Selasa, 16 November 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Tiada Halangan Jika Zaid Mahu Sertai PAS – Salahuddin

Posted: 15 Nov 2010 11:00 PM PST

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PETALING JAYA: PAS tiada halangan jika bekas Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mahu menyertai parti itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, jika benar keputusan itu, ia seharusnya dihormati kerana dalam demokrasi mana-mana individu berhak untuk menyertai mana-mana parti.

"Bagaimanapun, sama ada diterima atau tidak beliau dalam parti bergantung kepada keputusan Jawatankuasa PAS Pusat.

"Jika Zaid mahu, beliau boleh mohon. PAS mengambil sikap terbuka maka siapa-siapa pun boleh memohon.

"Namun keputusan melibatkan semua dalam PAS dan perkara itu perlu diperbincangkan terlebih dahulu sebelum diputuskan lebih jelas dalam mesyuarat," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Salahuddin berkata, banyak faktor dan pertimbangan perlu dilakukan melalui mesyuarat jawatankuasa kerana Zaid dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Zaid daripada PKR, sebelum itu daripada Umno. Banyak masalah dan kontroversi yang berlaku. Jadi pertimbangan sewajarnya perlu diutamakan.

"Jika dia mahu sertai PAS, itu hak dia. Tak ada masalah. Cuma sama ada lulus atau tidak untuk kita terima dia, itu belum pasti," katanya.

Dalam pada itu, Umno pula tidak akan menerima bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut untuk menyertai semula dalam parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini berkata Umno telah ‘membuang’ Zaid maka tidak perlu diambil semula.

"Dia juga akan bagi masalah. Kita tidak suka orang yang beri masalah," katanya.

Zaid pada 8 November lalu menarik diri daripada merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatannya dalam parti.

Keputusan itu ekoran dakwaannya bahawa terdapat penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Bekas Ketua PKR Wilayah Persekutuan itu turut berkemungkinan akan menubuhkan parti baru sekiranya dipecat daripada parti sebelum mengumumkan keluar parti.


Tiada ulasan: