Selasa, 6 Julai 2010

pemuda cheh

pemuda cheh


BELUM MEMERINTAH PR MAMPU SEKAT JUDI, BAYANGKAN JIKA PR MEMERINTAH

Posted: 05 Jul 2010 08:37 PM PDT

PAKATAN RAKYAT masih menuju cita-cita untuk menaiki Putra Jaya. Cita-cita yang dihajati oleh rakyat kini semakin hampir untuk dicapai dan ternyata Bn yang ditunjangi oleh Umno kini berada di dalam keadaan amat terdesak dan tertekan. PR telah banyak membuktikan kepada rakyat bahawa parti gabungan yang terdiri dari PKR, PAS dan DAP ini jauh lebih baik dari pemerintahan Bn yang ada sekarang.

Di peringkat Pusat, usaha kita terhad untuk membela nasib rakyat tetapi di beberapa negeri yang kita kuasai ternyata rekod pemerintahan PR jauh lebih cemerlang. Meskipun Bn terutamanya Umno yang dibantu oleh beberapa agensi lain berusaha sedaya upaya untuk memburukkan prestasi pentadbiran negeri-negeri di bawah PR, namun rakyat tidak lagi buta. PR kini cuma memerlukan sedikit usaha berterusan memikat pengundi-pengundi Melayu yang sememangnya kita ketahui amat susah untuk menerima perubahan. Jika Melayu berfikiran terbuka dan berani melakukan perubahan, Melayu di negara ini tidaklah menjadi seperti sekarang. Sekadar megah mengaku menjadi tuan di negara ini tetapi nasib mereka tidak terbela.

PR nampaknya lebih prihatin dan peka akan permasalahan itu. PR tidak lagi mahu melihat isu perkauman membantutkan kerja untuk membangunkan negara. Banyak isu kini dilihat isu bersama di kalangan parti-parti di dalam PR. Sebagai contoh, PR bersepakat untuk menentang judi sukan yang teramat sangat diimpikan oleh pemimpin Umno itu. Sudahlah mereka mengekalkan judi yang sedia ada, mereka mahu menambah lesen judi sukan pula. Akhirnya, berkat kerjasama serta perpaduan di kalangan parti di dalam PR serta beberapa NGO yang berani, kerajaan di bawah Umno ini tertekan yang kemudiannya menarik kembali niat mereka yang jahat itu.

Lihatlah, belum pun kita berkuasa kita masih mampu menyekat perkara-perkara yang tidak menguntungkan rakyat bahkan menzalimi rakyat itu. Judi sebenarnya adalah aktiviti yang boleh dikategorikan sebagai aktiviti zalim dan penganiyaan. Bayangkan jika kita berkuasa di peringkat Pusat. Bukan sahaja aktiviti judi sukan boleh kita haramkan, bahkan kesemua bentuk judi sukan pasti tidak wujud di negara ini. Betapa susahnya mentadbir hanya beberapa buah negeri yang mana judi itu berakar umbinya di Pusat.

Mengapa masih ada yang meragui hasrat dan cita-cita murni PR? Mengapa mereka masih mengharapkan Bn atau Umno untuk membela nasib mereka? Mungkin kaum lain telah mula membuka mata terhadap keikhlasan PR, malang sekali masih terdapat ramai Melayu yang masih dibuai dengan seribu janji dan umpan oleh Sang Penguasa yang amat bimbang mereka akan tersungkur. Mereka telah diajar bahawa Melayu itu Umno dan Umno itu Melayu, maka Melayu mesti berkuasa di tanah air ini. Oleh itu, mereka bimbang jika Umno tumbang maka hilanglah `keMelayuan' mereka.

PR mesti mencari jalan bagaimana untuk menyelamatkan mereka yang beranggapan sedemikian. Apabila kita telah berada di Putra Jaya, nescaya selepas itu nanti baru mereka tahu betapa mereka telah ditipu berpuluh-puluh tahun oleh Umno/Bn

Negara Islam: Anwar perlu nyatakan pendirian

Posted: 05 Jul 2010 08:25 PM PDT


'Negara Islam' kembali lagi menjadi tajuk klasik yang sering merangsang pergeseran dan tidak pernah mendapat kesepakatan politik antara pemimpin tertinggi DAP dan Pas, meskipun kedua-dua kepemimpinan parti tersebut sudah bergabung di bawah barisan Pakatan Rakyat.

Sejak Allahyarham Fadhil Noor menyandang kerusi Presiden Pas lagi, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah berganjak memperjuang dan mempertahankan penubuhan sistem pemerintahan Negara Islam, meskipun sering mendapat tentangan daripada parti pembangkang DAP, terutama bekas Setiausaha Agungnya Lim Kit Siang dan Pengerusinya Karpal Singh.

Kemuncak siri pertelagahan politik antara kedua-dua parti pembangkang itu, pemimpin tertinggi DAP membuat kesimpulan bahawa sampai bila pun DAP tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi Pas tidak berganjak mahu memperjuangkan kewujudan sistem pemerintahan Negara Islam.

Justeru barisan pemimpin UMNO, termasuk mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering secara stereotaip menyifatkan kedua-dua pemimpin tertinggi parti pembangkang itu tidak dapat bergabung atau bekerjasama kerana kedua-duanya tidur sebantal, tapi mempunyai mimpi politik yang berbeza.

Kini sekali lagi daripada pemimpin lantang DAP yang sama, Karpal Singh dalam satu temu bual bersama sebuah portal berita dengan segar, mengulangi pendiriannya menolak keras berkompromi dengan konsep Negara Islam yang diperjuangkan Pas jika barisan pembangkang itu mengambil alih teraju kepemimpinan nasional.

Mengulas perkara itu sepertimana dilaporkan Sinar Harian 1 Julai, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipetik mencabar Karpal supaya membuktikan konsep Negara Islam yang didukung Pas dan dilaksanakan di Kelantan sejak 20 tahun lalu adalah salah.

Mursyidul Am Pas itu menegaskan, pihaknya tetap akan meneruskan usaha memperjuangkan pembentukan Negara Islam.

Sejak era kepemimpinan DAP diterajui Chan Man Hin lagi, parti pembangkang ini agak konsisten menerusi suara lantang dan terbuka Karpal menentang keras penubuhan Negara Islam. Pimpinan tertinggi Pas pula konsisten memperjuang dan mempertahankan doktrin penubuhan Negara Islam.

Karpal agak sinonim dengan kelantangannya, namun pemimpin tertinggi DAP termasuk kawan baik saya Allahyarham Ahmad Nor, bekas Ahli Parlimen DAP Bayan Baru, Zulkifle Md Nor dan pemimpin DAP Melayu lainnya tidak pernah menyentuh topik berkenaan, termasuk juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam era kepemimpinan Chan Man Hin adalah antara pemimpin DAP yang tercorot, hanya lebih dikenali sebagai pemimpin lantang menentang penguatkuasaan Akta ISA sahaja.

Apakah mungkin Lim Guan Eng yang cenderung mahu mencontohi sistem pemerintahan Khalifah Saidina Omar dan sering bercakap soal nahi mungkar sejak menerajui kerajaan Pulau Pinang, sudah memahami teori falsafah Negara Islam, sekali gus dapat menerima doktrin pembentukan Negara Islam?

Apakah barangkali Karpal adalah antara seorang saja pemimpin veteran DAP berbanding Lim kit Siang dan pemimpin lain yang tidak memahami dan tidak mempunyai ilmu pengetahuan mengenai doktrin Negara Islam yang diperjuangkan Pas, menyebabkan beliau sering lantang menyuarakan bantahan keras terhadap perkara tersebut?

Sungguhpun tajuk doktrin pembentukan Negara Islam Pas ini tidak mungkin menemui satu resolusi politik yang muktamad antara DAP dan Pas, tapi Penasihat Parti Keadilan Rakyat berjaya kesudahannya memborong semua barisan parti pembangkang, termasuk Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali duduk di bawah satu bumbung dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

Tetapi Anwar yang disifatkan layak menjawat kerusi Mursyidul Pakatan Rakyat oleh Nik Abdul Aziz mahupun Dr Syed Husin, turut berdiam diri tidak terbabit dalam perbalahan doktrin pembentukan Negara Islam oleh Pas itu.

Adakah mungkin 'masyarakat madani' istilah yang dipopularkan Anwar ketika dalam UMNO dulu boleh diwujudkan di bawah sistem pemerintahan Negara Islam yang diperjuangkan Pas atau ideologi Malaysia Malaysian DAP atau ideologi sosialis Parti Rakyat Malaysia?

Kepemimpinan DAP menyifatkan Malaysia bukan sebuah Negara Islam berasaskan perlembagaan negara, sementara Pas menyifatkan perlembagaan nasional adalah ciptaan kolonialis. Di sinilah titik-tolak Karpal dalam menyanggah doktrin pembentukan Negara Islam.

Walau bagaimanapun kita melihat idealisme politik Pas adalah jelas dan konsisten termasuk DAP. Tapi yang tidak jelas atau kemungkinan besar tidak mempunyai draf piagam doktrin sistem pemerintahan yang jelas dan konkrit langsung ialah PKR.

Jika demikian konflik politik barisan pakatan pembangkang, DAP tidak memahami teori doktrin pembentukan negara Islam Pas atau Pas tidak memahami idealisme perjuangan DAP, atau barangkali kedua-dua parti pembangkang itu tidak cukup mengenali dan memahami idealisme perjuangan Anwar dan PKR?

Polis dah jadi ketua cawangan Umno - Anwar

Posted: 05 Jul 2010 01:49 AM PDT


(Harakahdaily) - Pihak polis sudah menjadi seperti ketua cawangan Umno apabila pantas menyiasat isu tajaan terhadap Raja Petra Kamaruddin berbanding pendedahan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum PKR itu berkata, pihak berkuasa sepatutnya menyiasat terlebih dahulu dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kerajaan seperti yang didedahkan Pakatan Rakyat berbanding isu tajaan tersebut.

"Respons polis banyak terhadap kenyataan politik. Pasal politik dia cepat, dia dah jadi macam ketua cawangan Umno," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pemimpin Umno bahawa pengendali laman web Malaysia Today itu ke United Kingdom atas tajaan PKR.

Ianya ekoran penyiaran gambar Raja Petra bersama seorang ahli Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.

"Raja Petra jawab, dia sedang cari dana untuk Pakatan rakyat.

"Polis patut siasat dana negara yang sudah hilang banyak akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa kerajaan mempunyai bukti Raja Petra dibiayai PKR.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam pula memberitahu menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

Tiada ulasan: