Selasa, 21 Disember 2010

KARPET KUNING

KARPET KUNING


Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai ketua pembangkang.

Posted: 21 Dec 2010 04:34 AM PST


KEPALA BATAS: Pakatan Rakyat (PR) membuat keputusan sebulat suara terus melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang walaupun beliau telah digantung selama enam bulan sebagai ahli parlimen (AP).

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi P R yang diadakan di Dewan Millenium, serentak dengan perjalanan konvensyen itu di Kepala Batas, kelmarin, lapor laman berita Malaysiakini, semalam.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketika berucap membuat ucapan penggulungan di konvensyen PR itu. 'Kita tetap mahukan berketuakan beliau,' kata Datuk Seri Abdul Hadi, yang diiringi tepukan gemuruh para perwakilan dan pemimpin PR yang menyertai konvensyen itu.

Datuk Seri Anwar bersama tiga lagi AP pembangkang - Encik Azmin Ali (Gombak), Encik Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan Encik R Sivarasa (Subang) - digantung daripada Dewan Rakyat pada Khamis lalu tanpa diberi peluang membela diri bersabit isu Apco. Umno tidak menyenangi isu itu kerana Apco dikaitkan dengan dakwaan adanya beberapa ejen Yahudi dalam syarikat itu.

Encik Karpal, seorang peguam dan AP yang turut digantung, dalam ucapan penggulungannya berkata beliau akan memfailkan tindakan mencabar tindakan itu ke mahkamah tinggi. 'Saya yakin konvensyen ini akan diadakan di Putrajaya tahun depan tetapi kita tidak akan ke sana tanpa Anwar,' katanya, seperti yang dipetik oleh laporan Malaysiakini itu. Menurut beliau, isunya adalah bahawa mangsa yang digantung tidak diberi kesempatan membela diri mereka sebelum tindakan tersebut diambil.



Dalam ucapannya itu, Encik Karpal juga berkata beliau akan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia, sedang para penganut agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing. 'Saya akan mempertahankan hal ini dan berharap PAS juga jaga kami punya muka,' kata Encik Karpal. Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan kepimpinan PAS, terutamanya Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan Datuk Seri Abdul Hadi, mengenai hal itu supaya ia tidak memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mengeksploitnya. - Agensi

Tiada ulasan: