Khamis, 12 Ogos 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Liwat II : Kini Seorang Lagi DPP Libat Kes Poligami

Posted: 12 Aug 2010 04:22 AM PDT

SABAH DAILY

Tidak cukup dengan pendedahan dan dakwaan hubungan romantis antara Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dengan pengadu dan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan, kini seorang lagi anggota pasukan pendakwaan dikatakan terlibat dalam kes poligami di Mahkamah Syariah.

Pendedahan itu dibuat ketua pasukan pembelaan, Karpal Singh semasa prosiding perbicaraan kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi.

Karpal berkata salah seorang anggota pasukan pendakwaan iaitu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hanafiah Zakaria didakwa terlibat dengan kesalahan syariah dan sedang didakwa di mahkamah syariah atas kesalahan berkaitan isu poligami.

Hanafiah didakwa telah berkahwin dua di luar negara.

Beliau didakwa atas kesalahan berkahwin di Thailand, dan kemudiannya cuba untuk mengesahkan perkahwinan tersebut di Kota Bharu, Kelantan.

"Apa yang kami akan persoalkan adalah kredibiliti dan kewibawaan pasukan pendakwaan. Kerana dua orang Timbalan Pendakwa Rayanya terlibat dengan kesalahan," kata Karpal dalam hujahnya.

Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan Karpal untuk menyoalsiasat DPP Hanafiah Zakaria.

Peguam Cara Negara II, yang mengetuai pasukan pendakwaan, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin menyoal sama ada dakwaan tersebut relevan kepada kes yang sedang dibicarakan untuk memanggil Hanafiah.

Beliau berhujah ia tidak kena mengena dengan kes dan oleh itu tiada afidavit balas terhadapnya.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah akan mendengar jawapan balas oleh pasukan peguambela, bagi menentukan sama ada akan membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk mengenepikan kes Fitnah II terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mahkamah bersambung semula pagi esok.

Sebelum itu Mohamad Zabidin menolak permohonan Karpal untuk memanggil Farah dan Saiful sebagai

saksi atas alasan bukti yang ada adalah berdasarkan afidavit disumpah.

"Oleh kerana itu, tidak perlu untuk memanggil dan Saiful (sebagai saksi)," katanya.

Dalam penghujahannya, Karpal menjelaskan afidavit yang difailkan oleh anak guamnya berkenaan hubungan intim Saiful dan Farah bukanlah dakwaan semata-mata tetapi merupakan fakta yang diperolehi dari sumber yang berwibawa.

"Perkara ini merupakan fakta, dan masih belum dibantah dalam dua afidavit balas," kata Karpal.

Kedua-dua afidavit tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hanafiah Zakaria dan pegawai penyiasat, DSP Jude Blacious Pereira.

Dalam afidavit tersebut, mereka menolak dakwaan mengenai pengetahuan mereka berkenaan hubungan intim antara Saiful dan Farah.

Mereka juga menafikan dakwaan bahawa Farah dan Saiful berpengetahuan dan mempunyai akses kepada kertas siasatan dan dokumen lain.

Karpal memohon kepada mahkamah untuk menggunakan kuasanya bagi memanggil Saiful dan Farah sebagai saksi.

Beliau menuntut hakim untuk mendapatkan kesaksian mereka bagi membuat satu keputusan yang adil.

Menurutnya, kebenaran hanya boleh diperolehi dengan memanggil kedua individu itu sebagai saksi.

Perbicaraan kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disambung semula pukul 2.45 petang tadi menyaksikan hujahan balas pasukan pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin.

Dalam penghujahannya, Mohd Yusof mempertikaikan dakwaan ketua pasukan pembelaan, Karpal Singh dengan alasan adalah tidak munasabah apabila seorang saksi yang telah memberi kenyataan beramaran, membuat ikrar di dalam mahkamah serta memberi jawapan dalam temubual kepada media, untuk mempunyai akses kepada kertas pertuduhan dan pengetahuan tentang strategi pendakwa raya.

"Apakah yang SP1 (Saiful) boleh lakukan? Kerana apa yang diketahuinya tidak lagi rahsia, dan diketahui umum. Ini termasuk laporan perubatan dan tindakan sumpah laknatnya di Masjid Wilayah Persekutuan serta kenyataan dan jawapannya kepada media. Ia diketahui umum sejak tahun 2008.

"Sementara kepada Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina, beliau sebenarnya tidak mengetahui sepenuhnya mengenai halatuju perjalanan kes ini, Jadi tindakan membawanya ke mahkamah adalah tidak berasas," kata Mohd Yusof.

Peguam pembantu, Sankara Nair yang ditemui di perkarangan mahkamah menimbulkan persoalan mengenai reaksi pasukan pendakwaan yang membidas tindakan pasukan peguam bela apabila menyatakan sama ada Farah dan Saiful tampil atau tidak memberi keterangan, ia tidak memberi kesan kepada perjalanan kes.

Sankara menjelaskan, jika benar dakwaan hubungan sulit itu tidak wujud, mengapa tidak kedua individu tersebut hadir sendiri ke mahkamah untuk membuat penafian.

Tambah beliau, pandangan pendakwa raya bahawa pasukan pembelaan melengah-lengahkan perjalanan kes adalah tidak berasas.

"Hujahan kita ringkas, persoalan yang pertama adalah, wujud atau tidak hubungan tersebut? Mengapa pejabat Peguam Negara tidak mengakui atau pun menafikan perkara tersebut. Kita telah nyatakan hujah kita, dan merekalah sebenarnya yang melengah-lengahkan perjalanan kes ini.

"Datuk Seri Anwar memaklumkan kepada kita bahawa maklumat yang diperolehinya bukanlah 'hear-say' (cakap-dengar) tetapi adalah fakta yang kukuh. Jadi, esok kita akan berikan jawapan kami terhadap hujah pasukan pendakwaan.

"Permohonan tersebut merupakan 'supplement' (tambahan) kepada permohonan pertama kita (untuk membawa Farah Azlina Latif dan Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai saksi)," jelas Sankara. -SK

PENGHARAMAN BLACKBERRY MERUGIKAN KITA

Posted: 12 Aug 2010 04:19 AM PDT


SABAH DAILY

KETIKA isu penggunaan telefon pintar BlackBerry® Smartphone bakal dilarang di negara-negara seperti Arab Saudi (Arab Saudi sudah mengharamkan penggunaan BlackBerry® Smartphone sejak Jumaat, BlackBerry® Smartphone6 Julai, 2010) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) (UAE sedang mempertimbangkan semula larangan itu), kami di BlackBerry User Group Malaysia (BBUGMy) berpendapat ada maklumat tertentu yang perlu diperjelaskan.
http://www.quicklybored.com/wp-content/uploads/rim-blackberry-bold-smartphone1.jpg

Masalah keselamatan dijadikan sebagai alasan mengapa negara-negara berkenaan melarang penggunaan peranti ini.

Pada awal pengenalan BlackBerry® Smartphone adalah peranti komunikasi, direka untuk melindungi data pengguna atau privasi pengguna.

Ketika ia diperkenalkan kepada pengguna peranti komunikasi pada tahun 2000, ia menumpukan kepada komuniti perniagaan yang memerlukan peranti komunikasi untuk menyimpan butiran penting dan maklumat serta menggunakannya di mana-mana mereka berada, tanpa perlu membawa talian telefon, modem dan terminal komputer.

Lapan tahun kemudian, Research In Motion (RIM), pengeluar peranti berkenaan, memperkenalkan BlackBerry® Smartphone untuk pengguna biasa sekaligus mencipta sebuah fenomena baru dalam komunikasi, kerana BlackBerry® Smartphone bukan sekadar telefon bimbit, ia adalah peranti rangkaian sosial, telefon pintar, dengan fungsi serupa dengan komputer biasa.

Banyak pengguna BlackBerry® Smartphone menggunakannya untuk akses yang mudah alih ke email, aplikasi, media dan Internet.

Sebagai komuniti yang mempromosi dan mendidik pengguna, pengguna BlackBerry® Smartphone atau sebaliknya, kami merasakan bahawa beberapa andaian mengenai peranti komunikasi ini adalah mengelirukan.

Andaian bahawa semua data pengguna BlackBerry® Smartphone disimpan di beberapa pelayan (server) di Kanada, adalah tidak benar kerana semua data bergerak antara peranti BlackBerry® Smartphone melalui pelayan rangkaian operasi di Kanada, dan tidak disimpan di mana-mana pelayan.

Berdasarkan kepada satu maklumat dalaman daripada RIM kepada pelanggannya, ada beberapa fakta membabitkan struktur pelayan yang digunakan.

Pengekodan data yang kukuh adalah satu keperluan yang perlu dipatuhi oleh semua perkhidmatan emel tanpa wayar, dan ia tidaklah sesuatu yang hanya digunakan pada pelantar yang digunakan BlackBerry® Smartphone.

Menurut RIM lagi, pengekodan yang kukuh itu adalah satu keperluan asas untuk pelbagai produk teknologi yang membolehkan entiti perniagaan beroperasi dan bersaing sama ada dalam dan luar negara.

Struktur keselamatan BlackBerry® Smartphone direka cipta khusus untuk membolehkan pelanggan korporat dengan kebolehan memindahkan maklumat secara tanpa wayar dan pada masa sama meyakinkan mereka bahawa tiada sesiapa, termasuk RIM yang boleh melihat data itu.

Struktur keselamatan untuk pelanggan BES adalah berdasarkan kepada sistem kekunci bersimetri (symmetric key system) yang membolehkan pelanggan mencipta sendiri kekunci dan hanya pelanggan yang menyimpan salinan kod kekunci itu.

Semua data dikodkan menggunakan kekunci pelanggan sendiri dan disimpan hanya di pelayan BES dan pada peranti BlackBerry® Smartphone. Malah opetrator Infrastruktur BlackBerry (BIS) tidak mempunyai laluan kepada kekunci pelanggannya, sekaligus tidak dapat melihat isi kandungan setiap mesej.

RIM tidak mempunyai kekunci utama atau ada cara lain dalam sistem itu yang membolehkan RIM atau pihak lain, secara haram, memperoleh kekunci atau data korporat atau maklumat lain.

Ia sengaja direkacipta sedemikian bagi menghalang RIM atau mana-mana pihak ketiga membaca maklumat yang dikodkan dalam sebarang keadaan dan pada masa sama, RIM juga tidak boleh melayan sebarang permohonan untuk memperoleh sesalinan kekunci kod milik pelanggan kerana bukan saja RIM, malah syarikat telekomunikasi juga tidak mempunyai salinan berkenaan.

Pada masa sama, struktur keselamatan BlackBerry® Smartphone juga direkacipta untuk berfungsi sebagai sistem global yang bebas dari segi geografi, iaitu lokasi pangkalan data dan pilihan syarikat telekomunikasi adalah faktor yang tidak ada kena mengena, dari segi keselamatan, memandangkan pengekodan punca ke punca (end-to-end) digunakan.

Semua data akan dikod sebaik seseorang menghantarnya, sehingga ia diterima peranti penerima dan akan ditafsirkan semula oleh peranti penerima, dengan tidak ada kemungkinan bagi sesiapa pun menterjemahkan data berkenaan, ketika data itu sedang dihantar.

BlackBerry® Smartphone adalah untuk menggalakkan hubungan yang lebih baik antara manusia, memendekkan masa untuk menyelesaikan tugasan, selain dalam keadaan tertentu, boleh digunakan untuk menyelamatkan nyawa.

Sebagai contoh, ketika kejadian 9/11, ada seorang pengguna BlackBerry® Smartphone, Craig Johnston, yang ketika itu menggunakan BB jenis RIM 857, yang beroperasi sepenuhnya pada rangkaian terpencil, boleh menghantar dan menerima mesej ketika semua rangkaian komunikasi terputus dan tidak boleh digunakan.

Malah, ketika gempa bumi melanda Haiti, sistem pesanan BlackBerry® Smartphone (BBM) menjadi talian hayat kepada pengguna peranti ini, apabila talian telekomunikasi terjejas teruk.

Baru-baru ini, di negara kita, BlackBerry® Smartphone digunakan sebagai alat untuk menyebarkan rayuan oleh seorang bapa, ketika dua anaknya perempuan dilarikan ketika kereta yang mereka naiki dicuri.

Rayuan bapa berkenaan disebarkan oleh mereka yang menggunakan BlackBerry® Smartphone dengan menggunakan BlackBerry Massenger (BBM) yang percuma, tidak seperti SMS biasa.

Kami tidak bermaksud untuk mengatakan BlackBerry® Smartphone yang membawa kepada penemuan kedua-dua gadis berkenaan, sebaliknya kami berpendirian, sebagai alat komunikasi, BlackBerry® Smartphone menawarkan pelbagai fungsi apabila digunakan untuk kebaikan.

Seperti alat komunikasi lain, kita juga tidak menafikan bahawa BlackBerry® Smartphone pernah digunakan untuk menyebar idea buruk dan perancangan mereka yang berniat jahat untuk mencapai agenda tersembunyi yang berbahaya.

Namun, adalah salah untuk hanya menyalahkan kepada peralatan, kerana ia hanya bertujuan untuk membuat hidup kita lebih mudah dan komunikasi yang lebih baik.

Lagi pun, bukankah kita sedang menuju kepada kehidupan dunia tanpa sempadan.

BBUGMy, yang mewakili lebih 1,000 pengguna BlackBerry® Smartphone, merasakan kerajaan perlu menimbangkan sebarang cadangan untuk mengharamkan penggunaan peranti ini berikutan ia digunakan dengan sangat meluas, melangkaui batasan dan had usia, latar belakang pendidikan serta lapisan masyarakat.

BlackBerry® Smartphone bukan saja digunakan oleh golongan korporat dan profesional, ia kini turut digunakan oleh pelajar dan sesiapa saja yang merasakan penggunaan telefon pintar seperti BlackBerry® Smartphone memudahkan dan membantu mereka dalam melaksanakan tugas harian.

Pengharaman penggunaan BlackBerry® Smartphone hanya akan merugikan ramai pihak, terutama mereka yang menggunakan peranti ini sepenuh masa, membabitkan urusan perniagaan ataupun segala urusan yang perlu ditangani dengan segera.

Salam Hormat,

NELSON RIZAL RADZMI
Presiden, Blackberry User Group Malaysia (BBUGMy)

UMNO TENOM MEMBADAI AKIBAT TSUNAMI PROJEK

Posted: 12 Aug 2010 04:16 AM PDT

Oleh: GONOD SUNDA (sabahkini)

GELOMBANG perebutan projek di kalangan ahli jawatankuasa dan penyokong kuat UMNO Tenom semakin membadai apabila Setiausaha Barisan Nasional pula yang bertindak sebagai 'KingPin' bagi beberapa 'Key Players' untuk membolot projek PPRT kawasan Kemabong bernilai ratusan ribu ringgit setelah mereka tidak berpuas hati dengan sistem pengundian berkomputer yang dijalankan di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu.

Setiausaha BN itu dikatakan 'melenting' kerana 'kroni dan proksinya' tidak berjaya mendapat sebarang projek kecil lalu mendesak Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang campurtangan bagi membatalkan keputusan itu dan mengadakan cabutan secara 'manual'; sedangkan sebelum ini sistem manual telah dicaci kerana kononnya tidak telus dan diragui justifikasinya.

Menurut pandangan kolot Setiausaha BN tersebut, undian secara manual akan lebih berpihak kepada Setiausaha BN dan segelintir pemimpin Umno lain yang mempunyai lesen kontraktor PKK Kelas F.

Persoalannya sekarang, bagaimanakah 'memujuk' kontraktor yang telah berjaya dan telahpun dimaklumkan untuk memulakan kerja-kerja projek tersebut untuk menyerahkan kembali surat tawaran? Sudah tentunya 'Mission Impossible' ini tidak akan berjaya kerana kontraktor terbabit tidak akan tunduk kepada arahan pembatalan itu sebaliknya akan menyaman kerajaan dalam bentuk tindakan guaman, 'Breach of Contract'.

Ramai yang berpendapat, jika saman menyaman itu berlaku, ia akan menjadi satu lagi titik sejarah hitam bagi kerajaan BN di Sabah hanya kerana kelibat buruk Setiausaha BN Tenom yang boleh disifatkan sebagai 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'.

Apakah kerajaan BN boleh akur atau tunduk kepada kemahuan Setiausaha BN yang sudahpun kayaraya tetapi masih bersifat 'tamak dan haloba' mahu mengaut semua kekayaan negara?

"Perlukah SPRM berdiam diri dalam masalah ini? Atau apakah SPRM membiarkan pemilikan projek jutaan ringgit nilainya yang diragui prosesnya seolah-olah mengenepikan prosedur kerajaan sepertimana termaktub di dalam Akta Acara Kewangan dan Arahan Perbendaharaan terutama sekali dalam sistem tender dan sebut harga?," ujar salah seorang penjawat awam setelah didesak dengan pelbagai soalan oleh Krew Sabahkini.net.

Difahamkan bahawa pada 6 Ogos 2010, satu pengundian berkomputer telah diadakan di Pejabat Pegawai Pembangunan Negeri Sabah (PPNS) Kota Kinabalu. Proses pengundian itu dikendalikan sepenuhnya oleh PPNS serta disaksikan oleh Timbalan Pengarah PPNS dan juga beberapa Pegawai daripada KPLB.

Bilangan keseluruhan kontraktor yang mendaftar pengundian itu seramai 77 orang manakala yang datang hanya 24 orang namun perkiraan untuk dibenarkan menyertai pengundian itu adalah kesemua 77 peserta memandang mereka juga berkelayakan yang mengambilkira bahawa mereka telahpun membuat pendaftaran.

Hasil pengundian secara berkomputer, 16 kontraktor telah berjaya mendapat projek sedangkan sebelum pengundian dijalankan, satu taklimat telah pun diberi dan semua kontraktor yang mendaftar mempunyai peluang dan 'level' yang sama dari segi hak dan bukan di sebaliknya.

Sebaik sahaja keputusan pengundian berkomputer itu diketahui hasilnya, protes demi protes dari pihak yang tidak berjaya dalam pengundian itu telah mula berlaku sehinggakan banyak perkara ditimbulkan malah dipertikaikan, di antaranya kenapa diadakan di PPNS Kota Kinabalu dan tidak dibuat di Kemabong.

Menurut seorang Penjawat Awam yang enggan dikaitkan di dalam pertikaian ini, ketika dihubungi menjelaskan bahawa, proses pengundian berkomputer hanya boleh dilakukan di Pejabat PPNS Kota Kinabalu.

Sistem itu tidak dapat dibawa ke daerah lain kerana ketidak sesuaian prasarana; tambahan pula bukan arahan khusus daripada pihak PPNS kerana Pejabat Daerah Kemabong sekadar meminta bantuan PPNS demi ketelusan dan keadilan seperti yang dikehendaki para kontraktor.

Pegawai itu menambah, mereka sebelum ini telah dimomokkan dengan pelbagai tuduhan ketidak telusan berhubung sistem pengendalian secara 'manual' yang dianggap kontraktor lain sebagai tidak adil dan Pegawai Penjawat Awam bersekongkol dengan pemimpin Politik.

Demi keadilan dan ketelusan semua pihak kata Pegawai itu lagi, mereka berusaha sedaya upaya melakukan pembaharuan yang terbaik terhadap sistem cabutan yang sering dipertikaikan ketelusannya dan bukan mempunyai agenda lain.

Pegawai itu turut memohon kerjasama daripada pihak tertentu agar memberikan laluan dan peluang seluas-luasnya kepada penjawat awam melakukan tugasan mereka demi mempertahankan imej kerajaan daripada tercalar di mata masyarakat sekeliling.


Tiga sasaran utama BN menjelang pilihan raya ke-13

Posted: 12 Aug 2010 04:14 AM PDT

Ghazali Mayudin

Selepas menerima tamparan dan kejutan dalam pilihan raya ke -12, BN telah menjalankan pelbagai usaha untuk memulihkan imejnya, merampas semula negeri yang terlepas ketangan Pakatan Rakyat, mengembalikan sokongan rakyat, memastikan parti itu terus menguasai kerajaan pusat selepas pilihan raya ke-13. Ada diantara usaha tersebut yang berjaya, sebahagiannya tidak membuahkan hasil yang diharapkan sementara yang lain masih giat diusahakan.

Usaha gigih BN untuk merampas semula negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat berjaya di Perak setelah tiga orang ahli Dewan Undangan Negeri Perak meninggalkan Pakatan Rakyat dan menyokong BN.

Usaha untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat agar dapat berkuasa semula di Selangor dan Kedah serta menggoncangkan Pulau Pinang telah dibuat dengan cara memujuk PAS agar meninggalkan Pakatan dan bekerjasama dengan BN. Cubaan ini telah dilakukan sebaik sahaja berakhirnya pilihan raya ke-12 yang lalu dan kebelakangan ini idea tersebut nampaknya dikitar semula. Kalau diumpamakan seperti burung, satu sayap Pakatan Rakyat hilang sekiranya PAS meninggalkan pakatan pembangkang itu. Kemungkinan besar burung tersebut akan terus hidup, tetapi tidak berupaya untuk terbang lagi.

Disamping cuba memikat pucuk pimpinan, BN telah melaksanakan langkah-langkah yang lebih giat lagi untuk memujuk rakyat agar kembali menyokong BN. Walaupun dalam aspek tertentu terdapat persamaan, tetapi kalau diperhalusi dapat dikesan perbezaan berdasarkan kaum dalam pendekatan BN untuk menawan hati rakyat.

Bagi mendapatkan semula sokongan orang Melayu, BN nampaknya lebih menekankan kepada emosi, sejarah lampau dan retorik. Orang Melayu didendangkan dengan isu yang berkaitan dengan ketuanan Melayu, agama Islam, kedaulatan raja-raja, perpaduan Melayu, ancaman bukan Melayu, juara rakyat dan sebagainya.

Orang Melayulah yang paling ramai hadir dan paling kuat pekikannya dalam majlis yang melaungkan slogan dan retorik yang tujuan utamanya untuk membangkitkan emosi dan semangat orang Melayu agar terus bersatu dan terus bernaung dalam parti yang didakwa menjadi penyelamat bangsa Melayu iaitu UMNO.

Tenggelam dalam pekikan retorik yang bergema dan lemas dalam arus emosi yang meluap-luap, orang Melayu seakan tidak sedar bahawa satu persatu keistimewaan yang mereka nikmati sebelum ini telah dihakis. Sebagaimana kisah Pak Kaduk dalam sastera rakyat, orang Melayu hanyalah menang sorak.

BN juga sedar bahawa perkembangan politik semasa membuatkan parti lawannya lebih berhati-hati dalam menangani isu ini. Dalam suasana politik yang tidak menentu dan sokongan pelbagai kepentingan dan etnik diperlukan untuk memenangi kebanyakan kawasan pilihan raya, maka hampir semua parti politik memilih untuk mendiamkan diri, dan bukannya bersuara mempertahankan kepentingan orang Melayu. Isu yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu, status bumiputera sebagai penduduk asal negara ini seolah-olah menjadi isu yang dianggap taboo, terlarang dan terlampau. Malahan membangkitkan isu inipun boleh dianggap sebagai perkauman, apatah lagi mempertahankannya serta memperjuangkannya.

Bagi mendapatkan sokongan orang bukan Melayu, BN telah menyajikan mereka dengan pelbagai bentuk kemudahan, insentif, bantuan, peluang dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan, ekonomi dan sosial. Semuanya membawa kesan positif yang jelas hasilnya kepada golongan sasar.

Layanan yang kadangkala cukup mesra dan cukup istimewa kebelakangan ini tentunya memberi faedah dan menguntungkan terutamanya dari segi material. Lebih manis lagi, faedah dan keuntungan itu diperolehi tanpa pekikan slogan dan retorik. Begitu terdesaknya BN ingin mendapatkan sokongan orang bukan Melayu dapat dilihat selepas pilihan raya kecil di Hulu Selangor dan Sibu. Selepas ditolak oleh orang bukan Melayu dalam kedua-dua pilihan raya itu, walau ditabur janji bernilai jutaan ringgit, BN terus meningkatkan lagi usaha untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu dengan pelbagai insentif dan dasar yang memberi faedah kepada mereka.

Oleh itu dapatlah dilihat bahawa tiga sasaran utama BN – parti politik, kepimpinan dan rakyat - telah dan akan menjadi tumpuan bagi mempastikan parti itu terus menguasai Putrajaya selepas pilihan raya ke-13 nanti.

Perpaduan parti politik yang membentuk pakatan pembangkang akan terus cuba dipecahkan atau sekurang-kurangnya diporakperandakan sehingga rakyat keliru dan pakatan itu menjadi tidak efektif.

Pemimpin parti, khususnya wakil rakyat akan terus didekati dan dipujuk agar meninggalkan pakatan pembangkang. Bagi sesetengah wakil rakyat, inilah ujian dan dugaan yang sangat besar kepada mereka, malah lebih besar daripada ujian untuk memenangi pilihan raya yang lalu.

Di kalangan rakyat pula, sebahagiannya akan terus didendangkan dengan slogan dan retorik kosong, tanpa makna dan tanpa faedah. Sebahagian yang lain pula akan terus disajikan dengan pelbagai dorongan yang memberi faedah dan keuntungan yang nyata.

Ghazali Mayudin adalah mantan Prof Madya, Program Sains Politik, UKM

Zaman Gelap Universiti – Dihukum kerana Menuntut Ilmu

Posted: 12 Aug 2010 04:10 AM PDT

SABAH DAILY

Sebelum ini, artikel saya telah disiarkan melalui beberapa blog dan media alternatif. Lalu saya dedikasikannya buat mereka yang akan hadir perbicaraan dan mengambil perhatian buat kes saya, 'UKM4' di Mahkamah.

Lalu saya terpanggil lagi untuk terus menyiarkan pandangan saya ini atas kesedaran bahawa zaman gelap di universiti itu perlu diakhiri dengan segera. Selesai sertai Pertandingan Pidato anjuran Sekretariat Belia Negeri Selangor di Auditorium MPAJ. Saya bawakan tema 'Pencerahan' idea tokoh falsafah Jerman, Immanuel Kant. Tajuknya 'Pembodohan dan Pencerahan'.

Dalam orasi kali ini saya bawakan pengalaman sepanjang tiga tahun di kampus – dari Julai 2008 hingga hari ini.

Isnin lalu, tanggal 2 haribulan Ogos, saya dan tiga orang teman sekuliah – King Chai, Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes kami, UKM4. Lalu Y.A Hakim memutuskan tarikh 28 haribulan September sebagai tarikh keputusan kes.

Juga saya bawakan situasi dan keadaan zaman gelap kampus universiti di negara kita. Bagi saya ini suatu petanda buruk yang bakal meranapkan masa depan negara.

Ketika saya tahun satu, dengan harapan dan kesungguhan mendaftar ke kampus, apa yang saya cita-citakan adalah ke kampus untuk hadir kuliah, untuk turut aktif berpersatuan, untuk sertai diskusi-diskusi mingguan, dan untuk belajar dikritik dan mengkritik.

Namun, saya tidak pernah puas dan selesa dengan keadaan kampus yang kuliahnya kosong dan retorik, anak mahasiswa yang aktif itu digelar pengganas, kelab mahasiswa yang aktif dibubar, diskusi-diskusi mingguan itu hampir tiada, segala kehidupan mahasiswa itu direncanakan dan pensyarah yang mengajar itu alah sekali bila dikritik.

Bagi saya, inilah zaman gelap universiti.

Dalam orasi itu, saya sebutkan bahawa jawapan kepada kegelapan dan pembodohan itu adalah pencerahan (enlightment).

Pencerahan yang mana asasnya harus membebaskan. Bermula dengan pembebasan akal fikiran – yang mana ditulis oleh Tokoh Pencerahan, Immanuel Kant sebagai perkara yang paling tidak memudaratkan.

Maka pencerahan di kampus itu harus bermula dengan membebaskan pemikiran mahasiswa daripada proses pembodohan. Undang-undang dan peraturan zalim yang membentuk budaya selesa dalam ketidakmatangan – pembodohan itu harus terus dimansuh.

Tarikh 28 September 2010 nanti akan jadi sejarah. Sama ada pertuduhan terhadap saya itu gugur atau akan balik semula untuk dibicarakan di Mahkamah Universiti.

Sebulan yang lalu, saya digantung daripada jawatan Yang Di Pertua kelab Sains Politik. Minggu lepas pula, sudah timbul isu bahawa Kelab Sains Politik UKM yang saya asaskan itu dibubarkan.

Apa yang berlaku adalah seakan suatu bentuk hukuman ke atas saya.

Saya di hukum oleh universiti kerana saya aktif berpersatuan dan memegang jawatan Yang Di Pertua. Saya di hukum kerana mencari ilmu politik yang praktik di lapangan pilihan raya. Kelab Sains Politik dihukum dan dibubarkan kerana saya adalah Yang Di Pertua dan saya adalah pengasasnya.

Namun, jawapan yang mereka berikan adalah; saya dihukum kerana saya terlibat dengan kempen politik, dan melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Tidak pula salah bagi segolongan pensyarah di kampus saya yang turut menyertai parti politik dan berpolitik secara terang-terangan walaupun golongan pensyarah ini turut termasuk dalam AUKU.

Saya tidak katakan salah untuk pensyarah atau pentadbir ini juga turut menyertai parti politik. Malah saya turut menyokong penyertaan mereka dari dulu lagi.

Cuma baru-baru ini saja, timbul suara pembaharu daripada beberapa pimpinan dalam partai pemerintah yang mahukan penyertaan guru, mahasiswa, dan pensyarah dalam politik kepartian itu dibenarkan.

Idea ini perlu diambil berat dan harus dilaksana segera supaya ia membebaskan anak muda, mahasiswa, guru dan pensyarah daripada belenggu pembodohan hegemoni sesetengah pihak.

Terdapat juga anak mahasiswa yang lantang memperjuangkan agar jangan dibenarkan penyertaan politik ini berlaku seperti perjuangan sebuah kumpulan yang dinamakan 'Kaukus Siswa Melayu UKM' – kumpulan yang dilihat pro pentadbiran universiti. Mereka yang seakan sudah selesa dengan keadaan kampus sekarang.

Maka merekalah seperti yang dikatakan oleh Immanuel Kant sebagai golongan yang selesa dengan ketidakmatangan – pembodohan yang berlaku. Oleh kerana itulah mereka tidak mahu bebas dan berjuang mempertahankan hak yang seharusnya mereka perolehi.

Untuk saya, tidak ada yang lebih penting bagi menyelesaikan zaman gelap universiti ini melainkan percerahan yang bermula dengan pembebasan akal fikiran yang rasional.

Masharakat kampus ini harus dibiarkan bebas menggunakan akal fikiran sendiri. Mereka harus dibiarkan bebas merencana masa depan sendiri. Mereka juga perlu bebas untuk membuat pilihan.

Kebebasan inilah yang akan membuatkan mereka berani menggunakan kefahaman sendiri dan inilah tindakan yang bakal membawa pencerahan.

Maka beranilah anak muda, masharakat kampus dan mahasiswa untuk menggunakan kefahaman sendiri – Sapare Aude!

Kebakaran: Saat cemas berjaya dirakam penghuni flat guna kamera telefon bimbit

Posted: 12 Aug 2010 04:06 AM PDT

SELANGOR KINI


PELABUHAN KLANG – Seorang penghuni pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang terlibat dalam kebakaran di Pandamaran Jaya, Selasa lalu berjaya merakamkan detik cemas dengan menggunakan kamera telefon bimbitnya.

Kebakaran terbabit dipercayai bermula kira-kira jam 4 petang dengan membabitkan 16 penghuni dari 10 unit rumah dalam pangsapuri ini.

Semasa kejadian, lima keluarga yang menghuni di tingkat lima iaitu tingkat teratas pangsapuri ini tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka malah ketika ditempatkan ke Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang,mereka hanya datang sehelai sepinggang sahaja.

"Saya tak dapat selamatkan barang, sehelai sepinggang surat beranak, surat-surat semua habis, saya cuma dapat anak yang berusia 6 bulan, sehelai sepinggang sehelai dua itu saja bawa, tak bawa apa pun", Kata Azlin Mohamad Ali, 27 tahun.
.
Menurut Azlin, punca kebakaran dipercayai bermula dari unit pangsapuri di sebelah rumahnya yang didiami pekerja dari Bangladesh yang bercuti pada hari kejadian kerana beliau ada menghidu bau masakan kari dari rumah terbabit.

Katanya jiran Cina sebelah rumahnya memberitahu warga asing ini meninggalkan rumah sejurus selepas memasak dan kemudian menghala ke kedai untuk membeli makanan.

"Jadi bila asap makin tebal, makin lama makin kuat, saya dengar satu bunyi letupan kuat, lepas itu saya pergi ke rumah ketua blok saya panggil suruh telefon bomba, lepas dia telefon bomba itulah berlaku lagi dua letupan, lepas itu saya terus turun ke bawah, lari dengan anak-anak, saya jiran India, Cina yang ketika itu semuanya sedang tidur".

Kejadian ini diakui sendiri ketua Blok A pangsapuri PKNS ini, Zainal Jalal apabila beliau mendengar jeritan jiran dari tingkat lima mengatakan ada kebakaran sedang berlaku bersebelahan rumahnya.

"Masa kejadian tu saya mula dalam pukul 4 lebih, saya bangun tidur sebab saya kerja malam, pukul 4 lebih tu saya bangun tidur nak makan nasi, lepas itu bau asap tanya orang rumah saya, apa asap ini kan? Dia cakap tak ada apa-apa, sementara saya makan tak habis suap lagi orang di atas dah jerit, acik-acik dia panggil saya ada asap, ada api kat atas, itu saya berlari naik tengok lepas itu tengok rumah nombor A-5-5 itu, penyewa Bangladesh tengok tingkap sebelah kiri asap putih yang satu lagi asap gelap, ada cermin pecah sikit itu yang saya dapat tengok itu ada api merebak naik".

Kebakaran yang berlaku sehari sebelum umat Islam berpuasa di bulan Ramadan dilaporkan tidak melibatkan kemalangan jiwa. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasat pihak Bomba.

Sijil halal: Jakim perlu keluar statistik elak kekeliruan

Posted: 12 Aug 2010 04:03 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan statistik mengenai jumlah hotel di seluruh negara yang diberikan sijil halal bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam terutama sepanjang bulan Ramadan.

Presidennya Datuk Mohd Ilyas Zainol Abidin berkata ini kerana sejumlah 22 hotel yang diberikan sijil halal seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Malaysia semalam hanya meliputi Wilayah Persekutuan sahaja.

"Data yang diberikan oleh Jakim memang betul tetapi ia hanya melibatkan sijil yang dikeluarkan olehnya dan tidak termasuk sijil yang dikeluarkan Majlis Agama Islam negeri-negeri.

"Daripada 552 ahli persatuan kami di seluruh negara, 244 memaklumkan bahawa mereka mempunyai sijil halal. Jumlah ini melebihi daripada apa yang disebutkan oleh Jakim," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan supaya satu data bersepadu di antara Jakim dan Majlis Agama Islam negeri-negeri diwujudkan bagi memaklumkan jumlah sebenar hotel yang telah mempunyai sijil halal di seluruh negara.

"Saya mintalah jasa baik pihak berwajib supaya melihat kembali perkara ini supaya ia diselesaikan.

"Kami di pihak perhotelan bukan tidak menyokong usaha ke arah mendapatkan sijil halal, tetapi perlu ada kerjasama antara pihak berwajib negeri juga kerana keraguan (sijil halal) boleh menyebabkan perniagaan kami mengalami kerugian," katanya.

Mohd Ilyas berkata bagi menangani masalah itu beliau mencadangkan agar sijil halal yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri kepada hotel diperakukan oleh Jakim tanpa perlu ditukar atau membuat permohonan semula.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna yang ragu-ragu bahawa mereka juga berhak meminta pihak hotel mengemukakan sijil halal yang diperolehi.

"Pengguna sebenarnya banyak pilihan dan juga perlu bijak menilai dan memilih sesuatu yang baik untuk mereka," katanya.

Katanya MAH sentiasa akan memastikan anggota persatuan memiliki sijil halal.

Terengganu lancar Kempen Nafas Baru atasi tabiat merokok

Posted: 12 Aug 2010 04:03 AM PDT

BERNAMA

KUALA TERENGGANU — Jabatan Kesihatan Terengganu melancarkan kempen "Nafas Baru Bermula Ramadan" khusus bagi membantu kalangan perokok menghentikan tabiat merokok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr Abdul Rahman Mokhtar berkata menerusi kempen ini satu ruang gerai atau kaunter khas disediakan di bazar-bazar Ramadan di seluruh negeri sepanjang Ramadan untuk memberi maklumat mengenai usaha mengatasi tabiat merokok kepada orang ramai.

"Perokok atau sesiapa sahaja yang mempunyai anggota keluarga yang merokok dan memerlukan maklumat untuk berhenti merokok boleh mendapatkan maklumat di situ atau mengunjungi klinik berhenti merokok, di klinik-klinik berhampiran," katanya.

Beliau kempen itu dilaksanakan pada bulan Ramadan kerana ia merupakan tempoh masa yang terbaik untuk memulakan niat atau hasrat bagi perokok menghentikan tabiat merokok, kerana menurutnya peluang untuk berjaya dalam usaha berhenti merokok adalah lebih tinggi dalam tempoh ini.

Sementara itu Abdul Rahman mengingatkan peniaga-peniaga di bazar Ramadan supaya mementingkan kebersihan dan mengelak daripada menjual makanan yang "dikitar semula" untuk mengelak masalah keracunan.

Katanya pemeriksaan yang dijalankan pada bulan Ramdan tahun lepas mendapati banyak makanan yang dijual oleh para peniaga dicemari bakteria selain mudah basi.

GMI mahukan sokongan Selangor gesa mansuh ISA

Posted: 12 Aug 2010 03:54 AM PDT


KUALA LUMPUR — Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata beliau akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat dalam kempen beliau untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bercakap kepada The Malaysian Insider, Syed Ibrahim mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam masa terdekat.

"Kami akan jumpa Menteri Besar untuk mendapatkan sokongan buat satu 'billboard', tunjukkan sokongan kerajaan negeri Selangor dalam memansuhkan ISA," kata Syed Ibrahim.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi tarikh sebenar pertemuan itu akan berlaku.

Selain itu, GMI dan sekutu NGO mereka, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) akan mengadakan satu seminar bagi menerangkan kepada rakyat mengenai isu ISA dan kewajaran akta itu dihapus.

Seminar yang akan diadakan dalam bulan ini, juga mendapatkan kerjasama kerajaan negeri Selangor dan komponen Pakatan Rakyat.

"Seminar ini sedang dalam perancangan. Kita akan adakan di Selangor dan secara umumnya dua hingga tiga pihak dah bagi persetujuan," katanya.

Menurut Syed Ibrahim, antara mereka yang dijangka terlibat ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta bekas Pesuruhjaya Suhakam Datuk KC Vohrah.

Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai tetamu lain dan berkata akan mengumumkan perkara ini dalam masa terdekat.

Selangor telah dilihat sebagai kerajaan Mesra Rakyat terutamanya dalam kempen 'merakyatkan ekonomi' seperti pemberian air percuma.

Dalam sidang DUN lalu, kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk merangka Akta Kebebasan Maklumat bagi membolehkan maklumat diperoleh dengan mudah.

Kerajaan Selangor juga terkenal dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan yang membuat pendengaran terbuka isu-isu kontroversi mnelibatkan kerajaan negeri seperti isu kecurian pasir.

Buang bayi: Polis diarah siasat sebagai kes cuba membunuh, bunuh

Posted: 12 Aug 2010 03:53 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Kerajaan mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat sebagai kes bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataannya hari ini berkata, arahan terbaru itu diputuskan selepas isu mengenai kes buang bayi dibangkitkan oleh kementerian itu pada mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Menurut kenyataan itu, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi membendung penularan kes tersebut kerana kejadian pembuangan bayi masih berleluasa walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menanganinya.

Sehubungan itu, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diminta untuk menyiasat kes itu sebagai kes percubaan membunuh dan kes bunuh.

"Kerajaan tiada pilihan lain berhubung perkara ini memandangkan kes-kes pembuangan bayi sesungguhnya adalah kes pembunuhan bayi," kata kenyataan itu.

Menurut kementerian itu lagi, sebagai tindakan susulan, pihak PDRM telah diminta untuk menggunakan kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti ibu dan bapa kepada bayi yang tidak berdosa itu.

Katanya, langkah itu wajar bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke atas kes pembunuhan kejam bayi ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal dengan tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan itu.

Sehingga hari ini, terdapat 60 kes pembuangan bayi dilaporkan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang ditemui pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Bantuan Khas Perbendaharaan berjumlah RM2,657,010 kepada 59 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di sini hari ini, berkata bukan sahaja wanita yang terlibat dengan kes pembuangan bayi akan dikenakan siasatan ini tetapi juga lelaki yang menyebabkan wanita itu mengandung.

"Kita sekian lama mengambil pedekatan kebajikan, tetapi saya melihat bahawa walaupun kita ada kempen atau macam-macam program tetapi masih ada pasangan yang sanggup bunuh bayi mereka, saya nak kata, kerajaan tidak akan biarkan perkara ini berlaku," katanya.

Beliau berkata tidak ada alasan bagi mereka untuk membuang bayi kerana terdapat pelbagai cara telah diwujudkan untuk membantu dan menangani pasangan yang terdesak yang berada di dalam keadaan yang ingin membuang bayi.

Antaranya mereka boleh pergi ke pejabat-pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital, polis dan sebagainya yang terdapat di seluruh negara.

"Sebab itu selepas ini tiada maaf bagimu ada sahaja kes selepas ini akan diklasifikasikan di bawah kes bunuh," katanya.

Cucu imam: Saya terima arahan bunuh ahli keluarga melalui tulisan

Posted: 12 Aug 2010 03:42 AM PDT

BERNAMA

SEREMBAN— Rasidi Ismail, yang menghadapi pertuduhan membunuh bapa, datuk, nenek dan adik perempuannya, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang dia menerima arahan untuk membunuh empat anggota keluarganya itu yang datang dalam bentuk visual dan tulisan.

Rasidi, 32, memberitahu mahkamah bahawa dua hingga tiga hari sebelum pembunuhan itu berlaku, dia sering mendapat visual melihat ayahnya diangkat ke langit.

"Selepas melihat ayah di angkat ke langit, mak terkejut lalu meninggal dunia. Abang kedua saya pula menjadi batu dan adik saya mati dalam kemalangan jalan raya," katanya mengenai visual itu semasa membacakan keterangan membela diri terhadap pertuduhan membunuh empat anggota keluarganya itu di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara 7 pagi hingga 11 pagi, 5 Januari lepas.

Rasidi dituduh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam keterangannya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nafsy Yasin, katanya sehari sebelum membunuh mereka, dia tidak dapat tidur kerana asyik berkomunikasi dengan tulisan di dinding yang menyatakan ada banyak dajal dan syaitan sudah keluar di Malaysia dan tulisan itu memintanya bersabar dan banyak mengingati Allah.

"Keesokan paginya iaitu pada 5 Januari, tulisan itu sekali lagi muncul di dinding dan meminta saya menikam nenek (Sufiah Katas, 80 tahun) dan datuk (Atan Daud, 87) dengan pisau.

"Setelah itu saya pulang ke rumah dan membasuh tangan dan pisau di paip air lalu ayah saya keluar dan tulisan di dinding telah mengarahkan saya menyembelih ayah (Ismail Awang, 76 tahun) dan mengambil kepalanya dan membawanya ke Thailand," katanya.

Katanya dia kemudian diarah menikam adiknya (Siti Khadijah). Ibu Rasidi dan anggota keluarganya yang hadir di mahkamah dilihat menangis dan sedu-sedan mereka dapat didengari ketika tertuduh membacakan keterangannya itu.

Rasidi berkata dia kemudian melarikan diri ke Tampin sebelum ke Kuala Lumpur dan bermalam di sebuah hotel murah.

"Pada malam itu saya telah diadili oleh tuhan di atas pembunuhan yang saya lakukan dan saya telah dijatuhi hukuman pancung," katanya.

Esoknya selepas menanam kepala bapanya, katanya dia pergi ke Penjara Pudu untuk menjalani hukuman pancung seperti yang "diarahkan" tetapi penjara itu sudah ditutup dan dia kemudiannya pergi ke mahkamah dekat Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tetapi mahkamah itu sudah berpindah.

Dalam prosiding hari ini, dua saksi turut memberikan keterangan iaitu bekas majikan Rasidi, Azhar Johari, pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan di Shah Alam, Selangor dan bekas tunang Rasidi, Mysara Mohd Ali.

Azhar berkata Rasidi bekerja di syarikat itu dari September 2008 hingga Mei 2009 dan mendapatinya bersikap pelik selepas beberapa bulan bekerja di mana dia sering bercakap seorang diri dan gemar mengasingkan diri di dalam longkang.

Rasidi juga akan makan serta minum dengan senang hati ketika beliau memberi taklimat iaitu sesuatu yang tidak berani dilakukan oleh pekerja lain, kata Azhar semasa disoal peguam yang mewakili Rasidi, Hanif Hassan.

Mysara dalam keterangannya berkata selepas melakukan pembunuhan itu, Rasidi ada menghubunginya dengan telefon dengan berkata: "mak, bapa, abang ngah dan adik lelaki" sudah meninggal dunia.

Katanya beliau mempertikaikan jumlah kematian yang ramai itu dan Rasidi memberitahu bahawa perkara itu adalah benar kerana dirinya adalah Rasulullah sebelum talian diputuskan.

Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan ke 1 September depan dengan saksi terakhir iaitu pakar sakit jiwa yang pernah merawat Rasidi dijadual memberikan keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

KASE tetap mahu sistem saman ekor dimansuh

Posted: 12 Aug 2010 03:38 AM PDT


KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor (KASE) walaupun menyambut baik keputusan Kabinet menggantung sementara tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan yang menerima noti saman ekor, tetapi pihaknya tetap mahu sistem semasa dimansuhkan sama sekali.

Sambil menyifatkan keputusan semalam sebagai sebagai kemenangan awal, Pengerusi KASE Datuk Mahfuz Omar lega dengan tindakan yang membolehkan ribuan pengguna kenderaan memperbaharui cukai jalan, namun tetap bersikap skeptikal.

"Persoalannya, bagaimana pula dengan kenderaan yang cukai jalan tamat selepas 28 Februari 2011?" ujar beliau ketika perbualan telefon bersama The Malaysian Insider.

Mahfuz berkata, KASE tetap akan memperjuangkan perkara ini sehingga sistem senarai hitam dimansuh terus.

"KASE akan terus buat pemantauan dan sebarang tindakan yang dibuat kerajaan haruslah mematuhi undang-undang negara," katanya.

Beliau mendedahkan KASE sedang cuba mengadakan rundingan bersama kementerian terbabit bagi mengatasi terus masalah kontroversi saman ekor ini.

"Kami ingin mendapat peluang adakan dialog dengan Kementerian Pengangkutan, dan Kementerian Dalam Negeri. Harap Kerajaan dapat adakan rundngan dengan semua poihak bagi cari penyelesaian," kata beliau sebelum menambah surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein akan diserahkan dalam masa terdekat bagi mengadakan perjumpaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata keputusan itu diambil setelah mendengar alasan, aduan dan rayuan orang ramai dan ahli jemaah menteri.

Tempoh itu diambil kira berikutan musim perayaan bermula dari sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Krismas dan Tahun Baru Cina, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di kementeriannya di Putrajaya.

"Pada masa yang sama kepada mereka yang disenaraihitamkan atau yang mempunyai notis-notis yang perlu dijelaskan, mereka tetap perlu menjelaskannya," katanya.

Pemuda Umno juga mengalu-alukan keputusan Kabinet yang menangguhkan sistem senarai hitam pemilik kenderaan dan membolehkan mereka memperbaharui cukai jalan.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan Kabinet itu mencerminkan pendirian pergerakan itu yang mahu pelaksanaan saman ekor ini dikaji semula.

"Pemuda Umno menganggap keputusan Kabinet itu paling tepat. Lagipun ini memang desakan dari seluruh negara," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Menurut Reezal, Pemuda Umno hanya meminta agar sistem saman ekor dikaji semula dan tidak pernah meminta untuk dihapuskan penyenaraian hitam pemilik kenderaan itu.

"Sebelum habis kajian, kena tangguhkan dulu. Kena faham Pemuda tak pernah minta mansuh sama sekali. Ini kerana ia tidak adil pada sesetengah pihak," jelas beliau sambil menambah bahawa sistem yang lengkap perlu diadakan bagi menjamin keadilan.

"Memang perlu ada sistem, aturan dan peraturan serta penguatkuasaan yang merangkumi keseluruhan sistem," katanya lagi.

Kain rentang: PKR sedia mengadap Baginda Sultan beri penjelasan

Posted: 12 Aug 2010 03:33 AM PDT

WARKAH DAILY

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa parti itu rela menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bagi memberi penjelasan sebenar, namun bukan bererti untuk memohon ampun dan maaf.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Zabidie Abas berkata, keputusan untuk menghadap Baginda Tuanku diputuskan Majlis Pimpinan PKR negeri dalam mesyuarat tergempar yang diadakan kelmarin.

Katanya, keputusan yang dicapai itu akan dilakukan dalam waktu terdekat bagi meredakan kemurkaan Baginda Tuanku yang sebelum ini murka dengan penyebaran kain rentang yang melibatkan Baginda Tuanku di kancah politik.

"Kami semua sepakat untuk menghadap Baginda Tuanku sekiranya diperkenankan dan kita akan memberi penjelasan sebenar kepada Baginda Tuanku tentang apa yang berlaku.


"Untuk minta maaf, kita tidak akan lakukan sebab kita tidak bersalah, yang bersalah seharusnya yang meminta maaf," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak kepimpinan PR memohon ampun dan maaf berikutan tindakan mengaitkan Baginda Tuanku dalam arena politik.

Muhyiddin menegaskan, tindakan itu jelas tidak menghormati institusi diraja selain boleh disifatkan sebagai menjatuhkan maruah serta martabat institusi berkenaan.

"Kami sentiasa menghormati titah Baginda Tuanku dan jauh sekali untuk mencemarkan nama Institusi Diraja demi mencapai kepentingan politik," katanya.

Katanya, beliau berharap agar polis dapat menjalankan siasatan yang terperinci bagi mengheret individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. -SH

Selamatkanlah Selangor dari mereka

Posted: 12 Aug 2010 03:32 AM PDT


ROSLAN SMS





Maka berakhirlah fasa 1 program gergasi Umno Selangor iaitu "roadshow" Selamatkan Selangor Darul Ehsan semalam di Jalan Kebun Kelang. Kata Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar:

"Alhamdulillah, sambutan rakyat untuk peringkat pertama ini di luar dugaan. Ini kerana ia banyak menyedarkan rakyat mengenai pembohongan pakatan pembangkang selama ini sama ada dalam pentadbiran negeri mahu pun kempen politik mereka,".

Saya tidak tahulah "standard" apa yang diguna oleh Noh apabila beliau berkata sambutan rakyat terhadap program Umno itu "luar dugaan", tetapi dari pengamatan ramai, termasuklah saya sendiri yang pernah menjenguk program yang sama di Ampang, kehadiran luar dugaan itu mungkin maksudnya yang diduga hadir patutunya ramai yakni ribuan atau puluhan ribu tetapi hakikatnya yang hadir cuma beberapa kerat, itulah maksudnya barangkali "luar dugaan"!

Umno satu ketika dahulu ketika memerintah Selangor, jika menganjurkan program yang hadir adalah belasan malah puluhan ribu, berbas-bas, tetapi kebelakangan ini "funfair" anjuran Noh, tidak lagi semeriah dahulu.

Ia mungkin kerana Umno Selangor sendiri kekurangan dana untuk menaja bas-bas seperti dahulu atau mungkin kerana rakyat pun sudah muak dan bosan, takkanlah nak mendukung biawak hidup lagi.

Ahad lepas saya berceramah bersama Timbalan Ketua Penerangan PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga EXCO Selangor dan ADUN Cempaka, YB Iskandar Samad di Kg. Pandan. Saya tertarik dengan penyampaian Ustaz Sallehen, kata beliau mengapa susah-susah Umno Selangor mahu menganjurkan "roadshow"seumpama ini, bukankah mereka menguasai media arus perdana? Ada TV ada akhbar ada radio? Tayangkan sahaja secara langsung taip-tiap malam.

Sesungguhnya malapetaka (bagi BN) 2008, telah membunuh apa sahaja semangat dan kekuatan yang ada pada Umno dan BN Selangor untuk bangkit semula. Mereka bersengketa sesama sendiri, menuding jari, berbalah, berebut jawatan,malah sehingga hari ini "malapetaka" itu terus menghimpit dan menghantui mereka.

Mereka serba-salah, tak tahu apa yang patut dilakukan, sedangkan rakyat telah maklum bahawa mereka inilah yang sebenarnya telah memeras dan menyelongkar harta kekayaan negeri, menggemukkan kroni dan sanak-saudara, rakyat digula-gula hanya bila perlu, lalu rakyat sudah serik, sipincang dan sikotor ini jangan diberi muka dan peluang lagi.

Dijajanya ke hulu dan ke hilir, cabaran supaya PAS Selangor tuntut diharamkan pusat-pusat hiburan dan rumah urut dalam bulan Ramadhan nanti. Tidakkah itu membunuh mereka sendiri?! Pertama mengapakamu sendiri tidak melakukannya ketika berkuasa sepanjang 52 tahun lalu. Kedua mengapa negeri-negeri yang masih kamu perintah tidak pula melakukannya.
Maghrib ini inysallah kita meraikan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh barakah itu.

Marilah kita jangan lupa memanjatkan doa ke hadrat Allah siang dan malam. Selitkan juga jangan lupa dalamdoa kita itu, agar Allah menzahirkan kebenaran dan menghancurkan kebatilan di negeri ini. Minta Allah satu padukan saf Melayu/ Islam di Selangor ini di bawah panji-panji kepimpinan Islam. Hancurkan pemimpin yang kotor dan pincang. Selamatkan negeri ini dan rakyatnya. Berilah kemenangan kepada Islam.

Selamatkan Selangor Darul Ehsan dari saki-baki pimpinan Umno!

Usah melatah dengan kenyataan Soi Lek ....

Posted: 11 Aug 2010 11:20 PM PDT

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

PILIHAN RAYA umum 2008 memang satu kejutan tidak terjangka dan pengalaman paling buruk buat MCA. Parti komponen BN itu kalah teruk di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Igauannya pasti berterusan apabila semua pilihan raya kecil selepas itu menyaksikan tiada langsung petanda bahawa pengundi Cina bersedia untuk menyokongnya kembali.

Malah, difahamkan, di Perak misalnya, ekoran rampasan kuasa yang didalangi Dato' Seri Najib Razak bagi menggulingkan kerajaan negeri Pakatan, kemungkinan besar masyarakat Tionghua menjadi bertambah marah dan seolah-olah tidak sabar lagi untuk menunggu pilihan raya umum ke-13 untuk "mengajar BN".

WAJAH PARTI YANG MURAM

Meskipun teraju MCA bertukar daripada Tan Sri Ong Ka Ting kepada Dato' Seri Ong Tee Kiat, wajah parti itu tetap suram. Susulan itu, penampilan bergaya Dato' Seri Chua Soi Lek (walaupun skandal seksnya belum dilupakan) seperti cuba melakarkan pendekatan baru menjinakkan "kemarahan" pengundi Cina kepada BN.

Tanpa perlu menanti lama, Chua bukan sahaja gagal mempengaruhi bangsanya sendiri, kenyataannya pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, 6 Ogos lalu mengundang petaka baru. Pengundi Melayu - yang dikira sebagai penyelamat BN pada Mac dua tahun lalu - marah dengan pandangan sempitnya yang melabelkan bahawa majoriti negara Islam sebagai tidak progesif, mundur, terkebelakang dan korup.

Chua turut berpandangan, dalam konteks Malaysia, Umno menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan orang Melayu. Apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, dakwa Chua, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif, menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana.

Ucapan Chua itu banyak merujuk kepada buku tulisan Syed Akbar Ali, "Malaysia and the Club of Doom". Ternyata rujukan beliau tersasar, tetapi lebih malang apabila pemimpin utama Umno tidak bersedia menegurnya.

Secara peribadi saya tidak berasa pelik dengan pandangan dan niat Chua. Beliau sekadar mahu menakutkan orang Cina terhadap PAS, yang kini semakin mesra dan intim dengan masyarakat Tionghua.

MAKIN CEMAS

Beberapa pendekatan baru PAS, misalnya penubuhan Dewan Himpunan Penyokong, menjadikan MCA lebih cemas, manakala percubaan media untuk melaga-lagakan parti Islam itu dengan DAP - dua parti yang dahulunya dianggap berada di dua kutub berbeda - langsung tidak menggugat persefahaman erat dalam Pakatan.

Sebelumnya, di Kota Bharu, Presiden MCA itu berkata, seandainya Pakatan menang dalam pilihan raya umum akan datang, maka yang bakal menjadi Perdana Menteri bukannya pemimpin KeADILan atau DAP, tetapi adalah calon PAS.

(Pengulas dan veteran politik, Tan Sri Abdullah Ahmad dalam tulisannya berpendapat ucapan Chua itu "satu pendekatan dan kenyataan takuk lama, dan lebih buruk pula kerana dia membuat kenyataan itu di Kelantan. Cina Kelantan arif berpolitik!")

Mengulas tanggapan Chua di Alor Setar, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, berkata Chua telah mempamerkan kejahilan dan begitu bongkak. "Bagi saya, ini tidak dapat diterima. Saya tidak tahu,tetapi berdasarkan pergaulannya dengan Umno itu langsung tidak memperlihatkan bahawa beliau memahami dan menghargai perasaan prihatin masyarakat Islam," katanya.

TIDAK MAHU TERLALU DEFENSIF

Apa pun, saya tidaklah mahu menjadi terlalu defensif dengan beberapa ciri umum negatif, yang dikaitkan dengan majoriti negara-negara umat Islam hari ini, terutama jika dilihat dalam konteks demokrasi, hak asasi, rasuah, keadilan, jurang kaya-miskin yang melebar.

Yang salahnya dan merupakan satu pendustaan besar apabila Chua mengaitkan kemunduran itu dengan Islam, walhal pemerintahan kuku besi, regim yang menekan dan amalan korupsi - yang bukan saja berlaku di negara umat Islam tertentu - adalah disebabkan tuntutan agama itu sendiri dipinggirkan. Islam kerap dihiaskan untuk menutup wajah hodoh pemerintahan autoritarian. Saya sendiri mengimpikan akan tersenarai negara-negara Muslim dalam ranking tertinggi indeks rasuah, demokrasi dan juga kebebasan akhbar, seperti yang pernah saya ulas dahulu dalam ruangan ini .

Kini posisi utama lebih dimonopoli oleh negara-negara Scandinavia. Malah, dalam World Corruption Ranking 2008, hanya sebuah negara Muslim dapat menandingi kedudukan Israel! Meneliti tangga 20 teratas negara yang bersih rasuah, kita tidak terjumpa nama negara umat Islam.

Amat sedih melihat negara Muslim yang begitu kaya dengan hasil-mahsul buminya, dan pemimpinnya dengan bangga mempamerkan kehidupan mewah, sedangkan majoriti rakyatnya terperosok dalam kemunduran, kemiskinan dan kefakiran. Dalam sejarah moden pun kita dihidangkan dengan kisah-kisah tragis penyeksaan di luar batas kemanusiaan oleh regim penguasa terhadap pemimpin gerakan Islam.

KEKUATAN ISLAM

Dalam konteks Malaysia, sepatutnya Chua menyedari bahawa kekuatan PAS, sama ada menghadapi cabaran berbentuk tekanan dan penindasan pemerintah, atau dugaan menggiurkan semasa berkuasa, adalah berpunca daripada benteng iman dan Islam para aktivisnya.

Keupayaan PAS mempertahankan Kerajaan Negeri Kelantan (2008-3008) walaupun hanya mempunyai kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri, dilihat pemerhati politik, adalah difaktorkan oleh komitmen wakil rakyatnya terhadap Islam.

Usah dibandingkan dengan kepalsuan rakan-rakannya dalam Umno, walaupun nampak berusaha untuk meninggikan syiar Islam tetapi masih berselimut selesa dengan "gebar" rasuah, pilih-kasih, salahguna kuasa.

Sepatah kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika merasmikan persidangan integriti: "Dr Chua sepatutnya mendidik dirinya dengan mendalami sejarah tamadun Islam yang mencerminkan kegemilangan yang tidak hanya terhad kepada empayar global malah di dalam pembangunan seni, pembelajaran, pengenalan angka, algebra dan astronomi."

II.

Dalam politik, setiap kesempatan harus direbut atau dimanfaatkan, biarpun ketika sesuatu isu itu dilihat memakan diri. Kontroversi selalunya menarik perhatian umum. Ia membuka peluang untuk rakyat mendengar penjelasan.

KEBIJAKSANAAN MENGOLAH ISU

Justeru, isu panas tidak perlu dihindari sangat, apatah lagi digeruni. Yang penting adalah kebijaksanaan dan kecekalan untuk menekuni dan mengolahnya agar isu kontroversi (apatah lagi yang sengaja diputar-belitkan pihak lawan) itu menjadi modal berbisa untuk kembali mendominasikan pemikiran umum.

Banyak perkara yang pada awalnya nampak menggugat diri, tetapi selepas diberi penerangan sejelasnya dapat memukul balik seteru politik. Seingat saya banyak tohmahan yang dilemparkan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya, sama ada memakan diri Umno atau akhirnya senyap begitu sahaja.

Apabila cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua untuk memansuhkan diskaun Bumiputera terhadap pemilikan rumah mewah (bernilai RM500,000 ke atas) dan bangunan komersil (lebih RM2 juta) dijadikan isu kontroversi, memang media pemerintah melihatnya seperti bola tanggung untuk "melibas maut" DAP, dan sekali gus mencari peluang mengheret PAS.

Harus diakui, asas kekuatan PAS tidak dapat lari daripada sokongan pengundi Melayu. Jadi, ia tentu tidak mahu membazirkan masa untuk bergelut dalam gelanggang ciptaan Umno.

Seperti ditunjukkan dalam kes Selangor dan Pulau Pinang - juga dahulunya Perak - Umno hanya menunggu saat sesuai untuk mengapi-apikan sentimen perkauman bagi mencalar imej dan identiti "kemelayuan" PAS.

PENGUNDI MAKIN MATANG

Bagaimanapun, pengundi tidak semestinya menelan bulat-bulat apa yang dimuntahkan media Umno. Mungkin ada sebilangan orang Melayu termakan dengan "racun" itu, tetapi ia juga menyediakan peluang untuk PAS dan Pakatan merongkai kecelaruan. Sama juga seperti ada kritikan keras terhadap pelaksanaan DEB (antaranya dikemukakan Dato' Seri Anwar Ibrahim) yang memperalatkan nama Melayu untuk kepentingan suku-sakat elit penguasa.

Apabila penjelasan diberikan, dan ia disebarkan secara terancang dan berkesan, rakyat dapat melihat kepincangan di sebalik gimik hak istimewa Melayu itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah pun menekankan bahawa beliau tidak pernah menyokong penghapusan kuota dan keistimewaan bumiputera; dalam kes hartanah, khususnya rumah kos rendah dan sederhana. Malah, diskaun untuk rumah mewah itu boleh dimasukkan dalam tabung untuk membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah.

ORANG KAYA, SAUDAGAR BESAR NIKMATI SUBSIDI

Asasnya, bantuan atau subsidi adalah untuk keperluan golongan miskin dan rakyat bawahan. Malang sekali, di negara ini, golongan kaya dan saudagar besar lebih banyak menikmatinya. Di kala senang mereka membolot pelbagai projek, kebanyakannya melalui rundingan terus, manakala di waktu susah kerajaan juga yang menyelamatkan mereka melalui operasi bail-out dan sebagainya.

Tetapi rakyat, termasuk orang Melayu, bukan buta untuk melihat realiti yang menjolok mata ini. Mereka melihat masih ramai rakyat, tanpa mengira kaum, yang susah hidupnya dan tertekan dengan kenaikan kos sara hidup selepas subsidi dipotong (atau istilah pemerintah, "diselaraskan"). Keistimewaan layanan kerajaan, melalui TNB, terhadap syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP), selalu menjadi rujukan awam.

Saya tetap yakin bahawa perubahan yang bermula dalam pilihan raya 1999 - ketika itu lebih membabitkan pengundi Melayu - tidak boleh disekat. Jangan memandang rendah kematangan rakyat dalam menilai dan memerhati gelagat pemimpin politik, BN mahupun Pakatan Rakyat.

Cuma, seperti pandangan seorang pembaca kepada saya, mungkin lebih elok jika kritikan berkaitan "hak istimewa orang Melayu" datangnya daripada pemimpin Melayu itu sendiri. Tambahnya, kritikan Anwar terhadap pelaksanaan DEB agak sukar disensasikan berbanding jika Lim Kit Siang yang mengemukakan teguran itu.

III.

Saranan agar Akta Universiti dan Kolej Universiti dipinda - termasuk dari Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Saifuddin Abdullah - bagi membolehkan mahasiswa terbabit dengan politik kepartian disambut baik banyak pihak, terutama pemimpin pelajar bukan kumpulan Aspirasi, yang bebas daripada pengaruh Umno.

BANTUTKAN PROSES KEMATANGAN

Bagaimanapun parti-parti dalam Pakatan Rakyat sejak lama melihat Auku sebagai halangan besar yang membantutkan proses kematangan warga kampus, termasuk tenaga akademiknya.

Lebih menarik apabila beberapa pemimpin muda dalam BN sendiri menyokong agar mahasiswa dibenarkan menganggotai parti politik. Antaranya, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno dan Dato' Dr Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA. Namun, Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Khaled Nordin, nampaknya agak keberatan, mungkin menunggu isyarat jelas Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak terlebih dahulu.

Pastinya, bagi Najib, pertimbangan utama tertakluk kepada manfaat atau bencana politik yang bakal diterima BN dalam pilihan raya umum akan datang.

KEBEBALAN MANTAN NAIB CANSELOR

Saifuddin, jelas konsisten dalam pendiriannya, seperti yang ditunjukkan dalam program Soal Jawab TV3 minggu lalu, ketika membidas "kebebalan" bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Ibrahim Abu Shah. Di Georgetown, pada 9 Ogos, Saifuddin mengulangi pandangannya tentang keperluan pindaan Auku itu: "Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Di samping itu ia penting untuk mematangkan demokrasi kita."

Saya harap kerajaan tidak menunggu lama untuk memecahkan belenggu yang memasung gerakan pelajar sejak 35 tahun itu. Di waktu ramai resah dengan sikap tidak peduli golongan muda dengan persoalan di sekitar mereka, apatah lagi hal-hal politik, sehingga hak paling asas dalam sistem demokrasi, iaitu tanggungjawab mendaftar sebagai pengundi pun diabaikan, maka menara gading kita mesti segera dipulihkan autonominya, selain membiarkan mahasiswa bebas "mencabar dan dicabar". Lambat atau cepat, segala kongkongan itu perlu dimansuhkan juga nanti, bukan sahaja dalam Auku, tetapi juga akta-akta drakonian lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP).

KERAJAAN PEKAK TELINGA

Anak muda, yang sering dikaitkan dengan idealisme luhur, bukan sahaja mudah berang apabila dianggap "budak mentah dan belum matang" sehingga perlu ditunjuk-ajar (diikat) dengan pelbagai peraturan "karut-marut", malah tidak mustahil mereka bakal bangkit "memberontak" menuntut hak jika kerajaan terus memekakkan telinga.

Apabila tekanan kini datang daripada dalam sendiri, kata putus Perdana Menteri begitu ditunggu-tunggu. Sekiranya Najib merasakan belum masanya mahasiswa dan pensyarah"dibebaskan", maka yang lebih menarik untuk diperhatikan, apakah Saifuddin, Khairy dan Ka Siong tetap bertahan dengan prinsip mereka?

Hantu perosak dunia pendidikan bermaharajalela

Posted: 11 Aug 2010 11:15 PM PDT

Oleh Lanh

DUNIA pendidikan (sekolah) semakin kelam-kabut, kata seorang guru kepada penulis. Lepas satu isu ke satu isu ditimbulkan pemimpin politik sedangkan yang lama belum diselesaikan. Pihak menanggung beban adalah guru yang bukan saja terbeban dengan gelagat orang politik yang menjadi hantu dunia pendidikan ini tetapi juga anak-anak murid yang semakin sukar diajar; ringkasnya kurang ajar.

Terbaru guru siswazah dibenarkan menyertai politik. Bunyinya macam pihak atasan begitu prihatin dan bersikap terbuka, namun jika difikirkan ia mendatangkan implikasi amat buruk

Tentunya pada ketika Umno-BN memerintah, politik yang dibenarkan adalah politik Umno-BN, jadi dengan perubahan ini, guru-guru yang menyokong pembangkang usahlah berangan untuk melebarkan sayap; silap-silap haribulan dipulau dan dikirimkan ke pedalaman. Jadi tentulah cikgu berfikir, lebih baik diamkan diri, nanti dah pencen aktiflah seperti mana dilakukan ramai pesara guru.

Dulu pada ketika guru ini tidak dibenarkan aktif berpolitik, politik Umno termasuk Puterinya selalu masuk sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk mempengaruhi pelajar, kelonggaran terbaru itu dibimbangi akan menyebabkan sekolah-sekolah akan menjadi sarang/markas Umno-BN.

Guru-guru pendukung Umno-BN akan berdendang di sekolah, dewan malah bilik darjah dan makmal akan bebas digunakan mereka menjalankan projek masing-masing. Bukankah ini menjadi cukup bahaya. Jika dulu dewan menjadi tempat mesyuarat agung Umno, nanti bilik guru pun jadi markas mereka. Umno apa peduli, masjid dan surau pun mereka salahgunakan untuk kepentingan politik sedangkan pemimpin mereka sendiri mencanangkan jangan gunakan masjid untuk tujuan politik.

Kenapalah agaknya dunia dan institusi pendidikan seperti sekolah dijadikan pemimpin Umno-BN untuk menunjukkan jaguh? Mengapa mereka kerap bertindak untuk mengubah keadaan kononnya? Misalnya, mengapa mereka pandai-pandai melontarkan pandangan untuk menghapuskan peperiksaan awam UPSR dan PMR?

Seorang pemimpin kesatuan guru berkata, dalam percubaan mereka untuk melakukan perubahan, mereka tidak pula menyatakan jawapan atau alternatif kepada cadangan itu sebaliknya menyuruh pihak bawahan membahaskannya.

Katanya, sepatutnya pihak berkenaan sudah menyiapkan syor, kajian, pilihan, dan jawapan berhubung cadangan itu tetapi nampaknya peserta diskusi membincangkan perkara yang belum ada. Misalnya, kalau dihapuskan UPSR dan PMR ini, apa pilihan yang ada. Ini masyarakat tidak tahu apa yang mahu ditawarkan, jadi teraba-rabalah mereka dalam perbahasan.

Ini samalah seperti idea seorang bekas PM dulu yang memaksakan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik sedangkan kajian, pelan percubaan dan rancangan masa depan tidak ada lagi. Akhirnya, semuanya tidak menjadi, sekolah kembali ke pangkal jalan, budak-budak kembali menggunakan bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan.

Demikianlah mengapa dunia pendidikan gemar dikacau-kacau oleh hantu ini? Hantu-hantu ini mengharu-birukan dunia pendidikan, mereka ingat anak-anak murid dan guru-guru di sekolah itu 'guinea pig' untuk mereka melakukan ujian bagi membuktikan kehebatan mereka? Oleh itu, wahai hantu jangan mengacau lagi, nanti lebih banyak guru dan murid diserang histeria, rosak negara kita.

Hari ini dunia pendidikan anak bangsa kita amat huru-hara. Banyak hantu hidup dalam bidang ini, mereka menjadikan dunia pendidikan tempat untuk meraih populariti, lantas menjadi juara rakyat kononnya. Apabila tukar perdana menteri dan menteri, banyak perkara berubah, guru jadi pening kepala.

Dulu, ketika era PM Abdullah Ahmad Badawi, warga sekolah terutama cikgu diminta memahami dan kemudian menyerapkan fahaman Islam Hadhari di sekolah, kini mereka disibukkan pula dengan 1Malaysia. Islam Hadhari sudah tercampak ke mana, guru pun tidak ingat lagi 10 Prinsip Asasnya.

Kini guru diminta pula menghadam 1Malaysia. Mereka pun tidak faham apa itu 1Malaysia, tetapi kenalah buat-buat faham untuk disampaikan kepada anak murid.

Selain hantu dalam dunia pendidikan, warga pendidik juga terkesan dengan hantu-hantu yang berkeliaran di luar sekolah. Ini kerana hantu-hantu ini ada pengaruh besar ke atas anak-anak murid-murid mereka.

Antara hantu itu adalah hantu fitnah. Hantu ini adalah media massa. Surat khabar, TV dan radio adalah gengnya. Susah dipisahkan satu sama lain. Seolah-olah ada kerjasama yang amat erat sesama mereka. Hantu jenis ini percaya dia saja betul, lepas itu hasut orang percayakan dia. Dia buat 'story' memburukkan pihak lawan, kemudian siar gambar tak senonoh dan lucah.

Budak-budak sekolah cukup senang ditemberang oleh hantu media massa ini. Malah kadang-kadang mereka bersekongkol pula. Budak-budak sekolah pun sama jadi hantu, mereka lebih 'advance' pula, misalnya membuat penggambaran lucah dan menyebar-luaskannya dengan menggunakan telefon mudah alih dan komputer riba.

Demikian betapa banyak hantu mahu merosakkan kita, berdoalah agar hantu-hantu ini dimusnahkan pada pilihan raya akan datang. Biarlah mereka dipasung bagai syaitan dipasung pada bulan Ramadan. Jadi tidaklah lagi mereka berkeliaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi!

Suami Isteri Maut Sebelum Sempat Berbuka Puasa

Posted: 11 Aug 2010 11:14 PM PDT

BERNAMA

SEREMBAN: Sepasang suami isteri tidak sempat menghabiskan hari pertama ibadah puasa mereka Rabu apabila terbunuh dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Km 253.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Senawang petang ini.

Seorang kanak-kanak berusia 3 tahun yang dikenali sebagai Mohd Daniel, iaitu anak kepada angkat pasangan terbabit bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami luka di mata dalam kemalangan 4 petang itu.

Pasukan bomba dan penyelamat dari Senawang mengeluarkan mayat suami isteri yang tinggal di Tampoi itu, dari kereta mereka.

Polis berkata yang terbunuh dikenali sebagai Jamat Yaacob, 49, yang dipercayai bekerja sendiri dengan membekalkan bola golf terpakai di kelab-kelab golf sekitar Kuala Lumpur.

Ratusan bola golf dilihat bertaburan di sekitar kawasan kemalangan.

Isteri Jamat, Rosmah Omar, 48, cedera parah di kepala.

Pemandu lori treler itu, Alghazi Khamis, 48, berkata beliau bersama isteri dan anaknya yang berumur 5 tahun sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor apabila treler yang dipandunya mengalami kerosakan.

"Treler saya tidak dapat bergerak akibat kerosakan pada long shaft. Saya tidak dapat bergerak ke lorong kecemasan dan terpaksa berhenti di lorong tengah," katanya kepada Bernama.

Beliau kemudian turun dari lorinya untuk meletakkan kon amaran kecemasan di belakang trelernya sebelum naik semula ke dalam treler.

"Tidak sampai tiga minit kemudian, tiba-tiba treler saya bergegar dengan kuat dan saya nampak sebuah Toyota Unser terperosok ke bawah treler saya," katanya.

Dalam kejadian berasingan di Nilai, seorang wanita yang berusia lingkungan 20-an terbunuh selepas tercampak dari kereta Kancil yang turut dinaiki tiga rakannya.

Menurut polis, wanita terbabit yang duduk di sebelah pemandu tercampak selepas kereta itu terbabas ke lereng bukit pada pukul 3.50 petang di Km 273 berhampiran kawasan rehat Seremban.

Kereta Kancil terbabit dipercayai sedang dalam perjalanan dari Nilai menuju Melaka.

Tiga lagi penumpang termasuk pemandunya terselamat.

Jakim Keluarkan Statistik Hotel Seluruh Yang Dapat Sijil Halal

Posted: 11 Aug 2010 11:13 PM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan statistik mengenai jumlah hotel di seluruh negara yang diberikan sijil halal bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam terutama sepanjang bulan Ramadan.

Presidennya Datuk Mohd Ilyas Zainol Abidin berkata ini kerana sejumlah 22 hotel yang diberikan sijil halal seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Malaysia semalam hanya meliputi Wilayah Persekutuan sahaja.

"Data yang diberikan oleh JAKIM memang betul tetapi ia hanya melibatkan sijil yang dikeluarkan olehnya dan tidak termasuk sijil yang dikeluarkan Majlis Agama Islam negeri-negeri.

"Daripada 552 ahli persatuan kami di seluruh negara, 244 memaklumkan bahawa mereka mempunyai sijil halal. Jumlah ini melebihi daripada apa yang disebutkan oleh JAKIM," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Justeru, beliau mencadangkan supaya satu data bersepadu di antara Jakim dan Majlis Agama Islam negeri-negeri diwujudkan bagi memaklumkan jumlah sebenar hotel yang telah mempunyai sijil halal di seluruh negara.

"Saya mintalah jasa baik pihak berwajib supaya melihat kembali perkara ini supaya ia diselesaikan.

"Kami di pihak perhotelan bukan tidak menyokong usaha ke arah mendapatkan sijil halal, tetapi perlu ada kerjasama antara pihak berwajib negeri juga kerena keraguan (sijil halal) boleh menyebabkan perniagaan kami mengalami kerugian," katanya.

Mohd Ilyas berkata bagi menangani masalah itu beliau mencadangkan agar sijil halal yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri kepada hotel diperakukan oleh Jakim tanpa perlu ditukar atau membuat permohonan semula.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna yang ragu-ragu bahawa mereka juga berhak meminta pihak hotel mengemukakan sijil halal yang diperolehi.

"Pengguna sebenarnya banyak pilihan dan juga perlu bijak menilai dan memilih sesuatu yang baik untuk mereka," katanya.

Katanya MAH sentiasa akan memastikan anggota persatuan memiliki sijil halal.

Tiga Lelaki Termasuk Seorang Warga Indonesia Ditahan Di Bawah ISA

Posted: 11 Aug 2010 11:12 PM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga orang lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan yang boleh memudaratkan keselamatan negara dan dipercayai mempunyai hubungan dengan aktiviti kumpulan militan di luar negara.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, dua lagi lelaki yang ditahan merupakan warganegara Malaysia.

Beliau berkata, warganegara Indonesia itu ialah Mustawan Ahbab, 34, seorang eksekutif pemasaran yang ditangkap di Bukit Indah, Ampang.

Katanya warganegara tempatan yang ditahan ialah Samsul Hamidi, 34, seorang kontraktor yang ditangkap di Temerloh Pahang, dan Sheikh Abdullah Sheikh Junaid, 70, pengarah urusan sebuah syarikat yang ditangkap di Taman Melur, Ampang.

Ketiga-tiga mereka kini ditahan mengikut Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, katanya.

Pasukan Petugas Khas Kaum India Bergerak Sepenuhnya

Posted: 11 Aug 2010 11:07 PM PDT

MSTAR ONLINE

PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas yang baru dibentuk untuk melaksanakan keputusan Jawatankuasa Kabinet bagi menangani masalah Masyarakat India akan melancarkan program pertamanya pada Ahad ini.

Dikenali sebagai 'Program 1Malaysia Mesra Rakyat', ia akan diadakan di Dewan Harmoni Simpang Tiga, Ijok, Kuala Selangor, Selangor, menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

Program itu, yang merupakan sebuah pusat sehenti bergerak bertujuan membantu masalah yang dihadapi masyarakat tersebut, dianjurkan bersama bahagian MIC Kuala Selangor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kata beliau dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Dr Subramaniam yang juga naib presiden MIC dan pengerusi pasukan petugas itu berkata antara isu yang akan ditangani ialah pengeluaran surat beranak, kad pengenalan, sijil kewarganegaraan, masalah kemiskinan dan bantuan kebajikan, pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan, pinjaman perniagaan kecil dan nasihat undang-undang.

Beliau menggesa orang ramai yang menghadapi masalah atau kesukaran hendaklah hadir pada program itu untuk mendapatkan penyelesaian.

"Ini adalah peluang baik untuk orang ramai berjumpa kita dan masalah mereka diselesaikan oleh agensi yang berkaitan," kata Dr Subramaniam.

Menteri itu berkata pasukan itu mahu bertemu terus dengan orang ramai menerusi program tersebut, "dan bukan mereka mencari kita".

"Ini selaras dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

Pasukan itu ditubuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet tersebut, yang akan memantau dan mengukuhkan penyampaian dan pelaksanaan agar kumpulan miskin dan berpendapatan rendah boleh akses dengan perkhidmatan sektor awam seperti program pembasmian kemiskinan, program perumahan mampu milik dan program pendidikan.

Hospital Shah Alam: Lagi sub-kontraktor ditamatkan

Posted: 11 Aug 2010 11:06 PM PDT

Hazlan Zakaria

Pembinaan Hospital Shah Alam yang dibelenggui pelbagai masalah kini hampir pasti akan tertangguh berikutan khidmat sub-kontraktornya, GM Healthcare Sdn Bhd (GMH) ditamatkan hari ini.

Menurut surat penamatan itu yang diberikan kepada Malaysiakini, kontraktor utama Sunshine Fleet Sdn Bhd menamatkan khidmat GMH kerana gagal dalam melasanakan kerja yang diamanahkan.

"Untuk makluman tuan, kini kami telah menerima dua surat peringatan dan amaran bagi kemungkiran kontraktor dari pihak JKR atas kelewatan melampau dalam menyiapkan kerja," petik surat berkenaan.

Notis penamatan perkhidmatan yang bertarikh hari ini ditandatangani oleh ketua pegawai eksekutif, Sunshine Fleet, Tengku Putri Arafiah Sultan Salahuddin Abdul Aziz yang merupakan adinda Sultan Selangor.

Pagi ini, kakitangan GMH diarah mengosongkan kawasan tapak pembinaan itu dengan bantuan pihak polis.

Menurut ketua pegawai eksekutif GMH, Elvin Toh, tiada masa yang mencukupi diberikan bagi kakitangannya mengeluarkan barangan peribadi mereka serta peralatan syarikat.

"GMH telah memaklumkan semua sub-kontraktor dan kakitangan untuk mengosongkan tapak secara aman bagi mengelakkan sebarang konfrontasi atau kejadian yang tidak diingini," kata Toh dalam mesej sms.

GMH adalah sub-kontraktor kedua yang ditamatkan bagi pembinaan hospital bernilai RM482 juta itu. Sebelum ini, khidmat Isyoda (M) Sdn Bhd ditamatkan pada 21 Mei 2009.

Setakat ini kurang daripada 30 peratus daripada kerja-kerja pembinaan telah disiapkan.

Project ini mengikut perancangan sepatutnya siap pada bulan November ini tetapi Kementerian Kerjaraya telah menundanya sehingga Jun tahun depan.

Kes bakar gereja, tertuduh terbakar di rumah guru

Posted: 11 Aug 2010 11:00 PM PDT

MALAYSIA KINI


Seorang guru hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa kedua-dua tertuduh kes bakar gereja di Desa Melawati ada bersamanya pada malam kejadian dalam satu jamuan barbeku, malah beliau sempat melihat anggota badan mereka terbakar.

Mohd Hamzan Zainal Abidin, 24, berkata ketika kejadian, Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim (kanan), 24, dan adiknya Raja Mohamad Izham, 22, berada di rumahnya untuk menghadiri jamuan barbeku.

"Selepas bercakap dengan mereka, saya masuk dalam rumah semula untuk mengambil ayam dan sotong, tetapi bila dengar ada yang menjerit, ayam yang saya pegang dalam besen untuk dibawa keluar terjatuh.

"Bila keluar, saya nampak baju Apai (Faizal) dah kena api. Dek Am (Izham) yang nak tolongpun, tangan dia terkena. Dia (Faizal) menjerit kuat kat tepi api.

"Api yang menyambar tu saya tidak nampak (puncanya), tetapi saya nampak mereka kibas tangan," katanya pada perbicaraan kedua-dua beradik yang didakwa melakukan khianat dengan membakar gereja Metro Tabernacle di Jalan 4/4C, Jalan Desa Melawati pukul 11.50 malam, 7 Jan lalu.

Kedua-dua beradik itu didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama beberapa orang yang masih bebas, mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Hamzan berkata beliau meminta seorang lagi rakan yang dipanggil Jo, menghantar kedua beradik itu ke klinik Izham sebelum bertindak memadamkan api.

Beliau yang merupakan sahabat rapat Raja Mohamad Faizal, bagaimanapun tidak berkesempatan melawat tertuduh pertama di Hospital Kuala Lumpur kerana sibuk
dengan urusan di sekolah.

Ketika ditanya sama ada beliau mereka-reka cerita mengenai jamuan barbeku itu untuk menyelamatkan rakannya, Mohd Hamzan berkata "Tidak setuju."

Selepas kejadian itu, beliau hanya berjumpa dengan kedua beradik tersebut pada bulan Mac atau April, dan pada Julai, seorang anggota polis menemuinya untuk mengambil keterangan.

Mohd Hamzan juga berkata beliau tidak ingat bila mereka ditangkap, tetapi tidak menafikan ada mendengar jiran-jiran bercerita mengenai perkara itu.

Terdahulu, beliau memberitahu mahkamah bahawa jamuan barbeku itu terpaksa diadakan pukul 12 malam selepas kedua beradik menyatakan mereka akan hadir lewat kerana "ada hal sikit."

Ke
tika ditanya sebab beliau tidak memberitahu polis mengenai jamuan barbeku itu, Mohd Hamzan berkata "Sebab dia tidak tanya saya dan sayapun hendak cepat sebab saya ada hal. Soalan diapun berpandukan nota yang dia ada sahaja."

Sebelum itu, Pegawai penyiasat Insp Mohd Hanis Abd Wahab memberitahu mahkamah bahawa Mohd Hamzan hanya menyatakan beliau mengenali kedua-dua tertuduh dan mereka terbakar akibat terkena api dari kebakaran sampah.

Hakim SM Komathy Suppiah menetapkan Jumaat depan untuk penggulungan hujah selepas pembelaan menutup kesnya dengan memanggil empat saksi, termasuk kedua-dua tertuduh.


UiTM haramkan 'Student Power"

Posted: 11 Aug 2010 10:56 PM PDT

Regina Lee

Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengharamkan ceramah umum seorang pembikin filem muda berhubung kegiatan pergerakan mahasiswa sekitar tahun 1960an yang dijadualkan di kampus itu semalam.

Mengikut perancangan Fahmi Reza sepatutnya berucap di kampus UiTM di Puncak Perdana, semalam tetapi mereka dihalang.

Menurut seorang penganjur yang juga seorang pelajar UiTM, seorang pensyarahnya memaklumkan pagi semalam, bahawa ceramah itu tidak dapat diteruskan kerana ia tidak mendapat kebenaran universiti.

"Pensyarah saya dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar mendapat tahu berhubung majlis itu dan mereka mengarahkan kami supaya tidak mengadakannya," kata pelajar itu yang tidak mahu dikenali kerana khuatir akan dikenakan tindakan.

Kat
anya, semua pelajar termasuk pensyarah diwajibkan menulis kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar untuk kebenaran jika mereka bercadang menjemput pihak luar sebagai tetamu pada majlis yang dianjurkan.

Bagaimanapun, tambahnya, dia tidak berbuat demikian kerana beranggapan bahawa ceramah itu satu majlis kecil yang diadakan di kalangan kawan-kawannya dari fakulti yang berlainan.

"Mungkin judul ceramah itu 'Student Power' (kuasa pelajar) menakutkan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Tindakan Uitm itu tidak mematahkan semangat penganjur untuk meneruskan majlis mereka.

Majlis itu yang dijadualkan pada 5 petang itu kemudiannya ditunda kepada 6.30 petang bagi memberi tempoh mencukupi bagi peserta dimaklumkan berhubung pertukaran tempat .

Kumpulan pelajar itu kemudian berjaya mengumpulkan RM100 sesama mereka dan menyewa sebuah dewan kecil di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di Seksyen 7, Shah Alam kira-kira 20km dari kampus.

Menurut pembikin filem itu, Fahmi, ceramahnya itu berjaya menarik penyertaan 30 peserta yang "memberanikan pelbagai rintangan dan halangan oleh universiti" ke majlis berkenaan.

Kabinet 'tak matang' larang mahasiswa berpolitik

Posted: 11 Aug 2010 10:52 PM PDT

Abdul Rahim Sabr

Keputusan jemaah menteri yang melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, semalam, disifatkan sebagai "tidak matang".

M
alah, kata pengerusi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir Mohd Ithnin keputusan itu dibuat dilihat tidak mengambil kira bahawa mahasiswa sebagai warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.
"Kerajaan perlu melihat mahasiswa sebagai warganegara yang berumur 21 tahun ke atas diberi hak, partisipasi (dalam politik), berhimpun dan memberikan pandangan.

"Kami kecewa dengan keputusan kabinet yang tidak membina (semangat) mahasiswa, sebaliknya lebih bersifat untuk membunuh semangat mahasiswa.

"Jika seksyen 15 AUKU (Akta Univeristi dan Kolej Universiti) membenarkan mahasiswa berpolitik dengan izin naib canselor, maka seksyen ini jugalah digunakan untuk mendakwa mahasiswa dalam mahkamah. Di mana hak mahasiswa?" soalnya.

Shazni Munir yang juga pelajar Universiti Malaya mengulas mengenai keputusan jemaah menteri semalam yang memutuskan bahawa mahasiswa tidak dibenarkan terlibat dalam politik kepartian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dilaporkan berkata seksyen 15, AUKU yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.

Me
ngulas lanjut, Shazni Munir berkata rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas sepatutnya diberi hak untuk berpolitik sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

"Jadi mereka yang tidak menjadi mahasiswa, mereka lebih beruntung kerana berumur 21 tahun, bebas terlibat dengan politik dan berhimpun.

"Di mana kerajaan meletakkan mahasiswa sebagai agen intelektual. Ruang (berpolitik) harus diberikan lebih luas seperti berdebat dengan menteri atau NGO," katanya.

Mengulas mengenai mahasiswa diwajibkan memohon kebenaran daripada naib canselor sebelum menyertai poltik, Shazni Munir berkata sepatutnya perkara tersebut tidak perlu.

Mohon restu mak, ayah

"Sepatutnya mereka memikirkan untuk menaikkan kedudukan universiti ke tahap global dan antarabangsa. Memadai memohon restu mak dan ayah. Kenapa nak susah-susah nak minta izin kepada naib canselor," katanya.

Sementara itu, presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS), Mohd Idris Mohd Yusoff berkata walaupun kerajaan membuat keputusan tersebut, pihaknya akan tetap memperjuangkan agar mahasiswa boleh menyetai politik kepartian.

"Ini soal rakyat Malaysia, soal hak dan kebebasan mahasiswa," katanya.

Sementara itu, pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Ahmad Wafi Sahedan berkata beliau menyambut baik keputusan jemaah menteri itu kerana berpandangan kerajaan telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum memutuskan perkara berkenaan.

Ahmad Wafi berkata walaupun kerajaan tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik kepartian, kumpulan itu mempunyai saluran lain untuk terlibat dengan kegiatan masyarakat.

"Pindaan AUKU memberi peluang untuk menjadi mahasiwa berwibawa dan lebih bagus dengan terlibat dengan NGO untuk menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan," katanya.

Tegasnya, mahasiswa perlu menjadi satu golongan yang mempunyai pendirian dan tidak dipengaruhi serta bebas mengkritik mana-mana pihak.

Ahmad Wafi merupakan yang juga yang dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (MPMUSM).

MP PJ Utara terima ancaman berserta peluru M16

Posted: 11 Aug 2010 10:50 PM PDT

MALAYSIA KINI


Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menerima surat ugutan untuk mengancamnya petang semalam. Turut dimuatkan dalam sampul surat berkenaan adalah sebutir peluru yang masih belum digunakan.

Bungkusan itu dialamatkan ke pejabatnya di Damansara dari Tangkak. Ia dibuka oleh pembantu khas di pejabatnya pada jam 4.30 petang.

Surat berkenaan berbunyi: "Lu banyak berani?

"Sekarang lu mau apa?

"Jalan sekarang mau tengok depan, belakang, kiri, kanan bawah dan atas.

"Apa pasal?

"Lu punya keluarga, rumah, pejabat, kereta - WHT ....004, wa sudah tau.

"Sendiri mau ingat. Lu fikirlah sendiri."

Pembantunya itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara kira-kira dua jam selepas itu.

Beliau yang tidak mahu dikenali itu diiringi oleh Pua dan peguam DAP, Lim Lip Eng yang juga ahli parlimen Segambut.
Dihantar dari Tangkak

Dalam aduan berkenaan, pembantunya itu berkata, peluru logam dan "surat berbau ugutan" itu didakwa ditujukan kepada Tony dan keluarganya.

Cap pada kiriman yang dialamatkan ke pejabatnya di Damansara Utama itu menunjukkan ia telah dihantar daripada Tangkak, Johor, kata Pua.

Polis telah mengesahkan peluru itu adalah buatan tempatan dan ia untuk kegunaan senapang M16.

Bercakap dalam satu sidang media di pejabat itu hari ini, Pua menegaskan bahawa insiden tersebut dengan jelas merupakan usaha untuk mengancam nyawa beliau dan keluarganya.

Pua yang menyifatkan insiden itu sebagai "tindakan pengecut" juga berkata, perbuatan itu mungkin berpunca daripada pandangan yang diutarakannya dalam satu majlis dialog pada 26 Julai lalu.

Jelasnya, dalam dialog Bajet 2011 kerajaan Selangor itu, beliau telah mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan diskaun Bumiputera untuk membeli hartanah mewah.

"Isu ini kemudiannya dimainkan oleh Utusan Malaysia dan Umno," katanya lagi dalam sidang media yang turut dihadiri dua orang ahli parlimen Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

"Apa-apa yang saya cadangkan itu sepatutnya boleh didebatkan dalam suasana terbuka.

"Tidak ada cara yang boleh menjustifikasi tindakan seperti ini," katanya lagi yang mempunyai dua orang anak.
'Politik konstruktif'

Jelasnya, cadangannya itu bertujuan supaya diskaun berkenaan digunakan untuk membantu golongan miskin dan bukan untuk terus membantu golongan berada.

Tambahnya, beliau menyerahkan cadangan tersebut untuk dipertimbangkan oleh kerajaan Selangor.

Dr Dzulkefly pula berkata, ancaman yang diterima oleh Pua itu merupakan usaha untuk menakut-nakutkan pembuat undang-undang Pakatan Rakyat yang menyokong "politik konstruktif."

Tambahnya, usaha untuk memupuk perasaan takut seperti itu merupakan tindakan yang tidak produktif dan harus dikutuk oleh semua parti politik.

Beliau juga menyokong pandangan Pua dalam isu pemberian diskaun kepada pembeli hartanah mewah.

Dzulkefly memberi contoh -- diskaun sebanyak tujuh peratus untuk bangunan komersil bernilai RM2 juta akan memberi jumlah sebanyak RM140,000 -- yang boleh membantu ramai golongan miskin sekiranya digunakan bagi tujuan tersebut.

"Jadi terdapat banyak merit kepada cadangan itu," katanya lagi.
Sangat memalukan

Bagaimanapun, beliau tidak bertindak sebagai penentang hak Melayu dalam menyokong cadangan tersebut.

"Sangat memalukan (sekiranya ada pihak) memutar belitkan mesej itu kerana kami semua (Pakatan Rakyat) berusaha sedaya upaya untuk menghapuskan kemiskinan," katanya lagi.

Seb
elum ini, Pemuda Umno Selangor pada 4 Ogos lalu, juga membuat laporan polis terhadap ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu kerana menganggap cadangan berkenaan berbahaya dan berbaur hasutan serta mencabuli perlembagaan persekutuan serta kontrak sosial.

Pada Mei 2008, Pengerusi DAP, Karpal Singh yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor juga menerima surat ancaman bunuh dan sebutir peluru.

Tiada ulasan: