Sabtu, 5 Jun 2010

Biaqpila

Biaqpila


Pelajar ghaib dari sekolah

Posted: 05 Jun 2010 03:00 PM PDT

2010/06/05

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan empat sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Lipis, Pahang, 'ghaib' dari sekolah berkenaan dan gagal dikesan, sejak sembilan hari lalu.

Lebih membimbangkan, Muhamad Syahfrin Syahiran Razali, 16, tidak menghubungi bapa atau ibunya sejak menghilangkan diri sehingga menimbulkan pelbagai andaian mengenai keadaannya. Difahamkan, punca pelajar pintar terbabit menghilangkan diri kerana tertekan dengan kes perceraian membabitkan ibu bapanya. Ibunya, Nokertini Che Noh, 35, berkata dia hanya mengetahui mengenai kehilangan anak sulung daripada lima beradik itu selepas dimaklumkan bekas suami, Razali Shafie, 35, pada 27 Mei lalu.

"Saya tidak tahu ke mana dan di mana Muhamad Syahfrin sekarang. Selalunya dia akan pulang ke rumah ibu saudaranya atau ke rumah bapanya di Felda Sungai Koyan 1, Raub, dekat sini. "Kami sekeluarga sudah buntu dan bimbang keselamatannya. Malah, pelbagai tanggapan negatif mengenai keadaannya kini dibuat ahli keluarga termasuk diculik atau bergaul dengan budak nakal," katanya yang datang ke Balai Berita di sini, semalam.


Norkertini berkata, Muhamad Syahfrin seorang anak yang peramah namun mula berubah perangai selepas dia dan bekas suami berpisah.


"Mungkin dia tertekan dengan kejadian berkenaan. Malah, sejak perceraian kira-kira pertengahan tahun lalu, Muhamad Syahfrin mula terbabit masalah disiplin," katanya.


Norkertini berkata, berdasarkan maklumat terkini diterima bekas suami, Muhamad Syahfrin mendakwa berada di ibu kota namun lokasinya belum diketahui.


"Itupun, dia (Muhamad Syahfrin) menghubungi rakannya beberapa hari lalu mendakwa berada di sini. Saya yakin dia bukan bersendirian.


"Mungkin ada rakan luar yang membawanya ke sini. Apapun, saya berharap supaya dia selamat dan segera pulang ke pangkuan keluarga," katanya.


Sehubungan itu, ibu bapa Muhamad Syahfrin dan pihak pengurusan sekolah sudah membuat laporan di Balai Polis Raub, dekat sini, mengenai kehilangannya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhamad Syahfrin diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa ataupun menghubungi Norkertini di 013-3340247.

hmetro


Share

Judi sukan: Najib terhutang budi pada Kumpulan Berjaya

Posted: 05 Jun 2010 09:00 AM PDT


(Gambar: Khalid membahagi risalah GMJ kepada orang ramai.)

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak merasa terhutang budi sehingga meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya.

Beliau berkata, besar kemungkinan Kumpulan Berjaya turut memberikan sumbangan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membiayai perbelanjaan menghadapi 11 pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

Tambahnya, Berjaya membayar sejumlah RM250 juta kepada kerajaan dalam tempoh setahun bagi lesen judi.

Baginya, tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak itu kerana terdesak untuk mendapatkan duit kerana negara menghadapi masalah kewangan sekarang.

Jelasnya, kelulusan tersebut tidak pernah dibincang atau dibahaskan di Parlimen.

"Keputusan itu dibuat mendadak oleh kerajaan yang lahir dari sikap desperado, terdesak BN dalam keadaan negara menghadapi masalah kewangan," ujarnya pada Pelancaran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini petang ini.

Turut berucap ialah Pengerusi GMJ, Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha JIM, Nahar Mohd Noor, wakil Jemaah Muafakat Muslim Perak, Zulkifli Ibrahim, Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Setiausaha Agung Abim, Rahimi Abdul Rahim dan wakil Dewan Pemuda Masjid, Mohd Takiyuddin Abdullah.

Khalid berkata, ekoran kelulusan judi itu yang dianggap sebagai membalas budi, kemungkinan Berjaya akan terus memberikan sumbangan kepada BN.

Menurutnya lagi, penentangan terhadap kelulusan lesen judi itu bukan sahaja melibatkan Pakatan Rakyat tetapi MCA dan Gerakan yang merupakan komponen utama BN.

"Hanya Umno yang menyokong," ujarnya.

Mohd Azmi sewaktu menjawab pertanyaan media berhubung sikap membisu pemimpin Umno berhubung kelulusan lesen judi bola sepak itu berkata: "Itu kena tanya Umno".

Majlis berakhir dengan penyebaran risalah GMJ bertajuk Judi Meruntuhkan Masyarakat & Negara oleh anggota gerakan itu yang turut memaklumkan mengenai Himpunan 100,000 Rakyat Membantah Judi pada 3 Julai di Istana Negara sempena penyerahan memorandum bantahan judi itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

harakahdaily


Share

Misteri benang terbongkar

Posted: 05 Jun 2010 07:00 AM PDT


ABDUL JALIL menunjukkan sebahagian gelung benang yang dirampas daripada tiga lelaki pada sidang akhbar di Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA - Sebut 'nak beli benang' terus dapat dadah.Itulah taktik terbaru sekumpulan tiga lelaki Aceh yang menjadikan gelung benang sebagai alat untuk mengedar syabu sejak enam bulan lalu.

Menjadikan penagih tempatan sebagai pelanggan utama dan penagih senegara mereka sebagai pelanggan sampingan, mereka dipercayai telah mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit hasil penjualan bahan khayal tersebut.

'Pejabat' mereka pula merupakan sebuah kedai runcit dan sebuah rumah di Taman Keramat Permai, Hulu Klang. Oleh itu, mereka dapat mengaburi mata pihak berkuasa.

Lebih licik, pelanggan tetap mereka pula perlu menyebut kata laluan 'hendak beli benang' sekiranya mahu mendapatkan bekalan.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar akhirnya apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menyerbu 'pejabat' mereka pada pukul 12.30 malam kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 45 paket syabu seberat 5.5 gram bernilai RM3,000 daripada suspek-suspek berusia di antara 22 dan 45 tahun terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, siasatan awal mendapati, suspek menyelitkan syabu seberat di antara 0.5 dan 1 gram di dalam penyedut minuman yang dipotong berharga di antara RM50 dan RM100 sebelum disembunyikan di dalam segelung benang kecil.

kosmo


Share

Umno-BN Perlekeh Pergorbanan Sukarelawan Malaysia, Turki Anggap Wira

Posted: 05 Jun 2010 05:00 AM PDT


KUALA LUMPUR 5 Jun - Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN , Mustaffa Kamil Ayub kesal dengan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang tidak mengiktiraf pengorbanan sukarelawan yang terselamat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza Isnin lepas.
"Faktor alasan kewangan tidak dapat diterima sama sekali sedangkan komitmen kerajaan Turki lebih tinggi berbanding negara-negara Islam yang lain termasuk Malaysia.
"Saya berasakan ini berkemungkinan mempunyai hubungkait dengan kontrak yang dimeterai antara kerajaan Umno-BN dan Apco.
"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak nampaknya seperti terikat dan mengikut telunjuk untuk mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.
Menurut Mustaffa lagi, ini mungkin mempunyai kaitan dengan kezaliman terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes pembunuhan Altantunya.
"Kita juga sangsi dengan respon Najib yang begitu lambat bertindak berhubung serangan komando rejim zionis Israel terhadap kapal Mavi Marmarra yang menyebabkan 9 aktivis dan berpuluh lagi cedera.
"Kontrak yang dimeterai Najib dengan syarikat Apco Worldwide menjadi satu sebab kerajaan Umno-BNl bersikap sederhana terhadap sukarelawan Malaysia yang terselamat," ujarnya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Sebelum itu, media melaporkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata Angkatan Tentera Malaysia tidak akan mengadakan penerbangan khas untuk membawa pulang 12 sukarelawan dan media Malaysia yang dibebaskan dari tahanan tentera Israel.
Ahmad Zahid memberi alasan penerbangan itu akan membabitkan kos yang tinggi dan setakat ini tiada permintaan daripada kerajaan Umno-BN untuk membawa mereka pulang menggunakan pesawat tentera.

SK


Share

Lelaki gendut kembali ke PKR

Posted: 05 Jun 2010 03:00 AM PDT

Hishamuddin Rais


Saya telah mengikuti perkembangan Parti Keadilan Nasional (PKN) dari dulu lagi. Dalam sejarah awalnya, parti ini ditubuhkan di Hotel Renaisance Kuala Lumpur pada tahun 1998. Pelancaran PKN ini berlangsung disebuah hotel yang agak chic dan mahal.

Saya tidak masuk pun ke dalam dewan hotel itu. Saya hanya berlegar di tepi jalan di hadapan hotel. Saya ternampak ramai lelaki berperut gendut dan berbaju batik berlengan panjang keluar masuk dalam hotel. Saya berdiri di tepi jalan sebagai pemerhati dari jauh.

Babak petama di Hotel Renaissance ini berlangsung ketika ramai penyokong Anwar Ibrahim menganggap tidak lama lagi Anwar akan menjadi perdana menteri. Maka mereka pun melabur. Melabur untuk parti politik ini adalah teras hegemoni budaya Gerombolan United Malays National Organistion.

Dalam pilihan raya tahun 1999 - ramai juga lelaki berperut gendut dan berbaju batik yang menampil diri dan melabur lagi. Perlaburan mereka jatuh meleset. Maka berakhirlah zaman 'pink form Anwar Ibrahim'. Maka bermulalah zaman realis bahawa kuasa bukan di tangan individu atau kerana retorik individu tetapi dengan penyusunan ombak rakyat yang kompak untuk mendobrak kerajaan zalim BN.

Saya datang ke kongres parti hanya untuk melihat. Bukan untuk mendengar ucapan atau untuk mendengar gebang ahli-ahli politik. Sekali sekala saya mendengar juga. Tapi ini bukan tujuan asal. Saya menghadirkan diri untuk memerhatikan apakah yang dipakai oleh orang yang datang ke perhimpunan tersebut. Atau apa baju dan kasut yang di pakai oleh ahli-ahli parti. Untuk saya ini lebih penting dari seribu ucapaan.

Ketika Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan PKN bercantum pada tahun 2002 - satu upacara telah di adakan di Dewan Perhimpuan Cina Kuala Lumpur. Ketika itu saya datang menebeng dan melihat dari jauh. Saya perhatikan dewan besar tidak penuh - banyak kerusi kosong. Lelaki berperut gendut dan berbaju batik hampir pupus.

Ada muka-muka baru yang saya lihat ramai - apek China memaki baju-t berkolar dan berselipar. Ini pendatang baru. Lalu saya mengambil kesimpulan bahawa si apek yang berselipar ini pastilah datang dari PRM. Yang berkopiah putih tidak bagitu ramai. Yang berbaju Melayu, bersamping dan bersongkok langsung tidak kelihatan. Mak cik bertudung labuh pun tidak kelihatan. Anak muda kelihatan ramai.

Kongres di tokong amat radikal

Dari pemerhatian ini saya mengambil kesimpulan bahawa satu budaya baru telah muncul di dewan perhimpuan Cina ini. Malah satu sejarah terlakar kerana percantuman dua parti politik yang berasaskan warga Melayu telah diadakan di dewan perhimpuan Cina dan dihadiri oleh ramai apek Cina dan anak muda. Selipar Jepun dan baju-t Pagoda telah diterima untuk masuk ke persidangan.

Zaman berarak dan beredar. Satu lagi kongres PKR telah diadakan. Kali ini di Ipoh. Saya juga datang menumpang untuk melihat siapa yang datang dan apa pakaian yang akan dipakai. Dalam negara kuku besi seperti Malaysia ini bukan senang sebuah parti pembangkang untuk mendapat tempat mengadakan persidangan.

Jika hotel dilamar - hotel ini akan diberi amaran. Dewan milik orang ramai yang bersepah-sepah tidak mungkin dibenarkan untuk dipakai oleh parti pembangkang. Puak gerombolan akan menindas dengan pelbagai cara untuk memastikan kuasa terus di tangan mereka. Akhirnya kongres PKR di Ipoh telah diadakah di sebuah tokong.

Nah! Ini satu sejarah lagi. Bayangkan kongress PKR diadakan di Tokong Cina. Rasa kekok orang Melayu di dalam dewan tokong Cina tidak wujud lagi. Ini satu pembudayan yang amat radikal. Kalau dahulu di dewan perhimpunan Cina - kali ini di Tokong Cina. Kini PKR telah bergerak jauh dari hegemoni budaya gerombolan.

Ketika kongres di tokong ini berjalan saya perhatikan lelaki berperut gendut dan berbaju batik berlengan panjang tidak seramai di Hotel Renaisance dahulu. Ramai yang datang berpakaian agak lekeh dan sempoi. Untuk saya ini satu petanda yang amat membanggakan. Selipar dan baju-T pagoda sekali lagi menjadi trend di Ipoh.

Saya perhatikan yang datang ke tokong itu terdiri dari mak cik dan pak cik yang datang dengan bas dari Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Memang dari wilayah yang jauh mereka datang. Mungkin kerana berita telah tersebar Anwar Ibarahim yang telah bebas akan datang ke kongres di Ipoh.

Saya tidak muncul di kongres Pulau Pinang dan di Seremban. Saya terlupa sebab apa saya tidak datang. Jadi saya tidak ada catitan jenis pakaian apa yang terdapat di kongres tersebut. Apa yang saya amat yakin ialah lelaki berperut gendut dan berbaju batik mula berkumpul kembali. Mereka datang kerana Anwar Ibrahim telah di bebaskan. Mereka menunjukkan muka sekali lagi. Ini juga sebagai pelabur saham. Budaya germbolan datang sekali lagi dalam PKR.

Minggu lepas saya ke Kota Bahru. Saya datang menebeng dan tumpang melihat kongress ke-6PKR. Kali ini semuanya telah berubah. Kongres kali ini diadalah sesudah 8 Mac 2008 - ertinya satelah mendapat kemenangan dan wujudnya Pakatan Rakyat.

Hilang indentiti

Kongres Angkatan Muda Keadilan diadakan di satu tempat peranginan di Pantai Cahaya Bulan. Saya sampai awal pagi. Ketika saya sampai, apa yang saya dengar hanya desiran ombak. Esoknya saya lihat tempat bersidang yang agak lumayan berbanding dengan tokong di Ipoh dahulu. Lebih tersusun dan teratur. Para perwakilan ada bilik dan tempat penginapan. Ini lumayan.

Untuk saya gerakan anak muda ini paling penting. Anak muda adalah nadi sesebuah organisasi politik. Tanpa tenaga muda tidak mungkin ada parti politik yang boleh berkembang. Bila saya menjenguk muka ke dalam dewan persidangan AMK - saya senang hati kerana hampir 400 orang anak-anak PKR muda sedang berdebat dan berbincang.

Kemudian saya terlihat ramai perwakilan di dalam dewan yang memakai baju biru. Mungkin ini baju rasmi AMK. Ini satu kesilapan besar. Anak muda yang berseragam sampai dunia kiamat pun tidak akan dilihat cool. Anak muda cool pemecah ruyung tidak akan mengikut arahan bagaimana harus berbaju atau berseluar. Yang suka berseragam adalah mereka yang suka ditarik hidung. Pakaian seragam diwujudkan agar individu hilang identiti diri. Saya hanya tersenyum - bermula dengan berbaju biru dan mungkin akan berakhir dengan berperut gendut dan berbaju batik berlengan panjang.

Esoknya saya masuk ke Dewan Kelantan Trade Center. Saya pun tidak faham kenapa bangunan ini dipanggil Kelantan Trade Center. Apakah dengan pengunaan bahasa Inggeris ini akan membuktikan bahawa kerajaan Kelatan ini hebat dan berwibawa. Jika ini hujah nya maka ini samalah seperti drama swasta yang menggunakan "I" dan "You" untuk membuktikan bahawa para pelakon drama ini berilmu.

Dalam dewan saya perhatikan bahawa tradisi lelaki berperut gendut dan memakai baju batik berlengan panjang semakin berkurang. Lelaki berperut gendut dan memakai baju batik berlengan panjang ini ramai telah keluar dari PKR. Tetapi jangan silap baca masih ramai lagi lelaki jenis ini menjalar dalam PKR. Tetapi buat sementara waktu mereka tidak memakai baju batik dan telah cuba mengempiskan perut.

Kenapa saya memperlekehkan lelaki berperut gendut dan berbaju batik lengan panjang? Jawabnya cukup senang. Perhatikan muka yang telah lari meninggalan PKR. Perhatikan perut mereka. Semuanya gendut dan boroi. Mereka juga sering dilihat memakai baju batik berlengan panjang.

Untuk saya baju batik berlengan panjang muncul dari hegemoni budaya gerombolan United Malays National Organisation. Saya anggap perkara yang paling bodoh yang kita lakukan ialah meniru apa yang dilakukan oleh musuh kita. Menerima apa yang dibudayakan oleh musuh membuktikan kita tidak memiliki fikrah untuk melakonkan yang baru.

Kita bukan sahaja wajib menolak parti gerombolan. Kita juga wajib menolak budaya yang disebarkan oleh gerombolan. Berperut gendut dan berbaju batik lengan panjang adalah budaya gerombolan. Ini wajib dilupuskan. PKR wajib melahirkan seni dan budaya sendiri. Jangan jadi malas hanya dan menerima baju batik berlengan panjang sebagai budaya. Kerana malas, maka perut jadi gendut.

malaysiakini


Share

Lagi kisah rakaman seks jadi bahan ugutan

Posted: 05 Jun 2010 01:00 AM PDT

Keperawanan diragut lepas bersiar-diar


BATU PAHAT: Seorang pelajar perempuan tidak menduga kesudiannya keluar bersiar-siar bersama seorang lelaki, bukan saja berakhir dengan mahkota keperawanannya 'diragut' malah dia dijadikan hamba seks selepas rakaman perbuatan terkutuk itu dijadikan bahan ugutan.

Peristiwa hitam dalam satu kawasan paya bakau berhampiran pekan Senggarang, dekat sini, turut dirakam lelaki durjana itu menggunakan telefon bimbitnya sebelum pelajar terbabit sering dipaksa melakukan hubungan seks bagi mengelakkan rakaman itu disebarkan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, proses perkenalan pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Senggarang bersama lelaki berkenaan, didakwa berlaku secara biasa.

"Proses perkenalan mereka didakwa berlaku secara biasa dan pelajar terbabit dikatakan bersetuju dengan pelawaan penganggur berkenaan untuk keluar bersiar di sekitar bandar ini.

"Ketika dalam perjalanan pulang, lelaki terbabit didakwa membawa pelajar berkenaan ke kawasan pantai, sebelum memintanya membuka pakaian dan mengadakan hubungan seks dalam kawasan paya bakau berhampiran.

"Tidak cukup dengan tindakannya merogol pelajar itu, penganggur terbabit didakwa turut menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam adegan seks," katanya.


Share

Pemimpin UMNO Kebudak-budakan

Posted: 04 Jun 2010 11:00 PM PDT

Oleh: ruhan


Respon kebudak-budakan Najib dan para pemimpin UMNO-BN terhadap hasrat Anwar Ibrahim hendak melantik TPM II dalam kalangan pemimpin DAP sungguh menggelikan hati. Mereka menganggap kenyataan tersebut sebagai gimik politik dan mendakwa ketua pembangkang itu sedang terdesak hingga sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk menarik sokongan kaum Cina demi mencapai cita-citanya untuk menjadi PM.

Kenyataan mereka bertambah aneh apabila beranggapan bahawa janji itu tidak dapat ditunaikan. Dalam minda pemimpin UMNO-BN tertancap kekuh kepercayaan tentang mereka sahaja yang berhak memerintah negara ini. Ketakburan itu sudah membawa padah kepada mereka dalam PRU Ke-12 dahulu. Kesungguhan mereka memperkecil-kecilkan kemampuan Pakatan Rakyat dan kuasa pengundi berakhir dengan kekalahan 5 buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Rupa-rupanya ketersungkuran itu tidak menjadi pengajaran kepada UMNO-BN. Mereka terus sombong dan takbur. Di samping itu, mereka tidak mampu menyembunyikan rasa tertekan, kecewa, dendam, dan tidak menerima hakikat. Oleh sebab itu, mereka merampas Perak dengan cara yang tidak bermoral. Mereka menggunakan kuasa dan wang untuk memporak-perandakan Pakatan Rakyat. Mereka mencuba sehabis daya untuk menghantar mesej Pakatan Rakyat tidak mampu memerintah kepada rakyat.

Rakyat tahu perbuatan itu menyerlahkan sikap sambil lewa mereka terhadap tugas dan tanggungjawab kerajaan. Masa dihabiskan untuk menyerang parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Aktiviti tidak berfaedah itu diteruskan juga walaupun yang lebih terserlah di mata rakyat ialah ketidakmampuan mereka sendiri mengurus negara dari sudut ekonomi, politik, dan sosial.

Ekonomi tidak begitu membanggakan. Wang negara mengalir ke poket pemimpin kerana rasuah, salah guna kuasa, dan sebagainya. Wang ditabur dalam PRK untuk membeli undi. Namun, mereka kalah 8 daripada 11 kerusi yang dipertandingkan pascaPRU Ke-12.

Politik mereka sendiri tidak stabil. Perkelahian dalam MCA berakhir dengan kemenangan pemimpin tidak bermoral sebagai presiden. Namun, tidak kelihatan parti itu bersatu kembali sehingga ke hari ini. Orang Cina tetap menolak mereka. Buktinya jelas kelihatan di Bukit Gantang, Hulu Selangor, dan Sibu. Sungguh tidak masuk akal apabila orang Cina dikambinghitamkan semata-mata kerana kelemahan MCA. Perebutan kuasa dalam PPP belum selesai. Parti nyamuk yang diberi dua tiga kerusi dalam PRU ini pun berlagak bukan main. Gerakan tidak tentu kepala ekor hingga kini. Pemimpin kata lain, ahli-ahli kata lain. MIC sedang dilanda perang saudara. Mula-mula anak Samy tunjuk lagak. Bila kena ugut terus sorok kepala macam burung unta. Itu macamkah pemimpin kaum India?

Ketika gelora melanda UMNO-BN, kaum Cina dan India berbondong-bondong menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Sokongan Melayu dan Bumiputera Sarawak kepada DAP semakin bertambah. Demam PKR akibat katak lompat sudah kebah. Kesemua ini menggelabahkan UMNO-BN sehingga diserang sawan. Kewujudan DHPP cuba dijadikan isu untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP. Namun, mereka lihat kedua-duanya bertambah akrab apabila Tuan Guru Nik Aziz melontarkan kesyukuran kerana PAS bersama Pakatan Rakyat, bukan Barisan Nasional.

Perkembangan terbaru menyaksikan Najib dihimpit oleh Anwar untuk menyatakan pendirian tentang katak lompat menerima RM2 juta dan projek. Najib berada dalam bahaya jika dia menafikannya. Kita tunggulah dengan sabar kesudahan episod yang mencemaskan ini.

UMNO ialah sebuah parti Melayu. Namun demikian, mereka tidak pernah memperjuangkan agenda Melayu. Mereka ialah pejuang-pejuang kebangsaan yang tergelincir. Jika betul mereka berjuang untuk kepentingan Melayu, tentulah kedudukan ekonomi orang Melayu di negara ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum Cina. Negara ini bukan sahaja sudah merdeka melebihi 50 tahun malahan juga diperintah oleh orang Melayu, tetapi Melayunya terus dihimpit kemiskinan.

Yang dikatakan berjaya tidak menjadi taukeh besar bagi membolehkan mereka merekrut anak muda Melayu yang berkemahiran. Sebahagian besarnya menjadi usahawan di peringkat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sahaja. Yang berlambak-lambak ialah Kontraktor Kelas F yang hanya tahu makan bersuap. Tak ada projek kerajaan nganga sahajalah. Macam mana nak jadi tempat bergantung anak Melayu?

Hal semacam ini tidak berlaku dalam dalam masyarakat Cina. Mereka ada rangkaian dan jaringan perniagaan yang kukuh yang boleh menjadi tempat bergantung anak-anak muda mereka. Sebab itulah masalah sosial dalam kalangan orang Cina kurang berbanding dengan timbunan pelbagai masalah dalam masyarakat Melayu.

UMNO gagal mempertingkatkan maruah orang Melayu. Padahal orang Melayulah yang menyokong mereka tanpa berbelah bagi pada peringkat awalnya. Nampaknya tebu dibalas dengan tuba. Orang Melayu masih dimamaikan oleh rasuah politik yang datang sekali-sekala. Mereka kenyang sekali untuk lapar bertahun-tahun. Begitu sekali sampainya hati Melayu-UMNO memperlakukan penganiayaan terhadap bangsanya sendiri.

Rakyat ialah tuan dalam sesebuah negara. Tiada negara yang tiada bertuan. Tuan berhak mencorakkan nasibnya. Jika hamba yang sedia ada tidak mampu memberi perkhidmatan yang diharapkan, mereka boleh ditunjukkan jalan keluar. Jalan keluar bagi UMNO-BN ialah kalahkan mereka dalam pilihan raya. Kita naikkan orang lain. Jika orang yang dinaikkan itu pun tidak berguna, kita masih diberi kesempatan untuk menukarkannya. Perubahan ialah keperluan hidup. Kedinamikan hidup bergantung kepada sejauh mana sesuatu bangsa itu sanggup membuat perubahan. Kita boleh melakukan perubahan itu dalam PRU Ke-13 nanti. Singkirkan pemimpin yang kebudak-budakan.

http://bilahrotan.blogspot.com

tranungkite


Share

Gambar - gambar demo anti Israel

Posted: 04 Jun 2010 09:00 PM PDT

Padah edar gambar bogel sendiri

Posted: 04 Jun 2010 07:00 PM PDT

Pengawal keselamatan dipenjara enam bulan

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan yang menyebarkan gambar lucahnya melalui beberapa laman web di internet, dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Shahrom Mahadi, 45, dari Taman Melawati di sini, mengaku bersalah di hadapan Hakim Azizah Mahamud.

Terdahulu, bapa kepada enam anak itu mengaku tidak bersalah bagi enam pertuduhan asal iaitu memuatkan beberapa keping gambar bogelnya melalui beberapa laman web dan enam pertuduhan alternatif iaitu menyebarkan gambar lucahnya itu di internet.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu pada 27 Februari tahun lalu, di pejabat Bahagian Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, Jalan Dato Onn di sini, tempat dia dipanggil untuk soal siasat polis.

Walaupun Shahrom dibebas dan dilepaskan daripada enam pertuduhan asal, mahkamah mensabitkan kesalahan bagi enam pertuduhan pilihan selepas menerima pengakuan bersalahnya. - Bernama

Share

PELANCARAN KEMPEN MEMANSUHKAN JUDI SUKAN

Posted: 04 Jun 2010 05:00 PM PDT

Kenyataan Media GMJ
Jumaat 4-Jun-2010

PELANCARAN KEMPEN MEMANSUHKAN JUDI SUKAN


Pihak Gerakan Rayat Membantah Judi(GMJ) akan mengadakan pelancaran Kempen Memansuhkan Judi Sukan bersama pimpinan NGOs, ulama dan politik di hadapan Pusat Perniagaan Sogo, Jalan Tungku Abd Rahman, Kuala Lumpur pada hari Sabtu 5hb Jun 2010 jam 2 petang. Kempen ini bertujuan untuk mendesak pihak Kerajaan Malaysia menarik balik lesen judi sukan yang telah diluluskannya.

Kemuncak kepada kempen ini adalah Himpunan 100 Ribu Rakyat Malaysia Membantah Judi Sukan pada sabtu 3hb Julai 2010 jam 2 petang di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Saya mengajak semua pihak agar sama-sama memberi sokongan melalui kehadiran dalam perlancaran kempen ini. Kelulusan judi sukan ini boleh menyebabkan :

1. Keruntuhkan mutu sukan negara.
2. Mendorong rakyat bergantung kepada nasib.
3. Menurunkan produktiviti negara.
4. Meruntuhkan institusi keluarga.
5. Meningkatkan gejala sosial.
6. Meningkatkan kadar jenayah.
7. Meningkatkan beban hutang rakyat.
8. Meruntuhkan ekonomi negara.
9. Menyalahi dasar-dasar semua agama.

Semua rakyat Malaysia dijemput hadir



Suhaizan Bin Kaiat

Setiausaha

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ)


Share

Tiada ulasan: