Rabu, 8 Disember 2010

bumiperak

bumiperak


Titah Sultan Perak martabatkan bangsa Melayu disokong

Posted: 08 Dec 2010 05:29 AM PST

IPOH, 8 Dis 2010 Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPNPk) Rabu menyokong titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah bahawa orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan mengkhianati bangsanya sendiri.

Setiausahanya Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata titah berkenaan bertepatan dengan situasi negara kerana mereka yang mempertikaikannya, bertindak tanpa berasaskan faktor sejarah dan bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

"Perkara ini turut ditekankan PAS dan pakatan pembangkang yang bersepakat berdasarkan konvesyen tahun lalu yang akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan termasuk hak istimewa orang Melayu dan Raja Berperlembagaan.

'DPPNPk juga menyembah maklum akur dengan titah Sultan Azlan Shah kerana sejarah telah menyatakan bahawa kejatuhan empayar dan Kerajaan Islam dahulu adalah akibat pemimpinnya telah lalai terhadap tanggungjawab dan perintah agama," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya DPPNPk komited mempertahankan Perlembagaan Malaysia.

Semalam, ketika merasmikan sambutan Maal Hijrah 1432 peringkat negeri, Sultan Azlan Shah mengingatkan agar umat Islam dan orang Melayu tidak terburu-buru mengambil sesuatu tindakan kerana dibimbangi akan merugikan masa depan dan generasi mereka sendiri.

Baginda bertitah amat malang kepada agama dan bangsa, apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah dan jika ini dibiarkan, tiada maknanya lagi apabila bangsa kemudian hari menghadapi kesesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan.
-Bernama

Sultan Johor: Kedaulatan Melayu ganti Ketuanan Melayu

Posted: 07 Dec 2010 06:13 AM PST

Johor Bharu 8 Dis 2010 Ketuanan Melayu lebih sesuai disebut "kedaulatan Melayu" kerana ia mencakupi kedudukan Raja-raja Melayu dan rakyatnya dan bukannya soal antara "tuan" dan "hamba", titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

"Ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu," titah baginda semasa merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta'zim di sini hari ini.

Menurut baginda apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu Raja-raja Melayu dan rakyatnya.

Ini kerana, awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-raja Melayu dan rakyatnya, titah baginda.

"Sejak dulu lagi, ketika negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, Raja-raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagi tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu. Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah baginda membangkitkan soal mengenai 'Ketuanan Melayu' memandangkan masih ramai rakyat tidak memahami perkara berkenaan dan menyalah-tafsir maksudnya yang sebenar.

Baginda mengingatkan orang Melayu supaya bermusahabah diri dan mempertahankan ketuanan Melayu memandangkan ada orang Melayu sendiri yang mahu menolak kedaulatan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

"Berdasarkan perkembangan semasa, suka saya mengingatkan kepada orang Melayu sekalian supaya muhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah sistem raja dan kerajaan Melayu yang telah wujud ratusan tahun dahulu tidak pernah putus malah kekal sehingga ke hari ini serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bernama 

Tiada ulasan: