Khamis, 11 November 2010

Politiksukusakat

Politiksukusakat


Celuparnya mulut dia, tak sangka dengan 'imej' dia

Posted: 11 Nov 2010 09:49 PM PST

Wan Nordin Wan Yaacob

Terkejut dan tak sangka, rupanya telahan ramai pihak selama ini terhadap beliau memang benar.

Mungkin aku dan rakan-rakan aku di Bilik Berita tak pernah tengok aksi dia begitu, masuk-masuk ke bilik berita tanpa bagi salam cakap ikut suka mak bapak dia.

Patutnya sebagai seorang yang 'seharusnya dihormati' dan memimpin kami, dia sepatutnya berkelakuan yang mampu memberi tauladan dan contoh kepada kami.

Kata seorang rakan, patutlah dia kalah masa pilihan raya, sebab dia sendiri tak ada tokoh untuk menjadi seorang yang dihormati.

Aku menyambung, buang sahaja apa yang dipakainya di atas kepala, jika dia tak melambangkang tingkah yang sepatutnya...

Dunia akhir zaman, ada yang sepatutnya menjadi seorang yang seharusnya dicontohi dan boleh memimpin, akhirnya merosakkan diri dengan imej yang tidak seharusnya ditonjolkan kepada orang kebanyakan.

Untuk si dia yang berkulit gelap, gigi besar dan berkaca mata, lupakanlah untuk memimpin jika inilah sikap yang anda sebagai seorang yang kononnya pandai bab agama tonjolkan.

Pesan saya yang tak cerdik ini, "kalau nak bercakap tu biarlah ada manis dan hemahnya, jangan cakap ikut suka, nanti semua orang tak suka"

Leraikan segera kekusutan dalaman KeADILan demi masa depan Pakatan Rakyat, !

Posted: 11 Nov 2010 05:27 PM PST

WAN NORDIN WAN YAACOB
(Analisis)

Keputusan Penyelaras Pakatan Rakyat, Dato' Zaid Ibrahim menarik diri dari
bertanding jawatan nombor dua dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat
(KeADILan) serta melepaskan semua jawatan dalam parti itu membawa lagi
satu lagi polemik kepada parti tersebut.

Malah pembabitan Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub bersama satu pentas
sidang media dengan Zaid pada 9 November lalu memberi satu lagi tamparan
hebat kepada kepimpinan tertinggi KeADILan dalam menongkah perjalanan
politik hari ini yang semakin 'caca merba'.

Jika sebelum ini Zaid kelihatan bersendirian, namun kini beliau seolah-olah
bersama dengan Mustaffa Kamil yang mahu pembersihan segera dalam KeADILan dilakukan.

Fokus permasalah yang dibincangkan Zaid dan Mustaffa hanya tertumpu kepada soal pengendalian pemilihan yang tidak telus yang didakwanya dimanipulasi pihak tertentu.

Mohamad Azmin Ali menjadi sasaran utama dalam sidang media bersama Zaid dan Mustaffa yang secara serius mahu Azmin dilucutkan kelayakan bertanding.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mahu melihat perubahan kepimpinan parti dilakukan agar KeADILan kekal relevan dalam politik negara.

Sementara Mustaffa Kamil pula bertegas dengan memberi memorandum menggesa parti menangguhkan pemilihan berikutan terlalu banyak penyelewengan dilaporkan dan pihak jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) yang sangat berpihak.

Mustaffa yang sebelum ini dikenali dengan watak sederhana tiba-tiba bertukar menjadi cukup agresif mengeluarkan kenyataan media mendedahkan apa yang disifatkan sebagai kepincangan dalam pemilihan.

Beliau tanpa rasa 'gusar' memberikan masa 48 jam kepada pimpinan untuk memberikan komitmen mengubah segera apa yang sedang berlaku hari ini yang disebutnya sebagai berpunca dari seseorang.

"Saya tidak tolak kemungkinan menarik diri. Ia bergantung kepada jawapan terhadap memo saya berhubung rungutan akar umbi yang melihat sendiri kelemahan dan penyelewengan dalam pemilihan parti," katanya kepada lebih 50 wartawan yang hadir bagi membuat liputan sidang media di rumah Zaid dekat sini.

Mustaffa juga mengulangi gesaannya agar punca kepada segala kepincangan dan kelemahan di atasi segera oleh pimpinan, dan beliau menyatakan apa yang disuarakan itu adalah dari suara ahli.

Beliau akan menyerahkan memo kepada presiden parti, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Chia memberikan butiran teroperinci seperti tarikh dan bentuk 'kepincangan' itu.

Bercakap mengenai kesetiaannya kepada parti, Mustaffayang dikenali sebagai orang kuat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dalam KeADILan menyatakan, beliau sesekali tidak akan keluar parti.

"Parti ini sudah 11 tahun saya dukung, kenapa perlu saya keluar?.Soal kesetiaan saya jangan ditanya, kerana saya adalah orang lama dalam parti ini," katanya.

Namun dalam gelodak serangan oleh dua tokoh besar dalam KeADILan itu, Azmin yang menjadi fokus utama serangan hanya menjawab persoalan dengan mudah bahawa keputusan Zaid mengundurkan diri dari bertanding hanyalah satu keputusan 'peribadi'.

Azmin sendiri enggan mengulas apabila ditanya mengenai apakah beliau sebagai dalang dalam segala masalah yang timbul dalam KeADILan mutakhir ini.

Jika satu ketika dahulu, beliau juga disebut sebagai pihak yang terbabit dalam
persengketaan yang menyebabkan bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Ezam Mohd Noor keluar parti, kini Azmin sekali lagi menjadi fokus oleh dua nama besar dalam parti.

Kemelut ini berlaku, apabila kemenangan pada pilihan raya 2008 menukar senario dalama KeADILan yang dikatakan menjadi 'orang tengah' antara PAS dan DAP.Seawal kemenangan Mac 2008, Pakatan Rakyat dilihat sebagai pakatan yang sangat mantap dalam soal kebersamaan.

Hingga kini tidak terusik sedikitpun keakraban itu walaupun 'benih' sengketa cuba ditaburkan musuh melalui isu Negara Islam, isu kegagalan '16 September', isu kabinet bayangan dan pelbagai isu lain.

Namun ramai pemerhati bimbang, krisis dalaman KeADILan ini dengan keghairahan Zaid membuka pekung dalaman ditambah Mustaffa yang mula menyerang, sementara Azmin dan Anwar yang selalu dikaitkan dengan saling mempertahankan antara satu sama lain, sedikit sebanyak akan memberi kesan negatif kepada Pakatan Rakyat.

Zaid, Anwar, Mustaffa mahupun Azmin perlu menjadikan iktibar sejarah hitam KeADILan dimana ahli dan beberapa wakil rakyatnya melompat parti dan menyerang semula parti tersebut.

Ianya sedikit sebanyak memberi kesan kepada persiapan KeADILan amnya, dan Pakatan Rakyat khasnya dalam mendepani gerak kerja menjelang pilihan raya umum ke-13.

Rakyat mahu melihat sebuah parti yang benar-benar mantap dalaman, dan mempunyai agenda yang lebih jelas dan bukannya agenda pribadi mana-mana pemimpin.

Apa yang penting, Anwar, Zaid, Mustaffa dan Azmin perlu berlapang dada, duduk semeja membincangkan semasaknya bagi meleraikan sengketa yang sedang menular membaham keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat.

Namun jika barah semakin menular, kebusukan perlu segera ditangani, jangan sampai rakyat mula hilang keyakinan dengan sikap dan kelemahan yang terdedah hari ini!

Pilihan Raya Umum ke-13 jauh lebih penting dari 'pergeseran' sesama sendiri dalam parti.PAS pernah lalui detik cemas, namun kerana dasar dan pegangan akidah serta wehdatul fikh, akhirnya perbezaan pandangan semasa pemilihan lerai dengan baik.

Sebagai parti baru, PKR harus mendepani segera agar saf dapat diluruskan semula demi melihat perjuangan rakyat dapat didahulukan!

Tiada ulasan: