| Blog Ini Sokong Hukuman Mati untuk Individu Buang Bayi Posted: 12 Aug 2010 02:12 PM PDT Saya petik: Hukum mati jika sabit kesalahan[ UM] KUALA LUMPUR 12 Ogos – Kabinet mengarahkan supaya mana-mana individu yang terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan bunuh.
Arahan itu meminta polis supaya menyiasat sesiapa yang membuang bayi sehingga menyebabkan kematian bayi di bawah Seksyen 302 kanun tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Selain itu, mereka juga boleh didakwa atas kesalahan percubaan membunuh atau menyebabkan kematian di bawah kanun yang sama.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, penguatkuasaan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri semalam.
Menurutnya, penguatkuasaan mengikut seksyen tersebut membuktikan kerajaan serius mengekang gejala pembuangan bayi daripada berleluasa.
"Saya telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan penyiasatan kes pembunuhan bayi mengikut Kanun Keseksaan.
"Kementerian juga akan menerima pakai penukaran perkataan 'buang bayi' kepada 'pembunuhan bayi'. Ini amaran keras bahawa bayi bukannya dilahirkan untuk dibunuh sesuka hati," katanya...-Sholina Osman
 Kes terbaru: [UM] TANAH MERAH 12 Ogos – Ketika Kabinet hari ini mengarahkan individu terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu membunuh atau cubaan membunuh, satu lagi mayat bayi ditemui dibuang di sini hari ini. Tanpa perikemanusiaan serta menghormati kedatangan Ramadan, bayi perempuan yang masih bertali pusat itu ditemui di dalam lubang kumbahan najis di belakang asrama sebuah kolej di Bandar Bukit Bunga.
Mayat bayi malang yang dipercayai dibuang sejak seminggu lalu itu ditemui kira-kira pukul 5 petang oleh seorang murid, Mohd. Arif Ibrahim, 8, ketika sedang bermain berhampiran kawasan tersebut.
Mohd. Arif ketika ditemui hari ini berkata, bau busuk dari lubang najis itu menyebabkan dia dan tiga lagi rakannya berasa curiga lalu segera menyiasat puncanya.
"Semasa bermain kami terhidu bau busuk lalu saya pergi tengok dan nampak macam mayat bayi sebelum panggil rakan lain.
"Saya pun panggil rakan lain dan bila tengok betul-betul memang sah ia mayat bayi yang sedang tertiarap," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sepasukan anggota polis termasuk Unit Forensik tiba di tempat itu kira-kira pukul 7 petang dan mengambil masa selama 45 minit untuk mengeluarkan mayat bayi itu sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim ketika dihubungi hari mengesahkan penemuan bayi itu. |
| Demokrasi & Keadilan Versi UMCO Posted: 12 Aug 2010 05:00 AM PDT |
| Nota Akhir: Keluarga Nafi Tulisan, Tandatangan Teoh Beng Hock Posted: 12 Aug 2010 03:26 AM PDT Saya petik: [MK] Keluarga mendiang Teoh Beng Hock melahirkan "rasa tidak puas hati, marah dan kecewa" berhubung tindakan Peguam Negara untuk mengemukakan satu nota misteri sebagai bukti ketika inkues bagi menentukan kematian pembantu politik itu hampir kepada penghujungnya.
Dalam satu kenyataan keras yang dikeluarkan di Melaka, keluarga Teoh berkata tindakan Peguam Negara itu amat dicurigai dan menggesa kerajaan mendapatkan pakar tulisan bagi menentukan ketulenan nota berkenaan.
"AG tidak melihat penderitaan kami. Hampir lebih setahun, kami terpaksa berulang-alik dari Melaka ke Shah Alam untuk menghadiri inkues berkenaan," petik kenyataan itu.
"Jika inkues dimulakan semula, bagaimana kami sebagai satu keluarga mampu melalui penderitaan ini sekali lagi? Adakah AG sengaja cuba menghalang kami daripada menjalani kehidupan seharian?"
Menurut keluarga Teoh, AG memaklumkan bahawa pejabatnya telah memiliki nota berkenaan sejak Oktober tahun lalu tetapi mengapa nota itu tidak dirujuk kepada ahli keluarga Teoh, mahupun peguam mereka.
"Kami menghadiri inkues itu sepanjang tahun. Mengapa mereka tidak memohon bantuan kami? AG hanya mencari alasan (untuk melenggah-lenggah)," kata keluarga itu.
Keluarga Teoh juga mengulangi dakwaan bahawa tulisan dan tandatangan pada nota itu adalah berlainan berbanding yang dimiliki Teoh.
Pada 9 Ogos lalu, inkues yang sedang berlangsung ditangguhkan kepada 18 Ogos, selepas perbincangan semua pihak terbabit di kamar koroner.
Ia dipercayai berhubung spekulasi terdapat nota yang didakwa tinggalan daripada Teoh yang merupakan 'bukti terakhir'. * Gambar di atas hanya sekadar hiasan. |
| Awas, Kuman Kebal Antibiotik Kian Merebak! Posted: 11 Aug 2010 11:15 PM PDT Saya petik: [Kosmo] LONDON - Kuman super yang kebal terhadap apa jua antibiotik dan dikatakan mempunyai potensi besar untuk merebak kini ditemui di kalangan pesakit di beberapa hospital di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.
Sehingga kini, sebanyak 37 kes sudah dilaporkan dengan kebanyakan pesakitnya didapati pernah mendapatkan rawatan atau menjalani pembedahan di luar Britain sebelum dijangkiti kuman berkenaan.
Di dalam jurnal Lancet Infectious Diseases, para saintis memberi amaran bahawa kuman super tersebut yang merupakan enzim dipanggil New Delhi-Metallo-1 boleh merebak ke seluruh dunia kerana masih belum ada penawar dicipta untuk menanganinya.
Pesakit muda dan tua terdedah kepada kuman super itu.
Ia ditemui baru-baru ini di kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan seperti pembedahan plastik, kanser dan pemindahan organ di Asia.
Kuman yang terdiri daripada keluarga Enterobacteriaceae itu bercantum dengan bakteria E.coli, C.diff dan salmonella dan ia boleh menyerang saluran pernafasan.
Enzim terbabit dikatakan boleh berpindah dengan mudah di antara bakteria.
Para pakar bimbang ia akan mula bergabung dengan penyakit-penyakit berbahaya dan membuatkannya kebal terhadap antibiotik.
Seorang pakar, Profesor David Livermore dari Agensi Perlindungan Kesihatan yang merupakan penulis bersama satu penyelidikan dengan Profesor Timothy Walsh dari Universiti Cardiff memberitahu, masalah NDM-1 dijangka menjadi lebih buruk.
"Potensi ia merebak serta menjadi penyakit di seluruh dunia adalah jelas dan menakutkan," katanya lagi. Sepasukan pakar berjaya menemui enzim tersebut di Britain, India, Pakistan dan Bangladesh.
Lebih membimbangkan kini hanya ada dua jenis antibiotik yang boleh menentang NDM-1 tetapi ia juga mungkin tidak mampu bertahan lama. - Agensi |
| [Kemas Kini] Isu Harga Barang Naik, Saban Tahun Kita Diperbodohkan Oleh Retorik Menteri Posted: 11 Aug 2010 08:30 PM PDT Hari ini UM melaporkan dan memetik kata-kata Menteri yang ditugaskan untuk menjaga kepentingan pengguna di negara ini. Seperti biasa, retorik yang keluar dari mulut Menteri ini tidak banyak bezanya dengan retorik yang disampaikan tahun lalu, tahun sebelum itu, dan tahun-tahun terdahulu. Yang berbeza ialah orang yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan tugas Menteri berkenaan. Hari ini akhbar lidah UMCO itu memetik kata-kata Menteri ini: "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusannya juga mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan ekoran permintaan tinggi menjelang perayaan nanti.
"Justeru kementerian akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan harga barangan tidak dinaikkan sesuka hati termasuk harga ayam yang dikatakan naik ketika ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di pasar-pasar utama di seluruh negara mendapati berlaku kenaikan harga ayam sehingga RM1 sekilogram di beberapa buah negeri seperti di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Adakah dengan mengeluarkan kata-kata ini, peniaga akan gentar sehingga kedua-dua lutut mereka menggeletar lalu ada yang terkencing ketakutan? Adakah peniaga dan penternak ayam akan menginsafi diri mereka apabila Menteri ini menyebut nama PM 1Malaysia dalam retoriknya? Budak-budak pun tidak gentar mendengar kata-kata Menteri ini, apatah lagi penternak dan peniaga ayam. Itu soal ayam. Bagaimana pula dengan barangan lain yang kosnya ada kena-mengena dengan kenaikan 5 SERANGKAI baru-baru ini. Adakah Menteri yang sama mahu mengeluarkan kenyataan yang sama sedangkan dia tahu kenaikan 5 serangkai itu ada impaknya kepada kos pengeluaran barangan terutamanya produk makanan. Tidak sikit, banyak! Walaupun sebagai pengguna kita wajar mempersoalkan kenaikan harga barang dengan memberi alasan kenaikan harga dahulu sudah cukup untuk menampung kenaikan harga minyak, gas, dan gula baru-baru ini. Namun, jika pengeluar, pemborong, dan peruncit tetap rakus menaikkan harga barang, maka peniaga makanan di bazar Ramadan atau di tempat-tempat lain sudah tentu mahu tidak mahu terpaksa menaikkan harga. Bahana daripada tindakan itu ialah kita, sebagai pengguna. Ramadan kali ini tidak sama lagi dengan Ramadan yang lalu. Dahulu kuih masih dijual 3 ketul RM1. Hari ini rata-rata (maksudnya bukan semua, tetapi majoriti) peniaga menjual kuih 5 ketul RM2. Begitu juga barangan makanan yang lain yang sudah dinaikkan harga berbanding dengan harga pada tahun-tahun sebelum ini. Harga biskut dan kek raya pun sudah dinaikkan harga. Tahun lalu, 50 biji biskut raya dijual sekitar RM16-RM18, hari ini biskut dengan kuantiti yang sama dijual antara RM20-RM25. Yang menyakitkan hati, sudahlah harga dinaikkan, saiz dan kuantiti kuih/biskut/kek/makanan pula dikurangkan/dikecilkan/ditipiskan/dikuruskan. Memanglah kuasa membeli di tangan kita, namun jika semua peniaga berperangai begitu, mahu tidak mahu kita terpaksa membeli barangan itu. Cukuplah, tulis panjang-panjang dengan semangat yang berkobar-kobar bukan pun dibaca oleh Menteri yang berkenaan. Cukuplah sekadar mencetuskan kesedaran kepada pembaca agar kita boleh membuat pilihan yang tepat sewaktu memangkah dalam PRU-13 nanti. Ingat, undi BN=Barang Naik. Memang kita tidak mampu mengekalkan harga barang selama-lamanya. Namun jika ekonomi diurus dengan baik, hasil kekayaan dikongsi secara sama rata dengan masyarakat umum, subsidi diberikan secara betul, maka kita mampu mengurangkan beban masyarakat yang rata-ratanya bergaji kecil dan sederhana. Kemas Kini (13/8):Alasan "Bangang":* Tidak perlu panik kerana kenaikan harga ayam hanya sementara, Rohani* Kerajaan tidak dapat kawal kenaikan harga bawang putih |
| [Kemas Kini] Wanita Melayu-Siam Diikat dengan Dawai, Dirogol, dan Dibunuh dengan Kejam! Posted: 11 Aug 2010 05:30 PM PDT Saya petik: [UM] SUNGAI PETANI 11 Ogos - Seorang penoreh getah di sebuah ladang dekat Taman Kelisa Ria, di sini, terkejut apabila mendapati bangkai disangka babi hutan yang ditemuinya, rupa-rupanya adalah mayat seorang gadis disyaki dirogol dan dibunuh secara kejam. S. Shanmugam, 50, berkata, dia yang menemui 'bangkai' itu kira-kira pukul 10 pagi pada mulanya tidak mengendahkannya kerana menyangka ia babi hutan.
Katanya, namun dia mula mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku apabila melihat dawai dan cawan yang digunakan untuk menadah susu getah di kawasan berhampiran hilang dari pokok.
Dia juga menjadi lebih hairan apabila melihat terdapat kesan semak-samun yang diratakan, selain seretan sesuatu objek beberapa meter dari pokok berkenaan.
"Semasa saya menghabiskan torehan getah pada baris akhir di hujung ladang, saya mendapati dawai dan cawan yang digunakan untuk tadah susu (getah) hilang.
"Saya cuba mencari sehingga jumpa 'bangkai' itu. Mula-mula ingatkan babi hutan sengaja rosakkan cawan dan (kemudian) mungkin mati selepas termakan getah.
"Sebaik sahaja mendekatinya, saya nampak jari manusia dan terkejut apabila sebenarnya ia mayat gadis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, polis tiba di lokasi sejurus menerima laporan daripada majikan Shanmugam.
Katanya, mangsa yang berusia awal 20-an ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan kecederaan parah di kepala, selain tangan kiri diikat dengan dawai.
Beliau berkata, mangsa juga mungkin dibunuh 24 jam lalu di tempat lain sebelum dicampakkan di kawasan tersebut.
"Identiti mangsa belum dapat dikenal pasti memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat tersebut.
"Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan separuh bogel dengan seluar dalamnya dilondehkan ke paras lutut.
"Berdasarkan penelitian awal, mangsa adalah warga tempatan berdasarkan kesan parut suntikan pelalian BCG," ujar beliau.
Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa bersusuk tubuh kecil serta mempunyai kulit sawo matang.
"Kita juga percaya mangsa mungkin berketurunan Melayu atau Siam," katanya lagi sambil memberitahu, polis tidak menemui senjata di tempat kejadian.
Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian," jelasnya.
Hashim meminta ibu bapa yang kehilangan anak gadis mereka supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Asisten Supritendan Teh Boon Keong di talian 012-3284837 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Kemas Kini (13/8)Berita susulan tentang gadis yang dirogol dan dibunuh dengan kejam semalam:[UM] SUNGAI PETANI 12 Ogos - Sambutan Ramadan tahun ini, mungkin tidak meriah seperti sebelumnya buat sebuah keluarga peniaga ikan, Che Sam Md. Amin , 44, di sini.
Keluarga dari Flat Paya Nahu itu terpaksa menerima hakikat mereka kehilangan salah seorang insan tersayang, Noraini Ahmad, 20, gadis yang dirogol sebelum dibunuh kejam.
Anak sulung daripada tiga beradik hasil perkongsian hidup dengan Ahmad Mahmud, 54, itu ditemui mati di kawasan ladang getah di Kampung Rusa dekat Taman Kelisa Ria, di sini semalam.
Bagi Che Sam, perasaan yang dilaluinya bukan alang kepalang kerana hilang cahaya mata di saat kebanyakan umat Islam baru saja menyambut Ramadan.
"Perit memang perit, sukar untuk saya gambarkan. Apalah dosa anak saya sehinggakan ada orang sanggup lakukan perkara demikian," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi semalam, seorang gadis ditemui mati dalam keadaan separuh bogel dengan kecederaan parah di kepala selain tangan kiri diikat dengan dawai di sebuah ladang getah.
Semasa ditemui oleh seorang penoreh getah, mangsa berada dalam keadaan terlentang dengan seluar dalamnya dilondehkan ke paras lutut.
Menurut Che Sam, dia dimaklumkan mengenai penemuan anak gadisnya itu oleh anggota polis yang datang ke rumahnya pada pukul 11.30 pagi ini.
Katanya, hatinya mula resah selepas mendapati Noraini tidak pulang sejak keluar dari rumah pada pukul 8.30 malam kelmarin.
"Semasa keluar rumah, dia memakai baju berwarna biru dan seluar jean. Dia berjalan kaki untuk menunggu rakannya di perhentian bas dekat rumah.
"Ketika bangun untuk membuat persiapan sahur awal pagi semalam, saya dapati kakak (panggilan manja bagi Noraini) tidak pulang-pulang," katanya.
Dia bagaimanapun tetap tidak mengesyaki apa-apa memandangkan Noraini sering keluar bermalam di rumah rakannya. Namun, kata Che Sam, hatinya berasa tersentak apabila menonton berita televisyen malam tadi mengatakan seorang gadis ditemui mati di kawasan Sungai Petani.
"Saya menghubunginya melalui telefon tetapi tidak berjaya kerana ditutup. Saya meminta seorang lagi anak untuk menghantar khidmat pesanan ringkas kepada kakak, tetapi tidak dijawab," katanya.
Tambahnya, oleh kerana malam sudah lewat ditambah dengan kepenatan membuat persiapan sahur, dia kemudian masuk tidur.
"Pagi ini polis datang cari dan bawa saya buat pengecaman mayat dan hati saya berkecai apabila melihat orang itu ialah Noraini," katanya.
Che Sam memberitahu, sebelum kejadian, Noraini tidak menunjukkan sebarang kelainan.
"Dia seorang budak yang baik dan sering tolong kami berniaga di pasar. Dia juga gemar keluar bermalam di rumah kawan-kawan," katanya.... |
| Air Mata Bung Mukhtar Posted: 11 Aug 2010 04:00 PM PDT
Wah, Bung Mukhtar menangis! Cerita lanjut tentang MP Kinabatangan ini di sini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan