaknya kerana faktor jarak usia yang berbeza 31 tahun. "Dia (Raisuddin) tidak sepadan. Semasa akad nikah, umur anak saya baru 19 tahun, masih anak dara dan sedang menuntut di Universiti Selangor (Unisel) di Batang Berjuntai, dekat sini.

"Dia pula berusia 50 tahun dan sudah mempunyai isteri," katanya dan menambah berasa malu dengan perkahwinan tersebut.

Mohd Roshdan mewakili Suberi, 50, pada permohonannya untuk membubarkan perkahwinan antara Siti Fatimah dan Raisuddin mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Mahkamah sama turut mendengar permohonan Raisuddin, 54, yang merupakan bapa kepada penyanyi, Siti Sarah untuk mengesahkan pernikahan yang dilakukan di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 dengan berwalikan hakim.

Suberi seterusnya memberitahu, Siti Fatimah, 24, sepatutnya berada di rumah pada malam pernikahan tersebut.

"Dia tinggal di asrama. Saya tidak tahu bila dia ke Songkhla. Sebelum 2 Januari 2007, kali terakhir saya berjumpa dia adalah pada Hari Raya Haji tapi saya tidak ingat tarikhnya," katanya.

Menurut Suberi lagi, Siti Fatimah tidak ada memaklumkan atau meminta izin darinya untuk berkahwin mahupun dihubungi oleh mana-mana wakil dari Songkhla yang meminta izin untuk mewalikan anaknya.

"Saya tidak pernah kehilangan kelayakan untuk menjadi wali," tambahnya.

Dia juga memberitahu, dia tidak berada di penjara semasa pernikahan itu berlaku dan boleh dihubungi pada bila-bila masa menerusi telefon bimbit dan talian telefon rumah.

Suberi memberi keterangan selepas Mohd Roshdan memohon untuk menyoal semula anak guamnya ekoran banyak keterangan Suberi tiada di dalam nota prosiding semasa kes itu didengar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini.

Permohonan itu juga tidak dibantah oleh peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif yang mewakili Sti Fatimah yang dinamakan sebagai responden pertama dan diikuti oleh Raisuddin sebagai responden kedua.

Nor Azmi kemudiannya memohon diberikan sedikit masa untuk membolehkan beliau menyemak nota keterangan sebelum mula menyoal balas Suberi.

Hakim Syarie Zainor Rashid Hassin membenarkan permohonan itu dan menetapkan 23 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan baru.

Pada prosiding itu, Suberi yang mahu melarikan diri daripada pihak media tertinggal kad pengenalannya di mahkamah yang kemudiannya diambil oleh Mohd Roshdan. -mstar


Sokongan Melayu Terhadap PR Di Pulau Pinang Merudum

Posted: 21 Dec 2010 09:45 PM PST

Mansor akui serangan Umno-BN jejas sokongan Melayu Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 21 Dis – Pakatan Rakyat (PR) mengakui perikatan tiga parti itu berhadapan dengan kemerosotan sokongan orang Melayu berbanding situasi dua tahun lalu, ekoran serangan bertubi-tubi Umno-Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan bandar, kata Datuk Mansor Othman.

Menurut timbalan ketua menteri itu (gambar), serangan berterusan media dikuasai Umno khususnya Utusan Malaysia telah mengalih aliran sokongan daripada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng, yang menguasai 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Baki 11 kerusi dipegang oleh Umno.

Mengambil kira persekitaran itu kata beliau, pihaknya sedang memfokus usaha peringkat kedua untuk memperbaiki keadaan menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Sokongan orang Melayu menurun, ada kajian bebas dikendalikan beberapa ketika dulu, yang menunjukkan sokongan pengundi Melayu di Pulau Pinang menurun, dijalankan oleh Merdeka Center... bagi saya, ia kesan serangan berterusan, diserang oleh media, media arus perdana.

"Jika anda berbohong sekali, dua kali orang tidak akan percaya anda.

"Tetapi jika anda berbohong 20 kali, mereka akan terpengaruh," kata Mansor dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider di sini baru-baru ini.

Timbalan ketua menteri dari PKR ini menyenaraikan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri yang memperlihatrkan peralihan signifikan dalam sokongan orang Melayu, yang kembali kepada Umno.

Antaranya ialah Seberang Jaya dan Bayan Lepas, yang kedua-duanya dimenangi Umno.

Kerusi DUN Seberang Jaya terletak dalam bahagian Parlimen, yang wakilnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini adalah kerusi-kerusi Umno yang kami bimbang kerana ini adalah kerusi yang PKR bertanding.

"Saya bimbang dengan kerusi-kerusi (yang diperuntukkan) kepada PKR dan PAS, bukannya kerusi ditanding DAP.

"(Pun begitu) kerusi-kerusi (ditandingi) DAP juga perlu diberi perhatian, misalnya Sungai Pinang, yang majoritnya orang Melayu," kata Mansor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.

Daripada 29 kerusi dipegang oleh Pakatan Rakyat, DAP menguasai 19 manakala PKR sembilan dan PAS satu.

Mansor yang bulan lalu dipilih sebagai naib presiden PKR berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak risau sangat mengenai sokongan pengundi Melayu di kawasan luar bandar, yang lazimnya merupakan penyokong tradisi Umno.

"Kali ini kami perlu menangani isu perkauman, isu perkauman yang dimainkan (secara besar-besaran), ia sangat bahaya di sini... di Pulau Pinang khususnya apabila mereka memainkan elemen tiga 'R' iaitu kaum, agama dan raja ('race, religion and raja').

"Kami risau mengenai sokongan pengundi (Melayu) bandar beralih kepada Melayu, selepas datang kepada kami pada 2008. Kini sokongan kelihatan beralih semula (kepada mereka)," katanya lagi.

Semalam, sehari selepas Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di Kepala Batas, Pulau Pinang, Utusan Malaysia memberi liputan besar-besaran kepada pemimpin-pemimpin Umno, yang antara lain memanggil DAP sebagai "raja perkauman."

Dalam serangan terbaru itu, akhbar tersebut menyenaraikan rencana bertajuk "Kebiadapan Guan Eng" dengan menyenaraikan tindakan-tindakan mendakwa antiorang Melayu.

Lim dalam responsnya berkata akan menyaman Utusan Malaysia selepas ia kelmarin menyifatkan DAP sebagai alat kerajaan asing dan meminta parti itu diharamkan.

Ekoran perkembangan itu, Mansor memberitahu The Malaysian Insider bahawa Pakatan Rakyat perlu menangani siri pembohongan dan kerajaan negeri akan memfokus pada skim atau program yang akan memanfaatkan masyarakat Melayu.

"Apa yang kami perlu lakukan ialah bukan saja menyangkal pembohongan-pembohongan ini, tetapi juga memfokus pada usaha-usaha kami. Projek pembaharuan bandar, memfokus ke atas kawasan-kawasan setinggan tanpa mengira kaum, tetapi memberi fokus lebih ke atas kawasan-kawasan bandar, yang didiami orang Melayu... ada kawasan-kawasan penempatan orang Melayu di bandar seperti Tanjong Tokong, dan Bukit Jelutong.

"Kami harus memberi lebih fokus untuk mengatasi isu-isu ini, perlu diadakan skim perumahan mampu dimiliki.

"Kami telah membuktikan bahawa kami ada kerajaan yang baik (berbanding kerajaan negeri sebelum 2008 pimpinan BN), tetapi ia tidak cukup. Perlu ada projek pembangunan fizikal untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kami memang melakukan sesuatu, beberapa projek pendidikan yang konkrit, pelancongan," kata beliau.

Mansor juga menolak serangan Utusan Malaysia ke atas Lim dan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan menyifatkannya sebagai tindakan tidak logik dan bermotifkan "politik semata-mata."

"Apabila kami membuka tender, kami telah mendedahkan bahawa kesemua projek JPS bagi tahun 2010, seratus peratus diberikan kepada orang Melayu... di JKR, 98 peratus projek diberikan kepada orang Melayu.

"Kami telah menunjukkan orang Melayu juga berdaya saing. Jika mereka tidak boleh berdaya saing, bagaimana mereka boleh memperoleh tender-tender ini? Jadi, mereka menggunakan soal perkauman," kata Mansor.

Sehubungan itu, Mansor menekankan, kerajaan negeri perlu mempertingkatkan usaha untuk menangani isu-isu yang dibangktikan supaya dapat dikawal menjelang pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun kata beliau, ini kali pertama kerajaan negeri, khususnya di bawah Pakatan Rakyat, ada inisiatif untuk membantu orang Melayu.

Katanya, pada masa-masa lalu projek seumpama itu datang daripada kerajaan persekutuan seperti menerusi agensi Perda dan Jabatan Kemajuan Persekutuan.

"Tetapi apa yang hendak saya katakan ialah ada inisiatif (oleh kerajaan negeri semasa). Kerajaan negeri masa lalu tiada inisiatif, tetapi kami (kerajaan negeri Pakatan) lakukan," kata beliau.

Kerajaan negeri Pulau Pinang menjanjikan kakitangan awam akan diberikan ganjaran lebih baik sekiranya mereka memperbaiki prestasi mereka.

Baru-baru ini kerajaan negeri mengumumkan bayaran imbuhan tambahan, lebih baik berbanding kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bayaran khas Maal Hijrah sebanyak RM100 kepada semua 1,376 guru Kelas Agama Fardu Ain sempena perayaan Maal Hijrah dan bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri.

Penerimaan RM800 oleh anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang adalah melebihi RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam persekutuan.

Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pianng telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini. -TMI

Saintis Cipta Tikus Berkicau Seperti Burung

Posted: 21 Dec 2010 09:02 PM PST

Saintis cipta tikus boleh berkicau seperti burung

SEEKOR tikus yang boleh berkicau seperti burung didedahkan kepada pemberita di Sekolah Graduan Penerokaan Biosains Universiti Osaka, barat Jepun semalam.

TOKYO - Saintis-saintis Jepun mengumumkan semalam mereka berjaya mencipta tikus yang boleh berkicau seperti burung dalam evolusi kejuruteraan genetik yang diharap dapat membantu merungkai asal usul bahasa manusia suatu hari nanti.

Sekumpulan penyelidik di Universiti Osaka menghasilkan haiwan tersebut menerusi kajian yang dinamakan 'Projek Evolusi Tikus' yang mana mereka menggunakan tikus modifikasi genetik yang cenderung bermutasi.

"Mutasi adalah pencetus evolusi. Kami telah membuat kacukan ke atas tikus modifikasi genetik selama beberapa generasi untuk melihat apa yang akan berlaku," kata ketua penyelidik berkenaan, Arikuni Uchimura.

"Kami memeriksa setiap anak tikus yang baru lahir dan pada suatu hari, kami mendapati seekor anak tikus tersebut boleh berkicau seperti burung," katanya.

Menurutnya, kelahiran tikus berkicau itu berlaku kerana hukum alam tetapi ciri-ciri berkenaan akan diwarisi oleh generasi akan datang.

Makmal tempat penyelidikan itu dibuat dikendalikan oleh Profesor Takeshi Yagi dari Sekolah Graduan Penerokaan Biosains Universiti Osaka, barat Jepun yang kini memiliki lebih 100 tikus berkicau untuk kajian lanjut.

Pasukan saintis itu berharap penemuan tersebut dapat memberi petunjuk berhubung bagaimana evolusi bahasa manusia berlaku.

Sebelum ini, saintis-saintis mendapati burung-burung yang berkicau menggunakan bunyi berbeza-beza dan menyusunnya seperti perkataan dalam bahasa manusia serta mempunyai tatabahasa tersendiri. - AFP

[Video] Fenomena Gerhana Bulan Penuh Disaksikan Semalam

Posted: 21 Dec 2010 07:43 PM PST

Ramai saksikan fenomena gerhana bulan penuh

BULAN yang kelihatan berwarna kemerahan dalam kejadian gerhana penuh di Reykjavik, Iceland semalam.

REYKJAVIK, Iceland - Bulan bertukar merah di sini dalam kejadian gerhana penuh awal semalam sekali gus menepati ramalan ahli-ahli astronomi.

Sejumlah orang ramai berkumpul untuk melihat fenomena yang menakjubkan itu.

Bulan itu kelihatan seperti merah kerana musim sejuk yang kini melanda Eropah.

Gerhana bulan penuh berlaku dari pukul 7.41 pagi waktu tempatan hingga 8.53 pagi di Iceland apabila bumi berada di antara matahari dan bulan.

"Ia amat menakjubkan," kata seorang kakitangan sebuah bank, Torfi Olafur Sverrisson yang berusia dalam lingkungan 40-an selepas melihat gerhana bulan pertamanya.

Gerhana kali ini berlaku ketika solstis musim sejuk dan ia berlaku sekali dalam tempoh hampir 400 tahun.

Gerhana bulan itu dapat dilihat di rantau Amerika Utara, Pulau Greenland dan Iceland dengan penduduk di barat Eropah dapat melihat peringkat awalnya manakala barat Asia pula menyaksikan peringkat selepas gerhana apabila bulan kembali beransur terang. - Agensi



Mazhazmi Dakwa Dibogelkan Dan Dipaksa Berdiri Sebelah Kaki Oleh Pegawai SPRM

Posted: 21 Dec 2010 06:01 PM PST

Tertuduh dakwa didera SPRM

MAZHAZMI keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. Beliau mendakwa dipaksa berbogel, berdiri sebelah kaki dan dicemuh ketika siasatan

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Kanan Kebolehan Marin, Sime Darby Engineering Sdn Bhd, Mazhazmi Jamaludin, yang mendakwa didera dan dibogelkan oleh pasukan soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM200,000, dua tahun lalu.

Mazhazmi, 36, yang diwakili peguam Shamsul Sulaiman mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan di depan Hakim Rozilah Salleh dan memohon untuk dibicarakan.
Dalam prosiding semalam, Shamsul memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya didera ketika disoal oleh anggota SPRM.

"Anak guam saya yang pada awalnya dipanggil memberi keterangan sebagai saksi dibogelkan dan dipaksa berdiri dengan sebelah kaki saja ketika di soal.

"Mazhazmi juga turut dilontar dengan kata-kata kesat sehingga beliau tertekan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Anthony Kevin Morais memberitahu mahkamah jika penderaan itu benar berlaku, tertuduh sepatutnya melaporkan kejadian kepada pihak polis sebelum prosiding semalam kerana penyiasatan terhadapnya selesai pada Jun lalu.

"Tertuduh dilepaskan di bawah jaminan oleh SPRM pada Jun lalu. Dia ada enam bulan jika ingin buat laporan. Kenapa ketika dia dituduh (hari ini) baru isu ini dibangkitkan. Ini perkara mustahil," katanya.

Mazhazmi dituduh melakukan kesalahan itu sebagai upah untuk mencadangkan MLC Shipbuilding Sdn Bhd mendapat kontrak 'Construction and Sale of one Derrick Lay Barge (Hull No MLC 12888), Constructution and Sale one (1) unit 75M (Wartsila 8000bhp) Anchor Handling Tug/Supply Vessel Hull No 75083 dan Construction and Sale of one (1) unit 75M (Wartsila 8000bhp) Anchor Handling Tug/Supply Vessel Hull No 75084'' yang bernilai AS$134.2 juta RM422.75 juta).

Dia dituduh menerima wang itu bagi mengesahkan bayaran tertentu pembinaan satu unit Derrick Lay Barge Hull No MLC 12888 dan dua unit Anchor Handling Tug/Supply Vessels Hull No 75083 dan 75084.

Mazhazmi didakwa menerima wang itu daripada pemilik syarikat MLC Shipbuilding, Redzuan Goh Mohammed Karian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rozilah Salleh membenarkan Mazhazmi dijamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari ini sebutan kes.

Sementara itu, SPRM menafikan dakwaan, kononnya tertuduh didera oleh pegawai penyiasat SPRM ketika dalam tahanan reman.

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, berkata ketika permohonan menyambung reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada 20 Jun lalu, tiada sebarang aduan dibuat oleh, Mazhazmi, berhubung deraan mahupun kecederaan dimaklumkan di hadapan Majistret Mahkamah Kajang.

Ulasan GB

Rakyat merasa begitu terkejut dengan pendedahan ini. Jika benar dakwaannya, SPRM tidak serik-serik untuk bertindak seperti "binatang" selepas peristiwa Teoh Beng Hock.

Penafian oleh Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah kononnya tiada sebarang aduan dibuat oleh, Mazhazmi, berhubung deraan mahupun kecederaan dimaklumkan di hadapan Majistret Mahkamah Kajang tidak bererti SPRM boleh dilepaskan kerana terdapat pelbagai kemungkinan mangsa tidak membuat aduan atau laporan apatah lagi beliau di dalam keadaan yang tertekan.

Perilaku pegawai-pegawai SPRM yang bertindak melangkaui batas perlu disiasat dan dihentikan. Mereka yang terlibat perlu dikenakan tindakan sekeras-kerasnya demi memulihkan imej SPRM.


Bas Bawa Lebih Penumpang, Kerajaan Digesa Kaji Bas 2 Tingkat Lalui Kawasan Tanah Tinggi

Posted: 21 Dec 2010 04:45 PM PST

Permit 19 bawa 35

KAKITANGAN MIROS dan Puspakom memeriksa bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan 27 nyawa di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, semalam.

ALOR SETAR: Bas persiaran dua tingkat yang terbabit dalam nahas mengorbankan 25 pelancong Thailand dan dua rakyat tempatan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dekat Ipoh, kelmarin, dipercayai membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan, Berita Harian dipetik.

Menurut sumber, dalam permohonan permit dengan Kementerian Pelancongan, tahun lalu, bas berkenaan didaftarkan mempunyai kapasiti 19 tempat duduk, tetapi ketika nahas jam 11.40 pagi itu kenderaan terbabit membawa 35 penumpang.

Maklumat pada badan bas pula mencatat kenderaan itu mempunyai kapasiti 31 penumpang.

Sementara itu Kerajaan diminta mengkaji semula kebenaran yang diberikan kepada bas dua tingkat untuk membawa pelancong ke tempat peranginan di kawasan tanah tinggi dan berbukit-bukau, lapor Bernama.

Anggota Dewan Negara Senator Boon Som Inong yang mewakili minoriti masyarakat Siam di negara ini berkata, kajian dan tindakan lanjut berhubung perkara itu perlu dilakukan bagi mengelak tragedi seperti kemalangan maut yang meragut 27 nyawa di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai Isnin, daripada berulang.

"Saya bimbang bas yang tinggi seperti ini mungkin tidak stabil apabila melalui kawasan tanah tinggi, dan ini boleh membahayakan keselamatan penumpang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Thanvarat Poolsaeng, 36, seorang daripada mangsa yang terselamat dalam nahas terburuk negara itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, Selasa.

Thanvarat kehilangan suami dan anaknya dalam kemalangan pada 11.40 pagi yang mengorbankan dua rakyat Malaysia dan 25 pelancong warga Thailand.

Boon turut menggesa kerajaan mengkaji kawasan di mana kemalangan maut kerap berlaku seperti jalan ke Cameron Highlands dan Genting Highlands, selain mengambil tindakan sewajarnya agar industri pelancongan negara tidak terjejas.

"Kemalangan maut di jalan raya sudah terlalu kerap berlaku. Di jalan ke Cameron Highlands sahaja sudah dua kali. Saya minta pihak berkenaan pantau keadaan jalan kerana kemalangan bukan hanya sebabkan kematian, tetapi boleh menyebabkan kita hilang pelancong ke Malaysia," katanya.


[Bergambar & Video] Masjid Tertua Di China

Posted: 21 Dec 2010 03:30 PM PST

Masjid Tertua di Cina

Di kota Guangzhou, ibu kota wilayah Guangdong berdiri masjid tertua di China, iaitu Masjid Abi Waqqas. Sebuah masjid dengan gaya senibina khas China berdiri dengan anggun. Namun, yang menjadi pusat perhatian di tempat ini adalah makam Saad bin Abi Waqqas, yang diyakini sebagai bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Abi Waqqas sendiri adalah penyebar Islam pertama di China.

Makam Abi Waqqas kerap dikunjungi warga muslim dari berbagai negara, terutama dari Timur Tengah. Abi Waqqas diyakini masuk ke China pada 640 M atau lapan tahun setelah wafatnya Nabi Muhammad. Namun, ada juga data yang menyebutkan bahwa ia datang ke China saat Nabi Muhammad masih hidup.

Masjid lainnya di Guangzhou yang memiliki nilai sejarah adalah Masjid Huaisheng. Masjid yang berusia sekitar 1,300 tahun ini merupakan masjid tertua di China dan dibangun sebagai penghormatan terhadap Nabi Muhammad. Senibinanya perpaduan gaya Timur Tengah dan gaya tradisional Suku Han.

Masjid yang terletak di Guangta Road ini pernah dibangun kembali pada masa Dinasti Yuan dan Dinasti Ming. Dan kini, masjid ini menjadi tempat persinggahan warga muslim di Guangzhou. Bahkan masjid ini kerap dikunjungi warga muslim dari berbagai negara.


SAAD BIN ABI WAQQAS

Saad bin Abi Waqqas dikenal sebagai penyebar Islam di Cina. Lahir dan besar di kota Makkah, ia dikenal sebagai pemuda yang serius dan cerdas. Postur tubuhnya digambarkan tidak terlalu tinggi, namun tegap dengan potongan rambut pendek. Orang-orang selalu membandingkannya dengan "singa muda".

Ia berasal dari keluarga bangsawan yang kaya raya dan sangat disayangi kedua orangtuanya, terutama ibunya. Meskipun berasal dari Makkah, ia sangat benci pada agamanya dan cara hidup yang dianuti masyarakatnya (jahiliyah). Ia membenci upacara penyembahan berhala yang menjadi budaya di Makkah saat itu.

Suatu hari dia didatangi Abu Bakar yang dikenal sebagai orang yang ramah. Ia mengajak Saad menemui Muhammad di sebuah bukit dekat Makkah. Pertemuan itu amat berkesan di jiwa Saad yang ketika itu baru berusia 20 tahun.

Saad segera menerima undangan Nabi Muhammad saw untuk menjadi penganut Islam. Saad kemudian menjadi salah satu sahabat yang pertama masuk Islam. Saad sendiri secara tidak langsung memiliki hubungan kekerabatan dengan Rasulullah Saw. Ibunda Rasul, Aminah binti Wahhab, berasal dari suku yang sama dengan Saad, yaitu dari Bani Zuhrah. Kerana itu, Saad juga sering disebut sebagai Saad dari Zuhrah untuk membezakannya dengan Saad-Saad yang lain.

Keislaman Saad mendapat tentangan keras terutama dari keluarga dan anggota sukunya. Ibunya bahkan mengancam akan bunuh diri. Selama beberapa hari, ibunya menolak makan dan minum sehingga kurus dan lemah. Meski dibujuk dan dibawakan makanan, namun ibunya tetap menolak dan hanya bersedia makan jika Saad kembali ke agama lamanya. Namun, Saad berkata, bahwa meski ia memiliki kecintaan luar biasa kepada ibunya, namun kecintaannya pada Allah swt dan Rasulullah saw jauh lebih besar lagi.

Mendengar keteguhan hati Saad, ibu Saad akhirnya menyerah dan makan kembali. Fakta ini memberikan bukti kekuatan dan keteguhan iman Saad bin Abi Waqqas. Di masa-masa awal sejarah Islam, kaum Muslim mengasingkan diri ke bukit jika hendak menunaikan shalat. Kaum Quraisy selalu menghalangi mereka.

Dijamin Surga

Suatu hari ketika Rasulullah sedang duduk bersama para sahabat, tiba-tiba beliau menatap ke ufuk dan berkata, "Seorang penghuni surga akan muncul." Ketika para sahabat mencari di sekeliling siapa yang dimaksud Nabi, tiba-tiba Sa'ad muncul. Abdullah bin Amr menanyakan "rahasia" sehingga mendapat jaminan surga. Sa'ad mengatakan, "Ibadah yang aku kerjakan juga dikerjakan yang lain, kecuali aku tidak pernah menaruh dendam atau berniat jahat terhadap kaum muslimin."

Saad terlibat dalam Perang Badar bersama saudaranya, Umair, yang kemudian syahid bersama 13 pejuang Muslim lainnya. Pada perang Uhud, bersama Zaid, Saad terpilih menjadi salah satu pasukan pemanah terbaik Islam. Saad berjuang dengan gigih dalam mempertahankan Rasulullah Saw setelah beberapa pejuang Muslim meninggalkan posisi mereka.

Dimana Saad bin Waqqas Dimakamkan?

Menurut catatan rasmi dari Dinasti Tang yang berkuasa pada 618-905 M dan berdasarkan catatan serupa dalam buku A Brief Study of the Introduction of Islam to China karya Chen Yuen, Islam pertama kali datang ke China sekitar tahun 30 H atau 651 M.

Disebutkan, Islam masuk ke China melalui utusan yang dikirim oleh Khalifah Usman bin Affan (23-35 H / 644-656 M). Menurut catatan Lui Tschih, penulis Muslim China pada abad ke-18 dalam karyanya Chee Chea Sheehuzoo (Perihal Kehidupan Nabi), Islam dibawa ke China oleh rombongan yang dipimpin Saad bin Abi Waqqas.

Catatan tersebut menyebutkan, Saad bin Abi Waqqas dan tiga sahabat lainnya datang ke China dari Abyssinia atau yang sekarang dikenal dengan Etiopia.

Saad bin Abi Waqqas kemudian menetap di Guangzhou dan ia mendirikan Masjid Huaisheng yang menjadi salah satu tonggak sejarah Islam paling berharga di China. Masjid ini menjadi masjid tertua yang ada di daratan Cina dan usianya sudah melebihi 1300 tahun. Ianya teletak di jalan Guang Ta Lu.

Sebahagian orang percaya Saad bin Abi Waqqas menghabiskan sisa hidupnya dan meninggal di Guangzhou, China. Sebuah pusara diyakini sebagai makamnya. Makamnya menjadi tempat kunjungan pelancong dari seluruh pelosok dunia.

Orang yang datang di Guangzhou merasa tidak lengkap jika tidak menjejakkan kaki ke makam Saad.

[Dari berbagai sumber].













10 Individu Paling Dicari Dalam Google Malaysia: Hanis Zalikha No: 6

Posted: 21 Dec 2010 06:45 AM PST

Hanis Zalikha Lebih Popular Dari Siti Nurhaliza

SHAH ALAM: Siapa Hanis Zalikha Zainal? Tentunya ada yang menimbulkan pertanyaan apabila nama itu tersenarai pada kedudukan keenam carian Google di Malaysia hingga mengatasi penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Secara tiba-tiba nama itu melonjak sedangkan sebelum ini ramai yang tidak mengenalinya berbanding seorang lagi artis tempatan dan seorang penulis blog yang turut tersenarai dalam 10 individu paling dicari menerusi enjin carian berkenaan, baru-baru ini.

Selain Siti yang menduduki tempat kesembilan, artis tempatan itu adalah Allahyarham Meor Ahmad Fuad Meor Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi (keempat) dan blogger bidang automotif, Paul Tan (10).

Dalam enjin carian itu, penyanyi berketurunan Arab, Maher Zain di tempat pertama, diikuti penyanyi remaja antarabangsa, Justin Bieber dan Luna Maya (artis kontroversi Indonesia).

Penyanyi antarabangsa terkenal, Lady Gaga di tempat kelima; aktor popular Korea, Lee Min Ho, ketujuh manakala naib juara American Idol, Adam Lambert, kelapan.

Metro Ahad berkesempatan bertemu dengan Hanis bagi merungkai 'misteri' hingga namanya tersenarai sebagai individu tempatan kedua paling dicari selepas Din Beramboi, malah dilihat mengatasi populariti aktor kacak, Min Ho dan Lambert.

"Saya tidak sangka nama tersenarai dalam carian berkenaan kerana saya hanya insan biasa bukannya bertaraf selebriti popular seperti Siti Nurhaliza dan lain-lain.

"Memang saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara ini dan saya yakin ia adalah disebabkan blog yang saya wujudkan lebih dua tahun lalu," kata gadis tinggi lampai berusia 20 tahun itu.

Mengenai pencarian namanya yang mengatasi Siti Nurhaliza, Hanis Zalikha berpendapat maklumat mengenai penyanyi popular itu mungkin mudah dicari peminat dan tidak bergantung kepada enjin carian Google semata-mata kerana media cetak atau penyiaran sentiasa memaparkan beritanya.

Katanya, mungkin enjin carian Internet itu adalah salah satu medium daripada pelbagai saluran yang digunakan peminat penyanyi berkenaan untuk mengetahui perkembangannya.

"Berbanding diri saya, memanglah tidak popular seperti penyanyi pujaan ramai itu tetapi terkejut dengan apa yang berlaku kerana sejak nama saya disenaraikan antara yang dicari dalam Google didapati blog saya kini dilayari lebih 16,000 pengunjung sehari berbanding sebelum ini hanyalah antara 7,000 hingga 8,000 orang sehari," katanya yang mempunyai 14,929 pengikut di blognya.

Bercerita mengenai dirinya, penuntut jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor itu berkata selain mengikuti pengajian, dia turut terbabit dalam bidang peragaan dan pernah juga memegang watak sampingan dalam filem, Momok The Movie.

Namun, katanya, bidang peragaan dan berlakon terpaksa dihadkan kerana selain tidak mahu mengganggu pengajiannya, jarak universiti dengan Kuala Lumpur juga membataskan dirinya bergiat aktif dalam kedua-dua bidang berkenaan.

"Kedua-dua bidang yang penuh glamor itu juga bukan impian sebenar saya kerana cita-cita mahu bergelar seorang ahli perniagaan berjaya pada suatu hari nanti," katanya yang pernah mendapat tempat kedua pertandingan Malaysian Dreamgirl dua tahun lalu.

Mengenai laman blognya, Hanis Zalikha berkata, dia sengaja mewujud blog kerana meminati bidang penulisan dan menjadikannya medan untuk bercerita mengenai kehidupan seharian dan pengalamannya serta berkongsi tips kecantikan dengan sesiapa yang berminat.

Dia yang mendapat tajaan pengajian daripada Jabatan Perkhidmatan Awam turut berkongsi kecemerlangannya dalam pelajaran dengan memberi tips berguna.


>10 individu paling dicari dalam Google Malaysia

10 Most Popular People Search In Google Malaysia.....

1. Maher Zain (penyanyi antarabangsa)
2. Justin Bieber (penyanyi antarabangsa)
3. Luna Maya (artis Indonesia)
4. Din Beramboi (pelakon/pelawak/penyampai radio)
5. Lady Gaga (penyanyi antarabangsa)
6. Hanis Zalikha (model/blogger/pelajar)
7. Lee Min Ho (pelakon Korea)
8. Adam Lambert (penyanyi antarabangsa)
9. Datuk Siti Nurhaliza (penyanyi/ahli perniagaan)
10. Paul Tan (blogger) -hm

PKR Perlu Muhasabah Segera

Posted: 21 Dec 2010 06:00 AM PST

Berbicara tentang Reformasi PKR...

PKR dan Barisan Nasional telah mengadakan kongres/konvensyen-nya baru-baru ini. Tidak kurang juga peristiwa yang menimpa PKR kebelakangan ini. Sesungguhnya PKR boleh mempersalahkan media arus perdana kerana memperbesarkan "kekecohan" yang berlaku dalam partinya, namun pada hakikatnya, kemegahan dan semangat PKR telah luntur berbanding dua tahun yang lalu.

Secara perbandingannya, semangat BN pula dipacu dengan kemenangan dua PRK yang terdekat. Malah, BN yang kini semakin stabil dari pimpinan atasannya, sering menyindir PR dengan nada yang sinis. Seandainya PRU diadakan sekarang juga, PR tidak semestinya mengulangi kegemilangan yang dicapainya pada tahun 2008.

Mengapa kekuatan PR, terutamanya PKR luntur dalam tempoh dua tahun? Meskipun tidaklah sampai tahap meranap, namun seandainya tidak bermuhasabah, ia bakal menyusut. Situasi sedemikian sememangnya menjejaskan sistem dua parti yang baru muncul pada tahun 2008. PKR wajar mengkaji kelemahannya dari segi kualiti anggota, struktur organisasi, pimpinan, strategi dan sebagainya.

Memperbaiki kualiti anggota PKR

Bukan sesuatu yang baru bahawa anggota PKR berasal dari latar belakang yang berbeza, malah memperlihatkan kualiti yang jauh berbeza. Masalah ini juga dihadapi parti lain, tetapi nampaknya lebih ketara dalam PKR. Punca masalahnya adalah penerimaan keanggotaan secara sewenang-wenangnya. Ini kerana mobilisasi diperlukan semasa berkempen, maka parti politik di Malaysia perlu menarik sebanyak anggota yang mungkin untuk memperkasa organisasi dalam parti dan mengerah sokongan.

Namun, seandainya sebilangan besar anggota parti itu sekadar "gerombolan", maka ia akan membebankan parti. "Pendidikan politik" perlu dimantapkan agar anggotanya dipandu ideologi, lantas partinya berideologi. Namun, inilah yang paling kekurangan dalam aktiviti parti setakat ini.

Organisasi tidak cerminkan keperluan

PKR meniru struktur organisasi parti lain dalam negara, terutamanya musuh politiknya UMNO. Kritikan ini pernah dibangkitkan sebelum ini. Cuma, pernahkan PKR memikirkan, apakah kekurangannya yang sebenar? Apa yang paling diperlukannya? Dan apakah struktur organisasi yang mampu mencerminkan keperluan ini?

Saya yang bukan anggota parti memang tidak tahu jawapannya. Tetapi adalah kurang bijak untuk PKR jika sekadar meniru struktur organisasi musuh politiknya tanpa mempertimbangkan keperluan diri yang sebenarnya. Misalnya, pengkhususan peranan dalam struktur pimpinan tertinggi PKR agak mudah, hanya diwujudkan beberapa jawatan seperti Ketua Penerangan, Pengarah Strategi dan sebagainya. Apakah ia mencerminkan keperluan dalam parti? Apakah masih ada peranan yang perlu dikhususkan kepada pemimpin tertentu untuk menjalankan fungsinya?

Pada masa yang sama, terdapat institusi yang pada hakikatnya tidak diperlukan, tetapi diwujudkan untuk memenuhi ego sesetengah orang. Tetapi kewujudan institusi ini hanya membazir sumber dan menambah perselisihan dalaman. Apakah benar perlunya sayap Angkatan Muda Keadilan dan Wanita? Atau ia diwujudkan kerana ia wujud dalam organisasi dalam negara?

Kekurangan bakat mentadbir

Saya terasa Anwar Ibrahim tidak lagi "gagah" sebagaimana yang dahulu selepas "Kes Sodomi II". Hujah ucapannya berulangan, dan tidak menunjukkan prestasi yang terserlah setelah dilantik menjadi Penasihat Ekonomi Selangor. Kemampuannya untuk menyatukan parti, mengawal situasi turut dilemahkan. Jelas, kes ini telah banyak melunturkan dayanya dan membazir masanya - strategi BN yang cukup tajam untuk melemahkan musuhnya.

BN menyasar pada Anwar - bahagian yang paling kuat dan pada masa yang sama paling lemah untuk PKR. Setelah penat lelah Anwar dibuatnya, kekuatan parti berjaya dilemahkan. Di kalangan pemimpin PKR, ramai yang berimejkan "akar umbi" atau "politik", tetapi terlalu kurang "pakar/profesional".

Ketika pemimpin PKR berucap, saya sering merasakan - jikapun halatuju mereka betul, tetapi mereka gagal meneliti soal dasar, pentadbiran secara terperinci. Bahasa yang cukup molek tetapi tidak bernas - semuanya "syok sendiri", langsung tidak masak dengan soal pentadbiran.

PKR seharusnya menarik dan melahirkan lebih banyak pemimpin seperti Tony Pua, Liew Chin Tong dari DAP, yang tahu berbicara tentang soal dasar. Mereka yang hanya pandai beretorik - pemimpin kononnya inilah hanya akan menjadikan kemelut PKR dari segi pimpinan semakin ketara.

Strategi kurang tepat

Satu lagi masalah PKR, tidak membezakan keutamaan dalam percaturan strategi. Selepas PRU 2008, PKR dengan megah dan yakin bahawa dirinya mampu menawan Putrajaya, menguasai kerajaan peringkat persekutuan. Namun, keyakinan ini tidak lagi sekukuh dua tahun yang lalu. Prestasi PKR baru-baru ini memberi persepsi bahawa parti ini tidak mempunyai halatuju yang jelas.

PKR haru jelas dengan halatuju dalam percaturan strateginya. "Mempertahankan Selangor, kemudian berperang (dengan BN) untuk jangka panjang", atau terus "menuju ke Pusat"? Sesungguhnya, kedua-dua ini bukan pilihan yang saling berkontradiksi. Tetapi dalam keadaan di mana sumber terbatas, adalah penting untuk mendahulukan dan mengemudiankan tugas-tugas - agar tidak memecah-belahkan sumber sehingga tidak kesampaian dua-dua matlamatnya. Misalnya, pemilihan langsung PKR, bukannya tidak baik, tetapi apakah ia wajar diadakan pada peringkat ini? Ini soalan yang dipertikaikan.

Diharapkan PKR meneliti kelemahan diri sebaik-baiknya. -MR

*Ngeow Chow Bing ialah pengkaji politik dan kolumnis di MerdekaReview. Diterjemah dan disunting daripada teks asal yang disiarkan pada pada 14 Disember 2010.

Ulasan GB

Banyak kali dah GB utarakan, tetapi apabila GB utarakan kritikan, terus sahaja dilabelkan "orang Zaid". Konon GB dah tak layak jadi blogger PR. Oleh siapa? Oleh pendewa Anwar.

Seperti yang penulis di atas utarakan, PKR membawa bersamanya budaya UMNO. Sehinggakan pemilihan pimpinan pun penuh penipuan. Kemudian tak nak mengaku, mencari 1001 alasan untuk menutup kudis yang besar dan busuk itu. Oleh siapa? Oleh pemimpin tertinggi PKR sendiri. Siapa menyokongnya? Oleh pendewanya lagi.

Dan penyakit pemimpin, media dan ahli parti komponen PR yang lain ialah takut untuk menegur. Takut hilang kawan. Dan PR bertambah lemah, menjadikan penyakit PR terus bertambah lemah.

Bersorak-sorai kita dengan Konvensyen di Pulau Pinang. Kononnya Konvensyen berjaya tunjukkan permuafakatan PR. GB tak lihat ia begitu. Ia hanya satu medan umpama wayang untuk menunjukkan kegagahan, sedangkan keadaan sebenarnya, PR begitu lemah.

Buktinya, persoalan penderitaan rakyat tidak menjadi agenda utama konvensyen. "Kenaikan harga barang" dan persoalan "peranan blogger PR yang dah merudum berbanding blogger UMNO" lansung tidak dibincangkan. Ia hanya penuh dengan ucapan-ucapan retorika para pemimpin PR dengan gagasan yang umpama menabur benih di angkasa, yang tidak berjejak di bumi nyata.

Masih di dalam lingkungan syok sendiri.


JAKIM Perlu Pantau Kegiatan Gay Negara Ini

Posted: 21 Dec 2010 05:15 AM PST

Jakim, sila pantau kegiatan gay" – PAS

PETALING JAYA: PAS hari ini menggesa Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) bertindak membanteras kegiatan songsang gay yang semakin berleluasa di Malaysia, terutamanya di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hasan Tantawi berkata, isu ini dikhuatiri akan menjadi satu budaya akibat pendedahan melalui hiburan dan pergaulan bebas, namun malangnya perkara ini tidak pernah ditangani oleh Jakim secara serius.

"Dewan Pemuda PAS juga mendesak agar Jakim memantau premis-premis yang dimiliki oleh golongan ini selain perlu memantau segala jenis hiburan yang terdapat di negara kita.

"Kita terkejut apabila ikon gay dibenarkan untuk membuat persembahan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

"Lebih memeranjatkan sudah ada kegiatan yang cuba menonjolkan budaya gay kepada masyarakat melalui filem seperti filem 'Anu dalam botol'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laman blog gay Islam

Kenyataan Nasrudin itu merupakan respon terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa semua perkara yang menyentuh soal agama dan akidah umat Islam di negara ini akan sentiasa dipantau oleh Jakim termasuk laman blog gay Islam yang dikatakan semakin berleluasa.

Kenyataan Jamil Khir dalam media baru-baru ini dipetik sebagai berkata, pemantauan yang dibuat dilakukan secara berterusan bagi membendung hal yang berkaitan dengan agama Islam yang mampu memesongkan akidah masyarakat Islam.

Kebelakangan ini, budaya gay dilihat mula mendesak untuk diiktiraf secara terbuka melalui penganjuran konsert penyanyi antarabangsa Adam Lambert di Bukit Jalil Oktober lalu.

Begitu juga melalui media apabila budaya songsang itu ditonjolkan dalam filem tempatan dan peganjuran forum mengenai hak seksualiti yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) untuk orang awam secara tahunan.

Sehubungan itu, Nasrudin berkata pihaknya bersedia untuk membantu Jakim dan seluruh jabatan agama Islam setiap negeri membanteras budaya yang tidak sihat, malah dimurkai Allah.

"Berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh Jamil Khir ini, saya meminta kepada seluruh Jabatan Agama Islam di semua peringkat untuk bertindak memantau kegiatan gay yang semakin berleluasa di Malaysia.

Setakat ini, kita selaku rakyat Malaysia masih belum pernah mendengar mana-mana masjid di Malaysia diberikan teks khutbah mengenai keburukan gay dan impaknya kepada Negara," katanya. -FMT

Bekas Pengurus Kanan Sime Darby Engineering Dituduh Rasuah

Posted: 21 Dec 2010 04:00 AM PST

Bekas Pengurus Kanan Sime Darby Engineering Dituduh Rasuah

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Kanan Kebolehan Marin Sime Darby Sdn Bhd, Mazhaniz Jamaludin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tuduhan menerima suapan RM200,000 sebagai dorongan untuk mencadangkan dan mengesahkan pembayaran yang bernilai USD134.2 juta, dua tahun lalu.

Mazhaniz, 36, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang direkodkan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh didakwa memperoleh suapan tersebut daripada pemilik Syarikat MLC Shipbuildings Sdn Bhd, Redzuan Goh Mohammed Karian yang didakwa sebagai upah untuk mencadangkan syarikat itu untuk mendapatkan kontrak 'construction sale of one (1) unit 75m (wartsila 8000bhp) dan Anchor Handling Tug/Supply Vessel Hull.

Mazhaniz turut menghadapi tuduhan kedua, iaitu didakwa mengesahkan bayaran tertentu untuk pembinaan tiga kapal. Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik mesyuarat MLC Shipbuildings di Megan Aveneu 1, Blok C, 6-1, antara pukul 1.25 dan 5 petang, 31 Disember 2008.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Morais mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Peguam Shamsul Sulaiman yang mewakili tertuduh memohon supaya mahkamah dapat mempertimbangkan jaminan RM20,000 yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama semasa siasatan dijalankan. Shamsul manambah, anak guamnya telah diseksa dalam proses siasatan.

"Anak guam saya mendakwa telah dibogelkan dalam keadaan mata ditutup manakala sebelah kaki diangkat selain terdapat beberapa seksaan yang lain," katanya.

Kevin membidas dakwaan tersebut dan mempersoalkan mengapa tertuduh menimbulkan perkara tersebut memandangkan tertuduh telah dibebaskan sejak Jun lalu.

"Tertuduh mempunyai masa selama enam bulan untuk membuat laporan polis mengenai dakwaan tersebut," tambah Kevin.

Rozilah menetapkan jaminan tertuduh pada jumlah RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Januari depan.

Ulasan GB

SIME DARBY rugi RM1.63 billion. Yang ditangkap hari ini cuma ikan bilis yang didakwa atas tuduhan menerima suapan RM200,000.

Jerung-jerung yang dah bawa lari berjuta-juta ringgit tak lansung disentuh, disiasat atau didakwa.

Pengguna Facebook Perlu Waspada Pelabelan Baru FB

Posted: 21 Dec 2010 02:56 AM PST

Pengguna diminta waspada pelabelan terkini Facebook

Pengguna Facebook diingatkan supaya mengemas kini tata atur privasi mereka apabila Facebook mengumumkan ciri-ciri terbarunya yang mengundang kontroversi.

Firma keselamatan dan pengawasan IT, Sophos, berkata rangkaian sosial itu akan memperkenalkan pelabelan foto automatik di Amerika Syarikat tetapi akan melancarkan ciri itu di seluruh dunia dalam bulan-bulan yang akan datang.

Dalam satu kenyataan semalam, Sophos berkata, dengan perisian pengenalan wajah bererti Facebook boleh memadankan wajah orang di dalam gambar dengan imej-imej lain yang muncul bersamanya.

"Pelabelan itu bukanlah secara automatik sepenuhnya kerana label itu hanya cadangan tetapi pengguna akan dikenal pasti melalui default melainkan mereka memilih untuk tidak menyertai ciri itu.

"Apabila pengguna telah dikenal pasti kepada Facebook oleh seorang rakan, mereka menghadapi risiko diperkenal oleh Facebook kepada rakan-rakan lain," kata firma itu.

Malah, mereka yang tidak mempunyai akaun Facebook atau yang memilih untuk tidak mendedahkan identiti mereka kepada umum dalam foto yang dimuat naik, mungkin mudah dicari dalam talian.

"Walaupun ciri ini mungkin menarik bagi pengguna Facebook yang gemar berkongsi segala-galanya tentang kehidupan sosial mereka dengan rakan maya, bagi mereka yang tidak ingin dikenali, ini amat mencemaskan," kata Graham Cluley, Perunding Teknologi Kanan di Sophos.

Tertangkapnya Sindiket Hantar Pembantu Rumah Guna Visa Orang lain

Posted: 21 Dec 2010 02:00 AM PST

Pelabuhan Kelang: Seorang lelaki yang pernah ditipu tiga kali oleh pembantu rumah warga Indonesia terus mengalami nasib sama apabila diperdayakan sindiket penipuan ejen pembantu rumah dari Indonesia yang aktif mencari mangsa di negara ini.

Dalam kejadian terbaru, mangsa mendakwa mendapatkan khidmat seorang ejen pembantu rumah dari Indonesia untuk mendapatkannya seorang amah dengan berunding melalui Internet.

Melalui ejen berkenaan, mangsa mendapatkan biodata dan gambar pembantu rumah sebelum menguruskan sendiri proses mendapatkan visa rujukan dari Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya bagi membawa masuk pembantu rumah berkenaan.

Namun, selepas menghabiskan RM7,500 untuk menguruskan kemasukan pembantu rumah berkenaan, mangsa mengetahui dia ditipu ejen palsu terbabit berikutan diberikan pembantu rumah berbeza dengan gambar diberikan.

Penipuan ejen terbabit terbongkar apabila pegawai penguat kuasa Imigresen Jeti Pulau Ketam di Pelabuhan Klang, di sini, memberkas seorang wanita Indonesia kerana kesalahan menggunakan visa rujukan milik orang lain pada jam 4.30 petang kelmarin.

Ketua Pelabuhan Selatan (Jeti Pulau Ketam) Timbalan Penolong Pengarah Imigresen M Chandran, berkata hasil maklumat dan risikan, pihaknya menahan tiga lagi wanita dan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit penipuan itu.

Menurutnya, keempat-empat warga Indonesia berusia 30-an ditahan imigresen sebaik memasuki negara ini melalui jeti di sini.

"Melalui pembantu rumah yang ditahan itu, imigresen mendapati suspek menggunakan visa milik orang lain untuk memperdaya mangsa warga tempatan itu.

"Ketika disiasat, suspek mendakwa dipaksa ejen pembantu rumah di negaranya menggunakan visa rujukan orang lain untuk memasuki Malaysia dan bekerja dengan mangsa
," katanya.

Menurutnya, mangsa yang diperdaya memaklumkan ini kali keempat dia ditipu pembantu rumah Indonesia. Dia pernah menghadapi masalah apabila pembantu rumah melarikan diri.

Chandran berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ejen pembantu rumah palsu terbabit sengaja meminta suspek menggunakan visa orang lain kerana pemilik asal menghadapi masalah disenarai hitam atau terbabit kes jenayah.

Bagi mengelak dikesan, katanya, ejen terbabit memilih menghantar pembantu rumah yang mempunyai wajah hampir seiras wanita dalam gambar di Internet. -hm

Tiada ulasan: