sesemut emas ™ |
| Posted: 10 Aug 2010 02:47 AM PDT Ramadhan datang lagi. Alhamdulillah kita sempat menyapa dan mendakapinya penuh erat. Ia kurniaan Ilahi maha hebat, cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah.. Awalannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirannya bebas dari api neraka. Masya-Allah.. Namun, ini mungkin Ramadhan yang terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah.. Berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman rakan, yang bersama kita Ramadhan setahun lalu, kini tiada lagi, tidak sempat untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam madrasah penuh pengorbanan ini.. Justeru jangan terleka. Peluklah dengan penuh kecintaan - setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah - Ramadhan yang sarat dengan keberkatan ini. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan terbelenggu. Hamparan ketaqwaan dibentang seluas-luasnya.. Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan.. Menghampiri Ramadhan kerap mengingatkan saya tentang pemergian secara tiba-tiba buat selama-lamanya, jantung hati kami sekeluarga, Kanda Hj Ahmad Fuad Hj.Mustafa, pada malam 15 Ramadhan, sepuluh tahun lalu. Dalam usia 27 tahun, kematian kanda tercinta, anak lelaki pertama harapan ayah dan ibu, cukup meremukkan hati; mencampakkan saya, adik-beradik, ayah & ibu terutamanya dan saudara mara yang lain ke penjuru satu dunia yang berbeza.. Ternyata kasih sayang buat saudara darah daging sendiri begitu luar biasa, tertanam jauh di dalam kalbu, menyelinap setiap denyut nadi.. Ya, Ramadhan dan kematian menjadi cukup intim, saling mengingatkan, walaupun selalunya peringatan itu mudah dilupakan. Khabar kematian sering mengejutkan. Debarannya keras sekali.. Hentakannya boleh memutuskan angan-angan. Sayang, insan selalu alpa. Kematian saudara kandung yang belum berkeluarga, yang masih muda, apa lagi yang tidak didahului dengan sakit memanjang, lebih "istimewa" berbanding kehilangan ibu atau ayah, atau keluarga terdekat lainnya.. Ia memang menyesakkan nafas, membuntukan fikir, namun secara misteri mudah menyuntik rasa sedar-insaf bahawa panggilan Ilahi bisa datang secara tiba-tiba, tanpa bertanyakan apakah persiapan sudah beres atau masih khayal dengan hal duniawi yang tidak berkesudahan.. Benar sekali Sabda Nabi S.A.W, perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat meragut kelazatan dunia, iaitu mati. Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang orang Mu'min yang paling mulia, maka jawabnya adalah orang yang paling baik akhlaknya.. Ditanya lagi, orang Mu'min mana yang paling beruntung atau cerdas, maka jawab Baginda S.A.W, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian.. Ramadhan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan. Manakala mengingati kematian menyebabkan seseorang menyegerakan taubat, rendah hati dan rajin beribadah. Namun Ramadhan bukan pula membungkus seseorang dengan aktiviti individualistik semata.. Khidmat buat masyarakat, menarik tangan masyarakat bawahan yang tertekan, terutama dalam kesempitan hidup yang menggigit ini; semuanya perlu ditingkatkan setulusnya, sebagai satu persembahan agung buat Ilahi Rabbul A'lamin. Sesungguhnya Allah SWT amat mencintai makhluk yang paling penyayang pada makhluk yang lain, yang paling bersungguh-sungguh dalam memenuhi keperluannya.. Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadhan yang sangat istimewa itu. Pesanku buat diri yang sangat mudah terleka ini, juga kita semua.. walaupun kanda kerap mengejutkannya.. -ibnumustafa- |
| You are subscribed to email updates from sesemut emas ™ To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan