Ahad, 18 Julai 2010

Ajijoi

Ajijoi


Jimat subsidi RM754 juta tetapi perbelanjaan JPM cecah RM4 bilion

Posted: 18 Jul 2010 05:36 AM PDT

JPM terima RM4 bilion biaya operasi 2010

Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak hari ini mendedahkan telah memperuntukkan dana sejumlah RM3.956 bilion untuk membiayai operasi Jabatan Perdana Menteri (JPM) tahun ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen DAP Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, peningkatan kos adalah ekoran langkah mewujudkan "agensi-agensi baru" dan juga jawatan-jawatan sokongan.

Bilangan kakitangan awam di Jabatan Perdana Menteri juga meningkat daripada 21,045 orang pada 2003 kepada 43,544 orang tahun ini.

"Menghabiskan RM4 bilion bagi hanya satu jabatan kerajaan menelan kos lebih lima kali ganda berbanding pembiayaan kerajaan negeri Perak.

"Negara berhadapan dengan defisit sejak 15 tahun lalu, kita masih mempunyai jumlah tenaga kerja sektor awam paling ramai di dunia dan begitu juga anggota Kabinet," kata Nga.

Wakil rakyat Taiping ini mendakwa tujuan beberapa jabatan kerajaan dalam Jabatan Perdana Menteri sendiri memerlukan penjelasan lanjut.

"Salah satu agensi yang diwujudkan ialah menguruskan pejabat bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi? Sejak bila bekas perdana menteri-perdana menteri memerlukan pejabat? Jadi, apabila Najib berhenti daripada menjadi perdana menteri, kita perlu mewujudkan satu pejabat bagi beliau?

"Bagaimana dengan Tun Dr. Mahathir? Di mana pejabat beliau? Adakah kita memerlukan satu lagi pejabat bagi beliau?" kata Nga.

Peruntukan belanja mengurus JPM tahun ini telah meningkat melebihi sekali ganda daripada 2003 berikutan pertambahan agensi di bawah pentadbirannya.

Ia termasuk kemasukan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi, dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ke bawah tanggungjawab jabatan itu pada tahun lepas.

Selain itu, pewujudan agensi baru termasuk Urusetia Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Unit Kerjasama Awam Swasta, Pejabat Urusetia Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah (Ahmad Badawi), Sekretariat Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Pejabat Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara dan Unit Pelaksanaan dan Prestasi (Pemandu), telah meningkatkan jumlah kakitangan jabatan itu.

Peruntukan perbelanjaan mengurus JPM tahun ini adalah sebanyak RM3.9 bilion berbanding 2003 dengan RM1.5 bilion untuk perbelanjaan, malah peruntukan belanja mengurus JPM tahun lepas terpaksa ditambah sebanyak RM130 juta daripada peruntukan asal yang diluluskan iaitu sebanyak RM3.6 bilion, dengan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion, katanya.

Sebelum ini, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi terletak di bawah bidang kuasa JPM pada 2004 sebelum diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2008 manakala LPKP pula di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum kedua-duanya dirombak dan diletakkan di bawah JPM pada tahun lepas.

Nazri berkata dengan ini jumlah kakitangan itu untuk tahun ini adalah seramai 43,544 orang di mana daripada jumlah tersebut, kumpulan pengurusan tertinggi adalah seramai 384 orang, pengurusan dan profesional seramai 9,736 orang dan sokongan seramai 33,424 orang.

Ini jauh lebih banyak berbanding dengan jumlah kakitangan jabatan itu pada 2003 yang hanya seramai 21,045 orang dengan 136 orang di bawah kumpulan pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional seramai 4,781 orang dan sokongan seramai 16,128 orang, katanya.

Selain itu, jabatan dan agensi sedia ada di bawah JPM turut mengalami pertambahan perjawatan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Permata), katanya. -TMI
Penjimatan subsidi diperuntukkan bagi sektor penting pendidikan dan kesihatan

Penyelarasan harga barang yang diumumkan hari ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini dan diperuntukkan untuk sektor lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini termasuklah pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa semua pelajar yang mendapat 9A+ dan pelajar miskin yang layak mendapat biasiswa dan meningkatkan perbelanjaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan seperti Klinik 1Malaysia, termasuk klinik bergerak 1Malaysia," kata beliau.

Selain itu, kerajaan akan meneruskan Projek Penyeragaman Harga Barang Perlu di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban rakyat luar bandar, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Najib hari ini mengumumkan bahawa subsidi bahan api, khususnya petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG), serta gula, akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat berkuat kuasa esok.

Katanya langkah itu diambil agar impaknya hanya minimum bagi individu keluarga tetapi memberi manfaat jangka panjang kepada negara.

"Pengurangan dalam perbelanjaan daripada perubahan ini akan membolehkan kita menggunakan dengan lebih baik sumber untuk keluarga, masyarakat dan pertumbuhan perniagaan," katanya.

"Kerajaan telah membuat keputusan yang sukar tetapi berani. Dengan memilih untuk melaksanakan perubahan subsidi sederhana, kita telah mengambil langkah penting dalam landasan yang betul ke arah mencapai komitmen kita bagi mengurangkan defisit fiskal tanpa membebankan rakyat Malaysia.

"Langkah-langkah ini bagi membuktikan tanggungjawab fiskal kita. Ia akan meningkatkan kestabilan kewangan Malaysia, sementara ia juga melindungi rakyat," katanya.

Ini menandakan permulaan pelaksanaan program rasionalisasi subsidi kerajaan yang banyak diperkatakan dalam usaha mengurangkan beban subsidi negara oleh kerajaan yang semakin meningkat, mengelak masalah penyeludupan dan menjadikan ekonomi negara lebih kompetitif.

Menurut Najib, penyelarasan harga bahan api dan gula ini adalah yang paling minimum berbanding dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana kerajaan mahu mengimbangi di antara kepentingan rakyat dan keperluan mengurangkan defisit negara.

Sebaliknya, beliau berkata subsidi bagi pelajaran dan kesihatan akan terus dipertahankan, dan walaupun berlaku penyelarasan, kerajaan masih lagi membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula.

Menurut beliau, keputusan ini dibuat kerajaan setelah mengadakan proses perundingan dengan rakyat, bukan hanya dengan pembuat dasar di Putrajaya, tetapi beribu-ribu rakyat Malaysia melalui Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, undian online, undian pesanan ringkas dan borang maklum balas menyatakan sokongan bagi menyemak semula pemberian subsidi secara berperingkat.

Najib berkata, pemberian subsidi perlu dikaji semula bagi mengelak herotan dalam dagangan dan memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak.

"Ia bagi memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak dan membolehkan banyak hasil negara digunakan untuk pelaburan yang akan memberikan faedah jangka panjang bagi keseluruhan rakyat.

"Keputusan untuk menyelaraskan harga minyak dan gula ini, khususnya diasaskan daripada tiga perkara penting, antaranya kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran, iaitu memberi faedah kepada pihak yang tidak layak seperti warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi.

"Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga kerana hampir dua kali ganda subsidi digunakan oleh sektor perniagaan.

"Selain itu, barangan yang bersubsidi tinggi, yang menjadikan ia paling murah di rantau ini, selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan," kata Najib.

"Cara penggunaan bahan bakar dan gula juga perlu ditukar kerana penggunaan yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kerajaan melindungi alam sekitar.

"Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan," kata Najib. – Bernama
Rakyat perlu menanggung beban dengan kenaikan harga barang demi 'jimatkan subsisi' dan selamatkan negara tetapi PM berbelanja besar untuk menaik dan selamatkan namanya.
Satuuu...MALAYSIA, Satuuu...MALAYSIA, Satuuu...MALAYSIA..........ditipu.

Protes naik harga dilancar 28 Julai

Posted: 18 Jul 2010 12:51 AM PDT

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (PROTES) akan melancar kempen bantahan terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) pada 28 Julai ini. Pelancaran bantahan tersebut akan berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur. Penyelaras PROTES, Dr Hatta Ramli berkata dalam mesyuarat hari ini, pihaknya turut membincangkan untuk mengadakan demonstrasi membantah tindakan kerajaan itu. Bagaimanapun, kata beliau, tarikhnya akan ditentukan dalam mesyuarat yang diadakan pada hari pelancaran kempen tersebut. "Pada hari itu (28 Julai) kita akan menyusun cadangan aktiviti seperti penyelerasan risalah dan maklumat dan tarikh 'road show' di seluruh negara.
"Kita juga akan mencadangkan tarikh demonstrasi yang dilihat sangat berkesan (sebagai bantahan kepada kerajaan)," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.

Turut hadir ialah pengarah strategi PKR Tian Chua, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan dan wakil Dewan Muslimat PAS Aiman Athirah, wakil Suaram dan Dema. Ditanya sama ada demonstrasi itu akan dibuat menjelang ramadan, Dr hatta berkata beliau lebih cenderung untuk mengumumkan pada hari pelancaran itu. "Kalau boleh kita nak buat segera. Kita tidak boleh berlengah-lengah sangat," katanya. Beliau menyifatkan demonstrasi itu sebagai acara kemuncak kempen bantahan itu terhadap keputusan kerajaan itu.

Menurutnya, ini kerana cadangan untuk mengadakan demonstrasi itu adalah susulan daripada kesan kejayaan bantahan rakyat terhadap Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan pemberian lesen judi sukan. Dr Hatta yang juga bendahari PAS berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk mengajak lebih banyak NGO bersama dengan gabungan itu membantah kenaikan harga barangan itu. "Kita akan gerakkan NGO, kesatuan sekerja dan pelajar untuk bersama-sama (dengan PROTES)," katanya. Beliau berkata, pihaknya akan menggerakkan bantahan di seluruh negara khususnya kepada kelompok yang menanggung kesan kenaikan harga barang seperti rakyat berpendapatan rendah dan rakyat yang menghadapi defisit perbelanjaan setiap bulan. "(Jadi) dasar anti orang miskin adalah sangat pelik (diamalkan) di sesebuah negara (seperti Malaysia)," katanya. Dr Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai berkata, kenaikan harga bahan bakar dan bahan makanan itu adalah "tidak wajar" semata-mata untuk menyelamatkan RM750 juta bagi menanggung membiayai projek klinik 1Malaysia dan program pendidikan oleh Permata. "Tidak wajar kalau kerajaan mengambil duit daripada rakyat untuk wujudkan program 1Malaysia," katanya. Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Arutchelvan berkata kesan kenaikan harga bahan api dan gula itu bakal dirasai oleh rakyat dalam beberapa minggu lagi dan lebih terkesan apabila menjelang musim perayaan bulan depan. Manakala Tian Chua mendakwa kenaikan harga bahan-bahan tersebut adalah satu permulaan dan menjangkakan bahan-bahan asas yang lain juga akan terbabit susulan potongan subsidi.

-malaysiakini

Jom beramai-ramai membantah kenaikan harga barang.

Pakatan dahului BN daftar pemilih baru, DAP terus agresif

Posted: 18 Jul 2010 12:37 AM PDT

PUTRAJAYA, 18 Julai — Mendaftar pemilih baru menerusi penolong pendaftar oleh parti politik muncul kaedah paling popular manakala Pakatan Rakyat (PR) lebih agresif mengambil peluang ini dengan bilangan didaftar oleh ikatan itu sepanjang enam bulan pertama tahun ini dua kali lebih besar berbanding Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, DAP masih jauh di depan dengan mendahului lebih dua dozen parti politik negara ini dalam mendaftar pemilih-pemilih baru menggunakan kaedah ini sepanjang tempoh yang sama.

PR juga mendahului pendaftaran pemilih di negeri-negeri yang dikuasai mereka selain mengatasi BN di Johor - yang dianggap sebagai kubu kuatnya selama ini.

'Kek' dikuasai DAP sebagai parti individu adalah sebanyak 32.5 peratus dan diikuti dengan dekat oleh Umno yang menguasai 32.3 peratus manakala PAS pula 22.7 peratus.

PR, yang terdiri daripada tiga komponen iaitu DAP-PAS-PAS, telah mendaftarkan 107,050 pemilih baru di negeri-negeri di Semenanjung.

Ketiga-tiga komponen itu lebih agresif di negeri-negeri di Semenanjung.

Perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diperoleh The Malaysian Insider menunjukkan, seramai 169,838 orang telah didaftarkan oleh parti-parti politik antara Januari dan Jun tahun ini.

Gandingan empat komponen BN di Semenanjung menyaksikan pendaftaran pemilih seramai 59,351 orang.

Prestasi BN ditambah hampir 3,500 lagi pemilih baru dari Sabah dan Sarawak. BN mempunyai 13 komponen termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Perangkaan SPR itu juga menunjukkan daripada 107,050 pemilih baru yang dikumpulkan oleh PR, separuh daripadanya disumbangkan oleh penolong pendaftar lantikan DAP.

Setakat Mei lalu daripada 2,248 penolong pendaftar yang telah diluluskan SPR, Umno mempunyai 664 orang, MCA (182), MIC (208), Gerakan (91), PAS (427), PKR (172), DAP (245), PPP (40) dan PRM (13).

PBS pula lapan penolong pendaftar, SAPP (lapan), UPKO (10), LDP (empat), PBRS (enam), PBB (88), SUPP (44), SPDP (29), PRS (lapan) dan Snap (satu).

PAS dan PKR masing-masing mendaftar 38,631 dan 13,098 pengundi baru antara Januari dan Jun lalu.

Di Semenanjung, MCA telah mendaftarkan seramai 2,897 pemilih baru dengan diikuti MIC 1,109, Gerakan (471) dan PPP pula empat.

Dalam usaha mengurangkan bilangan mereka yang layak tetapi masih belum mendaftar, yang dianggarkan 4.4 juta orang setakat ini, SPR menggunakan program 'outreach', kemudahan kaunter statik pejabat pilihan raya, penolong pendaftar melibatkan parti-parti politik dan wakil jabatan dan kaunter pejabat pos.

Penolong pendaftar parti-parti politik menyumbangkan lebih separuh pendaftaran pemilih baru.

Misalnya sepanjang bulan Mei tahun ini sahaja seramai 28,604 atau 55 peratus daripada 51,358 pendaftaran baru adalah datang daripada khidmat penolong pendaftar.

Analisis perangkaan itu juga menunjukkan meskipun pilihan raya umum Sarawak disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat, tetapi bilangan pendaftaran pemilih baru di negeri itu masih kecil berbanding negeri-negeri lain khususnya di Semenanjung.

Berdasarkan maklumat sebelum ini, daripada 4.4 juta yang belum setakat suku pertama tahun ini seramai 33.7 peratus dan 26 peratus masing-masing merupakan penduduk Sarawak dan Sabah.

Umno aktif di Sabah manakala PKR dan DAP memperlihatkan kesungguhan di Sarawak.

Dari segi pecahan negeri, sebahagian besar negeri-negeri yang dikuasai PR menyaksikan parti-parti politik ikatan itu menggunakan kemudahan penolong pendaftar untuk mendaftarkan lebih ramai pemilih baru iaitu di Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Kedah serta Perak.

Kelima-lima negeri itu dikuasai PR pada 8 Mac lalu tetapi Perak jatuh ke tangan BN awal tahun lalu.

Komponen PR mengatasi BN di kelima-lima negeri itu.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menyaksikan 10 daripada 11 kerusi Parlimennya jatuh ke tangan PR pada pilihan raya umum 2008 juga menyaksikan ikatan itu menguasai pendaftaran pemilih baru.

Pun begitu secara mengejutkan Johor menduduki tempat teratas pendaftaran pemilih baru menggunakan kaedah ini.

Sekali lagi hampir 60 peratus pengundi baru yang didaftar oleh penolong pendaftar parti-parti politik datang daripada PR.

Bagaimanapun di Terengganu dengan hampir separuh pemilih baru yang didaftarkan menggunakan kaedah penolong pendaftar adalah sumbangan BN khususnya Umno.

-malaysianinsider.com

Jika SPR benar-benar inginkan rakyat Malaysia berhak untuk mengundi, sudah pasti tidak timbul isu pendaftaran pemilih baru, kerana ianya hanyalah proses yang mudah dengan pendaftaran secara automatik oleh Jabatan Pendaftaran Negara untuk setiap rakyat yang telah cukup umur untuk mengundi.

Haram pakai jersi lambang salib

Posted: 18 Jul 2010 12:30 AM PDT


NOOH GADOT

KUALA LUMPUR – Pemakaian jersi bola sepak atau sebarang pakaian yang memiliki lambang salib, jenama arak dan imej syaitan adalah haram hukumnya dan boleh menjurus kepada perbuatan syirik.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, perkara tersebut ditegah oleh Islam dan perbuatan mengabaikan hukum yang sudah jelas boleh membawa umat Islam ke arah syirik.

Beliau berkata, memakai baju seperti itu walau apapun alasannya menunjukkan umat Islam seolah-olah mengagung-agungkan dan memuliakan lambang agama lain.

"Semua mengetahui hukum ini dengan jelas, ia adalah haram dan jangan beri alasan untuk menghalalkan perkara tersebut.

"Dalam hal ini, Islam tidak ada kompromi sama ada ia dibuat atas nama hiburan, fesyen mahupun sukan," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Beliau mengulas trend menyarung jersi di kalangan remaja dan golongan dewasa masa kini yang secara terang-terangan memiliki lambang salib atau jenama arak di baju mereka.

Trend itu sudah agak lama berlaku di negara ini namun semakin popular semenjak demam Piala Dunia melanda bermula awal tahun ini.

Antara jersi pasukan negara atau kelab yang tertera lambang salib atau imej syaitan adalah Brazil, Portugal, Sweden dan Norway, Manchester United dan Barcelona.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata, perbuatan memakai baju seperti itu hanya menjurus ke arah dosa dan boleh mengakibatkan syirik kepada Allah.

Jelasnya, pakaian yang mempamerkan lambang agama lain mahupun mempunyai imej syaitan dan jenama arak dilihat seperti mengangkat martabat lambang itu lebih tinggi berbanding Islam.

Menurut Harussani, Islam tidak menghalang umatnya untuk berfesyen atau bersukan namun ia perlu dilakukan dalam ruang lingkup syarak seperti menutup aurat dan tidak membazir.

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM

Kenyataan ini sepatutnya dikeluarkan sebelum Piala Dunia, sebab ramai sangat yang tak sensitif apabila menyarung jersi negara-negara yang berlambangkan salib. Semoga selepas ini ramai yang akan sedar dan mula berhati-hati apabila ingin mempamerkan tanda sokongan kepada pasukan pilihan mereka.

Tiada ulasan: