Rabu, 16 Jun 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Inkues Teoh : SPRM Cuba Untuk Melepas Diri Sebagai Penyebab Kematian Teoh

Posted: 16 Jun 2010 07:33 AM PDT

KELAB GREENBOC

Ketua pendakwaan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa dilihat masih cuba untuk menunjukkan bahawa SPRM tidak terlibat di dalam kematian Teoh Beng Hock, malah cuba untuk membantah permohonan pakar patologi Thai Dr Pornthip Rojasunand untuk memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock melalui sidang video.

Abdul Razak juga berkata, Pornthip mahu memberi keterangan melalui sidang video kerana tidak mempu mempertahankan pendapatnya sebelum ini berhubung faktor kematian Teoh Beng Hock.

"Tujuan sebenar dia tidak boleh hadir adalah kerana dia tidak boleh mempertahankan dakwaannya sebelum ini," ujarnya.

Katanya lagi, pendapat Pornthip juga berlawanan dengan kenyataan oleh empat pakar patologi lain yang sependapat bahawa Teoh masih sedar ketika jatuh daripada tingkat sembilan bangunan tersebut.

Abdul Razak Musa mendakwa kononnya SPRM telah menjadi mangsa tuduhan yang bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock.

"Dia (Pornthip) telah mengatakan 80 peratus kemungkinan Teoh mungkin dibunuh.

"Bagaimanapun, empat pakar patologi (tiga merupakan doktor kerajaan dan seorang doktor yang diupah SPRM, Dr Peter Venezis) telah membuktikan bahawa Teoh masih sedar ketika beliau jatuh. Ini menunjukkan Teoh tidak dibunuh dan bukti ini sepatutnya membebaskan SPRM daripada dakwaan tidak berlaku jujur," katanya, lapor malaysiakini.

Katanya lagi, sekiranya ia dilihat dari segi perlawanan bola sepak, "jumlah jaringan ialah 4-0 (memihak kepada SPRM)".

Bagaimanapun, peguam yang dilantik kerajaan negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar berkata SPRM tidak sepatutnya membuat kesimpulan seperti itu.

"Ini kurang bijak untuk SPRM bagi membuat sebarang kesimpulan dengan cuba untuk mempengaruhi mahkamah ini," katanya.

Malik sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa kerajaan Selangor membuat permohonan mendapatkan keterangan melalui telepersidangan video untuk kepentingan keadilan dan membenarkan Pornthip untuk memberikan keterangan dengan memastikan keselamatan daripada ancaman-ancaman yang dihadapinya.

Malik mengemukakan permohonan tersebut di bawah Seksyen 272(B), Kanun Acara Jenayah

"(Pornthip) bersedia untuk memberikan keterangan dan kerajaan Selangor juga bersedia untuk memberikan kemudahan untuk mengadakan telepersidangan video." katanya.

Permohonan ini disokong oleh ahli keluarga Teoh dan Majlis Peguam.

Abdul Razak juga telah menyerahkan bantahan berdasarkan peruntukan bahawa pendengaran secara sidang video hanya membenarkan jika ia dibuat di Malaysia.

Peruntukan tersebut, katanya adalah menyerupai Akta kanak-kanak 2007 di mana testimoni adalah di buat dalam satu mahkamah yang berasingan.

"Ia harus dilakukan dalam suasana mahkamah.

"Tambahan pula, terdapat satu kemungkinan jika Pornthip tidak bercakap benar, kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana kami tidak ada kuasa di Thailand." katanya.

Dr Porntip dalam keterangannya dalam inkues tersebut sebelum ini menyatakan punca kematian Teoh adalah "80 peratus dibunuh" berdasarkan gambar-gambar di tempat kejadian dan kecederaan pada mayat Teoh.

Beliau kemudiannya menyatakan menghadapi tekanan dan ancaman hingga tidak dapat hadir memberikan keterangan lanjut. Keterangannya sepatutnya didengar selepas bedah siasat kedua dilakukan.

Ulasan GB

4 ahli patologi yang dikemukakan oleh SPRM sebenarnya tidak mempunyai hujjah yang kuat bahawa Teoh Beng Hock "terjun" membunuh diri.

Hujjah doktor yang diupah SPRM, Dr Peter Venezis yang kononnya membuktikan bahawa Teoh masih sedar ketika beliau jatuh tidak memberi gambaran sebenar yang Teoh tidak dibunuh kerana tidak ada kaitan secara lansung kematian dengan keadaan sedar diri sebelum dibunuh.

Malah Dr Peter Venezis telah bergegas pulang semata-mata kerana mendakwa kononnya beliau mendapat ancaman bunuh. Apakah ia benar? Jika benar mengapa tiada siasatan mengenainya oleh pihak polis? Atau apakah kerana tidak mahu disoalbalas secara rapi oleh peguambela?

Seterusnya, penemuan-penemuan bukti oleh ahli patologi yang diupah SPRM tidak dapat menjuruskan secara jelas bahawa Teoh mati membunuh diri, rumusan dilakukan hanya bersandarkan kepada andaian yang tidak memenuhi kriteria jumpaan fakta, hingga ada satu ketika kesimpulan dibuat tidak lansung sepadanan dengan penemuan bukti. Sebagai contoh kesan pengeluapasan di kasut Teoh yang sebenarnya ia bukti bahawa Teoh telah diseret sedangkan ahli patologi menyatakan ia kesan geseran kerana faktor terjunan dari tempat tinggi.

Masyarakat diperbodohkan sedemikian rupa!

Di dalam beberapa ketika dilihat terdapat percanggahan diantara laporan perubatan ahli-ahli patologi terbabit yang mana kesan cekikan di leher mangsa tidak disebut di dalam laporn pertama.

Isteri lelaki mati dipukul polis dapat pampasan RM90,000

Posted: 16 Jun 2010 07:32 AM PDT

BERNAMA


KUALA LUMPUR — Suri rumah yang kematian suami akibat dipukul seorang konstabel, akhirnya mendapat pampasan sebanyak RM90,000 daripada pihak polis dan kerajaan.

Siti Rohana Mohamed, 27, mendapat pampasan itu selepas lima daripada enam defendan iaitu Ketua Polis Balai Polis Puchong, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ketua Polis Negeri Selangor, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia bersetuju menyelesaikan kes saman RM2 juta di luar mahkamah terhadap mereka.

Peguam M. Manoharan yang mewakili Siti Rohana berkata kelima-lima defendan bersetuju membayar jumlah itu tanpa mengaku bertanggungjawab dalam insiden yang berlaku pada 26 Mei 2002.

Manoharan juga berkata pengurusan kes itu berhubung defendan pertama iaitu Konstabel Mohd Izwan Sahak, 28, ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Dalam samannya, Siti Rohana berkata suaminya Ramli Othman sedang menunggang motosikal bersama-sama Mohamed Fadelli Maulud ketika dipukul Mohd Izwan secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran pada kira-kira 1 petang, pada hari kejadian.

Beliau mendakwa tindakan Mohd Izwan menghayun kayu dan memukul kepala Ramli sehingga menyebabkan kematiannya adalah satu tindakan bersifat ganas, membuta tuli, berniat jahat, cuai dan dengan penuh niat untuk membunuh.

Siti Rohana juga mendakwa Mohd Izwan gagal memberikan apa-apa pertolongan cemas bagi menyelamatkan suaminya walaupun abang suaminya, Rahmad Othman, menjerit-jerit meminta pertolongan.

Oleh itu, beliau menuntut suatu deklarasi bahawa defendan telah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan serta suatu deklarasi bahawa defendan telah gagal atau enggan atau cuai dalam mematuhi Seksyen 20,21 dan 24 Akta Polis 1967.

Siti Rohana juga menuntut ganti rugi teruk atau teladan, ganti rugi khas berjumlah RM2,020,652.00 dan faedah yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 15 Okt 2008, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Mohd Izwan setelah didapati bersalah menyebabkan kematian Ramli.

Kempen RM 1 seorang untuk sokong Sook Hwa

Posted: 16 Jun 2010 07:30 AM PDT

MERDEKA REVIEW


Pada 4 Jun 2010, Soh Sook Hwa yang memohon ulasan judisi ke atas kes AUKU (Akta Universiti dan kolej Universiti 1971) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan telah ditolak oleh Makahmah Tinggi. Oleh itu, Soh Sook Hwa harus membayar kos pentadbiran mahkamah sebanyak RM3000 dalam tempoh masa 30 hari.

Atas perjuangan Soh Sook Hwa untuk menuntut hak dan kebebasan semua mahasiswa, maka kami akan mengadakan kempen seorang seringgit untuk mengumpulkan RM3000 sebagai pembayaran ke atas kos pentadbiran mahkamah dan sokongan terhadap perjuangan beliau.

Latar Belakang:

Pada bulan Disember 2004, pihak Universiti Sains Malaysia (USM) telah mendakwa Soh Sook Hwa dari Pusat Pengajian Komunikasi bahawa saudari telah melanggar Seksyen 15 AUKU berdasarkan sekeping gambar yang menunjukkan dia memakai baju kemeja -T yang memaparkan logo parti pembangkang yang dipaparkan dalam sebuah akhbar tempatan.

Soh Sook Hwa dikenakan tindakan tatatertib universiti dengan hukuman denda sebanyak RM200 dan diberikan amaran keras atas sebab saudari dituduh berkempen untuk calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua di kawasan Parlimen Batu, Kuala Lumpur. Namun demikian, sembilan pensyarah universiti telah membayar RM200 sebagai sokongan ke atas Soh pada masa itu.

Tindakan Soh Sook Hwa merupakan kes pertama mahasiswa yang mencabar kesahihan AUKU, terutamanya dalam kandungan AUKU yang melarang ahli akademik dan mahasiswa terbabit dalam politik tanpa kebenaran pihak universiti terlebih dahulu.

Soh (gambar kiri) juga membuat permohonan untuk semakan terhadap keputusan kementerian yang menolak rayuannya berhubung tindakan yang dikenakan oleh lembaga disiplin USM.

Soh memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 15 AUKU - yang melarang mahasiswa meyertai persatuan atau parti politik - dan beberapa peruntukan lain dalam peraturan dan tatatertib USM sebagai akta yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Kes makahmah ditangguhkan atas masalah teknikal kehakiman sepanjang lima tahun.

Akhirnya, pada 4 Jun 2010 Mahkamah Tinggi atas hakim Mohd Zawawi Salleh telah menolak permohonan saudari Soh Sook Hwa untuk membuat semakan kehakiman terhadap AUKU atas dua sebab, iaitu prosiding USM terhadap Soh adalah tidak bercanggahan dan Akta ke-15 dalam AUKU telah digubalkan oleh kementerian.

Bagi pihak Tuan/Puan/Cik yang ingin menderma, sila membuat dermaan melalui bank dengan

Nombor Bank Akaun: 137-202-200053-4

Bank: AmBank
Nama Penerima: DEMA ENTERPRISE

Sekiranya penderma ingin mendedahkan maklumat (nama dan jumlah dermaan), sila hantar maklumat kepada:

Khaw Seng Hean, dengan alamat email carlitokhaw@gmail.com, dan nombor telefon 016-4045348.

Untuk pengetahuan pihak Tuan/Puan/Cik, tempoh kempen pendermaan adalah dari 14hb Jun 2010 sehingga 1hb Julai 2010.

Sekian terima kasih.

*Kenyataan oleh Yap Heng Lung selaku Setiausaha Pentadbiran DEMA.

Skandal Sime Darby: Terburainya mitos "Besar itu Indah"

Posted: 16 Jun 2010 07:17 AM PDT

Neo Chee Hua



Pada ketika Perdana Menteri Najib Razak bersungguh-sungguh mempromosikan idea "besar itu indah" (big is beautiful), menarik pelaburan asing melalui syarikat-syarikat tersenarai yang besar, terbongkar pula berita bahawa Sime Darby Berhad sebagai salah satu perusahaan multinasional yang terkemuka di Malaysia telah mengalami kerugian besar.

Jika ditinjau sejarah Malaysia, peristiwa Sime Darby ini bukanlah kes yang pertama. Renong Berhad yang ditimpa krisis semasa kemelut ekonomi Asia tahun 1997-98 merupakan satu pengajaran yang baik. Sime Darby hari ini seolah-olah Renong Berhad pada ketika itu - kedua-duanya memiliki struktur gergasi, model operasi dan pengurusan yang kurang telus, pentadbiran yang lemah, kerenah birokrasi yang menjadi budaya, dan salah laku (moral hazard) yang berlaku lantaran daripada perlindungan yang terlampau daripada kerajaan.

Jika pelabur-pelabur asing meneliti contoh-contoh kegagalan usahasama antara kerajaan dengan sektor swasta, yang kononnya "besar itu indah" -- dari Renong Berhad ke Perusahaan Otomobil Nasional, jaringan pembekalan tenaga dalam negara hinggalah Sime Darby, adakah mereka akan tetap menaruh harapan terhadap usahasama sebegini?

Syarikat perladangan terbesar

Pada 27 November 2006, Sime Darby Berhad, Golden Hope Plantations Berhad dan Kumpulan Guthrie Berhad mengumumkan satu rancangan penggabungan ketiga-tiga syarikat, untuk membentuk sebuah syarikat perladangan terbesar di dunia yang tersenarai dalam bursa saham.

Rancangan penggabungan ini merangkumi ketiga-tiga syarikat tersebut dan anak syarikat di bawahnya. Sejumlah lapan buah syarikat tersenarai yang terbabit, iaitu Sime Darby Berhad, Golden Hope Plantations Berhad, Kumpulan Guthrie Berhad, Sime Engineering Services Berhad, Sime UEP Properties Berhad, Guthrie Ropel Berhad, Mentakab Rubber Company (Malaya) Berhad dan Highlands & Lowlands Berhad.

Akhirnya, satu perusahaan bersifat multi-bisnes yang mengutamakan sektor perladangan, Synergy Drive telah ditubuhkan, iaitu Sime Darby Berhad sekarang.

Nazir Razak (gambar kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Investment Bank (adik Perdana Menteri Najib Razak) yang bertanggungjawab dalam penggabunggan ini berkata, "Kami nampak manfaat pembentukan sebuah syarikat perintis perladangan kelapa sawit global. Syarikat ini berpotensi mengaut keuntungan tahunan yang berjumlah RM26 bilion, menggaji 107 ribu pekerja dan memilik tanah penanaman di Malaysia dan Indonesia sebesar 600,000 hektar. Dijangka bahawa 9 juta tan buah-buahan dan 2.5 juta tan minyak kelapa sawit dapat dihasilkan, di mana pengeluaran kelapa sawit ini merupakan 5% - 6% daripada jumlah penghasilan minyak kelapa sawit dunia."

Nazir Razak turut menyebut, lapan buah syarikat tersenarai ini akan bergabung menjadi sebuah syarikat, dan syarikat induk ini akan menguasai lima sektor utama (perladangan, otomobil, industri berat, hartanah, dan tenaga serta utiliti). Penggabungan ini dapat membawa manfaat dari segi kerjasama antara nilai keuntungan dan kos modal, termasuk peningkatan tahap kecekapan, penggunaan sumber manusia yang efisien, kemantapan pengendalian kapital, pengurangan modal kewangan, penjualan aset bukan teras dan sebagainya.

Selepas penggabungan, Sime Darby berubah menjadi satu badan korporat multinasional yang menceburi pelbagai sektor, yang mana perusahaannya merentasi 20 buah negara. Lima perusahaan utama badan korporat ini termasuk perladangan, harta tanah dan perumahan, industri berat, otomobil, serta tenaga dan utiliti. Ia juga terlibat dalam bidang perubatan (Sime Darby Medical Centre Subang Jaya), insuran (Sime Alexander Forbes), barangan kegunaan harian (Dunlopillo) dan sebagainya. Pada masa yang sama, badan korporat ini turut menguasai 30% hak beli saham pasaraya Tesco Malaysia.

Selepas penggabungan, Sime Darby sememangnya menunjukkan prestasi yang unggul. Pendapatannya meningkat 20.6%, dari RM28.2302 bilion pada tahun kewangan 2007 ke RM34.0447 bilion pada tahun 2008. Keuntungan bersihnya turut meningkat 47.2%, dari RM2.3857 bilion ke RM3.5121 bilion. Biarpun menghadapi krisis ekonomi global, badan korporat ini masih mencapai prestasi keuntungan bersih RM2.2861 bilion pada tahun kewangan 2009.

Selain itu, Sime Darby juga menduduki tempat ke-500 dalam ranking Global 500, disenaraikan oleh Financial Times tahun 2010 dengan nilai pasaran US$16.0462 bilion (sehingga 31 Mac). Aset keseluruhannya bernilai US$9.9185 bilion ini jelas menunjukkan manfaat usahasama syarikat konglomerat tersebut selepas penggabungan.

Jadual: Prestasi Sime Darby(tahun kewangan 2007-2010)

Tahun kewangan

Pendapatan

(RM juta)

Keuntungan sebelum cukai(RM juta)

Keuntungan bersih

(RM juta)

2010 (tiga suku pertama)

23739.8

1716.4

804.2

2009

31013.9

3071.6

2286.1

2008

34044.7

5206.4

3512.1

2007

28230.2

3572.2

2385.7

Sumber:Laporan tahunan syarikat, Bursa Malaysia

Pihak pengurusan menutup kerugian Sime Darby

Namun demikian, Sime Darby yang kelihatan berkembang maju ini menggemparkan semua apabila terbongkarnya skandal kerugian besar pada Mei 2010. Lembaga Pengarah Sime Darby telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menjalankan siasatan terhadap Bahagian Tenaga dan Utiliti (Energy and Utilities Division). Laporan siasatan dalaman ini menunjukkan bahawa jabatan tersebut mengalami kerugian besar, dan pihak atasan dalam pengurusan cuba untuk menutup kebenaran.

Laporan ini turut menunjukkan bahawa empat projek bahagian tersebut, termasuk Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar, Kelautan dan Empangan Bakun, ditundakan lantaran pengurusan yang tidak cekap, menjurus kepada peningkatan kos melebihi anggaran dan membawa kepada kerugian sebanyak RM1.631 bilion. Malah, syarikat tersebut dijangka perlu memperuntukkan RM964 juta untuk mengisi kerugian pada setengah tahun kedua.

Setelah terbongkarnya skandal kerugian ini, Sime Darby telah mengalami kehilangan nilai pasaran sebanyak RM6.37 bilion dalam jangka kira-kira satu bulan, menjunam dari nilai RM52.94 bilion pada 3 Mei ke RM46.57 bilion pada 31 Mei. Selain itu, laporan suku ketiga tahun kewangan 2010 menunjukkan bahawa Sime Darby telah mengalami kerugian operasi sebanyak RM1.019 bilion, lantaran daripada peruntukan RM964 juta kepada Bahagian Tenaga dan Utiliti untuk mengisi kerugian.

Sime Darby telah mengalami kerugian bersih sebanyak RM308.63 juta pada suku ketiga, malah telah pun memperuntukkan RM1.3 bilion untuk mengisi kerugian projek-projek tersebut setakat ini.

Sebagaimana yang diketahui, juruaudit luaran telah mempertikaikan kerugian projek Qatar Petroleum yang diuruskan oleh Bahagian Tenaga dan Utiliti pada tahun 2008, malah enggan meluluskan laporan kewangannya. Pada masa yang sama, media tempatan turut membangkitkan isu Maersk Oil Qatar yang menanggung kos melebihi anggaran sebanyak RM150 juta. Walau bagaimanapun, pucuk pentadbiran yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Zubir Murshid menafikan dakwaan bahawa projek-projek tersebut mengalami masalah, dan cuba menutup kebenaran.

Walaupun Lembaga Pengarah yang diketuai oleh Musa Hitam, iaitu Pengerusi Sime Darby pernah membangkitkan isu kos berlebihan dalam projek-projek ini kepada pihak pengurusan, namun Ahmad Zubir Murshid tetap mencuba untuk meyakinkan Lembaga Pengarah bahawa "kos berlebihan bukan satu masalah, kos ini dapat diperolehi daripada pihak pelanggan".

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Analisa asal dalam edisi bahasa Cina disiarkan pada 8 Jun 2010. Terjemahan oleh copyleftstudio.com, disunting oleh Lim Hong Siang.

Kerajaan Persekutuan Tarik Biasiswa, Kerajaan Negeri Agih Pinjaman

Posted: 16 Jun 2010 07:15 AM PDT

TV SELANGOR


Ketika kerajaan persekutuan mengekang pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang, kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor memperhebatkan pemberian bantuan pelajaran.

Pelajar cemerlang, khususnya dari Selangor yang gagal mendapat tempat di Insitut Pengajian Tinggi dan pinjaman dari PTPTN kini boleh memohon mendapatkan pinjaman tanpa faedah dari kerajaan negeri untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Industri Selangor (UNISEL) atau Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Malah, pinjaman itu akan bertukar menjadi biasiswa jika pelajar terbabit mendapat purata nilai gred kumulatif 3.7 ke atas.
Skim itu diumumkan selepas mesyuarat EXCO kerajaan negeri petang tadi.

Pinjaman menerusi bahagian kewangan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Yayasan Selangor terbuka kepada semua lepasan SPM yang mahu memasuki UNISEL dan KUIS untuk program Ijazah pertama.

Bantuan kerajaan negeri itu akan menampung keperluan pelajar yang gagal mendapatkan pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

GPMS Serah Memorandum, Mohon Anwar Desak Kerajaan

Posted: 16 Jun 2010 07:10 AM PDT



TV SELANGOR


Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz sebagai membantah hasrat kerajaan untuk menarik balik biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)kepada pelajar ijazah di luar negara mulai tahun depan.

Presidennya, Jais Abdul Halim dalam memorandumnya turut meminta Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan supaya meningkatkan biasiswa JPA di kalangan masyarakat Melayu.

Menurut Jais, memorandum itu akan diserah kepada semua ahli parlimen berbangsa Melayu.

Dalam tuntutannya, GPMS meminta Anwar mendesak kerajaan supaya meneruskan pembiayaan biasiswa dan menambah kuota biasiswa kepada pelajar Melayu.

"GPMS mendesak agar pemberian biasiswa JPA untuk pengajian peringkat ijazah di luar negara mestilah diteruskan oleh pihak kerajaan bagi memastikan pelajar-pelajar mendapat manfaat dari segi kualiti pendidikan di seluruh negara," katanya.

GPMS juga mendesak supaya sistem kuota itu meletakkan sekurang-kurangnya 66 peratus keistimewaan kepada pelajar Melayu atau Bumiputera.

"GPMS menuntut supaya kerajaan mengkali semula cadangan tersebut kerana cadangan untuk menghentikan ini tidak relevan dan tidak bersesuaian dengan polisi dasar dan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju," katanya.

Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan penghantaran pelajar cemerlang ke luar negara melalui tajaan biasiswa JPA atas alasan ia memberi kesan buruk kepada negara.

Menteri Di Jabatan Perdana, Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini berkata kerajaan akan menghentikan tajaan biasiswa JPA kepada 1,500 pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara mulai tahun depan.

Nazri dilapor berkata negara harus mengehad penghantaran pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana ia hanya menguntungkan universiti luar negara.

"Sebenarnya kalau kita menghantar, kalau GPMS menyebut di luar negara lebih baik, sebenarnya kalau kita hantar di luar negara, kita bantu memperkukuhkan universiti luar negara daripada dalam negara.

Bagaimanapun, pandangan Nazri itu dibantah Pemuda Umno.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan supaya memberi keutamaan kepada biasiswa JPA daripada berbelanja untuk projek-projek seperti bangunan Parlimen baru di Putrajaya.

"Saya sedia duduk dalam Parlimen sedia ada jika ada kebocoran siling sekali-sekala daripada melihat wang besar dibelanjakan untuk keselesaaan Ahli Parlimen sedangkan ia boleh digunakan untukmasa hadapan lebih cerah untuk negara dan anak-anak kita," kata Khairy.

Namun, Nazri tetap berpendapat kerajaan membuat keputusan tepat untuk membeku pemberian biasiswa untuk pelajar mendapatkan ijazah di luar negara.

"Dalam keadaan yang tidak mengizinkan kita terpaksa mengetatkan tali pinggang kita kerana sudah tentu dalam keadaan yang kita tidak mampu untuk membuat sesuatu yang memerlukan belanja besar," katanya.

Pilihanraya Perlu Cepat Untuk Ajar Para Pelacur Politik

Posted: 16 Jun 2010 07:01 AM PDT

Oleh Mohd Sayuti Omar

SAYA rasa ramai orang bersetuju dengan kata-kata Dr Mahathir Mohamad kalau benar sokongan ke atas Najib Razak kini mencceah lebih 70 peratus elok kalau Najib bubar parlimen dan mengadakan pilihan raya. Kata Mahathir di masa beliau dulu sokongan terhadap BN hanya 62 peratus saja. Dengan sokongan itu BN berjaya menguasai 2/3 kerusi di Parlimen.

Najib tidak payah tunggu lama untuk mencuri peluang sokongan ke atasnya kini. Kalau benar analisa dan kajian dibuat oleh Merdeka Centre itu menunjukkan sokongan ke Najib tinggi, Najib tidak payah tunggu lama-lama lagi. Silap bagi Najib kalau beliau tidak ambil kesempatan atas sokongan itu.

Menurut kajian badan itu ke atas rasa puas hati kaum kepada Najib menunjukkan ia naik mendadak selepas dua pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu. Rasa puas hati orang Melayu kepada pentadbiran Najib lebih 70. Manakala orang Cina 52 peratus dan India tertinggi sebanyak 80 peratus.

Persoalannya apakah kajian Merdeka Centre itu boleh dipercayai? Ataupun ianya satu propaganda sahaja bertujuan untuk menyembunyikan kegementaran ke atas perubahan modd rakyat? Jika Najib membubarkan parlimen dalam masa terdekat sesuai kehendak Mahathir ini menunjukkan kajian badan berkenaan boleh dipakai. Sebaliknya kalau Najib masih dingin ia pastilah satu gimik dan psywar saja.

Bagi saya secara peribadi keperluan untuk Najib mengadakan pilihan raya ialah kerana ingin melihat nasib beberapa orang wakil rakyat Pakatan Rakyat yang ghairah meninggal parti kini. Saya mahu tahu apakah mereka akan mendapat tempat ataupun tidak dalam pilihan raya akan datang.

Dakwa dakwi atas apa yang mereka buat itu kononnya bijak, kononnya profesional, kononnya mendapat sokongan pengundi akan terjawab. Saya berdoa supaya semua mereka akan bertanding semula dalam pilihan raya umum ke 13 nanti. Masa itu nanti akan menjawab apakah mereka popular atau tidak. Apakah tindakan mereka hari ini meninggalkan parti dan mencampak lambang yang memenangkan mereka sebagai tindakan bermaruah atau sebaliknya.

Tidak mengapa kalau dalam pilihan raya itu tidak memberi peluang dan oportunis kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah! Tetapi saya rasa ramai mahu tengok bagaimana nasib mereka yang melompat parti itu. Rasanya kemuliaan baik Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri hari ini tercemar oleh perbuatan mereka. Mereka ini adalah pengotor kepada kemuliaan Parlimen dan DUN.

Hari ini ada 12 oraang wakil rakyat yang dianggap pengkhinat dan pengotor demokrasi.

Dewan tidak mengharapkan akan adanya wakil rakyat yang melacurkan diri atas apa alasan dan sebab sekali pun. Umpama pelacur yang menjual tubuh di lorong-lorong gelap, ia tidak dapat dimaafkan kalau pun pelemacuran itu untuk mencari sesuap nasi sama ada untuk si anak kecil atau ibu tua terlantar di rumah usang. Perbuatan yang tercela dan jijik tetap jijik dan perlu diperangi.

Apabila pilihan raya diadakan semula, dan kalau takdir mereka bertanding semula maka akan dapat diketahuilah apakah mereka masih mendapat kepercayaan atau tidak. Apakah mereka masih ada moral ataupun tidak. Jadi untuk saya pilihan raya diperlukan untuk melihat untung nasib manusia-manusia ini yang pada saya telah mengotorkan demokrasi. Saya akan puas hati kalau mereka bertanding semula semata-mata untuk melihat apakah hukum karma alam ke atas mereka.

http://msomelayu.blogspot.com/

Dadah: Nasib Saiful Apek Ditentukan Esok

Posted: 16 Jun 2010 06:56 AM PDT

MSTAR ONLINE




Pelawak, Saiful Apek ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas ditahan positif dadah. - Foto UTUSAN

PETALING JAYA: Nasib pelakon komedi terkenal, Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff, 41, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek (gambar) bersama lima rakannya yang kini masih direman kerana disyaki memiliki 40 gram ganja akan diketahui esok.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mStar Online berkata, mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada sebelah pagi.

"Sama ada mereka dibenarkan diikat jamin akan ditentukan esok," katanya.

Hari ini, tempoh reman Saiful Apek bersama lima rakannya dilanjutkan sehari lagi. Sebelum ini, mereka direman selama empat hari.

Majistret Aishah Hijriah Arshad membenarkan tempoh reman terhadap semua suspek dilanjutkan sehari bagi membantu polis menyelesaikan siasatan di bawah Seksyen 39A(1) serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 atas sebab pemilikan dadah manakala Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas sebab penggunaan dadah.

Pada 12 Jun lalu, Saiful dan lima rakannya yang lain ditahan polis dalam satu serbuan di apartmennya di Jalan PJS7 Subang Jaya dekat sini kira-kira pukul 10 malam ketika mereka sedang seronok menyaksikan perlawanan bolasepak Piala Dunia di antara Argentina dan Nigeria.

Apek terkenal dengan filem-filem lakonannya seperti Senario Lagi (2000), Senario The Movie (1999), Nana Tanjung 2 (2007) dan Cicak Man (2006).

Beliau juga seringkali muncul bersama kumpulan lawak Senario dalam siri komedi Senario di TV3.

Singapura Tenggelam

Posted: 16 Jun 2010 06:55 AM PDT

MSTAR ONLINE

SINGAPURA: Banjir kilat ekoran hujan lebat selama dua jam di tengah-tengah bandar raya negara ini mengakibatkan keadaan kelam-kabut apabila kawasan letak kereta bawah tanah dan banyak kedai dinaiki air hari ini bermula pukul 9 pagi tadi.

The Straits Time Online melaporkan, kawasan yang paling teruk dinaiki air ialah Orchard Road dan persimpangan Scotts Road, bermula dari Paterson Road - kawasan lokasi Ion Orchard dan Menara Wheelock - sehingga kawasan Ngee Ann ditenggelami banjir setinggi hampir dua meter.

Bahagian bawah tanah Menara Liat dipenuhi air sehingga menjejaskan dan memusnahkan barangan di premis-premis seperti Starbucks dan Hermes.

Banyak kenderaan termasuk kereta terperangkap di tengah-tengah kawasan banjir selain pemilik kereta masing-masing terkandas dalam kenderaan mereka. Begitu juga penumpang-penumpang bas yang gagal ke mana-mana berikutan jalan raya yang tidak dapat dilalui.

Terdapat juga pokok-pokok tumbang di Buyong Road lokasi keluar dari Central Expressway Tunnel (CET) sehingga Ayer Rajah Expressway menyebabkan laluan tersekat. Sehubungan itu CET ditutup bagi mengelakkan kenderaan memasuki Orchard Road.

Selain itu kawasan yang turut terjejas termasuk Coronation Road West, Fourth Avenue, Kings Road, Kheam Hock Road dan Veerasamy Road menyebabkan trafik bergerak perlahan.

Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 100 milimeter hujan turuun dalam tempoh dua jam itu.

"Jumlah hujan yang turun melebihi 60 peratus hujan yang turun secara purata dalam bulan ini," kata agensi itu.

Agensi Air Kebangsaan (PUB), polis trafik dan pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) ditempatkan di kawasan-kawasan terbabit bagi membantu orang ramai yang terkandas dalam bah yang melanda.

Selain itu kerugian bencana alam itu sedang disiasat.

Orang ramai boleh mendapatkan laporan terkini mengenai keadaan cuaca dengan melayari laman web www.nea.gov.sg atau hubungi talian hotline 6542 7788, selain melayari maklumat di Weather@SG - weather.nea.gov.sg.

Juga talian 24 jam PUB di 1800-284 6600 magi melaporkan sebarang kerosakan longkang atau keadaan banjir.

Pembubaran 13 cawangan Jelutong: Ahli Umno berang

Posted: 16 Jun 2010 06:53 AM PDT

Susan Loone

Sekumpulan pemimpin Umno di Jelutong begitu berang dengan tindakan setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim kerana mengumumkan kepada media bahawa beberapa cawangan di negeri berkenaan akan ditutup.

Ketika sidang media lebih dua jam di Hotel Grand Continental, Pulau Pinang, mereka mencabar Azhar membuktikan bahawa cawangan berkenaan benar-benar tidak aktif dan mendakwa tidak dimaklumkan berhubung pembubaran itu oleh majlis tertinggi parti.

Kumpulan berkenaan berkata urusan membubarkan mana-mana cawangan sepatutnya dibuat oleh pemimpin tertinggi Umno dan bukannya oleh Azhar.

Menurut pemimpin Umno cawangan Persiaran Perak, Idris Osman, Pendaftar Pertubuhan juga tidak memaklumkan berhubung pembubaran cawangan berkenaan.

Katanya, semakan dengan pendaftar dua bulan lalu mendapati cawangan-cawangan berkenaan masih aktif.

"Sepatutnya majlis tertinggi parti yang patut membuat pengumuman itu, bukannya Azhar. Siapa dia untuk berbuat demikian," katanya dengan nada sinis.

Nada yang sama disuarkan oleh pemimpin cawangan Taman Perak, Mahadzir Mohd Mustaffa yang menuduh Azhar bersekongkol dengan pihak tertentu untuk menutup cawangan berkenaan demi kepentingan politiknya menjelang pemilihan parti akan datang.

"Azhar mesti melawat cawangan-cawangan berkenaan dan melihat sendiri keadaan yang sebenar. Ini isu yang besar yang bakal menentukan masa depan Umno, bukan sahaja di Jelutong tetapi juga Pulau Pinang," katanya.

Dalam pada itu, pemimpin cawangan Jalan P Ramlee Syed Feisal Syed Mohd mendakwa 13 cawangan berkenaan ditutup kerana ahlinya didakwa menyokong Pakatan Rakyat.

"Kita tidak sepatutnya bertindak tanpa sebarang bukti. Kecuali mereka didapati berceramah di pentas Pakatan Rakyat, membawa bendera pembangkang ataupun membidas Umno, kita tidak boleh mengandaikan mereka menyokong pembangkang," katanya.

Semalam, Azhar, yang juga ADUN Penaga (BN) mengesahkan 13 cawangan Umno dibubarkan.

Katanya, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Barisan Nasional di Pulau Pinang pada Ahad lalu.

Beliau juga memaklumkan bahawa semua ahli daripada cawangan yang dibubarkan itu diserapkan ke 25 cawangan yang lain.

Pua: SPR cuba hadkan pengundi baru?

Posted: 16 Jun 2010 06:50 AM PDT

S Pathmawathy

Keenganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membekalkan borang pendaftaran pengundi baru yang mencukupi kepada parti-parti politik mungkin bertujuan mengehadkan pengundi muda, dakwa ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Sebagai contoh katanya, hanya 6,000 borang diperuntukkan kepada SPR Selangor bagi memenuhi tuntutan kira-kira 2 juta pengundi yang masih belum mendaftar di negeri itu.

"Kami diberitahu oleh pihak SPR Selangor bahawa awal bulan ini, mereka kekurangan borang, SPR Pusat hanya membekalkan 6,000 borang kepada Selangor dan hanya 1,000 borang sahaja diperuntukkan kepada parti-parti politik untuk diedarkan kepada kepada penolong pendaftar parti-parti politik," kata Pua di lobi parlimen, hari ini.

Memburukkan lagi keadaan, SPR hanya membenarkan satu penolong pendaftar bagi setiap parti di setiap kerusi parlimen dan mereka pula dihadkan mengambil tidak lebih 50 borang pada setiap kali lawatan ke pejabat SPR.

"Kita rasa jumlah borang yang disediakan ini amat-amat kurang kerana dalam setiap kempen, pendaftaran pengundi baru yang kita adakan di Selangor yang besar, kita dapat sekurang-kurangnya 300-500 pengudi baru

"Kalau seribu borang sahaja yang diperuntukkan kepada bulan Jun kepada semua parti politik termasuk parti politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, ini merupakan jumlah yang jelas tidak mencukupi," kata Pua.

Katanya, ada juga penolong pendaftar yang mengadu, langsung tidak mendapat apa-apa borang kerana dikatakan borang telah habis.

Paling tadah: DAP anjur perhimpunan

Posted: 16 Jun 2010 06:47 AM PDT

BERNAMA


DAP Perak akan mengadakan satu perhimpunan di Malim Nawar dalam waktu terdekat bagi memberi penerangan kepada orang ramai berhubung tindakan ahli dewan undangan negeri (ADUN) kawasan itu, Keshvinder Singh yang mengumumkan keluar dari parti itu semalam.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming (kiri, berbaju gelap), berkata perhimpunan itu akan diadakan di Kampung Baru Mambang Di Awan.

Ia dijangka dihadiri anggota parlimen Jelutong Karpal Singh, ahli parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, katanya.

"Mesyuarat DAP negeri yang diadakan di Wisma DAP di Ipoh lewat malam semalam turut memutuskan untuk menubuhkan Pusat Khidmat Masyarakat DAP di kawasan Malim Nawar yang akan dirasmikan Jumaat ini.

Buat sementara ini, pusat itu akan diketuai ADUN Keranji, Chen Fook Chye," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Semalam, Keshvinder yang juga seorang peguam mengumumkan keluar dari DAP untuk menjadi wakil rakyat Bebas disebabkan kecewa dengan pimpinan pembangkang di Perak yang berpolitik berlebihan sehingga mengabaikan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sementara itu, Nga yang juga ahli parlimen Taiping berkata beliau mahu berdebat dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung langkah kerajaan membenarkan perjudian bola sepak di negara ini.


DAP bercadang saman ADUN paling tadah

Posted: 16 Jun 2010 06:43 AM PDT

MALAYSIA KINI



DAP Perak berhasrat menguatkuasakan perjanjian yang ditandatangani semua wakil rakyatnya ketika pilihan raya umum 2008 yang menuntut mereka membayar ganti rugi RM5 juta jika keluar parti.

"Kami

telah memutuskan untuk menguatkuasakan kontrak yang ditandatangani antara wakil rakyat dan parti ketika mereka dipilih menjadi calon dulu," kata Ketua DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham (kiri, bertali leher biru).

Keputusan itu diambil berikutan pengumuman mengejutkan semalam apabila Keshvinder Singh (Malim Nawar) mengumum meninggalkan parti itu.

Beliau adalah ADUN kedua DAP yang berbuat demikian selepas Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) berbuat demikian pada Februari tahun lalu sehingga menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak tumbang.

Mengulas lanjut, Ngeh berkata kedua-dua wakil rakyat tersebut turut menandatangani perjanjian itu yang antara lain menyatakan mereka yang menyertai parti lain harus meletak jawatan dan membayar ganti rugi RM5 juta kepada DAP.

Berca
kap kepada wartawan di lobi parlimen, hari ini, Ngeh menjelaskan semua perwakilan DAP di negeri itu diwajibkan menandatagani perjanjian yang hampir sama selepas pilihan raya Mac 2008.

"Mereka telah bersetuju bahawa jika mereka meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai ahli Bebas, mereka terpaksa membayar RM5 juta kepada parti," kata Ngeh yang juga ahli parlimen Beruas.

Ngeh berkata keputusan muktamad berhubung tindakan undang-undang itu akan diputuskan oleh jawatankuasa pusat DAP yang dijadualkan bermesyuarat akhir bulan ini.

Kekurangan barangan: Peruncit dalangnya!

Posted: 16 Jun 2010 06:41 AM PDT

Salhan K Ahmad

Lesen runcit merupakan tindakan yang perlu bagi mengawal aktiviti peruncit barangan kawalan untuk memastikan barangan berkenaan sentiasa mencukupi di pasaran, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian ketika menghadapi tekanan daripada Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia yang berhenti menjual gula, minyak masak dan tepung gandum sebagai tanda protes terhadap langkah kerajaan memperkenalkan lesen berkenaan.

B
emula hari ini, dianggarkan seramai 20,000 peruncit mula bertindak demikian kerana mendakwa, penjualan barangan berkenaan tidak banyak memberi keuntungan kepada mereka.

Ismail bagaimanapun bertegas, kaedah pelesenan yang diperkenalkan kerajaan itu mampu mengatasi masalah kekurangan barangan kawalan di pasaran, seperti masalah kekurangan gula yang dikesan berlaku di beberapa kawasan sejak April lalu.

Bercakap dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini minggu lalu, Ismail berkata penyumbang terbesar bagi masalah kekurangan tersebut ialah tindakan pemborong dan peruncit yang menjual bekalan gula mereka kepada pengguna industri dan bukannya kepada pengguna awam.

Jual kepada kilang

"Kedai yang menjual gula untuk orang ramai ini sebahagian besar daripadanya dijual secara pasaran gelap kepada kilang kerana sesetengah kilang memerlukan gula lebih daripada kuota yang ditetapkan," katanya.

Katanya, kilang terlibat ditetapkan supaya meminta kebenaran daripada kementerian untuk mendapatkan lebih banyak gula, namun mereka lebih cenderung membeli daripada pemborong dan peruncit yang sepatutnya menjual kepada orang awam.

T
ambahnya, pengilang yang dikenakan ketetapan supaya membeli gula mengikut harga pasaran itu ialah industri yang terlibat mengeluarkan barangan berasaskan gula bagi pasaran eksport.

"Kepada awam kita tetapkan harga RM1.65. Bayangkan kalau industri tawarkan kepada dia harga RM2. Tentulah dia akan jual dengan harga RM2. Itulah yang kadang-kadang menyebabkan berlakunya kekurangan gula," katanya.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap pemborong dan peruncit yang terlibat dengan aktiviti seperti itu.

"Pengilang tetap boleh beli (daripada penjual terlibat), sebab itu orang kata apa perlunya kawalan (harga)?

Kelemahan penguatkuasaan

"Inilah kelemahannya. (Pengilang) akan beli di pasaraya sebab sekarang ini kita kawal di peringkat kilang tetapi kita tidak boleh kawal di peringkat peruncit. Di peringkat peruncit kita tidak ada peraturan.

"Sebab itulah sekarang kita hendak kuatkuasakan dan perkenalkan untuk melesenkan peruncit ini, supaya kita boleh luluskan lesen dan sertakan dengan peraturan-peraturan," katanya.

Jelasnya lagi, sebelum ini peruncit tidak boleh dihalang daripada mengambil stok lebih daripada jumlah yang diperlukan oleh mereka.

Bentuk penguatkuasaan pula hanya terhad kepada tindakan menyorok barang ataupun keengganan peruncit menjual barangan yang sememangnya ada di dalam stok mereka,

"Sekarang ini katakan peruncit itu perlukan satu tan sahaja sebulan, tapi dia ambil sepuluh tan you tak boleh sekat dia ambil sepuluh tan.

"Tapi kalau gula itu ada sebanyak sepuluh tan -- satu tan dia jual (kepada pembeli runcit), sembilan tan dia jual kepada (pengilang), tak boleh tangkap dia sebab dia tidak sorok. Dia tetap jual, cuma dia jual kepada orang lain dan kita tidak boleh sekat jualan kepada orang lain.

"Dan kita tidak boleh minta dia beri laporan kepada kita, di mana, kepada siapa dia jual gula tersebut, contohnya, sebab kita tidak ada lesenkan mereka. Sebab itu kita hendak lesenkan mereka," katanya lagi.

Bermula 1 Julai, peruncit yang tidak mendapatkan lesen berkenaan tidak akan dibenarkan menjual tiga barang kawalan tersebut.

Zahrain gelar Anwar 'Ketua Pembohong'

Posted: 16 Jun 2010 06:38 AM PDT

BERNAMA



Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, patut digelar "Ketua Pembohong" kerana sentiasa membuat pembohongan tanpa rasa malu demi mencapai hasratnya untuk berkuasa, kata Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) di Dewan Rakyat hari ini.

"Pembohongan demi pembohongan terus dilakukan tanpa sebarang rasa malu demi mencapai matlamat merampas Putrajaya. Bak kata seorang rakan beliau, itulah kelebihan Permatang Pauh, dia langsung tiada maruah dan harga diri," katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Permatang Pauh adalah kawasan Parlimen yang diwakili Anwar.

Beliau berkata, antara pembohongan yang dilakukan Anwar ialah dalam isu APCO, skandal seks membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR), isu judi di Sabah serta tuduhan kononnya Ahli Parlimen daripada PKR ditawarkan RM2 juta untuk lompat parti.

"Sekarang beliau membawa dongeng baru kononnya kami menerima sogokan RM2 juta. Saya tahu beliau membuat pembohongan itu kerana terdesak kerana beberapa cabang PKR bercadang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau semasa kongres PKR di Kota Baharu baru-baru ini," katanya.

Zahrain adalah antara beberapa wakil rakyat PKR yang berpaling tadah meninggalkan parti itu dengan alasan hilang kepercayaan terhadap Anwar.

Zahrain juga menasihatkan Kerajaan Persekutuan supaya tidak mengikut kerajaan Selangor yang membuat janji setinggi langit.

"Kalau air laut dijadikan tinta nescaya tidak cukup untuk menulis janji-janji mereka," katanya.

Nazri: Kerajaan tak terlibat tubuh PERKASA

Posted: 16 Jun 2010 06:36 AM PDT

Salhan K Ahmad

Kerajaan tidak terlibat dalam penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

PERKASA merupakan sebuah NGO dan tidak ada kena mengena dengan kerajaan Malaysia, jelasnya dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

"Hal ini tidak ada kaitan dengan persoalan sama ada kerajaan mampu membela nasib orang Melayu atau tidak kerana Malaysia adalah kerajaan untuk semua dan akan membela nasib setiap rakyat Malaysia," katanya.

Soalan daripada Amran Abdul Ghani (PKR - Tanah Merah) itu timbul berikutan liputan meluas terhadap aktiviti PERKASA, khususnya tumpuan pertubuhan itu ke atas isu-isu melibatkan kepentingan Melayu.

Amran dalam soalannya meminta kerajaan menjelaskan sama ada ia tidak lagi mampu mempertahankan kepentingan Melayu.

Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan sejauh mana penglibatan kerajaan dalam penubuhan PERKASA.

Persoalan itu timbul berikutan liputan meluas terhadap aktiviti pertubuhan tersebut, yang turut disertai pemimpin BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib hadir di satu kongres PERKASA di ibu negara dan turut menyampaikan ucapan penutup di program tersebut pada 29 Mei lalu.

Tindakan Najib yang hadir ke majlis itu turut menimbulkan keresahan di kalangan parti komponen BN, termasuk MCA yang sering bertegang leher dengan PERKASA berhubung isu melibatkan kepentingan Melayu dan Cina.

Keputusan lesen judi sukan ditangguhkan

Posted: 16 Jun 2010 06:34 AM PDT

MALAYSIA KINI



Keputusan pemberian lesen judi oleh kerajaan pusat kepada Ascot Sports Sdn Bhd telah ditangguhkan.

Walaupun diasak oleh soalan wartawan berhubung pemberian lesen berkenaan, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim enggan menyatakan bila tarikh keputusan akan dibuat.

Katanya penangguhan itu bertujuan membolehkan semua pihak menyalurkan maklum balas mereka berhubung perkara berkenaan.

Kerajaan memilih untuk membisu berhubung isu lesen judi sukan tetapi menurut laporan New Straits Times, Lim pada 7 Jun lalu berkata keputusan akan diumumkan minggu ini.

Nik Aziz, exco pulau Fiesta Kelantan malam ini

Posted: 16 Jun 2010 06:31 AM PDT

Abdul Rahim Sabri

Majlis perasmian Fiesta Kelantan 2010 yang sepatutnya dirasmikan Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Datuk Seri Najib Razak di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV di Kota Bharu, malam ini akan dipulaukan kerana penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat berucap.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan keputusan memulaukan perasmian itu diambil kerana penganjur bersama - Syarikat Red Carpet juga telah memungkir beberapa perjanjian ketika mesyuarat bersama kerajaan negeri.

Antaranya, mereka telah bersetuju perasmian disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra, manakala terdapat dua ucapan akan disampaikan - pertama ucapan aluan dari Nik Aziz selaku tuan rumah dan ucapan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata pada 13 Jun lalu, kerajaan negeri menerima arahan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) memaklumkan bahawa pejabat Perdana Menteri "tidak mahu menteri besar berucap".

"Kita tidak tarik diri, tapi mereka yang pinggirkan kita, pinggirkan menteri besar. Ia memalukan MB selaku tuan rumah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini.

Takiyuddin berkata kerajaan negeri dan Syarikat Red Carpet adalah penganjur bersama bagi majlis tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini.

Menurutnya lagi, dalam publisiti seperti kain rentang telah menguar-uarkan bahawa perdana menteri akan merasmikan majlis tersebut dan bukan Pemangku Raja.

"Jadi telah berlaku percanggahan persefahaman. Pemangku Raja yang sepatutnya merasmikan malam ini, telah digambar seolah-olah bahawa perdana menteri yang akan merasmikan. Kita kesal," katanya

Takiyuddin yang juga pengerusi jawatankuasa induk pesta itu berkata, beliau turut menerima surat daripada pejabat Sultan tengahari tadi yang memaklumkan bahawa Pemangku Sultan tidak akan berangkat pada malam ini atas "alasan-alasan tertentu".

Sehubungan itu, Takiyuddin yang juga ADUN Bunut Payong berkata mesyuarat exco juga memutuskan untuk menarik diri daripada program itu yang berlangsung sehingga 19 Jun ini.

Namun katanya, kerajaan negeri tidak akan menghalang sebarang aktiviti yang dijalankan sepanjang Fiesta Kelantan selama tiga hari itu selagi ia memenuhi syarat yang diluluskan pihak berkuasa tempatan.

"R

ed Carpet sebagai syarikat swasta kena ikut prosedur dan mematuhi syarat yang ditetapkan. Kena ikut prosedur seperti biasa," katanya.

Ditanya sama ada syarikat tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan Umno, Takiyuddin yang juga penolong setiausaha agung PAS berkata "saya tidak pasti".

"Tapi saya nampak ia seolah-olah macam program Umno. Tapi saya tak kisah. Sebagai kerajaan negeri kita bersikap profesional dan bekerjasama dengan dia (Red Carpet)," katanya.

Red Carpet adalah sebuah syarikat swasta yang bertindak sebagai pengurus acara dalam majlis tersebut, tambahnya.

Pemangku Raja berkenan tarik balik anugerah

Posted: 16 Jun 2010 06:30 AM PDT

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, telah berkenan menarik balik perlantikan dan penganugerahan kepada 10 orang penerima bermula 29 September tahun lalu hingga 18 Mei lalu.

Antara mereka yang terlibat, Ahmad Rusli Iberahim, Haji Wan Hassan Wan Zin, Mohd Raihan Dato' Seri Dr Eusuff Teh, Tan Huat @ Tan Liang Chong, Haji Shkori Mohamed.

Turut ditarik balik tauliah perlantikan darjah kebesaran Haji Ismail Ghani, Haji Ibrahim Ab Kadir, Yusri Che Noh, Tengku Ahmad Zahari Tengku Abdul Kadir dan Tengku Abu Bakar @ Tengku Azman Tengku Ismail.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias, dalam sidang medianya memberitahu, penarikan anugerah serta darjah kebesaran itu berkuat kuasa serta merta seperti tarikh yang tertera dalam setiap surat yang dihantar kepada mereka.

"Kesemua mereka yang terbabit dalam penarikan di atas telah dimaklumkan melalui surat pada tarikh-tarikh tersebut," ujarnya.

Katanya lagi, penarikan balik darjah kebesaran serta pingat berkenaan menjadi hak Pemangku Raja Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara baginda.

Gula: Kerajaan perlu tambah AP, selesai mogok peniaga

Posted: 16 Jun 2010 06:28 AM PDT

Idris Ahmad


PAS mahu kerajaan menambahkan permit import (AP) bagi gula dan segera menyelesaikan mogok yang yang dilakukan oleh Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia yang bermula hari ini.

Tindakan 20 ribu ahli persatuan ini mungkin tidak akan menjejaskan rakyat yang tinggal di bandar besar kerana mempunyai pasaraya besar yang mudah dikawal oleh kerajaan, tetapi secara tidak langsung ia akan memberikan masalah kepada rakyat di luar bandar.

PAS melihat bahawa tindakan kerajaan memperkenalkan lesen penjualan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung merumitkan lagi masalah kekurangan barang-barang ini di pasaran. Walaupun pada masa ini lesen ini diberikan secara percuma, tetapi sambutannya amat sedikit. Hanya 1,500 peruncit sahaja yang mengisi borang berbanding dari 70 ribu yang ada.

Keengganan para peruncit memberikan kerjasama amat mengecewakan rakyat. PAS yakin dari lebih 70 ribu peruncit di seluruh negara, majoriti mereka tidak bersetuju dengan kempen boikot ini. Walaubagaimana pun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlulah turun padang dan meningkatkan penguatkuasaan mereka.

Dengan mengharap mereka mengambil, mengisi dan menghantar borang permohonan sahaja, itu tidak mencukupi kerana para peruncit yang tidak jujur masih boleh membuat penipuan dan memalsukan maklumat perniagaan mereka.

Oleh itu, KPDNKK yang selama ini sering merungut berhubung masalah kelemahan penguatkuasaan mereka tidak boleh lepas tangan dan mengalihkan isu kelemahan ini dengan sekadar meminta para peruncit mengisi borang sahaja.

KPDNKK harus menyusun strategi untuk membuat pemeriksaan disemua premis peruncitan bagi memastikan maklumat yang diberikan betul, dan mana-mana peruncit yang belum mengisi borang boleh diminta mengisi borang serta merta semasa pemeriksaan dibuat.

Kepada pihak Persatuan Peruncit, PAS berharap agar mereka memandang kepentingan peniagaan mereka dan rakyat sebelum meneruskan lagi mogok ini kerana mereka juga perlu jujur pada diri sendiri. Tidak menjadi masalah jika mereka menyatakan dengan jujur dan PAS berharap agar pihak KPDNKK membuka ruang perbincangan dengan mereka bagi selesaikan masalah ini secara baik.

PAS juga berharap agar kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dapat menambahkan lagi jumlah AP bagi pengimportan gula mentah, khususnya bagi membantu industri makanan di negara ini berkembang. Pada masa ini AP pengimportan gula mentah hanya dikuasai oleh 4 syarikat sahaja dan ini tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan gula di pasaran negara.

Alasan kerajaan bahawa peruncit perlu mengambil lesen barang kawalan kerana terdapat kalangan mereka yang menjual gula kepada pekilang adalah satu persepsi yang wujud ekoran kurangnya gula untuk industri. Pekilang sanggup tawarkan harga yang tinggi pada peruncit kerana kuota untuk jualan borong kepada mereka terlalu sedikit dan menghalang aktiviti pengeluaran mereka.

Oleh itu, kerajaan perlu memikirkan aspek ini bagi memastikan perebutan gula untuk jualan kepada industri dan pengguna biasa tidak berlaku. PAS yakin, jika AP gula ditambah, masalah ini dapat dikurangkan dan harga gula dalam pasaran akan bersaing untuk turun, bukannya naik.

Masalah penyeludupan dan menyembunyikan gula juga menjadi isu, dan ini juga berbalik kepada soal kelemahan penguatkuasaan. Banyak isu dalam negara timbul kerana kelemahan penguatkuasaan.

Oleh itu, PAS mahu seluruh agensi kerajaan menilai semula tahap kekuatan penguatkuasaan dan jumlah undang-undang yang diwujudkan. PAS, yakin bahawa kemampuan penguatkuasaan sangat terhad tetapi boleh dimaksimakan jika diurus dengan betul.

PAS berharap agar kerajaan tidak melihat masalah kekurangan gula dan barang kawalan lain ini berpunca dari sikap peruncit dan pemborong sahaja, tetapi harus dilihat secara menyeluruh termasuklah dari aspek pemberian AP dan penguatkuasaan kerajaan sendiri.

PAS lancar Institut Latihan Pilihan raya PAS

Posted: 16 Jun 2010 06:27 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPURn: Semua para pemimpin kanan dan wakil rakyat PAS bakal berkumpul di Batang Kali pada 20 Jun ini bagi menyertai pelancaran gerak kerja Institut Latihan Pilihan Raya PAS (ILPAS).

Majlis yang bakal dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu akan diadakan mula jam 8 pagi hingga 2 petang di Dewan Datuk Abdul Hamid, Batang Kali.

Boleh dikatakan semua pemimpin utama PAS dari ahli Majlis Syura dan AJK PAS Pusat hinggalah Pengarah Majlis Tindakan Dun dan jentera pilihan raya Dewan Himpunan Penyokong PAS akan terlibat dengan majlis ini.

ILPAS ditubuhkan oleh Jabatan Pilihan raya PAS Pusat untuk memberikan latihan pengendalian kempen pilihan raya kepada semua jentera pilihan rayanya.

Ia bakal menjadi pusat penting untuk melahirkan petugas pilihan raya PAS untuk sebarang pilihan raya.

Mahathir heret judi kepada perkauman

Posted: 15 Jun 2010 10:30 PM PDT

Muhammad Nuruddin


Dewan Pemuda PAS dari peringkat pusat sehingga ke akar umbi berasa cukup terkilan dengan kenyataan dangkal Tun Mahathir berkaitan isu judi yang dianggap sebagai isu politik semata-mata. Jelas Tun Mahathir yang kini ingin mencipta nama di peringkat antarabangsa melalui Global Peace Organisation itu cukup tidak matang mengeluarkan kenyataan berkaitan isu domestik terkini iaitu perlesenan judi.

Pemuda PAS Gopeng menolak kenyataan beliau yang mengaitkan bantahan DAP terhadap judi tidak bermakna DAP menerima syarikat Islam. Bersama dengan PAS menolak judi yang merupakan punca kerosakan sosial tiada kena mengena PAS memaksa DAP menganut Islam. Malah jika DAP dan kaum Cina memiliki kesedaran menolak judi ia adalah suatu yang perlu dibanggakan oleh Tun dan Umno kerana tujuan umat Islam di dunia ini adalah untuk menyedarkan perkara yang baik serta menjunjung nilai sejagat.

Kempen 1Malaysia cukup gagal apabila mentor Najib sendiri tergamak menghina kaum Cina dengan mengaitkan judi sebagai kegemaran dan budaya kaum itu.

Adakah Tun mahathir ingin membuat perbandingan antara penerimaan Islam oleh DAP dengan Umno? Jika Umno menerima Islam, bagaimana pula serangan Tun selaku Perdana Menteri dahulu terhadap sekolah agama rakyat (SAR), kalimah Islam pada pertubuhan Islam, serangan terhadap hudud serta mengapa Tun sanggup membela anggota Freemason yang membantu Umno dalam pilihan raya?

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang sudah disokong lebih 40 pertubuhan termasuk dari kalangan bukan Islam adalah petanda yang jelas Tun Mahathir tidak mengikut perkembangan semasa dengan betul.

Undang-undang jelas menyatakan yang semua lesen perjudian dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan sedangkan kerajaan negeri hanya bertanggungjawab terhadap premis judi sahaja di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1961. Jelas pakatan rakyat cukup mendokong aspirasi membawa agenda islah dan taghyir ke arah masyarakat yang lebih baik apabila melihat parti seperti DAP mula berusaha memulihkan kesedaran betapa rosaknya judi.

Alasan kebudah-budakan oleh Tun bahawa lesen judi akan mengawal judi daripada dimainkan oleh orang Islam dan ianya hanya untuk kaum Islam adalah hujah yang dangkal malah Tun seolah-olah tidak mengenal sikap orang melayu. Jika Tun sanggup ke premis judi, orang Melayulah yang antara teramai beratur membeli nombor. Bukankah premis tersebut juga berlesen dan di mana kuasa lesen itu untuk meghalang orang Melayu memasuki premis?

Umno hidup melalui pendapatan judi sejak tahun 1951. Dalam keadaan negara yang diramalkan bakal bankrap akibat gejala boros dan rasuah dalam pemerintahan Malaysia, setiap peristiwa, event, sukan atau apa sahaja akan dikomersilkan tanpa mengira halal dan haram kerana pemimpin sudah terdesak.

Pemuda PAS Gopeng memberi amaran kepada penyokong judi beragama Islam di Malaysia bahawa umat Islam seluruhnya tidak akan selamat sekiranya tergamak ingin terus menambah suntikan wang haram ke dalam pembangunan fiskal negara.

Kenyataan Tun yang ingin memisahkan isu judi dengan agama dan mengekalkan pemikiran sekular benar-benar menuntut untuk Tun bertaubat di penghujung usia kini.

Muhammad Nuruddin Bashah,

Exco Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng.

PAS alternatif ganti Umno

Posted: 15 Jun 2010 10:29 PM PDT

Mohd Rashidi Hasan

UCAPAN dasar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-55 di Kelantan lebih memfokuskan kepada pembinaan kekuatan PAS.

Fokus ini ditekankan bukan kerana PAS tidak kuat sekarang ini. PAS diakui kawan dan lawan sebagai sebuah parti Islam yang menjadi teras dan harapan orang-orang Melayu, kuat serta dinamik.

PAS kini, berada di atas landasan yang betul iaitu PAS mesti menyediakan dirinya menjadi pengganti Umno, sebagai tonggak pemerintahan dalam negara.

Kita tidak bercakap soal rasis di sini. Soalnya ialah semua pihak harus menerima hakikat bahawa orang-orang Melayu merupakan kaum majoriti dalam negara, yang mempunyai suara yang lebih dan menjadi kaum penentu arus pemerintahan negara.

Oleh itu maka, parti yang mendapat sokongan terbesar orang-orang Melayu, maka parti itulah yang akan menjadi teras pemerintahan negara.

Sudah lebih 50 tahun Umno menjadi parti teras yang amat berkuasa dalam negara. Namun sejak Pilihan Raya Umum ke-12 2008 yang lalu, dominasi Umno sejak sekian lama sudah dihentikan rakyat.

Walaupun pentadbiran Umno bertukar Presiden, pemerintahan negara bertukar Perdana Menteri, namun sehingga kini, kedudukan Umno yang tercalar teruk masih tidak mampu dipulihkan.

Sebenarnya, Melayu sudah lama menunjukkan sikap menolak Umno. Keputusan Pilihan Raya Umum ke-10 1999 memberi petanda bahawa Melayu sudah semakin menolak Umno.

Trend penolakan terhadap Umno dari kalangan Melayu, kekal pada PRU 2004 dan 2008. Menerusi perbandingan tiga PRU iaitu 1999, 2004 dan 2008, graf turun naik pengundi Melayu hanya di sekitar 5 peratus sahaja. Ini membawa makna, majoriti Melayu yang mengundi PAS dan pembangkang pada 1999 hingga sekarang, masih kekal dan tidak berubah.

Oleh kerana itu, jikapun diadakan PRU ke-13 dalam waktu yang terdekat ini, harapan Umno untuk mendapat undi lebih dari kalangan Melayu amat terhad dan terbatas.

Sebab dan punca penolakan orang Melayu terhadap Umno begitu banyak. Hakikat daripada penolakan ini ialah, Umno tidak lagi mendapat kepercayaan orang-orang Melayu untuk menjadi parti yang boleh diharapkan. Umno tidak lagi diterima menjadi parti yang melindungi kepentingan Melayu dan Islam dalam negara.

Dalam keadaan politik Malaysia yang disusun sedemikian rupa, maka tidak ada pilihan lain bagi PAS, selain memperkukuhkan kedudukannya di kawasan majoriti Melayu atau 'Malay belt'.

Maka dengan itu, Presiden PAS dalam ucapan dasarnya, mengajak semua NGO Islam yang secara relatifnya dianggotai ramai kalangan orang Melayu, untuk bernaung di bawah PAS.

Hanya PAS yang boleh diharapkan untuk menjaga dan melindungi, bukan sahaja kepentingan Melayu-Islam, malah menjaga kepentingan semua kaum.

NGO harus sedar bahawa Umno tidak punyai masa depan dalam negara. Umno gagal bukan kerana idealismenya tidak baik untuk Melayu dan Islam, tetapi ia gagal kerana ia dianggotai oleh kalangan pemimpin dan ahli yang tidak memahami, serta tidak mengamalkan apa yang diperjuangkannya.

Umno tidak boleh diharap kerana ia ditunjangi oleh pemimpin dan ahli yang berkepentingan, korup dan rosak akhlak.

Dari sudut kepimpinan, amali perjuangan, disiplin dan akhlak, pemimpin PAS jauh mengatasi Umno. PAS berjaya melahirkan kepimpinan yang bersih dan berwibawa.

PAS harus bersyukur kerana sepanjang 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, sepenggal di Terengganu, sebelas bulan di Perak dan dua tahun di Kedah, kini, tiada pemimpin PAS yang boleh dipalitkan dengan rasuah atau salahguna kuasa.

Kualiti dan integriti ini harus dikekalkan. PAS tidak boleh menjadi seperti Umno yang penuh terpalit dengan kebusukan. PAS jangan jadi seperti Umno jika berkuasa sepenuhnya kelak.

Maka, pada Muktamar kali ini, PAS harus memperkukuhkan organisasi dan kepimpinannya. Menjadi parti teras yang menggantikan Umno.

Jauh di sudut hati kita, harus kita letakkan keyakinan bahawa PAS mampu menggantikan Umno. Jika Umno dan Barisan Nasional tewas pada PRU ke-13 nanti, Umno harus dibubarkan dan disimpan dalam muzium.

Dan jika ketika itu, jika orang-orang Umno mahu melihat Melayu terus kukuh dan menjadi tuan dalam negara, maka mereka tidak ada pilihan lain selain menyertai dan menyokong perjuangan PAS.

Maka Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-56 kali ini, merupakan platform terbaik untuk PAS membuat anjakan paradigma, menjadi parti Melayu-Islam yang terbesar dalam negara.

Najib 'tinjau' lokasi Pejabat PAS Kelantan

Posted: 15 Jun 2010 10:27 PM PDT

Wartawan Kita

KOTA BHARU: "Datuk Seri Najib Razak datang ke pejabat Perhubungan PAS Kelantan" geger diperkatakan orang ramai di sini pagi tadi. Telahan itu dibuat ekoran ura-ura Perdana Menteri akan minum di sebuah kedai kopi di kawasan berkenaan.

Mereka membuat andaian iitu apabila beberapa hari lalu pegawai kerajaan persekutuan difahamkan dari Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dilihat mereka memasuki restoran Mutiara Corner bersebelah pejabat berkenaan.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Mohamad mendakwa, Perdana Menteri akan minum pagi di kedai terbabit bagi memperlihatkan sikap mesranya sebelum merasmikan Ar Rahn milik Bank Islam berhampiran kompleks Mara di Jalan Datuk Pati.

Telahan itu dibuktikan lagi apabila jalan Datuk Pati ditutup kepada sebarang lalu lintas sejak pagi lagi.

Pihak polis pula memasang tali keselamatan di kawasan berkenaan dan kelihatan begitu ramai anggota polis termasuk berpakaian biasa mundar mandir di lokasi terbabit.

Orang ramai juga berada di restoran berkenaan untuk menanti kehadiran Najib ke kawasan yang dipenuhi penyokong PAS.

Bagaimanapun ketika kenderaan membawa perdana menteri tiba kira-kira jam 11 pagi tadi, kereta itu dan rombongannya tidak singgah di kedai berkenaan, sebaliknya terus ke lokasi tempat perasmian Ar-Rahn.

Andaian "Najib datang ke pejabat PAS Kelantan" akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau tiba-tiba muncul selepas majlis perasmian Ar Rahn. Turut kelhatan bersamanya Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Menteri Pelancongan, Datuk Ng Yen Yen.

Sebelum itu ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra perdana menteri disambut dengan banner Gerakan Bertindak Rakyat Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang menuntut Najib membayar royalti RM2 bilion kepada Kelantan.

"Perdana Menteri datang berhampiran pejabat Perhubungan PAS Kelantan dengan dikawal ketat anggota polis," kata seorang lelaki separuh umur yang sejak pagi berada berhampiran restoran Mutiara Corner.

Seorang lelaki separuh usia pula mendakwa orang ramai yang sejak pagi lagi berada di kedai makan berkenan diminta keluar menjelang jam 12 pagi sebelum ketibaan Najib.

Hanya beberapa meja yang terletak di kaki lima restoran sahaja dibenarkan pelanggan berada di situ.

Menurutnya, pegawai JPP yang mengatur kehadiran perdana menteri ke restoran berkenaan hanya mahu membayar meja yang diduduki Najib sahaja.

"Keadaan itu mengejutkan kerana tindak tanduk tersebut tidak mencerminkan 1Malaysia. Ini memberi gambaran perdana menteri hanya membayar pesanan makanan di meja yang ditempah sahaja sedangkan meja lain dibiarkan," kata seorang pelanggan.

Pusat bandar Kota Bharu terutamanya di lokasi berhampiran Jalan Datuk Pati sesak teruk pagi tadi memandangkan pegawai dan kakitangan kerajaan persekutuan dikerah hadir majlis perasmian Ar Rahn Bank Islam.

Banyak kenderaan yang ditulis perkataan Kementerian Dalam Negeri berada di lokasi terbabit. Selain itu kenderaan pelbagai agensi kerajaan pusat turut memenuhi ruang kiri kanan jalan.

Seorang pegawai dari Machang memberitahu beliau dan rakan-rakan sekerja dikerah hadir ke majlis tersebut.

Selain itu ada guru membebel panjang kerana dipaksa hadir ke majlis berkenaan sedangkan mereka sibuk dengan kenduri kendara di rumah.

Sebelum datang ke Jalan Datuk Pati, perdana menteri difahamkan berehat di Hotel Renaisance setelah tiba di Kota Bharu.

Kawasan hotel lima bintang berkenaan kelihatan begitu ramai anggota keselamatan. Kehadiran helikopter yang mundar mandir di udara membingitkan lagi suasana.

Petang ini Perdana Menteri dijangka hadir ke sebuah wat Siam di Jubakar Darat di Tumpat pada majlis bersama rakyat berbilang kaum.

Menurut sumber, pada majlis itu Najib difaham akan menyampaikan cek berjumlah ratusan ribu kepada pengurusan wat Siam untuk membina sebuah menara loceng bagi kegunaan penganut agama Buddha.

Manakala pada malam ini, perdana menteri akan hadir pada majlis perasmian karnival Kelantan Fiesta 2010 di Stadium Sultan Mohammad Ke IV.

Menurut kenyataan media Redcarpet Worldwide Sdn Bhd, Kelantan Fiesta akan diramikan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Turut dijemput Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Fiesta berkenaan dianjurkan bersama MITI dan kerajaan negeri Kelantan.

Kehadiran presiden Umno ke Kelantan melengkapkan Kota Bharu menjadi tumpuan tiga parti utama di negara ini iaitu PKR dengan Kongres Nasional pada akhir Mei lalu dan muktamar PAS yang berakhir Ahad lepas.

Dan hari ini Presiden Umno juga memilih Kota Bharu sebagai lokasi lawatan kerjanya.

"Najib ke Kota Bharu kemungkinan bagi mengikut jejak Anwar Ibrahim dan Ustaz Hadi yang berkampung di sini, baru-baru ini," kata seorang pemerhati politik.

Keshvinder ‘tidur' masa PR perintah Perak

Posted: 15 Jun 2010 10:25 PM PDT

Harakahdaily


IPOH: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malim Nawar, Keshvinder Singh a/l Kashmir Singh yang mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan DAP dan menjadi Adun Bebas disifatkan sebagai membuka pekung sendiri.

Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Khalil Idham Lim (gambar) berkata, tindakan Keshvinder tersebut akibat menyedari tidak mampu menyelesaikan masalah serius rakyat di kawasannya sendiri sejak Mac 2008 lalu.

Katanya, selama menjadi Adun sewaktu Pakatan Rakyat memerintah, Keshvinder didakwa 'tidur' sehingga tidak tahu permasalahan yang berlaku di kawasannya.

"Saya tidak tahu apa yang dia lakukan sejak dia menjadi Adun sehingga rampasan kuasa, sehingga baru tahu ada orang susah di kawasannya selepas BN merampas kuasa.

"Sesudah 2 tahun lebih menjadi Adun baru dia mahu berlagak menjadi wakil rakyat di Dun yang dimenanginya. Sebelum ini dia 'tidur' sahaja," kata Idham Lim yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Pakatan Rakyat Perak.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak sebelum ini, kata Idham Lim, memberi peruntukan sebanyak RM75,000 yang disalurkan melalui pejabat daerah dan dikendalikan kelulusannya oleh Adun termasuk Keshvinder, namun tidak tahu ke mana peruntukan wang tersebut disalurkannya.

Semalam, Keshvinder mengumumkan keluar parti pada sidang akhbar di Hotel Holiday Villa, di Subang.

Beliau sebelum ini pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa ditawarkan wang tunai RM20 juta agar meninggalkan Pakatan Rakyat.

Dalam kenyataan kepada media di luar pejabat SPRM pada hari itu, Keshvinder mendakwa, agen Datuk Seri Najib Razak, ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Perhubungan Umno Perak yang membuat tawaran itu.

"Dengan ini saya menegaskan bahawa tindakan Khesvinder tidak membawa masalah kepada Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat Perak terus utuh dengan gabungan yang mantap serta kesefahaman yang terus kami jalin terus bagi memastikan segala gerak kerja yang selama ini dirancang bersama untuk menumbangkan BN dalam pilihan raya akan datang diterus dan ditingkat dari masa ke semasa," kata Idham Lim yang juga Adun Titi Serong.

Tiada ulasan: