Rabu, 8 Disember 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Kes Khir Toyo : Perlu adil dalam siasatan

Posted: 08 Dec 2010 10:00 PM PST

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bersikap adil dalam siasatannya, walaupun jika ia melibatkan pemimpin daripada kalangan parti pemerintah.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib berkata, walaupun enggan mencampuri kes melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kerana dilihat lebih bersifat peribadi, namun beliau berpendapat, SPRM perlu lebih telus.

Menurutnya, sekiranya Mohamad Khir didapati bersalah, dia perlu dihukum dan jika terbukti sebaliknya, dia perlu dibebaskan.

"Kita ada mahkamah dan perlu mengikut prosedur sepatutnya. Bagi saya, siapa yang salah, tetap salah dan siapa yang betul, perlu mendapat pembelaan.

“Dalam kes ini, saya rasa semua pihak perlu bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Sinar Harian


Teoh Bak Chua sangkal tuduhan media Tok Guru Haji Hadi keras

Posted: 08 Dec 2010 07:00 PM PST

PARIT BUNTAR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meraikan 40 ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Parit Buntar yang mengunjungi ke kediamannya di Rusila, Terengganu.

Ketua rombongan, Hamdan Fadel Ahmad berkata, kunjungan muhibah itu disertai kaum Cina dari Parit Buntar dalam rangka lawatan dua hari ke Terengganu dan Kelantan.

Menurutnya, masyarakat Cina itu sendiri yang mahu hadir ke rumah Abdul Hadi untuk bertemu, selain mengenali pemimpin itu dengan lebih rapat.

"Peserta rombongan mendapat penerangan berkenaan aktiviti Pas Terengganu daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Datuk Tengku Hasan Tengku Omar di Dewan Tarbiyyah Pas Kuala Terengganu.

"Mereka gembira kerana Abdul Hadi sanggup meluangkan masa melayani mereka," katanya.

Hamdan berkata, rombongan seterusnya berkunjung ke Kelantan mengikuti sesi dialog oleh Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri.:

"Mereka berkunjung ke tempat menarik seperti rumah ibadat bukan Islam di Tumpat, Rantau Panjang dan Kota Bharu.

"Kami juga mendapat penerangan mengenai aktiviti Pas Kelantan yang disampaikan Ahli Parlimen Pasir Putih, Muhammad Husin," katanya.

Ahli Jawatankuasa Dewan Himpunan Penyokong Pas Parit Buntar, Teoh Bak Chua berkata, pertemuan dengan Abdul Hadi itu menyangkal tuduhan media bahawa beliau seorang yang keras.

"Beliau menyambut kami dengan mesra, makan bersama dan tidak kekok melayan kami. Media banyak membawa cerita tidak benar mengenai Abdul Hadi ini,' katanya


Tok Guru Nik Aziz cuma sakit pinggang

Posted: 08 Dec 2010 03:24 PM PST

KOTA BAHARU – Khabar angin kononnya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini tenat di hospital adalah tidak benar dan beliau hanya mengalami sakit di bahagian pinggang, kata anak keduanya, Nik Omar.

“Ayahanda saya sihat, Alhamdulillah…kesan balik Mekah menunaikan haji ayahanda mengadu sakit di bahagian pinggang sahaja.

“Alhamdulillah (beliau) boleh ke masjid dan sembahyang berjemaah (tetapi) dalam keadaan duduk,” katanya kepada pemberita di rumah Menteri Besar itu di Pulau Melaka di sini hari ini.

Nik Aziz bagaimanapun tidak menemui pemberita kerana sedang diurut. Pada pukul 12 tengah hari, beliau dibawa ke Hospital Pakar Perdana di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mursyidul Am PAS itu sempat menunjukkan isyarat bagus kepada jurugambar ketika berada dalam kenderaan yang membawanya itu.


Tiada ulasan: