Isnin, 27 September 2010

SharpShooter

SharpShooter


Anasir luar parti cuba sabotaj pemilihan Keadilan

Posted: 27 Sep 2010 01:23 AM PDT

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) merumuskan permasalahan yang berlaku di beberapa cabang tertentu semasa proses pemilihan minggu lepas berpunca daripada tindakan subversif kumpulan individu bukan anggota parti yang mahu memberi tanggapan negatif terhadap keupayaan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) untuk mengendalikan pemilihan.

Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution Ismail berkata JPP sedang menyemak dan meneliti laporan terperinci yang dikemukakan pengawas pemilihan yang bertugas semasa pemilihan di cabang-cabang terbabit.

Di samping itu, JPP katanya akan menimbang aduan dan rayuan dari anggota parti bersangkutan proses pemilihan dan perjalanan mesyuarat agung tahunan cabang (MATC).

"Satu perkara yang amat memberangsangkan ialah keghairahan luar biasa anggota parti untuk mengambil bahagian aktif dalam proses pemilihan parti, meskipun KEADILAN baru memperkenalkan sistem pemilihan langsung sebagai langkah memperkasakan demokrasi di dalam parti.

"Kita yakin natijah pelaksanaan kaedah "One Person One Vote" adalah satu keputusan yang tepat lagi mengukuhkan parti dari segi jangka panjang dalam proses pendidikan demokrasi kepada rakyat," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat parti di Tropicana pagi tadi.

Saifuddin juga mengesahkan terdapat elemen atau anasir luar parti yang melakukan tindakan provokasi seperti memecahkan peti undi, menabur kertas undi dalam hujan dan seterusnya beredar dari lokasi pemilihan.

"JPP mengesahkan wujudnya elemen provokasi, apa yang berlaku, sama sahaja coraknya, iaitu ambil kotak undi, pecahkan dan kemudiannya tabur kertas undi dan beredar tinggalkan dewan mengundi. Itu yang berlaku di Klang dan di Kapar, coraknya sama.

"Selepas kita tengok 'footage video' kejadian itu berulangkali, kita mensyaki dan kita mempunyai sebab mempercayai bahawa tujuannya hanya untuk provokasi," jelas beliau.

Beliau juga menyanggah dakwaan sesetengah calon yang bertanding kononnya JPP tidak bertindak adil dan cuba menyebelahi calon yang merupakan ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri.

"Kita dengar dakwaan itu, kalau benar dakwaan itu, YB Telok Kemang tidak kalah, YB Elizabeth juga tidak akan kalah, YB Lim Soo Nee di Kulim juga tidak akan kalah atau pun pemimpin yang lebih senior seperti Mustaffa Kamil Ayub pun tidak akan kalah kerana JPP akan tolong mereka.

"Antara dakwaan dan realiti, ternyata berbeza, ada ahli yang berhormat menang dan ada juga yang kalah, jadi dakwaan kononnya JPP mengambil sikap berpihak dengan sendirinya tertolak," tegasnya lagi.

Sehubungan itu Saifuddin berkata JPP memberi jaminan akan cuba meminimumkan permasalahan berkaitan proses pimilihan apabila 39 cabang mengadakan mesyuarat agung hujung minggu ini.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan kepada media, daripada 166 cabang yang mengadakan MATC, 96 peratus atau 159 cabang telah berjaya menyempurnakan mesyuarat agung dan pemilihan pimpinan cabang masing-masing.

Manakala 7 cabang daripada jumlah tersebut tidak berupaya meneruskan proses pemilihan dan mesyuarat agung ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan diputuskan oleh JPP.

Ini termasuk cabang-cabang Klang, Kapar, Petaling Jaya Selatan, Kuala Langat, Jerai, Merbok dan Kuala Nerus.






* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

umno judi..judi umno...macam isi dgn kuku..

Posted: 26 Sep 2010 11:30 PM PDT



Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada usaha terbaru Umno yang cuba mahu mengganggu-gugat program penghargaan warga emas dan menjaga kebajikan rakyat menerusi fitnah berterusan, kata Ketua Menterinya Lim Guan Eng.

Lim menegaskan Umno sekali lagi meneruskan tohmahan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mendakwa program penghargaan warga emas dibiayai oleh sumber judi haram dan bila ini dibuktikan palsu, mereka mengalih kepada program Rakan Anti Miskin (RAM) untuk membasmi miskin tegar.

"Taktik jahat seribu jahat bertujuan menggagalkan program ini daripada kerajaan berjiwa rakyat PR yang bermanfaat rakyat," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada usaha Umno mengganggu-gugat program penghargaan warga emas yang membayarkan RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun.

"Sehingga sekarang hampir 110,000 warga emas di Pulua Pinang telah mendaftarkan diri dan akan mendapat bayaran RM100 setiap tahun demi mengenang budi atas sumbangan warga emas," kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sabtu lalu, Lim menafikan dakwaan Pemuda Umno bahawa dana dari kelab lumba kuda digunakan sebagai sumber wang ihsan RM100 bagi warga emas negeri itu.

Sehubungan itu tegas beliau, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sehari sebelum itu sebagai "satu pembohongan."

Menurut Reezal, pihaknya mempunyai sepucuk surat, didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Kira-kira seminggu itu beliau mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.

Sehubungan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menurut Lim lagi, si waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM 1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia.

Sebanyak RM20 juta telah pun diperuntukkan untuk program ini dalam Belanjawan 2010.

"Wang yang dibayar oleh kerajaan negeri untuk program ini tidak datang daripada mana-mana derma atau sumber kerajaan persekutuan.

"Ia adalah penjimatan hasil urus tadbir CAT dan telus serta langkah antirasuah yang bukan sahaja dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga disanjungi oleh badan antarabangsa antirasuah terunggul, Transparency International," katanya lagi.

Urus tadbir CAT dan langkah antirasuah telah membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan yang paling besar dalam sejarah sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta tahun lalu.

"Oleh itu, tidak wujud langsung program ini dibiayai oleh sumber luar.

"Keseluruhan kos program ini dibiayai sepenuhnya oleh hasil lebihan belanjawan," kata Lim sambil menambah, dengan kata lain program penghargaan warga emas adalah dividen antirasuah yang dapat dinikmati oleh rakyat kerana mempunyai sebuah kerajaan negeri yang bersih dan tidak makan duit.

"Ini bukan kali pertama program ini diserang kerana sebelum ini BN pernah mendakwa bahawa pemberian RM100 kepada warga emas adalah serupa bagi rasuah.

"Untuk BN, bagi wang sama rakyat adalah rasuah tetapi lain pula bagi wang ke dalam kocek sendiri.

"Sekiranya kerajaan negeri tak makan duit maka rakyat boleh dapat duit," katanya lagi.

Lim menambah, Umno jangan harap boleh mengganggu-gugat program dividen antirasuah RM100 setiap tahun kepada warga emas dengan fitnah dan tohmahan.

"Program Rakan Anti Miskin membasmi miskin tegar di Pulau Pinang tetap diteruskan," katanya lagi.

Selepas gagal membuktikan program penghargaan warga emas terbabit dengan hasil judi haram, dakwa Lim, Umno pula cuba mengalikhan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program RAM membasmi miskin tegar datangnya daripada sumber judi haram.

"Bukti Umno adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

"Program RAM adalah inisiatif murni kerajaan negeri PR untuk membasmi miskin tegar di kalangan keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM400 sebulan di Pulau Pinang dan memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

'Menerusi RAM, kerajaan negeri Pakatan telah berjaya membasmi miskin tegar dalam tempoh masa setahun sahaja, apa yang tidak dapat dilakukan oleh BN dalam 51 tahun," kata beliau lagi.

Menyedari tentang sensitiviti wang derma daripada Kelab Lumba Kuda untuk orang Islam, Lim juga menjelaskan bahawa ia diasingkan dan tidak diberikan kepada orang Islam tetapi hanya kepada orang bukan Islam.

"Malah Pegawai Kewangan Negeri Dato Farizan Darus telah mengesahkan kepada saya semalam bahawa wang derma RM2 juta ini daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

"Perlu diingati bahawa ada juga orang bukan Islam yang miskin tegar, bukan semua bukan Islam kaya macam pemimpin BN," katanya.

Oleh itu soal Lim, adakah salah untuk menyalurkan wang derma ini kepada orang bukan Islam?

"Bukankah lebih salah dan haram untuk Umno luluskan lesen judi bola?

"Atau adakah Umno dendam sama Kerajaan negeri Pulau Pinang yang merupakan negeri pertama mengharamkan judi bola dan sekali gus merosakkan rancangan baik Umno untuk membenarkan lesen judi bola di Malaysia?

"Yang jahat pula tuduh orang lain," kata beliau lagi.

Lim menambah, memang BN dan Umno iri hati atas kejayaan kerajaan negeri membasmi miskin tegar dan program penghargaan warga emas.

"Walaupun terus difitnah, kerajaan negeri tidak akan berganjak atau tunduk langsung ke atas anasir jahat ini yang mahukan dua program ini dihentikan," kata beliau lagi.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Keadilan sentiasa bersama Mahasiswa

Posted: 26 Sep 2010 10:34 PM PDT

Setelah membuat keputusan untuk memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, saya telah meletakkan seluruh pengharapan saya kepada sistem perundangan dan penghakiman negara ini. Hal ini berikutan ketidak adilan dan kezaliman yang berlaku terhadap saya dan 3 orang teman yang lain.

Justeru pada hari esok, Selasa, 28hb September 2010, pada jam 2 petang – adalah hari keputusan dan penghakiman terhadap kes kami 'UKM 4'. Dengan pengharapan yang besar, kami berempat akan hadir ditemani keluarga dan sahabat terdekat ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan kes berkenaan. Inshaallah, kami berempat telah bersedia dan akan terus tabah menghadapi sebarang kemungkinan.

Pada pandangan saya, kes 'UKM4' bukan hanya isu dan pengalaman ketidak adilan yang berlaku terhadap kami berempat, tetapi juga kes yang melibatkan seluruh mahasiswa dan anak muda Malaysia.

Kes 'UKM4' juga bukanlah sekadar kes untuk mahasiswa menuntut hak dan kebebasan berpolitik, tetapi kes ini adalah perjuangan seluruh anak muda dan mahasiswa bagi mendapatkan hak dan kebebasan untuk berakademik, hak dan kebebasan untuk bergerak, hak untuk bersuara dan menyatakan pandangan, juga hak untuk berpolitik.

Hal ini jugalah yang berlaku kepada kami berempat –mahasiswa Sains Politik, yang dilarang turun ke lapangan pilihan raya, untuk mendapatkan ilmu yang praktik tentang politik. Juga dibataskan pergerakan kami dengan tidak boleh berada di kawasan pilihan raya atas sebab kami adalah mahasiswa.

Seluruh hak dan kebebasan ini telah dirampas oleh institusi yang dinamakan universiti. Hal ini jugalah yang dilihat oleh para mahasiswa, ahli akademik dan rakyat Malaysia sebagai perkara yang membantutkan pencapaian dan prestasi mahasiswa yang seharusnya lebih baik. Oleh yang sedemikian, saya menyeru seluruh anak muda dan mahasiswa, atas nama 'student unity' untuk terus berjuang mempertahankan hak dan kebebasan kita yang sepatutnya.

Saya dengan yakin dan percaya bahawa keadilan sentiasa bersama mahasiswa.

Terima kasih,

Hilman Idham,
Presiden,
Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).





* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Nazri cabar Perkasa dedah rahsianya.

Posted: 26 Sep 2010 07:16 PM PDT


Ibrahim mendakwa beliau "mengetahui DNA" pemimpin-pemimpin Umno yang membidas Perkasa. —

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Datuk Seri Nazri Aziz, yang secara konsisten mengkritik Perkasa dan kepimpinannya, mencabar Datuk Ibrahim Ali, yang memberi amaran kepada tiga pemimpin kanan Umno termasuknya dirinya, supaya mendedahkan apa saja rahsia yang beliau dakwa ada sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini menegaskan, ugutan Ibrahim kelmarin sama sekali tidak membimbangkannya, sebaliknya tindakan wakil rakyat Bebas itu memperkuatkan beliau dalam menentang sikap "rasisme" yang dibawa oleh Perkasa.

"Saya mahu Ibrahim Ali mendedahkan apa saja rahsia yang beliau ada tentang diri saya. Saya mencabar beliau.

"Lebih baik beliau mendedahkan secepat mungkin kerana saya akan terus menyerang Perkasa dan saya akan terus melawan beliau," kata Nazri

Di Pasir Mas kelmarin, Ibrahim memberi amaran kepada tiga pemimpin Umno supaya tidak lagi mempersoalkan perjuangan pertubuhan Melayu itu yang ditubuhkan dua tahun lalu untuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut adalah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Nazri dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut pernah mendakwa Perkasa boleh menjadi punca kepada BN kehilangan sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.

"Saya kenal siapa mereka, mereka sepatutnya tidak salahkan Perkasa," kata beliau sambil mendakwa, "Saya tahu DNA mereka."

"Kalau saya dedahkan nanti, jadi berperang pula," kata Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

"Jadi lebih baik cukup sampai di sini sahaja," katanya.

Nazri kelihatan lantang dalam menzahirkan pendiriannya sejak kebelakangan ini berhubung tindak tanduk Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan dua tahun lalu, menghakis sokongan Barisan Nasional (BN) khususnya di kalangan bukan Melayu.

Bagaimanapun Ibrahim dalam perhimpunan Perkasa di Pasir Mas kelmarin juga mendakwa pandangan ketiga-tiga pemimpin Umno itu berbeza daripada pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden mereka.

"Adakah Ibrahim Ali tahu apa itu konsep 1 Malaysia? Jika kita bercakap dalam bahasa yang sama seperti Perdana Menteri, jadi mengapa kami menyokong konsep 1 Malaysia? Bagaimana, beliau lebih mengetahui berbanding saya? Tolong lah," kata Nazri.

Ahli Parlimen Padang Rengas ini berkata Ibrahim, bekas ahli Umno, memerlukan penelitian realiti untuk memahami siapa dalam kerajaan dan siapa yang memimpin pertubuhan bukan kerajaan.

"Siapa dalam Kabinet? Siapa yang menganggotai Majlis Tertinggi, dan siapa dalam Umno? Sudah tentu bukan Ibrahim Ali," kata beliau.

"Dedahkan apa sahaja yang anda ada, silakan. Dedahkan, saya cabar anda," tambah ketua bahagian Umno ini.

Nazri bersama dengan Khairy dan Tengku Adnan secara konsisten melahirkan pendirian Umno mesti menjauhkan diri daripada Perkasa pimpinan Ibrahim.

Khairy berpegang pada pendirian bahawa BN akan kehilangan sokongan bukan Melayu sekiranya ia dengan segera tidak menjauhkan diri daripada Perkasa.

Bagaimanapun Perkasa menerima sokongan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan penaung mereka.

Dr Mahathir menghadiri perhimpunan Pasir Mas kelmarin.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Ujian getir buat Keadilan

Posted: 26 Sep 2010 07:00 PM PDT

KONGRES Tahunan Parti KeADILan Rakyat November ini, diraikan dengan pemilihan pucuk kepimpinan yang kehangatannya mendominasi percaturan media.

Pemilihan pucuk pimpinan KeADILan menjadi tumpuan kerana, buat kali pertama kalinya dalam sejarah politik negara, sebuah parti politik menyerahkan nasib pemimpinnya kepada semua ahli.

Dalam ertikata lain, KeADILan sedang mempraktikkan amalan 'true democracy' atau demokrasi sebenar apabila semua ahli berhak mencalon dan mengundi sesiapa yang dikehendakinya.

Amalan biasa dalam sistem kepartian di Malaysia adalah sistem perwakilan atau delegate system. Di mana kuasa untuk mencalon atau mengundi diserahkan kepada perwakilan tertentu.

Sistem ini adalah sebahagian daripada demokrasi juga. Cumanya, apabila kuasa mencalon berada pada bilangan yang kecil, ia barangkali boleh mengundang kepada perebutan yang tidak sihat.

Menerusi sistem baru yang diamalkan KeADILan, semua ahli berhak mengundi, maka ia sedikit menyukarkan calon untuk mempengaruhi pengundi dengan cara manipulasi, rasuah, politik wang atau sebagainya.

Nyatanya, sistem satu ahli satu undi ini merupakan suatu reformasi politik yang sedang dinilai pemerhati politik. Ianya suatu pembaharuan politik, ianya juga suatu eksperimen untuk diuji sejauhmana keberkesanannya.

Prinsip-prinsip yang digariskan KeADILan di dalam pemilihan kali ini antaranya ialah untuk mewujudkan pemilihan yang bebas dan seimbang, asas pertandingan yang seimbang, mengutamakan kepentingan parti dari kepentingan peribadi, tiada politik wang dan proses yang transparen.

Apa pun yang digariskan sebagai suatu peraturan dalam sesebuah sistem, bukan semuanya menjamin kesaksamaan dan keadilan. Bukan semua peraturan boleh dipatuhi semua pihak yang bertanding.

Namun, apa yang diamalkan oleh KeADILan, merupakan suatu eksperimen yang bakal menentukan corak masa depan politik negara.

Pasang surut perjuangan KeADILan

Kewujudan KeADILan, sebagai parti yang masih baru dalam arena politik negara, juga merupakan suatu eksperimen yang menarik.

Rakyat hari ini melihat KeADILan sebagai suatu force multi-cultural dalam negara. Mengatasi kesatuan pelbagai kaum Gerakan, PPP, barangkali juga Barisan Nasional.

KeADILan diwujudkan pada tahun 1998 selepas peristiwa pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Memasuki Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 dengan kerjasama Barisan Alternatif (PAS, DAP dan PRM).

Sebagai parti yang masih baru, KeADILan mencatat kemenangan yang memberangsangkan sehingga mampu memenangi banyak kerusi Parlimen dan Dun. Banyak juga kawasan yang berjaya dikurangkan majoriti Umno-BN. Itupun pada waktu itu lebih 600 ribu pengundi tidak dimasukkan dalam senarai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Namun, kecemerlangan KeADILan agak suram apabila BA berpecah. Anwar masih dalam penjara, dengan keadaan yang tidak menentu pada waktu itu.

KeADILan mengalami liku-liku getir menjelang PRU ke-11 pada 2004. Wujud perpecahan yang serius dalam parti. Ramai pemimpin yang sudah 'habis minyak'. Ramai yang kelihatan sudah letih.

Antaranya ramai pimpinan Angkatan Muda KeADILan (AMK) yang 'cabut' masuk Umno. Kesabaran kepimpinannya begitu teruji.

Kelemahan-kelemahan ini mendorong kepada kelemahan BA secara keseluruhan. PAS juga terjejas teruk, KeADILan hanya tinggal satu kerusi.

Selepas Anwar dibebaskan pada November 2004, pemulihan KeADILan masih belum memperlihatkan masa depan yang baik untuknya.

Perpecahan terus berlaku, ramai yang keluar parti, mungkin kerana tidak sabar atau tidak yakin dengan perjuangan reformasi.

Malah ada antara mereka yang mengajak Anwar masuk Umno kerana tidak mampu dengan ujian menjadi parti pembangkang.

Mengapa mereka berebut jawatan?

Selepas Anwar dibebaskan, Anwar tidak dibiarkan keseorangan. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din mengunjunginya di Munich (semasa dalam rawatan). Begitu juga dengan pemimpin DAP.

Hubungan akrab PAS, DAP dan KeADILan diteruskan walaupun Anwar dikekang undang-undang, iaitu tidak dibenar bertanding pada PRU ke-12, 2008.

Pada waktu itu, selepas pengagihan kerusi dibuat, ramai yang tidak mahu bertanding, kerana tidak yakin dengan KeADILan.

Banyak seat kosong. Sehingga KeADILan terpaksa meminjam calon-calon daripada PAS. Malah boleh dikatakan seluruh pegawai-pegawai pejabat Anwar, yang masih muda, baru dalam politik disenaraikan sebagai calon.

Sehingga pada waktu itu, KeADILan dikatakan menggunakan 'calon tangkap-muat'. Bekas askar, posmen dan yang tiada kelulusan, tidak jelas latar belakang, semuanya diambil sebagai calon untuk memenuhi kouta.

Tetapi hasil PRU-12, berlaku sesuatu di luar dugaan. KeADILan, PAS dan DAP menang besar. Kemenangan yang tidak disangka-sangka hasil sokongan rakyat.

Kemenangan ini membuatkan ramai ahli politik 'terbuka mata'. Mereka melihat potensi yang besar dalam KeADILan. Mereka mula melihat bahawa KeADILan adalah parti masa hadapan, walaupun pada suatu ketika mereka ini semuanya skeptikal dan pesimis.

Apakah kerana KeADILan dilihat bakal menerajui Putrajaya bersama PAS dan DAP, maka mereka-mereka ini berebut-rebut untuk menang dalam pemilihan KeADILan?

Apakah mereka ini hanya muncul apabila cahaya kemenangan sudah kelihatan? Jawapannya mereka sendiri yang tahu.

Masalah yang dihadapi KeADILan

Apapun sejak lebih tiga puluh bulan Pakatan Rakyat dibentuk, rakyat amat-amat memerhati KeADILan, PAS dan DAP.

Soal siapa yang menawarkan diri, siapa yang berebut jawatan, atau sesiapa yang hendak diundi, terserahlah kepada perwakilan KeADILan untuk menentukannya.

Cumanya, harus diingatkan bahawa bukan kepimpinan yang hendak direbut. Bukan siapa yang berkuasa dalam parti yang hendak dikejar. Yang utama sekali ialah, adalah KeADILan yang ada hari ini akan terus relevan di hati rakyat.

Kewujudan KeADILan dalam Pakatan Rakyat, sama pentingnya dengan PAS dan DAP. Kelemahan KeADILan adalah juga kelemahan Pakatan Rakyat. Begitu juga kepada PAS dan DAP.

Masalah wujud dalam semua parti. Tetapi dalam ruangan ini penulis hanya mahu menfokus masalah yang dihadapi KeADILan.

Masalah yang dihadapi sekarang ialah sejauhmana kemampuan kepimpinannya mampu mengatasi persepsi kurang baik terhadap KeADILan.

Apakah persepsi yang kurang baik itu? Secara jujur digariskan di sini, antaranya ialah pertama, kebergantungan hanya kepada ketokohan Anwar Ibrahim. Maknanya, adalah dibimbangi, jika berlaku apa-apa yang tidak diingini terhadap Anwar, KeADILan akan jadi macam 'anak ayam kehilangan ibu.' Anwar juga dilihat sebagai faktor penyatuan dalam parti.

Kedua, KeADILan dilihat mempunyai terlalu banyak faction leader atau group leader. Sama ada faktor ini kerana perbezaan antara Melayu dengan bukan Melayu, beza kerana bergabung dua parti (Parti Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia), atau beza kerana pelbagai latar belakang kumpulan dalam parti. Perbezaan ini memungkinkan sukarnya ideologi mereka disatukan.

Ketiga, selepas PRU ke-12 lepas, ramai pemimpin, terdiri dari Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang defect dari KeADILan, sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri Perak tumbang dan ada yang goyah.

Keempat, wujudnya persepsi pemimpin KeADILan sama ada di peringkat kerajaan negeri atau dalam Pihak Berkuasa Tempatan, yang kelihatan tamak kuasa. Sehingga timbul pergeseran kecil akibat berebut jawatan JKKK. Sehingga ada yang berkata, seolah-olah dari segi berebut kedudukan atau jawatan ini, KeADILan tiada beza dengan Umno.

Kelima, wujudnya hubungan kurang mesra di kalangan wakil rakyat KeADILan dengan kepimpinan PAS atau DAP di peringkat Parlimen atau Dun, yang dilihat boleh menjejaskan persefahaman untuk jangka panjang.

Mungkin banyak lagi boleh dicatat. Cukup sekadar ini dahulu. Apa pun kepimpinan KeADILan harus memperhalusi permasalahan persepsi ini. Kerana, persepsi itu menterjemahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Cabaran terbesar KeADILan bukanlah semata-mata untuk mengemukakan suatu sistem yang dilihat lebih demokratik, tetapi ialah, sejauhmana ia mampu menjadi team player yang meyakinkan rakyat untuk terus menyokong Pakatan Rakyat.

Cabarannya ialah sejauhmana ia mampu menghapuskan semua persepsi buruk terhadap KeADILan, mampu membezakannya dengan Umno dan ia mempunyai kepimpinan yang komited serta ahli-ahli yang setia.

Jika pun kepimpinan berubah, kepimpinan dilihat semakin mantap, tetapi ahli di peringkat bawahan terus melompat atau keluar parti, imej parti agak sukar dipulihkan.

Jika persepsi tidak ditangani sebaiknya, ada kemungkinan harapan menuju ke Putrajaya pada PRU ke-13 nanti, hanyalah mimpi yang tidak berkesudahan.

Penulis tidak bermaksud untuk mengkritik semberono, tetapi ianya sekadar merupakan muhasabah yang membina, bagi kepentingan Pakatan Rakyat keseluruhannya.

artikal oleh Mohd Rashidi Hasan



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Pasangan suami isteri dera dan rogol Pembantu Rumah Indonesia didakwa

Posted: 26 Sep 2010 06:15 PM PDT

Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan bersama memperdagang seorang pembantu rumah rakyat Indonesia dengan tujuan mengeksploitasi wanita itu. A. Vealu, 41, seorang kontraktor potong rumput dan isterinya S. Poongavanam, 36, bersama beberapa yang lain dituduh memperdagangkan Win Faidaa, 26, di sebuah flat di Jalan Penawar Satu, Sri Wangsa Satu, Jelutong di sini di antara 10 pagi 25 Januari dan 10.30 pagi 13 Sept tahun ini.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang boleh membawa hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan denda. Hakim Roslan Hamid membenarkan Vealu diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin manakala isterinya pula diikat jamin sebanyak RM30,000 juga dengan dua penjamin. Roslan turut mengarahkan kedua-dua mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Di mahkamah yang sama, Poongavanam turut didakwa atas kesalahan mendatangkan kecederaan kepada Win Faidaa dengan satu alat iaitu seterika panas dan boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian di tempat sama pada 4 Sept pukul 1 petang.

Poongavanam juga mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Bagi pertuduhan itu, Roslan membenarkan dia dijamin dengan wang jaminan sebanyak RM40,000 oleh dua penjamin.

Hakim kemudiannya memutuskan kedua-dua kes disebut semula pada 15 Oktober depan. Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob pada sidang media berkata, ejen pembantu rumah yang menyerahkan mangsa pada pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Antipermerdagangan Orang 2007. Katanya, buat masa ini ejen wanita berusia 39 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan reman selama tiga hari sejak ditahan Selasa lalu berakhir semalam.

"Jaminan itu diberikan bagi membolehkan polis mengumpul dan mengesahkan beberapa fakta berhubung kes berkaitan," katanya.

Ini adalah lanjutan berita yang pernah diterbitkan di sini dan di sini.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Kota Raja cipta sejarah

Posted: 26 Sep 2010 05:42 PM PDT

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melakar sejarah dengan mengadakan pemilihan langsung buat julung kali, mencatatkan satu lagi rekod — pengiraan undi salah satu cabang yang dilihat panas — Kota Raja di Selangor — berlarutan sehingga pagi ini.

Maklumat yang diperoleh sekitar 7 pagi tadi menunjukkan undi masih dikira.

Ia seolah-olah menggambarkan berulangnya sejarah pengiraan undi kerusi sehingga membawa sehingga tengah hari keesokan hari di Lembah Klang sedekad lalu.

Pengiraan dijalankan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, bermula lewat malam tadi, selepas proses mengira undi di Bukit Naga lewat petang tadi berakhir dengan kekecohan dan tindakan rampas kertas undi dan peti undi.

Sebanyak 18 peti undi dibawa ke ibu pejabat PKR untuk dikira dengan kawalan polis.

Cabang Kota Raja menyaksikan ketuanya Dr A Xavier Jayakumar, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, berhadapan dengan saingan S Kottappan dan M Telaiamblam.

Keputusan tidak rasmi yang diperoleh pagi ini menunjukkan menunjukkan Xavier memenangi persaingan tiga penjuru dengan memperoleh 883 undi manakala Kottappan 145 undi dan Telaiamblam pula mendapat 138 undi.

Undi rosak dikatakan dalam lingkungan 30.

Pengiraan undi jawatan ketua cabang siap dikira pukul pukul 5.30 pagi tadi.

Difahamkan setakat pukul 7.40 pagi ini undi bagi jawatan ketua Wanita masih dikira.

"Keputusan ketua cabang dan ketua AMK sudah diketahui, tetapi undi bagi sayap Wanita masih dikira,"

Kerusi ketua AMK dimenangi oleh Azmizam Zaman Huri.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dijangka akan mengadakan sidang media pukul 10 pagi ini untuk memperjelaskan perkembangan semalam, yang dilihat sebagai paling buruk dan memalukan parti itu.

Kota Raja merupakan salah satu daripada, sekurang-kurangnya enam cabang yang berhadapan dengan insiden kecoh sehingga menyebabkan mesyuarat agung tahunan cabang dan pemilihan terpaksa ditangguhkan dan dipertikaikan.

Cabang-cabang lain ialah Klang, Kapar, Kuala Langat dan Subang.

Beberapa cabang dari negeri-negeri lain juga dilaporkan bermasalah termasuk cabang Parit Sulong.

Cabang-cabang PKR memulakan mesyuarat masing-masing pada 17 September lalu dan akan berakhir 3 Oktober ini sebelum meneruskan proses pemilihan mulai tengah bulan depan.

Setakat semalam sekitar 130 cabang telah pun mengadakan mesyuarat agung tahunan masing yang turut membuat pencalonan bagi jawatan-jawatan pusat.

Sharpshooter :- Bayan Baru hingga 3.40 pagi baru selesai, Kota Raja lagi hebat sehebat namanya. Susah dengan Raja segala kota nie..he.he..

Apapun syabas kepada Azmizam yang berjaya mempertahankan jawatan.

Sedih sangat-sangat tengok tempat yang bermasalah di Selangor.

Puncanya apa? puncanya gila kuasa dan tak boleh terima kekalahan.

Puncanya apa? puncanya tiada tapisan langsung untuk sertai Parti Keadilan Rakyat dan tiada masa 'edah' untuk bertanding. Alangkah indahnya jika ahli baru yang mahu bertanding sekurang-kurangnya sudah menjadi ahli dua tahun baru layak bertanding.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Ada cubaan nak beli kerusi Naib Ketua Permatang Pauh

Posted: 26 Sep 2010 01:14 PM PDT

Dari blog anak sungai derhaka.

Pemilihan PKR Permatang Pauh telah berlalu DS Wan Azizah kekal sebagai Ketua Cabang manakala Timbalan Ketua Cabang telah dimenangi oleh TKM1 Pulau Pinang Datuk Mansor Othman walaupun mendapat sikit tentangan.. biasalah Datuk.. inikan demokrasi.. lagipun sesuatu yang mudah untuk diperolehi itu jarang dihargai..


Dan Naib Ketua Cabang pula telah dimenangi oleh Cikgu Alias Bin Said yang mendapat 127 undi mengalahkan penyandang jawatan iaitu Zainal Abidin Bin Saad Pembantu Khas DS Anwar Ibrahim yang hanya mendapat 72 undi.

Akan ada dua lantikan bagi Naib Ketua Cabang, lantikan akan dibuat oleh Ketua Cabang dan Timbalan Ketua Cabang dan seharusnya nama yang akan dicalonkan itu dipersetujui oleh majotiti Ahli Jawatan Kuasa.

Percayakah anda jika dikatakan ada pihak yang sanggup menawarkan sehingga RM8,000.00 untuk mendapatkan jawatan Naib Ketua Cabang (lantikan ) itu?

Agak sukarkan??


Meskipun jawatan tersebut nampak seperti tidak mempunyai sebarang kuasa sebenarnya ianya mempunyai kelebihan, kelebihannya ialah sesiapa yang dilantik sebagai Naib Ketua Cabang ini akan terlibat dalam Biro Politik, iaitu Biro yang akan menentukan nama-nama yang boleh dicalonkan sebagai ADUN.

Maka tidak hairanlah jika ada pihak yang sanggup mengeluarkan sejumlah wang untuk melobi jawatan tersebut..

Pada hujung minggu yang lepas dua telah menemui Pak Tam untuk menyatakan kepada beliau bahawa sekeping cek yang tidak dijelaskan jumlahnya telah disediakan untuk mantan Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh itu, kata mereka ini adalah saguhati kerana beliau telah menarik diri dari bertanding tempoh hari.

Namun tidak dinyatakan pula siapa yang telah menyediakan cek tersebut.. bagaimanapun siapa sebenarnya yang menyediakan cek tersebut akan jelas diakhir artikel ini..

Dan beberapa hari kemudia lelaki-lelaki tersebut kembali ke hospital menemui Pak Tam bagi menyerahkan wang tunai berjumlah RM8000.00 yang kononnya datang dari cek yang telah ditunaikan itu.Wang tunai tersebut telah diserahkan kepada anak perempuan Pak Tam yang kebetulan menjaga bapanya pada hari tersebut dan masih berada didalam simpanannya hingga kehari ini.

Perlu dijelaskan disini ialah kedua-dua lelaki tersebut tidak bertanding didalam Pemilihan Permatang Pauh yang telah berlalu itu.

Memang agak menghairankan kerana dalam rundingan atau perbincangan untuk Pak Tam menarik diri dari bertanding, Pak Tam tidak meletakkan sebarang syarat untuk menarik diri.. mengapa ada pihak yang begitu baik hati memberikan kepada beliau wang tersebut?

Satu hari yang lain pula ketika banyak pihak tertanya-tanya itu tiba-tiba Anak lelaki Pak Tam telah menunjukkan satuSMS yang diterima oleh bapanya..

SMS tersebut tertulis "Pak Tam terima kasih krn memberi amanah kepada Axxx utk memegang Jawatan Naib Ketua. Akan Axxx usahakan dgn telus, jujur n penuh dedikasi. Semoga Pak Tam cepat sembuh dan sihat selalu. Tolong cakap sama Cikgu n Amir semua tentang persetujuan ini supaya mereka tak salah faham dan akur kepada keputusan Pak Tam"
SMS yang menjelaskan kepada semua kenapa Pak Tam diberikan RM8000.00 tersebut. Wang tunai itu bukanlah kerana saguhati kerana Pak Tam telah mengundurkan diri dari bertanding, ianya dibayar agar salah seorang lelaki yang menghantar wang tunai itu dilantik sebagai Naib Ketua Cabang.

Lelaki yang merupakan ahli biasa dalam PKR Permatang Pauh tersebut pada awalnya telah dinasihatkan agar turut bertanding, namun begitu kerana memikirkan bahawa beliau pasti kalah maka beliau takut untuk bertanding. Beliau mencaturkan kedua-dua pihak atau kumpulan yang bertanding demi kepentingan yang hanya beliau yang tahu..

Sebenarnya dalam menentukan siapa yang layak dilantik sebagai Naib Ketua Cabang itu, Pak Tam kini tidak mempunyai sebarang kuasa dan Pak Tam juga telah menyatakan beliau tidak pernah berkata akan melantik penghantar SMS tersebut sebagai Naib Ketua Cabang.

Sehingga kehari ini mesyuarat masih belum dijalankan dan tiada sebarang lantikan bagi Naib telah dibuat, mesyuarat akan berlangsung setelah Timbalan Ketua Cabang pulang dari lawatan kerjanya keluar Negara.

Kepada lelaki yang sering berkata " I selalu baca blog you.." itu.. hentikan segera segala percaturan atau permainan yang akan merosakkan Parti ini atau laporan cubaan merasuah akan dibuat kepada SPRM..- blog anak sungai derhaka.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Pemilihan di Bukit Mertajam wajar dicontohi..

Posted: 26 Sep 2010 01:07 AM PDT


Sharpshooter hari ini berada Cherok To'Kun, pemilihan di Cabang Bukit Mertajam hari ini bertempat di Dewan Orang Ramai Jalan Kolam, Cherok To'kun.

Suasana di sini dari tengahari tadi aman damai tidak seperti Bayan Baru kelmarin yang panas dan kecoh.

YB Tan Hock Leong Adun Machang Bubuk merangkap Ketua Cabang Bukit Mertajam tidak ada pencabar. Beliau menang tanpa bertanding.

Manakala untuk jawatan Timbalan Ketua Cabang Bukit Mertajam, pertandingan 4 penjuru.

Bagi jawatan Ketua Wanita pula penyandangnya Puan Norhayati yang juga merupakan Ketua Wanita Negeri P.Pinang dicabar oleh Normah Shafiee.

Sementara itu usul yang telah dibawa oleh Bukit Mertajam adalah :-

1) Mengutuk serta menggesa agar rejim BN yang menggunakan polis bagi menahan kartunis Zunar dan merampas serta menyekat kebebasan media kreatif rakyat Malaysia.

2) Mengecam sistem kehakiman Malaysia yang terus menjadi alat tanggungan rejim BN bagi memastikan Anwar Ibrahim dipenjarakan.

3) Senarai ahli sah berdaftar Keadilan mesti dipamirkan sebulan sebelum pemilihan. Ini bagi mengelakkan nama ahli tercicir.

Keputusan penuh Cabang Bukit Mertajam :-

Ketua Cabang - YB Tan Hock Leong menang tanpa bertanding.

Timbalan Ketua Cabang
1) Hussein Bin Mohamed (57 undi)
2) Jab bin Samat (57 undi)
3) Michael Lee Ah Leong (8 undi)
4) Norhayati Bt Jaafar (26 undi)
Undi rosak 4.


Akhirnya keputusan seri antara dua calon yang bertanding iaitu Hussein Mohamed dan Jab Bin Samat. Kuasa untuk menentukan siapa pemenang adalah Pengerusi Tetap. Pengerusi Tetap gagal dihubungi.

Akhirnya calon Hussien Bin Mohamed atas dasar rasa pertandingan adik beradik, beliau dengan rendah diri dan ikhlas hati telah mengumumkan Jab bin Samat sebagai pemenang. Katanya yang penting kita mesti bersatu dan misi kita yang paling utama adalah kemenangan dalam pilihanraya PRU 13 untuk menawan Putrajaya.

Penyandang jawatan Timbalan, Jap bin Samat berkata kami akan gemblengkan tenaga idea dan fikiran bersama untuk pastikan kemenangan dalam PRU 13. Ini pertandingan adik beradik. Kita adalah satu parti dan kita wajib bergerak sebagai satu team yang kuat.

Inilah satu contoh yang wajar dipuji. Mereka bertanding, kemudian apabila keputusan seri, seorang mengalah kerana katanya kita adalah satu pasukan. Bukan mudah perkara ini boleh berlaku jika tidak ada semangat parti lebih utama bukannya kepentingan individu.

Naib Ketua Cabang
1) Osman Ibrahim (77 undi)
2) Sharuddin bin Tanip (72 undi)
Undi rosak 3.
Majoriti 5 undi sahaja.

Ketua Wanita
1) Normah bt Shafiee ( 33 undi)
2) Norhayati bt Jaafar ( 39 undi)
Undi rosak 1
Majoriti 6 undi sahaja.

Timbalan Ketua Wanita
1) Umi Kalsom (40 undi)
2) Zaidah bt Mohd Zahir (36 undi)
Majoriti 4 undi sahaja

Naib Ketua Wanita
1) Junaidah bt Raji (37 undi)
2) Sharifah bt Abdul Aziz. (37 undi)
Undi rosak 2 undi.

Keputusan pemenang terpaksa ditentukan oleh Pengerusi Tetap Wanita, Puan Marina Shafiee. Puan Marina Shafiee akhirnya membuat keputusan bahawa kedua-dua calon tersebut menjadi Naib Ketua Wanita 1 dan Naib Ketua Wanita 2.

Manakala jawatan Ketua AMK Bukit Mertajam, Muhamed Bin Hussin menang tanpa bertanding. Sebelum ini jawatan tersebut disandang oleh Aidi Rafizul atau Ijon. Ijon kini adalah Pembantu Khas Exco Pertanian YB Law Choo Kiang.

Syabas kepada yang menang dan jalankan tugas dengan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin. Yang paling utama adalah kemenangan dalam PRU 13 menawan Putrajaya. Reformasi..Takbir.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Tiada ulasan: