Khamis, 30 Disember 2010

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


KISAH-KISAH YANG MUNGKIN RELEVAN KALA PAS PEMBANGKANG, BUKAN PEMERINTAH?

Posted: 30 Dec 2010 12:23 AM PST

Pertama:

Saidina Umar naik atas mimbar, meminta agar rakyat dengar ucapannya dan taat. Apabila beliau menyatakan demikian, tiba-tiba bangkit seorang pemuda sambil menghunuskan pedang berkata, "kami boleh dengar dan taat, tapi sebelum itu, nyatakan dari mana kamu dapati pakaian kamu itu. Setahu kami, kain itu adalah hasil dari rampasan perang. Kami juga dapat, tapi yang kami dapat tidak sampai boleh menyiapkan sehelai jubah"

Perkataan pemuda itu tidak dimarahi oleh Umar bin Al-Khattab yang merupakan pemimpin ketika itu. Sehinggakan, anak saidina Umar bin Al-Khattab bernama Abdullah telah menjelaskan bahawa beliau juga mendapat kain dari hasil rampasan perang, dan bahagian kainnya dihadiahkan kepada bapanya, lalu cukuplah sehelai jubah yang dipakai itu.

Mendengar penjelasan tersebut, pemuda itu menyarungkan balik pedangnya, lalu menyuruh Umar menyampaikan ucapan yang mahu disampaikan.

Kedua:

Saidina Umar dimaklumkan oleh anak muda betapa mahalnya mas kahwin yang dikenakan oleh perempuan di zamannya. Umar telah memanggil kaum ibu, lalu menyampaikan ucapan di hadapan mereka.

Antara kandungan ucapan adalah, berkenaan dengan mas kahwin yang terlalu mahal, yang umar meminta agar direndahkan kadar mas kahwin tersebut.

Ucapan umar itu menyebabkan seorang muslimat telah bangun dan mengkritik Umar dengan membaca sepatah ayat Al-Quran. Mendengar kritikan itu, Umar berkata, "benar perempuan, salahlah Umar"

Ketiga:

Zaman kelaparan menimpa pemerintahan Umar. Mengenangkan keadaan itu, Umar sendiri telah berpuasa dan menginfaqkan sebilangan besar hartanya kepada baitul mal.

Mengetahui zaman kelaparan ini tertimpa juga pada rakyat Syam, maka sebagai pemerintah Umar telah ke Syam untuk melihat keadaan rakyatnya di sana.

Sesampai disana, Umar berbual dengan seorang mak cik yang hanya mengenal nama Umar, tetapi tidak pernah kenal batang tubuh umar, malahan wajah umar. Apabila Umar bertanya khabar kepada mak cik tersebut, Umar terus mendengar perkataan yang agak kurang enak dari Mak Cik tersebut.

"kami disini berada dalam kelaparan. Umar di madinah sedang bersenang lenang. Aku akan dakwa Umar di akhirat kelak" ujar mak cik itu tanpa mengetahui bahawa pemuda yang sedang berbual dengannya itu adalah umar yang juga lapar.

Umar tidak marah, sebaliknya menangis kerana mengenangkan kelaparan rakyat.

Keempat:

Sedang umar berehat, datang seorang pengembala kambing melaporkan bahawa salah seorang anaknya telah mengembala kambing sehingga kawasan padang ragut dipenuhi kambing-kambing kepunyaan anaknya. Ia menjadikan pengembala lain, tidak mendapat ruang yang selesa untuk kambing mereka meragut rumput.

Mengetahui keadaan itu, umar telah memanggil anaknya tersebut dan bertanya laporan itu. Anak Umar mengakuinya, lalu diarahkan oleh umar agar semua kambing-kambingnya dijual, kemudian diambil hanya modal, dan keuntungan hendaklah dibubuh ke dalam baitul Mal.

Banyak lagi kisah-kisah yang relevan di kala PAS jadi pembangkang, tetapi mungkin [ulang : MUNGKIN] tidak relevan di kala PAS sudah memerintah. Belum kuasa kerajaan pusat pun, sudah ada unsur tidak relevan lagi kisah-kisah ini. Justeru, cuba bayangkan kalau menguasai kerajaan pusat?

Kalau dahulu, UMNO yang halang hak orang bersuara dan menyatakan pandangan. Tapi kini, ada dah pimpinan PAS buat kerja macam tu. Kalau UMNO ada ISA [Internal Security Act], tapi PAS juga ada ISA selepas PRU ke 12, iaitu Islamic Security Act. Tidak boleh kritik. Kalau kritik, tidak wala', tidak siqah, munafiq, itu dan ini.


Sekian

Wallahu 'Alam


Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg Buloh
30 disember 2010 * 4:17 petang

Tiada ulasan: