Rabu, 22 September 2010

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Video Penjelasan Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengenai isu wang derma RM4 bilion kepada PAS Kelantan

Posted: 22 Sep 2010 08:30 AM PDT



Penjelasan YAB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan mengenai isu wang derma RM4 bilion kepada Kelantan.

Penjelasan Kedudukan Perkahwinan Sultan Ismail Petra

Posted: 22 Sep 2010 07:15 AM PDT

KEDUDUKAN PERKAHWINAN SULTAN ISMAIL PETRA

1. Sukacita kami menegaskan di sini bahawa perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan Cik Puan Elia Suhana Ahmad yang berlangsung pada 13 Zulhijjah 1428H bersamaan dengan 23 Disember 2007M adalah satu perkahwinan yang sah di sisi hukum syarak dan undang-undang.

2. Hasrat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra untuk mengahwini Cik Puan Elia Suhana lahir daripada hati sanubari Baginda sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak sekalipun: Perkenalan di antara mereka bermula dari inisiatif Baginda sendiri manakala segala komunikasi di antara mereka berdua juga turut dibuat secara terus.

3. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra amat menyayangi Cik Puan Elia Suhana kerana, selama mereka berkenalan dan berada di dalam alam perkahwinan, Cik Puan Elia Suhana menunjukkan ketulusan hati yang tinggi dan tidak pernah meminta sebarang apa pun dari Baginda, sama ada yang membabitkan harta, pangkat ataupun kedudukan.

4. Sepanjang tempoh perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana ini juga, Cik Puan Elia Suhana mahupun ahli-ahli keluarga beliau yang lain juga didapati tidak pernah menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra untuk memperolehi apa-apa kelebihan dari mana-mana pihak.

5. Tindakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra mengahwini Cik Puan Elia Suhana merupakan satu tindakan terpuji yang menggambarkan kesedaran tinggi Baginda untuk mengamalkan corak kehidupan yang dikehendaki oleh ajaran agama di samping turut menggambarkan keberanian Baginda mengambil risiko demi menegakkan kebenaran.

6. Adalah satu perkara yang telah menjadi rahsia umum (open secret) bahawa terdapat pihak yang menjadi histerikal apabila soal perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana diketahui sedangkan perkahwinan ini sepatutnya diterima dengan baik oleh semua pihak kerana ia merupakan satu sunnah.

7. Akibat tidak dapat menerima hakikat perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana ini, pihak ini telah berusaha untuk memisahkan pasangan suami isteri ini melalui pelbagai cara, termasuklah dengan menghebahkan kononnya telah berlaku perceraian talak tiga di antara mereka berdua.

8. Kesedaran beragama yang tinggi di dalam diri Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra, kasih sayang mendalam Baginda terhadap Cik Puan Elia Suhana dan ketidakupayaan Baginda membuat keputusan sendiri sejak mengalami kegeringan bagaimanapun menjadikan perceraian talak tiga ini suatu perkara yang amat mustahil.

9. Di dalam keadaan kegeringan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sekarang, semua pihak perlulah mengenepikan emosi masing-masing dan menumpukan seluruh perhatian mereka bagi memastikan kebajikan Baginda sentiasa berada pada tahap yang terbaik sekaligus bagi memungkinkan pemulihan Baginda berlaku dengan lebih cepat.

10. Termasuk di dalam perkara ini adalah kebajikan kasih sayang dari isteri-isteri Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra di mana Baginda tidak seharusnya dinafikan dari memperolehi kasih sayang kedua-dua isteri Baginda manakala Cik Puan Elia Suhana juga tidak seharusnya dinafikan haknya untuk mencurahkan kasih sayang kepada Baginda.

11. Di dalam keadaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra tidak lagi berupaya untuk mencurahkan apa-apa harta, pangkat ataupun kedudukan, sementelahan pula Cik Puan Elia Suhana sendiri tidak pernah pun meminta-minta ke atasnya, beliau tidak seharusnya terus dizalimi dengan tidak dibenarkan untuk bertemu dengan suami yang tersayang.

12. Kami percaya, selaku seorang isteri yang telah terbukti baik, tiada apa lagi yang dikehendaki oleh Cik Puan Elia Suhana dari Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra melainkan untuk mencurahkan kasih sayangnya kepada Baginda di saat-saat Baginda amat memerlukan segala curahan kasih sayang dari semua pihak untuk kembali pulih.

13. Apakah kita tidak dapat menyelami betapa remuknya hati seorang suami yang, di dalam keadaan sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa, telah dinafikan haknya untuk memperolehi curahan kasih sayang daripada seorang isteri yang dipilih dan direstui sendiri olehnya untuk hidup bersamanya sewaktu beliau masih di dalam keadaan sihat?

14. Apakah kita tidak dapat menyelami betapa remuknya hati seorang isteri yang diasingkan dari suami yang tersayang sedangkan dia mengetahui suaminya masih menyayanginya? Seorang isteri yang baik akan merasa berdosa jika tidak dapat mencurahkan kasih sayang kepada suaminya tetapi tidakkah pihak yang menghalangnya dari berbuat demikian turut merasa berdosa sama?

15. Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana adalah satu perkahwinan yang sah di sisi hukum syarak dan undang-undang. Sehingga ia diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah syariah maka hak-hak mereka sebagai suami isteri tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

16. Kita selaku seorang hamba yang lemah perlu sentiasa menyedari bahawa kita tidak akan mampu untuk memastikan kita memperolehi setiap keinginan yang kita cita-citakan sebagaimana kita juga perlu sentiasa menyedari bahawa kasih sayang itu tidak akan mampu untuk dibeli melalui harta benda (malah melalui apa-apa amalan perbomohan pun).

17. Kepada semua pihak, sukalah diingatkan supaya, sebagaimana kita juga perlu menerima tindakan Cik Puan Manohara Odelia Pinot lari meninggalkan Tengku Temenggong Kelantan sebagai satu takdir, menerima hakikat perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana sebagai satu ketentuan dari Ilahi.

18. Firman Allah di dalam Surah al-Anfal (Ayat 63): "Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara (perasaan) hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau membelanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara (perasaan) hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (perasaan hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

[Sumber]

Pemilihan 2010 Bersih Daripada Politik Wang

Posted: 22 Sep 2010 07:00 AM PDT

Oleh Norasikin Samsi

PETALING JAYA 22 Sept - Daripada 176 aduan yang diterima Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung proses Pemilihan 2010, tidak satu pun yang dikaitkan dengan politik wang bagi tujuan meraih sokongan.

Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution Ismail berkata ini adalah amat membanggakan kerana KEADILAN mahu menunjukkan kesungguhannya sebagai parti masa depan melalui tauladan yang baik dengan mengangkat nilai-nilai murni sekali pun sekali pun dalam pemilihan parti."Yang uniknya daripada 176 aduan itu, tidak ada satu pun aduan berkaitan dengan politik wang dan proses beli undi. Aduan yang kita rekodkan itu adalah kosong. Ini mengulangi rekod semasa proses pencalonan tempohari.

"Ini memberikan satu petunjuk bahawa pengalaman yang sedang dilalui oleh KEADILAN selesai pindaan perlembagaan yang memberikan KEADILAN yang memberikan hak satu anggota, satu undi telah menemui jawapan terhadap amalan politik wang yang kita dapati mampu dibendung dan ditangani berasaskan kepada 84 cabang yang telah mengadakan mesyuarat," kata Saifuddin pada sidang media di ibu pejabat parti di Tropicana petang tadi.

Beliau berkata 176 aduan yang diterima telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu aduan berkenaan dengan calon yang bertanding, proses pemilihan dan juga berhubung proses disiplin.

Katanya, bidang kuasa JPP akan memberikan tumpuan ke atas aduan terhadap proses pemilihan di dalam parti.

"Jika sekiranya berlaku pelanggaran, kuasa kepada JPP adalah memberi amaran, membatalkan pencalonan seseorang calon dan membatalkkan kemenangannya jika sekiranya calon yang bertanding menang dan didapati ada bukti yang kukuh.

"Kuasa disiplin pula adalah kuasa jawatankauasa disiplin yang hukuman paling berat adalah pecat keanggotaan, gantung sekian tempoh, amaran keras denda dan seumpamanya.

"Berdasarkan kepada 176 aduan ini, kita meneliti aduan ini setiap hari bagi memastikan bahawa setiap aduan itu ditangani.

Katanya, apabila selesai proses Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC), parti akan memberi ruang kepada semua calon yang layak bertanding untuk menulis ataupun memberikan pengenalan mereka melalui laman web parti.

"Mereka boleh menghantar apa-apa sahaja tulisan dalam 200 hingga 250 patah perkataan yang apabila dibaca oleh anggota parti di bawah mereka dapat mengenali calon berkaitan," katanya.

KEADILAN juga menurutnya sedang dalam perancangan untuk membuka satu pentas forum atau debat kepada calon-calon.

"Kita harap kaedah ini memberi ruang kepada anggota untuk anggota lebih mengenali dan berpeluang berinteraksi dengan anggota lain.

"Jika di sana ada kemungkinan berlaku serangan-serangan dan kritikan peribadi yang dianggap berbaur fitnah dan sebagainya, itu boleh diatasi menerusi forum seumpama ini," ujar beliau lagi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Agung, Sharifah Shahidah, Pengerusi JPP, Dr Molly Cheah, Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Setiausaha Pengelola, Raden Shamsul Kamal.

Pemilihan 2010 Simbol KEADILAN Sebagai Parti Tulen Pelbagai Kaum

Posted: 22 Sep 2010 06:30 AM PDT

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 22 Sept - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Saifuddin Nasution Ismail amat berpuas hati terhadap perjalanan proses pencalonan dan pemilihan di peringkat Cabang bagi Pemilihan 2010 yang mencerminkan perpaduan, kerjasama dan sikap toleransi lebih 450,000 anggota parti.

Saifuddin berkata setakat ini 84 Cabang daripada 204 Cabang telah menyempurnakan mesyuarat agung tahunan (MATC) dalam keadaan harmonis dan aman dan ini memberikan suatu gambaran tentang kekuatan parti yang mewakili setiap kaum dan negeri di negara ini.

Daripada 84 cabang yang telah mengadakan MATC, 67 Cabang pula telahpun menyaksikan pertandingan bagi merebut pelbagai jawatan dalam Cabang, sayap Wanita dan Angkatan Muda.

Sehingga kini dua calon layak bertanding bagi jawatan Presiden, iaitu penyandang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi Timbalan Presiden pula yang layak setakat ini adalah Mohamed Azmin Ali, Zaid Ibrahim, Mustaffa Kamil Ayub dan Tian Chua.

Sejumlah 15 calon layak bertanding bagi kerusi Naib Presiden iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Datuk Chua Jui Meng, Tian Chua, Fuziah Salleh, Dr Lee Boon Chye, Datuk Mansor Othman, Mohamed Azmin Ali, Mohd Yahya Mat Sahri, Mustaffa Kamil Ayub, Nurul Izzah Anwar, S Manikavasagam, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Sivarasa Rasiah, Datuk Zaid Ibrahim dan Dr Xavier Jayakumar.

Sejumlah 74 calon layak bertanding untuk jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Bagaimanapun Saifuddin tidak mengumumkan senarai itu.

Menurut beliau, calon yang layak bertanding untuk jawatan presiden, timbalan, naib presiden dan MPP membuktikan bahawa mereka mendapat perhatian daripada anggota parti di peringkat akar umbi.

"Mereka yang layak ini mewakili pelbagai negeri meliputi wilayah, kaum, dan agama di mana ia betul-betul reflektif iaitu cerminan kepada komposisi jumlah peratusan etnik anggota parti keseluruhnnya terutama kepada kelompok MPP itu sendiri," kata beliau pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana petang tadi.

Saifuddin berkata keadaan ini turut memberikan satu indikator tentang kekuatan dan kemeriahan amalan demokrasi dalam parti.

"Ia memberikan kemeriahan pesta demokrasi yang parti sediakan di peringkat akar umbi daripada Perlis sehingga ke Sabah kepada anggota parti."

Tambah beliau, ia juga memberikan satu proses pembelajaran kepada anggota parti yang menyasikan satu pemilihan yang terbuka dan bebas tanpa naungan ataupun pengaruh daripada mana-mana pihak.

"Proses pemilihan parti ini persis dan mirip seperti seolah-olah mereka menghadapi pilihan raya yang sebenar. Sebagai parti politik baru berumur 10 tahun, ia memberikan satu pelajaran yang penting untuk aktivis parti dan inilah yang saya perhatikan," katanya.

Saifuddin menambah antara perkembangan yang paling menarik dalam pemilihan kali ini ialah anggota parti yang mengundi serta bertanding terdiri daripada 50 peratus anggota Melayu, 12 peratus Cina, 23 peratus India dan 15 peratus lain-lain termasuk suku kaum Kadazan, Dusun, Dayak, Iban, Murut dan sebagainya.

Menurut Saifuddin, Selangor mempunyai jumlah keanggotaan paling ramai iaitu 108,000 atau 30 peratus daripada jumlah anggota parti.

Ini diikuti Sabah seramai 66,000, Perak 33,000, Pulau Pinang 31,000, Sarawak 22,000 dan Wilayah Persekutuan 17,000.

"Jumlah peratusan anggota parti mewakili negeri-negeri yang saya sebutkan adalah 77 peratus daripada sejumlah 450,000 anggota," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.

Beliau juga memberitahu maklumat daripada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengatakan tumpuan pencalon dan pemilihan dikalangan 84 Cabang adalah di negeri Selangor.

Tuanku Muhammad Faris Petra Berkenan Guna Gelaran Sultan Muhammad V

Posted: 22 Sep 2010 06:00 AM PDT

KOTA BAHARU 22 Sept - Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra berkenan untuk menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kelima untuk penggunaan rasmi Istana dan kerajaan negeri bagi menggantikan nama baginda.

Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata penggunaan gelaran itu berkuatkuasa sejak pemashyuran Al-Sultan sebagai Sultan Kelantan pada 13 Sept lalu.

"Al-Sultan Kelantan telah mengampuni perkenan menggunakan gelaran itu dan ianya akan menjadi nama rasmi bagi gelaran Baginda untuk sebarang majlis dan gelaran yang harus dipakai oleh pihak media bagi mengelakkan penggunaan nama yang pelbagai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata baginda berkenan untuk menggunakan nama itu atas kehendak sendiri dan untuk mendapatkan berkat kerana nama Sultan Muhammad telah digunakan oleh keturunan baginda sejak dahulu lagi.

Katanya penggunaan gelaran Sultan Muhammad I bermula pada 1800 hingga 1835 oleh Sultan Kelantan pada ketika itu dengan nama asal baginda ialah Long Muhammad dan merupakan putera sulung kepada baginda Long Yunus yang memerintah Kelantan sejak 1765 hingga 1795.

Abdul Halim berkata baginda Long Senik Long Tan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kedua (Sultan Muhammad Mulut Merah) pada 1836 hingga 1886.

Katanya, baginda Long Kundor iaitu putera sulung kepada Sultan Ahmad menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ketiga sejak 1890 hingga 1891.

Beliau berkata gelaran Sultan Muhammad Keempat telah digunakan oleh baginda Tuan Long Senik yang memerintah Kelantan pada 1900 sehingga 1920.

"Kita akan memaklumkan kepada seluruh jabatan kerajaan negeri penggunaan nama Al-Sultan dan ianya telah diwartakan untuk kegunaan rasmi," katanya.

Sementara itu, mengenai pemashyuran baginda yang berdepan dengan petisyen bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, beliau berkata Al-Sultan Kelantan tetap menjalankan tugas baginda sebagai ketua negeri seperti biasa.

"Kita telah merujuk perkara pemasyhuran itu kepada pakar undang-undang kita termasuk Setiausaha Majlis Perajaan Negeri. Kita akan memberi respons terhadap petisyen itu mengikut prosedur mahkamah.

"Ini bukanlah kali pertama dan kita yakin Setiausaha Majlis Perajaan Negeri akan memberikan penjelasan. Namun tugas dan aktiviti baginda berjalan seperti biasa," katanya mengulas petisyen yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya 20 Sept lepas bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah berkenaan bahawa pemasyhuran anakanda sulung baginda, Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai sultan baru, tidak mengikut perlembagaan.

Tuanku Muhammad Faris Petra telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar, di sini pada 13 Sept lepas.

Berhubung laporan polis yang dibuat Istana Kelantan semalam berhubung beberapa salinan dokumen palsu berkaitan pengurniaan darjah kebesaran negeri oleh pihak tidak bertanggungjawab, Abdul Halim berkata pihak terbabit telah memalsukan namanya dan tandatangannya untuk menipu mangsa kononnya mereka mempunyai hubungan dengan saya untuk mendapatkan darjah tertentu daripada Istana Kelantan, sedangkan ia tidak benar sama sekali.

"Saya tidak pernah berbuat demikian dan tidak mempunyai kuasa untuk mengurniakan darjah," katanya.

Bernama

MB Selangor: Keputusan tanding timbalan presiden selepas 3 Okt

Posted: 22 Sep 2010 05:30 AM PDT

SHAH ALAM, 22 Sept – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan sama ada beliau akan bertanding atau tidak jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dibuat selepas 3 Oktober ini, iaitu setelah semua cabang parti itu selesai bermesyuarat.

"Saya belum tahu lagi, pencalonan mesti sekurang-kurangnya dua. Saya akan umumkan nanti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di sini hari ini.

Abdul Khalid yang setakat ini menerima satu pencalonan bagi jawatan tersebut ditanya sama ada akan turut berentap bersama Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim yang telah mengumumkan hasrat masing-masing untuk merebut kerusi nombor dua parti, pada pemilihan yang dijadual November ini.

Azmin yang juga Naib Presiden PKR kini memperolehi 43 pencalonan, manakala Zaid yang merupakan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan menerima 21 pencalonan.

Turut dicalonkan untuk jawatan tersebut ialah seorang lagi Naib Presiden parti Mustafa Kamil Ayub dengan 10 pencalonan, Pengarah Strategik parti Tian Chua (dua pencalonan) dan Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang mendapat satu pencalonan.

Pihak pengurusan parti itu menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh akhir untuk mereka yang bakal bertanding menerima pencalonan daripada setiap cabang. – Bernama

Kes Sosilawati: Waran tangkap ketua Pemuda PKR, MP Kapar diberi amaran

Posted: 22 Sep 2010 05:00 AM PDT

SHAH ALAM, 22 Sept – Polis memberi amaran kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin bahawa waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya jika terus mengelakkan diri daripada memberi keterangan berhubung dakwaannya yang mengaitkan polis dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya (gambar).

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata Shamsul Iskandar sepatutnya hadir di balai polis jika benar mempunyai bukti-bukti kukuh yang menyokong dakwaannya itu.

"Shamsul sendiri tahu keterangannya diperlukan polis bagi membantu siasatan kes ini, namun dia masih tidak muncul dan telefon bimbitnya pula ditutup sekarang. Kalau ada bukti, datang kepada polis dan sahkan dakwaannya itu ... kita beri peluang.

"Polis akan keluarkan perintah mengikut Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah jika enggan untuk hadir membantu siasatan polis. Bagaimanapun, tindakan mengeluarkan waran tangkap terhadap Shamsul Iskandar adalah sebagai langkah terakhir jika polis masih gagal hubungi beliau," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan Balai Polis Bergerak dan Motosikal oleh Sime Darby Property Bhd kepada Polis Kontinjen Selangor dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diubahsuai menjadi balai polis bergerak dan tiga buah motosikal jenis Honda Wave 100cc yang kesemuanya bernilai RM617,250 diserahkan kepada polis oleh Pengarah Urusan Sime Darby Property Bhd (Sime Darby), Tunku Datuk Putra Badlishah Tunku Annuar.

Media sebelum ini melaporkan, Shamsul Iskandar menerusi siaran berita portal TV Selangor pada 13 Sept lepas mengaitkan kepimpinan tertinggi pasukan polis sebagai yang didakwa terbabit dalam pembunuhan kejam Sosilawati bersama tiga lagi rakannya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu, Kamarudin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang 30 Ogos lepas sebelum ditemui mati dibunuh di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

Khalid juga memberi amaran kepada Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam supaya tidak mengganggu siasatan polis dengan membawa isteri ahli perniagaan warga India yang dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini, S. Usharani ke lokasi pembunuhan Sosilawati.

"Polis sudah pun merekodkan keterangan Usharani pada 8 September lepas dan akan meminta beliau datang semula dengan anaknya untuk membantu siasatan kita lagi termasuk untuk mengambil sampel DNA.

"Jadi, mana-mana ahli politik jangan cuba menjadi pegawai penyiasat dengan mencampuri urusan kita. Kalau jadi ahli politik buatlah kerja untuk membantu rakyat bukannya buat kerja polis," katanya.

Suri rumah itu yang menetap di Ramapuram, Chennai ketika dihubungi media sebelum ini, mendakwa suaminya, Allal Kathan Muthuraja, 34, tiba di Malaysia pada 18 Jan lepas untuk bertemu rakan karibnya iaitu dua beradik yang juga peguam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.

Sementara itu, dalam majlis berasingan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor menyampaikan penghargaan kepada Khalid atas kejayaan polis menyelesaikan kes Sosilawati.

Yang Dipertuanya, Abdullah Mansor berkata, Sosilawati dan tiga rakannya itu adalah anggota biasa Perkasa daerah Klang sejak pertubuhan itu ditubuhkan. – Bernama

Umno ecer jenaka gimik cek RM4 bilion

Posted: 22 Sep 2010 04:00 AM PDT

Wartawan Kita

KOTA BHARU, 22 Sept: Berita PAS Kelantan diberi replika cek bernilai RM4 bilion ternyata berjaya mengejutkan banyak pihak, namun anehnya Perhubungan PAS negeri tidak tahu menahu mengenai sumbangan tersebut.

Gimik syarikat I'DA World Group di sebuah hotel lima bintang, baru-baru ini dengan menulis replika cek bernilai RM4 bilion disumbang kepada PAS kini sudah bertukar menjadi isu politik.

Namun, bagi Umno gimik yang tidak berjijak di alam nyata sudah dianggap isu besar sehingga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat.

Maka banyak pihak yang berpangkal dari gubuk Umno waima Pemuda, Puteri dan NGO yang lahir dari sayap Umno bertempik sorak menuduh PAS dan kerajaan Kelantan terpalit dengan rasuah.

Mereka 'persyaitan' akal waras. Kemunasabahan atau lojik replika cek RM4 bilion tidak perlu diheret begitu jauh kerana dari awal lagi disifatkan tidak lebih sebagai satu jenaka.

Lebih-lebih lagi penjelasan kerajaan negeri syarikat terbabit belum pun menghantar sebarang proposal projek yang mahu dibangunkan.

Kata orang tua, ikan masih di laut. Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan Pusat Pelaburan Negeri difahamkan belum menerima apa-apa kertas cadangan projek dimaksudkan syarikat terbabit.

Anehnya tiba-tiba syarikat itu mendakwa mendapat projek bernilai sehingga RM330 bilion di Tumpat.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Mohd Zaki Ibrahim berkata, ia tidak lebih sebagai satu jenaka.

Malah katanya, PAS Kelantan tidak pernah dimaklumkan mengenainya biar pun cek itu dikatakan diserah pada satu majlis makan malam anjuran I'DA World Group.

"Badan Perhubungan PAS tidak dijemput hadir pada majlis makan malam anjuran syarikat berkenaan.

"Ini tidak lebih sebagai satu jenaka kerana kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan projek daripada I'DA World Group.

"Perhubungan PAS Kelantan menafikan ada hubungan dengan syarikat berkenaan. Malah kita pun tidak kenal siapa pemilik syarikat itu," katanya di sini.

Manakala pihak yang tampil menerima replika cek berjumlah RM4 bilion daripada syarikat I'DA World Group Sdn Bhd juga menjelaskan kehadirannya di majlis itu tidak mewakili Menteri Besar atau PAS Kelantan seperti dilaporkan.

Nik Din Nik Mat adik kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu kehadirannya di majlis berkenaan di atas kapasiti peribadinya sendiri setelah menerima jemputan.

"Saya tidak mewakili Menteri Besar di majlis berkenaan. Malah saya juga terkejut tiba-tiba dipanggil pihak urusetia penganjur untuk menerima replika cek terbabit," katanya, semalam.

Beberapa akhbar Selasa lalu menyiarkan gambar Nik Din menerima replika cek berjumlah RM4 bilion yang ditulis atas nama Parti Islam Semalaysia (PAS) diserah Pengerusi Eksekutif I'DA World Group Sdn Bhd, Abdul Rahim Abdul Wahab.

Abdul Rahim dilaporkan berkata, sumbangan kepada PAS Kelantan untuk membantu melaksanakan prasarana di beberapa jajahan di negeri ini.

Bagaimanapun malangnya berita bersifat jenaka itu sudah menjadi modal besar bagi Umno bagi menghodohkan wajah PAS dan kerajaan Kelantan.

Mereka tidak perlu berfikir panjang, sekadar menggunakan 'otak di kaki lima' lalu menembak peluru kapur yang akhirnya terpelanting di kaki mereka sendiri.

Ramai pemimpin Umno mahu menjadi jaguh dengan mengulas isu yang berkisar kepada epik dan jenaka termasuk Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid dan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian.

Samalah seperti dakwaan Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Reezal Merican Naina Merican tanpa usul perika mendakwa wang sumbangan kerajaan Pulau Pinang kepada warga emas hasil dari duit judi.

Maka tidak hairanlah golongan profesional dan ahli akademik ketawa dengan watak kampung yang masih lagi membelenggu pemikiran pemimpin Umno.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusof berkata, pejabat Menteri Besar sebelum ini ada menerima kad jemputan hadir ke majlis anjuran syarikat I'DA World Group.

Bagaimanapun katanya, kad jemputan tersebut hanya tertera logo syarikat dan tidak ada ada nama penghantar serta tiada nombor telefon rujukan untuk dihubungi.

"Kad tersebut tidak dapat disahkan kerana tidak ada nama pengirim dan nombor telefon. Ini menyebabkan Menteri Besar tidak dapat menghadiri jemputan tersebut," katanya di sini.

Menurutnya syarikat berkenaan belum diluluskan sebarang projek pembangunan di Kelantan biar pun pengerusinya mendakwa mendapat projek bernilai RM313.71 bilion di Tumpat.

Manakala pada carian di laman web www.idaworld.com.my dipaparkan gambaran projek syarikat berkenaan di Tumpat yang dikenali sebagai projek pembangunan bersepadu dan penjanaan ekonomi di Kelantan.

Lakaran gambar projek seperti di Dubai, Emeriah Arab Bersatu yang lengkap dengan segala kemudahan terkini.

Projek itu dikenali sebagai super mega Seri Tujuh dikatakan akan dibangun di kawasan seluas 144,000 ekar membabitkan kos RM313.71 bilion.

Tertera juga alamat syarikat berkenaan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, Badan PAS Negeri belum bercadang melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa biar pun mengaitkan cek RM4 bilion dengan PAS Kelantan.

"Kita tidak kenal syarikat terbabit. Kita tengok dahulu perkembangannya sebelum mengambil tindakan lanjut bagi mengelakkan ada pihak mencemarkan nama PAS dan kerajaan negeri," ujarnya.

Elaun Diraja: Sidang Khas Dun Kelantan 30 Sept

Posted: 22 Sep 2010 03:07 AM PDT

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 22 Sept: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Khas Negeri Kelantan akan diadakan pada 30 September ini khusus untuk membincangkan soal elaun Diraja Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata persidangan khas itu khusus untuk mengemukakan cadangan Rang Undang-Undang berhubung elaun-elaun Kerabat Diraja pindaan no 2 2010.

Menurutnya, Rang Undang-Undang itu juga turut menyentuh peruntukan Diraja Bagi Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan bagi negeri Kelantan.

Katanya, pada mulanya persidangan Dun khas itu akan diadakan pada 27 September, namun ianya dipinda pada 30 September.

"Kita tunda pada 30 September biasa saja, hanya masalah teknikal," ujarnya kita ditanya kenapa ianya ditunda pada 30 Sptember.

Sehubungan itu, katanya semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) telah dimaklumkan berhubung perkara itu.

Tanah KTMB Bernilai RM400 Juta Dijual Pada Harga RM50 Juta

Posted: 22 Sep 2010 01:00 AM PDT

SHAH ALAM 22 Sept - Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mempersoalkan tindakan penjualan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bernilai RM400 juta kepada Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dengan harga yang jauh yang lebih rendah daripada harga semasa iaitu sebanyak RM50 juta.

Beliau berkata adakah rakyat Malaysia ditipu lagi berhubung perjualan yang membabitkan tapak seluas 8 hektar milik KTMB yang terletak di belakang bekas ibupejabat Unilever di Jalan Bangsar.

"Tanah ini, yang dianggarkan bernilai RM500 per kaki persegi, berkemungkinan digunakan sebagai sumber pendapatan tetap untuk KTMB, selari dengan niat awal tanah tersebut yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan perkhidmatan kereta api.

"KTMB sepatutnya boleh membangunkan tanah tersebut secara usahasama ataupun menerima pulangan menerusi sewaan tanah yang dapat memberikan pendapatan berterusan. Cara sebegini adalah cara bagaimana perkhidmatan MRT di Hong Kong dan Singapura serta London Underground mempertahankan perkhidmatan kereta api mereka untuk kepentingan awam.

"Mekanisma pulangan sebegini bukan sahaja dapat menyelamatkan prestasi kewangan KTMB yang kini dalam kerugian, tetapi juga berpeluang membantu rakyat menerusi penurunan harga tiket dan penyediakan perkhidmatan yang lebih cekap untuk rakyat," kata beliau dalam satu kenyataan.

Namun katanya, kerajaan memutuskan supaya tanah KTMB di Jalan Bangsar ini dipindah milik kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.

Beliau turut mempersoalkan jika sekiranya tapak tersebut dibangunkan semula, adakah unit-unit pembangunan itu akan dijual kepada Bumiputera dengan harga diskaun. Ini memandangkan tanah itu diperolehi oleh PHB dengan diskaun sebanyak 80 peratus,

"Bagaimanakah ianya dapat dinikmati oleh golongan Bumiputera?

"Adakah akan terdapat kawalan bagi memastikan pemilikan bumiputera semasa penjualan unit-unit pembangunan nanti?.

"Adakah rakyat terpaksa menelan kekecewaan apabila sekali lagi terpaksa menerima penggunaan tanah kerajaan untuk memperkaya golongan terpilih?," soalnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan kebimbangannya kerana tidak mahu dasar hartanah Bumiputera disalahgunakan seperti apa yang berlaku di dalam skandal Pelabuhan Bebas Cukai Port Klang (PKFZ) yang membabitkan berbilion ringgit dana rakyat.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menyenaraikan beberapa bentuk manipulasi keuntungan yang dikenali sebagai ketirisan ekonomi dan menimbulkan banyak tanda tanya di kalangan rakyat seperti transaksi tanah KTMB di Tanjung Pagar, Singapura.

1) Orang tertentu yang berkepentingan akan menggunakan syarikat persendirian (seperti dalam PKFZ) atau agensi kerajaan atau badan berkanun untuk mewajarkan pembelian tanah kerajaan pada kadar diskaun yang sangat tinggi. Perbezaan ini dikenali sebagai jurang nilai.

2) Semasa fasa pembangunan hartanah, mereka yang berkepentingan akan mendapat faedah sama ada daripada projek usahasama yang berat sebelah, atau melalui kontrak-kontrak yang dianugerahkan kepada kawan-kawan dan keluarga. Ia pastinya dianugerahkan melalui rundingan terus, atau proses tender yang kabur, dengan kos yang melampau, dan akhirnya sub-kontraktor diberi bayaran sangat rendah, supaya untung kontraktor utama dapat dimaksimumkan.

3) Kos pembangunan yang tinggi melampau itu kemudiannya bolehlah digunakan syarikat yang terlibat untuk mendapat pinjaman kerajaan seperti kes jaminan kerajaan untuk bon persendirian dalam kes PKFZ.

4) Syarikat-syarikat kroni ini kemudiannya akan menjual pula unit yang sudah siap untuk golongan Bumiputera pada harga diskaun. Walaupun dengan diskaun, harganya masih dikira tinggi untuk rakyat biasa.

5) Pemilik Bumiputera ini kemudiannya akan dibenarkan untuk menjual hartanah ini pada harga pasaran sebenar (mungkin juga boleh dipaksakan penjualan kepada agensi kerajaan untuk dijadikan pejabat) dengan untung yang sangat besar setelah dicampur dengan jurang nilai.

6) Untungnya akan mengalir ke tangan persendirian dan bukannya institusi Bumiputera. Ini seperti merompak Ahmad untuk membayar Ali.

7) Jika projek ini berakhir tanpa nilai komersial dan tidak mendatangkan keuntungan, sudah tentu kerajaan akan sedia untuk menyelamatkannya dan menggunakan hujah membela Bumiputera, untuk menegakkan benang basah.

"Ianya merupakan satu bentuk subsidi tidak langsung yang hanya menguntungkan segelintir rakyat sahaja sedangkan pada masa yang sama, subsidi untuk majoriti sudah ditarik.

"Saya akan memantau perkembangan projek ini dengan lebih dekat, ini kerana rakyat mengharapkan kepada kerajaan yang telus dan bertanggungjawab," tegas beliau.

Tambahnya, pada sesi parlimen Oktober depan, beliau akan mencadangkan penubuhan kaukus antara parti untuk pelaksanaan dasar Bumiputera dengan matlamat mengeluarkan laporan tahunan kepada awam tentang hasil dan penerima faedah dasar ini.

SMM Gesa Mahkamah Buat Keputusan Bebas Pengaruh Politik

Posted: 22 Sep 2010 12:30 AM PDT

KUALA LUMPUR 22 Sept - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berharap mahkamah bersikap rasional serta bebas daripada sebarang unsur campurtangan dan tekanan politik dalam membuat keputusan berhubung perbicaraan kes "bini puaka" melibatkan lima pelajar Universiti Malaya (UM).

Justeru itu Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman menyeru seluruh mahasiswa turun ke Mahkamah Tinggi di Jalan Duta, 24 September ini bagi mendengar keputusan kes tersebut. Himpunan itu katanya, adalah bagi menyatakan harapan keadilan di peringkat seluruh mahasiswa kepada institusi kehakiman di Malaysia.

Menurut beliau, badan kehakiman perlulah menjadi perunding yang baik kepada mahasiswa atau rakyat.

"Kita yakin akan kreadibiliti mahkamah di Malaysia sebagai telus, adil dan bijaksana dalam menilai setiap fakta kes.

"Saya mengharapkan seluruh mahasiswa, aktivis dan masyarakat untuk sama-sama berdoa bagi kemenangan kes ini", ujar beliau dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa yang sama, SMM juga meminta seluruh mahasiswa Islam agar mengadakan solat hajat untuk kemenangan mahasiswa yang ditindas di dalam kes tersebut.

Lima mahasiswa terbabit - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli didakwa di bawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan kes kelima-lima tertuduh berlangsung sejak bermula 16 Jun lalu. Mereka dituduh menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi, 24 Jun 2009 di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

PAS Mungkin Ikut Jejak Langkah KEADILAN Gunapakai Sistem Undi Terus

Posted: 22 Sep 2010 12:00 AM PDT

Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM 22 Sept - Melihat kepada keberanian pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) membuat perubahan drastik dengan memberi hak memilih secara langsung kepada ahlinya dalam Pemilihan 2010 kali ini, PAS juga akan menimbang menggunakan pendekatan sistem pemilihan undi yang sama bagi pemilihan parti akan datang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata sistem ini tidak pernah dicadangkan dan dibincangkan dalam PAS kerana ia amat berpuas hati dengan kaedah yang digunakan sehingga kini iaitu sistem delegasi yang juga diguna pakai oleh hampir kesemua parti politik di negara ini.

"Setakat ini kita (PAS) belum bincangkan sejauh mana sistem ini boleh diguna pakai di dalam pemilihan PAS kerana sistem undi terus merupakan satu proses yang rumit dan sukar dilaksanakan dengan baik.

"Selama ini itulah yang dijangkakan oleh PAS, dan sejauh mana PKR berjaya melaksanakannya akan mempengaruhi pendirian PAS pada masa akan datang," jelas beliau kepada Suara Keadilan.

Katanya lagi PAS akan mengkaji keberkesanan sistem undi terus berdasarkan kepada kejayaan dan kelemahgan yanng dihadapi oleh KEADILAN sebelum, semasa dan selepas pemilihan serta reaksi ahli secara keseluruhannya berkenaan sistem undi terus.

"Sistem undi terus ada kebaikan dan keburukannya, dan ini merupakan satu perkara yang boleh dibincang dan boleh dinilaikan dengan melihat kepada pencapaian PKR," jelas Khalid.

PAS mengadakan Muktamar Tahunan ke-55 dan juga pemilihan parti dari 5 hingga 7 Jun 2009 di Stadium Malawati, Shah Alam.

Nurul Izzah Tolak Usaha Media Lagakan Dengan Ayah

Posted: 21 Sep 2010 11:30 PM PDT

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 22 Sept - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar membidas usaha laporan media arus perdana dan juga beberapa laman web yang dilihat cuba mewujud suasana tidak selesa antara beliau dan keluarganya berhubung isu perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti November depan.

Beliau dengan tegas menolak segala tohmahan media yang mengatakan terdapat pergeseran pendapat antara beliau dan ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu tersebut sambil berkata usaha seperti itu tidak akan berjaya.

Kata Nurul beliau sebagai ahli parlimen muda dan ayahnya selaku Ketua Pembangkang sentiasa mengadakan perbincangan mengenai pelbagai isu berkenaan politik dan pentadbiran negara.

Perbezaan pendapat sedikit sebanyak adalah lumrah dunia hatta sekali pun antara anak dan ayah tetapi yang penting ikatan kasih sayang kekeluargaan tetap utuh dan tidak mungkin digugat oleh mana-mana pihak, kata beliau.

"Pada saya, mereka cuba menggunakan cara itu untuk menyerang pucuk pimpinan parti di samping menimbulkan pelbagai isu untuk mewujudkan suasana ketegangan pemilihan pucuk pimpinan yang berlangsung sekarang ini.

"Apa yang didakwa media itu tidak benar sama sekali dan saya menafikan sebagaimana yang dilaporkan media kononnya berlaku perselisihan faham," kata beliau kepada Suara Keadilan.

Kata Nurul Izzah anggota KEADILAN yang berjumlah kira-kira 400,000 orang adalah sebahagian daripada 11 juta pengundi yang menggunakan hak mereka untuk memilih pemimpin di dalam satu proses bebas dan telus.

Mereka yang tidak ingin melihat KEADILAN muncul sebagai parti masa depan dan rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat akan berusaha melalui bermacam-macam cara untuk melemahkan parti.

KEADILAN yang mempunyai 218 Cabang seluruh negara akan mengadakan dua pemilihan berasingan iaitu di peringkat Cabang dan pemilihan di peringkat Pusat.

Pemilihan bermula dari 17 September hingga 21 November ini.

Tahun lepas, KEADILAN meminda perlembagaannya untuk membolehkan ahli mengundi memilih secara terus barisan pimpinan tertinggi parti.

Shamsul Akan Hubungi Khalid Melalui Facebook

Posted: 21 Sep 2010 11:00 PM PDT

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 22 Sept - Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata beliau akan terus menghubungi Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar melalui laman sosial Facebook bagi memberitahu tarikh dan masa pertemuan dengan pihak polis yang mahu mengambil keterangannya mengenai dakwaan pihak ketiga dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang disiarkan dalam portal berita TV Selangor minggu lalu.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, beliau menasihatkan Khalid tidak menggunakan media untuk mengumumkan hasrat pihak polis untuk merekod keterangannya kerana ini bukanlah pendekatan yang wajar selaku seorang ketua polis negeri.

Katanya, memandangkan Khalid lebih senang dihubungi melalui facebook, beliau akan memberikan tarikh dam masa yang sesuai bagi beliau memberi keterangan.

"Sekarang ini, saya sibuk mengendalikan kes perbicaraan di mahkamah di Melaka sehingga 4 Oktober ini, selepas itu saya akan terus menghubunginya melalui facebook.

"Sebenarnya saya tidak ada masalah nak berjumpa, sedangkan kes rasuah yang melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) di Hong Kong pun saya pergi, inikan pula di Shah Alam," ujar beliau.

Sebelum itu, dua wartawan TV Selangor dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataan Shamsul yang mengaitkan campur tangan pihak ketiga dalam siasatan kes pembunuhan tersebut ketika ditemuramah portal berita itu 13 September lalu.

Nurul Beri Keterangan Berhubung Laporan Polis Isu Perkara 153

Posted: 21 Sep 2010 10:30 PM PDT

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 22 Sept - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar akan memberi keterangan kepada pihak polis ini ekoran laporan yang dibuat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Wirawati Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berhubung kenyataan media mengenai jemputan beliau untuk berdebat tentang kedudukan istimewa orang Melayu.

Menurut pembantunya, Rabiatul Adawiah Abdul Rahim polis akan merekodkan kenyataan Nurul Izzah di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 12.30 tengahari hari ini.

Nurul Izzah dipanggil pihak polis berikutan dua laporan polis yang dibuat oleh dua pertubuhan tersebut pada 2 September lalu yang mendakwa beliau mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjemput Perkasa untuk berdebat mengenai isu kedudukan istimewa orang Melayu yang dibangkitkan dalam artikelnya berjudul "The ultimate Malaysian debate: Malaysia or Malaysaja?" yang diterbitkan pada 31 Ogos lalu sempena sambutan Hari Merdeka ke-53.

Nurul mempertikaikan mengapa tidak ada tindakan yang sama diambil terhadap Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chick Raja Zainal Abidin yang mecadangkan Mei lalu masyarakat bukan Melayu diberikan kuota 40 peratus untuk memiliki hartanah di dalam projek Pembangunan Kampung Baru.

"Saya sudah jelaskan bahawa bukanlah niat saya untuk meminda peruntukan Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan orang Melayu, tetapi sekadar untuk mencari penjelasan tentang apa yang dilaung-laungkan oleh Perkasa tentang perjuangan mereka untuk melindungi orang Melayu.

"Yang saya hujahkan dalam tulisan saya sebelum ini adalah bukan kedudukan istimewa orang Melayu tetapi perlaksanaan dasar-dasar yang hanya menguntungkan segelintir orang Melayu?," soal Nurul Izzah.

Beliau kesal jemputannya ditolak mentah-mentah oleh pimpinan Perkasa atas alasan soal kedudukan orang Melayu tidak boleh didebatkan, sedangkan yang ingin bincangkan hanyalah pelaksanaan dasar yang dikatakan dibuat atas peruntukan Perlembagaan.

Pemandu Teksi Dihukum Mati Kerana Bunuh Syafiah Humaira

Posted: 21 Sep 2010 10:15 PM PDT

SHAH ALAM, 22 Sept (Bernama) -- Seorang pemandu teksi Mohd Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu setelah didapati bersalah membunuh kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari, Februari lepas.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohd Fazli Azri, 28, didakwa membunuh Syafiah Humaira yang merupakan anak teman wanitanya di padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang kali pada 6.30 petang 25 Feb lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Fazli Azri, teman lelaki kepada ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, didakwa membunuh kanak-kanak itu dengan cara menendang dan memijak perut mangsa.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom manakala Mohd Fazli Azri diwakili peguam Gurbachan Singh.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 7 Jun lepas, mahkamah telah mendengar keterangan daripada 33 orang saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan.

-- BERNAMA

Zamil Berdepan Risiko Muflis Gagal Jawab Surat Tuntutan Saman

Posted: 21 Sep 2010 10:00 PM PDT

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 22 Sept - Bekas Exco Angkatan Muda KEADILAN, Zamil Ibrahim berhadapan risiko diisytiharkan muflis oleh mahkamah selepas gagal hadir serta menyerahkan notis pembelaan berhubung saman malu yang difailkan Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali.

Tuntutan saman malu RM10 juta difailkan terhadap Utusan Malaysia dan editornya serta Zamil pada 20 Mei lalu ekoran daripada kata-kata fitnah yang dikeluarkan oleh beliau kononnya Dr Syed Husin telah menerima RM500,000 dari Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membubarkan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang mana beliau adalah presiden dan kemudiannya menyertai KEADILAN.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memasukkan penghakiman terhadap Zamil atas saman malu yang telah difailkan oleh Dr Syed Husin terhadapnya.

Zamil didakwa seringkali membuat dakwaan yang tidak berasas ke atas parti serta pemimpinannya sejak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat(KEADILAN).

N Surendran, peguam yang mewakili Dr Syed Husin dari Tetuan Edwin Lim, Suren & Soh berkata, pihak pembelaan telah menyerahkan writ saman terhadap Zamil tetapi tidak ada sebarang jawapan balas dari beliau berhubung tuntutan tersebut.

"Mahkamah akan menetapkan jumlah yang perlu dibayar selepas Zamil ingkar dan gagal memasukkan kehadirannya berhubung saman tersebut.

"Mahkamah telah memerintahkan bahawa gantirugi yang perlu dibayar kepada Dr Syed Husin akan ditaksirkan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi.

"Jika jumlah gantirugi tersebut besar, Zamil bakal berdepan dengan risiko diisytiharkan muflis," ujar beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Dr Syed Husin berkata artikel dalam Utusan Malaysia berjudul 'RM500,000: Syed Husin dicabar lapor polis' pada 6 Mac adalah berunsur fitnah.

Beliau mendakwa Zamil pada atau sebelum 6 Mac bercakap kepada seorang wartawan Utusan Malaysia, dan artikel berkenaan membayangkannya bersalah dengan kegiatan rasuah.

Timbalan Presiden KEADILAN itu juga mendakwa artikel berkenaan membawa maksud beliau telahmelakukan kesalahan jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara.

Selain menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta serta ganti rugi teladan, Dr Sued Husin turut memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut kata-kata fitnah lisan dan libel yang serupa terhadapnya, kos dan relif lain dan/atau selanjutnya yang dianggap wajar dan saksama oleh mahkamah.

Sementara itu tuntutan Dr Syed Husin terhadap Utusan Malaysia dan editornya, Mohd Hassan Mohd Nor telah ditetapkan untuk pengurusan kepada 4 Oktober depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Isu Kepimpinan Terus Menghantui Gerakan Pulau Pinang

Posted: 21 Sep 2010 09:30 PM PDT

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Tindakan sekumpulan anggota peringkat akar umbi Gerakan, yang menggelarkan diri mereka sebagai "Suara Akar Umbi", memanggil mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 Okt untuk menyingkirkan pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang dilantik, Datuk Teng Hock Nan, bukan sesuatu yang memeranjatkan.

Bagi kebanyakan pemerhati politik di Pulau Pinang, EGM pertama dalam sejarah Gerakan itu untuk menyingkirkan seorang pemimpin yang dipilih, merupakan kemuncak kepada isu serta perasaan kecewa yang terhimpun sejak sebelum Pilihan Raya Umum 2008 lagi.

Ia bermula dengan siapakah yang akan menyandang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang selepas Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon melepaskan teraju kepimpinan negeri itu untuk bertanding kerusi Parlimen.

Sebagai pemimpin tertinggi parti, adalah suatu yang lumrah bagi Dr Koh untuk melangkah ke arena politik di peringkat nasional.

Malangnya, perbalahan tentang siapa yang sepatutnya menggantikan beliau daripada kalangan tiga calon berpotensi -- Datuk Dr Teng Hock Nan, Datuk Seri Chia Kwang Chye dan Teng Chang Yeow -- serta ketiadaan keputusan muktamad tentang perkara itu, telah mengundang keadaan parah bagi parti tersebut apabila ia kehilangan kubu kuasanya di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum 2008.

Merujuk kepada EGM yang dicadangkan itu, seorang anggota Gerakan berkata isu yang telah lama berlarutan melibatkan Dr Teng, Chang Yeow dan Chia, yang juga digelar sebagai "Three Musketeers", telah timbul kembali.

Kata beliau sebenarnya kepimpinan tertinggi Gerakan mempunyai peluang untuk menyelesaikan perkara itu melalui pemilihan parti peringkat negeri pada September 2008 apabila Chang Yeow dan beberapa pemimpin lain menyokong Chia menjadi pengerusi Gerakan Pulau Pinang.

"Ketika itu, para pemimpin peringkat nasional sepatutnya telah masuk campur dan mengusahakan penyelesaian secara baik dengan memujuk Dr Teng (Hock Nan) supaya membenarkan Chia menjadi pengerusi negeri dan bukan membiarkan beliau bertanding untuk jawatan itu. Lagipun, seorang pemimpin lain, Chang Yeow telah bersetuju menerima kepimpinan Chia.

Sepatutnya, mereka meyakinkan Dr Teng supaya beliau melangkah ke arena politik di peringkat nasional. Sayangnya, ini tidak dilakukan," kata seorang anggota parti itu.

Dr Teng mencapai kejayaan tipis dalam pemilihan parti di peringkat negeri yang amat sengit dengan mengatasi Chia dengan hanya 10 undi.

Untuk seketika, kemelut yang melanda parti berkenaan kelihatan reda selepas pemilihan itu. Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi lebih buruk apabila Hock Nan dituduh meletakkan penyokongnya sebagai penyelaras kawasan pilihan raya untuk kerusi negeri dan Parlimen hingga menyebabkan Gerakan mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum 2008.

Ini menimbulkan kemarahan anggota parti itu di kawasan Parlimen yang dikuasai beberapa pemimpin Gerakan di Seberang Perai dan sesetengah ketua bahagian dan negeri mendakwa mereka tidak diajak berbincang tentang perkara berkenaan.

"Kawasan di bahagian tanah besar kebanyakannya dikuasai naib pengerusi Gerakan ketika itu Huan Cheng Guan, tetapi Dr Teng membuat keputusan meletakkan orangnya (sebagai penyelaras) tanpa berbincang dengan beliau dan ini menimbulkan kemarahan. Perkara ini membawa kepada konfrontasi antara kedua-dua mereka," kata seorang pemimpin akar umbi di Pulau Pinang yang enggan dikenali.

Konfrontasi itu mencapai kemuncaknya apabila Gerakan membuat keputusan menggantung Huan selama tiga tahun berikutan perbuatannya melemparkan kritikan tajam terhadap Dr Teng. Akhirnya, Huan meninggalkan parti itu sebulan kemudian, walaupun beliau adalah antara tiga naib pengerusi yang dilantik oleh pucuk pimpinan kebangsaan.

Terdapat cakap-cakap bahawa Huan, yang kini menyandang jawatan naib presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), bekerja di belakang tabir bersama beberapa pemimpin Gerakan untuk menyingkirkan Dr Teng.

"Jika anda lihat senarai 67 mereka yang meminta EGM itu diadakan, kebanyakan mereka adalah orang Huan. Ini tidak memeranjatkan kerana Huan sememangnya diketahui mempunyai perhitungan yang perlu diselesaikan dengan Dr Teng. Jangan pandang ringan pengaruhnya dalam parti walaupun beliau tidak lagi bersama Gerakan," kata seorang lagi pemimpin peringkat akar umbi dari Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Huan menafikan sekeras-kerasnya beliau terlibat dengan perkara itu.

Beberapa anggota parti itu berkata hubungan Chang Yeow dan Dr Teng tidak begitu baik selepas Pilihan Raya Umum 2008 kerana berbeza pendapat tentang arah tuju Gerakan negeri.

Kata mereka Chang Yeow berpendapat bahawa sebagai pemimpin, beliau perlu diberi peluang bertanding di kerusi selamat pada pilihan raya umum akan datang, tetapi Dr Teng pula berpendirian bahawa seseorang yang ingin menjadi pemimpin perlu membuktikan kebolehannya dengan bertanding di kawasan yang mencabar.

"Mereka sering bertelagah dalam mesyuarat CWC (Jawatankuasa Kerja Pusat) dan malah dalam mesyuarat CC (Jawatankuasa Pusat). Ini bukan rahsia lagi," kata seorang anggota parti.

Chia dan Chang Yeow juga menafikan mereka memainkan peranan di sebalik usaha menjatuhkan Dr Teng melalui EGM yng dicadangkan itu.

Dr Sivamurugan Pandian, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata sejak Pilihan Raya Umum 2008, Gerakan tidak memainkan peranannya sebagai Pembangkang di Pulau Pinang akibat dibelenggu masalah dalaman.

"Ini sepatutnya membuka mata semua pihak dalam parti itu, yang masih terlibat dengan perbalahan dalaman. Mereka perlu menyusun semula strategi tentang bagaimana untuk menjadi Pembangkang dan bukan bergaduh tentang siapa yang patut mengetuai peperangan," katanya.

Beliau mengaitkan percakaran yang berlaku dalam Gerakan Pulau Pinang dengan ketiadaan tumpuan oleh kepimpinan parti di peringkat kebangsaan terhadap masalah itu berikutan prestasi buruk parti berkenaan pada pilihan raya umum lepas.

"Pangkalan Gerakan masih di Pulau Pinang. Parti ini tidak boleh berpindah dari Pulau Pinang walaupun ia kelihatan lebih kuat di Johor dan Sabah kebelakanggan ini," kata Dr Sivamurugan, sambil menambah bahawa para pemimpin Gerakan di peringkat nasional tidak mempunyai pilihan selain melakukan campur tangan di Pulau Pinang.

Beliau berpendapat sekiranya EGM yang dicadangkan itu diadakan, ia akan menjerumuskan parti berkenaan ke dalam keadaan yang lebih parah berbanding keadaan tidak lama selepas Pilihan Raya Umum 2008.

"Dr Koh perlu menyelesaikannya. Sekiranya EGM itu diadakan dan Dr Teng tersingkir, bagaimanakah untuk memulihkan keadaan dalam parti ini? Sekiranya anggota yang mahukan EGM itu diadakan tidak mencapai niat mereka, adakah mereka akan terus kekal bersama parti ini? Perebutan kuasa dalam Gerakan Pulau Pinang perlu diselesaikan dengan secepat mungkin dan antara punca kekalahan parti ini pada pilihan Raya Umum Mac 2008 ialah perbalahan tentang siapakah yang sepatutnya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selepas itu," kata beliau.

Beberapa anggota parti berpendapat Dr Koh sepatutnya telah bertindak pantas menggantung seluruh anggota jawatankuasa Gerakan Pulau Pinang sebelum keadaan menjadi semakin buruk.

"Masalahnya ialah beliau (Dr Koh) terlalu berhati-hati," kata seorang bekas anggota CC parti itu dan menambah bahawa jika di bawah kepimpinan Tun Dr Lim Keng Yaik, keseluruhan anggota jawatankuasa Gerakan Pulau Pinang sudahpun digantung dan diletakkan di bawah jawatankuasa penjaga sehinggalah semua isu diselesaikan seperti yang beliau lakukan di Johor dan Melaka.

Bagaimanapun, penganalisis politik veteran Datuk Cheah See Kian berpendapat usaha menyingkirkan Dr Teng hanya bermula beberapa bulan lepas dan tidak mempunyai kaitan dengan perbalahan yang melanda parti itu sejak 2008.

Cheah berkata beliau percaya perebutan sebenarnya berlaku antara anggota Gerakan di bahagian pulau dan tanah besar.

Anggota di bahagian tanah besar tidak berpuas hati dengan Dr Teng kerana berpendapat kebanyakan kegiatan parti itu di Pulau Pinang hanya bertumpu di bahagian pulau.

Kumpulan itu juga mendakwa mereka tidak tahu tentang perancangan Dr Teng untuk menawan semula Pulau Pinang walaupun beliau telah menerajui Gerakan di negeri itu sejak dua tahun lepas.

Dr Teng sering berpendapat bahawa tindakan proksi Dr Koh, yang baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa Gerakan tidak mempunyai peluang untuk menawan kembali Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang, bukan sahaja menimbulkan kemarahan anggota di bahagian tanah besar, tetapi juga di bahagian pulau.

Persoalannya ialah jika Dr Teng beredar, adakah Chia, bekas setiausaha agung Gerakan, akan kembali ke pangkuan parti itu? Chia dikatakan mempunyai banyak penyokong di Pulau Pinang. Setakat ini, mereka yang mahukan EGM berkenaan di adakan, tidak pernah menyebut siapa yang mereka mahu.

"Sekiranya Chia menolak, mungkin Chang Yeow akan mengambil alih. Tapi, Chang Yeow juga menyandang jawatan setiausaha agung. Beliau tidak boleh memegang dua jawatan serentak, melainkan dia melepaskan jawatan setiausaha agung," kata Cheah.

Kepimpinan Gerakan telah melantik sekumpulan orang tengah yang terdiri daripada naib-naib pengerusi Datuk Mah Siew Keong dan A.Kohilan, Ketua Pemuda Lim Si Pin dan anggota CC Datuk Gooi Hoe Hin untuk mencari penyelesaian secara baik di Pulau Pinang.

Sekiranya usaha mereka tidak berhasil, EGM berkenaan akan diadakan pada 10 Okt iaitu genap setahun selepas MCA mengadakan EGM yang menyaksikan bekas presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat, kalah melalui undi tidak percaya.

-- BERNAMA

(Imbasan) Surat Pekeliling Larangan Ucapan Pemimpin Pembangkang Di Televisyen Dan Radio

Posted: 21 Sep 2010 06:35 PM PDT

http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc4/hs682.snc4/62258_1509649740914_1224474527_31411479_681872_n.jpg


demokrasi la konon! kepala bapak umno la punya demokrasi

Sebutir Lagi Bom Kapur Diletupkan Di Kelantan

Posted: 21 Sep 2010 06:16 PM PDT

SEMALAM saya agak sibuk sedikit dan tidak dapat memberi reaksi kepada kejadian satu 'letupan bom' di Kota Bharu tentang pemberian wang sebanyak RM4 billion kepada kerajaan negeri dan Pas Kelantan oleh sebuah syarikat yang berhati murah. Ramai yang bertanya saya sejauh mana kesan letupan bom berkenaan. Apakah ianya menyebabkan banyak kematian dan kecederaan serta kesan kepada negeri Kelantan. Semalam sepanjang hari melayani seorang wakil rakyat dan rombongan yang mengadakan kunjungan peribadi ke atas saya. (Macam pembesar pulak).

Beberapa orang dan penjenguk blog menelefon secara personal meminta saya memberi ulasan dan mencari punca kenapa bom berkenaan meletup atau diletupkan. Rata-rata kesal atas apa yang berlaku walaupun jauh di sudut hati ianya sukar untuk dipercayai dan menganggap pemberian itu satu tektik murahan yang hanyir.

Kelantan negeri Serambi Makkah yang mana ketua pentadbirannya Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala Sultannya pula, Sultan Mohamad ke V yang warak, zuhud dan berjiwa rakyat. Persoal itu tidak percaya dengan apa yang berlaku itu namun kerana ia disiarkan dalam akhbar sedikit sebanyak meresahkannya.

Jadi pagi ini saya akan memberi reaksi dan mengulas kejadian letupan bom berkenaan. Sebenarnya mereka yang waras akan menolak dengan mudah terhadap apa yang dilaporkan itu. Bagi mereka yang ada akal dan sisa otak bersih dan masih berfungsi tidak pun perlu mempersoalkan mengenai iya atau tidak tentang perkara itu. Ia boleh tolak secara automatik tanpa banyak mencari masa dan ruang mempersoalkannya.

Tetapi bagi mereka yang cenderong dan ada niat buruk kepada kerajaan negeri Kelantan dan Tok Guru akan cuba 'mengogeh-0gehkan' perkara itu supaya ia nampak benar dan betul. Pada saya pemberian replika itu tak ubah sebagai bom palsu saja digunakan oleh orang yang putus ikhtiar.

Secara logik apakah ada manusia yang akan memberi derma kepada sebuah kerajaan dan parti sebanyak itu. RM4 billion bukan jumlah yang kecil. Lagipun proposal yang dikemukakan oleh syarikat berkenaan untuk mendapatkan projek di Tumpat itu masih pun belum ditengok oleh Nik Aziz sebagai MB Kelantan. Memang katanya proposal itu ada di atas meja Tok Guru dan Tok Guru tidak pun membacanya jauh sekali meluluskannya.

Munasabahnya, seperti mana jelas Nik Aziz, dia tidak tahu, kerajaan tidak tahu dan surat cat pun tidak dibuat macam mana derma itu boleh diberikan atas maksud hendak membalas budi? Kerja ini samalah kerja seorang budak yang tergila Siti Nurhaliza si penyanyi itu satu masa dulu. Kerana dia tergila-gilakan kepada Siti Nurhaliza dicetakkan kad undangan kahwin mengatakan dia nak kahwin dengan Siti. Walhasil Siti Nurhaliza usahkan bertunang dengannya, kenal pun tidak dengan budak lelaki itu. Nah begitu jugalah orang yang memberi derma itu lebih kurang budak lelaki yang tergilakan Siti Nurhaliza itu saja. Hukum dan nilailah sendiri.

Negara Malaysia atau mana-mana kerajaan negeri dan parti politik di dunia tidak pernah menerima pemberian sebanyak itu. Begitu juga tidak ada raja dan orang kaya yang 'ngor' - ngor ini gak yang tolol bodoh dan bebal - di dunia ini yang membelanjakan wang sebanyak itu. Tiba-tiba ada seorang manusia bernama Abdul Rahim Abdul Wahab Melayu asal Malaysia sanggup menghulurkan derma sebanyak itu ia satu yang anih bin ajaib binti tak masuk akal dan s/o gila.

Siapa dia Abdul Rahaim pengerusi Eksekutif I' DAR World Group Sdn. Bhd (I'DA World) ini? Apakah dia seorang terkaya Malaysia yang disenaraikan bersama Ananda Krishnan atau Robert Quok, ataupun Lim Goh Tong dan lain-lain? Rasanya tidak. Jadi kalau dia bukan orang kaya, apakah logik dan munasabah orang yang entah dari mana datang itu boleh mendermakan wang sebanyak itu?

Itu sebab saya kata dia ini kurang empot. Sekiranya dia memiliki wang sebanyak itu beliau tidak perlu menderma kepada Kelantan untuk mendapat projek, cukup dia gunakan wang itu untuk makan dia bersama anak beranaknya. Peruntukan tahunan negeri Kelantan untuk masa 10 tahun pun tidak mencecah ke angka itu. Kalaulah dia menjadi saya dengan wang sebanyak itu saya tidak akan dermakan kepada Nik Aziz atau Pas sebaliknya saya gunakan untuk mengambil kerajaan negeri Kelantan, lagi bagus.

Hanya orang yang tidak waras dan tidak sihat saja akan mempercayai perkara berkenaan. Bagi mereka yang waras akan tergelak dan ketawa dengan apa yang berlaku. Bahawa ada satu lagi drama ataupun babak badut di Kelantan. Entah kenapa di Kelantan sejak akhir-akhir ini pun banyak berlaku perkara yang anih manih.

Baru-baru ini ada seorang gadis mengaku keturunan Puteri Saadong. Riuh randah orang Kelantan dibuatnya sampai para kerabat raja Jembal berhimpun untuk mencari "DNA" terhadap gadis berkenaan. Walhal awal-awal lagi ia sudah nampak lucu dan bohong tetapi tetap juga dipedulikan. Inilah satu kelamahan orang Kelantan tidak mudah hendak menolak sesuatu yang tahyul, bidaah walaupun nas dan dalil pembohongannya sudah terang benderang.

Jadi dakwaan oleh orang bernama Abdul Rahim memberi wang kepada kerajaan Kelantan dan parti itu juga salah satu lagi babak anih yang melucukan di Kelantan. Ia tidak lebih daripada babak untuk mencukupkan senarai pelbagai keanihan di Kelantan.

Siapa dia Abdul Rahim ini? Dari maklumat yang diperolehi beliau seorang yang bercita-cita besar untuk jadi seorang usahawan berjaya. Dia sudah lama mendekati keluarga Tok Guru. Katanya dia mendakwa dan memberi tahu kepada orang ramai yang dia baik dengan semua keluarga Tok Guru. Dia juga mendakwa kenal rapat dengan para menantu Tok Guru.

Katanya satu masa dia mendakwa dia adalah keluraga Che Yah.. cik Yah.. cik Yah ni gat isteri Tok Gurulah, Datin Sabariah Ishak. Katanya dia pernah meminta projek tertentu kononnya untuk kepentingan anak menantu Tok Guru. Dia menggunakan nama Tok Guru dan keluarganya untuk kepentingan dirinya. Beliau pernah meminta bantuan seseorang untuk mendapatkan tanah seluas ratusan ekar daripada kerajaan Kelantan.

Selain dari itu dia ini juga dikatakan menjadi alat dan diperalatkan untuk menjauh dan merenggangkan hubungan Tok Guru dengan seorang Exco Kelantan. Ahlul keluarga Tok Guru hendaklah faham peranan orang ini bagi mengelakkan keburukan lebih teruk.

Senario ini boleh memberi faham siapa dia ini dan apa jenis orang ini. Senerio ini juga akan menjawab kenapa berlaku kejadian yang tidak masuk akal itu tetapi boleh mengejutkan orang ramai dan menyebabkan Umno tersenyum?

Sebenarnya tidak Nik Aziz perlu cemas dan tidak perlu jelas mengenai kejadian itu kerana orang ramai boleh fikir secara logik mengenai kejadian dan laporan terhadap kejadian itu.

Masakan wang sebanyak itu yang hendak diberikan kepada kerajaan Kelantan dan parti, ketua kerajaan dan ketua parti tidak tahu. Anih bukan? Apa pula peranan dan fungsi Nik Dir untuk menerimanya sebagai mewakil kerajaan dan parti? Di sini saja bagi mereka yang tahu sistem pentadbiran dan tatsusila hidup sudah merasa janggal dan pelik.

Apa yang boleh difahami di sini babak itu adalah satu perangkap untuk memburukkan imej Tok Guru dan kerajaan Kelantan. Jelas di sini adik Nik Abdul Aziz bernama Nik Dir Nik Mat itu sudah menjadi alat dengan tujuan tertentu. Alangkan dayusnya mereka yang memperalatkan adik Nik Aziz kerana beliau seorang yang jujur, ikhlas dan tidak tahu sepak terajang politik. Salahnya di sini orang menganjurkan majlis berkenaan.

Apa yang saya nampak di sini ianya sudah diplankan demikian rupa. Buat replika cek besar-besar tulis derma untuk Nik Aziz atau Pas atau kerajaan negeri kemudian 'pukul gambar' dan masukan dalam surat khabar. Tujuannya biar Umno dan musuh Pas ulas. Dan itulah nampaknya yang berlaku pagi ini bila baca akhbar penjilat punggung. Abdul Rahim bukan saja berjaya memperdayakan Nik Dir dan mempermainkan Nik Aziz tetapi ikut sama mempermainkan akhbar-akhbar tertentu yang menyiarkan berita berkenaan. Seharusnya Editor memeriksa dan menilai sejauh mana logiknya kejadian itu sebelum ianya disiarkan apa lagi bagi memberi gambaran Nik Aziz dan kerajaan korup.

Sekali lagi, kalau kita melihat dan menilai wibawa beberapa oknum yang mengulas dan mempersoalkan perkara itu dalam akhbar ia wajar ditolak awal-awal lagi. Orang yang mengulas atau cuba memainkan isu itu juga tidak mempunyai kecerdikkan dan pengetahuan secukupnya dalam hidup mereka. Mereka ini sebenarnya sudah 'dawas'. Kalau mereka ini jenis haiwan mereka tak ubah macam biawak saja boleh libas dan memakan apa benda yang melintas di depan asalnya peruk mereka membuyut.

Begitulah selalunya menimpa orang bodoh yang cuba hendak bercakap menunjukkan kecerdikan... ia jadi tambah bodoh. Dia akan cakap apa saja walaupun apa yang dicakapkan itu diketawakan orang. Ada yang meminta SPRM menyiasat pemberian itu kononnya hendak menceritakan kepada dunia kerajaan Kelantan dan Pas sebuah kerajaan yang korup dan parti korup.

Kalau pencaang itu cerdik ada sedikit ilmu ataupun lulus Empat Thanawi tentu dia akan merasa malu untuk membuat desakan demikian. Apakah dia faham bahawa replika itu sudah mempunyai nilai sebanyak RM4 billion. Replika ialah tiruan cek saja yang biasanya dibuat daripada kertas atau polistrim yang harganya tidak sampai RM50.

Rasanya SPRM tidak jadi sebodoh mereka yang suruh menyiasat kes berkenaan. Tidak tahulah kalau sewaktu penambahbaikkan ke atas SPRM yang dibuat baru lalu boleh memsabitkan pemberian replika seperti itu tidak pula saya tahu. Dan kalau ianya boleh disabitkan sangatlah melucukan dan jadilah taraf SPRM itu sama rendah mutu dan darjat dengan orang yang mendesak agar kerajaan Kelantan di siasat ekoran babak lucu dan anih itu.

Melihat kepada maksud perbuatan orang bernama Abdul Rahim itu jelas ia cuba memberi imej buruk kepada Kerajaan Kelantan dan ada unsur-unsur jenayah. Barang kali dalam proses untuk menyapu arang yang dilakukan itu kerajaan Kelantan, Pas dan Nik Aziz sendiri wajar membuat laporan polis ke atas kejadian itu.

http://msomelayu.blogspot.com/

[Sumber]

Tiada ulasan: