Selasa, 16 November 2010

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


PEMILIHAN PKR - PERLUKAH PEMILIHAN DILAKUKAN SEMATA-MATA ADANYA DAKWAAN?

Posted: 16 Nov 2010 03:21 AM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

MALAYSIAKINI hari ini melaporkan, "Naib Presiden PKR Mustaffa Kamili Ayub hari ini mengulangi desakan supaya pemilihan PKR ditangguhkan kerana kelompongan dalam pengurusan pemilihan parti itu didakwa masih berterusan. Katanya, terdapat beberapa aduan tambahan sedang dibuat, termasuk oleh beberapa calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang memfailkan kes khusus untuk disiasat" (Malaysiakini).

Perlu diakui bukan mudah untuk melaksanakan keadilan yang boleh memberi puas hati kepada semua pihak, apatah lagi di dalam merealisasikan pemilihan bentuk baru `Satu Ahli Satu Undi' yang cuba diamalkan oleh PKR. Adakah kita perlu melakukan `U-Turn' (meminjam kata Sam) kepada cara lama yang sebiji seperti Umno itu? Walaupun kepimpinan berulangkali memberi jaminan bahawa pemilihan kali ini akan cuba dilaksanakan setulus mungkin dan segala dakwaan akan disiasat berdasar bukti yang ada, namun masih juga ada kesangsian diperkatakan.

JPP yang merupakan badan penting perlaksanaan pemilihan ini juga turut menerima beberapa laporan dan mungkin juga menerima beberapa bukti tentang berlakunya salah laku sepanjang proses pemilihan kali ini telah berjanji untuk mengambil tindakan seperti yang mereka kehendaki, namun masih juga tidak boleh memuaskan hati beberapa pihak. Malahan, JPP sendiri dituduh terbabit bersubahat melakukan penipuan dan berat sebelah. Habis, bagaimana?
Perlukah kita menjemput `Malaikat' untuk menyempurnakan proses pemilihan di dalam PKR?

Ada cadangan supaya badan berkecuali dilantik menguruskan pemilihan kali ini. Ada yang mencadangkan agar PAS atau DAP dilantik menjadi badan bebas itu. Secara teorinya, itu satu idea yang bagus. Tetapi kita juga sedia maklum di dalam pemilihan parti mereka pun terdapatnya rasa ketidakpuasan hati ahli-ahli mereka. Di dalam Muktamar dan pemilihan kepimpinan PAS sebelum ini, bukan tiada kritikan atau luahan tidak puas hati tentang pemilihan di dalam parti yang dianggap parti `ustaz dan ulamak' itu. Ini bermakna, mereka juga tidak lari dari anggapan sedemikian. Habis, apa yang perlu dilakukan?

Saya merasakan PKR mesti lebih peka terhadap segala pandangan di dalam parti, bukan sahaja oleh pihak yang mendakwa berlakunya penipuan tetapi pandangan mereka yang percaya kepada proses pemilihan ini juga mesti diambil kira. Tiada seorang pun boleh memberi jaminan pemilihan kai ini suci dari segala bentuk kelemahan. Seperti kata salah seorang calon Naib Presiden PKR YB Nurul Izzah, apa yang dihadapi sekarang adalah `kelemahan' bukannya `penipuan'. Harus diingat, banyak dakwaan menyebut bahawa YB Nurul Izzah bahkan Presiden PKR sendiri didakwa `tidak suka' kepada YB Azmin salah seorang calon Timbalan Presiden PKR yang didakwa `perancang' segala penipuan yang berlaku.

Benarkah `kelemahan' itu termasuk di dalam kategori `penipuan'? Sudah tentu tidak. Kelemahan tetap ada di mana-mana dan ianya perlu diperbaiki dari masa ke semasa. Penipuan pula adalah satu cara yang amat bersalahan dari segi undang-undang dan moral. Jika terbukti ada penipuan dilakukan, maka parti bukan sahaja harus menyiasat tetapi wajib mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat. Mungkin ada di antara anggota JPP terlibat, mungkin wakil atau ejen yang dilantik oleh JPP terlibat, mungkin juga ejen calon atau jentera kempen mereka yang terlibat. Dan, lebih berat lagi jika calon itu sendiri terlibat.

Tidak mustahil penipuan berlaku tanpa diketahui oleh calon itu sendiri walaupun tujuan penipuan itu adalah untuk memenangkan calon berkenaan. Boleh masuk akal juga, jika jentera kempen calon itu gagal melaksanakan tugas mereka lantas menuduh pihak yang menguruskan pemilihan tidak berlaku adil. Jika ini berlaku, bererti pihak yang mendakwa ada penipuan itu lah sebenarnya menipu. Ini juga mesti disiasat dan diambil tindakan kerana menyebabkan kesusahan atau cuba mensabotaj parti.

Sekali lagi kita berharap agar PKR peka kepada apa yang berlaku. Saya merasakan tiada masalah bagi calon yang bertanding untuk menerima keputusan parti agar pemilihan semula perlu dilakukan sekiranya terbukti jelas adanya salah laku dan penipuan. Tetapi, sekiranya pemilihan semula terpaksa diadakan semata-mata adanya dakwaaan, maka saya percaya sampai kiamat pun pemilihan tidak boleh dilakukan./wfauzdin.blogspot.com

ZAID OH ZAID....LANTIK SAJA DIRI SENDIRI JADI JURAGAN

Posted: 16 Nov 2010 02:00 AM PST

Oleh Wira Arjuna

ZAIDCuma tinggal satu persoalan pokok sekarang – mana satu parti yang akan bakal diambil alih dan diterajui oleh Datuk Zaid Ibrahim.

Sumber mengatakan usaha sudah mula digerakkan untuk membolehkan Zaid dan beberapa konconya mengambil alih sebuah parti untuk melancarkan kempen politik beliau seterusnya.

Adalah difahamkan dua daripada tiga parti yang mungkin diambil alih adalah daripada Sabah dan Sarawak.

Tidak ada sesiapa yang terkejut dengan laporan akhbar The Star yang memetik Zaid sebagai berkata bahawa beliau akan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat.

Tidak ramai juga akan gusar dengan tindakan itu, baik di dalam parti mahupun di dalam Pakatan Rakyat. Malah, mungkin ramai akan berasa lega.

Pagi tadi, seorang sumber yang rapat dengan kem Zaid berkata bekas ketua bahagian umno itu belum membuat keputusan muktamad dan akan memperjelaskan kedudukannya menerusi blog beliau.

Ramalan bahawa Zaid akan menubuhkan parti mengikut acuan politiknya sendiri semakin nyata apabila beliau enggan meneruskan saingan untuk menjadi timbalan presiden PKR.

Beliau mendakwa pemilihan parti tidak dijalankan secara telus malah berlaku penyelewengan.

Dari saat itu, Zaid memperhebatkan serangan terhadap Anwar – "Anwar adalah punca kepada segala masalah, Anwar memihak kepada Azmin, Anwar dan Azmin harus berundur" adalah intipati serangan yang dilontarkan oleh Zaid.

Zaid mahu menyakinkan semua orang bahawa beliau diserang oleh pimpinan parti hanya kerana menegur proses pemilihan PKR yang pertama kali menggunakan sistem satu ahli satu undi.

"Saya dah muak terhadap serangan-serangan peribadi ini," kata beliau kepada akhbar The Star.

Hakikat ialah Zaid cuba menenggelamkan bahawa beliau dan penasihat-penasihat kanannya telah mula menghentam Anwar secara peribadi dan secara terbuka jauh sebelum proses pemilihan bermula.

Di cabang-cabang tertentu, khususnya di Sabah dan Sarawak, Anwar menjadi mangsa penyebaran pelbagai fitnah, jauh sebelum pemilihan PKR bermula. Umum tahu siapa membiayai Portal Free Malaysia Today dan hubung kaitnya dengan Zaid.

Serangan-serangan oleh Zaid dan konco-konconya terhadap Anwar, dengan menggunakan Azmin sebagai alasan, diperhebatkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Malah, Zaid turut cuba untuk mengheret PAS dalam agendanya, dengan mencadangkan beberapa pemimpin parti Islam itu berpotensi untuk mengambil alih teraju pakatan daripada Anwar. Cubaan itu gagal kerana pemimpin PAS dapat menghidu agenda politik yang dibawa oleh Zaid.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Zaid tidak seharusnya mengaitkan parti lain dalam soal pemilihan PKR.

"Tidak perlu sabitkan PAS, sabitkan DAP dan tidak perlu juga menjadikan suasana lebih keruh. Tidak perlu nak heretkan dan babitkan yang lain," tegas beliau.

Dalam tempoh singkat kurang dua tahun dalam PKR, Zaid dilantik sebagai ahli Biro Politik parti, calon pilihanraya kecil Hulu Selangor dan juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan selain menjadi penyelaras untuk Pakatan Rakyat.

Zaid akan mendakwa beliau tidak melobi untuk dipilih sebagai calon bagi PRK Hulu Selangor, namun kebenaran adalah sebaliknya.

Kepercayaan yang diberikan oleh parti kepada Zaid cukup tinggi, malah ramai pemimpin PKR lain yang jauh lebih lama dalam parti tidak diberikan amanah serupa itu.

Adakah semua amanah itu diberikan oleh pucuk pimpinan semata-mata untuk mencantas Zaid kemudian hari?. Tidak masuk akal.

Masalah "duri dalam daging" berlaku kerana Zaid di lihat enggan berpegang kepada keperluan untuk menjadi "team player." atau bertindak secara berpasukan, berlainan dengan tokoh-tokoh lain seperti bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng.

Pilihanraya kecil Hulu Selangor adalah bukti nyata bagaimana Zaid mencuba untuk mengendalikan kempennya sendiri dan secara berasingan daripada apa yang dirancang oleh kerajaan negeri dan ibu pejabat parti. Beliau tewas.

Zaid tidak memperlihatkan kesediaan untuk menerima kritikan tetapi sendiri lantang mengkritik. Beliau tidak senang menerima idea dan teguran orang lain tetapi mahu pendirian beliau didokong secara bulat.

Justeru Zaid memulau mesyuarat-mesyuarat Biro Politik parti – "Membazirkan masa sahaja" Zaid memberitahu pemberita. Beliau merasakan lebih berbaloi untuk menetapkan agendanya sendiri dalam parti.

Sikap sedemikian lambat laun tentunya akan membawa padah dan pengumuman Zaid untuk keluar parti hanyalah natijah peri lakunya sendiri.

Sayugia diingatkan, Zaid bukan seorang sahaja yang mengkritik pemilhan parti, calon dan pemimpin kanan lain turut berbuat demikian namun mereka tidak pula menyerang Anwar dan bertindak keluar parti.

Mustaffa Kamil Ayub, Badrul Hisham Shahrin, N Gobalakrishnan dan lain-lain hanya menuntut supaya pimpinan parti menangani aduan-aduan mengenai pemilihan secara lebih tegas demi kekuatan parti.

Mereka terus mendokong perjuangan PKR. Mereka tidak menyimpan cita-cita menjadi untuk nakhoda dalam sebuah kapal yang sudah pun mempunyai nakoda teruji.

Mereka lebih rela berusaha untuk membaiki proses pemilihan demi menyuburkan lagi demokrasi dalam PKR supaya parti it uterus bergerak atas landasan yng dituntut oleh rakyat.

Dengan meninggalkan PKR, Zaid kini mempunyai ruang luas untuk membina kapalnya sendiri dan sekali gus menjadi juragannya./SK

MACAM-MACAM GILA DALAM UMNO, YANG INI `GILA KASYAF'

Posted: 16 Nov 2010 01:00 AM PST

Pengakuan kasyaf Nor Idris dianggap sesat
Hafiz Irwan
KOTA BHARU, 15 Nov: Pelbagai pihak menyifatkan bekas Ketua Penerangan Umno Kelantan, Ustaz Mohd Nor Idris yang mendakwa dirinya sebagai kasyaf sebagai sesat.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan kenyataan pemimpin Umno boleh diketawakan orang yang waras.

"Sahabat yang termasyhur di zaman Rasulullah saw tidak pernah mengakui diri mereka kasyaf.

"Sejarah mencatat seorang sahabat bernama Uwais Al-Qarni mempunyai kelebihan spiritual sehingga baginda menyuruh Saidina Omar meminta ulama itu berdoa.

"Tak tahulah saya kalau Ustaz Nor boleh mengaku diirinya kasyaf secara terbuka," katanya sebagai mengulas pengakuan pemimpin Umno terbabit yang disebarkan melalui facebook baru-baru ini.

Pada kenyataan melalui laman tersebut Ustaz Nor memberitahu enggan bersalam dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menganggap tangan Menteri Besar sebagai syaitan.

Ketika kempen pilihan raya kecil Dun Galas baru-baru ini Ustaz Nor juga menengking keras Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika kunjungan Menteri Besar ke rumah bekas Adun Galas, Omar Mohamad di RPT Sungai Terah.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan pengakuan kasyaf Ustaz Nor yang dianggap sebagai sesat.

Beliau juga mempertikaikan tulisan Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan Ahad lalu yang mengangggap Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan bersalam dengan Ustaz Nor.

"Sedangkan perkara sebenar yang berlaku ketika Menteri Besar menghulur tangan untuk bersalam, Ustaz Nor enggan kerana menganggap tangan pemimpin PAS itu ada syaitan," katanya.

Oleh itu beliau berharap pengarang akhbar terbabit lebih beretika dalam setiap tulisan dan bukannya menjadi jaguh menyebarkan fitnah.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Utusan sebagai lidah rasmi Umno sekali lagi cuba memfitnah Menteri Besar Kelantan dengan menyebarkan kenyataan yang tidak berasas.

Katanya, gambaran yang diberi kononnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan bersalam dengan Ustaz Nor jauh menyimpang jauh terhadap perkara sebenar yang berlaku.

"Mengapa pengarang terbabit cuba menyembunyikan perkara sebenar apabila seorang menteri besar dimaki hamun di hadapan orang ramai ketika berkunjung ke rumah seorang pemimpin bekas Semangat 46.

"Ramai menjadi saksi kepada sikap gelojoh dan tidak beradab yang ditunjukkan Ustaz Nor. Semua rakyat di Kelantan tahu cerita sebenar dan Utusan tidak mampu untuk menyembunyikan," katanya.

Menurutnya Utusan perlu membetulkan dan memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan.

Kata beliau sekiranya akhbar terbabit terus berdegil tindakan selanjutnya termasuk mendapatkan keadilan di mahkamah.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, serangan Utusan sengaja dilontarkan akhbar terbabit dengan harapan dapat menjatuhkan karier politik Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

"Semua itu kerja sia-sia belaka, prinsip Tok Guru tidak pernah tunduk pada sebarang tekanan. Malah ini bukan satu perkara baru bagi Tok Guru. Selama 20 tahun memerintah Kelantan sudah terlalu banyak pengalaman pahit manis dilaluinya.

"Saya tidak nampak rasional atau apa untungnya di sebalik serangan itu. Bahkan, seringkali tuduhan mahupun tomahan terhadapnya akan menambah kuatkan lagi semangat Mursyidul Am," katanya.

Beliau juga berharap Awang Selamat jangan berselindung di sebalik nama murahannya untuk melacurkan pena wartawan demi kepentingan perut semata-mata./Harakahdaily

Tiada ulasan: