Isnin, 14 Jun 2010

Addin

Addin


Pakatan Rakyat Akan Kembali Memerintah Perak?

Posted: 13 Jun 2010 10:12 PM PDT

Politik Perak bergelora lagi berikutan laporan tiga ADUN UMNO negeri itu dijangka akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana dikatakan tidak berpuashati dengan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Dalam satu sidang media di Hillcity Hotel, Gopeng, Perak, Ketua Penerangan PKR Perak, Zulkifly Ibrahim berkata nama 3 ADUN itu masih belum boleh didedahkan kerana menurut beliau, proses rundingan masih berjalan. Menurut Bernama, Zambry telah menafikan dakwaan Zulkifly itu.

Jika benar tiga ADUN UMNO itu lompat menyertai Pakatan Rakyat, maka gagasan pembangkang itu akan kembali menerajui Perak kerana kelebihan majoriti di Dewan Undangan Negeri. Zulkifly menjelaskan rasa tidak puas hati 3 ADUN itu berkisar mengenai tindakan Zambry melayan kerenah ahli- ahli PKR yang melompat parti, berbanding dengan ahli UMNO sendiri.

Beliau juga mendakwa bahawa 12 ketua UMNO bahagian di negeri itu juga tidak puashati dengan senario politik di Perak dan merancang untuk menyertai PKR tidak lama lagi. Pada tahun 2009, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tumbang selepas sepuluh bulan mentadbir Perak apabila dua ADUN PKR dan seorang dari DAP keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas pro-BN.

Zulkifly berkata pucuk pimpinan akan membuat kenyataan rasmi mengenainya tidak lama lagi serta mengumumkan nama tiga ADUN UMNO yang akan melompat menyertai PKR. Menurutnya, ahli UMNO di negeri itu tidak puas hati dengan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghalalkan pertaruhan sukan dengan meluluskan lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd milik hartawan Tan Sri Vincent Tan.

Nazri, Lain Kali Cakap Fikir Dulu...

Posted: 13 Jun 2010 09:47 PM PDT

Berdasarkan kenyataan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Abdul Aziz (seperti dilaporkan Bernama), terdapat lebih kurang 60,000 warga Siam di semenanjung Malaysia yang dikategori sebagai Bumiputera dan menikmati hak status Bumiputera seperti kaum Melayu. Mohamed Nazri turut berkata warga Siam telah menetap di sempadan Thailand dengan Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak dan telah lama tinggal di negara.

Mohamed Nazri Abdul Aziz turut menyeru orang ramai untuk memahami pemberian taraf warganegara dan status Bumiputera kepada warga Siam. Berhubung kenyataan tersebut, saya menyokong langkah kerajaan mengiktiraf hak dan status warga Siam di negara kita. Pemberian status warganegara dan Bumiputera tersebut adalah adil memandangkan sumbangan warga Siam di dalam pembangunan negara setelah sekian lama.

Dalam isu yang sama, adalah diharap agar kerajaan menimbang untuk mengiktiraf semua rakyat yang dilahirkan di Malaysia sebagai "Bumiputera" dalam masa terdekat, tanpa mengambil kira negara asal keturunan mereka. Ramai keluarga rakyat Malaysia, seperti kaum Cina dan India, telah menetap di negara lebih daripada 100 tahun. Mereka telah menyumbang kepada pembangunan negara, termasuk membantu negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dari jajahan British.

Kebanyakan mereka juga tidak pernah menjejak negara asal keturunan mereka dan mungkin tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan sesiapa di negara asal keturunan mereka. Bagi mereka, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dalam kehidupan mereka. Oleh itu, saya berharap kerajaan menimbang untuk mengiktiraf semua rakyat Malaysia bukan Melayu sebagai "Bumiputera" sekiranya:-

1. Mereka dilahirkan di Malaysia, dan

2. Ibu-bapa dan datuk-nenek mereka adalah warganegara Malaysia.

Saya percaya bahawa cadangan ini adalah seiring dengan konsep "1Malaysia" oleh Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. Pengiktirafan rakyat bukan Melayu sebagai "Bumiputera" adalah tanda penghargaan terbesar oleh kerajaan Barisan Nasional ke atas sumbangan kaum bukan Melayu terhadap pembangunan negara setelah sekian lama. Kelak, perbezaan kaum antara rakyat Malaysia tidak akan lagi menyekat perpaduan di dalam negara. Malaysia tidak akan lagi menghadapi isu-isu diskriminasi rakyat berdasarkan kaum.

Tiada ulasan: