Jumaat, 9 Julai 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


RM300 Ribu Jadi Tandatanya

Posted: 08 Jul 2010 08:23 PM PDT

Mengapa RM300,000 Tidak Disimpan Di Bank?

Bagaimana, mengapa dan untuk apa? Itu persoalan Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan berhubung penemuan RM300,000 di rumah Exco Pahang yang ditemui sekumpulan perompak 5 Julai lalu.

Azan Ismail mempersoalkan bagaimana seorang exco BN mampu mengumpulkan wang sebegitu banyak, untuk apa wang itu akan digunakan dan mengapa ia tidak disimpan dalam peti simpanan bank.

Akhbar The Star 6 Julai lalu melaporkan tindakan pantas polis menembak mati empat penjenayah yang memecah masuk rumah Datuk Wan Adnan Wan Mamat di Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

"Saya hendak rujuk pada satu laporan akhbar The Star pada 6 Julai 2010 di mana melaporkan tindakan pantas pihak polis berjaya menembak suspek atau pun yang diklasifikasikan sebagai perompak di dalam satu kejadian pecah rumah di Kuantan yang melibatkan salah seorang Exco kerajaan negeri di dalam bidang sukan dan belia.

"Tetapi dalam berita ini menyiarkan bahawa perompak telah melarikan RM300 ribu wang tunai daripada kediaman beliau dan perkara ini telah menimbulkan banyak persoalan bagaimana Exco seorang kerajaan negeri boleh menyimpan begitu banyak tunai di dalam simpanan," katanya.

Beliau berkata adalah menjadi perkara luar jangkaan apabila seorang Exco berani menyimpan wang yang begitu banyak di kediamannya memandangkan ia boleh menimbulkan pelbagai sangkaan.

"Hari ini begitu banyak berita berkenaan simpanan tunai yang berkaitan kerajaan beberapa isu kita dengar di Pulau Pinang dan sebagainya yang melibatkan kakitangan kerajaan ataupun orang yang diberi amanah oleh kerajaan sebagai pentadbir termasuk Exco.

"Kita minta pihak berkuasa menyiasat adakah kebenaran laporan akhbar ini bagaimana seorang Exco kerajaan negeri boleh menyimpan begitu banyak tunai di dalam kediamannya yang menjadikan kes ini kes rompakan dengan kesudahan empat orang ditembak mati oleh pihak polis yang juga menimbulkan banyak isu yang mana lima tahun kebelakangan ini banyak kes-kes tembakan yang menyebabkan berlaku kematian kepada suspek atau juga orang-orang yang di anggap penjenayah," katanya. -TVS

Berbillion Telah Disonglap Dari Felda Dan Petronas

Posted: 08 Jul 2010 04:50 PM PDT

Bermula Dengan Felda, Petronas Pula Kini Hadapi Gawat Kewangan

Selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengalami kemerosotan rizab tunai yang menjunam sebanyak RM2.37 bilion dalam tempoh lima tahun, kini syarikat petroliam negara, Petronas pula dirundung nasib yang sama akibat penurunan perolehan yang mendadak.

Keadaan ini menjadi lebih gawat berikutan Petronas yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan negara, tidak lagi berupaya bersaing dengan syarikat pengeluar minyak dunia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengemukakan usul mengenai perolehan Petronas di Dewan Rakyat tetapi telah ditolak oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan usul itu tidak perlu disegerakan.

"Laporan ini membimbangkan, prestasi kewangan dan operasi Petronas memperlihatkan penurunan perolehan 18.1 peratus kepada RM216.4 bilion. Keuntungan pun merosot 23.2 peratus kepada RM40.3 bilion. Keuntungan RM40.3 bilion, tetapi jumlah yang patut diberi kepada kerajaan ialah RM70.9 bilion. Maknanya RM30 bilion sebagai dividen," jelas beliau pada sidang media di parlimen tengahari tadi yang disertai ahli-ahli parlimen KEADILAN.

"Saya bangkitkan ini kerana saya lihat ia bertujuan untuk menampung defisit. Defisit (negara) tanpa sumbangan Petronas mencecah lebih 11 peratus, tanpa sumber minyak. Ia memberikan satu ruang sikap yang tidak bertanggungjawab dari sudut pengurusan ekonomi negara.

"Kedua di negara lain atau syarikat antarabangsa lain, termasuk Shell, BP dan Exxon Mobil semuanya membelanjakan 50 hingga 80 peratus untuk pelaburan carigali baru sedangkan Petronas dengan keadaan kegawatan yang berlaku sekarang hanya mampu membelanjakan 20 hingga 30 peratus sahaja," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Menurut Anwar dasar Petronas kini telah berubah berikutan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara langsung dalam pengurusan Petronas sehingga menyebabkan tahap profesionalisme serta kewibawaan syarikat itu terjejas dan dipertikaikan.

"Kebimbangan kita selain masalah defisit ini ialah Kedudukan dan keupayaan Petronas dalam jangka masa sederhana dan panjang pasti akan terjejas. Saya sediakan analisa menyeluruh berdasarkan kewangan dan prestasi Petronas yang diperjelaskan dengan angka.

"Kebergantungan untuk menangani masalah defisit, dengan hasil minyak 2009 telah mencecah 7.4 peratus defisit, telah masuk paras bahaya. Tanpa hasil minyak defisit ialah 11.7 peratus pada 2008, dan 15.1 peratus untuk 2009.

"Kemudian bayaran Petronas kepada kerajaan kita lihat memang berdasarkan keuntungan Petronas pada 2008 ialah RM67.6 bilion, 2009 RM74 bilion dan 2010 RM57.6 bilion.

"Tetapi yang kita bangkitkan ini juga ialah peratus sumbangan Petronas kepada pendapatan negara. Kita tengok pendapatan bayaran kepada kerajaan maknanya ketergantungan kepada Petronas itu sangat tinggi.

"Untuk 2010 tahun kewangan berakhir 31 Mac, keuntungan 85.6 peratus Petronas diserah semuanya kepada kerajaan. Angka ini mempertikai dalam RMK-10 dan kita melihat angka dan sumbangan Petronas ini sudah lari dari unjuran dan perkiraan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, baru baru ini.

"Penekanan utama saya ialah hilangnya kekuatan Petronas apabila keupayaan Petronas melabur untuk carigali minyak gali baru terbantut. Petronas berbanding syarikat minyak besar menjadi terlalu kecil. Jadi belum selesai isu Felda, timbul krisis Petronas pula," kata beliau lagi.

Kerajaan Guna Akta Zalim Sekat Kebebasan Bersuara

Posted: 08 Jul 2010 05:50 AM PDT

Apabila demokrasi di hukum mati — Mohamed Hanipa Maidin

Kerajaan BN yang zalim telah mengggunakan Akta zalim iaitu Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 bagi melarang PKR untuk menerbitkan akhbar Suara Keadilan. Tulisan ini ingin membawa para pembaca melihat dan mengenali Akta draconian ini dengan lebih dekat supaya para pembaca dapat melihat kezalimannya dengan lebih dekat.

Harapan saya selepas para membaca artikel ini dan mengenali betapa buruknya Akta ini maka kita dapat bersama-sama dengan satu nada menyumpah Akta ini dan berdoa agar Akta ini dapat dimusnahkan dengan kadar segera.

Di dalam Islam hanya Allah yang ada kuasa mutlak. Kuasa manusia tidak mutlak. Kuasa manusia boleh dibahas dan dipertikaikan. Jika kita lihat Akta Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 ianya berpaksikan atas satu dasar sahaja iaitu Menteri Dalam Negeri adalah berkuasa penuh dan tiada siapa boleh persoalkan kuasa mutlak tersebut hatta Mahkamah.

Akta ini mengingatkan saya kepada kata-kata Lord Acton yang masyhur iaitu "power corrupts and absolute power corrupts absolutely" ("Kuasa itu merosakkan dan kuasa yang mutlak rosak secara mutlak") .

Ayuh mari kita berkenalan dengan Akta zalim ini.

Seksyen 6 ( 1 ) ( a ) memperuntukkan bahawa Menteri boleh melalui budibicaranya yang mutlak memberikan kebenaran atau permit kepada mana-mana orang untuk menncetak dan menerbitkan suratkhabar di Negara ini tetapi dalam masa yang sama di bawah seksyen 6 ( 2 ) Menteri yang sama juga diberikan kuasa mutlak untuk membatalkan permit suratkhabar atau menggantungnya seberapa lama yang Menteri itu mahu.

Seksyen 13A ( 1 ) Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 memperuntukkan bahawa keputusan Menteri untuk tidak memberikan, membatalkan permit atau menggantung permit adalah muktamad dan keputusan tersebut tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa alasan sekalipun.

Seksyen 5 pula mengandungi 10 kesalahan yang boleh dikenakan ke atas mana-mana orang iaitu kesalahan-kesalahannya adalah mencetak, mengimport ,menerbitkan, menjual dan mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri atau kesalahan atau menawarkan diri untuk mencetak, menawarkan diri untuk mengimport , menawarkan diri untuk menerbitkan,menawarkan diri untuk menjual dan menawarkan diri untuk mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri.

Mana-mana orang yang didapati melakukan mana-mana kesalahan dari 10 kesalahan di atas boleh ditangkap dan jika didapati bersalah oleh Mahkamah boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun penjara atau dengan hukuman denda yang tidak melebihi RM 20,000-00 atau kedua-duanya.

Akta ini juga memberikan kuasa kepada Pendakwa Raya, jika dia mendakwa mana-mana orang di bawah mana-mana peruntukkan Akta ini, untuk meminta Mahkamah menggantung penerbitan akhbar tersebut dan jika Mahkamah berbuat demikian ianya adalah suatu yang sah di bawah seksyen 8c ( 2 ) Akta tersebut.

Akta ini juga berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) memberi kuasa mutlak kepada Menteri untuk meletakkan apa-apa syarat di atas permit yang diberikan dan kuasa Menteri ini juga tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun.
Kita tentu tidak lupa bagaimana akhbar Harakah pernah dikenakan syarat-syarat yang tidak munasabah oleh Menteri meskipun permit dikeluarkan.

Saya masih ingat sewaktu mewakili Harakah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri suatu ketika dahulu. Harakah telah mencabar syarat-syarat yang dirasakan tidak munasabah yang dikenakan ke atas akhbar tersebut.

Saya masih ingat salah satu syarat yang dikenakan kepada Harakah adalah ia hanya boleh menerbitkan berita tentang PAS sahaja . Maknanya kalau Harakah hentam Umno di dalam akhbar tersebut ia dikira melanggar syarat permit. Tidakkah ini syarat gila yang hanya boleh dikenakan oleh Kerajaan gila seperti Kerajaan BN.

Meskipun jangka hayat permit suratkhabar itu adalah untuk tempoh 12 bulan daripada tarikh permit dikeluarkan namun berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) Menteri juga diberi kuasa mutlak untuk meletakkan syarat di dalam permit bahawa tempoh usia permit itu dikurangkan dari 12 bulan.

Seksyen 12 ( 2 ) secara jelas menyatakan Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk tidak meluluskan permohonan bagi mendapatkan permit. Dan di bawah seksyen 12 ( 2 ) inilah Menteri telah menggunakan kuasa mutlaknya itu untuk tidak memperbaharui permit akhbar Suara Keadilan.

Harus diingatkan Menteri tidak perlu memberi apa-apa alasan mengapa ia enggan memperbarui permit Suara Keadilan.

Di dalam undang-undang pentadbiran ( administrative law ) sebarang keputusan pihak awam seperti kuasa Menteri perlu mematuhi prinsip keadilan asasi ( natural justice ) di mana salah satu prinsip itu adalah apa yang dipanggil " audi alteram partem" ( seseorang hendaklah diberi hak untuk didengar ).

Diterjemah di dalam kes akhbar Suara Keadilan sepatutnnya Menteri hendaklah memberi hak tersebut kepada PKR apabila ia memutuskan untuk tidak mahu memberikan permit kepada Suara Keadilan. Adakah tindakan Menteri tersebut boleh dicabar ? Jawabnya tidak kerana seksyen 13B dengan secara jelas memberi kekebalan kepada Menteri apabila diperuntukkan bahawa mana-mana orang yang tidak diberikan permit atau digantung permitnya tidak perlu diberi hak untuk didengar oleh Menteri.

Akhirnya Akta ini juga membenarkan mana-mana orang yang ditangkap kerana disyaki melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini tanpa perlu waran tangkap dari Mahkamah ( lihat seksyen 20 Akta ) .

Seterusnya jika pihak penguatkuasa KDN melakukan penggeledahan dan rampasan dan berlaku kerosakan mereka juga kebal dari sebarang tuntutan gantirugi dan mereka tidak boleh disaman di Mahkamah ( lihat seksyen 24 )

Amat menghairankan hanya kerana Suara Keadilan menyerang bertubi-tubi pengurusan Felda – agensi di bawah jagaan dan kawalan Najib- maka ia dihukum dengan hukuman yang amat berat – tidak boleh lagi diterbit dan dicetak akhbar tersebut. Kita tidak faham kenapakah Suara Keadilan perlu di hukum dengan hukuman sebegitu berat. Jika pun berita tentang Felda itu adalah satu fitnah ke atas Felda bukankah Felda dibenarkan oleh undang-undang untuk menyaman akhbar itu dan menuntut gantirugi .

Tidakkah akhbar pro Umno juga banyak kali menyiarkan berita fitnah dan bohong dan mengapakah mereka tidak pernah dihukum seperti Suara Keadilan?

Suatu yang amat ganjil parti apabila politik berdaftar seperti PKR dinafikan haknya yang fundamental iaitu menyebarkan mesejnya kepada rakyat melalui penerbitan akhbar. Jika Perlembagaan Perskutuan di dalam Perkara 10 ( 1 ) memberi kebebasan bersuara yang mana hak itu termasuk kebebasan akhbar Akta zalim ini menjadikan hak dan kebebasan di dalam undang-undang tertinggi tersebut tidak lagi bermakna dan hanya satu ilusi atau mimpi.

Sayugia diingatkan apabila BN menghukum Suara Keadilan menggunakan Akta zalim itu pada hakikatnya BN sedang menjatuhkan hukuman mati ke atas demokrasi. Apabila hak bersuara PKR dinafikan BN pada hakikatnya sedang mencabut oksigen dari tabung atau balang demokrasi. Pembunuh demokrasi wajib dihukum mati oleh hakim yang berkuasa di negara ini-rakyat atau pengundi .

Apa lagi – marilah kita sama-sama menyumpah Akta zalim ini 33 kali dalam sehari!

Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Kes Kematian Yang Ditembak Polis

Posted: 08 Jul 2010 02:53 AM PDT

Sebanyak 26 pertubuhan masyarakat negeri Johor termasuk parti politik menggesa kerajaan menubuhkan badan siasatan bebas untuk menyiasat kes-kes kematian melibatkan penggunaan kekerasan atau senjata oleh anggota polis.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berkata dengan petisyen yang baru diterimanya di Parlimen daripada pertubuhan Suara hak Asasi Manusia (Suaram) pagi tadi, mereka juga mendesak kerajaan mendedahkan laporan siasatan dengan kadar segera.

Pada sidang media di parlimen tadi, wakil Suaram menyerahkan petisyen 26 Parti Politik dan Pertubuhan Masyarakat Negeri Johor Kepada Perdana Menteri melalui Lim Kit Siang. Petisyen itu diserahkan oleh Kordinator Suaram Johor Bahru, Fang Pei Fen.

Dalam kandungan petisyen tersebut memperincikan beberapa desakan antaranya meminta Ketua Polis Negara meletakkan jawatan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas anggota polis yang terbabit.

"Ketua Polis Negara dengan hanya menyebelahi hujah anak buahnya, bukan sahaja menolak tuntutan munasabah pihak keluarga mangsa dan masyarakat, malah mengeluarkan kenyataan yang angkuh dan sombong. Beliau harus meletak jawatan dengan segera. Anggota polis yag terbabit harus dibicara dan menerima hukuman dengan adil. Pihak kerajaan pula harus menegakkan keadilan dengan membersihkan nama baik mangsa dan memberi ganti rugi kepada ahli keluarga mangsa."

Koordinator Suaram Pusat, S. Arutchelvan menegaskan penubuhan badan bebas adalah perlu bagi memastikan siasatan yang adil, telus dan saksama bagi semua pihak.

"Hanya Suruhanjaya Diraja yang bebas dan berkuasa dpat mencungkil rahsia sebenar kematian mangsa-mangsa tembak mati polis. Lain dengan mahkamah koronel, Suruhanjaya Diraja mempunyai kuasa untuk memanggil saksi dalam proses penyiasatan. Suruhanjaya Diraja dibentuk daripada pakar undang-undang dan perubatan. Keputusan Suruhanjaya Diraja yang berdasarkan siasatan bebas dari pelbagai aspek dipercayai lebih adil. Suruhanjaya Diraja juga kelihatan lebih neutral dan berkecuali.

"Kami 26 organisasi di Johor termasuk NGO dan parti politik dan ingatkan di sini, ini satu insiden yang jelas ditembak mati dan kematian dalam tahanan terus berlaku dan kita tidak puas hati dengan siasatan yang dibuat oleh pihak polis.Polis tidak boleh menyiasat diri sendiri, kita perlu satu badan untuk menyiasat apa-apa salah polis terutamanya kematian kerana nyawa sudah hilang, nyawa itu hak untuk hidup."

Pada 20 Oktober 2009, seorang remaja Melayu, Mohd Afham Arin, 18 tahun ditembak mati.

Allahyarham Mohd Afham menunggang motosikal bersama Mohd Firdaus Marsawai yang juga berusia 18 tahun dikejar dan ditembak mati oleh tiga polis yang berpakaian biasa semasa dalam perjalanan dari Taman Johor Jaya ke Pasir Gudang.

Mohd Afham mati kerana kecederaan yang berpunca daripada tembakan pistol di arteri jantung tiga.

Pihak polis mendakwa tiga peronda bermotosikal cuba menahan motosikal yang dinaiki oleh Mohd Afham dan Mohd Firdaus kerana mereka disyaki terlibat dalam kes ragut yang berlaku di Taman Johor Jaya.

Tembakan dilepaskan oleh anggota polis atas alasan mempertahankan diri kerana pembonceng motosikal iaitu Mohd Firdaus melibas pisau dan pedang terhadap anggota polis.

"Jadi kita sentiasa mengambil berat mengenai kes tembak. Pihak polis sewenang-wenangnya tembak. Jadi kita ada dua kes ini yang pertama atas Afham dan satu lagi kes ke atas Agustin yang berlaku di Johor.

"Hari ini saya ada satu soalan mengenai kes tembakan atas kes ini dan Aminulrasyid dan meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah kerajaan perlu meminta maaf secara rasmi kerana sewenang-wenangnya menembak mereka termasuk Aminulrasyid dan apakah siasatan sudah dibuat oleh Menteri Dalam Negeri," kata Lim Kit Siang. -TVS

Tiada ulasan: