Jumaat, 12 November 2010

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Debat - Hanya AMK Saja Lawan Setaraf Zaid

Posted: 11 Nov 2010 06:09 PM PST

Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin menyelar bekas Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim kerana menggunakan media untuk menyerang kepimpinan parti itu.

Berikutan itu, beliau mencabar Zaid untuk berdebat secara terbuka mengenai kepimpinan Keadilan dengannya.

"Tetapkan tempat dan tarikh, pilih mana-mana medium yang dia suka, saya bersama pimpinan Angkatan Muda akan hadir bagi menceritakan perkara sebenar kepada beliau.

"Tiada guna jika perkara ini dihebahkan kepada media," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.

Beliau menyifatkan tindakan Zaid itu mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan kepimpinan PKR yang sedia ada.


Pada Isnin lepas Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada pemilihan parti dan juga melepaskan semua jawatan dalam PKR dengan alasan "terdapat penipuan dalam pemilihan".

Beliau kemudian meminta Anwar berundur dari parti itu.

Zaid berkata menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk menyiasat laporan mengenai dakwaan penyelewengan dalam pemilihan dan bukan dirinya yang harus membuktikan kepada Anwar mengenai penyelewengan itu.

Mengenai gesaan Zaid agar Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Anwar keluar PKR untuk menyelamatkan parti itu, Azmin berkata keputusan itu terletak pada tangan semua anggota parti dan bukannya mana-mana individu.

Zaid Ibrahim Semakin Keseorangan

Posted: 11 Nov 2010 05:47 AM PST

Mustaffa jauhi Zaid

Satu persatu pemimpin PKR tampil mempertahankan ketua umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi sasaran bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu, Datuk Zaid Ibrahim.

Dalam satu kenyataan hari ini, calon timbalan presiden, Mustaffa Kamil Ayub (kiri) berusaha menjauhkan diri dari Zaid, dengan mengatakan bahawa beliau menyokong sepenuhnya kepimpinan Anwar.

"Saya ingin menyatakan bahawa sokongan penuh saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden Keadilan tidak pernah berubah.

"Pendirian tersebut memang sedia diakui oleh kebanyakan ahli parti berdasarkan rekod saya yang sentiasa konsisten mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang 12 tahun saya terlibat dalam perjuangan reformasi.

"Saya percaya bahawa Keadilan, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia seluruhnya amat memerlukan kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai tokoh pembaharuan yang mampu membawa perubahan besar kepada negara," tegas Mustaffa.


Sebelum ini Mustaffa dilihat sehaluan dengan Zaid apabila kedua-
duanya menggesa supaya proses pemilihan pucuk pimpinan PKR ditangguhkan kerana mendakwa berlaku penyelewengan dan penipuan.

Mustaffa menghadiri sidang akhbar di kediaman Zaid pada hari Selasa, di mana beliau mengeluarkan kata-dua 48 jam kepada ibupejabat parti itu supaya menangguhkan pemilihan.

Mustaffa beredar sebelum Zaid (kanan) mula mengedarkan kenyataannya, yang menuduh Anwar dan naib presiden Azmin Ali sebagai punca masalah dalam PKR. Hari ini Mustaffa menegaskan bahawa beliau tidak menyokong serangan Zaid terhadap ketua umum PKR itu.

"Saya disalah petik '

Beliau juga mendakwa akhbar Berita Harian melakukan kesilapan dalam keterangan gambar yang bertulis "Mustaffa Kamil (kiri) dan Zaid menunjukkan memorandum mendesak Anwar dan Azmin supaya berundur, pada sidang media di kediaman Zaid di Kuala Lumpur, semalam".

"Saya membantah sekeras-kerasnya laporan yang salah di dalam caption gambar tersebut kerana memorandum yang ditunjukkan di dalam gambar tersebut bukan sama sekali untuk mendesak Datuk Seri Anwar dan Sdr Azmin berundur.

"Sepertimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, memorandum yang saya hantar pada 9 November 2010 tersebut adalah untuk meminta pembatalan dan penjalanan semula pemilihan kepimpinan Keadilan 2010 dan kandungannya diketahui oleh Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah.

"Sidang media memaklumkan penyerahan memorandum mengenai JPP dihadiri oleh Datuk Zaid dan setelah selesai, saya meninggalkan sidang, yang kemudian diteruskan oleh Datuk Zaid tanpa kehadiran saya," tegasnya.

Bagaimanapun, sehingga ini, Mustaffa masih belum menyentuh tentang kata-dua 48 jam yang diberikannya kepada ibupejabat PKR.

Kedah Keluarkan RM2 Juta Untuk Mangsa Banjir

Posted: 11 Nov 2010 04:16 AM PST

Kerajaan Negeri Kedah telah membelanjakan hampir RM2 juta bagi membantu mangsa banjir yang terlibat dalam bencana yang menimpa negeri Kedah baru-baru ini.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada sidang media di sini semalam.

Menurut beliau lagi sumbangan bagi mangsa banjir tersebut telah disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi penyediaan segala bentuk keperluan seperti makanan dan seumpamanya.

"Selain dari bantuan tersebut, tenaga kerja dan logistik turut disediakan bagi membantu banjir yang berpindah ke tempat perpindahan. Namun begitu bagi mereka yang tidak berpindah kemungkinan bantuan dalam bentuk lain akan dipertimbangkan.

"Sebelum ini adanya dakwaan mangsa banjir yang tidak menerima bantuan datangnya dari mereka yang enggan berpindah ke pusat pemindahan yang telah ditetapkan, " katanya lagi.


Azizan juga berkata, sehingga semalam jumlah mangsa banjir yang telah pulang ke rumah adalah seramai 45,583 mangsa yang terdiri dari 11,840 keluarga.

Manakala seramai 12,185 mangsa yang terdiri dari 3181 keluarga masih lagi ditempatkan di 23 buah pusat pemindahan.

Katanya lagi antara pusat pemindahan yang telah ditutup ialah dalam daerah Padang Terap, Pokok Sena dan Pendang.

(Gambar: Pegawai kanan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, Zulkifli Yahya melihat bungkusan yang disiapkan sebelum diserahkan kepada mangsa banjir)

Sementara itu 11 pusat pemindahan di Kubang Pasu dan 12 di Kota Setar masih lagi beroperasi sehingga keadaan dipastikan selamat sebelum mangsa banjir dibenarkan pulang kerumah masing-masing.

Beliau juga menyelar Kerajaan Pusat yang cuba mempolitikkan isu bantuan kepada mangsa banjir apabila mendakwa kerajaan negeri tidak mampu untuk menyalurkan sumbangkan kepada mangsa yang terlibat.

"Sebenarnya kita tidak pernah memohon bantuan dari Kerajaan Pusat bagi membantu mangsa banjir di negeri ini. Kita hanya meminta bantuan dari Perak. Manakala Pulau Pinang dan Selangor pula menawarkan bantuan yang berupakan minuman dan bekalan air bersih.

"Perak menyalurkan bantuan yang berupa logistik, lori tangki serta 120 sukarelawan bagi membantu melicinkan perjalanan membantu mangsa banjir. Kita juga berterima kasih kepada mereka kerana sanggup untuk mengenepikan perbezaan fahaman ideologi demi kemanusiaan, " ujarnya lagi.

Tiada ulasan: