Sabtu, 2 Oktober 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Penjelasan Penarikan Gelaran Temenggong

Posted: 02 Oct 2010 03:49 AM PDT

1. Laporan agensi berita Bernama bertajuk "Gelaran 'Temenggong' Tengku Fakhry Ditarik Balik" bertarikh 30 September 2010 di bawah adalah dirujuk.

2. Sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini, di antara perkara yang paling pahit untuk dilakukan di dalam dunia ini ialah untuk menegakkan kebenaran terhadap ayahanda bonda dan kaum kerabat kita sendiri.

3. Namun begitu, walau betapa pahit sekalipun ia, ia tetap juga perlu dilakukan sebagai mematuhi:
(i) Firman Allah, mafhumnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan". (Surah al-Nisa': Ayat 135)

(ii) Sabda Rasulullah, mafhumnya: "Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibu bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya".
(iii) Sabda Rasulullah, mafhumnya: "Demi Allah! Jika anakku Fatimah sekalipun yang mencuri nescaya tetap akan aku potong tangannya".
4. Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, tidak pernah terniat untuk memusuhi apalagi untuk mengaibkan adinda Baginda, Tengku Muhammad Fakhry Petra, sebaliknya, tindakan Baginda ke atas adinda Baginda ini adalah didasarkan kepada perasaan kasih sayang yang teramat sangat Baginda terhadap adinda Baginda ini.

5. Tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini adalah didasarkan kepada kesedaran Baginda untuk memenuhi tuntutan Allah yang menghendaki Baginda memastikan diri Baginda dan keluarga Baginda sentiasa dipelihara dari mendapat kemurkaan Allah dan seterusnya memastikan mereka sentiasa berada di dalam keredhaan Allah selaras dengan Firman Allah, mafhumnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan". (Surah al-Tahrim: Ayat 6)

6. Selain daripada selaras dengan kehendak agama, tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini juga adalah selaras dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) (versi bahasa Inggerisnya, Laws of the Constitution of Kelantan (Second Part)), iaitu:
(i)
43. (1) Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah pangkal segala kemuliaan dan kebesaran dalam Negeri ini dan Bagindalah sahaja boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran serta mengadakan Pangkat-Pangkat Kemuliaan, Pingat-Pingat Kebesaran dan Kehormatan, dan jika perkara mengadakan mana-mana Pangkat-Pangkat Kemuliaan, Pingat-Pingat Kebesaran dan Kehormatan itu akan mengenai perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, maka mustahaklah mendapat kebenaran Dewan Negeri.

versi bahasa Inggerisnya:
XLIII. (1) His Royal Highness is the fountain of all honours and dignities within the State and He alone may confer titles and dignities and institute Orders and Badges of Honour and Dignity, and if the conferment of any title and dignity or the institution of any Order or Badge of Honour and Dignity will involve expenditure out of the Consolidated Fund, the approval of the Legislative Assembly shall be necessary.

(ii)
44. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia mempunyai hak mengada, melantik dan menggelar daripada kerabatnya, sama ada yang jauh atau yang dekat, seorang lelaki menjadi Bendahara atau Temenggong atau Laksamana atau Panglima dan mengkurniakan kepada mana-mana orang lain, sama ada Kerabat D'Raja atau lainnya, akan mana-mana gelaran yang pada zaman dahulu telah ada atau telah biasa dipakai dalam Negeri Kelantan.

versi bahasa Inggerisnya:
XLIV. (1) His Royal Highness has the right to create, appoint and nominate from among His relatives, whether distant or near, a male person to be Bendahara or Temenggong or Laksamana or Panglima and to confer upon any other person, whether royal or otherwise, any title which in former times existed or commonly used in the State of Kelantan.

(iii)
45. (1) Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah menurunkan pangkat mana-mana orang yang telah dikurniakan kepadanya mana-mana pangkat atau gelaran atau Pingat-Pingat Kehormatan mengikut syarat-syarat Perkara 43 atau 44 Bahagian ini, jika ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan yang mengharuskan diperbuat demikian itu.

versi bahasa Inggerisnya:
XLV. (1) His Royal Highness may degrade any person upon whom any rank or title or order or badge of Honour has been conferred by virtue of the provisions of Articles XLIII and XLIV of this Part, if sufficient fault or offence has been committed so as to make such degradation just and expedient.
7. Kami di The Kelantan Insider tidaklah berhasrat untuk mendedahkan "fault or offence" yang telah mewajarkan tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini kerana walau apa sekalipun Tengku Muhammad Fakhry Petra masih lagi merupakan adinda Baginda.

8. Pada masa yang sama, bagi mengelakkan Sultan Muhammad Ke-V dari menerima tohmahan berlaku tidak adil ke atas adinda Baginda ini, perlulah kami nyatakan di sini bahawa "fault or offence" ini adalah diperakui oleh Kerajaan Negeri Kelantan sendiri, termasuklah oleh Penasihat Undang-Undangnya.

9. Kepada mereka yang masih juga tidak berpuas hati dengan penjelasan kami ini, sila rujuk kembali kepada posting kami bertarikh 10 April 2010 bertajuk "POSTING 3: A DOCUMENT SPEAKS A THOUSAND WORDS" untuk mencari jawapannya.

10. Akhirnya, sukalah ditegaskan bahawa hubungan persaudaraan di antara Sultan Muhammad Ke-V dan adinda Baginda masih berkekalan sepertimana kata bidalan Melayu, "carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga". Kita menunggu tiba saatnya tatkala Baginda dan adinda Baginda akan bertaut kembali sepertimana kisah Nabi Yusuf dan saudara-saudara Baginda yang berbunyi, mafhumnya: "Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah dia ta'bir mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar; dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku tatkala Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari desa sesudah syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbir-Nya bagi apa yang dikehendaki-Nya; sesungguhnya Dia-lah yang Amat Mengetahui, lagi Amat Bijaksana". (Surah Yusuf: Ayat 100)
Gelaran 'Temenggong' Tengku Fakhry Ditarik Balik
30 September 2010 15:01 PM

KOTA BAHARU, 30 Sept (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V menarik balik pelantikan dan penganugerahan gelaran "Temenggong" dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) yang ditauliahkan kepada adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra berkuatkuasa hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias pada satu sidang akhbar di pejabatnya di sini setelah surat pemakluman itu diserahkan kepada kakitangan Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini, 10 pagi tadi.

Mohd Aiseri berkata Sultan Muhammad Ke-V turut menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.) (Al-Muhammadi) yang dianugerahkan sebelum ini kepada Tengku Muhamad Fakhry.

"Penarikan telah dimaklumkan kepada Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini melalui surat kepada beliau yang dialamatkan di Istana Mahkota, Kubang Kerian," katanya.

Tengku Muhammad Fakhry Petra merupakan anakanda ketiga kepada Sultan Ismail Petra manakala Sultan Muhammad Ke-V adalah yang sulung.

-BERNAMA

~The Kelantan Insider~

Dr M dimasuk ke hospital di Melbourne

Posted: 02 Oct 2010 03:49 AM PDT

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Hospital Epworth di Melbourne sejak jam 9 pagi hari ini bagi rawatan jangkitan kuman di dada. Beliau kini dirawat di wad biasa dan diberikan antibiotik dan menjalani fisioterapi.

"Keadaan Dr Mahathir adalah stabil dan beliau dinasihatkan supaya berehat. Beliau dijangka berada di hospital selama beberapa hari untuk pemantauan," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya di Kuala Lumpur.

Diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Dr Mahathir tiba di Melbourne pada hari Khamis untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di Universiti Melbourne pada hari Sabtu.

Beliau dijadual berkongsi pandangan dan pendapatnya mengenai topik "Are We Ready for 1Malaysia: Does Race Still Play A Part?" (Adakah Kita Bersedia Bagi 1Malaysia: Adakah Bangsa Masih Memainkan Peranan).


(1Malaysia ialah prinsip yang digariskan untuk membina sebuah negara yang bersatu dan progresif pada Abad ke-21 melalui pemupukan semangat dan nilai kekitaan tanpa mengira bangsa dan agama.)

Sejurus sebelum seminar itu bermula, juruacara majlis mengumumkan Dr Mahathir tidak dapat hadir di majlis itu yang beliau (Dr Mahathir)
nanti-nantikan dan sedih kerana tidak dapat berbuat demikian.

Beliau telah meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed untuk berucap di seminar itu bagi mewakilinya.

Mustapa, semasa ditemui pada seminar itu berkata keadaan Dr Mahathir adalah baik dan sedang berehat. "Tun perlukan rehat dan keadaan beliau adalah baik," katanya.

Anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dijangka tiba di sini esok untuk menemani bapanya, katanya.

Dr Mahathir, 85, menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur pada Januari 1989 dan menjalani pembedahan kedua di Institut Jantung Negara pada September 2007.

Walaupun sudah berusia, Dr Mahathir, yang merupakan penasihat syarikat pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton dan perbadanan minyak negara Petronas, sering ke luar negara untuk menghadiri persidangan antarabangsa berikutan beliau terus menjadi pilihan pihak penganjur untuk menyampaikan syarahan di majlis tempatan dan antarabangsa.

~Bernama~

Cikgu Bad dahului pencalonan ketua AMK

Posted: 02 Oct 2010 03:48 AM PDT

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin mendahului pencalonan untuk pertandingan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat.

Sehingga ini, beliau mendapat 35 pencalonan, manakala penyandang jawatan tersebut, Shamsul Iskandar Md Akin memperolehi 29 pencalonan.

Shamsul telahpun mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden PKR.

Sehingga ini, beliau mendapat pencalonan kedua tertinggi (43) bagi jawatan naib presiden, di belakang ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (108).

Seorang lagi yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut - Rafizi Ramli yang juga bekas exco AMK - mendapat lapan undi.

Sumber-sumber parti memberitahu Malaysiakini, kedudukan tersebut berdasarkan keputusan mesyuarat agung 72 cabang AMK yang diserahkan secara kepada parti.

Sementara itu, empat orang calon menawarkan bertanding bagi jawatan timbalan ketua AMK pusat.

Setakat ini, ketua AMK Selangor Khairul Annuar Ahmad Zainuddin mendahului dengan 43 pencalonan.

Ini diikuti oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang yang mendapat 20 pencalonan; naib ketua AMK pusat, Amiruddin Shari (8); dan ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad (1).

~MK~

Pucuk pimpinan mesti henti serang Zaid

Posted: 02 Oct 2010 03:47 AM PDT

Walaupun dikritik pemimpin kanan partinya sendiri, pesaing bagi jawatan timbalan naib presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim dilihat berjaya meraih simpati dan sokongan daripada wakil rakyat parti itu.

Menurut Ahli parlimen Kapar S Manikavasagam, 'serangan' Naib Presiden Dr Lee Boon Chye terhadap Zaid berhubung isu kritikan terbuka kepada parti tidak sepatunya berlaku.

"Saya gesa pemimpin kanan parti seperti Dr Lee Boon Chye kekal tidak memihak dan berhenti mengeluarkan kenyataan menghentam pesaing lain, termasuk Zaid Ibrahim.

"Dr Lee kena sedar, beliau turut bersaing untuk jawatan tertinggi parti dan beliau patut tidak dilihat cuba berkempen untuk menang dengan mengugat orang lain," kata Manikavasagam yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Dr Lee hari ini dilaporkan 'menyelar' Zaid yang didakwa menyimpang daripada haluan parti, ekoran aduannya kepada media tentang perjalanan pemilihan PKR.

Katanya, sebagai pengerusi PKR WIlayah Persekutuan dan anggota biro politik PKR, Zaid sepatutnya sedar bahawa beliau juga sebahagian daripada kepimpinan parti.

Dalam satu kenyataan hari ini, Manikavasagam berharap PKR memastikan fenomena itu tidak lagi berlaku sempena pemilihan cabang minggu terakhir (bermula esok) "supaya parti tidak menjadi modal ketawa" dalam negara ini.

"Saya juga menggesa semua orang memastikan pemilihan kali ini dijalankan dengan penuh bersih dan sopan.

"Kita tidak patut mengkritik jawatankuasa pemilihan berhubung tatacara pengendalian pemilihan jika kita sendiri tidak melaksanakan kerja dengan baik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pengerusi jawatankuasa pemilihan PKR Dr Molly Cheah berkata masalah logistik melibatkan beberapa cabang dalam pemilihannya sebelum ini telah diambil maklum supaya perjalanan selepas ini bertambah lancar.

"Pihak kami menggesa calon dan penyandang di peringkat cabang memberikan kerjasama penuh dengan sekretariat PKR dan sukarelawan terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, berbeza dengan pilihan raya sebenar - yang mana calon biasanya hanya melibatkan dua calon - perjalanan pemilihan PKR lebih rumit kerana melibatkan pertandingan untuk memilih 46 calon untuk setiap cabang.

~MK~

Portal berita dan TV layak jadi ahli penuh NUJ

Posted: 02 Oct 2010 03:46 AM PDT

Ketika orang ramai ramai, termasuk pemberita menyangka keahlian Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hanya eksklusif untuk media cetak, presiden barunya Hata Wahari mendedahkan sebaliknya.

Katanya, perlembagaan NUJ tidak pernah meletakkan syarat yang menghalang media baru dan wartawan penyiaran bagi mengganggotainya sebagai ahli penuh.

"Dalam perlembagaan NUJ tiada halangan (terhadap) siapa hendak tubuhkan kesatuan sekerja.

"Maknanya, dia boleh tubuhkan NUJ cawangan Bernama TV (contohnya). Boleh, tak ada masalah," katanya.

Bagaimanapun, menurut wartawan kanan Utusan Malaysia itu, terdapat proses-proses biasa yang perlu diikuti sebelum diterima masuk.

"Tak ada (peruntukan) kata portal berita tak boleh sertai. Selagi kamu ada ahli 20 orang ke atas, berdaftar, bayar yuran selama setahun.

"Pendaftaran cawangan lagi mudah daripada pendaftaran kesatuan sekerja. Itu yang (kita) nak tarik lagi ramai orang datang (sertai NUJ)," katanya.

Kaukus prokebebasan, tegas etika

Dalam wawancara dengan Malaysiakini Rabu lepas, Hata juga memberitahu, walaupun tidak layak, sekarang ini sudah ada editor dan pengarang kanan yang menyertai kesatuan itu sebagai ahli bersekutu.

Ditanya kenapa perkara tersebut tidak dihebahkan sebelum ini, beliau menjawab ringkas, "sebab kita tidur kot selama 12 tahun (semasa pentadbiran presiden lama)".

Bagaimanapun, dalam wawancara panjang kira-kira sejam itu, presiden yang baru dipilih pertengahan bulan lepas itu nampaknya mempunyai cita-cita yang lebih besar - menyatukan wartawan dan aktivis media dalam satu bumbung.

Untuk itu, tambahnya, NUJ sudah bersetuju menubuhkan kaukus media untuk bebebasan, antaranya akan turut menegaskan semula etika kewartawanan yang makin 'menyepi'.

Malah, menurut Hata, pihaknya akan menjemput NGO lain yang selama ini dilihat sebagai anti-establishment seperti Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan 1Muted Malaysia.

"Biar mungkin mereka tak terima NUJ sebagai pemimpin, pengasas (kaukus)... Tak perlu, kalau kita ada sedikit saja persamaan, kita bersatu terus. Tak ada masalah," katanya.

Tentang etika kewartawanan yang mahu diperjangkannya, beliau berkata, persetujuan kod-kod yang digubal yang dipersetujui oleh semua wartawan Asean pada 1978 lagi akan diketengahkan semula.

Tak dihebohkan

Menurut Hata, ia antaranya menggariskan bahawa laporan mestilah telus, tidak memihak atau mencetuskan pergaduhan antara negara.

"Yang itu NUJ pegang sampai sekarang. Dalam (kod) itu juga menyatakan, akhbar tak boleh dimiliki mana-mana parti politik.

"Ada dalam itu juga. Yang itu kita perjuangkan sekarang. Orang tak tahu sebenarnya," katanya.

Bagaimanapun, Hata dengan nada sedih berkata masih ada wartawan, terutamanya yang baru masih tidak mengetahui tentang perkara itu.

"Maknanya kita tak hebahkan pada orang (selama ini). Kita hendak tegakan semula (perkara ini).

"(Ia )adil, dirangka wartawan asian yang kira-kira berjumlah 50,000 orang," tambahnya.

~MK~

Pemimpin mesti 'berambus' cara terhormat

Posted: 02 Oct 2010 03:44 AM PDT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghormati keputusan Datuk Seri S Samy Vellu untuk meletak jawatan sebagai Presiden MIC pada Januari tahun depan. Samy Vellu, 74, adalah pemimpin paling lama memegang jawatan itu apabila menerajui parti itu selama hampir 32 tahun.

"Saya hormati keputusan Datuk Seri Samy kerana saya berpendapat setiap orang sedar sebagai ahli politik akan tiba masanya apabila kita perlu meninggalkan pentas itu," katanya kepada pemberita ketika diminta megulas keputusan Samy Vellu.

"Tapi adalah penting apabila kita meninggalkan pentas itu, pertama-tama kita tinggalkan, satu legasi, dan keduanya kita tinggalkan sebuah parti yang kuat dan ia perlu menjadi semangat bagi setiap orang."

"Ia bukan sahaja terpakai kepada Datuk Seri Samy tapi terpakai kepada kita semua bahawa pada satu hari nanti kita juga perlu meninggalkan pentas itu, tapi kita perlu keluar secara terhormat," kata Najib.

Beliau ditemui selepas melawat pameran pertandingan reka bentuk sebuah hospital kerajaan di Kementerian Kewangan di Putrajaya.

"Dan pada masa yang sama apa yang paling penting adalah bagi kita meninggalkan rekod perkhidmatan yang baik dan sudah pasti ada seseorang atau pengganti kita yang mampu meneruskan misi atau perjuangan itu."

Beliau berkata meninggalkan pentas itu secara tiba-tiba juga tidak baik "kerana pada ketika itu parti akan berada dalam keadaan berubah-ubah."

"Anda mesti pastikan ada kesinambungan dalam kepimpinan. Ia tidak mengira apakah tempoh masa dan tidak ada apa yang dikatakan tempoh masa tetap tapi apa yang penting ialah kita tahu bila masa yang sesuai untuk berundur dan pada masa yang sama menyediakan barisan pengganti."

Ketika ditanya sama ada beliau sedar mengenai pengumuman itu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, "beliau telah menjangka mengenai pengumuman Samy itu."

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau. Kita sepatutnya tidak lupa bahawa sejak bertahun-tahun, beliau telah menyumbang kepada MIC dan begitu juga kepada kerajaan," kata Najib.

Semasa mengumumkan keputusan itu semalam, Samy Vellu, yang dilahirkan di Kluang, berkata timbalan dan bekas setiausaha akhbarnya Senator Datuk G Palanivel akan menggantikan beliau.
Samy Vellu mengambil alih kepimpinan parti itu sebagai timbalan presiden pada 13 Sept 1979 berikutan kematian kematian Tan Sri V Manickavasagam.

~Bernama~

Wartawan menyamar kurang ajar

Posted: 02 Oct 2010 03:43 AM PDT

Pergerakan Puteri Umno, membuat laporan polis berhubung tulisan yang didakwa berbentuk manipulasi oleh Malaysian Insider, lapor Umno Online.

Menurut ketua penerangannya, Nordiana Shafie, apa yang dinyatakan oleh wartawan portal berita itu, Boo Su-Lyn dalam tulisannya hanya petikan sebahagian daripada ucapan yang disampaikan oleh timbalan pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin

"Wartawan tersebut sengaja memanipulasikannya untuk membangkitkan kononnya Umno adalah parti perkauman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi exconya Seriwani Sabtu membuat laporan polis berhubung hal terbabit di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.

"Mereka tidak beretika, tidak tahu menghormati majlis yang diadakan, dan melakukan sesuatu yang tidak wajar sebagai seorang wartawan," jelasnya.

Dakwa Nordiana, sesi ceramah yang diadakan adalah tertutup dan pengumuman telah pun dilakukan bagi meminta pihak media keluar dari dalam dewan semasa program dialog bersama negarawan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Isnin lalu.

Kurang ajar

"Kita buat laporan polis kerana kita menafikan dakwaan yang ditulis oleh wartawan tersebut malahan semua ahli-ahli pergerakan Puteri yang hadir dalam majlis tersebut bersedia untuk menjadi saksi," tegasnya.

Dakwa Nordiana lagi, semasa majlis tersebut, wartawan berkenaan telah berlegar-legar di sekitar dewan tetapi telah diminta keluar oleh urus setia apabila menyedari kelibat beliau.

"Lebih teruk lagi, penghinaan dilakukan apabila Boo turut menyamar dengan memakai tudung dan menyelinap masuk ke dalam majlis. Bukankah itu satu perbuatan yang kurang ajar," katanya.

Program sehari yang yang berlangsung Isnin lalu dihadiri 1,200 ahli pergerakan itu turut melibatkan sesi ceramah tertutup yang disampaikan oleh penganalisis jenayah, Kamal Affendi dan dialog bersama mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Si sepet, si kaki botol

Mengikut portal berita itu, Hamim didakwa menghina dengan melabelkan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India sebagai 'si sepet mata dan 'si kaki botol'.

Pegawai kanan BTN itu juga dilaporkan oleh Boo sebagai berkata adalah menjadi hak Melayu untuk memerintah negara dan menggesa mereka untuk bersatu mempertahankan hak mereka.

Ini bukan kali pertama kes wartawan menyambar menimbulkan kemarahan orang ramai. Pada 8 Julai tahun lalu, dua wartawan majalah Al-Islam daripada Kumpulan Utusan Melayu yang dimiliki Umno, menyamar sebagai penganut Katholik bagi menyiasat khabar angin terdapat usaha memurtadkan gadis Islam.

Wartawan itu mengikuti upacara Kristian di dua gereja di Kuala Lumpur – termasuk memakan roti suci yang disuapkan oleh paderi dan memuntahkannya kembali untuk diambil gambar – dianggap menghina Katholik dan menimbulkan provokasi.

Namun, tiada pemimpin Umno ataupun Puteri yang tampil membidas tindakan berkenaan.

~MK~

Hisham membisu tangkapan Zunar

Posted: 02 Oct 2010 03:42 AM PDT

Hampir seminggu sudah berlalu selepas tahanan mengejut polis ke atas pelukis kartun terkenal tanahair, Zulkiflee Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, namun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak mahu mengulas lanjut.

Beliau sebaliknya cuba mengelalakkan soalan daripada wartawan dan terus mempertahankan bahawa polis telah menjalankan tugas mereka dengan adil dan profesional.

"Saya cuma katakan terdapat begitu banyak kes dengan fakta yang berbeza. Kita tidak mahu membuat komen kerana masih di bawah siasatan," katanya apabila ditanya mengenai tindakan pantas polis menahan Zunar berbanding dengan kejadian dakwaan rasis yang lain.

Zunar ditangkap beberapa jam sebelum beliau dijadual melancarkan buku komik terbarunya, , Cartoon-O-Phobia pada 24 September lalu.

Beliau dibebaskan selepas lebih 24 jam kemudian tetapi tidak sebelum diheret ke tujuh balai polis sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Penerbitnya, Kinibooks - anak syarikat penerbitan Malaysiakini - juga digelidah oleh polis.

Hishammuddin sebelum ini berkata Zunar ditangkap kerana menghina sistem perundangan negara, agama dan juga berhubung isu penggunaan kalimah allah.

~MK~

Ku Li calon Galas jatuh darjat Ku Li

Posted: 02 Oct 2010 03:41 AM PDT

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan untuk menamakan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas sebagai tidak wajar.

Menteri Besar Kelantan itu menyifatkan cadangan itu juga sebagai merendahkan darjat Tengku Razaleigh yang tidak layak sama sekali bagi seorang pemimpin veteran itu bertanding di peringkat DUN.

"Saya boleh sebut ini dah melampau. Ku Li (Tengku Razaleigh) bukan taraf dia (bertanding di DUN), dia menteri dah. Dia dah ke Parlimen dan turun ke DUN ini ada benda tak betul.

"Tak jaga lidah betul (cadangan pilih Tengku Razaleigh), jagalah lidah sikit. Ku Li ni berketurunan raja dan (pernah) jadi Menteri Kewangan tiba-tiba nak letak di DUN. Ini tak betul. Ada masalah lain le ni...," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-13 Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata demikian mengulas cadangan untuk memilih Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu sebagai calon pada pilihan raya kecil DUN Galas berikutan ketokohan pemimpin itu.

Cadangan untuk memilih Tengku Razaleigh itu juga mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata BN bersedia untuk mencalonkan pemimpin itu kerana ia paling sesuai dan tepat berdasarkan kepada pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Sementara itu Nik Aziz berkata PAS masih belum membuat keputusan untuk menamakan calon untuk pilihan raya kecil itu kerana ia akan diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi parti tersebut.

"Walaupun saya Pesuruhjaya (PAS Kelantan) tapi calon PAS dipilih di peringkat jawatankuasa dan ini dibuat supaya tidak ada yang berebut (jadi calon)," katanya.

Nik Aziz berkata antara kriteria calon PAS itu nanti adalah kalangan mereka yang diterima penduduk di Galas seperti tidak merokok, tidak meninggalkan solat dan tidak pernah berpoya dengan perempuan.

"Kalau merokok saya memang tidak boleh terima untuk jadi calon. Itu kena bagi tau awal-awal kerana merokok ini boleh merosakkan segala-galanya dan tidak ada doktor baik Islam atau kafir mengatakan rokok ini baik.

"Yang lain kriteria mesti diterima rakyat dan kita pilih hak terbaik tetapi nak cari satu orang yang boleh diterima semua memang tidak ada kerana Nabi Muhammad S.A.W pun ada yang kritik," katanya.

~Bernama~

Siapa ketuai BN di Galas

Posted: 02 Oct 2010 03:40 AM PDT

Soalan siapa akan mengetuai jentera pilihan raya BN semasa kempen di dewang undangan negeri Galas terus menjadi teka-teki apabila pemimpin veteran Umno yang dipertanggungjawabkan tugas itu, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau belum berkata 'ya ataupun tidak'.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah bersetuju memikul tugas itu, tetapi ahli parlimen Gua Musang - hari ini pada halaman Twitter - menafikan perkara itu.

"Rakan, rakan, saya tidak berkata ya ataupun tidak. Saya akan menjelaskan berhubung Galas apabila saya pulang ke Malaysia," tulisnya pada jam 6.35 waktu tempatan.

Tengku Razaleigh kini berada di Ireland, bagi melawat universiti di mana beliau mendapat pendidikannya - Queen's University di Belfast. Beliau dijadualkan pulang pada 9 Oktober ini.

Namun pada awalnya, tidak dapat dipastikan sama ada Tengku Razaleigh merujuk kepada pengumuman kenyataan Muhyiddin atau cadangan dari pihak lain yang beliau dilantik sebagai pengarah pilihan raya BN.

Bagaimanapun, gambaran semakin jelas, apabila seorang daripada pengikutnya mengemukakan soalan di Twitter kepadanya: "Harap maaf Tengku, tetapi kenapa TPM asyik berkata bahawa anda telah persetujui? Bukan sekali tetapi hampir setiap hari."

Menjawab soalan itu, Razaleigh menyerahkan perkara berkenaan kepada Muhyiddin dengan berkata beliau belum memberi sebarang persetujuan berhubung jawatan berkenaan.

"Itu, kita kena tanya beliau. Saya setakat ini belum membuat sebarang kenyataan," jawab Razaleigh.

~MK~

PAS sudah senarai pendek calon

Posted: 02 Oct 2010 03:39 AM PDT

PAS sudah mengenal pasti beberapa individu yang akan disenarai pendek untuk diletakkan sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas. Pengarah PRK PAS bagi Dun Galas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa parti petang esok.

"PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat pada Ahad nanti. Agenda penting ialah kita akan bincang mengenai pilihan raya kecil Dun Galas.

"Kita sudah kenal pasti di peringkat negeri ada beberapa tokoh yang kita senarai pendekkan untuk kita buat keputusan di peringkat jawatankuasa pusat yang akan kita angkat ke majlis syura dan majlis syura akan buat keputusan," kata beliau pada sidang media selepas majlis perasmian Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda di Masjid Rusila malam tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, PAS menitik beratkan faktor calon pada PRK kali ini dan anak tempatan adalah diberi keutamaan untuk diletakkan sebagai calon.

"Kali ini faktor calon itu faktor penting dan keutamaan kita ialah anak tempatan," katanya.

Tak kisah calon lawan

Diminta mengulas mengenai cadangan Umno untuk meletakkan veteran parti,Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon mereka, beliau menyifatkan ianya sebagai tindakan untuk menjatuhkan karier politik ahli Parlimen Gua Musa itu.

"Saya fikir itu satu cara pembunuhan secara halus karier politik Tengku Razaleigh.

"Saya fikir dari sudut politik jangka panjang itu bukan tindakan yang betul," katanya.

Namun ujarnya, PAS bersedia menghadapi sesiapa sahaja calon yang diletakkan Umno.

"PAS sedia menghadapi siapa sahaja calon. Kalau (Datuk Seri) Najib sekalipun nak jadi calon, kita akan sambut," katanya.

Beliau juga yakin PAS mampu meraih lebih ramai sokongan pengundi berbanding pada pilihan raya umum yang lalu berdasarkan rekod baik pembangunan di Gua Musang di bawah pemerintahan PAS selama hampir 20 tahun.

"Walaupun majoriti sebelum ini hanya 600 lebih, namun kita yakin ia akan meningkat pada PRK kali ini melihat kepada kemajuan bandar Gua Musang sendiri, kita yakin rakyat akan bagi mandat kepada PAS," katanya.

Kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga ujarnya dapat membantu PAS untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu.

"Ini pilihan raya pertama selepas kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS dan kita akan beri ruang kepada mereka untuk disusun strategi dan pendekatan untuk bersama dengan pengundi bukan Melayu," katanya.

~harakah~

BN sedia timbang Ku Li calon Galas

Posted: 02 Oct 2010 03:38 AM PDT

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah boleh dipertimbang sebagai calon BN untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Katanya, BN sedia membincangkan perkara itu kerana beliau percaya Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat dan sesuai berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Namun, katanya, soal sama ada Tengku Razaleigh mahu bertanding atau terdapat calon yang lebih sesuai untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan, terpulang kepadanya.

"Sebagai mana biasa kita beri lebih ruang pada beliau (selaku pengarah pilihan raya kecil BN bagi kerusi untuk senaraikan (calon) dan kalau fikir ada nama paling tepat, sesuai dan boleh beri kemenangan cemerlang di situ, kita akan berikan keutamaan," katanya.

Muhyiddin memberitahu pemberita demikian di Putrajaya hari ini ketika diminta mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian yang Tengku Razaleigh diletak sebagai calon BN kerana beliau mampu merampas semula kerusi tersebut daripada PAS.

Mengenai dakwaan PAS kononnya pelantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya BN bagi kerusi Galas memberi kelebihan kepada PAS kerana beliau turut menyokong tuntutan royalti minyak, Muhyiddin berkata, PAS sebenarnya sedang "gundah-gulana".

"Dia (PAS) kata beri kelebihan pada dia sebab isu royalti sebenarnya mereka gundah-gulana dengan pengaruh besar yang ada pada Tengku Razaleigh sebagai pemimpin parti yang cukup berpengalaman, sudah sebati dan sinonim dengan Gua Musang.

"Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat Melayu, Cina dan India kerana sudah biasa mengenalinya secara peribadi, soal isu royalti kita boleh jelaskan lebih-lebih lagi Tengku Razaleigh pastiya bukan sahaja faham tapi pakar dalam soal itu," katanya.

Muhyiddin berkata sebenarnya PAS sangat tertekan selepas mengetahui Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat yang dipilih sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Galas.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, daripada Pas di Kuala Lumpur pada Isnin lepas akibat barah usus. Dalam pilihan raya umum 2008, Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya parlimen Gua Musang daripada BN dengan majoriti 646 undi.

Selain Galas, dua lagi DUN yang terletak dalam Parlimen Gua Musang ialah Nenggiri dan Paloh. Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN akan meletakkan calon yang terbaik bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

Mengenai cadangan pembangkang supaya BN tidak meletak calon di Galas, Najib berkata: "Sukar bagi kita tidak bertanding. Mengikut amalan demokrasi, sesuatu kerusi bila kosong atas sebab kematian perlu diadakan pilihan raya kecil," katanya.

"Sekali saja kita tidak buat kerana bila sengaja dikosongkan kita rasa membazir dari segi kewangan," katanya merujuk kepada kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Bercakap kepada media selepas melawat pameran pertandingan reka bentuk hospital kerajaan di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini. Beliau berkata bagi kawasan Galas terdapat keperluan untuk menggantikan wakil rakyat bagi kawasan tersebut.

"Jika kita tidak bertanding maka rakyat di Galas tiada pilihan. Bila bertanding sekurang-kurangnya mereka ada pilihan sama ada mereka mahu BN atau PAS. Jadi itu amalan demokrasi yang sihat di negara kita."

Ditanya tentang pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya kecil itu dan tidak sebagai calon, Najib berkata, "Saya gembira bahawa beliau sedia dan beliau komited untuk bekerja keras bagi memastikan BN menang."

"Kita tidak mahu cakap mengenai calon pada peringkat ini. Saya masih tunggu senarai bakal calon. Saya tidak mahu ramal siapa bakal tetapi kita mahu letak calon yang paling sesuai," kata Najib.

Mengenai momentum yang dicipta parti pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya, Najib berkata, "Itu urusan mereka wujudkan ini dan adalah menjadi urusan kita untuk wujudkan momentum tersebut bagi pihak kita kerana kadangkala mereka wujudkan momentum yang palsu."

"Seperti yang anda tahu dua tahun lepas, mereka kata mereka akan tawan Putrajaya dan ia tidak berlaku. Kegagalan 16 September sama sekali di pihak mereka. Malah jangan lupa mereka boleh wujudkan semangat palsu bahawa perkara (pilihan raya) bergerak ke arah mereka (berpihak kepada pembangkang)."

"Tetapi apa pun, adalah penting untuk BN bekerja keras dan dapatkan keyakinan rakyat," kata Perdana Menteri.

~Bernama~

Umno hina Ku Li?

Posted: 02 Oct 2010 03:37 AM PDT

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan cadangan Tan Sri Muhyidin Yassin agar Tengku Razaleigh Hamzah dipilih sebagai calon BN di Galas adalah satu penghinaan kepada Ketua Umno Gua Musang itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, tindakan Umno itu juga adalah cubaan menghilangkan pengaruh Tengku Razaleigh yang dahulunya satu nama besar dalam sejarah Umno.

"Cadangan ini satu penghinaan kepada Ku Li selepas jadi menteri kini di minta duduk dalm Dun jadi Adun pembangkang pula," katanya.

Bagi beliau, nilai Razaleigh adalah jawatan Perdana Menteri dan tidak layak untuk jawatan yang lebih rendah daripada itu. Oleh itu, apabila Muhyidin mencadangkan beliau menjadi calon, ia bukan untuk kepentingan Ku Li tetapi menjaga kepentingan politik Umno semata-mata.

"Muhyidin ingat Ku Li boleh menyelamatkan maruah Umno tetapi dalam masa yang sama dia tidak sedar ini satu penghinaan kepada Ku Li," kata Hatta lagi.

Selepas dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil Dun Galas, Razaleigh dicadangkan menjadi calon pula. Ini kerana, kata beliau, Muhyidin yakin hanya Razaleigh yang boleh memenangkan Umno dalam pilihan raya kecil ini.

Sehingga kini, Razaleigh yang masih berada di luar negara belum memberi sebarang respons sama ada menerima cadangan berkenaan atau sebaliknya. Bagi PAS pula, mereka kini sudah mengenal pasti calon yang bakal diketengahkan dan senarai pendek calon akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa parti petang esok.

~harakah~

Ku Li calon Galas?

Posted: 02 Oct 2010 03:36 AM PDT

Pemuda Umno bahagian Gua Musang menyokong cadangan supaya ahli parlimennya, Tengku Razaleigh Hamzah diletakkan sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Ketuanya, Bazlan Baharuddin berkata, pemilihan Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, amat sesuai kerana beliau mempunyai penyokong yang ramai di kawasan tersebut.

Galas adalah antara tiga DUN dalam Parlimen Gua Musang yang diwakili Ku Li yang ketua Umno berkenaan. Dua lagi ialah Nenggiri dan Paloh yang dimenangi oleh BN.

Cadangan tersebut dibuat oleh ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian yang percaya Ku Li tokoh yang sesuai dengan keadaan politik semasa untuk memulihkan DUN Galas dan keyakinan rakyat kawasan itu kepada BN.

Anuar dilaporkan berkata, berdasarkan keupayaan Ku Li menjadi ahli parlimen Gua Musang selama lebih 30 tahun, cadangan itu wajar difikirkan oleh pucuk pimpinan parti demi masa depan rakyat Gua Musang dan Kelantan amnya.

Semalam, BN melantik Ku Li (kanan) ilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil tersebut yang bakal diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, kerana barah usus, 27 September lalu.

Dalam pilihan raya umum 2008, allahyarham memperoleh 4,399 undi menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi. Mohd Saufi memperolehi 3,753 undi. Dun Galas mempunyai komposisi kaum dengan majoriti Melayu seramai 6,200, Cina (1,900), India (170) dan Orang Asal (2,000).

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan PAS tentang Ku Li, Bazlan berkata, parti itu bertindak demikian kerana 'gelabah' dan takut dengan keupayaan Ku Li rampas semula kerusi tersebut dari PAS.

"Ku Li lebih arif tentang kawasannya. PAS hanya main sentimen sahaja. Mereka takut dengan keupayaan Ku Li merampas kerusi tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau juga menyifatkan tindakan PAS memainka isu royalti minyak "sebagai mendahului keputusan mahkamah".

Kerajaan negeri Kelantan, dengan ketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, telah memfailkan saman terhadap syarikat minyak negara, Petronas, untuk menuntut royalti minyak yang tidak dibayar sejak 2004.

Saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.

~MK~

Siapa pun pengarah pilihanraya Umno takut apa?

Posted: 02 Oct 2010 03:34 AM PDT

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menegaskan PAS memasuki pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas nanti tanpa mengira siapa yang menjadi pengarah jentera pilihan raya Umno BN.

"Yang kita concern dan usahakan sekarang ialah persiapan kita. Apabila kita lawan, kita bersiap, dan mereka bersiap, namun persiapan kita dilakukan dengan semaksimum mungkin, insya Allah.

"Persiapan kita adalah persiapan untuk berdepan dengan Umno BN dalam pilihan raya. Ini kerana kita merasakan asas demokrasi itu harus dilangsungkan dan kita serahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan," katanya.

Beliau turut mengulas dakwaan bahawa Umno BN akan menggunakan teori memperalatkan jentera kerajaan seboleh mungkin bagi mencapai kemenangan dalam PRK Dun Galas nanti.

"Dan tindakan itu sudah pun bermula. Jadi benda ni tidak pelik dalam konteks demokrasi politik yang ada di Malaysia ini.

"Namun walau pun mereka memperturunkan banyak 'pasukan keselamatan', itu benda yang kita tidak merasa hairan langsung, tidak langsung menghairankan kami," katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Malaysia Cawangan Kelantan di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), di sini petang tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menaruh keyakinan bahawa PAS mampu mempertahankan kerusi Dun Galas dalam pilihan raya kecil nanti.

Katanya, itulah perjuangan yang akan dilangsungkan sebagaimana dibuktikan PAS dalam banyak pilihan raya yang dimasukinya dengan memperlihatkan sokongan pengundi kepada Pakatan Rakyat (PR) terus meningkat.

Beliau yakin bahawa trak record PAS di Kelantan serta peranan yang dimainkan Allahyarham Chek Hashim Sulaima merupakan aset yang akan digunakan dalam pilihan raya kecil nanti.

"Ada banyak isu yang akan dibangkitkan nanti. Kita masuk pilihan raya itu dengan kekuatan yang ada pada kita, dengan trak record yang telah kita miliki, dengan penuh keyakinan, insya Allah, " tegasnya.

~harakah~

8 Faedah Seks kepada Kesihatan

Posted: 30 Sep 2010 09:45 AM PDT

Seks adalah salah satu kurniaan Tuhan yang sememangnya membawa kepada kebaikan jika DIAMALKAN SECARA BETUL. Oleh itu, seks hanya HALAL kepada pasangan yang sudah berKAHWIN. Terdapat beberapa faedah seks kepada kesihatan yang mungkin tidak pernah anda fikirkan.

1) Mengurangkan Berat Badan – Macam-macam alasan untuk bersenam? Jangan terkejut kalau seks juga dianggap sebagai senaman. Aktiviti seks boleh membakar sebanyak 75-150 kalori setiap setengah jam. Aktiviti seks hampir setara dengan senaman lain seperti yoga (114 kalori setiap setengah jam), menari (129 kalori setiap setengah jam) atau berjalan (153 kalori setiap setengah jam). Seks juga boleh membantu mengekalkan kekuatan otot anda kerana rangsangan seksual dan inzal menyebabkan badan anda mengeluarkan hormon testostron yang salah satu fungsinya ialah untuk membina dan mengekalkan tisu dan otot anda.

2) Tingkatkan Kesihatan Jantung – Penyakit jantung adalah antara penyakit yang paling banyak membunuh wanita. Bersenam, mengambil makanan yang berkhasiat, mengurangkan pengambilan garam, gula dan lemak merupakan cara untuk mendapatkan jantung yang sihat. Cara lain? Tentulah seks kerana ia merupakan senaman yang meningkatkan nadi serta pengaliran darah. Menurut kajian yang telah dilakukan, aktiviti seks sebanyak 1-2 kali seminggu boleh mengurangkan 2 kali ganda risiko serangan jantung.

3) Membantu Tidur lebih Nyenyak – Jika anda mengalami masalah untuk tidur di waktu malam, ia merupakan petanda anda mengalami tekanan atau stres. Pasangan yang kerap melakukan hubungan seks melaporkan, mereka dapat mengatasi tekanan dengan lebih mudah. Perasaan tenang selepas inzal membantu badan anda untuk berehat sepenuhnya. Berdasarkan laporan penyelidikan, ramai pasangan yang dapat tidur dengan mudah dan nyenyak sepanjang malam selepas melakukan hubungan seks.

4) Meningkatkan Sistem Imunisasi – Pelbagai penyakit yang berkait rapat dengan virus semakin meningkat akhir-akhir ini seperti selsema burung. Seks boleh menjadikan sistem imunisasi anda kuat. Menurut kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Wilkes University, Pennsylvania, individu yang melakukan hubungan seks 1-2 kali seminggu menunjukkan 30% peningkatan antibodi immunoglobulin A yang berfungsi meningkatkan sistem imunisasi. Pelik tapi menarik.

5) Meningkatkan Kesihatan Mental – Apakah cara yang paling mudah untuk meningkatkan mood dan melawan tekanan perasaan? Jawapannya mudah. Hubungan seks dalam keadaan yang HALAL dan penuh KASIH SAYANG! Secara psikologi, seks membantu meningkatkan kesihatan mental kerana intimasi dan kasih sayang yang terlibat membantu mengurangkan tekanan. Hasilnya, paras hormon kortisol akan menurun. Hormon kortisol dikeluarkan oleh badan akibat stres dan ia boleh meningkatkan risiko darah tinggi dan kencing manis.

6) Membantu Melegakan Kesakitan – Anda mungkin menukar penyataan "Malam ni tak boleh. Sakit kepala ni…" kepada "OK, malam ni jugak sebab I sakit kepala". Menurut pakar kesihatan, seks dapat melegakan kesakitan dengan pengeluaran hormon oksitosin yang merangsang penghasilan endorfin, pelega kesakitan. Betapa besarnya kuasa Tuhan!

7) Membantu Pengawalan Pundi Kencing – Mungkin agak pelik pada pendengaran anda, tapi seks dapat membantu pengawalan otot-otot pundi kencing anda. Pakar seks menyarankan senaman Kegel (kemutan otot pelvic) setiap hari dan sewaktu seks. Senaman ini bukan sahaja boleh meningkatkan rangsangan, tetapi juga menguatkan otot-otot yang terlibat dengan penyakit "incontinence" iaitu kurang pengawalan pundi kencing dan menyebabkan anda "tercicir" sewaktu bersin atau batuk. Cara senaman Kegel —-> Ketatkan otot pelvic anda sebagaimana anda menahan kencing. Tahan selama 3 saat dan lepaskan. Ulanglah sebanyak mana yang anda mahu.

8 ) Mencantikkan Kulit – Bolehkah seks menjadikan anda lebih cantik? Sudah tentu! Aktiviti seks akan menggalakkan badan anda mengeluarkan pelbagai hormon yang meningkatkan kesihatan keseluruhan termasuklah kulit anda. Semasa hubungan seks, badan anda kan menghasilkan hormon "dehydroepiandrosterone" yang berfungsi meningkatkan sistem imunisasi, mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesihatan kulit.

Walaupun terdapat pelbagai faedah kesihatan yang dikaitkan dengan seks, tetapi sekali lagi, ingin saya tekankan, naluri SEKS yang disalurkan melalui PERKAHWINAN adalah yang terbaik kerana ia HALAL, melibatkan perasaan kasih sayang yang suci dan akan mendapat PAHALA jika dilakukan dengan IKHLAS.

Hubungan seks di luar perkahwinan hanya membawa kepada rasa menyesal yang bertimpa-timpa dan tekanan jiwa yang kebiasaannya dialami oleh pihak WANITA. Akibatnya, pembuangan bayi yang tidak berdosa juga akan meningkat. Hanya sekadar luahan hati dari wanita yang bergelar isteri dan ibu.

12 Pesanan Buat Bakal Suami

Posted: 30 Sep 2010 09:44 AM PDT

Khusus kepada para lelaki yang merasakan sudah sampai masanya untuk mereka mendirikan rumahtangga dan bersedia untuk melayari bahtera kehidupan bersama pasangan masing-masing, dibekalkan sedikit pesanan dan nasihat yang dipetik daripada buku Rahsia di Sebalik Perkahwinan yang disusun oleh Ustaz Abdul Raof Dalip. Malah untuk lelaki yang sudah berstatus suami pun elok jugak, untuk buat 'check and balance'.

Pesanan Untuk Suami:

1. Suami itu raja bagi isi rumahnya dan isteri itu permaisuri dan sekalian yang ada di dalam rumah ialah tanggungannya dan rakyatnya. Oleh itu dialah yang menanggung segala hal rumahnya sama ada baik atau jahat di hadapan Tuhan kelak.

2. Suami jangan menampakkan sifat terlalu cemburu kepada isteri atau kepada anak-anak kerana yang demikian itu boleh menerbitkan helah dan tipu daya yang sulit bagi memperdayakannya dan jangan pula cuai sehingga tidak tahu apa yang berlaku di dalam rumahnya. Sebaik-baik peranan ialah sikap sederhana.

3. Tidak patut bagi suami menceritakan segala hal atau membuka rahsianya kepada isteri kerana semangat perempuan biasa lemah dan mudah terperanjat. Perkara-perkara dan hal-hal yang difikirkan itu dapat ditanggung atau disimpannya bersama.

4. Suami itu penguasa dan pemimpin perempuan. Oleh itu hendaklah is menjalankan kuasanya sebagai ketua dan pemimpin isi rumah dan janganlah perempuan menjadi ketua dan berkuasa di atas suami. Junjungan kita Sayidina Muhammad SAW mengatakan bahawa umat dan kaum di bawah pimpinan perempuan tidak akan berjaya dan berbahagia.

5. Suami hendaklah memelihara isteri dengan baik dan bijaksana, kerana perempuan ialah amanah Allah SWT kepada lelaki dan sebarang lelaki yang telah berkahwin tentulah telah mengaku sanggup memelihara isteri dengan seberapa sempurna. Janganlah biarkan isteri itu begitu sahaja atau dibawa ke tempat-tempat hiburan yang akan mencemarkan nama dan maruah dan merosakkan perangainya.

6. Hendaklah suami sentiasa menggembirakan hati isteri dengan berbagaibagai cara dan gaya sama ada dari segi perkataan (budibahasa) dan mans muka serta selalu membawa buah tangan terutama semasa pulang daripada luar negara kerana semua hadiah-hadiah kepada anak isteri itu menambahkan kasih sayang. Bahkan mendapat pahala.

7. Janganlah suami suka meninggalkan rumah hingga jauh malam atau suka mengajak sahabat-sahabat makan di kedai-kedai kerana yang demikian mengaibkan nama isteri dan membanyakkan belanja.

8. Hendaklah suami menahan sabarjika kena leteran isteri kerana perempuan itu berat pekerjaannya iaitu menyelenggara rumahtangga, mencuci kain baju, menyediakan makan minum, mengandung dan bersalin, kemudian mengasuh anak-anak.

9. Hendaklah suami kasih dan ikhlas kepada isteri bukan berkahwin kerana harta atau cantik semata-mata. Kerana jika tidak dapat wangnya atau apabila hilang kecantikkannya, tentu suami akan renggang daripada isteri dan hilang kebahagiaan bahkan boleh mengakibatkan perceraian.

10. Jangan burukkan perangai isteri di hadapan orang lain. Perbuatan yang demikian menunjukkan kurang adab.

11. Sekiranya suami mendengar aduan mengenai hal isterinya, hendaklah is bercermat serta jangan tergopoh gapah menyangka jahat terhadap isterinya. Hendaklah selidik dengan sehabis-habis cermat dan halus. Kemudian barulah membuat keputusan. Tetapi jangan pula dibiarkan begitu sahaja dengan tidak mengendahkan hal itu sama sekali supaya jangan termasuk ke dalam sifat dayus kerana orang yang bersifat dayus tidak masuk syurga.

12. Jangan sekali-kali menampakkan sesuatu kejahatan (jika tercebur ke dalamnya) kepada isteri dan anak-anak kerana dikhuatiri kejahatan itu akan ditiru oleh mereka ataupun mereka akan memandang rendah kepadanya.

Jika semua para bakal suami dan suami-suami yang dah ada dapat memahami pengertian tips
ini, Insya Allah rumah tangga akan bahagia, untuk esok kita kongsikan pula peranan dan pesanan buat para isteri dan bakal-bakal isteri.

13 Pesanan Buat Bakal Isteri

Posted: 30 Sep 2010 09:39 AM PDT

Perkahwinan adalah perkongsian sebuah pelayaran hidup bersama pasangan yang di cintai, maka sebaiknya berusahalah mengekalkan haluan bahtera sebagaimana yang diharapkan.

Pesanan Untuk Isteri:

1. Hendaklah isteri ingat bahawa dirinya (perempuan) itu dijadikan oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana untuk lelaki. Lelaki dijadikan menguasai perempuan dan menjadi pemimpin baginya. Oleh itu tidak patut bagi seorang perempuan berfikiran atau bercita-cita hendak menguasai dan menundukkan suami dalam segala hal.

2. Hendaklah ia bekerja dan berusaha dengan seberapa daya untuk menambat dan menggembirakan hati suami supaya suami cinta dan sayang kepadanya dengan berkekalan. Setengah ikhtiar itu ialah: Manis muka, Halus perkataan, Bersolek setiap hari dan waktu dan Bersikap manja di hadapannya.

3. Isteri hendaklah memerhatikan tabiat suami tiap-tiap hari tentang kesukaan dan kebenciannya. Apa-apa kesukaannya disempurnakan oleh isteri dan apaapa kebencian ditinggalkan.

4. Jangan banyakkan permintaan atau memberati suami dalam perkara yang tidak dapat menyempurnakannya apatah lagi jika ia tidak mampu kerana perbuatan demikian merunsingkan suami.

5. Jangan sekali-kali meninggalkan rumah tanpa izin suami atau melanggar perkara yang tiada gemar dan jangan pula suka membantah jika disuruh. Apabila disuruh eloklah dilaksanakan.

6. Isteri hendaklah sentiasa ada di rumah ketika suami pulang dari kerja, melainkan kerana terpaksa atau ada hajat besar dan bila-bila suami batik hendaklah disambut dengan balk dan bersolek pula.

7. Janganlah pergi mendapatkan bomoh, pawang, tukang sihir atau tukang tilik untuk memperlihatkan hal suami atau menambat hatinya. Ini semua berdosa serta membuang wang dan membazir.

8. Jangan suka menceritakan kecantikkan perempuan lain atau memuji-muji anak isteri orang lain di hadapan suami apatah lagi memburuk-burukkan mereka kerana memuji perempuan lain itu mungkin membukakan pintu nafsu suaminya kepada perempuan lain. Manakala mengeji atau memburukkannya pula dikhuatiri kalau-kalau perempuan itu kerabat suami.

9. Hendaklah cermat dalam perbelanjaan hari-hari. Umpamanya jika diberi belanja untuk seminggu, janganlah habiskan kesemuanya. Bahkan hendaklah disimpan sedikit. Wang simpanan itu jangan pula dibelanjakan untuk perkara yang tidak penting bahkan untuk persiapan atau persediaan apabila datang kesusahan kerana barang siapa bercermat akan terselamat daripada kepapaan.

10. Jangan suka berhutang. Jika terpaksa sebaik-baik beritahu suami dan hutang itu ialah kerana muslihat rumahtangga dan bukan muslihat diri sendiri.

11. Jangan ceritakan perbelanjaan harian sama ada banyak atau sedikit kepada orang lain.

12. Hendaklah makan minum untuk suami sama ada di sebelah pagi, tengah hari dan malam disediakan pada waktunya. Jangan sampai diminta atau disuruh, supaya tidak tergendala pekerjaan suami.

13. Hendaklah suami dan isteri menjaga kesihatan dengan seboleh-bolehnya dengan melakukan senaman dan jaga makanan dan minuman, jaga kebersihan dan jaga perasaan yang tenteram.
Jika semua nasihat itu disempurnakan oleh para suami dan isteri, insyaAllah rumahtangga dan pergaulan suami isteri akan berada di dalam aman dan bahagia.

Warga emas pulang wang 'haram' hanya sandiwara

Posted: 30 Sep 2010 09:34 AM PDT

Tindakan sekumpulan warga emas yang memulangkan semula wang bantuan RM100 setiap seorang kepada kerajaan Pulau Pinang hanyalah satu sandiwara, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim.

Beliau berkata, ada kemungkinan warga emas yang memulangkan wang ehsan itu tidak mendaftar lagi dalam sistem yang disediakan oleh kerajaan negeri dan mereka mungkin dipengaruhi oleh sesetengah pihak.

"Mungkin ada pihak yang telah mendesak mereka," katanya bagi mengulas tindakan 40 warga emas memulangkan semula wang bantuan daripada kerajaan negeri itu kerana wang itu dikatakan daripada sumber judi lumba kuda.

Isu status wang itu didedahkan oleh sebuah blog yang mendakwa ia dari sumber judi, dan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penerima beragama Islam.

Isu hangat

Abdul Malik berkata, wang itu bukan daripada hasil judi sebaliknya hasil yang diperoleh kerajaan negeri daripada amalan perbelanjaan berhemah sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri.

Pemberian wang ehsan kepada warga emas itu menjadi hangat apabila akhbar arus perdana yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda negeri itu untuk disalurkan ke program membasmi kemiskinannya.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng bagaimanapun menafikan laporan berkenaan dan berkata wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda itu diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

Lim berkata Umno cuba meneruskan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

"Selepas gagal membuktikan program penghargaan warga emas terbabit dengan hasil judi haram, Umno pula cuba mengalihkan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program rakan anti-kemiskinan (RAK) membasmi miskin tegar datangnya dari sumber judi haram. Bukti Umno adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang," kata Lim.

Menurut beliau, wang derma RM2 juta itu telah disahkan oleh pegawai kewangan negeri, Datuk Farizan Darus bahawa ia telah diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

Tidak haram

Mengulas perkara yang sama, bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula dua hari lalu berkata wang yang diterima daripada bantuan kewangan kerajaan yang hasilnya diperolehi dari sumber perjudian adalah tidak haram.

"Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram. Sebabnya mereka bukan berjudi, mereka mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi," katanya.

Menurut Dr Asri, kesalahan ditanggung oleh kerajaan dan syarikat judi.

"Sama dengan mereka yang mendapat gaji dari kerajaan atau penjual yang menjual makanan lalu dibayar dengan wang judi. Wang itu halal kerana dia tidak berjudi tetapi berniaga makanan."

~MK~

Tiada tindakan terhadap Zaid Ibrahim

Posted: 30 Sep 2010 09:33 AM PDT

PKR menegaskan tidak ada sebarang arahan dikeluarkan bagi mengambil tindakan disiplin terhadap Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim. Menurut biro politiknya, mereka juga tidak menerima sebarang aduan berhubung bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, biro yang dipengerusikan presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut "menyangkal fitnah dan maklumat palsu berkenaan perkara ini." Bagaimanapun, masih tidak jelas apakah "perkara ini" yang dimaksudkannya.

Mengulas berhubung perjalanan proses pemilihan cabangnya negara setakat ini, biro berkenaan juga meminta jawatankuasa pemilihan pusat PKR segala aduan keganasan, kekecohan dan tindakan liar yang melanggari kod tatalaku pemilihan bagi tujuan menggagalkan mesyuarat .

"Jawatankuasa pemilihan pusat mempunyai kuasa untuk membuat keputusan serta mengambil tindakan displin berkenaan penglibatan anggota-anggota tersebut dalam proses pemilihan parti termasuk mengundi, menjadi calon mahupun berkempen," kata biro itu.

Kenyataan itu juga menjelaskan, PKR akan mengkaji kes-kes mana-mana calon dan anggota yang memburukkan parti serta pimpinannya melalui media selepas kalah dalam pemilihan.

~MK~

Mana Nak Sorok Muka Kalau Kalah

Posted: 30 Sep 2010 09:31 AM PDT

Tindakan timbalan perdana menteri yang juga timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yaasin menyerahkan jentera pilihan raya kecil dewan undangan negeri Galas dianggap sebagai "lari daripada tanggungjawab", kata naib presiden PAS, Salahudin Ayub.

Katanya, telah menjadi kelaziman bagi BN meletakkan tanggungjawab pengarah pilihanraya di atas bahu timbalan perdana menteri tetapi kali ini, Muhyiddin menyerahkan beban itu untuk digalas oleh Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

"Kenapa Umno lari daripada norma biasa di mana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin, yang mana (beliau) akan menjadi pengarah pilihan raya setiap kali pilihan raya kecil berlaku bagi BN.

"Kali ini kenapa dia (Muhyiddin) lari. Mana janjinya untuk jambatan di Manek Urai. Mana janji dia untuk memberikan sumbangan untuk warga tua di Manek Urai. Ke mana dia lari?" katanya dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Salahudin berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung keputusan BN melantik Tengku Razaleigh mengetuai jentera BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaiman Isnin lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim menewaskan calon BN Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.


Calon PAS itu mendapat 4,399 undi menewaskan Mohd Saufi yang memperolehi 3,753 undi.

Majoriti pengundi di kawasan ini terdiri daripada seramai kira-kira 6,200 pengundi Melayu, diikuti 2,000 Orang Asal, 1,900 pengundi Cina dan juga India (170).

Pada sidang media itu juga, Salahudin berkata PAS tidak menghadapi masalah walaupun ketua Umno Gua Musang yang mesra dengan panggilan 'Ku Li' itu akan mengetuai jentera pilihan raya kecil BN.

Ini kerana, dakwanya, parti itu mempunyai hubungan "sangat akrab" dengan ahli parlimen Gua Musang berkenaan kerana puteran raja tersebut pernah dan sedang bersama-sama PAS memperjuangkan isu royalti minyak di Kelantan.


Bagaimanapun, Salahudin turut mengingatkan supaya ahlinya tidak meremeh dan merendah keupayaan jentera pilhan raya lawan untuk mempertahankan DUN tersebut.

Menurutnya, PAS akan menghadapi "cabaran yang cukup besar".

"Jentera pilihan raya parti perlu bersiap sedia. Jangan ada (ahli) yang terlalu yakin, (dan) rasa selesa untuk menghadapi pilihan raya. Tingkatkan keupayaan dan komitmen untuk mengadapi pilihan raya. Kita perlu menghadapinya dengan penuh kebjaksanaan," katanya.

Katanya, PAS pusat akan bermesyuarat bagi membincangkan persediaan parti itu termasuk melantik pengarah pilihan rayanya yang akan diumumkan dengan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan akan diadakan di Pusat Khidmat DUN Gombak Setia Ahad ini jam 3 petang.

~MK~

Pelantikan Ku Li lebih efektif jejas undi BN

Posted: 30 Sep 2010 09:31 AM PDT

Para penganalisis berpendapat, pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai jentera BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas bergantung kepada peranan yang bakal dimainkan oleh veteran Umno itu.

Seorang pemerhati politik berkata, Tengku Razaleigh yang juga wakil rakyat bagi kawasan parlimen itu akan memberikan kelebihan kepada PAS berdasarkan keadaan semasa.

"(Tengku Razaleigh) lebih efektif dalam menjejaskan undi BN, bukannya menarik lebih banyak undi," katanya pensyarah fakulti ekonomi dan sains polisi UCSI Ong Kian Ming.

Jelasnya, perkara itu dilihat apabila Tengku Razaleigh giat bercakap mengenai isu royalti minyak dan ini membuka peluang kepada serangan oleh PAS kerana BN tidak banyak membuat penjelasan mengenai isu berkenaan.

"Kalau (Razaleigh) bijak, dia boleh (pengaruhi) BN atau Umno supaya bersetuju untuk menyemak semula pendirian mereka tentang isu royalti minyak," katanya lagi.

Bagaimanapun, timbalan presiden BN Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat perkiraan yang baik dengan melantik Tengku Razaleigh ke jawatan tersebut, katanya.

"Ia juga akan beri sedikit perlindungan kepada Muhyiddin sekiranya BN tewas," katanya lagi.

Bagi penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Mohammad Agus Yusoff pula berkata, 'faktor Ku Li' tetap memainkan peranan dalam pilihan raya kali ini.

"Ia bergantung kepada (ruang) autonomi yang diberikan kepadanya untuk mengetuai (jentera pilihan raya). Kalau hanya 'pengarah kosong', dia masih boleh boikot kalau dia mahu," kata Agus.
Katanya, pilihan raya kali ini bukan saja penentu untuk sokongan Umno di Galas, tapi juga kepada Tengku Razaleigh sebagai wakil parlimen Gua Musang.

"Dia sangat berpengaruh (sebab) itu kan kawasan dia?" katanya dan menambah Tengku Razaleigh kini perlu menjelaskan pendiriannya dalam dasar-dasar kerajaan.

Menurutnya, Tengku Razaleigh mempunyai pandangan berbeza berhubung isu-isu dasar dan pilihan raya kali ini merupakan peluang untuk veteran Umno itu menjelaskan pendiriannya.

Tengku Razaleigh yang masih berada di luar negara setakat ini masih berdiam diri sama ada akan menerima jawatan tersebut walaupun timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan sebaliknya.

Beliau dijangka kembali negara ini pada 9 Oktober depan.

~MK~

Siswa berdemo sokong 'Nah'

Posted: 30 Sep 2010 09:27 AM PDT

Kira-kira 100 mahasiswa Kolej New Era di Kajang hari ini berhimpun bagi menuntut pentadbiran universiti itu menarik balik pembatalan program Namewee di tempat mereka malam semalam.

Kumpulan yang dipimpin oleh majlis perwakilan mahasiswa dan persatuan pengajian medianya antaranya bagi menyatakan sokongan kepada penyanyi rap dan pengarah filem kontroversi itu. Mereka mempertikaikan tindakan kolej berkenaan yang membuat pembatalan mengejut itu tanpa mendapatkan sebarang pandangan daripada mahasiswanya.

Kolej New Era tidak memaklumkan keputusan pembatalan itu sebelum membuat kenyataan kepada pihak media, dakwa mereka.

Malaysiakini difahamkan kedua-dua pihak, mahasiswa dan pentadbiran kolej milik Dong Zong - NGO pendidikan Cina terbesar masih belum membuat keputusan berhubung tindakan seterusnya.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah semua pihak - pelajar, Namewee dan juga PERKASA bersemuka dan berdialog bagi mencari jalan penyelesaian.

Kolej itu pagi semalam membatalkan persembahan Namewee di kampus Kajang ekoran hasrat PERKASA untuk 'mengekori' ke mana saja penyanyi rap kontroversi itu mengadakan siri jelajahnya.

Siri jelajah itu diadakan sempena 'Nah' - tajuk video terbaru Namewee yang menyentuh mengenai isu perkauman di negara ini yang membabitkan beberapa pengetua sekolah yang menghamburkan kata-kata perkauman kepada masyarkat Cina dan India. Bagaimanapun bahasa yang digunakan dalam videonya itu dikatakan tidak bersesuaian dan menghina orang Melayu.

Dalam satu kenyataan, kolej itu menjelaskan tindakan itu diambil kerana mereka tidak gembira dengan insiden yang berlaku di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) sebelum ini.

Kelmarin, perkarangan KLSCAH kecoh dengan kehadiran kira-kira 50 orang anggota PERKASA bagi membantah tindakan Namawee yang melancarkan albumnya. Beberapa orang daripada mereka membawa sepanduk PERKASA, bendera Malaysia dan membakar gambar Namewee.

PERKASA semalam 'mengisytiharkan' perang terhadap penyanyi rap dan pengarah filem kontroversi Namewee selepas album sulungnya dilancarkan beberapa hari lau.

Ketua Wira NGO itu Arman Azha Abu Hanifah berkata, sebagai "panglima perang dan hulubalang Melayu" mereka akan sedia mengekori ke mana saja Namewee mengadakan siri jelajah dan persembahannya selepas ini.

"Kami sambut (siri jelajahnya) dengan tangan terbuka. Kalau dia buat konsert di dalam (dewan), kita akan 'berkonsert' di luar," katanya ketika diminta mengulas rancangan terbaru artis muda itu.

~MK~

Pemuda PAS mohon Sultan bertindak

Posted: 30 Sep 2010 02:44 AM PDT

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor memohon perkenaan Sultan Sharafuddin Idris Shah agar mengambil tindakan setimpal ke atas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa kerana telah terlibat dalam program yang mempunyai unsur politik kepartian pada 10 Julai lalu.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, program tersebut dinamakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Gotong Royong Perpaduan Bersepadu Felda Soeharto Hulu Selangor yang diadakan di masjid tersebut yang dihadiri Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan a/l P Panchanathan.

Katanya, tindakan Mohamad Adzib itu bercanggah dengan arahan yang dipaparkan di masjid-masjid di Negeri Selangor di mana arahan tersebut ditandatanganinya sendiri.

Di samping itu, tindakan itu menjejaskan imej Mais dalam mana pengerusinya sendiri mengkhianati arahan tidak mempolitikkan masjid yang telah dikeluarkan.

Selain itu, katanya ia menjejaskan kredibiliti Mais dan institusi kesultanan yang merupakan mercu kuasa dalam hal yang berkaitan dengan agama Islam, menampakkan layanan berpilih-pilih di pihak Mais dan Jais.

"Bila melibatkan anggota Pakatan Rakyat, tindakan tegas diambil serta merta, bila melibatkan Umno BN tiada tindakan diambil, seolah-olah wujud 'double standard' dan 'cover-up'," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, dikhuatiri tindakan Mohamad Adzib itu melunturkan keyakinan masyarakat Islam khasnya terhadap institusi yang memayungi agama Islam seperti Mais.

Ini, ujarnya, menyebabkan ahli dan penyokong PAS, anggota-anggota Pakatan Rakyat serta rakyat yang ingin melihat Mais dilonjakkan sebagai institusi yang bermartabat kecewa dan tersinggung dengan tindakan pengerusi Mais itu.

Ekoran itu, timbalannya, Ahmad Zaidy bersama kepimpinan dewan itu menyerahkan memorandum berkenaan kepada Sultan Selangor di Istana Mestika, di sini, hari ini.

~harakah~

Tiada ulasan: