Biaqpila |
- PAS tidak menipu, Umno lah penipu di Selangor
- Al-Fatihah : Adun Galas kembali ke rahmatullah
- PR perintah: Umno BN hilang kuasa, bukan Melayu
- Jual Beli Tanah Sosilawati Antara 290 Kes Disiasat Unit Jenayah Komersil
- Satira: Banyak tanda tanya penahanan Zunar
- Aku ni pun bukan Melayu!
- Artis dicekup di rumah janda
- Keputusan Liga Perdana Inggeris 26/09/10
| PAS tidak menipu, Umno lah penipu di Selangor Posted: 27 Sep 2010 03:00 PM PDT Oleh Roslan SMS ![]() Kalau kita biasa hidup senang, hidup bagaikan tikus jatuh ke kepok, tak pernah susah, tiba-tiba jatuh terperosok menyembam bumi, memang sukar menghadapi realiti. Demikianlah keadaan rakan-rakan kita dalam Umno di Selangor. Lebih 50 tahun menongkat langit menyangkakan ia tidak akan runtuh-runtuh, rupanya bila runtuh, hidup terus kacau dan meracau. Mereka menyangkakan seolah perubahan politik yang dibentuk hasil dari kemahuan rakyat ini suatu mimpi ngeri. Ia akan hilang jika mereka terjaga dari tidur. Untuk merampas kembali kuasa mereka tidakss egan dan silu melakukan apa sahaja yang terupaya oleh nafsu serakah. Biar ia bohong, politik murahan, mereka sangkakan rakyat masih di takuk lama. Masih akan tunduk dan patuh pada apa sahaja karenah mereka. Beberapa hari lalu saya menafikan bahawa ada ahli PAS di Kuala Selangor keluar parti tinggalkan PAS masuk Umno. ADUN Umno Jeram Amiruddin Setro menggambarkan pada rakyat bahawa orang PAS sudah hilang keyakinan pada parti dan perjuangan mereka. Buktinya seorang Timbalan Ketua Pemuda cawangan dengan lebih 30 orang ahli keluar parti menyerahkan boring masuk Umno kepada beliau.Bagi beliau itulah pencapaian terbesarnya. Ini suatu permulaan, kalau hari ini 30 esok mungkin 300, lusa 3000 kemudian puluhan ribu akan keluar beramai-ramai dari PAS dan masuk Umno. Lalu akan robohlah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ini. Menurut PAS cawangan berkenaan iaitu cawangan Kuala Parit di Bukit Kuching, Jeram, apa yang di "drama" kan oleh amiruddin itu bohong belaka. Pertama hamba Allah yang dikatakan Timbalan Ketua Pemuda PAS itu bukan ahli PAS pun dan keduanya kesemua 30 orang yang didakwa ahli PAS pun bukan begitu. Pada hari Sabtu lepas di muka S4 akhbar Sinar Harian YB Amiruddin dilaporkan berkata: Ahli PAS keluar parti bukan sandiwara. Mereka mengaku kepada saya, katanya. Dengan kuasa Allah pada keluaran yang sama akhbar berkenaan muka S19, berita Kuala Selangor dilaporkan : PAS sangkal dakwaan 30 ahli sertai Umno. Berita tersebut bukan sekadar melaporkan penafian PAS cawangan, malah dilaporkan dalam Majlis Jamuan Aidilfitri cawangan berkenaan, hamba Allah bernama Sharudin Mohd Nri dan rakan-rakannya 30 orang turut hadir dan Sharudin menafikan ada mengaku menyerang PAS pada Amiruddin. Dalam mukasurat sama disiarkan gambar Sharudin bersama Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Selangor dan pimpina Pemuda PAS Kuala Selangor. Sekarang siapa yang menipu? Itulah kerja Umno di negeri Selangor sebenarnya. Dengan beberapa kerat baki kerusi Dun yang ada pada mereka, apa sahaja mahu digunakan untuk mengaburi mata rakyat serta mencabut keyakinan rakyat pada kerajaan PR Selangor yang mereka kasihi itu. PAS tidak menipu dalam hal ini, yang terbukti Umno yang menipu, ADUN Umno penipu.Saya yakin rakyat Selangor salamanya tidak akan memilih penipu untuk memimpin mereka. Kalau dah terkena lebih 50 tahun, insyallah mereka tidak akan tertipu lagi http://n32.blogspot.com/ DD | |||
| Al-Fatihah : Adun Galas kembali ke rahmatullah Posted: 27 Sep 2010 10:30 AM PDT ![]() Para pemimpin PAS di samping jenazah Chek Hashim di Pusat Perubatan Islam Kampung Baru. Wartawan Kita KUALA LUMPUR, 27 Sept: Adun Galas, Chek Hashim Sulaima, 47, kembali ke rahmatullah di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 4.30 petang ini. ![]() Allahyarham yang mengidap penyakit barah di bahagian paru-paru menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak hampir seminggu lalu. Sebelum itu beliau menjalani rawatan perubatan tradisional Cina di Serdang. Gambar kanan: Chek Hashim) Allahyarham dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan pernah mendapat rawatan beberapa bulan di China. Pada Ramadan tahun lepas, beliau menjalani rawatan di Orient Hospital Guanzhong. Sebelum itu Chek Hashim mendapat rawatan awal di The First People's Hospital juga di Guanzhong. Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang. Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti. Dan pada Julai lalu, Adun Galas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu. Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan petang 26 Julai lalu selepas tiga hari pulang dari menjalani rawatan kimoterapi di sebuah hospital di China. Allahyarham meninggalkan dua balu, Che Bongsu Jusoh dengan tujuh orang anak dan Aida Zakaria pula lima orang anak. (Gambar: Pulang ke kampung halaman. Jenazah Chek Hashim dibawa dengan ambulan ke Gua Musang untuk dikebumikan) Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Che Hashim dan rakyat di Dun Galas di atas pemergian Almarhum. "Sesungguhnya Almarhum adalah seorang yang gigih menjalankan tugas dan komited dengan perjuangan. Marilah sama-sama kita berdoa agar roh beliau dirahmati oleh Allah," ujarnya dalam kenyataan ringkas. Bagi timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa, pemergian Almarhum adalah kehilangan besar bagi rakyat Kelantan. "Saya difahamkan, perlibatan Almarhum dengan PAS sejak zaman muda lagi, Almarhum banyak berjasa kepada rakyat. Semoga jasanya berkhidmat di Galas, untuk rakyat Kelantan dirahmati Allah. Bagi kita, sumbangannya akan seperti tinta emas dalam perjuangan kita, PAS," ujarnya yang menziarahi allahyarham di hosiptal berkenaan. Turut memberi penghormatan ialah naib presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan. HD | |||
| PR perintah: Umno BN hilang kuasa, bukan Melayu Posted: 27 Sep 2010 05:00 AM PDT ![]() Mohd Ali Hashim PERMATANG PAUH, 26 Sept: Sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menerajui pentadbiran negara, maka kuasa Melayu tidak akan hilang, sebaliknya kuasa Umno dan Barisan Nasional (BN) yang akan terhapus dari persada politik negara ini. Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man berkata demikian sebagai mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa kuasa dan suara Melayu akan hilang sekiranya pembangkang menguasai kerajaan. Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Adun Permatang Pasir dan PAS Kawasan Permatang Pauh di Permatang Pasir, semalam. Menurutnya, adalah tidak munasabah dakwaan yang dikeluarkan oleh Mahathir sebagai seorang yang telah lama memegang tampuk pemerintahan negara terhadap PR. "Beliau harus mengkaji sejarah yang dekat dengan kita. Dalam negara sendiri contoh yang ada di depan mata boleh digunakan sebagai fakta. Di negeri Kelantan contohnya yang hilang kuasa adalah Umno dan BN apabila PAS memerintah negeri tersebut lebih dari 20 tahun. "Begitu juga dengan negeri Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Kuasa Melayu dan suara Melayu tidak hilang. Hanya yang hilang ialah kuasa dan suara Umno serta BN yang selama ini tidak pernah mengakui kekalahan mereka," ujarnya lagi. Beliau yang juga merupakan Adun Permatang Pasir berkata, dakwaan yang dibuat oleh Mahathir sepatutnya tidak lagi diberi perhatian kerana tidak bersandarkan kepada fakta yang sebenar. Tambahnya lagi, kuasa Umno dan BN itu yang dianggap sebagai kuasa dan suara Melayu adalah satu pandangan yang meleset dan mengelirukan rakyat. "Pada anggapan mereka kuasa Umno itu adalah Melayu dan kuasa Melayu itu adalah Umno, sedangkan PAS adalah lebih kemelayuannya jika mahu dibandingkan dengan Umno. "Dakwaan beliau yang menyifatkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai alat kepada DAP juga adalah prejudis yang buruk terhadap kepimpinan PR. Beliau harus sedar sejauh mana laungan dan jeritan untuk memenangkan Umno dan BN tidak akan merubah pendirian rakyat bahawa kuasa yang ada pada BN di Perak adalah kuasa yang tidak halal setelah rakyat menolak mereka dengan kertas undi dalam pilihan raya 2008 yang lalu," tegasnya lagi. HD | |||
| Jual Beli Tanah Sosilawati Antara 290 Kes Disiasat Unit Jenayah Komersil Posted: 27 Sep 2010 03:00 AM PDT ![]() KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Kes penjualan dan pembelian tanah diBukit Jambul, Pulau Pinang yang dikendalikan peguam yang disyaki suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain ialah antara 290 kes membabitkan peguam yang dalam siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman. Timbalan Pengarah JSJK Datuk Noryah Md Anvar berkata polis sedang menyiasat kes-kes jenayah komesil itu yang membabitkan peguam di seluruh negara termasuk membabitkan kes penipuan penjualan tanah dan rumah. "Kesalahan lain ialah menipu, pemalsuan dokumen, geran tanah dan afidavit serta pecah amanah," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini, hari ini. Difahamkan pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain berkait rapat dengan wang hasil jualan sebidang tanah bernilai RM29 juta di Pulau Pinang milik Sosilawati bersama dua lagi rakan kongsi. Pembelian dan penjualan tanah itu difahamkan dikendalikan sepenuhnya oleh suspek utama, selaku peguam dan bertindak sebagai broker, berikutan pengalaman luasnya sebagai pengamal undang-undang terutama dalam urusan berkaitan jual beli tanah. Sosilawati, pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dan pemandu peribadinya Kamaruddin Shansuddin, 44, perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah. Pada 12 Sept lepas polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor. Ketika ditanya siasatan kes tanah itu, Noryah enggan mengulas lanjut dan berkata akan memaklumkannya kepada media jika terdapat perkembangan terkini. Beliau berkata sehingga kini, 35 peguam telah ditahan di seluruh negara membabitkan penipuan penjualan tanah termasuk seorang peguam berusia 50 tahun yang ditahan pagi ini kerana terbabit dalam kes penipuan tanah bernilai RM15 juta. "Peguam itu ditahan di rumahnya di Sunway pada pukul 8 pagi ini kerana dipercayai terlibat dalam penipuan penjualan tanah di Kuala Lumpur. "Dia akan dituduh di mahkamah hari ini," katanya.Noryah berkata daripada 35 peguam yang ditahan itu, 10 orang adalah di Selangor, lapan di Johor, empat orang masing-masing di Kedah dan Kuala Lumpur, tiga orang masing-masing di Perak dan Negeri Sembilan, dua di Melaka dan seorang di Pulau Pinang. "Mereka berjawatan profesional, sangat licik dan menggunakan kepercayaan serta harapan yang diberikan oleh pelanggan-pelanggan mereka dengan menipu. "Kebanyakan kesalahan ialah memalsukan dokumen termasuk geran tanah sehingga pejabat tanah mempercayai tindakan mereka itu," katanya. (Bernama) | |||
| Satira: Banyak tanda tanya penahanan Zunar Posted: 27 Sep 2010 12:00 AM PDT ![]() KUALA LUMPUR, 26 Sept: Tindakan keras yang diambil pihak polis dalam menahan kartunis terkenal tanahair, Zunar menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijelaskan. Menurut Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram), ini demi mengekalkan kepercayaan masyarakat akan ketelusan dan keterbukaan kerajaan dalam menerima sebarang maklumbalas daripada masyarakat mengenai perlaksanaan amanah dan tanggungjawab kerajaan. Naib presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, antara persoalan yang wajar dijelaskan ialah mengapa kebebasan bersatira untuk memperbaiki dasar pentadbiran awam diwar-warkan sebagai hasutan. Katanya, satira merupakan salah satu kaedah kritikan berlapik yang diterima pakai sejak zaman belum merdeka lagi dan digunakan oleh ramai pejuang kemerdekaan seperti Pak Sako dan Pendeta Za'ba. Justeru, katanya Ikram memandang serius mengenai penangkapan dan penahanan Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque di bawah Akta Hasutan. Ikram, jelas beliau pada dasarnya bersetuju dengan keperluan untuk melindungi masyarakat awam daripada diperdaya dengan laporan dan pengkhabaran palsu yang mencetuskan huru-hara di kalangan rakyat. Katanya, karya kartun semasa Zunar tidak tersiar di mana-mana akhbar atau makalah, dan buku-buku yang dijual pula sukar untuk didapati di toko-toko buku utama. Namun, tambahnya kenyataaan bersifat perkauman seorang pengetua sekolah yang sudah lama diwar-warkan dalam media arus perdana tidak pula mengundang apa-apa tindakan undang-undang. Malah, katanya lagi pemimpin nombor dua negara pun mengaku apa-apa tindakan terhadap pencetus insiden yang mencalar maruah kaum minoriti itu bukan di bawah bidang kuasanya. "Bagaimana satira politik boleh dianggap lebih berbahaya daripada isu perkauman, sehingga perlunya Zunar dihantar ke beberapa lokap berturut-turut sebelum ditahan di bawah Akta Hasutan, sedangkan Akta Hasutan digubal untuk mengelakkan pemberontakan besar-besaran melalui cara-cara yang bercanggah dengan perlembagaan negara seperti tindakan subversif gerila komunis pada awal kemerdekaan Malaysia," ujarnya. Sehubungan itu, katanya Ikram mengesyorkan mana-mana institusi atau badan kerajaan yang terkesan dengan sebaran awam yang dianggap palsu dan berunsur fitnah dalam media bebas seperti forum atau blog di internet supaya tampil proaktif dalam memberikan penjelasan yang bernas terhadap isu-isu yang dibahaskan. Beliau menambah, tindakan menggertak dan menangkap para pengkritik dasar kerajaan dan menuduh mereka di bawah Akta Hasutan hanya akan menambahkan kesangsian rakyat terhadap keikhlasan kerajaan untuk mengekalkan kebebasan bersuara sebagai salah satu hak yang wajar dinikmati rakyat. Kerajaan, ujarnya perlu menyedari bercambahnya masyarakat Malaysia melalui media bebas seperti blog adalah berpunca dari kelemahan arus media perdana yang dilihat sebagai tidak objektif dalam menyebarkan berita serta gagal dalam meraikan kepelbagaian pendapat semasa segenap lapisan masyarakat yang berbeza falsafah politik dan kepercayaan. Tambahnya, Ikram menggesa pihak berkuasa untuk membebaskan Zunar dengan serta merta agar keyakinan rakyat terhadap keterbukaan kerajaan dalam penerimaan kritikan awam demi penambahbaikan pentadbiran dan pengurusan negara dapat dikekalkan. "Sekiranya ditahan maka prosedur penahanan dipatuhi dan hak peguam perlu diberikan kepada Zunar. Sebarang tindakan intimidasi dan tekanan harus dihentikan," ujarnya lagi. HD | |||
| Posted: 26 Sep 2010 09:00 PM PDT ![]() Semakin hari, semakin ramai yang ditakuti oleh rejim Umno Barisan Nasional (BN). Sehari dua ini, media menceritakan apa yang dialami oleh musuh lama mereka, kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar (dan ningrat moronic ni is talking shit again!) Dengan ketakutan yang terlampau, wartawan Utusan Malaysia pun dah jadi hantu di mata puak-puak Umno BN. Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari dah masuk senarai punching bag Umno BN. Bagi saya, kita kena sokong Zunar dan Hata. Saya mana tau Hata tu parti apa. Lantak dialah. Peduli apa aku. Tetapi, bila dia dipukul bantai kerana memperjuangkan benda yang betul, kita kena sokong dia. Hata bukan suruh kita lawan Umno atau BN pun. Dia hanya sekadar menegakkan etika dan profesionalisme kewartawanan. Itu pun dah jadi dosa besar kepada orang-orang yang takut dan bimbang akan terancam kesedapan ketua-ketua mereka membantai harta rakyat dan negara dengan kuasa yang dipinjamkan oleh Allah s.w.t. Maklumlah, depa pun nak tumpang tuah juga. Betul juga, kalaulah Umno dan BN kalah, siapa nak bayar ansuran rumah mewah, kereta mewah dan macam-macam mewah lagi. Bini mewah pun mungkin akan buat kelaku kalau dah depa terpaksa jual mee bawah pokok bila Umno dan BN dah kalah. Fat cats are actually protecting their ill gotten wealth and fortunes. Sebab itulah depa garang dan bengis tak tentu hala kepada sesiapa pun. Slogan penipu mereka ialah Melayu. Siapa saja yang sanggup jadi tukang ampu mereka diiktiraf atau dah perasan jadi Melayu, tak kiralah sama ada Mamat tu keturunan India ka, Arab ka.. Dan, siapa saja yang tidak datang dari kandang dan gerombolan mereka atau menjadi tukang ampu mereka, semua tu bukan Melayu. Saya yang bersyukur dengan ketetapan Allah mentaqdirkan saya sebagai Melayu ni pun bukan Melayu juga sebab benci kat depa. Depa ingat Melayu tu adalah monopoli mak bapak depa. Konon institusi Melayu la, apa la. Bahaya sungguh orang yang perasan tak tentu hala tu. Adakah kita, rakyat, sanggup dibodohkan oleh Melayu-Melayu palsu tu? Adakah kita, rakyat, takut sangat kepada kebengisan pembantai-pembantai harta rakyat dan negara itu? Sendiri mau ingat la! http://penarikbeca.blogspot.com DD | |||
| Posted: 26 Sep 2010 06:00 PM PDT 2010/09/27 PUTRAJAYA: Seorang penyanyi dan pelakon terkenal era 1980-an dan awal 1990-an memberi alasan datang berhari raya ketika dicekup kerana disyaki berkhalwat di rumah janda dipercayai kekasihnya di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, kelmarin. Artis berusia dalam lingkungan awal 50-an itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menyerbu premis itu pada kira-kira jam jam 11.45 malam. Menurut sumber, artis terbabit dipercayai sudah beberapa kali mengunjungi kekasihnya yang menginap di tingkat dua kuarters 15 tingkat itu sebelum penguat kuasa Jawi menyerbu premis itu. Sebelum itu, penguat kuasa Jawi mendapat maklumat awam berkaitan kehadiran artis itu di rumah janda beranak dua berusia lingkungan 30-an yang juga kakitangan kerajaan di sebuah kementerian, di sini, yang dikatakan berdua-duaan di dalam rumah itu, sejak jam 10.40 malam. Sumber itu berkata, lima penguat kuasa Jawi membuat pemeriksaan dan terpaksa menunggu kira-kira 30 minit sebelum dibuka artis terbabit dan ketika itu pasangannya berpakaian kemas seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku. "Seperti biasa, penguat kuasa Jawi kemudian memasuki rumah dan melakukan pemeriksaan sebelum mendapati seorang wanita yang juga berpakaian lengkap duduk di kerusi di satu sudut di dalam rumah itu. "Artis terbabit yang dipercayai panik cuba melepaskan diri, cuba merayu bagi mengelak dikenakan tindakan dan secara jujur mengaku bukan mahram, tetapi tidak melakukan maksiat di rumah itu," katanya. Sumber berkata, alasan tidak bijak artis terbabit tidak dipedulikan penguat kuasa Jawi yang kemudian mengingatkannya perbuatan berduaan dengan wanita bukan mahram adalah perbuatan maksiat dan boleh menjurus kepada perbuatan tidak bermoral termasuk zina. Katanya, walaupun artis terbabit memberikan pelbagai alasan termasuk kononnya mahu menghantar barang kepada kekasihnya itu, tetapi alasan itu ditolak mentah-mentah penguat kuasa. "Selepas rayuan tidak dipedulikan, artis terbabit dan pasangannya yang sudah beberapa bulan menjanda kemudian akur sebelum dibawa ke Pejabat Jawi cawangan Putrajaya untuk disoal siasat," katanya. Menurut sumber itu, pasangan terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan selesai dilakukan dan bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah Putrajaya dalam tempoh terdekat. Mereka akan didakwa mengikut Seksyen, 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana melakukan khalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua penjara tahun atau kedua-duanya sekali. HM | |||
| Keputusan Liga Perdana Inggeris 26/09/10 Posted: 26 Sep 2010 04:21 PM PDT
|
| You are subscribed to email updates from Biaqpila To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |








Tiada ulasan:
Catat Ulasan