Selasa, 17 Januari 2017

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Dedah aurat tempah pakaian neraka

Posted: 16 Jan 2017 07:59 PM PST

Oleh Fairuz Noordin 

ALLAH SWT menciptakan api untuk membakar dan memanaskan manusia kerana sifatnya yang dahsyat, sangat menakutkan serta mengerikan. Api neraka dibakar selama seribu tahun dalam keadaan berwarna putih, seribu tahun kemudiannya bertukar menjadi biru, seribu tahun berikutnya menjadi merah.

Apabila dihumban ke neraka, manusia berada dalam keadaan tidak berpakaian dan menurut ulama, pakaian mereka juga diperbuat daripada api.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Inilah dua golongan (Mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan mengenai Tuhan mereka. Maka orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian daripada api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak. Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit badan mereka. Dan mereka pula disediakan batang besi untuk menyeksa mereka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: Rasalah kamu azab seksa yang membakar!" (Surah al-Hajj, ayat 19-22)

Pakaian neraka daripada api

Perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm memetik al-Qurtubi yang menyebut api dibuat menyerupai pakaian kerana ia dipakai seperti baju. Orang kafir apabila dimasukkan ke dalam neraka akan dipakaikan baju daripada api sedang marak itu.

Ibnu Abbas pula berkata, seandainya hanya satu titis hamim (minuman yang sangat panas) yang dicurahkan kepada penghuni neraka, jika jatuh ke atas dunia nescaya akan meranapkan seluruh gunung-gunung yang ada di muka bumi ini.

Sewaktu hamim dituang di atas kepala penghuni neraka, lalu masuk menembusi tempurung kepala sehingga sampai ke tenggorok, memasuki tengkuk mereka, maka terpotonglah segala urat perutnya dan keluar melalui kaki mereka. Selepas itu mereka kembali kepada keadaan asal sebelum ini.

Manusia yang dibakar dalam neraka, nyalaannya akan melonjakkan mereka ke atas sehingga dapat dilihat oleh ahli syurga. Ketika berada di puncak neraka, mereka dihentam oleh malaikat menggunakan cambuk besi sehingga tersungkur kembali sejauh 70 musim ke dalam dasar neraka.

Dua golongan bertengkar seperti mana dimaksudkan antara golongan Mukmin dan kafir mengenai Allah SWT, berlaku pada Perang Badar iaitu Ali, Hamzah dan Ubaidah iaitu sahabat kepada Rasulullah SAW yang menentang Syaibah bin Rabi'ah, Utbah bin Rabi'ah dan Al-Walid bin Utbah.

Ketiga-tiga daripada golongan kafir ini disediakan Allah SWT pakaian yang dibakar dalam neraka sebagai balasan di atas apa yang dilakukan akibat pertengkaran itu dan ia adalah pengajaran kepada manusia yang melawan perintah Allah SWT.

Zaid bin Aslam menyebut, dia mendengar bahawa penduduk neraka itu tidak bernyawa tetapi tidak pula mati. Malaikat datang membawa satu bekas dengan bantuan dua alatan besi kerana terlalu panas, jika bekas itu diletakkan hampir dengan wajahnya, malaikat itu menjauhinya.
Wajah dihentam malaikat

Apabila bekas itu diletakkan hampir dengan wajah penghuni neraka, ia dihentam oleh malaikat di kepala mereka hingga isi otaknya berserakan. Kemudian isi dalam bekas yang dibawa malaikat itu dituang ke dalam kepala mereka yang pecah itu lalu masuk ke dalam tubuhnya.

Pakaian penghuni neraka yang ketiga ialah daripada tar berwarna hitam dan berbau busuk. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan engkau akan melihat orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu. Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka." (Surah Ibrahim, ayat 49-50)

Daripada Abu Malik, Rasulullah SAW menyebut: "Ada empat perkara yang menyebabkan umat aku ini dibakar dengan pakaian neraka kerana berperangai seperti jahiliah yang dikekalkan walaupun mereka tidak lagi hidup pada zaman itu. Yang pertama ialah dia berbangga-bangga dengan keturunan kerana sepatutnya mereka perlu lebih berbangga menjadi hamba Allah. Sebab kedua ialah kerana mereka suka melaknat keturunan mereka. Ketiga kerana suka memohon hujan daripada bintang, bukan daripada Allah SWT dan perlakuan jahiliah yang keempat ialah suka meratap ke atas orang yang meninggal dunia. Golongan ini sekiranya tidak bertaubat sebelum tiba kematiannya, pada hari akhirat kelak dia akan dibangkitkan dengan dikenakan pakaian tar yang berperisaikan kudis yang berbau busuk."

Jagalah aurat dan jangan tergolong dalam kalangan mereka yang mengabaikannya kerana sesungguhnya aurat yang terdedah itu akan menempah pakaian dari neraka. Ngerinya keadaan di dalam neraka sehingga Allah SWT turut menyediakan selimut dan tempat tidur bagi penghuninya.
Apa yang dilihat oleh penghuni neraka sebagai selimut itu hanyalah api bergulung-gulung kerana dalam neraka tidak ada waktu untuk tidur. Allah SWT menjadikan pembalasan begini untuk menakutkan manusia yang lalai dan leka supaya taat perintah Allah SWT ketika di dunia.

Agama tentukan kebahagiaan keluarga

Posted: 16 Jan 2017 07:56 PM PST

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof 

PERNAHKAH kita bertanya tujuan hidup di dunia ini atau hanya sekadar menjalani hidup tanpa pernah memikirkan makna daripada penciptaan diri kita? Mengetahui makna kehidupan membantu kita menjalani hidup lebih baik, mengenal pasti tujuan hidup supaya lebih terarah.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila ia menyeru kamu kepada perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna." (Surah al-Anfal , ayat 24)

Jika diteliti makna di sebalik penurunan ayat ini, ia memberikan suatu konsep mengenai erti hayat atau hidup yang sebenar dalam Islam. Rasulullah SAW selaku utusan Allah SWT menyeru orang beriman supaya menyambut seruan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Seruan yang mengajak mereka menjalani erti hidup yang sebenar. Hidup manusia sangat bererti memandangkan kemuncak hidup yang sejati ialah dengan makrifat Allah (mengenal Allah SWT).

Mengenal bahawa sifat ubudiyyah seorang Muslim mestilah dipersembahkan hanya kepada Allah SWT.

Menghuraikan tajuk Di Mana Kita Bertolak dalam rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, berkata agama adalah pegangan yang harus ada dalam diri setiap manusia.

Tanpa pegangan agama, maka akan goyahlah kehidupan manusia. Malah, agama juga dapat membentuk pandangan semesta seseorang, sesebuah masyarakat serta perilaku dan tindakan mereka dari segi pertuturan, perilaku atau gaya hidup.

Agama asas pilih pasangan

Tidak dinafikan, agama Islam mengatur seluruh aspek kehidupan, termasuk urusan jodoh seperti mana ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: "Dikahwinkan seorang perempuan itu kerana empat perkara. Kerana hartanya, kecantikannya, kedudukan atau keturunannya dan agamanya. Maka hendaklah memilih perempuan yang beragama, nescaya menguntungkan kamu."

Agama dan keimanan yang kuat hendaklah diutamakan sebagai dasar pemilihan pasangan hidup.
Menurut Muhammad, agama bukan bersandarkan kepada kelulusan semata-mata. Ia sebenarnya menjurus sejauh mana penghayatan dan amalan seseorang terhadap Allah SWT.

Dalam institusi rumah tangga, faktor agama adalah elemen yang penting. Pegangan agama yang kukuh dalam perkahwinan adalah tonggak kebahagiaan rumah tangga seperti mengamalkan solat berjemaah dapat mengeratkan hubungan suami isteri dengan restu Allah SWT.

Suami kena bimbing isteri
 
Suami perlu membimbing isteri ke jalan yang diredai Allah SWT. Jika isteri lebih bijak, tidak salah berkongsi sesuatu yang baik dengan suami supaya rumah tangga sentiasa mendapat keberkatan.

Islam dibina atas tiga asas utama meliputi soal akidah, syariat dan akhlak. Tiga perkara asas itu menjadi tunjang dalam pembentukan rumah tangga yang harmoni. Sebelum memilih sesuatu jalan, adalah lebih baik untuk diselidiki terlebih dahulu supaya tidak tersesat.

Suami isteri ibarat pakaian bagi pasangannya, yang saling menutupi, melindungi dan memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, hiasilah pasangan dengan amalan yang baik.

Demi menggapai reda Allah SWT, elak berada dalam situasi keluh kesah kerana bimbang keluh kesah adalah tanda kelemahan iman. Luaskan pelaksanaan dan penghayatan agama kepada seluruh amalan dalam kehidupan.

Moga dengan kebaikan yang kita lakukan walaupun kecil tetapi berterusan, mudah-mudahan dapat memberikan kebaikan dan membantu kita untuk terus memahami serta mendalami agama Islam.

Tiada ulasan: