"BERANI KERANA BENAR!" |
- Syaaban masa perbaiki diri bagi menghadapi Ramadan
- Tiada lagi akhbar alternatif milik pembangkang?
- Enam sebab kenapa perlu abdikan diri kepada Allah
| Syaaban masa perbaiki diri bagi menghadapi Ramadan Posted: 16 Jul 2010 01:58 AM PDT DARIPA DA Aisyah, katanya: Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa Baginda akan berpuasa seterusnya. Dan Baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya pada Syaaban. (Hadis riwayat al-Bukhari)Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang Arab pada bulan itu akan berhijrah ke tempat lain untuk mencari air sehingga ke gua-gua. Ada mengatakan, Syaaban tanda pemisah yang memisahkan Rejab dan Ramadan. Dapat disimpulkan, pengertian Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan memasuki Ramadan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan, sesungguhnya Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, Syaaban pula adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan dan Ramadan adalah masa untuk menerangkan hati dan membersihkan jiwa. Antara amalan digalakkan pada Syaaban adalah memperbanyakkan puasa sunat. Kitab Durratun Nasihin ada menyebut Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala 70 nabi dan seperti orang yang beribadat kepada Allah selama 70 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit. (Dipetik daripada kitab Zubdatul Waizhin) Bertaubat dan meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan al-Quran kerana malam itu adalah malam yang amat mustajab dan penuh dengan rahmat. B/H |
| Tiada lagi akhbar alternatif milik pembangkang? Posted: 15 Jul 2010 08:56 PM PDT Terlalu banyak isu-isu semasa yang menarik perhatian untuk disoroti oleh penulis pada minggu ini. Berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Me nteri, Muhyiddin Yassin bersuara lunak, mengatakan Umno sedia untuk bertemu dengan Pas bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Katanya walaupun usaha itu sering kali menemui kegagalan ia tidak pernah mematahkan semangat Umno.Penulis mengambil sedikit masa dan ruang untuk bersama dengan penggiat media membicarakan tindakan kerajaan tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar-akhbar milik parti-parti pembangkang Suara Keadilan milik PKR, Harakah milik PAS dan Roket milik DAP. Selepas PAS bersama Barisan Alternatif mencapai kemenangan gemilang dalam pilihan raya umum 1999, tanpa sebarang sebab, tiga bulan selepas itu, permit penerbitan Harakah dikurangkan, daripada diterbitkan dua kali seminggu menjadi dua kali sebulan. Parti Keadlilan Rakyat (PKR) telah dinafikan hak mendapat permit pernitan akhbarnya bertahun-tahun lamanya sebelum mendapat permit penerbitan terhad beberapa tahun lepas. Permit Suara Keadilan tidak diperbaharui, manakala nasib Harakah hanya mengharapkan ehsan menteri. Dalam masa seminggu Harakah terpaksa menjawab dua surat tunjuk sebab. Dengan perangkap, permit penerbitan tamat pada 7 Julai lalu memaksa Setiausaha Agung, PAS Datuk Mustafa Ali dan Kamaruddin hadir ke KDN bagi memberi penjelasan berhubung surat tunjuk sebab pertama KDN bertarikh 8 Julai lalu. Biarpun sudah diadakan pertemuan kedua dua pihak, KDN menyatakan mereka masih memerlukan penjelasan bertulis kedua dari Harakah berhubung persoalan lambat menghantar lapan salinan Harakah kepada KDN setiap isu, menjual kepada bukan anggota PAS dan menjual di luar daripada tempat yang dibenarkan. Pada tahun lepas pun permit Harakah digantung seketika ketika berhadapan dengan pilihanraya kecil Bukit Gantang. Permohonan membaharukan permit pada tahun ini telah dilakukan oleh pengurusan Harakah sejak beberapa bulan lepas. Tindakan ini sengaja dikenakan oleh pihak pemerintah bagi "mendera" parti-parti pembangkang agar tidak menyerang kerajaan secara keterlaluan. Harakah dan Perjuangan Lutfi Keadaan ini memaksa, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang sedang bercuti panjang berikutan pembedahan pintasan jantung dua bulan lalu sehingga hujung bulan Julai ini "memaksa" diri untuk turun padang dan turut berjuang melalui penulisannya dalam Harakahdaily dan Harakah Cetak apabila mendengar khabar duka bahawa permit penerbitan Harakah belum diperbaharui. Baginya, "Akta Mesin Cetak lebih gawat berbanding ISA kerana memperuntukkan beberapa perkara yang tidak masuk akal apatah lagi dalam era dunia tanpa sempadan hari ini". Beliau menyebut, "resah saya memikirkan karenah tidak habis-habis oleh KDN yang diberi kuasa mutlak oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Tidur saya kini kerap terganggu, bukan lagi disebabkan menahan sakit di dada atau perit di kakit, tetapi "sakit hati" dengan kesombongan regim Umno-BN. Di kala dunia berbicara soal proses pendemokrasian sejagat, Najib Razak memilih jalan lain, undur ke belakang dan akan diketawakan masyarakat antarabangsa." Akta Mesin Cetak dan Penerbitan telah diperketatkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali di zaman pemerintahannya, 1984 dan 1987. Akta ini cukup ditakuti oleh penerbit dan pengamal media kerana menafikan segala ruang untuk semakan kehakiman, sekali gus memberikan kuasa mutlak seluas langit dan bumi kepada Menteri Dalam Negeri boleh menggantung, menyekat dan menyambung atau menghentikan mana-mana permit penerbitan sesebuah akhbar sesuka hati atas nama mengikut budi bicaranya. Selain akta mesin cetak dan penerbitan ini, pemerintah berasa selesa dengan pelbagai akta dan peraturan lain yang mengongkong akan terus menindas demi survival kuasa mereka seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan lain-lain. Ramai menunggu apa langkah terbaik daripada pimpinan tiga parti pembangkang terbesar dalam negara ini, PAS, PKR dan DAP akan buat, apabila hayat organ penerangan parti masing-masing diancam dengan berbagai kerenah birokrasi. Banyak pihak mengharapkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengambil perhatian serius dan segera isu ini. Jika di negara maju lain, misalnya Britain, isu berkaitan sekatan penerbitan akhbar boleh menyebabkan kerajaannya tumbang, tetapi setakat ini di Malaysia keadaan seperti "tidak berlaku apa-apa". Melalui buku Strategi Membanteras Korupsi, Jeremy Pope dalam bab Masyarakat Sivil, menukilkan ungkapan Woodrow Wilson: "Kebebasan tidak pernah datang dari pemerintah. Kebebasan adalah hasil perjuangan penganut-penganutnya." Dalam tulisannya, Ahmad Lutfi menyebut, kebebasan tidak akan datang menggolek, ia mesti diperjuangkan dengan segala kekuatan dan potensi yang ada pada kita. Soalnya, bagaimana dengan kita, apakah sekadar memerhati atau mengambil masa terlalu lama untuk bertindak menuntut hak yang terancam ini? Baginya, cukup memperbodohkan kita. KDN dengan peruntukan luarbiasa akta berkenaan sekali lagi datang menganggu. Dakwaan yang dikenakan adalah kitaran semula surat-surat lama KDN. Sebelum itu, macam-macam peraturan baru, sama ada dari segi pengedaran, jualan dan juga kandungan Harakah dikuatkuasakan. Kebanyakannya bercanggah dengan logika dan rasional. Malah pengurusan Harakah terpaksa membazirkan bukan sedikit wang untuk menyediakan rak khas kepada peruncit, seperti diarahkan KDN. Dalam kenyataannya, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat memboikot semua media pro-BN jika permit untuk akhbar pro-Pakatan tidak diperbaharui. Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta KDN atau kerajaan mengambil pendekatan menyaman Harakah jika ada apa-apa kesalahan yang dibuat bukannya membatal atau menarik permit akhbar itu. Manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pula menganggap tindakan kerajaan ini sebagai satu pencabulan hak kebebasan bersuara, mengeluarkan pendapat dan mendapatkan maklumat sepertimana yang termaktub dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam dilaporkan media internet sebagai berkata, beliau berasa kecewa dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang enggan memperbaharui permit penerbitan ahkbar rasmi KEADILAN, Suara Keadilan dan juga akhbar rasmi PAS, Harakah serta pengharaman buku kartun berunsur politik yang diterbitkan oleh Zulkifli Anwar Ulhaque atau Zunar. Sasterawan Negara, A. Samad Said ketika mengulas tindakan kerajaan tidak memperbaharui dan memberhentikan pemberian permit penerbitan kepada lidah rasmi KeADILan, Suara Keadilan, awal bulan ini, beliau menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu berat sebelah dan tidak memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat yang berlainan dengan pihak pemerintah Tindakan menggantung permit akhbar-akhbar milik parti pembangkang oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak menampakkan ciri-ciri rakyat didahulukan, prestasi diutamakan berbanding dengan kerajaan Islam Hadhari pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lebih terbuka kepada media http://kalamperantau.wordpress.com/ |
| Enam sebab kenapa perlu abdikan diri kepada Allah Posted: 03 Jul 2010 06:52 PM PDT Oleh Mohd Zawawi Yusoh KETIKA Rasulullah mengembala kambing, tidak jauh daripadanya ada sekumpulan remaja sedang melepak, berborak dan ketawa. Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah: "Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?" Rasulullah dengan tegas menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu." Jawapan Rasulullah itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan sehingga melalaikan itu merosakkan. Di sebalik jawapan Nabi yang agung itu ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadah kepada Allah. Kadang kala ada orang melepak sehingga lupa menunaikan solat. Mereka bermain bola di waktu petang tanpa perasaan malu ketika azan berkumandang. Sudahlah begitu, padang bola pula sebelah masjid. Haiwan ternakan seperti kambing lembu pun balik ke kandang tetapi sesetengah kita kadangkala asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi selekoh. Inilah yang dilarang Nabi. Waktu kerja ada, waktu rehat ada, masa tidur ada, masa makan ada, masa main ada, tetapi sayang waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual. Kadang kala ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadah? Sibuk. Kalau sempat buatlah, jika tidak sempat qada saja. Justeru, remaja perlu memahami mengapa dan alasan mengapa kita beribadah. Di sana ada enam alasan kenapa kita mesti mengabdikan diri kepada Allah. Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau sesibuk mana sekalipun kita. Pertama, tujuan kita dicipta Allah adalah untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah dalam Surah Az-Zariyaat ayat 56 yang bermaksud: "Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya beribadah kepadaku." Jika tugas lain kita boleh ingat dan prihatin, maka tugas ibadah lebih utama lagi. Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma pula, sedangkan zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar. Pada hujung bulan bil elektrik, bil telefon perlu dibayar, jika tidak dibayar kena potong. Kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan jika kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tak beribadat, matilah. Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh. Firman Allah mengingatkan kita di dalam Surah al-A'raaf ayat 72 yang bermaksud: "... ketika Allah berfirman bukankah Aku ini Tuhanmu. Mereka menjawab bahkan betul." Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul adalah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat apa lagi kita. Firman Allah yang bermaksud: "...dan sesungguhnya kami mengutus setiap umat itu rasul untuk menyeru sembahlah Allah dan jauhilah taghut." (Surah an-Nahl ayat 36). Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain. Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti kita di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka kepada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan. Ini terbukti dalam firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah sesungguhnya aku amat takut, jika aku menderhakai Tuhanku akan azab hari kiamat." (Surah al-Anaam ayat 15). |
| You are subscribed to email updates from "BERANI KERANA BENAR!" To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |



Tiada ulasan:
Catat Ulasan