Kelab Greenboc |
- Bapak Penipu Tuduh Orang Lain Menipu
- Musa Hassan Berlagak Hero Sebelum Pencen
- Dari Menteri Berbudaya Kepada Menteri Berkepala Buaya
- Polis Pekakkan Telinga Supaya Jangan Sesuka Hati Menembak Mati
- Kes Aminul-Rasyid: Apa Motif Polis Paksa Kawad Cam Secara Tergesa-gesa?
- Sarawak : Semua Bekerja Keras Untuk Tamatkan BN Pimpinan Taib Mahmud
| Bapak Penipu Tuduh Orang Lain Menipu Posted: 07 Jul 2010 09:27 PM PDT Siapa Harus Rakyat Percayai?Perdana Menteri Najib Razak menggesa orang ramai tidak mempercayai pengarang blog Malaysia Today Raja Petra Kamarudin kerana mendakwa beliau menulis berita-berita fitnah terhadap kepimpinan Umno. Najib turut meminta rakyat tidak mempercayai dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam mengenai pembabitan Perdana Menteri, isterinya Rosmah Mansor dan kerabat keluarga Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Selain itu, sudah lumrah juga untuk Perdana Menteri menggesa rakyat tidak mempercayai pemimpin-pemimpin seperti Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan tentunya Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan seteru politik utama Umno. Malah, seluruh jentera media arus perdana khususnya Utusan Malaysia digerakkan untuk menanam persepsi di kalangan rakyat bahawa orang-orang ini - dari Raja Petra sampai kepada Anwar Ibrahim TIDAK boleh dipercayai. Terbaru, Najib meminta rakyat tidak mempercayai Suara Keadilan, akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat yang melahirkan rasa khuatir Felda akan bankrap jika wangnya terus disalah-urus. Dalam tempoh lima tahun lalu, rizab tunai Felda sudah pun susut lebih enam puluh peratus. Duit RM4 bilion tinggal RM1 bilion. Jika semua pihak yang dinyatakan di atas tidak boleh dipercayai, persoalan yang harus diajukan kepada Perdana Menteri ialah SIAPA harus rakyat percayai? Bolehkah rakyat mempercayai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz yang mendedahkan Kabinet meluluskan pembinaan Parlimen baru RM800 juta di Putrajaya? Apabila berdepan dengan bantahan rakyat, Nazri kemudian mendakwa beliau tersalah memberi maklumat. Bagaimana pula kewibawaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan? Haruskah rakyat menelan bulat-bulan penjelasan beliau yang mendakwa simpanan tunai Felda RM2 bilion digunakan untuk penanaman semula oleh peneroka? Kenyataan itu adalah pembohongan semata-mata kerana peruntukan untuk penanaman semula datang dari sebuah tabung berasingan yang dibiayai oleh peneroka sendiri, kata bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang bertanggungjawab ke atas Felda semasa beliau dalam Kabinet. Bagaimanapula dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang gagal memberikan penjelasan bagaimana rekod kemasukan Altantuya Shaariibuu yang mati dibom ke negara ini "tiba-tiba" hilang dari rekod Jabatan Imigresen? Adakah beliau boleh dipercayai? Dan akhir sekali, apakah rakyat boleh mempercayai Najib sendiri, selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri? Pemimpin utama negara ini memberitahu Parlimen, beliau tidak pernah menjanjikan projek untuk mendapatkan undi pada mana-mana pilihan raya kecil. Hakikat, seperti yang terpacar dalam rakaman-rakaman video ialah Najib menjanjikan RM5 juta kepada penduduk di Sibu untuk projek banjir jika mereka memenangkan calon BN pada PRK Mei lalu. Umpan sama diberikan kepada pengundi Cina dan peneroka Felda semasa PRK Hulu Selangor beberapa minggu sebelum itu. Najib adalah juga pemimpin Melayu yang berjanji mempertahankan kesucian agama Islam dan kebajikan seluruh rakyat lain tanpa mengira agama dan bangsa. Namun pada masa sama beliau meluluskan lesen judi sukan yang bertentangan dengan agama Islam dan mendatangkan masalah sosial dan jenayah kepada masyarakat yang terjebak dengan amalan buruk itu. Apabila Pakatan Rakyat dan rakyat bangkit menentang, Najib secara tiba-tiba berkata lesen itu ditarik balik. Hari ini apabila isu itu reda, Najib sekali lagi memberitahu Parlimen pihaknya bersedia memberikan semula lesen judi sukan jika ada rancangan untuk menghalalkan amalan itu di negara ini. Kenyataan yang mengelirukan dan putar belit. Siapa yang mempunyai kuasa untuk menghalalkan judi sukan jika bukan kerajaan pemerintah. Namun pendirian kabur dan berdolak dalih sudah saban kali di perlihatkan oleh Najib dalam mengumumkan keputusan-keputusan kerajaan. Justeru, rakyat keliru, mana satu Najib yang harus dipercayai? Patutkah mereka berpegang kepada seorang Perdana Menteri yang mudah membuat janji dan kemudiannya bingkas mengubah kata-katanya? Ini belum lagi dikupas janji-janji Najib untuk memansuhkan hak pemilihan 30 peratus di dalam Model Ekonomi Baru sebelum menjajanya ke Amerika Syarikat. Sekembali dari berjumpa dengan Presiden Barack Obama, segala peruntukan itu dikekalkan dalam RMK-10, selepas dikritik oleh Perkasa dan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Bagaimana pula dengan kelewatan Najib mengkritik serangan Zionis ke atas misi kemanusiaan kapal laut yang berkesudahan dengan pertumpahan darah. Ataupun tindakan Umno-BN mengupah syarikat Apco Worldwide yang dipimpin bekas pegawai-pegawai risikan Zionis dengan kos RM77 juta. Negara semakin condong ke arah menjadi tali barut kuasa-kuasa tertentu, dan Malaysia akan "bankrap" nilai-nilai moral dan kemanusiaannya jika rakyat meletakkan kepercayaan kepada pemimpin yang hanya pandai menanam tebu di bibir dan menyembunyikan hakikat sebenar. Jelas, rakyat mempunyai kesukaran untuk memberi pertimbangan kepada gesaan Najib supaya tidak mempercayai orang dan pihak tertentu. Ini kerana kenyataan Perdana Menteri ibarat meludah ke langit. Bak kata Karam Singh Walia, paku dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih. Itulah akibatnya apabila tukang "nasihat" sendiri dibelit dengan kredibiliti rapuh lagi mencurigakan. -Wira Arjuna
|
| Musa Hassan Berlagak Hero Sebelum Pencen Posted: 07 Jul 2010 03:58 PM PDT Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berusaha menonjolkan dirinya sebagai hero menyelamatkan kerajaan Barisan Nasional dengan secara tiba-tiba membangkitkan isu Jemaah Islamiah dan terbaru isu usaha menangkap penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin yang dikehendaki oleh pihak polis.Tindakan 'mengambil hati' Umno-BN dilihat sebagai membantu misi mengalih perhatian rakyat terhadap isu kritikal seperti penglibatan Apco Worldwide dalam soal keselamatan negara, skandal komisyen dalam pembelian kapal selam Scorpene, tindakan menyerahkan tanah KTMB di Tanjung Pagar kepada Singapura dan juga beberapa rancangan pengambilan tanah serta soal lesen judi. Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul kesal dengan tindakan Musa dan menyifatkan pendedahan yang dibuat KPN tersebut kepada media seumpama mencari populariti demi memenuhi kepentingan dirinya. "Saya yakin benar bahawa dia bermain politik dalam isu ini, jika tidak kenapa dengan tiba-tiba menjadikan dirinya sebagai orang penting dengan mengetengahkan isu tersebut semata-mata bagi menyambung semula kontraknya sebagai KPN yang dijangka berakhir pada September tahun ini. "Oleh yang demikian dia terpaksa cari isu untuk menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya. Beliau juga menganggap isu JI sengaja diada-adakan setelah kerajaan BN berdepan dengan banyak isu besar termasuk pembelian kapal selam Scorpene, lesen judi bola sepak dan kehadiran syarikat milik Yahudi di negara ini, Apco. "Sehingga sekarang perkara tersebut tidak pernah diambil perhatian oleh kerajaan untuk diambil tindakan. Bagi menutup isu tersebut, kerajaan menggunakan isu yang baru tentang pergerakan yang berada di negara ini selain bertindak menakut-nakutkan rakyat. "Kita lihat kerajaan sekarang sedang melakukan usaha mengalih perhatian umum kepada isu yang telah dikeluarkan oleh KPN berkenaan dengan isu JI. "Umno-BN cuba mengalihkan isu yang telah kita dedahkan dahulu berkaitan penglibatan Apco, lesen judi mahupun penyerahan aset negara kepada negara luar dan juga soal pengambilan tanah daripada terus menjadi perhatian umum. "Kita juga berpendirian sikap pelampau tidak boleh dibiarkan dan diambil tindakan tegas, tetapi isu yang besar itu janganlah dibiarkan perlu diselesaikan segera bukan dengan menggunakan cara mengalihkan pandangan rakyat. "Kalau benar-benar sepertimana yang didakwa Musa, kenapa sehingga sekarang tiada tangkapan yang dibuat pihaknya," tegas beliau lagi. Johari juga berharap fokus perlu ditumpukan kepada soal keselamatan sementara soal JI perlu diselesaikan oleh pihak polis dan bukan menggunakan cara pendedahan awam tentang kumpulan tersebut agar rakyat berasa takut dengan situasi yang berlaku di dalam negara ini. Sebelum itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Musa pada 14 Jun lalu menyatakan kumpulan JI sedang berusaha untuk menghidupkan kembali perjuangan mereka. Ekoran kenyataan itu, pelbagai pihak termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap isu JI sengaja ditimbulkan sekarang kerana kerajaan BN cuba mengalih perhatian rakyat. Selain itu beliau menambah kumpulan terbabit merekrut pelajar universiti dan remaja tempatan untuk berjihad di luar negara. Dalam kenyataan yang sana, Musa juga berkata pemantauan akan dilakukan ke atas pelajar yang mengikuti sebarang ceramah atas faktor keselamatan negara. -SK |
| Dari Menteri Berbudaya Kepada Menteri Berkepala Buaya Posted: 07 Jul 2010 06:21 AM PDT Menteri tak budaya' punca khazanah sastera hilangDatuk A Samad Said menyifatkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai "kurang berbudaya" apabila mempersoalkan apa lagi yang dimahukan oleh Sasterawan Negara itu. "Kalau dia (Rais) tanya apa lagi yang saya mahukan, kalau dulu dia bertanya, saya akan huraikan. Cuma caranya bertanya itu kurang berbudaya. "Maka sekarang, saya (jawab) tidak mahu apa-apa lagi dari dia (Rais)," kata A Samad ketika diminta mengulas kenyataan Rais minggu lalu bahawa terlalu banyak dibelanjakan oleh kerajaan untuk memperoleh bahan atau artifak seni budaya. Rais, menjawab kekecewaan A Samad terhadap layanan kementeriannya dalam menyediakan penempatan untuk khazanah sastera yang dimilikinya dilaporkan berkata, hampir RM485,000 buku sasterawan itu, tidak termasuk sajak yang telah dibeli. A Samad sebelum itu dilaporkan mahu menempatkan khazanah yang dimilikinya di sebuah rumah seni di New Zealand selepas kecewa terhadap layanan yang diberikan kementerian dalam menyediakan penempatannya. Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, A Samad yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, menjelaskan bahawa beliau menjual, justeru tidak ada langsung konsep "hutang budi" dalam perkara tersebut. "Kalau saya ada duit, saya mahu ambil balik. Berdegar sangat beliau (Rais) bercakap. Ia sepatutnya sesuatu yang peribadi dan menjadi rahsia," kata Sasterawan Negara ketiga itu. Menurut beliau, khazanah berharga itu termasuklah buku tulisannya, manuskrip, diari, proses penciptaan, surat-menyurat, rekod-rekod lagu dan lukisan - sebahagiannya dibeli daripada pengkarya muda di seluruh negara. Ada antaranya telah sudah disimpan selama 50 tahun, kata pengarang yang terkenal dengan novel Salina itu. Sementara itu, ditanya tentang status rundingannya dengan pihak asing, A Samad memberitahu beliau agak "keberatan" mendedahkannya buat masa ini kerana ia adalah "rahsia". "Yang boleh saya katakan, ada (bahan) yang sudah setuju, ada yang belum," katanya yang tidak dapat menjangkakan bila rundingan bagi penempatan di rumah New Zealand bakal selesai. Tambahnya, jika perkara tersebut menjadi kenyataan, akan terdapat sebuah rumah di negara Kiwi itu yang menempatkan karya-karyanya "seperti Rumah Tagore di India, Rumah Shakespeare di Barat dan Rumah Iqbal di Pakistan." Ditanya apakah beliau tidak sayang karya dan koleksinya yang amat bernilai itu hilang daripada tangannya, Pak Samad menjawab mesra: "Iya, cuma hilang daripada saya...." Ulasan GB Siapa yang tak kenal Rais Yatim. Menteri yang kononnya membakar jambatan setelah keluar UMNO. Tetapi rupanya beliau paling awal setelah Ku Li berpatah balik ke pangkuan UMNO. Malah Rais lebih hebat mengampu dan membodek pimpinan daripada Ku Li sehingga beliau berjaya menempatkan dirinya semula di dalam kabinet. Kini, beliau adalah species makhluk zaman batu sebarisan Taib Mahmud dan lain-lain yang masih ada di dalam UMNO dan dipertahankan oleh PM. Bebal dalam teknologi maklumat tetapi jadi Menteri yang menjaga hal ehwal multimedia setelah meninggalkan kementerian yang hanya menjaga budaya. |
| Polis Pekakkan Telinga Supaya Jangan Sesuka Hati Menembak Mati Posted: 07 Jul 2010 05:03 AM PDT SUARAM merujuk kepada insiden penembakan mati empat orang suspek penjenayah samun di rumah Wan Adnan di Kuantan pada 5 Julai 2010 yang lalu. SUARAM menghargai pengawai polis yang menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan rakyat dalam kes tersebut, namun pihak polis tidak sepatutnya menggunakan senjata api dan menembak mati keempat-empat suspek tersebut. Pihak polis sepatutnya cuba untuk menahan supaya mereka boleh dibicarakan di mahkamah kemudian. Dengan menggunakan senjata api untuk menembak seseorang sampai mati, pihak polis telah mencabuli hak asasi setiap suspek yang telah ditembak mati ketika proses penahanan.SUARAM sebagai sebuah badan hak asasi manusia, menyeru kerajaan Malaysia supaya memastikan pihak berkuasa terutamanya PDRM menghormati hak untuk hidup setiap manusia semasa menjalankan tugas. Dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia, Artikel 3 menyatakan bahawa "Setiap orang berhak untuk hidup" dan Artikel 5 menyatakan bahawa "Tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan." Artikel 4 dalam Prinsip Asas Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pihak Penguatkuasa 1990 (Basic Principles on the Use of Force and Firearms by Law Enforcement Officials) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa "Pegawai-pegawai pihak penguatkuasa, dalam menjalankan tugas seboleh mungkin menggunakan cara tidak keras sebelum terpaksa menggunakan kekerasan dan senjata api." Mengikut statistik rasmi kerajaan, antara tahun 2007 hingga 2009 <*1>, terdapat sebanyak 183 nyawa dikorbankan akibat ditembak mati oleh polis. Pihak polis sepatutnya menggunakan alternatif lain selain daripada senjata api dalam operasi penangkapan suspek penjenayah. Malah, rakyat risau dan bimbang dengan penggunaan senjata api oleh pihak polis khususnya, kerana sehingga hari ini tiada satu mekanisme dan akauntabiliti dalam kes-kes penggunaan senjata api oleh pihak polis. Akhirnya, kami menyeru kerajaan untuk mewujudkan satu mekanisme yang telus dan jelas tentang penggunaan senjata api di kalangan polis serta mendedahkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan segera agar penyalahgunaan kuasa polis tidak berulang lagi dan pemeriksaan awam dapat dijalankan terhadap penggunaan senjata api oleh pihak polis. <*1> Pemberitahuan Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Dewan Rakyat, Rujukan No: 2357 *Kenyataan oleh Yap Heng Lung selaku penyelaras SUARAM.
Ulasan GB Polis MASIH berani untuk berdegil menggunakan taktik TEMBAK MATI sekalipun sebelum ini rakyat telah membicarakan tentang kewajaran polis bertindak sedemikian di dalam menjalankan tugas mereka. Kisah serupa di dalam mana-mana kejadian sebegini - tembak mati - alasan: anggota diserang dengan parang dan dikatakan "polis menemui sebilah parang, satu alat pemotong, sebilah pisau pemotong daging dan penyungkil tayar". Tidak ada kejadian berbalas tembak, menunjukkan hanya polis yang memiliki dan menggunakan senjati api untuk menembak sekalian 4 orang yang dikatakan penjenayah. Itu polis pengecut dan bacul namanya! Dah tembak mati sebelum jenayah dibuktikan berlaku. Nak tembak GB? Tembak... lepas tu esok akhbar akan melaporkan bahawa polis dalam sidang medianya menytakan GB serang polis dengan parang! |
| Kes Aminul-Rasyid: Apa Motif Polis Paksa Kawad Cam Secara Tergesa-gesa? Posted: 07 Jul 2010 02:41 AM PDT Peguam Kesal Polis Panggil Azzamudin Buat Kawad Cam Secara Tergesa-gesaSHAH ALAM 7 Jul - Peguam Azzamudin Omar, rakan kepada Aminulrasyid Amzah, remaja 14 tahun yang mati ditembak polis 27 April lalu kesal dengan tindakan polis yang memanggil anak guam membuat kawad cam secara tergesa-gesa di Ibupejabat Polis Daerah Seksyen 11, Shah Alam petang semalam. Farhana Abdul Halim yang mewakili Azzamudin dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Monaliza Mokhtar yang ditemui media bersama Azzamudin di perkarangan ibupejabat polis berkata pihaknya hanya diberitahu secara tiba-tiba dan kawad cam telah pun dijalankan. "Kita sangat tidak berpuas hati kerana Azzamudin dipanggil dalam waktu yang singkat tanpa sempat memaklumkan kepada peguam. "Azzamudin telah dimarahi oleh salah seorang pegawai polis untuk mempercepatkan proses kawad cam itu malahan beliau dibuat seperti seorang pesalah. "Cara mereka mengadakan kawad cam itu adalah amat tidak profesional langsung dan beliau ditakut-takutkan dengan cara yang sangat tidak beretika," ujar Farhana. Katanya lagi, pihaknya sememangnya menjangkakan Azzamudin tidak akan dapat mengecam kerana kejadian tersebut berlaku dalam keadaan yang amat pantas dan gelap, Kata Farhana sudah tentu keadaan ini menyukarkan Azzamudin untuk membuat pengecaman sama ada polis yang memukulnya itu berpakaian seragam atau tidak. "Kawad cam ini adalah daripada laporan polis pada 26 Mei lalu yang mana Azzamudin membuat laporan berhubung beliau dipukul semasa arwah Aminulrasyid mati ditembak polis. "Proses itu dijalankan oleh pegawai polis, ASP Shanmugam daripada Ibupejabat Polis Bukit Aman," Dalam pada itu, bapa Azzamudin, Omar yang juga merupakan pegawai polis dari ibu pejabat polis yang sama melarang anaknya menemui media selepas kawad cam itu dengan alasan tidak mahu media memainkan isu tersebut kerana beliau baru sahaja 'selesa' untuk bekerja. -SK Ulasan GB Pada hemat GB, polis sengaja memaksa secara tergesa-gesa saksi kes adik Aminulrasyid melakukan kawad cam untuk kelirukan saksi berkenaan. Dari perspektif rakyat umum, nampaknya ia seperti satu grand design polis melakukan cover-up terhadap pembunuh celaka tersebut yang telah menyebabkan kematian Aminulrasyid. |
| Sarawak : Semua Bekerja Keras Untuk Tamatkan BN Pimpinan Taib Mahmud Posted: 07 Jul 2010 01:03 AM PDT Sarawak yang kini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya negeri dalam waktu terdekat ini menyaksikan kemunculan parti baru, yang ditubuhkan oleh bekas penyokong Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud yang sudah memimpin hampir tiga dekad.Bagaimanapun entiti baru ini — Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERS) — belum didaftarkan lagi. Pemimpin-pemimpin parti itu terdiri daripada bekas anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Taib, sekali gus dilihat sebagai bakal memberi cabaran kepiminan beliau dalam pilihan raya negeri. Parti ini berhasrat untuk meletakkan calon di kesemua kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, negeri yang dianggap selamat bagi Barisan Nasional (BN) sekian lama. Bagaimanapun PERS berkata, mereka bersedia bekerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat untuk mewujudkan ikatan yang lebih kukuh. Pemimpin-pemimpin PERS berkata mereka sedang mengendalikan aktiviti mereka sebagai sebuah entiti perniagaan — Projek Ekonomi Rakyat Sarawak Sdn Bhd. Setiausaha penaja PERS, Mohammad Nor Bakri memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya sudah mengenal pasti calon-calon untuk diturunkan di kesemua 71 kerusi yang bakal dipertandingkan. Kata beliau, kebanyakan calon berpotensi adalah dari PBB. "Kami menubuhkan parti untuk berjuang bagi hak-hak ekonomi rakyat Sarawak dan mahu berjuang demi kepentingan golongan yang tanah mereka telah dirampas," kata Mohammad Nor. Katanya, beberapa calon yang berpotensi parti itu telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan salah seorang daripada mereka telah kehilangan 99 ekar tanah, yang diambil untuk ditanam kelapa sawit. Penubuhan parti itu akan diumumkan secara rasmi di Kuching, Sabtu ini. -TMI |
| You are subscribed to email updates from Kelab Greenboc To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

.jpg)




Tiada ulasan:
Catat Ulasan