Biaqpila |
- Harta Taib Mahmud Di Luar Negara, Mana SPRM?
- SERAM: HANTU TALI GANTUNG MENGGANGU PENDUDUK KAMPUNG
- Pasangan buang bayi waktu sahur
- Misteri ‘atap biru’; Tidak Pernah Memohon, Tiba-tiba Ada di Bawah Rumah
- Ini dia wajah Dalang kain rentang Derhaka
- Kes Seksual Dan Luar Tabie: Polis Melaka cari tiga suspek
- Pakatan: Benar wujud, keretakan hubungan Najib-Muhyiddin bukan satu rahsia
- Ibu biar anak berzina lebih 3 tahun
- 'Speaker Haram' Perak, seorang peguam yang tidak tahu undang-undang?
- Azizah beri Ezam amaran akan saman jika terus fitnah
| Harta Taib Mahmud Di Luar Negara, Mana SPRM? Posted: 12 Aug 2010 03:00 PM PDT ![]() Pendedahan dua dokumen yang membuktikan hubungan langsung antara Ketua Menteri Sarawak dengan sebuah syarikat hartanah berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Sakti International Corporation, bukan sesuatu yang mengejutkan. Hakikatnya, Tan Sri Taib Mahmud dan harta kekayaan di luar negara sudah sinonim di kalangan rakyat banyak. Hanya pihak berwajib seperti suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia atau SPRM sahaja masih membatukan diri. Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian berkata rakyat Sarawak sudah lali dengan penyelewengan Taib Mahmud dan pada masa sama hilang kepercayaan terhadap SPRM untuk mengheret ketua menteri itu ke muka pengadilan. Malaysiakini mendedahkan perjanjian bertulis lembaga pengarah Sakti International Corporation dengan adik beradik Taib Mahmud dan anak-anaknya memegang kepentingan 50 peratus bersamaan RM250 juta, bagi pihaknya. Antara lain, Taib Mahmud menamakan adik beradiknya Onn dan Ariff, anak perempuannya Jamilah dan anak lelakinya, Mahmud dan Sulaiman. "Ini adalah perkara yang diketahui ramai. Dan sudah dijangka dan disyaki dari dulu bahawa Taib Mahmud ada harta dan duit luar negera. Ini satu bukti yang kukuh," katanya kepada TV Selangor. Sakti International dilapor memiliki beberapa hartanah di bahagian pantai barat Amerika Syarikat, antaranya bangunan Abraham Lincoln di Seattle, bangunan yang juga menempatkan pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Unit Anti Pengganas Washington Fusion Centre. Dalam konteks ini, Baru bian mempersoal sumber dana Taib Mahmud berkaitan hartanahnya di luar negara. "Perkara sebegini yang besar berkaitan rasuah yang melibatkan berjuta- juta duit rakyat tidak dapat disiasat SPRM Sebab itu, kita tidak yakin dengan SPRM kerana tidak membukti bahawa mereka efektif. Tiada siasatan. Sikit sahaja mereka laksanakan tugas untuk siasat," katanya. Bagi Baru Bian, harta rakyat mesti dijaga bukan diperlaku sesuka hati. "Harta rakyat mesti dipulangkan. Saya percaya harta rakyat yang dicuri perlu dipulangkan kepada rakyat," katanya. TVS |
| SERAM: HANTU TALI GANTUNG MENGGANGU PENDUDUK KAMPUNG Posted: 12 Aug 2010 09:25 AM PDT ![]() Kampung Pandan Seri sedang musim durian. Sepanjang musim itu Bang Akob tidur di pondok duriannya, beberapa meter dari tanah perkuburan Islam kampung itu. Seperti biasa, menjelang tengah malam dia pasti menyusur dusunnya memungut durian. Kalau tidak, sudah pasti duriannya akan dipungut budak-budak dadah yang sering merayau-rayau di dusun orang tidak kira waktu. Malam itu, angin mendesah. Sekali sekala kilat memancar. Durian amat rahat. Di setiap penjuru dusun kedengaran bunyi durian gugur. "Kalau tak cepat pungut, habislah pagi esok…" kata Bang Akob dalam hati. Sambil menggalas bakul rotan, dia menyuluh di kawasan pangkal pokok yang ada dua puluh batang itu. Kebanyakan pokok durian di dusun Bang Akob pokok tua. Dusun itu harta pusaka peninggalan ayahnya. Angin malam itu terus mendesah. Kadang-kadang kuat, kadang-kadang perlahan. Ketika bertiup kencang, meliang-liuk kebanyakan dahan pokok dibuatnya. Ketika itu juga kedengaran bunyi durian gugur bertambah banyak. Hati Bang Akob kepalang gembira. Rezekinya esok hari pasti bertambah, fikirnya. Sebiji demi sebiji durian dipungut dan dimasukkan ke dalam bakul rotan. Hati Bang Akob begitu lega. Duriannya tak sempat dipungut Mat Gian – panggilan biasa kepada budak-budak penagih dadah di kampungnya. Bagaimanapun sesampai saja di pangkal sebatang durian berhampiran tanah perkuburan itu, Bang Akob terkejut. "Eh, dah datang pun dia…nasib baik aku sudah habis pungut…tak dapatlah dia," bisik hati Bang Akob sebaik saja dia ternampak satu lembaga di tepi dusunnya. "Fasal apa dia menuju ke kubur pula?" Kata Bang Akob kehairanan. Bang Akob bergerak menyusur ke penjuru tanahnya. Kemudian dia menyembunyikan diri di sebalik sebatang pokok besar. Lembaga itu bergerak perlahan sambil menarik seutas tali bubut kira-kira dua depa panjangnya. Tanpa membuang masa Bang Akob menyuluh. Suluhannya tepat ke wajah lembaga itu. Sekali lagi Bang Akob terkejut apabila wajah lembaga itu menyerupai orang yang dikenalinya. "Eh, aku kenal…" bisik hati Bang Akob. "Pak Misan…!" Bang Akob melaung sekuat-kuatnya memanggil Pak Misan, orang tua kampung yang sering menjadi temannya berbual. Bagi penduduk Kampung Pandan Seri, Pak Misan adalah seorang tokoh. Dia terkenal pendekarnya. Selain itu, dia juga tempat penduduk lelaki meminta ubat untuk menguatkan tenaga tertentu. Tiada sebarang jawapan daripada lembaga itu. Ia berjalan terus sambil mengheret tali bubut. Tidak beberapa minit satu kejadian mengejutkan Bang Akob. Sebaik-baik saja dia membongkok memungut durian dan kemudian tegak semula, lembaga berwajah Pak Misan hilang dalam gelap malam itu. Puas juga Bang Akob menyuluh di setiap penjuru dusun duriannya, namun lembaga itu tetap tidak kelihatan lagi. Bang Akob melaung memanggil Pak Misan tetapi tidak ada sebarang jawapan. Dia mula takut. Angin bertiup lebih kencang. Daun-daun berguguran. Kilat memancar sekali-sekala. Bunyi burung hantu di kejauhan menambahkan seram suasana ketika itu. Bang Akob betul-betul ketakutan. Dia tidak mempedulikan lagi durian yang gugur. Apa yang ada di bakulnya, itu saja yang dibawa pulang ke pondok. Langkahnya begitu cepat. Hatinya bertanya sendiri: "mengapa Pak Misan merayau di tanah kubur pada tengah-tengah malam begini?" Menjelang subuh, Bang Akob pulang ke rumah membawa durian yang penuh sarat di dalam bakul di belakang motosikalnya. Sebaik saja sampai di kepala simpang, Bang Akob terkejut besar ramai penduduk berkumpul di situ. Sebuah Land Rover hitam juga ada di situ. "Eh apa halnya?" Tanya Bang Akob apabila ternampak kaki orang terjulur dari belakang Land Rover hitam itu. Pagi itu Kampung Pandan Seri gempar secara tiba-tiba. Seorang penduduk, Mat Jami menemui mayat Pak Misan terlentang di bangsal di belakang rumahnya. Terpandang saja mayat itu, Mat Jami patah balik ke masjid. Dia ingin memberitahu jemaah masjid yang belum pulang selepas menunaikan solat subuh. Ketua kampung dan Pak Imam masih di masjid. Mereka dan beberapa jemaah terkejut dengan berita yang dibawa Mat Jami. Tanpa membuang masa, mereka beredar ke rumah Pak Misan, Pak Misan sudah kaku di tepi bangsal. Mayatnya dikerumuni semut halus. "Eh, apa hal Pak Misan memegang tali?" Tanya Pak Imam. Semua yang ada menerpa menghampiri mayat Pak Misan. Soalan itu tidak berjawab. Tidak ada seorang pun di situ yang tahu mengapa seutas tali bubut panjang dua depa itu ada di sisi Pak Misan. "Kemaskan rumah Pak Misan," arah Tuk Ketua Kampung. "Seorang pergi beritahu polis." Beberapa orang segera naik ke rumah Pak Misan. Pintu depan dan semua tingkap rumah itu terbuka. Mereka mengemas di sana sini dan membentang tikar tempat Pak Misan dibaringkan nanti. "Kemudian kamu beritahu semua anak Pak Misan," sambung Tuk Ketua Kampung apabila salah seorang penduduk bersedia dengan motosikalnya untuk ke balai polis kira-kira lima kilometer dari kampung itu. Dalam masa yang singkat saja kematian Pak Misan tersebar ke seluruh kampung. Orang ramai mulai datang kerana ingin melihat keadaan Pak Misan yang dikatakan misteri itu. Polis datang dan mengambil mayat Pak Misan untuk dibedah siasat. Orang kampung terus mengerumuni Land Rover hitam. Ketika itu Bang Akob sampai dan dia berhenti di situ bersama-sama dengan orang ramai. Di situ juga dia mendengar cerita mengenai mayat Pak Misan terbujur memegang seutas tali. "Pak Misan memegang tali?" Tanya Bang Akob sendirian. Keanehan itu timbul kerana dia sendiri terserempak dengang lembaga menyerupai Pak Misan di kebun durian. Dia juga kelihatan mengheret seutas tali. Selesai urusan pengkebumian Pak Misan, cerita misteri kematian Pak Misan tidak habis di situ. Ia merebak terus. Ramai yang bersimpati dengan arwah Pak Misan namun ramai juga yang mengaitkannya dengan pelbagai kisah timbul ketika Pak Misan masih hidup. Seminggu selepas kematian Pak Misan, timbul pula kejadian yang lebih buruk. Kampung Pandan Seri ditimpa suasana yang menakutkan. Menjelang senja saja, terdengar suara terpekik terlolong kononnya terpandang lembaga mengheret tali berjalan di sekitar rumah Pak Misan. Yang mendakwa nampak hanya seorang dua, tetapi ceritanya cepat merebak sampai ke telinga anak remaja dan suri rumah. Suatu senja, beberapa lelaki agak tua berjalan melintasi rumah arwah Pak Misan yang tinggal kosong sejak kematiannya. Sebaik saja sampai di depan rumah itu, mereka ternampak jelas satu lembaga menyerupai Pak Misan. Sebelum meninggal, di situlah biasanya Pak Misan berdiri menunggu kawan-kawannya bersama ke masjid. Hari demi hari, semakin ramai orang terserempak dengan lembaga itu. Yang anehnya tiap kali bertemu lembaga orang tua itu sedang mengheret tali. Bukan itu saja,tali bubut itu juga melahirkan satu lagi misteri. Beberapa orang suri rumah pernah terserempak tali itu berlengkar di depan pintu rumah. Kejadian itu sesungguhnya amat menakutkan penduduk Pandan Seri. Langkah mengatasinya diambil. Tuk Ketua Kampung memanggil anak buah berkumpul mencari jalan menghilangkan jelmaan itu. Ramai penduduk kampung bersimpati dengan arwah Pak Misan.Mereka tidak mahu jelmaan lembaga itu dikaitkan dengan Pak Misan. Sudahlah ketika ada hayatnya dulu hidup sebatang kara, ditinggal anak dan matinya pula menjadi sedemikian rupa. "Baiklah, biar saya cuba bercakap dengan lembaga itu," kata Pak Imam membuat cadangan. "Saya nak ikut Pak Imam," celah seorang ketika berlangsung pertemuan penduduk di masjid kampung itu. "Biar saya pergi seorang diri…" jawab Pak Imam, "saya merayu dengan makhluk halus itu nanti supaya jangan mengganggu penduduk kampung kita." Ramai orang tua di kampung itu percaya kononnya ketika hayatnya dulu, Pak Misan banyak menyimpan ilmu batin, termasuklah ilmu mempertahankan diri dan penggerun. Banyak makhluk halus mendampinginya. Akibatnya kehidupan Pak Misan menjadi tidak tenteram, terutama pada penghujung hayatnya. Pada usia penghujung enam puluhan, Pak Misan kematian isteri. Dia tinggal kesepian. Semua anaknya sudah berkeluarga dan tinggal jauh dari rumah orang tua itu. Akhirnya, kira-kira enam bulan hidup membujang dan dihimpit pelbagai tekanan perasaan, Pak Misan menyuarakan rasa hati kepada semua anaknya untuk berkahwin lagi. "Tak boleh ayah… kalau ayah mati nanti senang-senang saja janda ayah dapat harta… kami dapat apa?"kata anak sulung. Anak yang lain juga sekata. Mendengar itu, Pak Misan tunduk saja. Air matanya menitis ke lantai. Betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul… Pak Misan menahan hati tidak terhingga. Semua anaknya mementingkan diri tanpa memikirkan keadaan dan perasaan si ayah. Agak lama juga Pak Misan bergelut dengan perasaan. Rayuan dan pujukan syaitan tidak putus-putus menyerang Pak Misan. Dengan sedikit iman di dada dapat juga Pak Misan melawannya, namun sampai bila? Suatu hari pujukan syaitan bertambah kuat. Ia menabur janji yang indah-indah dengan syarat Pak Misan mengikut kehendaknya. Pak Misan bergelut lagi dengan hasutan itu. Akhirnya dia sudah mencapai seutas tali, tetapi dia masih mampu melawan pujukan itu. Dia rebah di bangsal di belakang rumah. Sejak kematian Pak Misan, timbulah pelbagai cerita mengenainya. Ada yang menamakan jelmaan lembaga itu sebagai 'hantu tali gantung'. Begitu buruknya sekali fitnah yang dicipta sesetengah anggota masyarakat kampung itu. "Assalamualaikum…!"seru Pak Imam di depan rumah Pak Misan. Tiada jawapan. "Sah ini syaitan… ia menyerupai… jahatnya syaitan jahanam!" kata Pak Imam dalam hati. Kemudian dia membaca ayat suci khusus menghalau syaitan. "Sudah… Pak Misan sudah meninggal… ini bukan dunianya lagi… pergi!" Selesai di situ Pak Imam mengajak beberapa penduduk kampung pergi ke kubur Pak Misan. Mereka membaca Al-Fatihah dan Yasin di samping memohon doa agar roh Pak Misan sentiasa dalam keadaan dirahmati Allah. - Amin. kedah2u |
| Pasangan buang bayi waktu sahur Posted: 12 Aug 2010 07:00 AM PDT ![]() MELAKA - Ketika umat Islam sedang sibuk bersahur, seorang wanita tergamak membuang bayi perempuan yang baru dilahirnya ke dalam tong sampah hadapan kilang tempat dia bekerja di Ayer Keroh, dekat sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, wanita itu dipercayai panik selepas melahirkan bayi dalam tandas kilang itu dan bertindak bersama kekasihnya membuang bayi itu dalam tong sampah. Bagaimanapaun, usaha mereka untuk 'melenyapkan' nyawa bayi seberat 1.5 kilogram itu gagal apabila dijumpai pengawal keselamatan kilang terbabit. Bayi yang diletakkan dalam sebuah beg kain ditemui pengawal keselamatan, Muhamad Asri Shaari, 44, dalam keadaan masih bernafas dan bertali pusat di dalam tong sampah yang terletak di bawah pokok berhampiran pondok pengawal.: Muhamad Asri berkata, ketika kejadian, dia sedang menghisap rokok sambil bersembang dengan dua rakan perempuan, sebelum didatangi seorang pekerja lelaki kilang itu. Menurutnya, lelaki itu meminta kebenaran keluar sebentar yang disangka hendak bersahur. Dalam masa sama, Muhamad Asri sebenarnya sedang menunggu giliran masuk ke tandas, selepas dua rakannya itu memaklumkan ada seorang wanita dalam tandas di sebelah pondok pengawal. "Ketika itu saya ada terdengar tangisan bayi seperti baru lahir dan saya beritahu dua orang kawan saya, tetapi disebabkan bunyi tangisan itu sekejap saja jadi kami membiarkan dan mengganggap bunyi ituadalah nada dering telefon bimbit saja," katanya . Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa saat dua rakannya ternampak wanita dalam tandas menghulurkan sesuatu kepada lelaki itu melalui tingkap tandas sebelum membuangnya ke dalam tong sampah. Mereka yang mencurigai perbuatan kedua-dua pekerja terbabit memaklumkan kepada Muhamad Asri sebelum dia memeriksa sendiri tong sampah itu. "Saya membuka penutup tong sampah dan ternampak sebuah beg. Saya kemudian mengangkat beg itu tetapi meletaknya semula ke dalam tong sampah, selepas beg itu bergerak-gerak. "Saya buka beg itu dan nampak bayi yang masih bertali pusat dan terdapat kain merah di lehernya," katanya kepada :Sinar Harian:, di sini, semalam. Muhamad Asri kemudian memanggil kedua-dua pasangan terbabit yang dipercayai telah bertunang sebelum menghubungi polis. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya sudah menahan kedua-dua pasangan itu, semalam. Beliau berkata, kedua-duanya ditahan di kawasan kilang tempat mereka bekerja selepas siasatan awal dilakukan. "Kedua-dua suspek berasal dari Gemas, Negeri Sembilan dan baru sebulan bekerja di kilang itu ditahan reman hingga 14 Ogos ini," katanya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK), semalam. Mohd Adnan berkata, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk menerima rawatan. Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi yang baru lahir dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda. SH |
| Misteri ‘atap biru’; Tidak Pernah Memohon, Tiba-tiba Ada di Bawah Rumah Posted: 12 Aug 2010 05:00 AM PDT KUALA TERENGGANU - Pengagihan 'atap biru' menjadi propaganda kerajaan Umno/BN Terengganu khususnya diperbesar-besarkan oleh Menteri Besr, Dato' Seri Ahmad Said sehingga dijadikan iklan dalam papan tanda besar berslogankan 'Merakyatkan Pentadbiran' negeri Terengganu. Isu 'atap biru' pernah dibangkitkan oleh wakil rakyat kerajaan pada sidang sebelum ini yang mengaitkan pemerolehan atap biru tersebut dengan skandal dan penyelewengan. Misteri 'atap biru' yang bergerak entah dari mana, tiba-tiba ada dibawah rumah, menjadi kemusykilan di kalangan penduduk terutama di Kampung Ladang Sahab, depan Hospital Sultanah Nurzahirah, disini. (Gambar - 'Rumah batu', besar lagi indah di Pasir Gajah juga mendapat bantuan atap biru, yang didakwa kerajaan Umno/BN Trengganu bantuan atap itu untuk orang miskin sahaja???) ADUN Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar mendedahkan perkara tersebut dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu baru-baru ini. "Saya hendak menyentuh tentang pemberian 'atap biru'. Saya diberitahu oleh penduduk sebahagian besarnya di Ladang Sahab depan hospital. "dia (mereka) kata kepada saya, (kalau Dato') Ku nak atap ambiklah, saya tanya atap apa? Dia kata atap biru. Saya tanya, kenapa?, "Tak tahu, sebab atap tu, saya bangun tidur, ada atap dibawah rumah,"kata Dato' menceritakan perbualannya dengan penduduk tentang misteri atap tersebut ketika membahaskan usul peruntukan tambahan 9 Ogos. Menurut Dato' Tengku Hassan, penduduk kampung terbabit mendakwa mereka tidak pernah memohon bantuan atap biru itu, tapi tiba-tiba atap tersebut ada dirumahnya. Bahkan yang lebih menghairankan, bukan hanya terdapat di sebuah, dua rumah, tetapi ramai penduduk yang mendakwa banyak atap yang entah dari mana muncul dirumah mereka. Ia lebih menghairankan, kata beliau yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Kuala Terengganu, kawasan Ladang Sahab adalah kawasan yang akan terlibat dengan pengambilan semula tanah untuk pembangunan. "Saya boleh sebut dimana-mana rumah yang berlaku (ada atap biru), dan kerajaan juga sudah tahu (maklum) bahawa kampong disitu akan terlibat dengan pengambilan balik tanah untuk pembangunan akan datang,"terang Dato' Tengku Hassan yang meminta penjelasan perkara pelik tersebut dari pihak kerajaan negeri. BO |
| Ini dia wajah Dalang kain rentang Derhaka Posted: 12 Aug 2010 03:00 AM PDT Peristiwa ini berulang kali. Dan ini bukan kali pertama. Sebab itu tergerak pokok di semak sudah tahu lembu ke babi. Pengamal politik provokatif di Malaysia dulu, kini dan selamanya adalah UMNO. Orang yang memulakan rusuhan di Kelantan yang akhirnya membawa kepada mageran adalah UMNO sendiri. Kalau tak percaya tanyalah Brahim Ali. Siapa kepala yang mulakannya kalau tak UMNO dan merekalah juga yang menangguk di air jernih itu.Bagi mereka politik menghalalkan cara ini sudah menjadi darah daging. Krisis raja-raja melayu sekian lama sebelum ini termasuk yang terakhir dizaman Mahathir adalah UMNO yang menjadi dalangnya. Tetapi malangnya pembangkanglah yang dapat tahik. Akhirnya pemimpin PAS juga yang diISAkan. Ketika Idris Jusoh gagal menjadi MB Terengganu lalu keluarnya kain rentang dengan tulisan “Aku Nak Deris Natang”. Siapa dalangnya? Siapa yang buat kalau tidak UMNO. Tetapi sehingga ke hari ini tiada tindakan dibuat. Kalaulah pembangkang yang lakukan nescaya macam filem P.Ramlee jadinya. Di putar setiap masa dan zaman sehingga membekas dalam kepala rakyat bahawa Pas, PKR dan DAP sebagai penderhaka. Apa yang terjadi di Perak. Pas yang dilabelkan sebagai penderhaka. Bagi rakyat yang bodoh terus ditelan ke dalam perut. Seolah-olah UMNO lah juara dan pembela institusi kesultanan dan raja-raja. Kini Idris Jusoh, Bekas MB Terengganu, selaku Pengarah Pilihanraya UMNO. Tidak hairan kalau agenda memperlagakan pembangkang dengan institusi Raja di Johor muncul. Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata mendakwa perbuatan memasang kain rentang provokatif yang membangkitkan kemurkaan Sultan Johor didalangi oleh seorang bekas Menteri Besar negeri itu daripada Umno-Barisan Nasional. Nama bekas Menteri Besar itu ada disebut di dalam maklumat yang saya terima. Nampaknya dia cuba untuk menjadi jaguh dan cuba untuk memulihkan imejnya yang satu ketika dulu tercemar kerana terlibat dalam krisis dengan Raja-raja Melayu sehingga imuniti Raja-raja Melayu dihapuskan. "Suatu ketika dulu, dia pernah tidak dialu-alukan untuk hadir ke Istana sewaktu Almarhum Sultan Iskandar masih hidup. Chua Jui Meng masih tidak lupa, dan masih mempunyai memori yang kuat. Jadi, tak masuk akal kalau dia meminta saya untuk meminta maaf kepada Tuanku Sultan. Beliaulah orang yang paling lantang mengkritik Sultan," kata bekas Menteri Kesihatan itu kepada Suara Keadilan ketika dihubungi. Datuk Chua merujuk kepada ucapan TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. “Pembangkang perlu memohon ampun dan maaf kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kerana menggunakan gambar baginda pada kain rentang sempena kempen Parti Keadilan Rakyat di Johor baru-baru ini. Sambil menyifatkan perkara itu sebagai perbuatan melampau dan keterlaluan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa pembangkang tidak wajar mengeksploitasi dan menggunakan nama baginda Sultan bagi kepentingan politik mereka.“Saya tak tahu sama ada perkara ini melanggar undang-undang atau tidak. Apa pun mereka perlu memohon ampun kepada raja. Mereka tidak patut mengulangi perkara ini lagi. “Bila raja sudah murka, pihak yang dimurkai itu perlu memohon ampun dan maaf kepada baginda. Itu perkara biasa bagi adat kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran buku 'Najib Tun Razak Melakar Transformasi Malaysia' di Kompleks Kraf Jalan Conlay di Kuala Lumpur. Pakatan Rakyat menolak sebarang usaha untuk mencemar sistem Raja Berperlembagaan yang wujud dalam negara kita. Kita akan mempertahankan Institusi DiRaja daripada mana-mana pihak termasuk parti politik dalam agenda untuk mengheret Istana ke dalam persaingan politik kepartian," tegas beliau. Jui Meng membidas pihak terbabit yang dianggap mempunyai niat jahat dan ingin membelakangkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor yang hanya membenarkan orang Melayu dan beragama Islam sahaja menjadi Menteri Besar. Beliau menganggap tindakan melaga-lagakan KEADILAN dengan Sultan Johor sebagai fitnah yang gagal. Beliau berpendapat tindakan bodoh itu adalah usaha untuk menjadikan orang Melayu pekak, buta dan menjadi hamba kepada Umno selama-lamanya. Tambah Jui Meng Umno-BN Johor kini terdesak disebabkan oleh gelombang perubahan yang dituntut oleh rakyat Malaysia umumnya, khususnya rakyat Johor. "Angin perubahan ini tetap akan sampai dalam pilihan raya umum kelak. Yang jelas, Umno dan Barisan Nasional sekarang ini sedang menggigil ketakutan," kata beliau. Kita tengoklah nanti. Kalau didapati kerja ini kerja UMNO nescaya akan diperap dibawah karpet saje isu ini nanti. Pihak Polis, SPRM, Majlis daerah hanya akan hanya bertindak jika selain daripada UMNO. Apatah lagi jika terlibat dengan golongan OKU nescaya mereka telah mengatasi undang-undang. Hilang macam tu aje. Kita nak orang yang bertanggung-jawab hendaklah dihukum dan bukannya seperti apa yang terjadi dalam isu kain rentang di Terengganu. Ianya menghina Sultan Terengganu bahkan selaku Yang Dipetuan Agong. Tetapi rakyat jangan lupa UMNO ni merupakan spesisi batu-api yang akan memperlagakan sesiapa sahaja yang menjadi musuh mereka. Mereka cuba memperlagakan sesame pimpinan PAS. Sesama parti dalam Pakatan Rakyat bahkan sesame mereka sendiri. Apatah lagi dengan institusi kesultanan dan Raja-raja Melayu. Semasa mereka hendakkan sokongan Raja mereka sentiasa mewiridkan rukun Negara sebagai penyokong setia raja-raja berpelembagaan. Semasa mereka berkonfrantasi dengan sultan keluarlah media kisah “Hang Jebat. Sultan Adil Sultan di Sembah dan Sultan Zalim Sultan diSanggah” “Antara dua darjat” dan macam-macam lagi. Kalau ada lagi yang terpaut hati dengan UMNO ni.. ish 10X memang betul-betul butalah tu. ustsaifulbahri |
| Kes Seksual Dan Luar Tabie: Polis Melaka cari tiga suspek Posted: 12 Aug 2010 01:00 AM PDT ![]() BUKIT BERUANG - Polis Melaka sedang mengesan tiga suspek bagi membantu siasatan berhubung kes seksual dan luar tabie sepanjang 2008 hingga 2009. Mereka adalah Muhammad Shahrol Azwan Hislam, 20, Tengku Shaiful Nizam Tengku Abdul Jalal, 30, dan Andi Samsor, 23. Alamat terakhir Muhamad Shahrol Azwan adalah G-G-2 Blok Rumah Pangsa Kampung Padang, Pokok Mangga, Melaka. Manakala Tengku Shaiful Nizam beralamat di 104 Jalan Melaka Baru 2/3, Taman Merdeka baru Fasa 3, Batu Berendam, Melaka; dan Andi di alamat H-2-04 Jalan Balaut Taman Rindting, Masai, Johor. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis mencari ketiga-tiga suspek berdasarkan alamat terakhir, namun tidak ditemui. "Polis memerlukan kerjasama orang ramai untuk menahan suspek berkenaan yang kini dipercayai tiada di Melaka. "Orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenali mangsa boleh tampil dan berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Norehan Omar, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) atau mengubungi terus beliau di talian 019-2603159," katanya pada sidang media di IPK negeri, di sini, semalam. SH |
| Pakatan: Benar wujud, keretakan hubungan Najib-Muhyiddin bukan satu rahsia Posted: 11 Aug 2010 11:00 PM PDT Oleh Shazwan Mustafa Kamal August 11, 2010 ![]() KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hari ini menegaskan dakwaan wujudnya keretakan dalam hubungan antara Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah "benar dan memang wujud", dan bukan satu rahsia besar. Sehubungan itu, kata pemimpin-pemimpin yang dihubungi, suasana itu menggambarkan ketidaktentuan Umno sama ada Barisan Nasional (BN) benar-benar boleh kekal berkuasa dengan pembaharuan dibawa oleh perdana menteri. Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Zaid Ibrahim berkata, walaupun Muhyiddin menjelaskan panjang lebar bahawa kedua-dua mereka mempunyai hubungan baik sehingga kini, memang wujud keretakan dalam gandingan Najib dan Muhyiddin. Malah kata beliau, keadaan itu sudah tentu akan memberi kesan besar kepada BN untuk mendapatkan balik sokongan dan memulihkan kedudukannya selepas prestasi buruk dalam pilihan raya umum ke-13. "Memang wujud keretakan. Sesiapa sahaja boleh melihat," kata beliau kepada The Malaysian Insider. Semalam, Tan Sri Muhyiddin yang juga timbalan kepada Najib di Umno menolak khabar angin kononnya beliau mengalami krisis hubungan dengan bosnya Najib. Katanya, hubungannya dengan Perdana Menteri adalah baik dan sokongannya kepada Najib tidak perlu dipertikai dan diragui semua pihak. "Saya nak sebutkan kerana saya rasa terpanggil bila Datuk Seri Dr Rais Yatim (Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan) kata kepada saya, dalam muka akhir itu (buku Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia) gandingan mantap "Najib-Muhyiddin" dan itu sudah disahkan. "Cuma saya nak maklumkan memang tidak ada pihak yang harus meragui sokongan padu yang saya berikan kepada Perdana Menteri sejak awal lagi sampai sekarang ini," katanya ketika majlis pelancaran buku "Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia". Muhyiddin berkata khabar angin yang mengatakan bahawa hubungannya tidak baik dengan Najib itu sengaja ditimbulkan "pihak sebelah sana". Zaid berkata, selepas pilihan raya umum 2008 ramai beranggapan bahawa Umno akan kembali kukuh setelah memaksa bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan pucuk kepimpinan. "Ia (keretakan) memang benar, ia bukan satu perkembangan baru dalam Umno," katanya. "Pada masa yang sama mereka menyalahkan Pak Lah. Muhyiddin sudah tentu akan menyalahkan Najib," katanya. Bekas menteri kerajaan persekutuan yang menyertai PKR tahun lalu memberitahu The Malaysian Insider bahawa tindakan-tindakan Muhyiddin yang bercanggah dengan dasar 1 Malaysia adalah manifestasi ketidaktentuan Umno ke aras polisi-polisi Najib. "Muhyiddin adalah manifestasi ketidaktentuan lama Umno... memang tipikal bagi Umno bertindak macam ini. "Najib mempunyai banyak pendedahan Barat dan liberal dalam dasar-dasarnya dalam sesetengah perkara. Muhyiddin adalah produk timbalan perdana menteri kelahiran tempatan," katanya. Oleh itu kata beliau, sudah pasti akan wujud perselisihan di kalangan kedua-dua pemimpin itu. Jelas Zaid, wujud pandangan berbelah bahagi dan tidak menentu bahawa pembaharuan dibawa oleh Najib adalah perlu untuk Umno mendapatkan semula hala tuju masa lalu dan sokongan rakyat. Zaid juga membidas Muhyiddin yang mendakwa Pakatan Rakyat adalah punca kepada tanggapan bahawa wujudnya keretakan hubungan antara Najib dan Muhyiddin. "Saya merasakan ia satu alasan yang begitu cetek," katanya. "Pak Lah hendak membawa pembaharuan tetapi beliau ditolak oleh musuh dari Umno sendiri," katanya. "Apa bezanya sekarang? Saya tidak fikir orang Umno bersedia untuk perubahan. "Idea mereka ialah memperkukuhkan kedudukan mereka menerusi kawalan, menerusi dominasi orang Melayu," kata Zaid. Dalam pada itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua menyoal mengapa Muhyiddin mahu menuding jari ke arah Pakatan Rakyat. "Mengapa salahkan kami. Jika anda mahu meletakkan kesalahan pada orang lain, salahkan diri anda dulu dan juga Tan Sri Dr Koh Tsu Koon," katanya. Pua berkata, Koh yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab untuk merangka program transformasi kerajaan (GTP), yang turut menghasilkan konsep 1 Malaysia bagi menggambarkan elemen "Malaysia pertama, soal kaum kedua." "Mengapa timbalan perdana menteri kelihatan berbeza dalam memahami konsep 1 Malaysia? Ini kerana bagi beliau konsep 1 Malaysia sudah gagal," katanya. Pua menambah, Muhyiddin cuba menafikan dakwaan keretakan antara beliau dan Najib kemungkinan kerana perdana menteri sudah tidak gembira dengan timbalannya. Dalam pada itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP Anthony Loke berkata, tindakan Muhyiddin menunjukkan yang timbalan perdana menteri sudah bimbang dengan apa yang diperkatakan oleh rakyat mengenai dirinya. "Beliau mula bimbang dengan tanggapan tentang diri beliau, tentang tindakan-tindakannya. "Jika tiada masalah mengapa hendak membuat penjelasan," katanya. Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar tindakan Muhyiddin tidak mempertahankan konsep 1 Malaysia apabila Dr Mahathir mengkritik menunjukkan sikap 'membelakangi' kepimpinan negara. "Muhyiddin seharusnya telah mempertahankan konsep 1 Malaysia apabila Dr Mahathir mengkritiknya berbanding bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh bekas perdana menteri. "Orang boleh melihat bahawa dengan menyokong Dr Mahathir dan bukannya mempertahankan Najib, konsep 1 Malaysia sebenarnya telah gagal," kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini. TMI |
| Ibu biar anak berzina lebih 3 tahun Posted: 11 Aug 2010 09:00 PM PDT Kongsi dosa anak berzina Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad 2010/08/11 PUTRAJAYA: Seorang ibu tergamak 'berkongsi dosa' dengan anak lelaki kesayangannya apabila membiarkan pemuda itu bersekedudukan dengan teman wanita di rumahnya lebih tiga tahun sehingga menghasilkan empat zuriat haram. Perbuatan pasangan berusia awal 20-an itu terbongkar selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mendapat maklumat mengenai salah laku mereka menyerbu sebuah rumah di Serdang, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi semalam. Lebih mengaibkan, ketika disoal siasat, pasangan terbabit dengan selamba memberitahu penguat kuasa Jais mereka bersekedudukan sejak sekian lama kerana tidak mempunyai masa untuk berkahwin secara sah dan mendaftarkan perkahwinan. Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, berkata pasangan terbabit dipercayai bersekedudukan sejak lebih tiga tahun lalu sehingga memperoleh empat anak hasil zina yang berusia tiga, dua, setahun serta paling bongsu tiga bulan. "Penduduk di kawasan itu tertipu dengan perbuatan pasangan terbabit yang dipercayai menggunakan rumah ibu mereka untuk tinggal secara haram sehingga melahirkan anak luar nikah. "Kebanyakan penduduk menyangka pasangan terbabit sudah bernikah dan mengadakan majlis perkahwinan di tempat lain," katanya. Shahrom berkata, dia terkejut dan hairan dengan sikap ibu lelaki terbabit yang langsung tidak mempedulikan dosa dilakukan anak di rumahnya. Menurutnya, ibu terbabit boleh dianggap bersekongkol dengan anaknya bagi mengelak kegiatan tidak bermoral terbongkar. "Saya percaya sikap ibu yang tidak kisah dan sayangkan anaknya itu secara berlebihan mendorong dia membenarkan anaknya bersekedudukan sehingga beberapa tahun," katanya. Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki terbabit bekerja manakala 'isteri tidak halal' itu menjadi suri rumah sepenuh masa di rumah ibu mentuanya. Menurut Shahrom, semua cahaya mata pasangan terbabit tidak memiliki sijil lahir dan beliau diberitahu, semua anak itu disambut 'bidan misteri' di kawasan berkenaan tanpa merujuk klinik atau hospital berhampiran. "Mereka berbuat demikian untuk mengelak salah laku mereka diketahui pihak berkuasa. Perbuatan pasangan terbabit boleh menimbulkan masalah kepada anak mereka yang sudah pasti sukar untuk memasuki alam persekolahan kerana tiada sijil lahir yang sah," katanya. Shahrom berkata, pihaknya menahan pasangan terbabit dan membawa mereka ke pejabat Jais di Shah Alam untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan Jais. Menurutnya, pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 25, Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana melakukan persetubuhan haram dan Seksyen 29 akta sama kerana melakukan khalwat. "Kami juga akan memanggil ibu dan bapa pasangan wanita terbabit bagi mengenal pasti punca kegiatan itu berlaku," katanya. HM |
| 'Speaker Haram' Perak, seorang peguam yang tidak tahu undang-undang? Posted: 11 Aug 2010 07:00 PM PDT Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB ![]() Tindakan 'Speaker Haram' Dewan Undangan Negeri Perak, Dato' R Ganesan yang menggantung Ketua Pembangkang, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin membayangkan peguam itu seolah-olah tifak tahu undang-undang. Demikian telahan Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah yang turut menyatakan tindakan Ganesan itu membuatnya tidak layak langsung menduduki kerusi mulia Speaker DUN seolah-olah beliau tidak belajar undang-undang walaupun seorang peguam. "Tindakan Ganesan yang menurut apa sahaja kemahuan ADUN Umno-BN menunjukkan beliau sebenarnya dilantik sebagai pengerusi dan bukan Speaker Dewan. Bagi Khalil Idham, Ganeson sepatutnya menghadapkan Nizar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan bukannya secara melulu mengenakan tindakan terhadap Adun Pasir Panjang itu yang menjadi Ketua Pembangkang. Katanya, jika seseorang Adun bangun dan mengemukakan usul terhadap Nizar, Speaker sepatutnya membawa hal itu ke jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dibincangkan. Khalil Idham menganggap Ganesan sebenarnya gagal melaksanakan tugasnya sebagai Speaker dengan bertindak di luar bidang kuasanya tanpa merujuk kepada sesiapa. Ganesan seolah-olah tidak faham apa yang dikatakan Peraturan Tetap Mesyuarat menyebabkan beliau dengan sesuka hati melanggar peraturan tersebut, ujar Khalil lagi. Tindakan Ganesan itu mencerminkan perbezaan ketara dalam amalan demokrasi semasa Pakatan Rakyat memerintah apabila Speaker, V Sivakumar pernah menggantung Adun dan Exco Umno/BN hanya selepas merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebelum membuat sebarang keputusan, katanya. Lebih mendukacitakan, ujar Khalil Idham, selaku Ketua Pembangkang Nizar hanya diperuntukan 15 minit untuk membahaskan Rang Undang-undang mengenai perbekalan tambahan RM80 juta. Malah paling menyedihkan setelah tamat tempoh tersebut, Ganesan bertindak mematikan pembesar suara Nizar menyebabkan beliau terpaksa berucap dalam nada yang kuat, katanya. Sementara itu, persidangan yang berlangsung 3 Ogos lalu hanya berjaya mengemuka 7 daripada 127 soalan yang telah dihantar kepada Ganesan. Nizar pula digantung daripada persidangan Dewan selepas didakwa mengengkari arahan Ganesan supaya duduk. Selepas pertikaman lidah kira-kira 30 minit, Nizar dan Adun Pakatan Rakyat yang lain mengambil keputusan meninggalkan Dewan. DD |
| Azizah beri Ezam amaran akan saman jika terus fitnah Posted: 11 Aug 2010 05:00 PM PDT Oleh G. Manimaran August 11, 2010 KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Senator Ezam Mohd Nor jika terus memfitnah kononnya beliau pernah meminta bantuan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan itu supaya "menghalang seorang lelaki daripada mendekati" suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Presiden PKR itu berkata, Ezam terus menabur fitnah berhubung perkara itu terhadap beliau selaku isteri kepada Anwar sejak menyertai Umno tahun lalu. Ezam dilaporkan menyentuh isu berkenaan ketika ceramah jelajah Umno Selangor baru-baru ini. Selain itu beberapa blog pernah melaporkan Ezam berkata demikian, bantuan yang didakwa diminta oleh Dr Wan Azizah (gambar) sekitar 2006, dua tahun selepas Anwar dibebaskan dari penjara. Dr Wan Azizah berkata beliau sebenarnya enggan melayan sebarang kenyataan Ezam yang dibuat "hasil menerima upah pimpinan Umno." "Walau bagaimanapun kerana tuduhan tersebut berulang dan mengaitkan nama saya secara peribadi, saya mengingatkan beliau supaya hentikan kerja fitnah yang jelas fasiq. "Sekiranya beliau mengulangi fitnah tersebut, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan merujuk beliau ke mahkamah dan Mahkamah Syariah," kata Dr Wan Azizah dalam kenyataan dikeluarkan menerusi blog Anwar hari ini. Dr Wan Azizah berkata di perkarangan Mahkamah Tinggi semalam, seorang pemberita Berita Harian menyatakan yang dia telah diarah bertanya soalan berhubung tuduhan Ezam yang mendakwa kononnya beliau pernah menelefon mengarahkannya supaya "menghalang (seorang) lelaki mendekati saudara Anwar." "Saya dengan tegas menafikan tohmahan jahat beliau," kata beliau. "Ezam sengaja mereka cerita setelah beliau bersama Umno dan tidak sebelumnya," kata Dr Wan Azizah sambil menambah, beliau tidak pernah menelefon beliau mengaitkan Anwar seperti tohmahan tersebut. "Saya kesal kerana nafsu politik beliau tidak ada batas, sehingga sanggup memfitnah saya selaku isteri dan ibu. "Ternyata untuk kekal relevan sebagai alat pimpinan Umno, kerja beliau hanya mencerca kami," katanya lagi. TMI |
| You are subscribed to email updates from Biaqpila To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |










Tiada ulasan:
Catat Ulasan