Jumaat, 9 Julai 2010

.

.


Lambaian Nusa, Bukan, Dosa!

Posted: 08 Jul 2010 07:00 PM PDT

Wakil Rakyat Oportunis Tipu Orang Kampung

Malam tadi saya jumpa kawan lama yang sama-sama bekerja keras untuk menaikan seorang manusia bagi mencapai cita-citanya dalam dunia politik. Semasa wakil rakyat berkenaan 'jelepek' macam anjing buruk telinga, kawan inilah yang jadi hamba abdinya, mengangkutnya ke sana ke sini masuk kampung keluar kampung. Dialah menjadi teman bercakap, berbual dan juga minum kopi dan popia panas di hotel Perdana di Kota Bharu.

Saya selalu melihat dia kerana saya juga bersama individu berkenaan. Baik saya atau kawan ini membantu manusia ini atas dasar kesian mengenangkan nasibnya yang tidak ada kuasa, dicemuh dan dibenci orang serata tempat kerana perangainya dan hidup macam kera sumbang selepas dibuang oleh partinya.

Saya kira kawan ini juga sama seperti saya. Suka memikul biawak berlumut untuk dibersihkan sebelum dilepaskan semula dalam kloni awam. Prinsip saya selagi manusia itu tidak berbuat jahat di depan kita dan melibatkan diri sendiri, sejuta kali kejahatan dikatakan orang saya tidak akan terima. Itu semua adalah cocokan syaitan dan hasutan bagi merenggangkan kita dengan seseseorang.

Bukan tidak tahu dan tidak dengar kejahatannya yang dicerita dan diperkatakan orang tentang manusia ini, sudah padat telinga mendengarnya. Baik saya dan kawan berkenaan mendengarnya, malah tahu lebih daripada itu mengenai diri manusia itu. Kata si kawan itu (maaflah), berapa panjang 'rambut-rambut' kecil dalam kain orang itu juga dia tahu. Bidalan itu bagi menggambarkan dia rapat dan intim dengan manusia berkenaan.

Namun dia tidak peduli dan terus membantunya. Berkat bantuan dan sokongan akhirnya manusia itu berjaya. Kedudukannya terpulih semula. Dia dilihat hebat kerana dalam orang tidak sangka boleh berjaya dapat berbuat demikian. Selepas dia menang maka ramailah kawan-kawan mengerumuninya. Yang dulu pandangnya macam tengok anjing, kini terbelalak mata melihatnya bagaikan seekor gajah hitam yang perkasa dapat memberi wang bergunung.

Kawan yang dulu membantu siang dan malam mulai berjauhan dan dijauhi. Tetapi kawan itu tidak kisah, asalkan dia selamat dia sudah gembira dan bahagia. Umpama kita yang diminta tolak kereta mampus, tidak mengapa kita ditinggal asalkan kereta hidup dan terus berjalan. Biasalah si penolak kereta mogok yang dapat hanya asap dan habuk saja.

Tetapi katanya apa yang beliau sedih bila manusia itu tidak berubah, tidak insaf dan kembali menjadi 'mangak' dan ego seperti dulu. Ini yang dia kesal. Dia merasakan bantuan yang diberikan itu sia-sia saja kerana tidak dapat mengislahkan seorang manusia.

"Tidak mengapa dia tak ingat kat kawan (saya), itu tak penting. Yang penting dia sudah berjaya, tetapi janganlah buat perangai lama yang membawa beliau berada dalam keadaan hina. Kawan (saya) tidak mahau dia hina semula," kata kawan itu bersedih.

Banyak yang kawan itu bercerita dan meluah perasaan, maklumkan sudah tiga tahun tidak berjumpa dengan saya. Tidak elok kalau tulis semua apa yang dihemburkan. Tetapi apa yang hendak diceritakan di sini bagaimana sikap munafik dan oportunis manusia berkenaan makin menjadi-jadi.

Baru-baru ini berlaku kebakaran di bandar di mana manusia itu menjadi wakil rakyat. Biasalah kalau ada orang susah ditolongnya. Jadi menurut kawan itu manusia ini juga nak tunjuk baik membantu mangsa kebakaran berkenaan. Empat orang keluarga Cina terlibat dalam tragedi itu. Satu keluarga diberi RM10,000 seorang.

Rakyat yang tidak tahu, suka dan bangga dengan wakil rakyat berkenaan. Mereka beranggapan wakil rakyat itu menghayati perangai Umar Ibnu Aziz. Sanggup menghabiskan wang sebanyak itu. Para pengangguk dan peminum teanya di kedai kopi dan cafe hotel bukan main lagi, manggak sampai pipi tinggi daripada hidung beranggapan bos mereka itu ada duit banyak dan baik hati.

Kesimpulan mudah mereka, kalau wakil rakyat itu tidak ada wang masakan dia boleh berikan satu keluarga RM10,000.

Cerita sebenar di sebalik wang RM40,000 itu tidak siapa tahu. Tetapi si kawan ini panjang kaki dan banyak 'saing sobat' yang bercerita dengannya. Akhirnya pecah tembelang wang RM40,000 yang manusia itu berikan kepada mangsa kebakaran bukan wangnya dari kocek atau elaunnya RM12,000 hingga RM15,000 sebulan tetapi wang dari sport toto. Wang dari syarikat judi yang taukehnya berada di Kuala Lumpur yang disumpah malam dan siang.

"Kawan tidak belawak (bohong), kawan tahu bila mana Cina MCA yang bagi tahu. Cina MCA itu kini pening kepala kerana sepatutnya wang itu diberi melalui dia tetapi 'disamun' oleh manusia itu dan berikan kepada mangsa kebakaran," cerita kawan itu.

Oh! Sebenarnya kejadian itu tidak hairan. Selalu berlaku begitu orang politik suka berak atas pusu. Atau bersikap macam pelanduk nak berak besar bila tengok gajah besar besar. Dia tidak tahu kapastitinya tak setanding namun cuba ditunjukkan juga. Namun kerana cerdik (bukan cerdik tak malu muka), dia sebat dan sapu sahaja untuk dijadikan modal politiknya tak kira wang halal atau haram.

Sebenarnya masih boleh dimaafkan atas kelicitan itu. Orang boleh menerimanya. Namun bagi mereka yang kenal orang ini dan dengar bagaimana dia melalak bencikan wang judi, menafikan tidak ada sher dalam syarikat judi, saman orang itu dan orang ini yang dedah dia ada sher, alih-alih akhirnya ambil wang judi untuk dijadikan modal politik supaya orang tenguk kita baik dan dermawan. Tipu orang kampung bolehlah...

Kawan, sebenarnya saya tidak hairan dengan kejadian itu, ia kecil saja. Masih ada dosa paling besar yang dilakukan orang politik untuk dijadikan modalnya. Kita bercerita kemudian bila sampai masa nanti. Titik. [wm.kl. 10:00 am 09/06/10]

Isu Permit Suara Keadilan

Posted: 07 Jul 2010 11:06 PM PDT

Lebih Baik PKR Berlembut dan Akur

MAAFLAH ini saya nak cakap sedikit fasal akhbar Suara Keadilan yang kini permitnya masih belum disambung lagi ekoran kontroversi menimpa akhbar berkenaan selepas ia melaporkan berita spekulasi Felda bankrup baru-baru ini.

Nampaknya pucuk pimpinan PKR yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penerbitan akhbar berkenaan beriya untuk menerbitkan akhbar berkenaan walaupun berdepan dengan masalah. Amaran dan risiko yang disebutkan oleh pihak KDN seperti tidak sedikitpun digeruni.

Menurut Pengarah Strateginya, Tian Chua yang bertanggungjawab menguruskan penerbitan itu menegaskan akhabr berkenaan tetap akan dicetak. Mulanya ia hendak dicetak semalam tetapi disebabkan masalah tiada pencetak yang berani menyebabkan ia tertangguh. Terbaru seperti mana dilaporkan, akhbar itu sudah dicetak 100,000 dan akan diedar dalam kadar terdekat.

Saya tidak berhak untuk bercakap, apa lagi saya juga ada permit akhbar sendiri nanti dikatakan sebagai ada kepentingan tertentu. Tetapi rasanya tidak salah kalau saya memberi pandangan untuk kebaikan bersama berdasarkan sedikit pengalaman menguruskan permit sebuah akhbar.

Sesiapa pun tidak senang dengan tindakan KDN itu. Kerana ia menyusahkan akhbar berkenaan dan merugikan penerbitnya. Selain itu pemberhentian itu melibatkan kerugian. Paling jelas ialah beberapa orang akan kehilangan pekerjaan dan ini menyusahkan hidup mereka anak beranak.

Saya percaya mereka yang berkerja dengan akhbar berkenaan bukan 100 peratus pejuang tetapi mereka berkerja kerana di situ ada peluang pekerjaan. Apabila berlaku sesuatu ke atas penerbitan itu ia turut membebankan mereka.

Makanya pihak Suara Keadilan harus sama melihat kepada implikasi itu dan bukan terlalu ghairah mempolitikkan keadaan yang berlaku sehinggakan meragut kepentingan sendiri.

Dalam hal ini pada saya sebaiknya pihak PKR harus bersikap terbuka dan menerima juga syarat-syarat yang dikenakan oleh KDN. Seharusnya PKR dan mana-mana parti politik juga bersyukur atas kesediaan kerajaan mengeluarkan permit kepada mereka. Sebenarnya syarat yang dikenakan memang ketat terhadap permit akhbar yang melibatkan parti politik. Tetapi tindakan KDN tidaklah sekejam syarat berkenaan. Soal birokrasi itu adalah biasa, saya sendiri juga turut sama merasainya.

Misalnya kalau mengikut syarat permit akhbar parti ia dikeluarkan dengan syarat ketat misalnya edaran terhad kepada ahli saja. Ia tidak boleh diedarkan secara terbuka seperti akhbar lain. Tetapi apa yang berlaku hari ini batas dan syarat itu sudah lama dicerobohi. Sebab itu kita boleh lihat akhbar yang menjadi lidah parti ini di mana-mana sahaja.

Saya cukup yakin pihak pengurusannya sedar akan hakikat ini. Kerana itu bila ia diberikan sedikit kebebasan seharusnya ia disyukuri ataupun dijaga dengan baik termasuk tidak mencabar atau bersikap degil dengan KDN. Apa yang harus difahami sebagai agensi kerajaan KDN juga tentulah ada maruah dan wibawanya tersendiri dan tanggungjawab mempertahankan kerajaan.

Tetapi nampaknya kebebasan dan syarat-syarat itu tidak dipatuhi seperti mana dikehendaki.

Sebaiknya bagi mengelakkan kontroversi yang merugikan diri sendiri dan menyakiti pihak lain PKR harus bersikap terbuka dan sedarhana dalam soal ini. Jangan jadikan soal kelambatan penyambungan permit (renew) itu sebagai alasan menyerang KDN. Apa lagi kalau dijadikan modal politik lebih memburukkan keadaan. Tindakan itu tidak ada untungnya. Saya rasa pihak KDN bukanlah kejam sangat. Kalau semua prosuder dituruti tidak ada sebab dan alasan kenapa permit itu tidak disambung.

Sekiranya PKR terus membuat provokasi dan mengajak orang ramai menyerang dan mempertikaikan tindakan itu serta degil dengan arahan ia boleh mengusutkan lagi keadaan. Tindakan mengikut emosi itu menyebabkan KDN juga akan mengikut emosi. Sekiranya ikut beremosi dan tegas kerugian besar ialah kepada PKR kerana parti itu akan hilang satu wadah untuk orang ramai mengikuti perkembangan aktiviti politik mereka.

Apakah PKR terutamanya Tian Chua tidak boleh berlembut dan akur dalam hal ini. Tidak ada gunanya kalau Tian Chua tetap berkeras untuk menerbitkan akhabr itu seperti mana yang dikatakan itu.

Adalah silap kalau Tian Chua berharap dengan provokasi dan kedegilan itu beliau mengharapkan rakyat akan lebih ramai menyokong PKR. Mungkin strategi itu betul tetapi pada saya ia tidak berapa bijaksana. Kesan dari tindak balas atas tindakan KDN itu saya kira tidak sebesar kesan Suara Keadilan berada di pasaran. Bagi saya lebih baik Suara Keadilan terus diterbit walaupun dengan kawalan ketat daripada ia dihentikan terus.

Sebagai mentimun PKR atau mana-mana parti politik harus sedar realiti itu. Suka tidak semua pihak kena akur bahawa parti yang menjadi kerajaan hari ini masih BN. Besok setelah Pakatan Rakyat memerintah mereka boleh memansuhkan apa juga peraturan dan birokrasi yang berlaku demi untuk lebih adil dan saksama lagi. [wm.kl 5:00 pm 09/06/10]

Susupan Pagi

Posted: 07 Jul 2010 08:37 PM PDT

Zulkifli Nordin Yang Terus Busuk

KEBUSUKAN itu kalau sudah terlalu sangat ia tidak dapat disembunyikan lagi. Usahalah macam mana sekali pun hendak melindunginya ia tetap juga akan berbau. Sebaliknya makin ditutup ia makin melarat. Sudah menjadi sunatulah, bahawa kebatilan itu tidak boleh ditegakkan.

Begitulah apa yang dapat disimpulkan dengan sikap dan tindak tanduk ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin. Busuknya bukan setakat memualkan tetapi sudah ke peringkat memuntahkan. Semasa berlaku tsunami di Aceh dulu saya tiba ke negeri berkenaan ketika mayat bermembekak dan bergelimpangan. Bau mayat Tuhan saja yang tahu. Betapa pun busuk namun bau itu terpinggir juga dari deria rasa dan ingatan saya. Namun kebusukan Zulkifli Nordin ini tidak mahu beralih dari saraf pengalaman saya mengenainya.

Semalam di parlimen tanpa didesak dan diminta sesiapa dia sendiri mengakui berbohong kepada orang ramai di sepanjang kerjaya politiknya. Dia mengakui berbohong mengenai Anwar Ibrahim diracun dengan arsenik. Dia memberi tahu dunia segala apa yang dilemparkan kepada kerajaan sebelum ini ada strategi yang diatur dan disusun oleh Anwar. Nauzubilahimina zalik.

Dia mengakui dialah yang membawa isu Anwar dirancun dengan arsenik. Dia mengakui dia ke depan dalam isu berkenaan. Dakwaan itu betul, cuma yang beluknya dia meletakkan kesalahan itu kepada Anwar Ibrahim yang membuat strategi itu. Dia kata dia disuruh berbuat demikian. Kalau benar Anwar menyuruh dari situ orang sudah dapat merasakan betapa ahli parlimen ini seorang yang pandir dan tidak bertindak mengikut akal yang sihat.

Soalnya benarkan Anwar yang menyuruhnya?

Apa yang diperkatakan Zulkifli dulu, kini dan selamanya (pinjam slogan Umno) adalah temberang besar yang mungkin sudah tercatat di langit akhirat mengenai Zulkifli Nordin.
Catatan ini kabur untuk dilihat hari ini tetapi ia akan menjadi besar dan terang bersama segugusan pembohongan beliau yang akan datang dari masa ke semasa. Tengoklah...apa yang berlaku seterusnya.

Hari ini dia mengakui dia silap dan telah menyesali atas apa yang berlaku. Betulkah dia menyesali dan insaf. Saya yang mengenali dia secara peribadi tidak fikir dia akan insaf. Kalau dia benar-benar kesal dan sudah bertaubat dia tidak permainankan Tuhannya. Kerana hari ini dia terus galak dan mencipta pembohongan demi pembohongan baru bagi menghidupkan aksi politik munafiknya. Semoga Tuhan akan memaafi saya kerana pernah membawa manusia ini berteleku di hadapan Kabbah 12 tahun lalu.

Apakah wakil rakyat bebas ini sudah memohon keampunan atas apa yang berlaku? Mungkin! Tetapi bila sekali lagi dia menyalahkan Anwar terhadap tindak tanduknya itu, menyebabkan kita keliru apakah dia insaf atau pun bertaubat atas perbuatan beliau itu.

Apa yang berlaku ke atas Zulkifli itu umpama tangki najis di belakang rumah yang sudah penuh dengan tahi. Ia sudah sebak dan melimpah. Walaupun ditutup tetapi ia membuak-buak ke atas juga. Kita percaya Zulkifli cuba menutup segala kebusukan sejak beliau berpaling tadah dan pelahap dengan wang dari UBN dan demi mengekalkan kedudukannya sebagai ahli parlimen.

Tetapi kerana ia terlalu banyak menyebabkan tidak mampu melindungi. Beranikah dia menanfikan beberapa perjanjian dan persetujuan yang beliau sebut dan buat dengan Najib Razak, dan seorang menteri? Saya dengar dan saya ingat semuanya. Buat masa ini saya tidak tergamak untuk memperkatakannya.

Umpama tangki najis tadi ia melimpah dan terkena ke atas batang hidungnya sendiri. Sebab itu saya kata dia ini umpama bunga kembang pagi saja. Molek dan cantiknya setakat pukul lapan, tetapi akan kecut menjelang tengah hari dan akan hancur bila tiba waktu Asar. Kini periodenya untuk menempuh kehancuran. Habis saja penggal parlimen ke 12 ini maka masuk kuburlah Zulkifli bersama geng-geng bebas yang lain. Usah risau saat itu nanti sama-samalah kita mentalqinkan mereka.

Mengenai kebejatan dan kebajiangan politik beliau ini saya sudah meramlkan setahun sebelum beliau membuat onar melarikan diri. (Baca semua posting saya mengenainya). Malangnya ada penyokong Pakatan Rakyat yang otak kemetot menuduh saya membuat fitnah. Hari ini dunia mengetahui apakah yang saya spekulasi itu fitnah atau apa?

Teringin saya mendengar ulasan si otak kemetot berhubung dengan kedudukan Zulkifli Nordin hari ini ataupun tentang maruah dan wibawa politiknya. Apakah dia masih balik ke Kulim dan masih memegang tongkat di mimbar menyampaikan khutbah Jumaat? Atau pun masih mengadakan ceramah dan kuliah agama di serata surau dan pejabat kerajaan dan swasta dengan mendapat wang seratus dua yang kononnya untuk diberikan kepada parti? Ceritalah.

Dengan gelagat dan kebusukan yang Zulkifli lumurkan sendiri pada dirinya itu, marilah kita tutup kisah si budak kecil ini. Biarlah dia bermain dengan guli-guli politiknya di bawah rumah. Penyokong Pakatan Rakyat khasnya dan rakyat umumnya jangan terkilan dan sedih atas apa yang berlaku. Sama-sama kita dengar suatu hari nanti mengenai berita Zulkifli Nordin terlekat biji guli di tengkok dan akan diketawakan di segenap jalan yang dilewatinya. [wm.kl. 12:00 t/hari 09/07/10]

Tiada ulasan: