Khamis, 19 Ogos 2010

MANDOR.BLOGSPOT.COM

MANDOR.BLOGSPOT.COM


PAS SELANGOR SILAP BESAR ?

Posted: 18 Aug 2010 11:50 PM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

ISU kuota Bumiputera dipentaskan semula oleh MCA dan Umno. Sewajarnya PAS tidak turut menawarkan diri di dalam pentas sandiwara mereka. Apabila saya membaca kenyataan PAS Selangor di sini, saya sedikit terkilan dengan pendekatan PAS Selangor. Samada pendekatan itu dipersetujui oleh PAS Selangor atau tidak, Wallahu Aklam.

Sebenarnya semua telah maklum termasuk rakan di dalam PR sendiri bahawa PAS sejak dari dahulu lagi menyanjung keistimewaan orang-orang Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Begitu juga dengan PKR dan DAP, yang kesemua parti di dalam PR ini telah pun Justify Fullmenandatangani pengistiharan bahawa Perlembagaan tetap dipertahankan. Oleh yang demikian, tidak bijak jika kita di dalam PR melatah dengan sandiwara yang dimainkan oleh Umno, MCA mahupun PERKASA. Biarkan sahaja mereka `bersilat pengantin' yang setiap pukulan silat pengantin tidak akan mengenai sesiapa pun.

Saya cukup teruja apabila KM P.Pinang Lim Guan Eng yang mahukan DAP tutup mulut dari mencampuri urusan MCA, Umno dan PERKASA. Lim Guan Eng menyedari itu semua adalah helah mereka untuk memerangkap kita di dalam PR. Usaha Umno terutamanya ingin menyeret PAS agar dilihat `ekstrim' terhadap ketuanan Melayu boleh menyebabkan PAS akan hilang identiti sebagai Parti Islam yang berjuang untuk semua. "PAS For All' adalah slogan yang amat ditakuti oleh Umno dan parti komponennya.

Malangnya, PAS Selangor mungkin alpa dengan tipu muslihat mereka. Kenyataan PAS Selangor yang melenting tidak tentu pasal mungkin melegakan Umno dan MCA selaku pelakun utama drama ini. Adalah diharapkan selepas ini PAS Selangor lebih bijak di dalam mengatur gerak kerja dan strategi mereka. Orang-orang Melayu kini mengharapkan PAS untuk menyelamatkan mereka dan kaum-kaum lain juga tidak lagi sangsi dengan PAS.

Justeru itu, usah dimusnahkan apa yang telah kita bina di dalam PR. Kawal diri dan percakapan kita agar kita tidak dilihat seperti adik beradik atau suku sakat Umno yang keterlaluan itu. /wfauzdin.blogspot.com

MCA KENA BELASAH LAGI.....

Posted: 18 Aug 2010 11:00 PM PDT

Pemuda UMNO bidas MCA


SHAH ALAM – Pemuda UMNO menyelar pendirian MCA yang cuba menagih undi simpati daripada masyarakat Cina dalam isu membabitkan kepentingan Bumiputera baru-baru ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, MCA tidak wajar mengeluarkan kenyataan tersebut kerana ia menyakiti hati parti komponen Barisan Nasional.

"Mereka sepatutnya membantu keadaan untuk membentuk satu kerjasama yang lebih erat antara orang Melayu dan kaum lain.

"Malahan kenyataan MCA dilihat memandang remeh tentang ekonomi Melayu dalam negara ini," katanya, semalam.

Menurutnya, tindakan MCA tersebut disifatkan kerana terlalu mengejar undi masyarakat Cina sehingga lupa terhadap perkara yang sepatutnya dilakasanakan./Sinar

Mufti harus buat laporan polis

Posted: 18 Aug 2010 08:00 PM PDT

Beliau yang dipetik HarakahDaily berkata PAS terkejut dengan kenyataan Harussani bahawa ada pihak tertentu cuba menggantikan perlembagaan persekutuan bagi menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam perlembagaan sekarang.

"PAS mengharapkan kepada Tan Sri Harussani Zakaria janganlah memanaskan suasana politik yang sedia panas dengan kenyataan seperti ini di tempat awam, kerana bimbang akan menimbulkan suasana yang tidak harmonis," katanya.

Menurut Idris, PAS dan Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dalam setiap kali pertemuan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan dua kali sebulan.

Malahan, jelasnya konvensyen Pakatan Rakyat pertama pada 19 Disember 2009 di Shah Alam telah bersepakat untuk mempertahankan perlembagaan persekutuan, Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera sejajar dengan perkara 153.

Selain itu, Pakatan juga berikrar mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan serta memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau.

"Tidak ada agenda yang tersembunyi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, jauh sekali menyediakan perlembagaan baru bagi merungkai perkara yang sudah menjadi kontrak sosial dan telah diterima pakai sejak sekian lama," katanya./Sebelumnya di Malaysiakini

TIDAK MASUK AKAL SAYA MB JOHOR - JUI MENG

Posted: 18 Aug 2010 06:00 PM PDT

Kain rentang guna foto sultan, polis soal Anwar
Ogos 18, 10

Tiga anggota polis hari ini merakam kenyataan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibupejabat parti itu di Tropicana, Petaling Jaya.

Anwar yang juga ketua pembangkang tiba pada jam 10.38 pagi dengan diiringi tiga pengawal keselamatannya.

Tur
ut hadir adalah ketua penerangan PKR, Latheefa Koya dan bendahari PKR William Leong, yang juga merupakan peguamnya.

DSP Che Mahazan Che Aik dan pegawai penyiasat ASP Aziz Abdullah tiba kira-kira pada jam 11.45 pagi dan bersama Anwar serta pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng selama hampir satu jam.

Keterangan itu adalah bagi membantu siasatan berhubung penggunaan foto Sultan Johor pada kain rentang yang kononnya digunakan oleh penganjur bagi satu program ceramah yang di Batu Pahat, Johor bulan lalu.

Kain rentang itu didakwa oleh penyokong dan pemimpin Umno, termasuk oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kerana mengheret Raja-raja Melayu ke kancah politik.

Bagaimanapun Chua dan beberapa pemimpin PKR lain menafikan parti itu bertanggungjawab menaikkan kain rentang berkenaan dan telah membuat laporan polis.

Mereka sebaliknya menuduh Umno sebagai dalang di sebalik kain rentang itu.

Pada sidang media selepas dirakamkan kenyataannya, Anwar Ibrahim berkata isu kain rentang provokatif itu yang bertujuan mengheret institusi diraja ke kancah politik kepartian sebagai muslihat dan niat buruk dengan matlamat menimbulkan kemarahan rakyat Johor, terutamanya di kawasan majoriti Melayu di luar bandar.

"Sudah tentu perkara ini tidak menguntungkan PKR ataupun Pakatan Rakyat. Ia sengaja dihantar ke kawasan majoriti orang Melayu, seolah-olah kita memperkenalkan Datuk Chua Jui sebagai Menteri Besar Johor.

"Ini tidak benar. Apa yang diputuskan oleh parti adalah beliau dilantik untuk membina kekuatan bagi PKR dan Pakatan Rakyat di negeri Johor.

"Tidak pernah menjadi amalan kita (untuk melakukan perkara tersebut). Apatah lagi apabila ia melibatkan nama baik Tuanku Sultan Johor. Jadi kita minta pihak polis siasat dengan segera dan teliti," kata Anwar.

Keterangan itu dibuat mengikut seksyen 112 kanun Prosedur Jenayah.

Chua pula berkata tindakan pihak yang cuba mengaitkan PKR adalah satu tindakan yang berniat jahat untuk menyebabkan Sultan Johor murka kepada parti.

"Kita tidak sebegitu bodoh untuk katakan, yang saya dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor. Ini adalah satu muslihat yang gagal.

"Sebagai seorang peguam yang terlatih dalam bidang undang-undang, saya tahu bahawa orang Cina seperti saya tidak boleh menjadi Menteri Besar. Ini tak masuk akal dan tak logik langsung.

"Matlamat mereka gagal, kerana tidak ramai orang yang percaya dengan apa yang ditulis di atas kain rentang itu. Tiada siapa yang untung daripada perbuatan mereka ini. Jadi kami minta pegawai polis siasat dengan segera kejadian ini, dan tangkap mereka yang terlibat dengan komplot ini," kata Chua.

Pada 31 Julai lalu, Anwar dijadualkan untuk berucap di program ceramah di Markaz PAS Kampung Sungai Tongkang, Batu Pahat selepas menghadiri majlis makan malam dan perasmian Pakatan Rakyat Batu Pahat di Restoran Grand Sea View, di Jalan Tanjung Labuh.

Namun, pihak penganjur terpaksa membatalkan ceramah berkenaan selepas diserbu oleh pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Tujuh orang termasuk peniaga ditahan di Balai Polis Rengit tetapi mereka dibebaskan dengan jaminan polis keesokan paginya./Malaysiakini

Di sini, Dinar dan Dirham: Di sana, dengki dan dendam

Posted: 18 Aug 2010 12:04 PM PDT

Nik Abdul Aziz Nik Mat

Kadang-kadang tingkah laku pemimpin Umno ini sangat mudah untuk dijangka. Apa saja yang baik datang dari Kelantan, itulah yang akan dibangkang habis-habisan oleh Umno. Sebut saja apa jua perkara yang datang dari Kelantan, berduyun-duyunlah pemimpin Umno 'menunjuk cerdik' memberi komen. Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka.

Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi. Cuti dua hari seminggu digelar sebagai 'budaya pemalas', akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru. Jangan lupa pemerkasaan perbankan Islam turut bermula dengan langkah kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam. Itu belum termasuk program-program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.

Terbaru apabila kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah Emas Dinar dan Perak Dirham (D&D) 12 Ogos lepas, maka bersatulah pemimpin Umno untuk menghentam langkah ini. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta menghentam kerajaan Kelantan.

Saya ingin nyatakan, apakah salahnya Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika Umno BN enggan memulakan, jangan pula menidakkan usaha pihak lain. Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Haji Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan oleh Kelantan bukanlah matawang, ia hanyalah pengenalan kepada sistem barter trade.

Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan. Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak. Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan billion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti!/Seterusnya baca di Sini.

SYABAS KERAJAAN PR SELANGOR

Posted: 18 Aug 2010 10:27 AM PDT

Projek perindustrian di S'gor tertinggi di M'sia
Ogos 18, 10

Selangor mencatatkan pelaburan perindustrian dan jumlah projek perindustrian yang tertinggi di Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pelaburan yang diperolehi dalam tempoh tersebut membabitkan 120 projek, kata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok.

Katanya, ia berdasarkan statistik terkini Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) mengenai pelaburan perindustrian di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Statistik MIDA tersebut, katanya, menunjukkan Selangor telah mencapai jumlah pelaburan perindustrian yang diluluskan sebanyak RM2.47 bilion bagi tempoh tersebut - jumlah projek perindustrian yang tertinggi.

Sebanyak 120 projek telah diluluskan di Selangor dan angka tersebut merupakan 36 peratus daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia.

Di belakang Selangor ialah Johor dengan 65 projek dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 44 projek, kata Teresa dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada 120 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor, 68 adalah projek baru manakala baki 52 merupakan projek yang diperkembangkan.

Di samping itu, Selangor juga telah mencatatkan jumlah peluang pekerjaan yang tertinggi dengan 7,602 pekerjaan.

Menurut Teresa, RM942 juta atau 38 peratus daripada pelaburan di Selangor adalah terdiri daripada pelaburan asing.

Manakala RM 1.52 bilion atau 62 peratus adalah pelaburan tempatan.

"Ini menunjukkan pelaburan tempatan amatlah penting bagi kerajaan negeri Selangor. Pelabur tempatan masih kekal melabur di Selangor di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat," tambahnya.

Di kalangan pelaburan asing di Selangor, Jepun membuat pelaburan tertinggi sebanyak RM366 juta, diikuti Singapura (RM 121 juta) dan Jerman (RM116 juta).

"Bilangan projek perindustrian yang tinggi di Selangor itu menunjukkan ekonomi Selangor masih lagi mantap dan merupakan destinasi pelaburan yang paling menarik bagi pelabur asing dan tempatan," katanya./Malaysiakini

Tiada ulasan: